.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, October 26, 2011

0 Gaji Profesor di Indonesia sama dengan jawatan PPT di Malaysia

Gaji profesor di Indonesia lebih rendah dari guru

daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

JAKARTA 25 Okt. - Percaya atau tidak, gaji serta elaun yang diterima oleh seorang profesor penyelidikan di Indonesia setiap bulan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh seorang guru sekolah rendah di Jakarta.

Gaji pokok seorang profesor penyelidikan kategori IV (E) di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) misalnya hanyalah sebanyak Rupiah 3.6 juta (RM1,288) dan elaun-elaun sampingan sebanyak Rupiah 1.6 juta (RM565) sebulan.

"Jumlah gaji yang saya terima sebulan ialah sebanyak Rupiah 5.2 juta (RM1,837) sebulan," kata Profesor Dr. Ir Jan Sophaeluwakan, seorang pakar geologi mendedahkan gaji yang diterimanya biarpun sudah 30 tahun berkhidmat di LIPI, lapor akhbar Kompas hari ini.

Bagaimanapun, pendapatan yang diterima seorang profesor penyelidikan yang menduduki jabatan struktur adalah sedikit tinggi kerana mereka menerima elaun jabatan sebanyak Rupiah 3.2 juta (RM1,132) setiap bulan.

"Gaji pokoknya masih sama iaitu Rupiah 3.6 juta setiap bulan dan tidak akan naik lagi kerana tangga gaji tersebut sudah sampai ke kedudukan pangkat tertinggi IV (E)," ujar Prof. Dr. Ir Bambang Subiyanto, pakar biomateria yang juga Ketua Pusat Inovasi LIPI.

Biarpun menerima elaun sampingan, namun gaji profesor penyelidikan yang juga pemegang ijazah sarjana dan doktor falsafah dari luar negara masih belum boleh menandingi pendapatan guru di sekolah rendah.

Gaji seorang guru sekolah rendah di daerah Serang, Wilayah Banten misalnya, boleh membawa pulang gaji sebesar Rupiah 6.5 juta (RM2,300).

Pendapatan sebanyak itu merupakan jumlah gaji pokok sebanyak Rupiah 2.3 juta (RM813) serta elaun sampingan sebanyak Rupiah 3.87 juta (RM1,370).

"Tidak ketinggalan pemerintah daerah Serang juga memberikan elaun sebanyak Rupiah 440,000 setiap bulan kepada kami," kata Turman, guru sekolah rendah di Serang yang sudah 29 tahun bergelar pendidik.

Pendapatan seorang guru sekolah rendah di Jakarta dilaporkan jauh lebih tinggi kerana selain menerima gaji pokok Rupiah 2.3 juta serta elaun-elaun lain juga sebanyak itu, guru-guru juga berpeluang mendapat elaun kerja daerah sebanyak Rupiah 4 juta RM1,414) daripada pemerintah Daerah Khusus Ibukota Jakarta.

"Lumayan setiap bulan boleh memperoleh pendapatan sebanyak Rupiah 8.6 juta (RM3,040) setiap bulan," komen guru besar Sekolah Rendah Negeri Duri Pulo 1, Jakarta yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai guru sekolah.

Menurut Bambang, kurangnya perhatian pemerintah terhadap kerjaya seorang profesor bukan hanya pada pendapatan yang rendah ditawarkan.

Sebaliknya, kemudahan untuk melakukan penyelidikan juga amat terbatas sehingga memaksa golongan cendekiawan tempatan mengadakan kerja-kerja kajian akademik secara kerjasama dengan institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.

Jan pula berpendapat, ekoran tidak mendapat perhatian daripada pemerintah, ahli-ahli akademik Indonesia ada masanya melakukan kajian dan penyelidikan yang tidak relevan dengan bidang dan kepakaran mereka.

Berdasarkan laporan berkenaan, gaji yang diterima profesor penyelidikan di negara jiran Indonesia mencecah angka Rupiah 90 juta (RM31,000) sebulan sementara di Jepun dianggarkan antara Rupiah 600 juta hingga Rupiah 900 juta (RM212,000) hingga (RM318,000). - Utusan

0 Penghuni bumi semakin ramai juga susah

Penghuni dunia cecah 15 bilion


2011/10/25
Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.
Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.
Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.

Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.

“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.
Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.

“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.

Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.

“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.

Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. – Agensi