.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, August 04, 2010

0 Panduan penyediaan proposal daripada Encik Zaini Kosnin. Selamat maju jaya untuk beliau

Sumber:
http://zainikosnin.blogspot.com/2008/07/panduan-penyediaan-proposal-drama-tv.html

Khamis, Julai 03, 2008
Panduan Penyediaan Proposal Drama TV - Siri 1

Salam Bahagia Penuh Penghormatan...
Sejak saya memulakan topik Panduan Penulisan Skrip, saya selalu mendapat email dari ramai pembaca yang bertanya berkenaan dengan cara untuk mereka menghantar skrip dan cerita mereka ke Stesen TV. Mungkin masih ramai penulis baru yang tidak jelas dengan cara dan amalan yang selalu digunakan di negara kita.

Bagi drama TV perlu saya ingatkan di sini bahawa, tidak perlu kita membuat skrip penuh terlebih dahulu. Apa yang perlu kita sediakan ialah proposal bagi cerita yang kita nak buat itu. Proposal yang telah lengkap itu haruslah kita hantar kepada Produser di Syarikat Produksi pilihan kita supaya mereka boleh menghantar ke Stesen TV.

Sebenarnya tidak ada format khas bagi seorang penulis menyediakan proposal untuk syarikat produksi ini. Kita boleh buat mengikut kreativiti kita. Namun begitu, ada elemen-elemen penting yang perlu ada di dalam proposal tersebut yang kita tidak boleh tinggal dan mesti ada.
Kebanyakan format proposal yang perlu disediakan oleh penulis untuk produser sama saja bagi semua televisyen kecuali RTM. Ini kerana sejak RTM memperkenalkan sistem tender, cara penyediaan proposal yang perlu disediakan untuk RTM haruslah mengikut kehendak mereka. Biasanya RTM ada menyediakan format tersebut untuk rujukan penulis dan produser setiap kali tender dibuka. Oleh yang demikian sebaik-baiknya untuk RTM, penulis dan bakal penulis ikut format yang dikeluarkan pada waktu tender dibuka.

Apa yang ingin saya bincangkan di sini, saya ingin mengutarakan kaedah atau cara yang biasa digunakan oleh saya di dalam menyediakan proposal untuk drama TV bagi Stesen TV Rangkaian Media Prima dan Astro. Sekali lagi saya ingatkan bahawa setiap penulis itu ada cara mereka sendiri dan mungkin sedikit berbeza, cuma apa yang saya paparkan di sini ialah element yang perlu ada di dalam proposal tersebut.

Cara penyediaannya adalah seperti berikut.

1) Maklumat Produksi


Sila nyatakan sama ada Telemovie / Drama Berepisod?

Untuk : Nyatakan Stesen TV Mana? TV3? Astro Ria?
Slot Cadangan : Slot Apa? Cerekerama? Teleprima?
Tema : Nyatakan Tema. Contohnya Hari Raya, Hari Bapa?
Konsep : Kekeluargaan? Percintaan? Jenayah?
Sasaran : Umum

Tajuk : Apa Tajuknya?
Genre : Semi Heavy Drama? / Romantic Comedy?
Running Time : 90 Minit? 45 minit X 13 episod? 30 minit X 25 Episod
Oleh : Siapakah Anda?


2) Sinopsis / Storyline

Ini merupakan bahagian yang paling panjang yang anda akan tulis. Nyatakan dengan terperinci jalan cerita yang hendak kita buat. Tulis subjek kita dengan jelas dan terperinci untuk main plot dan sub plot.

Jika ia merupakan sebuah drama berepisod, sila nyatakan sekali sinopsis bagi setiap episod.


3) Watak dan Perwatakan

Senaraikan setiap watak di dalam cerita tersebut beserta perwatakannya sekali dan cadangan artis yang akan mendukung watak tersebut. Berilah dua atau tiga orang calon bagi setiap watak.

Asingkan antara Watak Utama dan Watak Pembantu supaya ia senang dilihat. Perwatakan bagi setiap watak haruslah ditulis dengan terperinci seperti usia, jantina, sifat, protagonis atau antagonis, hubungan dengan watak lain dan sebagainya.


