.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, December 17, 2010

0 AYAMAS anak syarikat KFC (KFCH) buka cawangan francais baru!

Tambah 25 cawangan Kedai Ayamas



RAFIQ (dari kanan) dan Jamaludin melancarkan khidmat penghantaran Kedai Ayamas di Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - KFC Holdings (Malaysia) Bhd. (KFCH) dijangka membuka 25 cawangan Kedai Ayamas di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

KFCH merupakan pengendali dan pemegang francais rangkaian restoran KFC di Malaysia, Singapura dan Brunei; Restoran RasaMas dan rangkaian Kedai Ayamas di seluruh negara.

Pengarah Urusan KFCH, Jamaludin Ali berkata, rancangan pengembangan Kedai Ayamas yang kini memiliki 50 cawangan di seluruh negara itu membabitkan pelaburan sebanyak RM9 juta.

"Pembinaan itu akan ditumpukan di sekitar Lembah Klang dengan pelaburan sebanyak RM350,000 setiap premis," katanya pada majlis pelancaran khidmat penghantaran Kedai Ayamas di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Ayamas Food Corporation Sdn. Bhd. (Ayamas), Rafiq Moosa.

Ayamas merupakan anak syarikat milik penuh KFCH.

Mengulas lanjut, Jamaludin berkata, sumbangan terbesar kepada pendapatan KFCH ialah Restoran KFC sebanyak 70 peratus manakala bakinya pula daripada Ayamas.

"Untuk perniagaan runcit Kedai Ayamas, sumbangannya sekitar dua peratus dan jumlah ini kecil sebab ia masih baru. Dari awal tahun sehingga bulan September lalu, Kedai Ayamas berjaya meraih pendapatan sebanyak RM41 juta," katanya.

0 Kalaulah facebook dan twitter boleh dijual?

Nilai Facebook RM141.1 bilion, Twitter RM11.6 bilion
SAN FRANCISCO - Laman jaringan sosial, Twitter mempunyai nilai AS$3.7 bilion (RM11.6 bilion) pada tahun ini, melonjak AS$1 bilion (RM3.1 bilion) berbanding tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Penilaian terbaru itu dikeluarkan sendiri oleh Twitter selepas ia mengumpul modal tambahan AS$200 juta (RM627.5 juta) untuk pembangunan tanpa memerlukan ia diapungkan di bursa saham Amerika Syarikat (AS).

Suntikan modal tersebut diketuai oleh Kleiner Perkins Caufield & Byers yang merupakan antara firma permodalan terbaik di Lembah Silikon, AS.

Pengumuman mengenai nilai itu dibuat kelmarin.

Sementara itu, pencapaian memberangsangkan Twitter dilihat lebih baik berbanding saingannya, Facebook yang mempunyai nilai AS$45 bilion (RM141.1 bilion), baru-baru ini.

Bekas pelajar Universiti Harvard, Mark Zuckerberg yang berusia 26 tahun dikenali di seluruh dunia sebagai pengasas Facebook.

Twitter yang diasaskan bersama artikek perisian, Jack Dorsey, Biz Stone dan Evan Williams dan beribu pejabat di sini, memiliki 190 juta pengguna di seluruh dunia setakat bulan lalu.

Firma komputer itu kini menggaji lebih 350 pekerja. Dua usahawan berjaya, Mike McCue dan David Rosenblatt dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah firma berkenaan. - Agensi

0 Titik peluh lebih dihargai

Atlet dapat insurans seumur hidup



Atlet negara (dari kiri) Nor Hasihmah Ismail, Ho-Robin, R. Puveniswaran, Chai Fong Ying, Alex Liew , Adrian Ang, Nicol David dan Wong Pei Tty bergambar pada majlis pengumuman Skim Persaraan Atlet MOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama




KUALA LUMPUR - Dua puluh lapan pemenang pingat emas Sukan Komanwel dan Sukan Asia akan menerima polisi insurans seumur hidup bernilai antara RM10,000 dan RM100,000 seorang.

Atlet individu yang memenangi pingat emas akan diberi polisi insurans bernilai RM50,000 seorang, manakala setiap seorang anggota pasukan yang memperoleh emas akan menerima polisi bernilai RM25,000.

Untuk pasukan yang terdiri daripada lebih dua orang yang memperoleh pingat emas di New Delhi dan Guangzhou, mereka akan mendapat polisi bernilai RM10,000 seorang.

Presiden Majlis Sukan Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata, polisi insurans itu disediakan di bawah Skim Persaraan Atlet MOM untuk atlet yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Daripada 17 pemenang pingat emas Sukan Komanwel dan 11 di Sukan Asia, hanya pemain skuasy No. 1 dunia, Datuk Nicol David meraih emas dalam kedua-dua temasya, katanya selepas menandatangani penajaan dengan Carlsberg Marketing Sdn. Bhd. di sini, semalam.

