.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, January 18, 2010

0 Adi Putra

Kementerian Kesihatan serbu rumah Adi Putra
Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
metahad@hmetro.com.my KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila kediaman kanak-kanak dianggap genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, 11, dan keluarganya di Taman Berlian, Gombak, diserbu Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum ubatan bernilai RM600,000 dirampas, pagi semalam.

Ketika serbuan, dua wanita berada di premis terbabit, seorang dikenali sebagai Titi Sri Wahyuni Bustami, 38, dan seorang lagi dipercayai saudara keluarga Adi Putra.


Bagaimanapun, Adi Putra serta keluarganya tiada di situ kerana dikatakan menghadiri seminar di Sabah dan usaha mendapatkan komen mereka gagal.


Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mazlan Ismail, berkata sebelum serbuan, pihaknya mendapatkan sampel Ubat Penawar Sendi Tulang terbabit di pasaran.


“Hasil ujian klinikal dijalankan, ia disahkan mengandungi steroid dan bukan ramuan tradisional seperti tertera pada pelekat botol.




“Steroid sangat berbahaya kerana boleh mendatangkan kesan sampingan seperti reput tulang, tekanan darah tinggi, badan menjadi sembab, obesiti, kerosakan ginjal dan pelbagai lagi,” katanya di lokasi serbuan.


Dalam masa sama, enam jenis ubatan lain dirampas dan akan menjalani ujian klinikal bagi mengetahui kandungan sebenarnya.


Selain Ubat Penawar Sendi Tulang, ubatan lain dirampas turut tidak mempunyai pengesahan KKM dan dipercayai ada di pasaran sejak beberapa bulan lalu.


“Jika sabit kesalahan, individu berkaitan boleh didakwa mengikut Seksyen 7 (1a) Akta Jualan Dadah 1992 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.


“Kami nasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memilih ubat dan dapatkan nasihat daripada kakitangan farmasi atau doktor pakar sebelum mengambilnya,” katanya.


Sementara itu, Titi Sri Wahyuni mendakwa tidak mengetahui apa-apa berkaitan ubatan itu sama ada ia dibenarkan untuk jualan atau sebaliknya.


“Saya tak tahu apa-apa sebab baru sebulan kerja di sini. Saya hanya bertugas melekatkan label Adi Putra pada botol serta meletakkannya dalam kotak.


“Saya juga tidak pernah memeriksa atau mengesyaki apa-apa sejak bekerja di sini. Saya hanya melakukan tugas manakala waktu kerja juga tidak menentu, pagi dan malam saya berniaga menjual pelbagai jenis pakaian,” katanya.


Sebelum itu, Metro Ahad menerima aduan daripada pihak tertentu yang sangsi dengan Ubat Penawar Sendi Tulang kerana ia sama dengan satu lagi ubat dijual di Kedah.


Bagaimanapun, ubat dengan gambar Adi Putra berjubah juga berserban dijual lebih mahal berbanding di Kedah dengan harga hanya RM6 sebotol.


Tinjauan Metro Ahad terhadap rumah teres dua tingkat itu mendapati banyak kotak dan botol kosong diletakkan di dalam plastik di bahagian bawah kediaman berkenaan.


Ada juga ubatan yang siap berbungkus dan menunggu masa pelanggan datang mengambilnya. Difahamkan, edaran ubatan terbabit adalah ke seluruh negara.

0 Peluang pembisnes untuk menilik pasaran dan buat duit banyak

Sumber: UM:

Iklan akhbar Melayu lebih berkesan

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Pengiklanan dalam suratkhabar di Malaysia masih berkesan seperti enam tahun yang lalu meskipun pelbagai rangkaian media telah bertambah, demikian menurut kaji selidik Omnicom Media Group.

Pengarah Urusannya, Andreas Vogiatzakis berkata, jumlah pendedahan mesej pemasaran kepada pengguna merentasi pelbagai rangkaian media yang baru tidak menjejaskan pengiklanan dalam suratkhabar.

Menurutnya, pembaca suratkhabar yang memberi perhatian terhadap iklan kekal sebanyak 57 peratus pada tahun lalu.

"Bilangan suratkhabar utama juga telah meningkat kepada 35 buah tahun lalu daripada 32 pada tahun 2003 dengan pengedaran di Malaysia berjumlah 4.8 juta.

"Di semenanjung sahaja, pembaca suratkhabar bertambah sebanyak 22 peratus kepada 8.2 juta," katanya selepas majlis pelancaran Optimim Impression 2009, pengukur berasaskan kajian, di sini.

Hasil kaji selidik telah dikemas kini pada 2003 dan penyelidikan terbaru itu dijalankan pada Ogos tahun lalu.

Sebanyak 2,452 iklan dari 15 suratkhabar utama terhadap seramai 1,023 pembaca suratkhabar berumur antara 15 hingga 54 tahun dijalankan untuk dua minggu di sekitar kawasan Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.