4) Moral

Di ruangan ini, sila nyatakan moral dan pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton. Apakah mesej di sebalik cerita anda itu.


5) Cadangan Lokasi

Berikan cadangan lokasi yang anda fikirkan sesuai dan menarik.


6) Sasaran Penonton

Sila nyatakan siapakah sasaran penonton anda. Adakah remaja berusia 13 hingga 20 tahun? Atau dewasa 25 hingga 40 tahun dan sebagainya…

Propsal Tamat.

Di dalam menyediakan proposal ini, menjadi tanggungjawab kepada penulis untuk memastikan permintaan di dalam cerita tersebut tidak terlalu tinggi sehingga akan menelan perbelanjaan yang banyak. Ia perlu dielakkan dengan cara meminimumkan watak sama ada watak utama dan pembantu, pemilihan lokasi dan props yang tidak menelan perbelanjaan yang tinggi. Ini kerana pada kebiasaannya proposal yang akan menelan perbelanjaan yang banyak biasanya akan ‘dibakulsampahkan’ sebelum ia sempat sampai kepada stesen TV.
*Setelah proposal anda itu lengkap, maka mulalah berurusan dengan mana-mana produser yang anda rasakan boleh berurusan dengan anda. Berilah proposal tersebut kepada mereka untuk mereka nilai dan hantar ke stesen TV yang sepatutnya.

Sekian dulu untuk topik kali ini… Sila nantikan topik berikutnya… Jika ada sebarang kemusykilan silalah bertanya...

*Betul jika saya silap… Kita sama-sama belajar…

Salam Terhormat Penuh Kasih Sayang Sesama Insan…

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)
Dicatat oleh Zaini Kosnin di 02:51
Label: Panduan Penyediaan Proposal Drama TV

0 Perkongsian penulis skrip MADAI MENANTI berkenaan kenangannya semasa menyiapkan skrip

MADAI MENANTI - DRAMA 13 EPISOD (I JAM)

Thursday, June 11, 2009


1. Ikut jadual drama bersiri MADAI MENANTI dimana skripnya ditulis oleh saya akan selesai dalam minggu ini. Pengembaran telah bermula sejak 28 April 2009 lagi yang diketuai oleh pengarah Malek Rahman. Pengarah dan keseluruhan crewnya adalah dari Kuala Lumpur.

2. Drama yang keseluruhan pengambaran di buat di Lahad Datu dan Kunaq, Sabah ini telah diliham penerbitnya sendiri En Norsahar dari Immortalle Creative Sdn Bhd. Skrip sepatutnya di tulis oleh penulis lain yang berasal dari Sabah yang menetap di Kuala Lumpur. Tapi kerana penulis tersebut menarik diri pada saat-saat akhir, maka En Norsahar telah menawarkan pada saya untuk menjadi penggantinya.

3. Sepanjang 10 tahun penglibatan saya dalam dunia penulisan skrip, drama bersiri MADAI MENANTI inilah yang paling sulit untuk ditulis. Satu cabaran buat saya. juga.

4. Ini kerana, story-linenya berputar sekitar perbalahan dua keluarga suku kaum Idahan dan Bajau yang berebut hak ke atas sarang burung layang-layang bernilai tinggi yang terdapat di Gua Madai di Lahad Datu. Disamping itu di selitkan juga elemen cinta tiga segi antara masyarakat Bajau, Idahan, Suluh dan Melayu Brunei.

5. Saya terpaksa terbang ke Tawau dan kemudian menghabiskam masa saya selama empat hari dan empat malam bergaul dengan masyarakat idahan di sana untuk mengkaji cara berfikir mereka, menyelami emosi mereka, memahami budaya mereka dan juga memahami adat resam mereka. Saya juga berkesempatan menemui Ketua Adat Masyarakat Idahan, Ketua Kampung masyarakat idahan, pegawai-pegawai di pejabat tanah dan sempat juga berjumpa dengan wakil rakyat (ADUN) di Lahad Datu yang juga merupakan keturunan Idahan.