Beliau berkata, pencapaian Nicol membolehkan pemain itu menerima polisi bernilai RM100,000. Dengan polisi insurans yang diperoleh sebelum ini, menjadikan dia menjadi penerima paling tinggi iaitu RM250,000 sepanjang tempoh 12 tahun, dari 1998 hingga 2010.

"Sehingga kini, 88 atlet telah mendapat faedah daripada skim itu. Kemenangan mereka pada Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik membuatkan negara bangga," katanya.

Nicol, Chai Fong Ying (wusyu), R. Puvaneswaran (karate), Alex Liew Kien Liang dan Adrian Ang boling) antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Tunku Imran berkata, menjelang 2013, bayaran premium oleh MOM akan tamat dan atlet boleh menukar polisi insurans mereka untuk bayaran tunai.

"Bagaimanapun, adalah lebih baik tidak menunaikan polisi mereka sebaliknya simpan bagi tempoh yang panjang kerana nilainya akan meningkat," katanya. - Bernama

0 Orang asing akan ambil kesempatan beli sebanyak-banyaknya hartanah dan orang tempatan melopong mulut

Undang-undang pemilikan hartanah kita terlonggar di dunia

Oleh FAIRUS KASSIM
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Undang-undang pemilikan hartanah di Malaysia adalah paling longgar di dunia dan keadaan ini menarik kehadiran pelabur asing sehingga menjejaskan peluang rakyat negara ini.

Persaingan itu menyebabkan nilai sektor berkenaan melambung mencecah paras terlalu tinggi dan berada di luar kemampuan mereka, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), Y. H. Ooi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Knight Frank, berkata, nisbah permintaan hartanah antara rakyat tempatan dan asing pada tahun ini adalah 70:30 dan berdasarkan perkiraan semasa, jumlah penguasaan rakyat asing akan meningkat tahun hadapan.

Menurutnya, walaupun peningkatan nilai hartanah membantu meningkatkan ekonomi negara tetapi ia juga memberikan impak negatif kepada rakyat sekiranya tiada kawalan.

Ooi mendakwa, tiada sebarang had dikenakan kepada para pelabur asing dari segi pemilikan jumlah aset dan lokasi sekiranya ingin memiliki hartanah di Malaysia.

Beliau menjelaskan beberapa negara seperti Australia dan Singapura mempunyai undang-undang ketat terhadap pemilikan hartanah di kalangan pelabur asing.

“Antaranya had bilangan aset, hanya boleh membeli aset yang sedang atau belum dibina dan pelbagai lagi bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sempena Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia 2011 yang akan diadakan pada 18 Januari depan.

Turut hadir bekas Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Mani Usilappan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif PEPS dan Presiden PEPS, Choy Yue Kwong.

Ooi berkata, faktor persaingan ini menyebabkan nilai hartanah di kawasan bandar melonjak tinggi dan langsung tidak mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan sederhana serta ke bawah.

“Kita tidak mampu menandingi kuasa beli pelabur asing dan akhirnya hanya mampu melihat aset strategik dimiliki orang luar. Sesuatu perlu diambil untuk menilai semula masalah ini,” kata beliau.

Ooi menambah, pelabur asing yang banyak memiliki aset di Malaysia adalah dari Singapura, Hong Kong, Indonesia, Eropah dan rantau Asia Tengah.

Lokasi yang menarik perhatian mereka adalah Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang atas faktor infrastruktur dan kemudahan yang serba lengkap.

Mani pula menjelaskan, sekiranya keadaan itu berterusan, mungkin akan timbul persoalan sama ada industri hartanah tempatan dibina untuk rakyat atau pelabur asing.

Sementara itu, Yue Kwong berkata, nilai hartanah di Asia termasuk Malaysia dijangka terus meningkat pada tahun depan berikutan pertumbuhan ekonominya yang positif meskipun berlaku kemerosotan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya, keadaan ekonomi luar yang tidak menggalakkan akan menyaksikan dana pelaburan khususnya sektor hartanah bakal beralih ke Asia dan Malaysia turut mendapat faedahnya berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata, permintaan tinggi dalam sektor hartanah tempatan akan meningkatkan kadar kecairan pasaran dan nilai hartanah khususnya di Kuala Lumpur.

“Peningkatan nilai hartanah pada tahun depan mungkin tidak setinggi tahun ini yang mencatat peningkatan 30 peratus kerana pertumbuhan ekonomi negara dijangka perlahan,” jelasnya.

0 Dulu penoreh getah tidak dipandang kini mereka sangat didengki

Harga getah cecah paras tertinggi RM14.13 sekilogram

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Harga getah di pasaran kini mencecah RM14.13 sen sekilogram dan dijangka kekal pada paras tertinggi sehingga pertengahan tahun depan.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, harga itu merupakan yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah industri getah di Malaysia.

