.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 17, 2010

0 Salah ukur arah kiblat di Indonesia

Kiblat Indonesia arah Kenya, Somalia

JAKARTA - Umat Islam di Indonesia semalam diberitahu Majlis Ulama Indonesia (MUI) bahawa selama ini mereka mengerjakan solat bukan menghadap Mekah tetapi ke arah Kenya dan Somalia.

Keadaan itu berlaku kerana pada Mac lalu, MUI meminta penganut Islam di negara itu menghadap arah Barat semasa mengerjakan solat.

"Namun keputusan itu menyebabkan semua masjid sebenarnya menghadap ke arah Somalia atau Kenya, dan kami memutuskan umat Islam perlu mengubah sedikit kedudukan betul ke arah Barat Laut," kata Ketua MUI, Cholil Ridwan.

"Perubahan kecil itu tidak memerlukan kita untuk mengubah kedudukan bangunan masjid tetapi jemaah hanya perlu mengubah sedikit arah kiblat ketika mengerjakan solat," katanya.

Ridwan berkata, masyarakat Islam tidak perlu berasa bimbang kerana telah silap menghadap kiblat.

"Semua solat yang dilakukan masih didengar oleh Allah," katanya.

Namun, ketua pertubuhan Nahdatul Ulama, Said Agil Siradj memberitahu sebuah akhbar tempatan, kekeliruan yang dilakukan oleh MUI itu merupakan satu pengajaran buat penduduk Islam.

Sebelum ini, MUI membuat fatwa terlalu cepat dan pernah mengeluarkan fatwa kontroversi seperti pengharaman merokok. - Reuters

0 Kos sara hidup paling mahal, tokyo, paling murah, johannesburg

Kos sara hidup tertinggi

Masyarakat seluruh dunia mungkin akan berfikir beberapa kali sebelum membuat keputusan mendiami bandar raya-bandar raya yang terkenal mewah dan mahal, tetapi tidak bagi golongan elit dan hartawan.







"SAYA pernah mengunjungi teman baik yang bekerja dan tinggal di sebuah apartmen studio di pinggir bandar raya Tokyo. Dia perlu membayar sewa sebanyak RM3,000 sebulan, lebih mahal berbanding sewa yang saya bayar untuk apartmen tiga bilik di bandar Mie, utara Jepun.

"Kos sara hidup di sana sangat tinggi. Kalau saya tinggal di sana gaji sebulan saya tidak cukup untuk menampung makan minum selepas membayar sewa rumah," kata Mohd. Hafiz Abd. Kadir, 27, yang pernah tinggal selama hampir enam tahun di Jepun.

Menurut Hafiz yang tinggal dan bekerja di bandar Yamanashi yang terletak di arah barat bandar raya Tokyo dua tahun lalu, walaupun dia menyewa di kawasan kurang membangun berbanding Tokyo, dia masih perlu membayar sewa rumah kira-kira RM2,000 sebulan untuk sebuah apartmen biasa.

"Ketika tinggal di sini, saya jarang membeli makanan di luar kerana agak mahal. Kebanyakan pelajar dan pekerja asing di sini lebih gemar memasak sendiri di rumah bagi mengurangkan kos sara hidup.

"Tetapi, pendapatan penduduk di sini agak tinggi. Sehubungan itu walaupun kos sara hidup tinggi, mereka masih mampu menampung perbelanjaan seharian," katanya yang menamatkan pengajian di Universiti Mie, utara Jepun empat tahun lalu.

Di Jepun katanya, ramai pekerja dan pelajar Malaysia mempunyai pekerjaan sampingan untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa. Sebelum bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Yamanashi, dia juga pernah bekerja sampingan menghantar akhbar dari rumah ke rumah.

Nilai hidup di Tokyo

"Saya perlu bekerja seawal pukul 2.30 pagi untuk menghantar akhbar dengan basikal. Rata-rata penduduk juga menggunakan basikal, malah ketika belajar di universiti, 95 peratus pelajar menggunakan basikal termasuk pensyarah," katanya.

Jepun mendahului negara-negara maju lain sebagai negara yang mempunyai bandar raya termahal untuk diduduki pada tahun 2010. Tangga bandar raya termahal itu bagaimanapun berubah dari tahun ke tahun.


KAJIAN ke atas 77 bandar raya menunjukkan pekerja di Copenhagen, Denmark mempunyai pendapatan tertinggi.


Menurut ECA International dan BusinessWeek, bandar raya termahal untuk diduduki pada tahun ini ialah Tokyo, Jepun. Pertama kali Tokyo diumumkan terletak di tangga teratas oleh ECA International ialah pada tahun 2005.