6. Paling sulit dan memeningkan kepala dalam menulis skrip MADAI MENANTI ialah apabila nama-nama masyarakat Idahan, Suluh, melayu Brunei dan Bajau amat pelik bunyi sebutannya. Saya menjadi keliru akhirnya bila membuat skrip. Nama-nama yang digunakan amat berbeza dengan nama-nama masyarakat melayu yang biasa kita dengar dan gunakan di semenanjung. Kerana itu saya terpaksa mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan skrip drama ini.

7. Cuma agak memeranjatkan saya ketika membuat kajian tentang masyarakat Idahan ini ialah apabila saya mendapat tahu mereka adalah suku kaum yang pertama menerima Islam di Sabah yakni pada sekitar tahun 1401. Fakta ini telah disahkan oleh sebuah kitab tulisan jawi berbahasa idahan yang kini tersimpan di muzium Sabah. Salinan kitab itu kini ada tersimpan juga di muzium Pusat Islam di Kuala Lumpur. Dalam ertikata lain mereka menerima islam lebih awal dari zaman kesultanan Melaka lagi.

8. Gua Idahan mempunyai khazanah alam yang agak unik dan bernilai tinggi anugerah Allah pada kaum idahan. Sarang burung layang-layang yang dimiliki oleh gua ini dianggap paling mahal harganya di Asia Tenggara. Sekilo sarang burung layang-layang berharga antara RM2000-RM2800. Namun sarang burung ini hanya boleh di kutip pada bulan April. Ogos dan November sahaja. Hasil gua ini dikawal dan dikutip hasil cukainya oleh Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah. Hanya suku kaum Idahan sahaja yang dibenarkan mengutip hasil sarang burung ini. Pada setiap musim mereka boleh mendapat hasil antara RM100,000.00 hingga RM200,000.00.

9. Hasil sarang burung layang-layang ini dijual pada peniaga cina yang kemudiannya akan memprosesnya untuk dijadikan ubat dan kemudian di eksport ke Taiwan, China dan Hong Kong.

10. MADAI MENANTI untuk tayangan RTM ini hanya melibatkan pelakun anak tempatan Sabah sahaja. Itu kehendak dan syarat RTM. Masalahnya, Sabah tidak mempunyai ramai pelakun. Penerbit tidak ada pilihan lain selain terpaksa mengambil risiko dengan mengambil banyak pelakun yang tidak pernah berlakun sebelum ini.

11. Elemen dakwah dan tarbiah banyak saya masukkan dalam drama ini. Moga Allah memudahkan penerbitan drama ini. Amin.

0 Yang penulis skrip (skrin) perlu ketahui tentang bayaran yang diterima oleh penerbit untuk satu-satu projek

Sumber:
http://zabidiskrip.blogspot.com/2009/06/bayaran-kepada-penulis-skrip.html


BAYARAN KEPADA PENULIS SKRIP

Saturday, June 13, 2009


1. Selalu orang bertanya pada saya berapa bayaran yang diterima oleh seorang penulis skrip jika karya mereka di beli oleh penerbit dan disiarkan di tv.

2. Agar sukar menjawabnya secara tepat kerana setiap station tv (RTM, ASTRO, MEDIA PRIMA) mempunyai skala bayaran yang berbeza pada para penerbit. Perbezaan ini juga memberi kesan kepada bayaran penerbit tv pada penulis skripnya. Ini kerana bayaran skrip dibayar oleh penerbit pada penulis skrip dan bukannya dari station tv terus kepada penulis skrip.

3. Sebagai contoh untuk drama episod setengah jam, ASTRO dan MEDIA PRIMA membayar hanya sekitar RM15,000 per episod. Ini berbeza dengan RTM yang membayar drama episod setengah jam antara RM22,000 ke RM25,000. Sebab itulah para penerbit tv lebih suka menerbitkan drama mereka di RTM kerana profit margine mereka lebih tinggi. Apatah lagi RTM is a very good pay master jika di bandingkan dengan station tv lain di Malaysia.

