.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, November 06, 2010

0 Ubah isi kandungan (periodisasi) mata pelajaran sejarah untuk buku teks untuk elak ahli politik melatah kata Datuk Dr. FA?

Kenapa melatah terhadap subjek Sejarah?

Oleh Datuk Dr. Firdaus Abdullah

MENYEDARI kuantiti tidak semestinya menggambarkan kualiti, dengan segala rendah hati, saya ingin mencatatkan di sini bahawa sejak saya di bangku sekolah menengah iaitu hampir 50 tahun lalu, kira-kira 500 judul tulisan saya telah disiarkan di akhbar-akhbar dan majalah tempatan. Ia termasuklah untuk ruangan ‘Hati dan Nadi Dunia Pelajar’ dalam akhbar Berita Minggu (1962–1966) yang sehingga beberapa hari lalu, ruangan itu masih diingat (disebut) oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Abdullah menyebut itu sewaktu saya menyertai satu rombongan Badan Penasihat dan Jawatankuasa Pusat GPMS melakukan kunjungan hormat ke pejabat beliau di Putrajaya pada Selasa lalu. Kebetulan ruangan itu banyak melaporkan kegiatan-kegiatan GPMS semasa beliau menjadi presiden.

Di luar negara, tulisan saya juga pernah disiarkan di dalam akhbar kampus Northern Illinois University, Amerika Syarikat, selain jurnal-jurnal akademik di Indonesia, Jepun dan Sri Lanka.

Saya menyebut semuanya itu kerana daripada sekian banyak tulisan saya yang pernah disiarkan, barulah pada minggu lalu, saya mendapat respons bertulis yang paling banyak daripada pembaca.

Tulisan saya pada minggu lalu berjudul Kenapa DAP bimbang subjek Sejarah? telah disiarkan kembali oleh portal berita The Malaysian Insider. Berikutan penyiaran kembali oleh portal berita itu, para pembacanya telah memberi respons sebanyak 39 kali dalam masa tidak sampai 30 jam. Keseluruhan respons itu memperlihatkan ‘sikap melatah’ sesetengah pihak apabila berhadapan dengan realiti tentang keperluan mewajibkan subjek Sejarah sebagai salah satu syarat untuk lulus SPM.

Saya tidak menyangka bahawa tulisan tersebut akan mendapat respons sedemikian banyak daripada pembaca The Malaysian Insider walaupun sebelumnya saya telah mendapat beberapa respons lisan daripada rakan-rakan yang saya kenal secara peribadi dan para pembaca lain melalui SMS dan e-mel.

Seperti dapat diduga, respons melalui SMS dan e-mel bernada positif, bersetuju dan memuji. Saya juga dapat menduga bahawa respons yang tersiar dalam portal The Malaysian Insider bernada negatif, mengutuk dan menyindir. Malah ada yang kurang adab dan bersikap kebudak-budakan.

Berikutan itu, dua soalan bermain di kepala saya iaitu, pertama, apakah maksud tersirat The Malaysian Insider menyiarkan kembali artikel tersebut dan kedua, kenapakah pembaca portal itu begitu ghairah memberi respons yang rata-rata bernada negatif.

Saya tertanya-tanya apakah maksud The Malaysian Insider menyiarkan kembali artikel saya itu, sedangkan ada beberapa artikel tertentu dalam Utusan Malaysia yang lebih wajar dan lebih patut disiarkan kembali, tetapi diabaikan sahaja oleh portal berita tersebut.

Umpamanya, pada Isnin (1 November), Utusan Malaysia menyiarkan artikel oleh Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berjudul Hak Sama Rata Ekonomi yang antara lain berhujah bahawa “80 peratus perbelanjaan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) membawa keuntungan (monopoli) kepada bukan bumiputera melalui penguasaan dan hegemoni mereka dalam struktur ekonomi negara.”

Pada keseluruhannya, artikel Zainal itu cukup padat isinya dan cukup bernas hujahnya, menghuraikan bahawa DEB yang dikutuk oleh pihak-pihak tertentu dan dituduh hanya menguntungkan Melayu/Bumiputera, sebenarnya lebih banyak memberi manfaat kepada kaum bukan Melayu, terutama orang Cina. Kecuali saya terlepas pandang, saya tak nampak artikel tersebut disiarkan kembali oleh The Malaysian Insider. Saya teringat satu bidalan lama: Tiba di mata dipicingkan, tiba di perut dikempiskan.

Sehubungan itu, dapatlah disimpulkan bahawa The Malaysian Insider hanya akan menyiarkan atau menyiarkan kembali dari sumber yang memberi peluang kepada pembacanya ‘menggodam Melayu’ (indulging in Malay bashing) atau mengutuk parti-parti kerajaan terutama UMNO.

Pengalaman dan pemerhatian saya ini, rupanya pernah dilalui (dan dirasakan) oleh Datuk Rejal Arbee, mantan ketua pengarang (sekarang kolumnis) akhbar Berita Harian. Menurut Rejal, tulisan-tulisannya yang disiarkan kembali oleh The Malaysian Insider hanyalah yang akan mendapat reaksi negatif dan kutukan kasar daripada pembacanya.

Seterusnya, saya ingin menanyakan kembali kenapakah pembaca portal The Malaysian Insider itu begitu ghairah memberi respons yang rata-rata bernada negatif terhadap hasrat Kementerian Pelajaran hendak menjadikan subjek Sejarah sebagai wajib lulus untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di samping menjadikan sebagai pelajaran teras dalam sistem persekolahan mulai 2014.

Justeru, saya teringat dua perkara iaitu pertama, pendapat yang pernah disuarakan oleh seorang ahli sejarah A Malik Munip (mantan pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya) yang menegaskan bahawa sejarah adalah satu-satunya asas kekuatan tuntutan Melayu ke atas negara Malaysia. Malik sekali gus menyarankan bahawa pengetahuan, pemahaman dan penghayatan sejarah negara ini sejak era Kesultanan Melaka yang gemilang membawa kepada era DEB di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, akan membangkitkan harga diri dalam memberi keyakinan baru kepada bangsa Melayu.

