.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, May 24, 2012

0 Cabaran editor memilih karya di DBP

Dialog Orang Muda 'panas' Oleh Latifah Arifin latifah@bharian.com.my 2012/05/24 Dari kiri; Padilah, Lutfi Ishak dan Salbiah pada Dialog Orang Muda di Rumah PENA. Editor 'ditembak' dengan soalan pilih kasih dalam pemilihan karya MESKIPUN kehadiran pada Dialog Orang Muda: Media Massa dan Sastera kecil, ekoran perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah Celsea-Bayern Munich dan Piala FA Kelantan-Sime Darby malam sebelum program, tetapi sesi hampir dua jam tetap 'panas'. ‘Panas’ kerana panel majlis anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) diasak soalan dengan maksud tersirat dan meskipun dijawab panel, tetapi dapat disimpulkan beberapa penulis yang melontarkan soalan ‘sensitif’ tidak berpuas hati dengan jawapan panel. Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu. - Padilah Ali, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Ali, menjadi ‘sasaran’ penulis muda dan mapan melepaskan rasa tidak puas hati mereka berhubung pemilihan cerpen mutakhir ini dalam majalah sastera berprestij, Dewan Sastera. Dewan Sastera menjadi dambaan hampir semua penulis kreatif negara ini, baik muda apalagi veteran untuk melihat karya mereka mendapat tempat kerana dianggap sebagai kayu aras bagi mengukur ‘kehebatan’ seseorang pengarang kreatif negara ini. Penulis mapan, Zainal Rashid Ahmad meluahkan rasa tidak puas berhubung pemilihan cerpen dalam Dewan Sastera sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana tidak melahirkan penulis besar seperti yang pernah terjadi sebelum ini. “Saya tidak melihat citra Dewan Sastera seperti yang pernah dinikmatinya dulu. Saya dapati karya penulis indie yang banyak aliran pemikiran baru begitu sukar menembusi Dewan Sastera sedangkan sesetengah daripada karya ini hebat dan wajar diketengahkan. “Saya mengambil inisiatif mengumpul karya penulis indie untuk dibukukan dan dikongsi dengan rakan seperjuangan dari Indonesia untuk diketengahkan kepada pembaca sastera kerana berasa amat rugi jika dibiarkan begitu saja,” katanya juga Pengurus Besar, Bahagian Majalah dan Dokumentasi TV Al-Hijrah. Zainal Rashid turut meluahkan rasa tidak puas hati berhubung program anjuran DBP, Minggu Penulis Remaja (MPR) yang sebelum ini melahirkan ramai penulis berbakat besar, tetapi kini tidak lagi melahirkan penulis pelapis yang mampu menghasilkan karya hebat. Dialog bertambah panas panas apabila penulis muda yang juga produk MPR, Aidil Khalid, turut mempersoalkan kewibawaan Dewan Sastera sebagai majalah yang menerbitkan karya berprestij di negara ini, tidak lagi berada di landasan terbabit. “Saya berasa cukup terganggu apabila cerpen yang dihantar seorang penulis tidak mendapat tempat dalam Dewan Sastera, tetapi dipilih sebuah akhbar perdana negara ini dan memenangi hadiah sastera syarikat terbabit,” ujarnya. Padilah ketika menjawab persoalan itu menjelaskan, pemilihan karya bukan saja bergantung kepada tema, pendekatan, penstrukturan dan penceritaan, tetapi panel editor turut terikat kepada dasar penerbitan yang menyekat penyiaran karya yang menyentuh sensitiviti kelompok dan hal tertentu. “Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu. “Tidak semestinya penulis yang karya mereka tidak disiarkan dalam Dewan Sastera tidak bermutu. Tidak bermakna bila karya mereka pernah disiarkan dalam Dewan Sastera, karya mereka tidak boleh disiarkan dalam Tunas Cipta. “Kami di Dewan Sastera dan Tunas Cipta mempunyai garis panduan pemilihan karya yang sesuai untuk kedua-dua majalah berkenaan. Pemilihan karya diputuskan secara bersama oleh sidang editor dan saya terbabit sama. “Saya tidak menafikan ada karya yang cepat disiarkan kerana mutunya menyerlah berbanding sesetengah karya yang terpaksa menanti giliran, tetapi ini tidak bermakna karya yang disiarkan baik semua sepanjang bulan. “Penulis muda dan baru saya galakkan agar cuba menembusi Tunas Cipta terlebih dulu kerana persaingan pemilihan tidaklah terlalu sengit berbanding Dewan Sastera. Saya suka memberi nasihat kepada penulis jika karya pertama bermutu, tidak bermakna karya seterusnya juga demikian,” katanya