4. Untuk sebuah telemovie (90 minit) pula, RTM membayar antara RM100,000 ke RM112,000. Ini berbeza dengan Astro dan Media Prima yang membayar harga sebuah telemovie hanya antara RM80,000-RM85,000 sahaja. Kos untuk pembikinan sebuah telemovie yang baik, dengan pelakun kelas A, biasanya adalah dalam anggaran RM75,000 ke RM80,000. Jika pihak penerbit menjual drama mereka pada RTM tentulah profit margin mereka adalah antara RM30,000 hingga RM42,000. Ini cukup lumayan apatah lagi jika para penerbit di RTM dapat menjual antara 4-8 telemovie setahun kepada RTM. Ini belum lagi masuk drama episod (13 episod, 26 episod, 40 episod dan rancanagan berbentuk majalah yang selalunya dibuat dalam 13 epiosd semusim).

5. Saya pernah terjumpa dengan seorang producer semasa sessi pitching di RTM baru-baru ini yang mendakwa satu proposal telenya telah pun di terima oleh sebuah station tv di luar RTM. Tapi dia bawa proposal yang sama ke sessi pitching di RTM kerana katanya kalau proposalnya itu di terima RTM bayarannya lebih lumayan.

6. Namun sebagai panduan, lapuran akhbar METRO hari ini (13.Jun 2009) ada menyebut pihak SWAM (SCREENWRITERS ASSOCIATION OF MALAYSIA) telah mempunyai skala yang patut di bayar oleh para penerbit pada penulis skrip iaitu :

a. Untuk telemovie (90minit) bayaran adalah sebanyak RM5000/

b. Untuk program 1 jam bayaran adalah sebanyak RM2500/

c. Untuk program setengah jam bayaran adalah sebanyak RM1000/

d. Untuk program 15 minit bayaran adalah sebanyak RM500/

7. Saya menyokong penuh usaha SWAM menentukan skala bayaran untuk penulis skrip ini dan berharap sangat agar semua pihak dalam industri terutamanya para penerbit dapat mematuhi skala yang telah di tetapkan ini.

8. Para penerbit tidak akan rugi mengikut skala ini kerana bayaran yang di terima oleh mereka terutamanya dari RTM adalah cukup tinggi dan lumayan.

9. Namun saya percaya jika para penerbit boleh dikategorikan oleh RTM sebagai A atau B atau C mengikut saiz syarikat, kemampuan kewangan, track record terdahulu yang baik, award yang telah di menangi dan keupayaan menepati tx station tv, MAKA para penulis skrip juga perlu di kategorikan ikut kelas A, B dan C ikut kelayakan dan kemampuan masing-masing. Tak adil jika yang lama dan berpengalaman juga menerima skala yang sama dengan penulis skrip yang masih baru.

10. Hakikatnya tak semua para penerbit drama akan mengikuti skala SWAM itu. Apatah lagi tidak ada undang-undang atau rules and regulations yang boleh memaksa mereka mengikut skala itu. Semua mereka mempunyai alasan mereka masing-masing untuk tidak mematuhinya. Dan para penulis skrip juga tidak punya banyak pilihan.

11. Oleh itu eloklah SWAM, Persatuan Penerbit TV (PPTV) dan RTM bertemu dan berbincang untuk menyelaraskan perkara ini demi kebaikan masa depan industri. Karya yang baik selalunya datang dari skrip yang baik. Skrip yang baik juga datang dari penulis skrip yang terbela kehidupan keluarga mereka.

12. Saya hanya menyebut RTM di sini kerana saya percaya RTM punyai mechanisme dan kewangan yang lebih baik untuk membela nasib para penulis skrip di Malaysia.

13. Dalam dunia realitinya para penulis skrip dibayar jauh lebih murah dari skala yang di cadangkan oleh SWAM. Apa pun terima kasih pada SWAM kerana telah berusaha menyediakan skala ini sebagai garis panduan kepada semua penulis skrip dan para penerbit. Sekurang-kurangnya para penulis skrip sudah ada panduan atau benchmark untuk meletakkan harga karya dan skrip mereka pada para penerbit.

14. Para penerbit hakikatnya tak rugi. Apatah lagi jika mereka berjaya mendapat skrip yang baik dari penukis skrip yang kreatif, berpengalaman dan pandai menjaga costing dalam membuat skrip.

Posted by zabidi mohamed at 1:51 AM
Labels: bayaran penulis skrip

0 Apabila penerbit Sabah menerbit filem (BELUKAR), motivasi untuk karyawan filem sabah. Saya ingin mengenali mereka

Belukar Dianggap Sebuah Filem Berani



KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2010 : Sukar untuk menjangkakan sambutan penonton terhadap filem Belukar yang akan memulakan tayangannya di seluruh negara pada 6 Mei ini. Apatah lagi syarikat penerbitnya, Preston Zaidan Productions Sdn Bhd yang masih baru dalam bidang perfileman dianggap berani apabila cuba lari daripada kebiasaan yang disajikan dalam kebanyakan produksi tempatan.

Selain mempertaruhkan sentuhan pengarah muda, Jason Chong, Belukar turut menjadi filem pertama lakonan Daphne Iking dan Bront Palarae sebagai pelakon utama.

Jason ketika ditemui berkata, olahan plot dan babak yang dibentangkan dalam kebanyakan filem mudah diramal penonton. Namun, dalam Belukar pihaknya cuba mencari kelainan dengan cara yang bukan dalam bentuk liner.

"Cara penyampainnya sangat berbeza, penonton harus menonton hingga ke penghujung cerita sekiranya mahu memahami keseluruhan jalan ceritanya. Kisahnya didedahkan mengikut strategi yang rancang rapi. Dalam filem ini juga, penonton sukar untuk meramalkan apakah kesudahannya dan sudah tentu mengajakkan penonton untuk berfikir."Pada awalnya kami hanya ingin membuat telemovie, tetapi selepas banyak berbincang akhirnya kami mengubah struktur produksi dan mengangkatnya sebagai sebuah filem Indie.

"Pemilihan lokasi yang mempesonakan di sekitar Sabah juga membuatkan filem ini lebih menarik. Sebelum ini juga, saya banyak melihat filem kita banyak dibuat di sekitar semenanjung. Disebabkan syarikat penerbit juga terletak di Sabah, jadi saya fikirkan di sinilah lokasi yang paling sesuai.

"Setiap pelakon juga telah memberi hasil yang memberangsangkan. Saya tidak kisah para pelakonnya kebanyakan masih baru, apa yang penting adalah kesesuaian watak yang dibawakan. Contohnya, Daphne yang memegang watak utama. Selepas kali pertama membaca skrip, saya sudah dapat mambayangkan bahawa Daphne adalah pelakon paling sesuai untuk membawakan watak Eva.

"Bagaimanapun, pihak kami mengalu-alukan kritikan dan idea-idea yang bernas daripada semua pihak, apatah lagi ini adalah hasil sulung daripada saya mahupun penerbit ," katanya ketika bercakap selepas majlis pratonton di GSC, One Utama.

Selain Daphne Iking dan Bront Palarae, Belukar turut dibintangi pelakon Chew Kin Wah, Danny X Factor, A, Tamimi Siregar, Azhar Sulaiman, Sabrina Hassan, Eyzendy Aziz dan Ray Redzuan Awang.

Belukar juga turut menampilkan koloberasi dengan kumpulan Indie tempatan seperti Azlan & the Typewriter, Love as Arson, Mr Irwin, Coco D Monday, Magik dan Wintherspoon menerusi muzik latar.

Sinopsis

Belukar mengisahkan wanita Sabah (Eva) yang merupakan seorang penipu insuran profesional yang berjaya menuntut wang berjumlah RM100 Juta. Ia memaksa Eva (Daphne) melalui proses siasatan oleh pelbagai pihak, bagaimanapun tiada seorangpun yang mampu membuktikan Eva bersalah. Salah seorang pegawai penyiasat adalah Nick (Bront). Dalam proses penyiasatan itu, Nick telah jatuh cinta terhadap Eva tanpa Eva mengetahui indentiti sebenar Nick. Adakah Nick dan Eva bergelut dengan cinta, sandiwara atau keikhlasan semata-mata? Nantikan Belukar di pawagam 6 Mei ini.

