.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 30, 2011

0 Kekalahan terbesar Arsenal dalam tempoh 115 tahun

Wenger tak undur



GAYA Arsene Wenger mengarahkan pemain ketika menentang Manchester United di Old Trafford kelmarin. - REUTERS



MANCHESTER - Arsene Wenger tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai bos Arsenal walaupun mengakui amat malu apabila pasukannya diratah 2-8 oleh Manchester United kelmarin.

Wayne Rooney dengan ledakan hatriknya memimpin pasukan muda United melakar kemenangan sensasi ke atas Gunners di laman sendiri, kelmarin.

Ia merupakan kekalahan terburuk Arsenal dalam sejarah sejak 1896.

Malah, beberapa pemimpin tertinggi Arsenal dilihat meninggalkan tempat duduk orang kenamaan di Old Trafford 10 minit perlawanan berakhir, menunjukkan mereka tidak sanggup lagi menyaksikan aksi memalukan pasukan mereka.

Ditanya sama ada dia menimbangkan kemungkinan meletak jawatan, Wenger berkata: "Tidak. Tidak sama sekali. Kekalahan besar ini pastinya menyakitkan. Ia cukup memalukan.

"Namun kami baru sahaja bermain tiga perlawanan dan secara adilnya, anda harus memberikan saya lebih masa sebelum boleh mengatakan saya gagal sepenuhnya.

"Kami bekerja keras untuk mencari pemain-pemain tetapi agak ketinggalan dari aspek tawaran gaji.

"Saya tahu di England apabila anda tewas, membawa masuk pemain baru selalunya menjadi jalan penyelesaian."

Kekalahan mengejutkan kelmarin menunjukkan betapa longlainya skuad Arsenal yang ditimpa pelbagai masalah kecederaan, penggantungan dan penghijrahan pemain sejak awal musim.

Namun, Wenger kini semakin terdesak memandangkan masa kian suntuk apabila tempoh perpindahan pemain musim panas bakal melabuhkan tirainya esok.

Ketibaan pemain terbaru iaitu penyerang Korea Selatan, Park Chu-Young, nyata tidak memadai buat Gunners. - Agensi


Artikel berkaitan:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_08.htm

Wenger enggan letak jawatan

MANCHESTER – Arsene Wenger enggan meletak jawatan sebagai pengurus Arsenal biarpun berasa cukup malu apabila The Gunners dibelasah 2-8 oleh Manchester United di Old Trafford malam kelmarin.

Wayne Rooney mengetuai amukan United itu apabila meledak hatrik untuk ‘menghadiahkan’ Arsenal kekalahan terburuk dalam sejarah kelab itu sejak tahun 1896.

Lima lagi gol United disumbangkan oleh Ashley Young (dua gol), manakala Danny Welbeck, Nani dan Park Ji-sung masing-masing meledak satu gol.

Dua gol saguhati Arsenal diperoleh menerusi Theo Walcott dan Robin Van Persie.

Wenger dilihat melangkah keluar daripada bangku simpanan sebelum wisel penamat ditiup.

Ditanya adakah dia akan meletak jawatan, Wenger bingkas berkata: “Sudah tentu tidak. Memang kekalahan ini satu yang menyakitkan dan memalukan.

“Tapi kami baru bermain tiga perlawanan dan kami sepatutnya diberi lebih masa jika mahu benar-benar mengatakan saya sudah tersilap langkah.

“Kami telah berusaha keras untuk mencari pemain baharu tetapi kami tetap menjadi pilihan kedua apabila terdapat kelab lain yang membuat tawaran terutama dari segi gaji.

“Saya sedar di England apabila kita tewas, menandatangani pemain baharu sentiasa menjadi jalan penyelesaiannya.”

Sebaliknya, pengurus United, Alex Ferguson tetap berasa bangga biarpun menganggap anak-anak buahnya mampu untuk menjaringkan lebih daripada lapan gol.

“Kamu pasti tidak mahu menjaringkan lebih banyak gol apabila beraksi menentang pasukan yang tempang seperti ini.

“Sudah tentu saya berasa simpati terhadap Wenger. Lihatlah betapa lemahnya mereka, tetapi kami tetap perlu mencari gol untuk mengutip mata penuh,” kata Ferguson. – Agensi


Artikel berkaitan:

Rooney rasa bangga

MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Wayne Rooney mengakui, dia sentiasa berasa gembira setiap kali dapat menjaringkan gol ketika menentang musuh ketat, Arsenal.

Malah Rooney turut menyimpan hasrat untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman United setelah meledak hatrik ketika membantu The Red Devils membelasah Arsenal 8-2 pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam kelmarin.

Tambahan tiga gol itu meletakkan Rooney kini di tangga kesembilan senarai penjaring terbanyak United dengan jumlah 152 gol setakat ini.

“Saya sentiasa sedar tentang statistik ini setiap kali sebelum perlawanan dan bagi saya banyak peristiwa penting akan berlaku setiap kali kami bertemu Arsenal.

“Gol pertama saya bersama Everton hadir ketika bertemu Arsenal dan gol pertama saya bersama United dalam Liga Perdana England juga ketika bertemu Arsenal.

“Kini gol ke-150 saya buat United hadir juga ketika bertemu Arsenal,” kata Rooney.

Rooney, 25, masih berpeluang cerah untuk memintas penjaring terbanyak United sepanjang zaman iaitu Bobby Charlton dengan 249 gol.

“Saya bertanya berapa banyak lagi gol untuk saya menyamai pencapaian Charlton dan Ryan Giggs beritahu yang saya perlu jaringkan 100 gol lagi. Jadi ia merupakan sasaran saya kini,” tegas Rooney.

Penyerang England itu turut menganggap dirinya kurang bernasib baik apabila hanya dapat menjaringkan satu gol ketika United menewaskan Tottenham 3-0 minggu lalu.

“Prestasi kami pada perlawanan ini cukup luar biasa dan kami memang layak untuk mencapai kejayaan ini. Tak kisahlah sama ada Arsenal tampil dengan barisan terkuat atau tidak, kami tetap mahu menjaringkan gol,” jelas Rooney. – Agensi