Ketinggian nilai hidup di Tokyo dapat dilihat melalui kos sara hidup asasnya seperti makan tengah hari biasa yang bernilai AS$18 (RM57.70), sekilogram beras berharga AS$8.47 (RM27.15) dan sedozen telur berharga AS$3.37 (RM12.10).

Sebagai tambahan kos-kos berkenaan, harga sewa apartmen dua bilik untuk ekspatriat berjumlah kira-kira AS$5,000 (RM16,027.50).

Oslo, di Norway diiktiraf sebagai bandar raya kedua termahal untuk diduduki berdasarkan nilai mata wangnya. Tahun lalu, Oslo sekadar menduduki tangga ke lapan.

Pendapatan tertinggi

Untuk menikmati makan tengah hari di bandar raya ini, seseorang perlu mengeluarkan belanja sebanyak AS$43 (RM137.80), manakala sekilogram beras berharga AS$5.66 (RM18.10) dan sedozen telur pula berharga AS$6.72 (RM21.50).


ECA International berkata, trend peningkatan harga minyak, tempoh kegawatan ekonomi yang pendek dan reputasi Norway sebagai lokasi pelaburan selamat menyumbang kepada peningkatan taraf hidup di bandar raya berkenaan.

Nilai taraf hidup di Luanda, Angola sebagai bandar raya termahal tahun lalu turun tiga anak tangga apabila bandar raya berkenaan tampil tempat ketiga tahun ini akibat kemerosotan ekonominya.



Di sini, seseorang perlu mengeluarkan belanja sebanyak AS$47 (RM150.70) untuk makan tengah hari, AS$(RM15.20) untuk membeli sekilogram beras dan sedozen telur. Tiket wayang pula bernilai AS$13 (RM41.70) setiap satu.



Sebagai tambahan kepada keperluan harian, ECA International menganggarkan bahawa rata-rata ekspatriat perlu membayar lebih daripada AS$3,500 (RM11,219) untuk menyewa flat dua bilik di Luanda.

Tahun lalu, Nagoya terletak di tangga ketiga namun jatuh satu anak tangga tahun ini. Nagoya ialah lokasi penting sebagai pusat perniagaan, di mana kira-kira 44 peratus automobil di Jepun dikeluarkan di sini.

Syarikat-syarikat seperti Toyota, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Volkswagen dan General Motors mempunyai ibu pejabat, operasi pembuatan dan pusat pengedaran di Nagoya.

Di sini, untuk menikmati makan tengah hari di restoran seseorang perlu mengeluarkan belanja kira-kira AS$19 (RM60.90), AS$9.14 (RM29.30) untuk membeli sekilogram beras dan AS$3.33(RM10.70) untuk membeli sedozen telur.

Pendapatan perkapita

Yokohama pula duduk di tangga kelima tahun ini. Bandar raya yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan menaiki komuter daripada Tokyo ini aktif dengan aktiviti perkapalan, bioteknologi dan industri semi konduktor.

Di Yokohama, untuk makan tengah hari di restoran seseorang perlu mengeluarkan belanja sebanyak AS$17.39 (RM55.70), manakala untuk membeli sekilogram beras pula ia berharga AS$6.54 (RM21) dan sedozen telur AS$ (RM12). Tiket wayang pula berharga AS$19.50 (RM62.50) setiap satu.

Kedudukan Stavanger naik mendadak ke tangga keenam walaupun hanya berada di tangga ke-14 tahun lalu. Bandar raya kecil yang terletak di pesisir pantai itu kaya dengan minyak di laut utara dan dikenali sebagai pusat petroleum Norway.

Untuk makan tengah hari di restoran di sini ia bernilai AS$33 (RM105.80) untuk seorang, manakala harga sekilogram beras ialah AS$5.71 (RM18.30) dan sedozen telur berharga AS$6.34 (RM20.30).

Sebuah lagi bandar raya mahal di Jepun ialah Kobe yang menduduki tangga ketujuh antara bandar raya termahal di dunia. Ia terkenal kerana menjadi rumah kepada banyak syarikat mesin berat, besi dan keluli serta produk makanan.

Menurut Organisasi Perdagangan Luar Jepun, 117 syarikat asing mempunyai pejabat di Kobe. Harga makanan agak mahal iaitu AS$16 (RM51.30) untuk makan tengah hari di restoran, AS$8.57 (RM27.50) untuk sekilogram beras dan AS$2.81 (RM9) untuk sedozen telur.



Denmark mewakilkan Copenhagen sebagai bandar raya kelapan termahal di dunia untuk didiami. Satu kajian dilakukan tahun lalu ke atas 77 bandar raya menunjukkan pekerja di Copenhagen mempunyai pendapatan tertinggi.

Contoh kos kehidupan di sini ialah untuk menyewa sekeping DVD ia berharga AS$8 (RM25.60), sepasang seluar jean berharga lebih AS$150 (RM480.80) dan tiket perjalanan sehala menggunakan pengangkutan awam berharga kira-kira AS$3.70 (RM11.90).