0 1Malaysia diandaikan sebagai slogan politik PM oleh sesetengah rakyat atas pagar mengundi

Gagasan 1Malaysia diperjelaskan

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
pengarang@utusan.com.my



PUTRAJAYA 3 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan terus menjelaskan kepada rakyat mengenai gagasan 1Malaysia bagi memastikan matlamatnya benar-benar difahami.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana gagasan itu satu perkara yang dinamik iaitu tidak statik sekali gus boleh mendorong mana-mana pihak mentafsirkan maksudnya mengikut kehendak masing-masing.

Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan perlu menjalankan program penerangan secara holistik kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan.

"Terima kasih kepada Tun Mahathir yang kita hormati, pandangan beliau memang saya setujui. Kita tidak kata, dalam tempoh setahun lepas semua orang akan faham gagasan 1Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri itu.

"Tetapi pasti sudah ramai mula faham dan saya percaya ada juga masih yang belum dapat memahaminya secara mendalam kerana ada kecenderungan tafsiran itu dibuat mengikut pandangan kelompok tertentu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia kali pertama di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berpendapat, langkah penerangan gagasan 1Malaysia itu amat penting bagi memastikan konsep tersebut tidak disalah tafsir dan digunakan untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menimbulkan suasana tidak harmoni di dalam negara.

Muhyiddin berkata, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak itu berteraskan kepada Perlembagaan negara.

"Apa pun tafsirannya, ia tidak harus lari daripada apa terkandung dan semangat dalam Perlembagaan negara baik dalam soal hak kaum, bukan bumiputera, bahasa, budaya, kedudukan raja atau agama," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, adalah wajar program penjelasan mengenai gagasan 1Malaysia dibuat dan terus dilakukan oleh kerajaan supaya rakyat lebih faham akan maksud sebenar konsep itu.

"Kita jangka mungkin dalam satu tempoh akan datang semua orang dapat memahami maksud sebenarnya, tiada salah tafsiran mengenai gagasan 1Malaysia," katanya.

0 Bekas ADUN Selangor dan seorang janda dengan tiga butir peluru di kepala

Maut dengan kesan tembakan

Oleh ANGELINA SINYANG
jenayah@utusan.com.my



Jenazah mangsa kes tembak di susur keluar Sungai Buloh dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat, semalam.




KUALA LUMPUR 3 Ogos - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Permatang, Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh, 64, dan bekas pembantu peribadinya, Siti Rohana Ismat, 43, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala masing-masing dalam sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 455.7, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Abdul Aziz adalah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Tanjung Karang manakala Siti Rohana merupakan Naib Ketua Wanita UMNO bahagian itu.

Kedua-dua mayat mangsa ditemui di dalam kereta jenis Toyota Caldina yang terbabas di pembahagi lebuh raya berkenaan pada pukul 11 pagi.

Ketika kejadian, kedua-dua mereka dipercayai dalam perjalanan dari pejabat Abdul Aziz di Petaling Jaya menuju ke Tanjung Karang untuk menghadiri mesyuarat.

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38, dua butir peluru belum digunakan dan tiga kelongsong peluru dalam kereta berkenaan.

Senjata yang ditemui itu disahkan milik Abdul Aziz manakala kereta Toyota Caldina tersebut pula kepunyaan Siti Rohana namun dipandu oleh Abdul Aziz semasa kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal polis pada mayat kedua-dua mangsa mendapati terdapat kesan tembakan di kepala mereka.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati tembakan tersebut dilepaskan dari bahagian dalam kenderaan dinaiki mangsa.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia adalah satu kes bunuh dan bunuh diri.

"Laporan bedah siasat awal mendapati terdapat satu kesan peluru di kepala Abdul Aziz manakala dua kesan peluru dikesan di kepala Siti Rohana," katanya dipetik dalam laman sosial Facebook di sini hari ini.

Khalid turut meminta orang ramai tidak membuat spekulasi mengenai kes terbabit memandangkan beberapa saksi di tempat kejadian mengesahkan tidak melihat individu lain dalam kereta berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sungai Buloh memberitahu, beberapa saksi di tempat kejadian memberitahu melihat kereta dinaiki Abdul Aziz dan Siti Rohana terbabas dari kanan ke kiri sebelum melanggar besi pembahagi di tengah lebuh raya.