''Peningkatan itu berlaku ekoran permintaan yang tinggi dari seluruh dunia akibat perubahan cuaca dan musim di negara-negara pengeluaran getah lain seperti China, Vietnam dan Thailand,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Penasihat Gagasan Ekonomi Melayu (Gabem) di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan para penoreh getah di seluruh negara agar mengambil kesempatan tersebut dan meningkatkan produktiviti bagi mendapat keuntungan yang lebih lumayan.

"Keuntungan yang diperolehi hari ini membolehkan penoreh getah membeli baja untuk penggunaan pada masa hadapan.

"Penoreh getah digalakkan untuk menoreh getah pada sebelah petang bagi mengoptimumkan hasil kerana sebelum ini mereka hanya menoreh pada waktu pagi," katanya.

Harga getah di pasaran dunia kini mencatatkan sejarah baru kerana mencecah RM14 sekilogram berbanding RM4 sekilogram lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Abdul Rahim menasihatkan 350,000 penoreh getah di seluruh negara menjual hasil getah mereka kepada RISDA yang menawarkan harga antara RM6 hingga RM7 sekilogram.

"Jangan jual hasil getah kepada orang tengah kerana harga tawaran mereka adalah lebih rendah daripada RISDA," katanya.

Tambahnya, orang tengah biasanya memberi alasan seperti terlalu banyak air di dalam kandungan getah bertujuan merendahkan harga tawaran demi kepentingan diri sendiri.

"Justeru itu, para penoreh getah dinasihatkan menjual hasil getah yang kurang daripada 25 tan kepada RISDA dan hasil yang melebihi 25 tan boleh menjual terus kepada kilang," katanya.

Pada masa sama, Abdul Rahim juga memberitahu, RISDA akan menambahkan bilangan depot pembelian getah dan pusat timbang dan stor (PTS) di seluruh negara sebagai satu langkah untuk membasmi orang tengah yang mengaut keuntungan daripada penoreh getah.

0 Lokasi paling tidak selamat untuk wartawan berita

Pakistan disenarai negara paling berbahaya

NEW YORK 16 Dis. - Pakistan merupakan negara paling berbahaya untuk wartawan menjalankan tugas, diikuti Iraq di tempat kedua dan Honduras serta Mexico masing-masing di tempat ketiga.

Sekurang-kurangnya lapan wartawan terbunuh ketika menjalankan tugas di Pakistan pada tahun ini, meskipun jumlah wartawan yang terbunuh di seluruh dunia ketika membuat liputan menurun berbanding tahun lalu.

Jawatankuasa Perlindungan Wartawan yang berpangkalan di New York dalam satu kenyataan berkata, sehingga kini kira-kira 42 wartawan terbunuh sepanjang 2010, berbanding 72 orang pada tahun lalu ketika menjalankan tugas di seluruh dunia.

Namun, jumlah wartawan yang maut ketika membuat liputan di Pakistan pada tahun ini meningkat sekali ganda daripada empat orang pada 2009 kepada lapan orang tahun ini.

Enam daripada mereka terbunuh akibat serangan pengebom berani mati atau tertembak ketika serangan militan, kata kumpulan tersebut.

Negara lain yang berbahaya untuk wartawan menjalankan tugas ialah Thailand, Nigeria, Somalia, Angola, Indonesi, Afghanistan dan Filipina masing-masing dengan dua kes kematian wartawan.

"Kematian sekurang-kurangnya lapan orang wartawan (di Pakistan) itu menunjukkan betapa gejala keganasan di Pakistan begitu meluas berbanding negara jirannya, Afghanistan," kata pengarah eksekutifnya, Joel Simon.

"Peningkatan serangan pengebom berani mati memberi risiko yang tinggi ke atas petugas media menjalankan tugas mereka." kata Simon.

Filipina pada tahun lalu menjadi negara paling berbahaya bagi wartawan menjalankan tugas apabila 33 wartawan terbunuh di negara itu.

"Walaupun kematian 42 orang wartawan tahun ini berkurangan berbanding tahun sebelumnya, namun ancaman maut ke atas wartawan di seluruh dunia tetap dianggap tinggi," kata Simon.

Menurut kenyataan kumpulan itu, hampir 90 peratus wartawan yang terbunuh sepanjang tahun ini melibatkan wartawan tempatan dan berkhidmat untuk penerbitan dalam talian di Internet. - REUTER

0 Tambah penerbitan buku sebanyak 90%! 28,000 buah buku setahun!

Malaysia mampu hasil 28,000 buku




Rosmah Mansor menyampaikan Anugerah Perdana Tun Sri Lanang kepada Rais Yatim di Kuala Lumpur, malam tadi.



KUALA LUMPUR 16 Dis. - Negara sepatutnya mampu menghasilkan 28,000 judul buku baru setiap tahun berdasarkan nisbah kepadatan penduduknya kini yang mencecah 28 juta orang.

Penaung Anugerah Buku Negara 2010, Datin Seri Rosmah Mansor bagaimanapun berkata, Malaysia ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 15,000 judul buku baru setahun iaitu 50 peratus sahaja jika dibandingkan dengan nisbah negara maju.

"Saya melihat Malaysia masih kurang menghasilkan novel atau karya agung yang dapat menyerlahkan citra bangsa dan tamadun negara pada ketika ini.

"Justeru, saya menggesa para ilmuwan dan pemikir kita untuk menghasilkan pelbagai jenis buku sama ada fiksyen atau bukan fiksyen yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia selain menggalakkan penulisan buku sejarah, budaya tempatan serta pengalaman dan pandangan kita tentang sesuatu subjek atau isu global untuk dikongsikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Buku Negara 2010 dan Pelancaran Tabung Buku Negara di sini, malam ini.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Anugerah Buku Negara 2010 terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Industri yang mengandungi keseluruhan sebanyak 33 anugerah.

Rais telah dianugerahkan Anugerah Perdana iaitu Anugerah Tokoh Buku Negara yang dikenali sebagai Anugerah Perdana Tun Sri Lanang.

Dalam majlis ini, dua buah buku iaitu Permainanku, Warisanku dan Serama Malaysia: Ayam Terkecil Dunia dilancarkan.





Artikel berkaitan:


Ilmuwan, penulis digesa hasil pelbagai karya
Oleh Sophia Ahmad

2010/12/17
Elak khazanah buku negara tidak tandus

KUALA LUMPUR: Golongan ilmuan termasuk penulis tanah air diminta menghasilkan pelbagai karya fiksyen dan bukan fiksyen supaya khazanah buku negara tidak lagi ketandusan karya berkualiti.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata Malaysia pada ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 15,000 judul baru setiap tahun, jauh ketinggalan berbanding negara maju lain. “Di setiap negara maju, setiap sejuta penduduknya akan menghasilkan 1,000 judul buku baru setiap tahun. Dengan kepadatan 28 juta penduduk Malaysia hari ini, maka nisbahnya harus 28,000 judul baru setiap tahun,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Buku Negara 2010 di sini malam tadi. Turut hadir, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek.

Rosmah berkata, sifat suka membaca menuntut penghasilan karya bacaan yang bermutu tinggi dan menarik untuk memenuhi keperluan pembacaan masyarakat.

“Bahan bacaan yang dicetak seharusnya menepati minat pelbagai segmen masyarakat dari peringkat kanak-kanak, murid sekolah dan pelajar universiti, hinggalah ke ahli profesional, pentadbir, pekerja dan warga tua,” katanya.

Katanya, usaha membudayakan amalan membaca diakui bukan mudah, justeru Kempen Jom Baca dan Program Wakaf Buku anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) akan dapat membantu usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Jabatan Perpustakaan Negara.
“Dalam usaha mempertingkatkan pemikiran dan perkembangan ilmu masyarakat sesebuah negara, perkara penting yang perlu diberi penekanan membudayakan tabiat membaca.

“Kemajuan sesebuah negara adalah bersandarkan kepada ilmu pengetahuan serta penghasilan inovasi tinggi rakyatnya,” katanya.

Pada majlis itu Rosmah turut melancarkan Tabung Buku Negara iaitu kumpulan dana yang disumbangkan oleh sektor korporat dan kerajaan secara berterusan bagi membantu menggerakkan pelbagai aktiviti yang disusun oleh YPBN.



Artikel berkaitan:

Rais Yatim Tokoh Buku Negara 2010
17/12/2010 11:45am


KUALA LUMPUR 17 Dis. - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Buku Negara 2010, pada majlis Anugerah Buku Negara di sini malam tadi.

Anugerah yang disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor itu sebagai menghargai jasa beliau yang berjuang dalam bidang penulisan dan penerbitan buku.


Ketika ditemui pemberita, Rais berkata, perjuangan dalam bidang penulisan dan penerbitan buku merupakan perjuangan tamadun yang perlu dilaksanakan secara berterusan.


Beliau berkata, ini kerana buku merupakan elemen penting dalam pembinaan tamadun dan negara bangsa yang berilmu dalam negara ini.


"Justeru industri penulisan perlu diperkasakan, agar bolehlah kita menanam semangat itu dalam membina negara bangsa kita," katanya. - Bernama

0 4 maut, 21 terselamat bas jabatan penjara Tawau jatuh gaung. Takziah kepada keluarga mangsa

4 maut bas jatuh gaung

Oleh Hassan Omar dan Mohd Izham Unnip Abdullah

2010/12/17
PENAMPANG: Empat kakitangan Jabatan Penjara Tawau terbunuh, manakala 21 penumpang bas jabatan itu termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki cedera apabila ia terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Penampang-Tambunan, Kampung Moyog dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, bas Jabatan Penjara berkenaan dalam perjalanan dari Keningau ke Tawau selepas pegawai dan kakitangannya menyertai Kejohanan Bola Sepak Piala Pengarah Jabatan Penjara Sabah di Keningau. Mereka yang terbunuh ialah tiga warden, iaitu Madinah Alhamdulillah, 38; Selamat Idris, 31 dan Saberin Murad, 28, serta pemandu kedua bas itu, Muslimin Mohamad, 36. Madinah berasal dari Semporna, Selamat dan Muslimin dari Tawau serta Saberin dari Kampung Rampayan, Menggatal dekat Kota Kinabalu.

Wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu adalah isteri kepada seorang daripada 18 kakitangan penjara yang cedera, manakala dua kanak-kanak ialah, Norehan, 12, iaitu anak Muslimin dan Hafidz Ramli, 14, anak seorang lagi kakitangan penjara yang cedera.

Tujuh daripada mereka yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal, manakala 12 lagi separuh kritikal dan dua stabil.

Jalan Penampang-Tambunan adalah laluan berbukit sepanjang kira-kira 40 kilometer di Banjaran Crocker yang berfungsi sebagai laluan utama Keningau-Penampang.
Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, Superintendan Bon Jeen a/l Ah Rom @ Sowat, berkata siasatan awal mendapati bas dipandu Ridzuan Samda Mudin, 35, dipercayai gagal dikawal ketika melalui laluan berbukit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.

“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada bas itu mengalami masalah brek. Kami akan ambil kenyataan Ridzuan apabila beliau stabil," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan I Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Noor Amit, berkata anggotanya terpaksa menggunakan tali untuk menuruni gaung dan mengeluarkan mangsa tersepit di bawah bas.

Beliau berkata, tiga mangsa pertama yang cedera ringan memanjat tebing bukit dan keluar dari gaung jam 11.13 pagi, manakala empat mayat dijumpai terhimpit di bawah bas.

Ridzuan yang cedera di kaki dalam kejadian itu berkata, beliau gagal mengawal kenderaannya berikutan masalah brek.

"Ketika menuruni bukit di selekoh, saya tekan brek tetapi tidak berkesan. Saya tak tahu hendak buat apa lagi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Norehan, 12, berkata ketika kejadian beliau duduk di sebelah ayahnya.

“Apa yang saya ingat ialah brek yang kuat dan bas berpusing. Lepas itu saya tidak ingat apa-apa sehingga saya sedar, saya berada dekat bahagian enjin bas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori yang mahu dikenali sebagai Wong mendakwa, bas berkenaan dipandu laju ketika memotongnya di Gunung Emas, beberapa kilometer sebelum tempat kejadian.

"Apabila tiba di tempat kejadian, baru saya tahu bas yang memotong lori saya terjunam ke dalam gaung," katanya ditemui di tempat kejadian.



Artikel berkaitan:

4 staf penjara maut

Oleh HAMDEN RAMLI
utusansabah@utusan.com.my




Bas dinaiki 25 anggota penjara dan keluarga jatuh ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Tambunan-Penampang di Kampung Ulu Moyog, Penampang, semalam. - utusan/ Hamden Ramli



PENAMPANG 16 Dis. - Empat kakitangan Penjara Tawau terbunuh selepas bas dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Kota Kinabalu-Tambunan dekat Kampung Ulu Moyog, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, seramai 18 lagi anggota Penjara Tawau dan tiga ahli keluarga mereka, masing-masing dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan cedera dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu.

Mangsa yang terbunuh ialah Madinah Alhamdulillah, 37, Selamat Idrus, 31, Muslimin Muhamad, 36, dan Sabirin Murad, 28.

Difahamkan bas yang membawa pasukan bola sepak Penjara Tawau itu sedang dalam perjalanan ke Kota Kinabalu selepas menyertai pertandingan bola sepak Piala Pengarah Penjara Sabah, bermula 13 Disember lalu.

Bagaimanapun, ketika menuruni bukit dan selekoh tajam tidak jauh dari Kampung Ulu Moyog dekat sini, bas itu hilang kawalan sebelum terhumban dan berpusing beberapa kali ke dalam gaung sedalam kira-kira 100 meter tersebut.

Kemalangan itu turut menyebabkan bumbung bas berkenaan tercabut.

Tiga jentera pasukan Bomba dan Penyelamat bersama 36 anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa. Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 11.13 pagi.

Gerakan menyelamat yang turut dibantu pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mengambil masa tiga jam untuk mengeluarkan semua mayat.

Mayat terakhir berjaya dikeluarkan pada pukul 2.10 petang.

Ketua Polis Trafik negeri, Supritendan Bonjeen Ah Ron ketika dihubungi hari ini berkata, semua mangsa yang terbunuh meninggal dunia di tempat kejadian.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar kejadian itu," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat, Mohd. Hafidz Ramli, 14, memberitahu, dia hanya menyedari dalam keadaan bahaya apabila bas itu melanggar tebing jalan sebelum terhumban ke dalam gaung.

"Selepas berpusing beberapa kali, saya pengsan dan hanya sedar apabila pasukan penyelamat datang untuk membawa saya naik ke atas," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Noraihan Muslimin memberitahu, ketika kejadian, dia duduk di sebelah bapanya, Muslimin.