Kebangkitan harga diri dan keyakinan baru bangsa Melayu adalah sesuatu yang tidak disenangi oleh penganut fahaman Malaysian Malaysia yang diwariskan oleh Lee Kuan Yew, khususnya DAP.

Selain itu, yang mereka bimbangkan ialah sekiranya sukatan baru subjek Sejarah itu nanti akan tertumpu hanya kepada kehadiran dan kedaulatan Melayu dalam proses sejarah negara ini dan mengabaikan sumbangan masyarakat Cina serta India dalam proses pembangunan sosio-ekonomi negara ini.

Saya sendiri merasakan sumbangan masyarakat Cina dan India dalam proses pembangunan sosial ekonomi negara ini memang tidak dapat dinafikan. Apabila pelajaran dan pengajaran sejarah menghuraikan kemaraan kuasa kolonial Inggeris dan pembangunan Negeri-Negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) antara tahun 1818 hingga 1942, kita tidak dapat memejamkan mata terhadap sumbangan masyarakat Cina dan India dalam pembangunan ekonomi Semenanjung Tanah Melayu.

Sehubungan itu, yang patut diberi perhatian ialah periodisasi (periodization) atau pembatasan masa (penahapan zaman) proses negara Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka membawa kepada Wawasan 2020. Jika ini dapat dilakukan secara jujur dan objektif, tidak ada yang perlu dibimbangkan.

Saya ingin mencadangkan periodisasi itu seperti berikut: Tahap I (Pra-Melaka), Tahap II (Era Kesultanan Melayu Melaka 1400– 1511), Tahap III (Persaingan Kuasa-kuasa Eropah 1511–1786), Tahap IV (Kemaraan Inggeris dan Pembangunan Negeri-negeri Selat 1818–1856), Tahap V (Kemantapan Kuasa Kolonial Inggeris 1874–1942). Tahap VI (Pendudukan Jepun 1942–1945) Tahap VI (Perundingan Kemerdekaan dan Permulaan Kerjasama Politik Antara Kaum 1946–1957), Tahap VII (Tahun-tahun Awal Kemerdekaan 1957–1969), Tahap VIII (Pelaksanaan DEB 1970–1990). Tahap IX (Menuju Wawasan 2020 dan Gagasan 1Malaysia)

Saya akhiri dengan petikan pendapat seorang pemikir Barat J. W. Goethe (1749-1832), “Perkara terbaik yang kita peroleh daripada sejarah ialah minat dan semangat yang digelorakannya dalam diri kita”.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah

Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu,

Universiti Malaya.

0 Teloransi antara agama kristian dan islam perlu ditangani secara lebih konprehensif demi membendung lebih banyak krisis

Islam, Kristian setuju reda ketegangan

PARIS 5 Nov. - Pemimpin-pemimpin Islam dan Kristian semalam bersetuju menubuhkan satu pasukan untuk cuba meredakan ketegangan antara kedua-dua agama terbesar ini, ketika penganut Islam dan Kristian terjebak dalam konflik senjata di Nigeria, Iraq, Mesir dan Filipina.

Pada mesyuarat di Geneva minggu ini, mereka bersetuju mengambil langkah penting bagi memelihara keamanan antara kedua-dua agama ini, daripada membiarkannya terjerumus dalam konflik yang disebabkan oleh persaingan politik, penindasan atau ketidakadilan.

Antara pertubuhan yang menyokong rancangan itu ialah World Council of Churches (WCC) yang dianggotai 349 gereja berlainan di seluruh dunia dan World Islamic Call Society (WICS), rangkaian yang dianggotai kira-kira 600 badan Islam.

Mereka akan menghantar pakar-pakar Islam dan Kristian untuk campur tangan dalam konflik agama bagi meredakan ketegangan dan menyelesaikan salah faham dan pertikaian tentang kepercayaan.

"Kami menubuhkan satu kerjasama kumpulan ini bagi membolehkan kami bersiap sedia berhadapan dengan sebarang krisis yang semakin meningkat berkaitan Islam dan Kristian.

"Kami perlu mencari penyelesaian untuk meredakan krisis agama dan memperbaiki hubungan antara kedua-dua agama ini melalui resolusi konflik dan keadilan," kata pemimpin-pemimpin Kristian dan Islam dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat selama empat hari.

Institut Diraja Aal al-Bayt Jordan dan cendekiawan kumpulan Common Word Islam yang mempromosi dialog antara agama turut menyokong penubuhan pasukan ini, yang telah dibincangkan dengan beberapa gereja sejak dua tahun lalu.

Aref yang menyertai mesyuarat itu berkata, pakar-pakar Islam dan Kristian akan dipilih untuk membentuk pasukan kecil ini dan akan dihantar ke wilayah tercetusnya konflik. - Reuters

0 Kalau hendak seribu daya. Pergunungan Alps pun dikorek untuk bina landasan kereta laju. Sangat luar biasa!

Laluan kereta api laju di Alps

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR





SEBAIK hujung sebuah mesin gerudi raksasa berjaya menembusi batuan keras di bahagian hujung pergunungan Alps, ratusan pekerja berpeluk sesama sendiri. Masing-masing bersorak keriangan.

Dentuman dan percikan mercun dan bunga api yang dibakar memeriahkan lagi suasana sekali gus meraikan kejayaan menyempurnakan penggalian Terowong Dasar Gotthard di Switzerland pada tarikh 15 Oktober lalu.

“Di sini, di tengah-tengah jantung Banjaran Alps, salah satu projek persekitaran terbesar di benua ini telah menjadi realiti,” kata Menteri Pengangkutan Switzerland, Moritz Leuenberger.

Kemudian, suasana sepi seketika apabila pekerja-pekerja terowong itu bertafakur selama seminit untuk mengingati rakan-rakan mereka yang terbunuh di tapak pembinaan sewaktu menjalankan tugas.