Pengarah Komunikasi Dalaman, Asia Pasifiknya, Guy Hearn berkata, kepelbagaian masih wujud merentasi pelbagai segmen demografik dan tajuk akhbar.

"Namun, majoriti iklan yang diberi perhatian menunjukkan kepentingan dan relevannya suratkhabar kepada pengiklan," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Penyelidikannya, Yong Shel Vei memberitahu, perhatian yang diberi terhadap iklan di kalangan pembaca kaum Melayu adalah tinggi hampir 68 peratus berikutan kekurangan iklan yang berselerak dalam akhbar berbahasa Melayu.

Katanya, secara purata, pembaca akhbar Melayu kurang terdedah dengan iklan iaitu 15 peratus lebih rendah berbanding pembaca daripada akhbar Cina.

"Ini sekali gus menjadikan keberkesanan pengiklanan dalam suratkhabar Cina dan Inggeris telah berkurangan berbanding akhbar Melayu," jelasnya.

0 Siapa ingin minta tips berhenti merokok? Saya baru 47 bulan 100% tidak merokok

Sumber: UM:

Sukarnya berhenti merokok
BAGI tiga juta perokok di Malaysia yang membelanjakan lebih RM5 bilion setahun untuk tabiat itu, golongan ini bukannya tidak ambil peduli dengan kempen demi kempen anti rokok yang dipertontonkan di hadapan mereka.

Daripada menteri, wakil rakyat, artis terkenal, remaja dan pelajar sehinggalah terbaru trend merokok di kalangan wanita yang semakin meluas, tabiat itu seolah-olah hak eksklusif yang sukar diubah oleh pihak lain.

Apa tidaknya, jutaan ringgit dibelanjakan kerajaan untuk memerangi gejala merokok, namun kesannya tidak pernah nampak, malah tidak keterlaluan jika usaha murni itu akhirnya disifatkan umum sebagai pembaziran wang rakyat.

Wartawan Unit Khas Utusan Malaysia, NORIMY AIMI, MUHAMAD AMIRUL AFIQ, AZRAI MOHAMMAD dan ROSALINDA MD. SAID mencari seramai mungkin perokok pelbagai latar belakang untuk mengetahui punca mengapa mereka terjebak dan begitu sukar pula meninggalkan tabiat merokok.

Antara penemuannya ialah pengakuan perokok-perokok termasuk wanita bertudung bahawa merokok hak peribadi mereka selain ia lambang kedewasaan, daya penarik bersosial dan kepercayaan boleh menguruskan badan.

Jika itulah yang tertanam di benak mereka, maka amat mudah memahami mengapa Kempen Tak Nak, Klinik Berhenti Merokok dan langkah menaikkan harga, semuanya menemui kegagalan.

Ikuti Bahagian I laporan khas berkaitan.

0 Apakah isu paling serius di Malaysia? Apa isu paling serius di Sabah?

Sumber: BH:

Miskin isu global paling serius


Tinjauan seluruh dunia dedah masalah hidup atasi perubahan iklim, perang

LONDON: Kemiskinan adalah masalah paling serius dihadapi dunia, mengatasi perubahan iklim, keganasan dan perang, menurut satu tinjauan pendapat di seluruh dunia.

Secara keseluruhan 71 peratus responden menyatakan kemiskinan tegar sebagai masalah global paling serius, berbanding 64 peratus menyebut alam sekitar dan 63 peratus kenaikan harga makanan dan bahan api.

Keganasan, isu hak asasi dan penularan penyakit dinyatakan oleh 59 peratus responden, manakala 58 peratus menyebut perubahan iklim dan 57 peratus perang.




"Walaupun kemelesetan ekonomi sejagat sentiasa di fikiran responden tahun lalu, kemiskinan tegar masih dianggap masalah paling serius," kata Sam Mountford, pengarah penyelidikan GlobeScan, firma yang mengendalikan tinjauan pendapat itu bagi pihak badan penyiaran Britain, BBC.

"Ini bermakna tugas badan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu dan G20 kian mencabar bagi menangani isu ini," katanya.

Hasil tinjauan berbeza di antara negara. Responden di India dan Pakistan meletakkan masalah keganasan sebagai paling utama sama seperti di Britain, Indonesia dan Sepanyol, kesemua negara berkenaan sejak beberapa tahun lalu mengalami serangan pengganas.

Jepun muncul sebagai negara tunggal meletakkan perubahan iklim sebagai masalah paling serius, China meletakkan isu itu di tempat kedua dan Amerika Syarikat di tempat kesembilan.

Lebih 25,000 orang di 23 negara ditemu duga secara terus, online atau melalui telefon dalam tinjauan pendapat itu antara Jun hingga Oktober tahun lalu. – AFP