"Kejadian berlaku begitu pantas dan apabila sedar, saya telah berada di bahagian enjin bas," katanya.

Sementara itu, kakitangan Penjara Sandakan, Koperal Azranshah Abdullah berkata, sebanyak tiga bas membawa tiga pasukan bola sepak masing-masing dari Penjara Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan berlepas dari Keningau, pukul 8 pagi.

"Bas membawa kakitangan Penjara Tawau itu merupakan yang kedua bertolak dari Keningau. Ketika dalam perjalanan, kami mendapat panggilan telefon memaklumkan kejadian malang itu.

"Semasa kami sampai, pasukan penyelamat telah mula mengeluarkan mangsa dari dalam bas tersebut," katanya.



Artikel berkaitan:



Terkulai ratapi anak mati
Oleh Mohd Razlan Salleh, Junaidi Ladjana, Fardy Bungga dan Norasikin Daineh




BANTU...anggota perubahan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan apabila bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung, semalam.





KELUARKAN MANGSA...anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terbunuh. KOTA KINABALU: Seorang ibu terkulai selepas meratapi kematian anak lelaki kesayangannya, Sabirin Murad, 29, yang terbunuh selepas bas dinaiki bersama 25 kakitangan Jabatan Penjara Tawau terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter, semalam.

Kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa itu berlaku di Kilometer 32 Jalan Penampang - Tambunan di sini, kira-kira jam 10.40 pagi.


Sitimah Musah, 55, berkata, kali terakhir dia berbual dengan anaknya itu ketika menghubunginya dua kali iaitu kira-kira sejam sebelum kejadian berlaku.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhirnya yang bersungguh-sungguh menyuruh menyediakan makan tengah hari di rumah.




“Saya sedih kerana kami memang jarang makan bersama kerana dia bertugas di Tawau dan saya tidak sangka, panggilan dua kali itu adalah kali terakhir saya mendengar suaranya,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, semalam.



Sitimah yang menetap di Kampung Rampaian Manggatal berkata, anaknya ada menghubungi memaklumkan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu kira-kira jam 9 pagi.

“Selepas itu, dia menghubungi semula sejam kemudian dan memberitahu sudah berada di Penampang, selain menyuruh seorang adiknya menunggu di Kota Kinabalu," katanya.

Sementara itu, Nurul Syakinah Muslimin Mohammad, 15, berkata, sebelum kejadian, ayahnya, Muslim Mohamad, 36, pemandu kedua bas terbabit yang turut terbunuh ada menyatakan mahu membeli persiapan persekolahan termasuk baju dan kasut baru sebaik tiba di Kota Kinabalu.

“Ayah berjanji untuk berjumpa di Kota Kinabalu tetapi saya terkilan kerana hajat kami berkubur," katanya.

Menurut Nurul Syakinah, beberapa jam sebelum kejadian, dia dihubungi ayahnya yang memberitahu bas dinaiki baru bergerak ke Kota Kinabalu.

“Tidak sampai beberapa jam selepas itu, emak dari Tawau menghubungi saya memberitahu ayah terbabit dalam kemalangan dan saya bergegas ke hospital, tetapi diberitahu ayah sudah meninggal dunia," katanya.

Penumpang bas berkenaan, Moha Hafiz Rahim, 14, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan sempat berpaut pada kerusi untuk mengelak terhumban keluar daripada bas yang bergolek jatuh ke dalam gaung.

“Ketika itu terlintas kemungkinan ajal saya sudah sampai apabila menyedari bas mula menjunam ke gaung dan bergolek beberapa kali sebelum berhenti.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya tidak berfikir apa-apa, selain menyelamatkan diri dan keluar daripada bas berkenaan,” katanya.

Penumpang, Ulil Amri, 28, yang sedang tidur di kerusi penumpang bahagian tengah bas terkejut apabila mendengar jeritan yang mendakwa bas hilang kawalan.

"Selepas itu, saya mendengar dentuman kuat dan bas bergolek beberapa kali. Saya bersyukur kerana tidak cedera serius, cuma sakit di peha dan dada akibat hentakan kuat,” katanya.

0 Projek telefilem RM1/2j dari Primeworks Studios. Untuk orang kuat di belakang tabir

Cungkil pengarah muda

BERMULA tahun depan, syarikat penerbitan dan pengedaran filem milik penuh konglomerat media, Media Prima berhad, Primeworks Studios akan membuka ruang kepada pengarah dan penulis skrip berbakat mengikuti program khas Layar Baru dan bekerjasama menghasilkan filem berkualiti, inovatif dan dapat memenuhi kehendak masyarakat.

Ketika menghadiri majlis sidang akhbar Layar Baru bagi memperkenalkan tiga filem baru yang diarahkan pengarah muda berbakat, di Panggung Cathay, The Curve, Damansara, Pengarah Urusan Primeworks Studios Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah berkata, antara syarat ditetapkan bagi mereka yang berminat, karya bakal dihasilkan mereka harus menarik dan asli, kali pertama menghasilkan skrip atau mengarah filem dan mampu berkarya dengan modal RM500,000.


Melihat kepada modal bakal dibekalkan kepada mereka yang layak, timbul persoalan mampukah pengarah muda terpilih nanti menghasilkan filem cereka. Seperti diketahui, untuk menghasilkan filem bagi pasaran tempatan, paling rendah belanja diperlukan RM800,000.


"Ada pengkarya muda yang tamat pengajian di universiti sering memberitahu kami, mereka mampu menghasilkan sebuah filem dengan modal RM50,000. Justeru, dengan kreativiti dimiliki bakal pengarah yang akan dipilih bekerjasama dengan Primeworks Studios, sebanyak RM500,000 bakal dibekalkan adalah satu jumlah cukup besar," katanya.


Menerangkan lebih lanjut mengenai program dijalankan Ahmad Puad, pihaknya terlebih dulu meminta mereka yang berminat menghantar kertas cadangan dan skrip. Dari situ, mereka akan menilai sama ada ia layak untuk dijadikan filem atau telefilem saja. Turut diberitahu mereka yang dipilih hanya akan bekerja berdasarkan projek.


"Semua penggiat filem baru menjalani penggambaran dalam bentuk High Definition (HD) dan bayaran akan diberikan separuh terlebih dulu. Sekiranya kami berasakan ia sesuai untuk ditayangkan di pawagam bayaran sekali ganda akan diberikan kemudian," jelasnya. Pada majlis itu, Ahmad Puad turut memperkenalkan tiga pengarah muda yang dipilih bagi mengikuti program Layar Baru dan mengumumkan mengenai filem dihasilkan iaitu Sesuatu Yang Tertinggal, Klip 3GP dan Penunggu Istana.




"Setakat ini, ada beberapa pengkarya muda sudah pun kita ambil untuk bekerja. Tiga filem ini kini sedang menjalani proses akhir. Insyaallah sekiranya proses berjalan lancar ia akan mula ditayangkan bermula Mac depan," katanya.


Tiga filem dihasilkan ini, dua daripadanya bertemakan seram dan satu lagi tampil berbeza apabila menyentuh mengenai isu semasa. Melihat daripada sedutan filem dihasilkan, nampak pengarah muda terbabit iaitu Aidilfitri Mohd Yunos mengarahkan Klip 3GP, Azli Hisham atau Black (Sesuatu Yang Tertinggal) dan Wan Asliza Wan Zainuddin (Penunggu Istana) agak berani. Beberapa babak panas dan cukup memberahikan terdapat dalam filem terbabit turut ditayangkan. Timbul kebimbangan, filem dihasilkan itu bakal dicincang pihak Penapisan Lembaga Filem Malaysia (LPF) atau langsung tidak boleh ditayangkan.



Bagaimana pengarah baru ini berkarya dalam berdepan dengan syarat ditetapkan pihak LPF dan adakah pihak Primeworks Studios sendiri campur tangan sepanjang proses penggambaran dijalankan? Mengulas mengenai perkara terbabit, tambah Ahmad Puad, Primeworks Studios percaya pihak LPF sudah semakin terbuka dan klasifikasi filem memudahkan mereka untuk menjalankan tugas.


"Kalau filem yang bakal ditayangkan nanti tidak sesuai untuk tontonan mereka di bawah umur, LPF akan mengklasifikasikan ia sebagai 13PG atau 18SX. "Begitupun, sebagai penerbit sudah tentu kalau boleh kami mahu filem dihasilkan ditonton semua pihak. Dalam melaksanakan kerja penggambaran, Primeworks Studios akan terbabit dari mula hingga penggambaran tamat. Kami akan memberi khidmat nasihat diperlukan dan sudah tentu kami akan mengawasi setiap produksi sedang berjalan," katanya.



Artikel berkaitan:


Ruang buat pengkarya baru

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

2010/12/17
Primeworks terus beri peluang kepada pengarah muda menerusi program Layar Baru

SEJAK penubuhannya pada 1994, Primeworks Studios atau lebih dikenali sebagai Grand Brilliance sebelum ini, sudah pun menghasilkan hampir 100 filem, sama ada secara penerbitan sendiri, secara usaha sama dengan penerbit tempatan lain mahupun pembelian melalui kontrak penerbitan.

Sepanjang tempoh itu juga, Primeworks membuka ruang buat muka baru dalam dunia pengarahan sehingga mereka kemudiannya muncul sebagai pembikin filem dihormati ramai. Antaranya termasuk Mahadi J Murat, Prof Madya A Razak Mohaiddeen, Erma Fatima, Raja Ahmad Alauddin, Aziz M Osman, Bade Hj Azmi, Mamat Khalid, Afdlin Shauki dan Allahyarham Yasmin Ahmad. Turut bekerjasama dengan mereka ialah Adman Salleh, Kamal Ishak, Sahib Selamat, Nahar Akhbar Khan, Zulkeflie M Osman, Kabir Bhatia, Ming Jin, Sandosh Kesavan, Yeop Hitler Zami, Amir Muhammad, Naiem Ghalili, Wan Azli, Azizi Chunk Adnan, Bernard Chauly dan Dhojee. Menurut Pengurus Besar Filem dan Drama syarikat berkenaan, Ahmad Puad Onah, melalui peluang yang diberikan itu, sebahagiannya pernah memenangi anugerah pengarah terbaik, sama ada menerusi filem yang diterbitkan oleh Primeworks, atau melalui usaha mereka seterusnya dengan syarikat penerbitan lain mahupun syarikat mereka sendiri.