Dalam kesepian itu, nama kelapan-lapan orang mangsa yang terbunuh dibacakan sambil diiringi tangisan insan-insan yang rapat dan mengenali mereka.

Projek bernilai AS$10 bilion (RM31 bilion) itu merangkumi terowong sepanjang 57 kilometer (km) dan berdiameter 9.5 meter yang akan memberi laluan pada rangkaian kereta api penumpang berkelajuan tinggi. Ia akan menghubungkan Eropah dari utara ke selatan dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2017.

Selain itu, projek mega itu juga merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan pencemaran akibat terlalu banyak trak yang melalui kawasan pergunungan itu setiap tahun. Hingga kini, jumlah trak dan lori-lori besar yang melalui kawasan tersebut mencecah 1.2 juta.




SALAH satu mesin pengorek terowong gergasi yang digunakan dalam projek mega di Switzerland.



“Kepada semua pekerja. Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Kita bukan hanya membina terowong, tetapi kita telah mencipta sejarah,” ujar Luzi Gruber mewakili syarikat pembinaan Implenia.

Ini merupakan terowong ketiga yang dibina melalui daerah bersalji, St. Gotthard. Dua terowong yang ada sebelum ini dikenali sebagai terowong jalan raya dan kereta api yang melalui pergunungan Alps di selatan Switzerland.

Terowong jalan raya dikenali sebagai Terowong Jalan St. Gotthard dengan kepanjangan 16.3km manakala terowong kereta api pula sepanjang 15km. Kedua-dua terowong itu hampir selari sejauh 1,200m di atas aras laut.

Kedua-duanya menyediakan laluan mudah bagi melintasi Lepontine Alps menggunakan laluan di antara Zurich, Switzerland dengan Milan di utara Itali.

Terowong kereta api itu mula dibina di antara tahun 1872 hingga tahun 1882 sementara terowong jalan raya disiapkan pada tahun 1980.

Projek tersebut juga dikenali sebagai New Railway Link Through The Alps (NRLA) yang melibatkan Terowong Dasar Lotschberg antara wilayah Bern dan Valais.

Atasi rekod

Terowong Seikan

Seramai 2,000 pekerja dan empat mesin pengorek gergasi (TBM) digunakan untuk mengorek 24 juta tan batu gunung dalam usaha menyiapkan terowong tersebut.

Apa yang pasti, Terowong Dasar Gotthard itu hanya melebihi tiga kilometer panjang sekali gus bakal memadamkan rekod terowong terpanjang di dunia iaitu Terowong Seikan di Jepun. Ia terowong bawah laut yang dibina sepanjang 53.8km.

Ironinya, dalam dunia teknologi masa kini, setiap pembinaan tertinggi atau terpanjang tetap diambil kira walaupun seinci. Maka, persaingan itu akan sentiasa wujud terutama bagi manusia yang rakus untuk bergelar yang terbaik di kalangan terbaik.

“Mitos tentang Gotthard telah hancur untuk kali ketiga. Nenek moyang kita telah berjuang dari abad pertengahan dan seterusnya membuatkan gunung ini dapat dilalui,” ujar Pengarah Pengangkutan Persekutuan, Peter Fueglister kepada pemberita yang membuat liputan pada majlis penuh bersejarah itu.

Penumpang pengangkutan kereta api berkelajuan tinggi itu akhirnya akan dapat mempercepatkan perjalanan dari bandar Milan ke Zurich dalam masa kurang dari tiga jam. Seterusnya ke utara memasuki Jerman dengan mengurangkan masa perjalanan hampir satu jam.



PARA pemuzik membuat persembahan sebelum mesin gergasi menamatkan proses mengorek terowong pada pertengahan Oktober lalu.



Apabila pembinaan terowong tersebut selesai, sekitar 300 kereta api akan dapat mempercepatkan perjalanan melalui tabung berkembar Gotthard setiap hari hingga mencecah kelajuan 250km sejam bagi penumpang kereta api.

Jurucakap syarikat yang mengetuai projek pembinaan AlpTransit Gotthard, Maurus Huwyler berkata, terowong di sebelah barat masih berbaki dua kilometer dan akan proses penggalian akan selesai awal tahun 2011.

“Kami berdepan dengan cabaran besar dalam membentuk terowong terutama seperti terowong gergasi yang melalui Gotthard Alpine ini.

“Di samping itu, berikutan terdapat batuan lembut di seksyen di antara Sedrun dan Faido, kemajuan penggalian terpaksa diperlahankan hingga mencecah kurang satu meter sehari. Tetapi, terdapat juga penggalian yang dilakukan melebihi 20 meter sehari,” jelas Huwyler sambil memberitahu bahawa bahan letupan telah digunakan dalam proses penggalian berhampiran Sedrun.

Tambahnya, risiko membentuk terowong cukup tinggi kemungkinan mesin boleh tersekat.

Bagaimanapun, di sebalik kemegahan pembinaan Terowong Dasar Gotthard, projek itu juga pernah berdepan pelbagai bantahan daripada golongan aktivis yang bimbang terhadap pencemaran yang akan berlaku di pergunungan Alps.

Meskipun demikian, Switzerland tetap berjuang untuk meyakinkan negara-negara jiran Eropah yang berpandangan skeptikal agar menyokong rancangan pembinaan rangkaian kereta api laju berstatus elit dan mewah itu.

Sentimen kurang jelas

Tetapi, rakyat di Switzerland banyak membantu mengatasi isu tersebut. Seramai 64 peratus pengundi bersetuju menerima projek AlpTransit itu pada tahun 1992.

Kemudian, pada tahun 1994 mereka turut menyokong larangan lori-lori berat dipandu di pergunungan Alps termasuk pengembangan aliran transit Kesatuan Eropah (EU). Akhirnya, dua tahun selepas itu, projek tersebut memulakan pembinaannya.