Dalam pada itu, bilik mayat Hospital Sungai Buloh di sini menjadi tumpuan anggota keluarga Abdul Aziz, ahli-ahli UMNO serta rakan-rakan Allahyarham yang masing-masing terkejut menerima berita kematian bekas wakil rakyat tersebut.

Antara yang hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mayat kedua-dua mangsa yang selesai dibedah siasat sudah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk dikebumikan petang ini.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Shah Alam manakala Siti Rohana di Batu 6 1/2, Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri, Datin Siti Fatimah Md. Noor, 62, dan tiga anak iaitu pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Norazila, 40; pensyarah Universiti Selangor (Unisel), Norazian, 37; Mohd. Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda UMNO serta empat orang cucu berusia antara 5 hingga 10 tahun.

Abdul Aziz berkhidmat sebagai ADUN Permatang selama sepenggal mulai 2004 sehingga 2008 setelah menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Samry Masri dengan majoriti 4,285 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, beliau memberikan laluan kepada Sulaiman Abd. Razak daripada UMNO.

Sebelum dilantik sebagai ADUN Permatang, Abdul Aziz pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri Abu Hassan Omar semasa beliau menjadi Menteri Besar Selangor serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.


Artikel berkaitan:

Kematian misteri
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/08/04


ABDUL AZIZ dan Siti Rohana ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala dalam kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan, semalam.Bekas ADUN, pembantu ditemui mati dengan tembakan di kepala di lebuh raya

SUNGAI BULOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Kuala Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat, ditemui mati dalam keadaan misteri dengan kesan tembakan di kepala, semalam. Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Abdul Aziz, 64, dijumpai terkulai di tempat duduk pemandu kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya. Dua tembakan dikesan di sebelah kanan kepala Siti Rohana, manakala satu tembakan pula di kanan kepala Abdul Aziz.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis masih menyiasat motif kejadian itu, tetapi tidak menolak kemungkinan seorang daripada mereka menembak pasangannya sebelum menembak diri sendiri.

Beliau berkata, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 dengan masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina yang dipandu bekas ADUN itu.

“Mengikut beberapa saksi, kenderaan itu yang dalam perjalanan menghala ke Utara, hanya dinaiki kedua-dua mangsa dan terbabas ke lorong kanan sebelum merempuh penghadang lebuh raya di sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi.
Khalid berkata, pemeriksaan mendapati tembakan itu dilepaskan dari dalam kereta kerana tiada kesan kenderaan itu ditembak dari luar, sebaliknya hanya remuk di bahagian depan akibat merempuh penghadang lebuh raya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.

Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam manakala jenazah Siti Rohana di Tanah Perkuburan Batu 7 1/2 Sungai Gulang-Gulang Tanjung Karang.

Abdul Aziz meninggalkan isteri, Siti Fatimah Mohd Noor, 62, serta dua anak perempuan, Norazilah, 40, dan Norazian, 37, kedua-duanya pensyarah universiti, serta seorang anak lelaki, Mohd Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia.

Abdul Aziz yang juga Bendahari Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Selangor, menjadi wakil rakyat dari 2004 hingga 2008 dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar pada 1997.
Siti Rohana pula adalah bekas pembantu peribadi Abdul Aziz dan sudah bercerai dengan suaminya, Abdul Aziz Hamim, 43, empat tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan tiga anak - Izati Natasha, 20, Iliani Nazira, 14 dan Mohd Izat Emir, 9, yang tinggal bersama Siti Rohana di Tanjung Karang.

Bekas suami Siti Rohana ketika ditemui di HSB, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu sejauh mana hubungan bekas isterinya dengan Datuk Abdul Aziz kerana sudah lama tidak berhubung.

Sementara itu, Mohd Anis berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan ayahnya, kira-kira jam 9 pagi di kediamannya di Shah Alam.

“Bapa memandu sendiri kenderaannya ke pejabat di Petaling dan mungkin meletakkan kenderaannya di pejabat sebelum menumpang Siti Rohana untuk menghadiri program di Tanjung Karang.

“Bapa tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma bapa menjadi rapat dengan saya sejak beberapa hari lalu. Bapa seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh,” katanya.