Tidak terhenti setakat itu, usaha Primeworks melahirkan lebih ramai pengarah diteruskan, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka. Terbaru, program Layar Baru diperkenalkan, bagi membolehkan ramai lagi sutradara muda berbakat mengetengahkan keupayaan mereka seterusnya meningkatkan lagi martabat industri perfileman tanah air.

Baru-baru ini, bertempat di Mutiara Damansara, syarikat berkenaan memperkenalkan tiga pengarah baru yang terbabit dalam program itu. Mereka terdiri daripada Aidilfitri Yunos yang mengarahkan filem Klip 3GP, hasil tulisan Sofea Aliza, Asrulhisyam Ahmad atau Black yang mengarahkan filem Sesuatu Yang Tertinggal, tulisan Eanas Mokhtar, dan Wan Hazliza Wan Zainuddin yang menulis serta mengarahkan filem Penunggu Istana.

Kesemua judul berkenaan akan menemui penonton di pawagam pada tahun depan. Penunggu Istana yang bersifat seram dijangka ditayangkan sekitar April, manakala Sesuatu Yang Tertinggal (seram) dan Klip 3GP (thriller) secepat-cepatnya September.
"Penggiat filem ini kami temui daripada projek yang dimulakan sekitar September tahun lalu. Kita bermula dengan lima judul, dengan tiga daripadanya sudah pun dilaksanakan, manakala dua lagi akan hanya bermula pada Januari depan. Pada awal-awal dulu, kami menerima sekitar 20 judul, namun hanya lima yang dirasakan terbaik dan mampu menarik penonton ke panggung yang seterusnya diberikan peluang untuk diketengahkan ke layar.

"Kami juga membuka peluang kepada penggiat filem baru untuk menyertai sesi pitching bersama kami pada satu tarikh yang akan diumumkan nanti," kata Puad.
Katanya, setiap projek terbabit menggunakan peruntukan kira-kira RM500,000 dengan bayaran pelakon dan kru adalah berdasarkan bayaran projek telefilem.

"Primeworks tentunya mengambil risiko apabila memberikan peluang kepada bakat baru untuk menghasilkan filem. Begitupun, kami juga berhati-hati, dan atas alasan itu kami tidak terus membiarkan penggiat filem yang baru ini tampil bersama filem berbelanja besar seperti filem aksi ataupun judul yang memerlukan teknologi CGI," katanya.

Tegasnya lagi, berbekalkan kepakaran, kreativiti serta bakat yang mereka ada, filem ini diyakini dapat membuka selera baru kepada penggemar filem tempatan dengan kelainan yang mereka cuba ketengahkan.

"Walaupun nama mereka kelihatan masih segar namun hakikatnya kesemuanya sudah lama berkecimpung di dalam industri seni dengan menimba pengalaman yang berbeza, iaitu lebih kepada kerja ’di sebalik tabir’. Hari ini cita-cita dan semangat mereka untuk menjadi muka depan dalam penghasilan filem tercapai dengan pelancaran ketiga-tiga filem ini.

"Diharapkan usaha ini bakal menjadi landasan utama bagi mereka untuk terus mencipta nama sebagai seorang pengarah dan penulis yang berjaya pada masa hadapan dan menjadi sumber inspirasi kepada golongan muda yang lain untuk menceburi bidang perfileman ini," ujarnya.

Pada pertanyaan, apakah keutamaan lebih diberikan kepada filem bercorak seram, memandangkan dua daripada judul yang diperkenalkan hari itu termasuk dalam genre berkenaan, Puad menegaskan, konsep filem yang ingin dipersembahkan kepada mereka tidaklah terhad, asalkan ia cerita asal yang menarik daripada pengarah itu sendiri (ataupun daripada seorang penulis skrip), serta mampu direalisasikan dengan bajet setengah juta ringgit, maka pihaknya tentu memberikan perhatian kepada projek terbabit.

Ditanya apakah Primeworks ingin lebih berjimat cermat pada 2011 dengan memperkenalkan program itu, Puad berkata, projek filem biasa yang menggunakan peruntukan lebih tinggi, seperti usaha sama dengan syarikat lain, tetap diteruskan. Manakala Layar Baru lebih berupa tanggungjawab sosial mereka untuk melahirkan lebih ramai pengarah dan penulis dalam industri perfileman tanah air.