.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, January 06, 2011

0 Kutipan FILEM HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH mencecah RM7j! Tahniah!

Dengarnya: Kak Limah terus meletup! (FILEM HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH)


2011/01/06
AMBOI! Tak habis-habis cerita fasal filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ya! Bukan cerita tak baik, tetapi sebaliknya cerita pencapaian membanggakan filem komedi seram arahan sutradara kreatif Mamat Khalid. Boleh dikatakan, ia muncul sebagai filem Melayu paling meletup di pawagam pada tahun ini.

Cik Normah kata macam tu bukan apa. Sebabnya, dengan jumlah panggung yang menayangkan filem ini hanyalah 39 buah, kutipannya kini sudah mencecah RM7 juta! Berbanding filem Ngangkung yang memungut RM8.2 juta, tetapi jumlah panggung menayangkannya pula ialah 59 buah. Manakala sebuah lagi filem, Adnan Sempit, yang mencipta kejutan pada awal tahun lalu dengan pungutan RM7.66 juta ditayangkan di 61 panggung. Jadi, kalau diikutkan nisbah kutipan per panggung (NKP), Hantu Kak Limah duduk di tangga teratas dengan RM179,487.18, diikuti Ngangkung RM135,932.20 dan Adnan Sempit RM125,573.80.

Bagi Cik Normah, tidak kiralah siapa yang pungut paling banyak, yang penting, pungutan itu dilakukan filem tempatan kita. Dengan perkembangan sihat itu, tentunya peminat pun lebih tertarik untuk terus membanjiri pawagam setiap kali judul tempatan diputarkan. Bukanlah situasi memberangsangkan ini akan terus menyemarakkan industri perfileman negara kita juga?

Kepada Abang Mamat, Ismail Bob Hashim dan Ahmad Idham, Cik Normah berharap mereka terus melahirkan filem yang popular (tetapi ada kualiti ya) supaya lebih ramai penonton ingin masuk ke pawagam yang menayangkan filem Melayu atau filem tempatan.

Kalau hendak gunakan khidmat Cik Normah dalam judul garapan anda semua pun, Cik Normah tidak kisah. Yalah, Cik Normah pun hendak sumbangkan sesuatu untuk industri kita juga. Watak pembantu, watak selit atau watak hantu , semuanya Cik Normah akan pertimbangkan. Kalau dapat jadi heroin, lagi bagus.

0 Filem AZURA versi MODEN arahan AZIZ M. OSMAN mulakan penggambaran di LONDON dan PARIS

Azura dibawa ke Paris, London

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2011/01/06
Filem versi Aziz M Osman memulakan penggambaran 20 Januari

DUA bintang baru, Gambit Saifullah dan juara Dewi Remaja 2010, Neelofa Md Noor bakal menjadi Zack dan Azura untuk filem Azura versi baru yang akan memulakan penggambaran pada 20 Januari ini.

Filem yang akan diarahkan oleh Aziz M Osman itu bakal memulakan penggambaran pertamanya di London dan Paris selama 10 hari, sebelum di sambung kembali pada pertengahan Februari nanti bagi memberi laluan kepada Aziz menyelesaikan tugasnya dalam program Pilih Kasih terlebih dulu. Filem pernah diterbitkan pada 1984 dan dibintangi dua bintang hebat, Jamal Abdillah serta Fauziah Datuk Ahmad Daud hingga mencetuskan fenomena tersendiri milik Sabah Film Productions itu, akan diterbitkan kembali oleh syarikat milik Aziz sendiri Ace Motion Sdn Bhd. Meskipun menyedari impak filem Azura ketika ditayangkan hampir 30 tahun lalu mampu mencatat kutipan sebanyak RM1 juta, satu jumlah yang boleh dikira banyak pada era itu, Aziz ternyata berani apabila memberi kepercayaan kepada dua bintang baru yang masih belum teruji bakat lakonan mereka.

“Biarlah penerbit lain ambil pelakon yang sudah dikenali tetapi sejarah saya sejak dulu lebih suka memberi peluang kepada muka baru. Saya pernah mengetengahkan Ramona Rahman yang ketika itu masih baru untuk membintangi filem Fenomena. Maya Karin untuk filem Seri Dewi Malam dan Sarimah Ibrahim untuk filem Puteri Impian 2. Alhamdulillah dengan hasil tangan saya, mereka berjaya mencipta nama.

“Pemilihan mereka pun bukan dibuat sebarangan. Saya luangkan masa berbual dengan mereka terlebih dulu sebelum uji bakat dilakukan. Perkara pertama yang saya tanya, sampai tahap mana seriusnya mereka dalam bidang seni. Jika mereka kata 85 peratus, saya tidak akan ambil. Saya mahu mereka yang mempunyai minat 100 peratus dalam bidang ini.

“Saya juga melihat sejauh mana IQ mereka, alhamdulillah kedua-dua mereka berjaya meyakinkan saya. Saya memilih Neelofa bukan sebab dia juara Dewi Remaja, pemilihan Neelofa sudah dibuat pada peringkat awal pertandingan itu lagi,” kata Aziz.
Memilih London dan Paris sebagai lokasi penggambaran filem itu menurut Aziz mempunyai sebabnya.

Katanya dalam versi asal filem itu, Zack membawa Azura bertemu dengan keluarganya di Sabah. Namun untuk disesuaikan dengan zaman ini, London serta Paris menjadi pilihan bagi menampilkan babak pasangan itu berkahwin lari.
Biarpun sudah dirancang sejak 2008, namun baru kini hasrat Aziz menerbitkan filem itu dapat dilaksanakan. Kata Aziz, penangguhan itu berpunca daripada pencarian bahan filem itu.

Selepas berjaya mengumpul bahan yang dikehendaki, barulah dia berani membuat pinjaman dari bank untuk membikin filem dengan kos RM1.5 juta itu.
“Saya baru saja mendapat kelulusan pinjaman dari bank bulan lalu. Sebaik pinjaman diluluskan, barulah penggambaran dapat dimulakan.

Sandarkan Pada Kenangan dikekalkan

Untuk versi baru ini, saya kekalkan jalan cerita yang sama tetapi digarap dengan cara berbeza, tidak boleh lagi seperti dulu. Sebaliknya ia perlu lebih kontemporari supaya dapat disesuaikan dengan zaman sekarang.

“Saya cuma melakukan sedikit perubahan untuk menjadikan filem ini lebih baik lagi. Itu tidak bermakna Azura yang dulu tidak bagus tetapi jika sudut teknikal dan bajet dipertingkatkan lagi, tentunya filem ini akan menjadi lebih cantik lagi.

“Selain itu, lagu Sandarkan Pada Kenangan dan Azura juga akan dikekalkan dalam filem ini. Bagaimanapun kita akan mendapatkan khidmat M Nasir untuk menyusun semula lagu itu bagi disesuaikan dengan era kini, “ kata Aziz.

Aziz yang hampir lima tahun tidak mengarah, begitu optimis Azura versi baru akan menjadi sebuah filem yang menarik dengan gabungan dua wajah baru serta beberapa pelakon lain. Dia juga tidak bimbang dituduh syok sendiri kerana seseorang penerbit seharusnya mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

“Sebagai pengarah saya perlu syok sendiri dulu. Jika tiada keyakinan lebih baik tak usah buat filem. Insya Allah, dengan garapan yang saya buat, Azura akan menjadi sebuah filem yang menarik,” katanya.

Filem Azura versi asal ditulis pengarah filem veteran Allahyarham M Amin. Filem itu pernah meraih anugerah Kategori Lagu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke lima dan Anugerah Khas Juri kerana memaparkan kisah masyarakat semasa.

0 Cabaran Negara Berpendapatan Tinggi: Golongan pekerja perlu rumah sendiri, kereta dan mampu menyara keluarga

Masih ramai lulusan universiti bergaji kecil

Bersama Rejal Arbee

2011/01/06
AKHIR-AKHIR ini kita begitu ghairah hendak melonjakkan negara dari kedudukannya sekarang sebagai negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Maka pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk mencapai matlamat ini.

Dalam pada itu apakah realitinya kalau dilihat daripada keadaan yang wujud sekarang? Benar kerajaan berazam melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mengubah nasib golongan berpendapatan rendah, iaitu kurang daripada RM1,500 sebulan yang dikatakan mewakili lebih 46 peratus daripada tenaga kerja negara untuk menerima pendapatan tinggi menjelang 2020. Antara mereka yang berpendapatan rendah ini termasuk juga lulusan universiti. Mungkin mereka yang bernasib baik akan mendapat pekerjaan dengan syarikat besar, syarikat berkaitan kerajaan atau dengan kerajaan. Mereka akan menerima ganjaran setimpal dengan kelulusan. Tetapi dengan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan pun mereka akan hanya dapat menampung kehidupan seharian dengan membayar sewa bilik, belanja pengangkutan untuk pergi balik bekerja dan belanja makanan. Apa pun tidak juga ada maknanya berpendapatan tinggi tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Kalau hendak membeli kereta pun terpaksa berhutang hingga tujuh tahun untuk melangsaikannya.

Untuk menampung keadaan sekarang pinjaman kepada pembeli rumah dilonggarkan dengan tempoh bayaran balik melebihi 30 tahun, iaitu kalau sudah bersara pun rumah masih tergadai dengan bank hinggakan bank sudah pun mengadakan peraturan bayaran balik pinjaman rumah boleh diambil alih oleh anak.

Inilah keadaan yang dihadapi rakyat. Apa yang perlu ialah menentukan rakyat biasa mampu membeli rumah mereka sendiri tanpa perlu berhutang hingga sudah bersara masih belum dapat melangsaikan piutang dengan bank.

Maka itu apakah seorang lulusan universiti yang sudah bekerja lima tahun misalnya sudah mampu untuk membeli rumahnya sendiri? Kalau dilihat keadaan sekarang, ini tidak mungkin. Harga rumah berterusan melambung tanpa ada hadnya. Rumah teres di sesetengah tempat pun kini sudah ada yang mencecah jutaan ringgit.
Kerajaan wajar memastikan rakyat dapat memenuhi tiga keperluan utama dalam kehidupan mereka, iaitu mampu menyara diri sendiri dan anak isteri, mampu memiliki rumah sendiri dan mampu pula berulang alik ke tempat kerja dengan mudah atau pun mampu memiliki kereta sendiri.

Maknanya kerajaan harus menentukan adanya pelbagai skim menyediakan rumah mampu dibeli pekerja demikian ini.

Inilah keperluan minimum setiap pekerja. Apakah menjelang 2020 nanti kita akan dapat menjamin bahawa majoriti pekerja kita boleh memenuhi kehendak ini?

Kalau dilihat keadaan yang wujud sekarang kita sememangnya menghadapi suatu keadaan yang sungguh mencabar untuk mencapai impian ini walaupun dengan adanya pelbagai inisiatif strategik untuk menjayakan MBE yang diumumkan kerajaan hampir setahun lalu.

Buat masa ini seorang lulusan universiti pun menghadapi pelbagai cabaran mendapatkan pekerjaan hinggakan ada di antara mereka berterusan dieksploitasi oleh banyak majikan syarikat kecil yang mengambil mereka bekerja tanpa diberikan surat pelantikan.

Syarikat seperti agensi pengiklanan, syarikat pembikinan filem atau syarikat yang menguruskan acara peristiwa banyak mengambil lulusan universiti hanya secara lisan. Mereka tahu bahawa lulusan itu akan menerima saja pekerjaan walaupun secara lisan asalkan dapat menerima gaji yang boleh menyara kehidupan mereka di kota.

Maka dengan itu pekerja ini tidak akan tersenarai sebagai pekerja dan tidak mempunyai apa-apa pun hak sebagai pekerja. Jadi mereka bekerja mengikut suka hati pemilik syarikat itu tanpa mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak berhak mendapat perbelanjaan rawatan kiranya jatuh sakit, tidak mempunyai sebarang cuti sakit dan kalau tidak bekerja pada hari-hari sakit gaji bulanan akan dipotong mengikut jumlah hari yang dia tidak datang bekerja.

Demikian pula waktu bekerja juga panjang hingga ada yang perlu bekerja hingga larut malam jika dikehendaki menyiapkan sesuatu projek yang diterima majikan tanpa diberikan bayaran lebih masa.

Mereka juga boleh diberhentikan dengan mudah hanya dengan lisan tanpa sebarang alasan munasabah.

Inilah yang dialami seorang gadis muda lulusan bidang penyiaran dari UiTM baru-baru ini yang dipecat majikan sebuah syarikat pembikinan filem. Walaupun dia telah mewakili syarikatnya naik ke pentas menerima hadiah pada majlis Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti bahawa dia adalah pekerja syarikat produksi berkenaan.

Kisahnya dimuatkan dalam blog ‘Sifu.Net’ yang kebetulan dikendalikan rakan majikan gadis malang itu. Blog itu menyatakan pemilik syarikat itu mewakilkan gadis berkenaan naik ke pentas menerima hadiah kerana majikannya tidak dapat hadir. Gadis itu disuruh mengenakan pakaian yang cantik.

Ditakdirkan drama syarikat itu menang, lalu gadis berpakaian cantik dan seksi itu pun naik ke pentas untuk menerima trofi seperti juga beberapa penerima lain berpakaian seksi sehingga mereka ditegur Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, kerana berpakaian sedemikian.

Blog itu menambah: “Ternyata pakaian yang dipakainya tidak sesuai untuk menghadiri majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Skrin yang disiarkan secara langsung dan turut dihadiri orang kenamaan.

“Difahamkan, dia dipecat selepas insiden itu kerana majikannya malu mempunyai pekerja sepertinya sebab dia hadir ke majlis itu mewakili syarikat.”
Gadis ini menjadi mangsa dipecat serta-merta secara lisan tanpa diberi notis atau surat, malah tidak pun dinyatakan sebab dipecat.

Kiranya soal pokok mengenai hak sah seseorang pekerja pun kita tidak dapat memantau dan menentukan majikan tidak akan mengeksploit mereka bagaimana kita hendak melonjakkan negara ke tahap yang diidamkan itu?

Apakah Kementerian Sumber Manusia tidak boleh menyiasat wujudnya syarikat yang mengeksploitasi rakyat sedemikian?

Penulis adalah Felo Kanan UKM

0 Hidup Susah Matipun Susah atau MATI SUSAH HIDUP PUN SUSAH?

Kes cubaan membunuh diri buka tirai 2011 di Jakarta

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my

JAKARTA 5 Jan. - Tahun 2011 di sini dibuka dengan kejadian bunuh diri yang disifatkan sebagai trend baru di kalangan rakyat negara ini untuk melarikan diri daripada masalah.

Dalam tempoh empat hari pertama 2011 sahaja, polis merekodkan sekurang-kurangnya lima kes cubaan membunuh diri di daerah Jabodetabek.

Motif cubaan bunuh diri bagaimanapun, masih belum dipastikan, namun menurut pakar psikitari, ia berkaitan dengan tekanan hidup yang dihadapi oleh masyarakat.

Kelmarin sahaja, dua kes dicatatkan masing-masing di Jakarta Pusat dan Jakarta Barat.

Seorang lelaki berusia 40 tahun, Ayung didapati mati di perkarangan pusat membeli-belah Gajah Mada Plaza, Jakarta Pusat.

Hasil siasatan polis mendapati, Ayung terjun dari tingkat tiga tempat meletak kereta bangunan itu.

Sementara itu, di Jakarta Barat, seorang lelaki, Iwan berusia 37 tahun melompat dari tingkat 9, Hotel Boutique pada hari yang sama.

Iwan difahamkan berbuat demikian kerana masalah tekanan hidup.

Dia bernasib baik kerana terselamat biarpun mengalami kecederaan termasuk patah kaki serta luka di tangan, muka dan perut.

Menurut polis, Iwan tertekan kerana masalah rumah tangga.

Isnin lepas, di Kota Depok, Suparno yang berusa 42 tahun pula didapati mati selepas menggantung diri di dapur rumahnya.

Suparno menggantung dirinya dengan melilitkan lehernya kabel antena televisyen.

"Kami belum mengetahui motif mangsa membunuh diri. Agak sukar untuk kami melakukan siasatan kerana keluarga mangsa menolak untuk dilakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa," kata Ketua Unit Rahsia dan Jenayah Polis Daerah Cimanggis, Inspektor Narta.

Narta, bagaimanpun menafikan Suparno membunuh diri kerana faktor ekonomi kerana latar belakang mangsa menunjukkan dia tidak miskin.

Pada hari yang sama, dua lagi kes bunuh diri dicatat iaitu Agus, 45, yang melompat dari tingkat enam pusat membeli-belah Blok M.

Seorang lagi mangsa, David Booth, 47, bangsa Inggeris yang mengajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kota Bogor mati selepas mengambil ubat dan minuman keras yang berlebihan. - Utusan

0 IKS Malaysia lebih yakin prospek perniagaan lebih baik pada tahun 2011 menurut tinjauan

Perniagaan Malaysia yakin prospek positif ekonomi
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Perniagaan di Malaysia membuat unjuran positif terhadap prospek ekonomi Malaysia sepanjang 2011, menurut Tinjauan Grant Thornton.

Keputusan Laporan Perniagaan Antarabangsa (IBR) itu adalah hasil tinjauan yang dilakukan terhadap lebih 11,000 perniagaan setahun merentas 30 ekonomi.

Dalam tinjauan itu, lebih 50 peratus perusahaan sederhana dan berskala besar melahirkan rasa optimis pada tahun ini berbanding 49 peratus pada tahun lalu.

''Ia merupakan tahap optimis tertinggi yang direkodkan bagi Malaysia sejak menyertai IBR,'' katanya.

Menurut tinjauan itu, sebanyak 68 peratus pemilik perniagaan yakin dengan peningkatan pendapatan dan 45 peratus lagi mengunjurkan keuntungan pada tahun mendatang.

Dalam aspek pelaburan pula, 51 peratus perniagaan menjangkakan pertambahan pelaburan bagi kilang dan jentera manakala 18 peratus bangunan baru.

Sebanyak 32 peratus lagi menjangkakan menambah pelaburan mereka dalam penyelidikan dan pembangunan.

Unjuran perniagaan terhadap Malaysia adalah selari dengan negara-negara ASEAN lain yang turut mencatatkan tahap keyakinan yang seimbang.

Filipina mendahulu carta negara paling optimistik dengan 87 peratus, Singapura 65 peratus tetapi Vietnam pula sebaliknya yang menyaksikan penurunan 62 peratus pada 2011 berbanding 72 peratus tahun lalu.