Satu undian seluruh negara yang disiarkan sebelum itu mencadangkan bahawa sentimen itu tidak jelas dengan dua pertiga menyokong larangan pada lalu lintas lori melalui jalan terowong Gotthard dan memindahkannya pada laluan kereta api.

Namun seorang pegawai kanan Switzerland memberi amaran bahawa manfaat penuh daripada terowong kereta api itu hanya akan tercapai jika Jerman dan Itali melengkapkan infrastruktur mereka.




PROJEK yang dinamakan AlpTransit Gotthard ini bakal beroperasi pada tahun 2017.



“Untuk jumlah pengangkutan yang ketara yang ditukar daripada jalan raya ke jalan kereta api, negara-negara jiran seperti Jerman dan Itali harus memenuhi kewajipan berkontrak mereka bagi melanjutkan pusat akses,” ujar Feuglistaler.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Shaharin Ibrahim berkata, pembinaan terowong gergasi sedemikian boleh memberi kesan buruk pada alam sekitar terutama dalam aspek geologi.

Namun, ia bergantung kepada keadaan muka bumi di kawasan yang melaksanakan projek tersebut. Contohnya dari segi struktur batuan, komposisi tanah dan sebagainya.

“Cuma, persoalan mengenai di mana pembuangan bahan yang telah dikorek itu ditempatkan boleh dipersoal memandangkan ia satu projek berskala besar.

“Apa yang penting, diharap ia tidak akan menjadi faktor penyumbang kepada pencemaran alam sekitar yang semakin serius pada era ini,” tegas Shaharin ketika dihubungi Kosmo!.

0 Pengalaman jurugambar projek dokumentari National Geografik bersama tenaga kerja profesional

Kisah migrasi definisi tinggi

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID





KATA orang, persekitaran dan cara seseorang diasuh menentukan peribadi dan pilihan hidupnya. Mungkin pendapat itulah yang paling tepat untuk menjelaskan kehidupan Bob Poole.

Dilatih oleh kedua-dua orang datuknya untuk mengenal belukar dan tasik, memburu dan memancing serta pernah dihadiahkan dengan selaras senapang patah, semua itu membentuk diri Poole menjadi sebahagian daripada alam sekitar dan mengenali etika yang wujud bersamanya.

“Kecintaan saya terhadap alam sekitar ditambah pula dengan pengalaman membesar di Afrika Timur ketika bapa saya berkhidmat sebagai Pengarah Peace Corp dan kemudiannya di Yayasan Hidupan Liar Afrika,” ujar maestro sinematografi itu.

Poole mengimbas, sekitar tahun 60-an hingga 70-an, dia dan keluarganya banyak kali menghabiskan waktu di kawasan belukar Afrika dan tinggal di tengah-tengah habitat hidupan liar yang melata di seluruh Kenya, Tanzania dan Uganda.

“Saya sudah terbiasa bermalam di tapak-tapak perkhemahan mahupun di dalam kenderaan pacuan empat roda. Tepat sekali kalau dikatakan, melalui didikan itulah penghargaan saya terhadap alam dan hidupan liar menebal.

“Ia akhirnya membentuk semangat kembara yang tinggi dalam hidup saya,” ujar lelaki itu dalam rangka promosi dan pengenalan dokumentari Great Migrations di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dokumentari mengenai fenomena penghijrahan haiwan yang dibikin atas platform jenama National Geographic itu bakal mengujakan penonton di seluruh dunia. Ia mendapat sentuhan profesional sekumpulan jurukamera terulung termasuk Poole sendiri.

Berkongsi cerita hidupnya, Poole menaruh minat terhadap konsep sinematografi selepas berkesempatan mengikuti pengembaraan krew filem National Geographic semasa zaman remajanya di Kenya.


BERMULA dengan mengikuti penggambaran dokumentari gajah bersama krew National Geographic sewaktu remajanya, Bob Poole kini mempunyai signatur sendiri dalam merakam tabiat haiwan darat terbesar itu.



Bermula daripada memori di tanah Afrika tersebut, pemegang ijazah bidang sains yang gila sukan ekstrem itu gigih mendalami skil fotografi dan perfileman. Dia amat yakin, hidupnya bertapak dalam bidang kerjaya itu.

Kerjaya dan cabaran

Segalanya terbukti sepanjang 16 tahun lalu. Bekerja untuk National Geographic, Poole telah menjelajah ke seluruh pelosok dunia sebagai pengarah fotografi bagi dokumentasi sains, alam sekitar dan kembara.

Dia juga gigih meraih ilmu daripada ‘sifu’ dunia sinematografi seperti Wolfgang Bayer dan Norris Brock.

“Saya berbangga menjadi antara tenaga utama dalam Great Migrations. Ini adalah projek terbesar dalam sejarah 120 tahun National Geographic. Demi menterjemah kualiti, ia menuntut tahap profesionalisme yang tinggi,” ujar Poole.

Dalam kemunculan istimewa Poole di ibu negara itu, dia mendedahkan cabaran dan pengalamannya pmerakam aktiviti migrasi sekumpulan gajah di Mali, Afrika.

“Kami memang tidak boleh mendekati habitat gajah dengan kenderaan kerana kepekaan pancaindera haiwan itu.

“Maka, kami terpaksa berjalan kaki dan mencari sudut paling dekat untuk memulakan rakaman. Ia berbahaya kerana kami boleh diserang oleh gajah induk yang menjaga kawanannya,” katanya.

Sedang leka merakam, sambung Poole, mereka diterjah kuasa alam yang sangat dahsyat iaitu ribut pasir.

“Ia seumpama mahu ‘menelan’ kami. Memandangkan tiada tempat untuk berlindung, kami nekad meneruskan sahaja penggambaran itu,” ujar Poole yang akhirnya terbenam dalam pasir bersama krew dan perkakasan penggambarannya selepas itu.