Selain itu, untuk makan tengah hari di restoran seseorang perlu mengeluarkan belanja sebanyak AS$36 (RM115.40), sekilogram beras berharga AS$4.85 (RM15.50) dan sedozen telur pula berharga AS$6.99 (RM22.40).

Geneva kekal di tangga ke sembilan berbanding tahun lalu. Harga makanan di sini adalah 45 peratus lebih mahal berbanding tempat-tempat lain di Eropah Barat.

Untuk makan tengah hari di restoran di bandar raya ini, seseorang perlu menyediakan belanja kira-kira AS$25 (RM96.20), AS$3.81 (RM12.20) untuk membeli sekilogram beras dan AS$7.64 (RM24.50) untuk membeli sedozen telur.

Tangga kesepuluh diduduki oleh Zurich, Switzerland yang merupakan pusat perniagaan utama dan ibu pejabat untuk banyak syarikat kewangan, termasuk UBS dan Credit Suisse.

Di sini, untuk makan tengah hari jumlah wang yang perlu ada adalah sekurang-kurangnya AS$25 (RM80.10), AS$3.36 (RM10.80) untuk membeli sekilogram beras dan AS$ (RM18.60) untuk membeli sedozen telur.


Sementara itu, Pakar Ekonomi dan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Dr. Jariah Masud berkata, peningkatan pendapatan perkapita penduduk mendorong sesebuah bandar raya menyediakan kemudahan yang mahal kepada orang awam dan pelancong.

"Apabila penduduk mempunyai pendapatan tinggi, mereka mahukan taraf hidup yang seiring termasuk teknologi dan inovasi baru bagi melengkapi kehidupan mereka.

"Peningkatan taraf hidup juga didorong pembangunan ekonomi yang akan menarik ahli perniagaan dan pelabur untuk datang walaupun menyediakan kehidupan yang mahal," katanya.

Jelas Jariah, kehidupan yang mahal tersebut tidak menjejaskan sektor pelancongan apabila ia menjadi tumpuan golongan tertentu yang berkemampuan serta menjalani gaya hidup yang mewah. - ROSMALINA ABD. KADIR

0 Jadilah pemain EPL supaya gaji macam Wayne Rooney

Gaji baru Rooney RM643,000 seminggu

LONDON - Gaji baru Wayne Rooney bakal mencecah 130,000 pound (RM643,500) seminggu, menjadikan dia pemain yang mendapat gaji paling tinggi dalam sejarah Manchester United.

Difahamkan, gaji baru itu akan diterima menerusi kontrak baru lima tahun bersama United, dengan bayaran keseluruhan 35 juta pound (RM173.2 juta) ketika kedua-dua pihak mahu menyelesaikan perkara itu sebelum musim baru Liga Perdana England bermula.

Sebuah akhbar di London melaporkan, ketua eksekutif United, David Gill akan berbincang dengan pemain antarabangsa England itu dan agennya, apabila Rooney pulang bercuti dari Barbados.

Pengumuman itu dibuat sebelum Red Devils memulakan kempen liga menentang Newcastle pada 16 Ogos.

Real Madrid berminat untuk mendapatkan Rooney, jadi United membuat keputusan untuk mengikat pemain itu dengan kontrak baru yang lebih lumayan, di mana dia akan dibayar 6.76 juta pound (RM33.4 juta) setahun.

Pemain berusia 24 tahun itu masih mempunyai baki kontrak dua tahun dengan gaji 90,000 pound (RM445,500) seminggu.

Dia turut meraih pendapatan tambahan sebanyak 760,000 pound (RM3.76 juta) sebulan bagi bayaran perjanjian hak penyiaran imej.

Rooney mengharungi saat menakjubkan musim lalu apabila menjaringkan 26 gol dalam Liga Perdana England, ketika United menduduki tempat kedua di belakang juara, Chelsea. - Agensi

0 Prinsip kejayaan Bilionar Mexico: Jangan berniaga dengan ahli politik dan berbelanja sederhana

Bilionair Mexico kedekut

MEXICO CITY 16 Julai - Bilionair dari Mexico, Carlos Slim mungkin terkenal sebagai lelaki terkaya di dunia, namun beliau merupakan seorang yang berjimat dalam perbelanjaan hariannya apabila hanya membelanjakan sebanyak AS$24,000 (RM76,970.40) sebulan, menurut biografi terbarunya.

Slim, 70, berjaya mengatasi Bill Gates dalam senarai lelaki terkaya di dunia yang dikeluarkan Forbes selepas dikatakan mempunyai harta berjumlah AS$53.5 bilion (RM171.58 bilion).

Beliau mula berniaga ketika berusia 10 tahun dengan menjual gula-gula dan minuman kepada ahli keluarganya sebelum mula aktif membuat pelaburan ketika berlaku krisis ekonomi.

"Tidak seperti golongan bangsawan lain, Slim lebih gemar mengamalkan cara hidup sederhana," kata penulis buku biografinya, Jose Martinez kepada pemberita pada majlis pelancaran edisi terbaru buku berkenaan.

Anak kelima daripada enam adik-beradik itu belajar dalam bidang kejuruteraan awam sebelum membangunkan teknologi telefon untuk syarikat Telmex yang memonopoli industri telekomunikasi di Mexico.

Beliau kemudiannya membeli syarikat telekomunikasi itu daripada kerajaan Mexico pada 1990.

Kini empayar perniagaan bilionair itu semakin berkembang di Mexico dengan pelaburan dalam beberapa syarikat lain seperti pembinaan, kumpulan kewangan Inbursa dan juga gedung serbaneka.

Pelaburannya di Amerika Latin kini berjumlah AS$60 bilion (RM192.42 bilion) sejak 10 tahun lalu.

"Semua pelaburan itu dibuat oleh seorang lelaki yang hanya menggunakan AS$24,000 (RM76,970) sebulan perbelanjaan harian, walaupun menguasai lebih 40 peratus saham di Mexico," kata Mertinez, sambil menambah kata bahawa Slim masih menggunakan jam tangan plastik sehingga hari ini.

Dalam pada itu, buku itu menulis, falsafah yang dipegang Slim adalah 'jangan berniaga dengan ahli politik' selain mengamalkan kehidupan yang penuh kesederhanaan. - AFP

0 Yang indah dan yang kejam tentang bola sepak. Sabah harus menyalahkan diri atas kekalahan dengan USM

Felda United juara Liga Perdana


PEMAIN Felda United meraikan kejayaan pasukan itu menjuarai Liga Perdana musim ini selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Harimau Muda di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam. - Utusan/GAIE UCHEL



KUALA LUMPUR - Kejuaraan Liga Perdana musim ini sah milik Felda United, walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Harimau Muda di Stadium Hang Tuah, semalam.

Jaringan Mohd. Munir Amran pada minit ke-65 melalui sepakan penalti, sudah cukup memastikan Felda meraih tiga mata penuh.

Kemenangan berharga itu memberikan Felda mata ke-49, empat mata mengatasi dua pencabar terdekat, PKNS dan Sabah, yang tidak lagi berpeluang memintas kedudukan Felda, walaupun masih ada satu perlawanan pada 23 Julai ini.

Status juara Liga Perdana, melayakkan Felda United untuk beraksi pada Piala Malaysia dan Liga Super.

Jurulatih Felda United, E. Elavarasan berkata, dia gembira usaha keras para pemain di sepanjang musim ini akhirnya memberikan pulangan setimpal.

''Apa yang saya boleh katakan, saya cukup berpuas hati dengan komitmen para pemain dalam perlawanan ini dan secara keseluruhannya, sehingga meletakkan Felda United sebagai juara Liga Perdana.

''Saya belum mahu memikirkan aksi dalam Piala Malaysia, saya mahu pemain meraikan kejayaan ini,'' katanya selepas perlawanan.

Di Stadium Likas, Sabah berpesta gol membelasah Melaka 8-2, namun ia gagal mengubah kedudukan mereka di tangga ketiga.

Penyerang Sabah, Mohd. Farid Ideris berjaya menjaringkan empat gol pada minit ke-40, 49, 64 dan ke-84.

Empat lagi gol Sabah dijaringkan Farid Saibun pada minit ke-2, Radzi Mohd.Hussin minit ke-30, Zainizam Marjan minit ke-71 dan Razlan Oto pada minit ke-88.

Melaka pula memperoleh jaringan melalui Zul Indra Putra Adam pada minit ke-8 dan Mohd Shazeman Abdul Karim pada minit ke-67.

PKNS yang berada di tangga kedua liga, mencatat kemenangan lebih besar apabila menjadikan pasukan tercorot liga, Shahzan Muda sebagai mangsa dengan kemenangan 8-0 dalam aksi di Stadium Darul Makmur.

ATM pula bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 mengatasi PDRM.

Gol ATM dijaringkan Ahmad Tharmini Saiban pada minit ke-60 dan 77 serta Syafiq Abd. Samad pada minit ke-73.

Dua gol PDRM dihasilkan Fauzi Abd. Majid pada minit ke-13 dan Eddy Gapil pada minit ke-64.

Sarawak juga berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan USM FC 4-2 di Stadium Sarawak.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Pos Malaysia mencipta kemenangan selesa apabila menang 6-2 kepada MP Muar.