berterus-terang. Bagi Padilah, beliau berkata demikian bukan kerana enggan menerima kritikan, tetapi bagi membolehkan semua penulis faham situasi editor yang ada kalanya tersepit dalam situasi penulis muda dan mapan serta akan berusaha membaiki kelemahan demi kebaikan semua pihak. akui, kadang kala editor tersepit sebegini dan mengharapkan penulis muda bersabar kerana masih ramai penulis mapan yang masih menunggu giliran karya mereka disiarkan. Padilah turut mencadangkan penulis kreatif agar bersikap lebih terbuka kerana DBP bukan saja menyedia Dewan Sastera dan Tunas Cipta, sebagai gelanggang berkarya kerana sebenarnya mereka turut boleh mengirimkannya ke Dewan Budaya. Menjawab persoalan editor ‘pilih bulu’, Editor Sastera, Berita Harian (BH), Salbiah Ani, menegaskan ruangan Sastera BH sentiasa mengamalkan sifat terbuka dan memberi peluang kepada semua penulis baik mapan mahupun muda kerana yang diutamakan ialah mutu karya. “Sebagai orang surat khabar yang menjadi keutamaan adalah isu semasa, perkara berkaitan bahasa dan bangsa Melayu, tetapi ini tidak bermakna karya bentuk lain tidak dipertimbangkan. Jika menulis mengenai isu pula janganlah mengulangi apa yang sudah disiarkan dalam berita dan rencana,” katanya. Beliau turut mengingatkan khalayak Dialog Orang Muda bahawa akhbar dan majalah mengamalkan pendekatan sedikit berbeza kerana batasan halaman memaksanya membahagikan peluang kepada karya yang lebih dekat dengan pembaca yang bukan saja orang sastera, tetapi juga biasa. “Sebagai editor sastera di akhbar saya juga turut dipersoalkan pengurusan kanan berhubung berapa banyak naskhah, pembaca dan nilai iklan yang berjaya dijana daripada halaman Sastera kerana syarikat bergerak atas dasar keuntungan. “Saya tidak akan membuka sebarang pintu polemik kerana pengalaman lalu, Berita Harian terpaksa mengorbankan RM80,000 untuk membayar seorang sasterawan hanya kerana serangan peribadi seorang pengkritik terhadapnya disiarkan dalam Berita Harian. “Segala aspek yang saya terangkan ini menjadi sebahagian daripada ciri dalam penilaian Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk diri saya selaku editor dan juga semua wartawan di bawah jagaan saya,” katanya. Beliau menutup Dialog Orang Muda dengan peringatan agar tidak menjadikan kemenangan karya dalam sesebuah hadiah sastera sebagai pengukur kerana mutu kerana pemilihan pemenang banyak dipengaruhi panel yang mengadilinya.

0 Ilmuan Islam menulis tentang politik luhur

Politik luhur landasan baru capai negara makmur Oleh Muhamad Razak Idris 2012/05/24 Idea ilmuwan Muslim mantapkan peradaban manusia patut jadi rujukan pemimpin TRADISI kesarjanaan Islam kaya dengan pelbagai perbahasan mengenai kehidupan ini. Persoalan politik antara aspek yang menjadi keprihatinan utama falsafah Muslim dalam perbahasan keilmuan mereka. Ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Falsafah Politik Islam dan Kepentingannya di Malaysia’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, Profesor Dr Idris Zakaria merakamkan sejumlah pandangan daripada tokoh ilmuwan Islam berkenaan falsafah politik Islam. Masyarakat tidak mungkin akan mencapai kebahagiaan bernegara jika landasan kehidupan politiknya lemah dan goyah. Oleh itu, membina landasan politik luhur dan kukuh adalah asasi serta dilihat sebahagian daripada kewajipan beragama. Ini berasaskan kefahaman bahawa misi penurunan agama ialah mengatur perjalanan kehidupan manusia secara adil, saksama dan aturan keagamaan juga termasuk dalam urusan kehidupan berpolitik. Tokoh paling menonjol membicarakan persoalan ini, antaranya ialah Abu Nasr al-Farabi (870-950), Ali al-Hussin Ibn Sina (980-1037), Abu Hamid al-Ghazali (1058-1111) dan Ibn Khaldun (1332-1406). Sumbangan mereka dalam bidang pembangunan ilmu politik Islam tergambar menerusi pelbagai karya yang sehingga kini masih ditelaah. Al-Farabi sebagai contoh menulis beberapa karya utama mengenai politik, antaranya kitab al-Madinah al-Fadhilah dan al-Siayasah al-Madaniyyah. Ibn Sina merakam persoalan ini dalam karyanya, al-Syifa’, manakala Abu Hamid Al-Ghazali membicarakan persoalan politik dalam karyanya al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk. Mengenai