Mengingati detik menakutkan itu, Poole menyifatkan ribut pasir itu seumpama rempuhan kereta api laju. Debu pasir merah itu juga telah menghalang ketelusan cahaya matahari selama empat jam.

Transmiter kecil

Dalam satu lagi episod yang memaparkan penghijrahan rama-rama Monarch, Poole melahirkan rasa kagum terhadap makhluk kecil tersebut. Terbang dalam kumpulan yang berjuta-juta bilangannya, Poole memberitahu, perjalanan yang dilakukan serangga itu sangat jauh.

“Rama-rama yang kita sangka lemah itu terbang dari Mexico merentasi Amerika Syarikat untuk ke Kanada dan kemudian pulang semula ke tempat asalnya mengikut musim. Itu terjadi pada setiap tahun.




DETIK terakhir sebelum Bob Poole 'ditelan' ribut pasir di Mali, Afrika.



“Untuk memudahkan kami menjejakinya, sejenis alat transmiter kecil telah dicipta untuk dilekatkan ke abdomen rama-rama itu. Kami menjejak pergerakannya melalui isyarat koordinat sistem kedudukan global (GPS) dari satelit,” jelasnya yang menggunakan peralatan kamera dengan upaya rakaman 1,500 frem sesaat bagi mendapatkan visual gerak perlahan paling jelas.

Mendengarkan cerita Poole, sudah terbayang akan cabaran dalam menyiapkan keseluruhan dokumentari tersebut yang merentasi darat, laut dan ruang udara.

Namun, bagi Poole dan kumpulan jurukamera yang terlibat dalam projek itu, mereka mempraktikkan pelbagai teknik penggambaran demi memudahkan tugas.

“Sebagai contoh, selain disokong kamera berdefinisi tinggi untuk kuasa capaian visual bermutu, kami juga menaiki belon udara panas untuk rakaman udara yang stabil dan selamat,” jelas Poole.

“Memang segalanya bergerak dengan pantas. Bukan sekadar merujuk kepada pergerakan subjek di depan kamera, malah mengenai kerja-kerja penyuntingan selepas hasil rakaman diperolehi,” ujarnya.

Poole menjelaskan, setiap kali selesai sesi rakaman di sesebuah lokasi, salinan digitalnya segera dihantar ke studio produksi untuk diproses. Sementara itu, krew penggambaran meneruskan kembara ke lokasi penggambaran berikutnya.

Proses suntingan

‘Saya sendiri menghabiskan tempoh dua setengah tahun di pelbagai lokasi. Tentu sekali, adakalanya saya terfikir tentang keselesaan di rumah dan juga keluarganya,” ujar suami kepada Gina itu.

Semua kerja penggambaran dan penyuntingan, menurut Poole, dilakukan secara hampir serentak. Ia melibatkan ramai tenaga kerja profesional yang mahu memastikan projek produksi tersebut berjaya disudahkan dalam rangka waktu yang ditetapkan.

“Baki rakaman visual sepanjang penggambaran ini dibuat tidak pernah ‘dibazirkan’. Walaupun kami dilengkapi peralatan digital berteknologi tinggi yang membolehkan proses suntingan atau pelupusan dibuat dengan mudah, masih ada lebihan visual rakaman yang disimpan.

“Perancangan yang berkesan ketika membuat penggambaran membuatkan setiap saat rakaman yang diperolehi itu sangat berharga. Jika ia tidak digunakan untuk dokumentari ini, ia tetap disimpan di arkib untuk kegunaan akan datang,” ujar Poole.



BOB POOLE (tengah) bersama krew yang diambil khas dari kalangan orang tempatan.



Bagaikan dilanda gelombang khabar paling mengujakan, banyak saluran interaktif global kini sedang berbicara mengenai dokumentari itu. Forum-forum Internet dan juga rantaian e-mel para pengikut setia program alam sekitar pun sedang ‘panas’ membincangkannya.

Dari pakar sinematografi ke komuniti perfileman, hinggalah ke aktivis pencinta alam, pensyarah universiti dan pelajar sekolah, mereka masing-masing tidak sabar menunggu buah tangan Bob Poole.

“Projek ini saya anggap sebagai kemuncak kerjaya saya. Mungkin saya akan terlibat dengan projek dokumentari lain selepas ini, namun saya masih belum dapat membayangkan hasil yang lebih besar atau lebih hebat daripada Great Migrations,” ujarnya puas.

0 Hasil kerja yang berkualiti dari Kenchana Devi. Kedua-duanya saya suka. Selamat Hari Deepavali

Rentak Kenchana

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/11/04



Daripada lakonan kini bergelar produser, berlakon dengan anak

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, nama Kenchana Devi bukan lagi asing kepada peminat dunia seni hiburan tempatan. Biarpun pada hakikatnya pembabitan wanita keturunan India ini dalam seni hiburan hampir menjangkau dua dekad, hanya sejak beberapa tahun lalu popularitinya di kalangan masyarakat penonton Melayu makin memuncak. Semuanya gara-gara siri komedi Puteri arahan Aziz M Osman yang ditayangkan TV3 sekitar 2005. Dalam siri popular yang bersiaran selama sembilan musim terbabit, dia beraksi di samping pelakon popular lain seperti Nora Danish, Intan Ladyana dan Beego. Drama Seputih Qaseh Ramadan yang disiarkan empat tahun lalu mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri hiburan. Padahal, Kenchana mula berlakon sejak 1996 lagi. Drama pertama lakonannya ialah Robin Thamby terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., sebelum muncul dalam drama seperti Kelas Malam, Atas Nama Cinta dan Mat Despatch. Sehingga kini, ratusan judul sudah dibintanginya, membuatkan wanita yang dilahirkan pada 1974 ini antara artis paling sibuk di Malaysia.

Sejak tiga tahun lalu juga, namanya tidak pernah ketinggalan dicalonkan sama dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dalam kategori Artis Komedi Wanita. Walaupun belum pernah menjulang trofi rebutan ramai itu, namun pencalonannya ke peringkat akhir sudah membuktikan populariti yang dikecapi Kenchana bukan calang-calang.

Selepas sekian lama mencipta nama dalam lakonan, pelakon Spa Q ini mengorak langkah lebih panjang apabila meningkatkan statusnya kepada seorang penerbit. Menerusi syarikatnya, Kanchana Shakti Production Sdn Bhd, wanita yang juga ibu kepada tiga anak ini menguji kemampuan diri sebagai produser menerusi telefilem Cahaya Deepavali yang akan disiarkan TV3, jam 9 pagi ini.

Manakala program kedua terbitannya, telemuzikal Jodoh Deepavali pula akan menemui penonton di saluran sama pada jam 6 petang.
Katanya, pengalaman yang dipungut sepanjang membabitkan diri dalam seni membolehkannya memberanikan diri untuk bergelar penerbit. Namun begitu, kerisauan tentunya datang melanda jiwa, jika produk yang dihasilkan gagal menepati cita rasa khalayak. Saat ini, hanya harapan yang mampu diluahkan Kenchana, moga dua program terbitannya mendapat sambutan.

Bukan sekadar menerbit, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini turut berlakon dalam kedua-dua penerbitan berkenaan.

Jika Cahaya Deepavali arahan C Kumaresan menggandingkan dirinya dengan dua anaknya, Mishaalin dan Tashveti Devi, selain Sheela Pravena, Abiraman, Louisa Chong, Audrey Lee dan Kumaresan sendiri, Jodoh Deepavali yang diarahkan Chellian pula menyaksikan Kenchana beraksi di sisi Shashi Tharan, Sathiya, Ropie, A Logithavani, Tingkaran dan ramai lagi pelakon lain.

Katanya, Cahaya Deepavali mengetengahkan kisah benar seorang budak perempuan bernama Devi, yang berusaha keras untuk mencapai impian dengan bantuan ibu dan adik-beradiknya yang lain.

"Idea, skrip dan konsep telefilem muzikal ini datang daripada saya sendiri, yang tertarik dengan kisah kesungguhan seorang anak kecil untuk menggapai impiannya, dengan sokongan keluarga. Ia sebuah kisah keluarga yang cukup indah, yang tidak harus dilepaskan penonton. Apatah lagi apabila ia dihiasi dengan lima lagu menghiburkan," katanya.

Telefilem itu menggunakan 60 peratus dialog berbahasa Melayu, manakala selebihnya bahasa Tamil.

Manakala Jodoh Deepavali yang menemukan dirinya dengan pelakon filem Estet itu berkisar mengenai gelagat dua pengacara yang tidak serasi sehingga menimbulkan banyak masalah kepada pihak penerbitan setiap kali mereka berada di depan kamera.

"Masing-masing tebal dengan sikap ego dan tidak mahu bertolak ansur, sehingga memeningkan kepala pengarah (Sathiya). Keadaan bertambah hangat apabila dua pengacara itu berperang mulut setiap kali pengarah menyebut “cut!”," kata Kenchana.

Menyentuh soal sambutan perayaan Deepavali, ujar wanita yang mempunyai kemahiran menari tarian klasik India ini, tentunya saat bersama keluarga tercinta paling dihargai pada hari yang penuh cahaya terbabit.

Selain Mishaalin dan Tashveti Devi, Kenchana juga mempunyai seorang lagi cahaya mata, G Patkieswaran, hasil perkongsian hidup bersama suami, P.Gunasegaran yang dikahwini kira-kira 18 tahun lalu. Ketiga-tiga anaknya itu turut mengikut jejak langkah si ibu apabila berjinak-jinak dalam lakonan, sama ada drama mahupun iklan komersial.

Mereka sekeluarga menyambut perayaan berkenaan di ibu kota saja, secara bersederhana.

Filem lakonan Kenchana:
2011 : Adik Manja Returns
2009 : Setem
2009 : Jomlah C.I.U.M
2009 : Skrip 7707
2008 : Dunia Baru The Movie
2007 : Kayangan
2000 : Soal Hati

0 Gunung Merapi meletus enam kali ganda kuat pada waktu orang nyenyak tidur

Gunung Merapi mengganas



GAMBAR menunjukkan satu mayat diliputi debu dari Gunung Merapi bergelimpangan di sebatang jalan di Argomulyo,Yogyakarta semalam.



YOGYAKARTA - Angka korban Gunung Merapi di Pulau Jawa, Indonesia melepasi angka 122 orang manakala berpuluh-puluh lagi sesak nafas dan melecur selepas ia meletus semalam, kata beberapa pegawai.

Letusan kuat pada tengah malam Khamis lalu adalah enam kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu dengan angka kematian keseluruhan setakat ini 122 orang.

Semalam, lebih 70 orang terbunuh selepas Gunung Merapi mengganas dengan menghamburkan awan panas.

Sebahagian mangsa terbaru yang mati itu ditemui anggota penyelamat sedang tidur dan bercakap menggunakan telefon.

Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini adalah gunung berapi paling aktif di Indonesia dan ia menghamburkan awan setinggi 8,000 meter.

Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan berkata: "Kami khuatir angka kematian akan terus meningkat kerana terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat dilawati kerana abu panas dan bahang gunung berapi."

Kebanyakan mangsa yang mati adalah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak sekitar 18 kilometer dari kawah gunung berkenaan.

Letusan semalam dan kelmarin turut mengeluarkan awan panas yang menyebabkan sejumlah rumah di zon bahaya musnah.

Di Brongang iaitu kira-kira 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, askar-askar mengeluarkan sejumlah mayat dari rumah-rumah yang hangus dilitupi abu setebal lima sentimeter sebelum mengumpulkannya di atas beberapa buah trak.

Berpuluh-puluh mangsa yang cedera dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.

Keadaan mereka sangat mengerikan dengan baju dan selimut hangus melekat pada kulit selepas dibakar awan panas dikenali sebagai awan piroklas dengan suhu setinggi 750 darjah Celsius yang membakar paru-paru manusia.

Seorang penduduk kampung, Niti Raharjo, 47, yang dirawat di hospital kerana melecur di kaki berkata, dia bangun dan menghidupkan enjin motosikal untuk melarikan diri bersama anak lelakinya selepas mereka dikejutkan oleh gegaran kuat semasa sedang tidur pada tengah malam kelmarin.

"Kami diselubungi hawa panas dan terdapat asap putih di merata-rata tempat. Saya melihat orang ramai bertempiaran lari manakala beberapa wanita pengsan akibat terlalu takut," ceritanya.

Gunung Merapi kerap meletus sepanjang abad lepas.

Pada tahun 1994, 60 orang terbunuh dalam tempoh beberapa hari manakala pada 1930, 12 penduduk kampung terbakar hangus dengan kematian keseluruhan mencecah 1,300 orang.



WAJAH beberapa penduduk sekitar Gunung Merapi dipenuhi dengan debu semasa mereka melarikan diri di Klaten awal pagi semalam.


Bahaya paling dahsyat adalah awan piroklas yang bergerak di cerun selatan Gunung Merapi sejurus sebelum tengah malam semalam pada kelajuan 100 kilometer sejam.

Haba panas yang dibawa awan itu seperti pembunuh senyap yang meragut nyawa penduduk kampung ketika mereka sedang nyenyak tidur.

"Saya menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak dan bapanya yang masih terbaring di katil mereka. Mereka sedang tidur apabila awan panas melanda rumah mereka," kata seorang anggota penyelamat, Utha.

Dia menghantar 10 mayat ke sebuah hospital di sini.

"Mayat-mayat mereka melecur teruk. Kami turut menemui satu mayat seorang lelaki yang masih memegang gagang telefon," tambahnya lagi.

Setiap kali meletus, Gunung Merapi mengeluarkan abu yang melitupi setiap benda termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Abu Gunung Merapi melitupi kawasan sejauh 30 kilometer dan menghalang sinaran matahari sekali gus memaksa para pemandu memasang lampu kenderaan mereka pada waktu siang.

Seorang ahli vulkanologi yang mengkaji Gunung Merapi selama beberapa tahun berkata, beliau kini keliru untuk meramalkan aktiviti gunung berkenaan yang seterusnya.

Menurutnya, beliau tidak pernah melihat gunung berapi setinggi 2,914 meter itu begitu aktif seperti yang berlaku sekarang. - Agensi


Artikel berkaitan:

Mati dalam keadaan tragis
YOGYAKARTA 5 Nov. -Kebanyakan korban terbaru Gunung Merapi hari ini maut dalam keadaan tragis, apabila mereka ditemui mati di atas katil atau semasa berbual di telefon akibat terkena lahar panas gunung berapi mencecah suhu 1,000 darjah Celcius yang terhambur dari kawah gunung itu hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengeluarkan 31 mayat daripada rumah-rumah yang hangus di Argomulyo, pagi ini, namun masih belum dapat pergi ke bahagian lain di kampung tersebut yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Merapi, kerana keadaan yang terlalu panas.

"Saya menemui tiga mayat terdiri daripada seorang kanak-kanak, ibu dan bapanya yang masih berada di atas katil. Mereka mungkin sedang tidur semasa debu panas Merapi mengganas.

"Mayat mereka melecur teruk. Kami juga menemui satu mayat lelaki dengan telefon bimbit masih berada di tangannya," kata pekerja penyelamat, Utha. - AFP


Artikel berkaitan:

Letusan paling dahsyat sejak 1930

Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my


YOGYAKARTA 5 Nov. - Gunung Merapi meletus lagi malam tadi, letusan paling dahsyat sejak ia mula meletus pada 26 Oktober lalu mengakibatkan 77 orang lagi maut.

Letusan kali ini bukan sahaja menyebabkan korban yang lebih besar tetapi ramai mangsa yang maut, mati dalam keadaan tragis, selain turut menyebabkan banyak rumah hangus, kampung lenyap ditimbus lahar dan debu panas, beribu-ribu penduduk hilang rumah kediaman dan terpaksa dipindahkan serta banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.

Letusan kali ini menghamburkan debu dan awan panas setinggi 8,000 meter serta sejauh 28 kilometer dan memuntahkan lahar serta lumpur bara dan batu-batu yang mengalir menuruni gunung itu menyapu apa sahaja yang merintanginya sepanjang malam tadi sehingga pagi ini mencetuskan keadaan panik dan kelam kabut.

Ramai penduduk yang tinggal di kawasan sekitar gunung itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam keadaan gelap malam serta awan pekat menuju ke jalan-jalan raya untuk mencari perlindungan.

Dengan angka terbaru itu, jumlah korban Gunung Merapi sejak ia mula meletus 26 Oktober lalu, sehari selepas kejadian tsunami di Kepulauan Mentawai di Sumatera Barat akibat gempa bumi, kini meningkat kepada 113 orang.

Jumlah mereka yang telah dipindahkan kini lebih 100,000 orang, dengan 30,000 ditempatkan di stadium sukan kira-kira 25 kilometer dari gunung itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sutjipto di Yogyakarta ditutup berikutan diselubungi debu panas setinggi 2,914 meter yang berbahaya kepada pesawat.

"Berdasarkan letusan hari ini, letupan yang dicetuskan oleh Gunung Merapi kali ini lebih dahsyat daripada letusan pada 1930,'' kata pakar gunung berapi, Subandrio.

Pada 1930, kira-kira 1,300 orang maut apabila gunung itu meletus yang dianggap paling besar sejak 1872.

Zon berbahaya telah diperluaskan dari 15 kilometer hingga 20 kilometer sekitar gunung itu dan mereka yang tinggal dalam radius itu telah diarah berpindah segera, katanya.

Menteri Pengangkutan Indonesia telah mengarahkan juruterbang supaya menjauhkan pesawat mereka kira-kira 12 kilometer dari debu panas gunung berapi itu dan beberapa penerbangan menghubungkan Jawa Tengah dengan Singapura dan Malaysia minggu ini telah dibatalkan.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengumumkan penghantaran satu briged tentera bagi membantu kerja-kerja menyelamat di wilayah Jawa Tengah ekoran tragedi itu. - UTUSAN

0 Penerbangan Singapura - Sidney. Enjin Airbus A380 rosak di udara. Bayangkan perasaan penumpang. Sangat menakutkan



Kapten pesawat Qantas A380 dapat pujian



SYDNEY - Juruterbang pesawat Airbus A380 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura akibat kerosakan satu enjin pesawat itu menerima pujian ekoran kemampuannya mengendalikan pendaratan tanpa berlaku sebarang kemalangan jiwa.

Juruterbang kelahiran Australia, Richard Champion de Crespigny (gambar) berjaya mendaratkan pesawat yang membawa 459 orang dengan hanya mengalami kerosakan pada salah satu sayapnya.

Para penumpang memuji cara de Crespigny, 53, yang memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam penerbangan, menenangkan mereka menerusi pemberitahuan melalui alat Intercom dalam pesawat Airbus ketika saat cemas itu berlaku.

"Saya memohon maaf. Saya pasti anda sedar bahawa enjin kedua pesawat mengalami masalah teknikal. Anda juga pasti tahu bahawa kita tidak akan meneruskan perjalanan ke Sydney.

"Buat masa sekarang, pesawat terbang dalam keadaan selamat. Terima kasih di atas kesabaran anda," kata de Crespigny menerusi rakaman mengenai insiden yang disiarkan di Internet.

"Kapten dan krewnya sangat hebat," kata seorang penumpang, Simon Johnson yang memberitahu para penumpang tidak berasa panik tetapi mengaku kecut perut apabila terdengar bunyi yang kuat dari dalam pesawat.

Isteri juruterbang itu, Coral Champion de Crespigny menyatakan, dia tidak terkejut dengan sikap tenang Richard ketika berdepan dengan situasi sebegitu.

"Saya boleh katakan bahawa para penumpang sangat bertuah kerana Richard yang menjadi juruterbang mereka," katanya kepada akhbar The Australian. - AFP


Artikel berkaitan:


Kesilapan reka bentuk enjin




SEBUAH pesawat Airbus A380 milik Qantas Airlines dibawa masuk ke sebuah hangar untuk diperiksa di sebuah lapangan terbang di Sydney kelmarin.



SYDNEY – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Qantas Airways dari Australia, Alan Joyce semalam menyatakan, bahagian yang rosak atau kesilapan reka bentuk dipercayai menyebabkan letupan pada sebuah daripada empat buah enjin pesawat Airbus A380 miliknya sehingga memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas di Singapura kelmarin.

Letupan pada enjin itu menyebabkan sejumlah serpihan logam bertaburan di Pulau Batam, Indonesia dekat Singapura.

Enjin pesawat itu meletup selepas ia baru berlepas dari lapangan terbang tersebut untuk menuju ke Sydney.

Pesawat itu kemudian berlegar-legar di udara dan membuang minyak sebelum mendarat cemas di lapangan terbang sama.

Ia merupakan insiden paling serius melibatkan pesawat penumpang terbesar di dunia itu sejak ia beroperasi pada 2007.

Kejadian tersebut turut memaksa Qantas membekukan sementara perkhidmatan semua pesawat Airbus A380 miliknya manakala penerbangan-penerbangan lain memeriksa semula enjin pesawat itu.

“Kami percaya insiden berpunca daripada kegagalan bahan atau kesilapan reka bentuk,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Syarikat Qantas membekukan perkhidmatan semua enam pesawat A380 untuk pemeriksaan keselamatan yang melibatkan masa sehingga 48 jam.

“Jika pemeriksaan itu berjalan lancar, pesawat berkenaan akan kembali beroperasi seperti biasa,” kata Joyce.

Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia semalam menyatakan, tiada tanda-tanda insiden pesawat A380 tersebut disebabkan oleh perbuatan khianat.

Pesawat Qantas A380 itu yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan selepas satu enjinnya meletup di udara.



Lubang (dalam bulatan) pada sayap pesawat Airbus A380 milik Qantas Airways yang mendarat cemas di Singapura kelmarin.



Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Ekoran kejadian itu, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa menyatakan, ia tidak menggunakan perkhidmatan sebuah pesawat A380 bagi laluan dari Frankfurt ke Johannesburg kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pemeriksaan enjin.

Pembuat enjin pesawat Airbus itu, Roll-Royce telah mengeluarkan kenyataan meminta pemilik A380 melakukan pemeriksaan enjin.

Namun, syarikat penerbangan Singapore Airlines mengesahkan semua 11 pesawat A380 miliknya adalah selamat untuk digunakan. – Agensi

3 Mungkinkah komet ini sebesar Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera?

Gambar pertama komet jarak dekat



GAMBAR menunjukkan komet Hartley 2 yang dirakamkan dari jarak dekat kelmarin.



WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Kapal angkasa Deep Impact milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merakamkan gambar sebuah komet yang terdekat setakat ini.

Gambar-gambar hitam putih komet berbentuk seperti sebiji kacang tanah dikenali sebagai Hartley 2 itu dirakamkan dari jarak 700 kilometer kelmarin dan ia kemudian dihantar ke sebuah makmal NASA di California, AS untuk dianalisis.

Komet adalah lebihan daripada formasi sistem solar di cakerawala.

Saintis-saintis berminat mengkaji komet untuk mencari petunjuk bagaimana Bumi dan planet-planet lain terbentuk kira-kira 4.5 bilion tahun dahulu.

Jarak terdekat Komet Hartley 2 dari bumi ialah 17.6 juta kilometer pada 20 Oktober lalu selepas ia ditemui pada tahun 1986. - Agensi