Ibn Khaldun, karya beliau al-Muqaddimah adalah teks penting yang merakamkan pelbagai teori pembangunan peradaban dan prinsip keluhuran politik. Penulis timbulkan beberapa tokoh dan karya terpilih ini bagi menunjukkan wacana kesarjanaan Islam tidak gersang daripada perbahasan mengenai idea serta pemi-kiran berhubung persoalan politik dan kenegaraan. Ia juga menggambarkan betapa ciri dan sifat sarjana Muslim bukan berwatak ‘eksklusif’ atau terpencil daripada arus perkembangan kehidupan politik serta isu kenegaraan di persekitarannya. Ternyata ahli falsafah Muslim peka dan arif realiti politik semasa serta menyumbang secara bermakna menerusi karya dan tulisan membimbing pemerintah serta rakyat ke arah mencapai buah kehidupan bernegara yang sempurna. Wacana politik Islam seperti tergambar dalam tulisan dan pemikiran ahli falsafah Muslim unik serta menarik. Politik Islam pada pandangan mereka adalah luhur dan landasan mencapai cita-cita tertinggi iaitu negara bahagia. Dengan kata lain, masyarakat tidak mungkin akan mencapai kebahagiaan bernegara jika landasan kehidupan politiknya lemah dan goyah. Oleh itu, membina landasan politik luhur dan kukuh adalah asasi serta dilihat sebahagian daripada kewajipan beragama. Ini berasaskan kefahaman bahawa misi penurunan agama ialah mengatur perjalanan kehidupan manusia secara adil, saksama dan aturan keagamaan juga termasuk dalam urusan kehidupan berpolitik. Berasaskan kesedaran bahawa pengukuhan landasan politik sebagai saluran bagi penterjemahan misi keagamaan, ahli falsafah Muslim membangunkan pelbagai teori, wawasan dan perancangan mengenai ilmu politik yang luhur. Al-Farabi sebagai contoh banyak menumpu wacananya mengenai kefahaman falsafah politik yang mana menurut beliau bagi mencapai as-saadah atau kebahagiaan. Dalam kata-katanya, Al-Farabi menjelaskan: “Kebahagiaan adalah suatu yang terbaik yang dituntut setiap manusia. Tidak ada perkara selainnya lagi untuk dicapai oleh manusia sepanjang masa dan terlebih besar daripada kebahagiaan itu sendiri.” Dalam kata lain, objektif terpenting politik ialah membina negara idaman dengan setiap warganya memperoleh kebahagiaan secara saksama. Cita-cita membina negara bahagia sebagai asas dalam politik Islam membawa kepada persoalan lanjut mengenai apakah bentuk caranya yang akan membawa masyarakat mencapai ideal berkenaan? Tentu banyak caranya. Dalam konteks ini, al-Farabi banyak menumpu kepada kepentingan struktur kepemimpinan yang kukuh dan berwibawa sebagai antara cara terpenting bagi membina sistem politik luhur. Struktur kepemimpinan ini merujuk secara khusus antaranya keperluan untuk masyarakat memiliki dan memilih ketua negara yang berkelayakan serta berkemampuan untuk mentadbir sistem politik. Untuk itu, ketua negara dalam sistem politik Islam adalah asasi. Menurut al-Farabi, ketua negara mesti memiliki kualiti diri yang tinggi lagi unggul kerana dia ibarat hati atau al-Qalb dalam tubuh manusia. Ketua negara berkualiti tinggi dari segenap aspek menjamin sistem politik luhur dapat ditadbir secara sempurna sebagai landasan menuju negara bahagia. Banyak ciri ketua negara disenaraikan al-Farabi antaranya, kesempurnaan tubuh badan dan bertenaga menjalankan tugas, mempunyai kefahaman serta daya ingatan tinggi, bijaksana, mampu menjelaskan secara baik dalam pelbagai persoalan kenegaraan, mencintai ilmu, tidak suka berfoya-foya, menjaga pemakanan, cinta kebenaran, membenci pembohongan, berjiwa besar, berhemah tinggi serta tegas menegakkan keadilan. Semangat sama mengenai kepentingan kualiti ketua negara dalam wacana politik Islam turut dikongsi Abu Hamid Al-Ghazali. Beliau dalam tulisannya menasihatkan ketua negara Islam peka terhadap permasalahan rakyat, segera menunaikan hajat rakyat apabila mendapat aduan serta tidak bermewah dalam berpakaian dan pemakanan. Ketua atau pemimpin negara harus tidak melaksanakan dasar yang boleh membawa perbuatan zalim atau menyebabkan rakyat menderita, kesusahan dan kemelaratan. Selaku pemerintah, ketua negara perlu menjadi teladan dan sumber bagi penyebaran nilai kebaikan dan kebahagiaan untuk seluruh kehidupan warga dan persekitarannya. Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM