.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, January 23, 2010

0 Siapa mahu manuskrip filem atau drama, sila emel saya di arowana5081@yahoo.com.my. Konsep 1Malaysia

Sumber: Kosmo:

Penerbit filem baru mahu glamor?

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

Muncul nama-nama yang sebelum ini tidak dikenali dalam industri perfileman tempatan yang kemudian meraih label penerbit filem seperti Yasmin Khanif dan Dr. Che Rozmey Che Din.




--------------------------------------------------------------------------------


SEJAK kebelakangan ini, penerbitan filem Melayu menunjukkan peningkatan dari segi bilangan dan jumlah kutipan.

Merujuk kepada Data Filem Malaysia yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), bilangan filem tempatan yang ditayangkan di pawagam sepanjang 2009 berjumlah 26 buah berbanding 25 buah pada 2008, selepas menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 19 peratus jika merujuk kepada bilangan filem pada 2007 yang hanya berjumlah 21 buah.

Sehubungan itu, jumlah kutipan keseluruhan filem 2009 mencecah RM45.05 juta berbanding RM34.51 juta pada 2008 dan RM36.42 juta pada 2007.



JIN HUTAN (kiri) dan Pulau Asmara merupakan antara produksi hasil curahan kreativiti penerbit baru.

--------------------------------------------------------------------------------



Disebabkan itu, muncul ramai penerbit baru yang berlumba-lumba untuk turut menerbitkan filem dan kalau boleh, mereka menyasarkan untuk mengeluarkan sebuah filem bagi setiap bulan.

Justeru, muncul nama-nama yang sebelum ini tidak dikenali dalam industri perfileman tempatan yang kemudian meraih label penerbit filem seperti Yasmin Khanif dan Dr. Che Rozmey Che Din.

Seperti umum sedia maklum, memikul tanggungjawab sebagai seorang penerbit filem bukannya mudah kerana ia melibatkan urusan bisnes yang membabitkan nilai wang mencecah jutaan ringgit.

Jika tersilap langkah, filem terbitan mereka mungkin meraih kerugian.



TIDAK kisah dengan sebarang kritikan, Rozmey (dua dari kiri) tetap dengan pendiriannya untuk menceburkan diri dalam bisnes filem menerusi produksi sulungnya, 2 Alam.

--------------------------------------------------------------------------------


Bagaimanapun kebanyakan golongan penerbit-penerbit baru itu dilihat langsung tiada pengalaman atau kepakaran dalam bidang perfileman.

Justeru, ramai yang mempersoalkan kredibiliti penerbit-penerbit baru ini, khususnya dari segi menandingi penerbit-penerbit yang sedia ada.

Keadaan diburukkan lagi apabila kebanyakan filem-filem yang dihasilkan oleh golongan penerbit baru itu kurang berjaya menarik perhatian penonton di pawagam yang terbukti daripada jumlah kutipan yang diraihnya.

Timbul persoalan adakah golongan penerbit baru itu sekadar ingin mengejar glamor, minat, atau sekadar keseronokan semata-mata.

Jalang, Pulau Asmara, Lembing Awang Pulang Ke Dayang dan Jin Hutan merupakan antara produksi golongan penerbit baru yang dimaksudkan.

Walaupun Jalang meraih publisiti meluas gara-gara aksi panas Yasmin Khanif, penerbit filem tersebut yang juga bertindak sebagai pelakon utamanya, namun ia tetap tidak memberikan sebarang impak sebagai daya tarikan buat penonton.



MENERUSI produksi Jalang, Yasmin Khanif tiba-tiba sahaja bergelar penerbit dan heroin filem Melayu.

--------------------------------------------------------------------------------



Tidak berputus asa, dan walaupun baru saja mengenali dunia perfileman menerusi sebuah filem sahaja, Yasmin mengumumkan bakal menerbitkan filem berjudul Cempaka pula.

Begitu juga dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Herba Prima Sdn. Bhd., Dr. Che Rozmey Che Din atau popular dengan panggilan nama Dr. Rozmey, dia juga kini menjinakkan diri dengan menerbitkan filem sulungnya, 2 Alam.

Saya memang layak! - Rozmey

Biarpun ramai yang mempersoalkan kredibiliti Rozmey dalam penerbitan 2 Alam, dia menganggap itu sekadar pendapat seseorang individu.

Bagi Rozmey, penglibatannya dalam penerbitan filem adalah satu permulaan bagi suatu bisnes baru walaupun di bidang berbeza.

Malah, pengusaha produk kesihatan Jus Mate 5 (JM5) itu percaya, usahanya itu tidak mungkin gagal biarpun dia tahu dia sedang mengambil risiko yang besar.

"Rozmey tak pernah gagal. Saya fokus dan jujur. Dalam kehidupan, kita perlu yakin dengan apa yang dilakukan. Bila orang memberi kritikan maksudnya mereka memberi perhatian pada filem kita.

"Kalau saya menerima kritikan yang buruk, ia bukanlah satu masalah untuk saya kerana ia merupakan senjata utama untuk menjadi lebih baik.

"Lagipun, saya rasa orang yang mempertikaikan seseorang individu adalah orang yang tiada hala tuju. Bila mereka tidak tahu, mereka akan berprasangka pada orang lain, itu adalah normal.

"Biasalah, tugas orang biasa adalah untuk memberi pandangan baik dan buruk. Tugas saya pula adalah melakukan sesuatu di luar jangkaan orang ramai, itu baru pemikiran seorang pemimpin.

"Jadi, saya kena buktikan bahawa filem saya mampu menarik perhatian orang ramai. Lagipun saya bukan nak glamor, cuma sekadar mahu memeriahkan lagi industri filem," hujah Rozmey.

Tambahnya, walaupun dia tidak mempunyai sebarang pengalaman mengenai penerbitan filem, ia bukanlah satu masalah besar baginya.

Apa yang penting, minat serta kerja yang bersungguh-sungguh mampu memberikan kejayaan kepada seseorang itu.

"Kalau nak ikutkan, saya tak tahu berniaga. Saya cuma tahu buat kerja-kerja doktor perbidanan sahaja dan saya langsung tidak tahu mengenai pemasaran.

"Tapi bila dah tahu selok-belok pemasaran, saya buat cara pemasaran saya sendiri. Begitu juga dengan penerbitan filem, saya juga mempunyai cara saya untuk menarik perhatian umum.

"Rasanya, saya memang layak untuk berada di industri perfileman sebab idea saya baru sahaja bermula," tutur Rozmey.

Terbit filem untuk diri sendiri

Lain pula cerita pelakon Yasmin kerana pembabitannya dalam penerbitan filem adalah sebagai persediaan untuk dirinya di masa akan datang nanti.



TIZ ZAQYAH menyarankan setiap pelakon perlu mengetahui latar belakang penerbit filem baru sebelum mengambil keputusan berlakon dalam produksi mereka.

--------------------------------------------------------------------------------



Akuinya, walaupun baru membintangi sebuah filem sahaja, Yasmin mempunyai minat yang mendalam dalam penerbitan filem.

Apatah lagi ia mampu menghasilkan keuntungan yang lumayan jika terkena sasarannya.

"Saya akui, yang saya cuma seorang pelakon baru tetapi sebenarnya dah lama saya berkecimpung dalam bidang komersial.

"Memang perancangan saya mahu membuka perniagaan, kebetulan pula ada orang yang mahu membantu, saya pun teruskan hajat dengan menerbitkan filem Cempaka.

"Berdasarkan komen penerbit-penerbit luar, filem mampu menghasilkan keuntungan yang lumayan, sebab itu saya cuba memberanikan diri dengan menjadi penerbit pula.

"Saya pun dalam dua hingga tiga tahun, orang mungkin tidak mengambil saya berlakon lagi. Memandangkan sekarang ini pun ramai pelakon-pelakon wanita yang baru, saya perlu membuat perancangan saya sendiri.

"Oleh itu, bila saya terbitkan filem sendiri, bolehlah saya pun turut serta untuk berlakon sekali. Rasanya, kebanyakan penerbit filem pun melakukan perkara yang sama.

"Kiranya, menerbitkan filem juga boleh menyelamatkan saya untuk terus berlakon dan berada dalam industri filem tempatan ini," katanya yang mempunyai dana daripada beberapa pihak dalam penerbitan filem Cempaka.

0 Bayangkan anda kehilangan RM10K kerana sindiket klon ATM?

Sumber: UM:

Klon kad ATM bermaharajalela di Indonesia

Oleh BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my

JAKARTA 22 Jan. - Sepanjang minggu ini pemegang akaun bank di Indonesia gelisah setelah dilaporkan wang sebanyak kira-kira RM7 juta lesap daripada 200 pemegang akaun.

Jenayah itu adalah angkara sindiket yang mengklon kad mesin pengeluaran automatik (ATM) dan kebanyakan kes dilaporkan berlaku di Bali.

Ketua Penyiasat Polis Indonesia, Komisioner Jeneral Ito Sumardi berkata, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan memasukkan slot palsu pada mesin ATM bagi memperolehi data pelanggan.

"Apabila kad dimasukkan slot palsu secara automatik akan merakam data pelanggan dan ia digunakan bagi mengklonkan kad berkenaan, manakala nombor PIN pula diperoleh melalui kamera pengintip yang dipasang di premis berkenaan," katanya.

Selepas berjaya mengklon kad, kata Ito, sindiket berkenaan akan mengeluarkan wang atau memindahkan wang menggunakan mesin ATM ke akaun lain.

"Setakat ini aduan diperolehi membabitkan mereka yang pernah melakukan transaksi di mesin ATM di Bali sahaja.

"Oleh itu polis sedang menjejak sindiket berkenaan dan yakin mereka masih berada di Bali," katanya.

Menurut Ito, setakat ini juga belum dapat dipastikan kegiatan itu membabitkan orang dalam.

Dalam pada itu dilaporkan sebanyak 200 aduan telah diterima membabitkan kerugian kira-kira RM7 juta.

Mesin-mesin ATM yang terlibat adalah milik Bank Central Asia (BCA), Bank Negara Indonesia (BNI), Bank International Indonesia (BII), Bank Rakyat Indonesia (BRI), Bank Permata serta Bank Mandiri dan yang paling banyak aduan adalah membabitkan Bank BCA. - Utusan

0 Selamat maju jaya Tunku!


Sumber: UM:

Tunku Ibrahim angkat sumpah




Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar mengangkat sumpah sebagai Pemangku Sultan Johor sambil diperhatikan Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar (kanan) dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim (kiri) di Istana Besar Johor Bahru semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 22 Jan. - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar yang dilantik sebagai Pemangku Raja hari ini bersumpah untuk memerintah dengan adil dan saksama.

Lafaz pemasyhuran itu dilakukan pada pukul 5.10 petang dalam satu upacara di Istana Besar di sini.

Tunku Ibrahim Ismail, 52, dilantik oleh Jumaah Majlis Diraja Johor setelah menerima laporan kegeringan Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail daripada tiga pakar perubatan di Hospital Pakar Johor di sini.

Pada sidang akhbar pukul 11.20 malam ini, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan kemangkatan Sultan Johor pukul 7.15 malam.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail dibuat mengikut Fasal 9 (1)(b) dan 9 (2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895.

Lafaz pemasyhuran itu adalah seperti berikut:

"Bahawa adalah saya, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Sultan Iskandar pada masa memegang jawatan Pemangku Raja bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta'zim dan segala takluknya bersumpah dengan iman bahawa saya mengaku akan memerintah dengan adil saksama dan timbang rasa kepada semua rakyat dan penduduk-penduduk negeri Johor dan saya bersumpah dan mengaku akan memelihara dan menghormatkan agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang kuat dengan Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor dan juga Undang-undang Negeri,"

Putera sulung Sultan Johor dengan isteri pertama, Josephine Ruby Trevorrow itu diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Tunku Ibrahim Ismail yang berjiwa rakyat telah dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor di Istana Besar Johor Bahru pada 3 Julai 1985.

Hasil perkongsian hidup dengan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata, lima putera dan seorang puteri iaitu Tunku Ismail Ibrahim, Tunku Aminah, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar.

Tunku Ibrahim Ismail mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-kanak Tuanku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pelajaran formal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Tunku Mahkota Johor itu kemudiannya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammer School di Australia mulai 1968 hingga 1970.

Tunku Ibrahim Ismail juga pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar (English College Johor Bahru) pada 1971-1975.

Di samping itu, Tunku Ibrahim Ismail turut menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek Johor Bahru.

Setelah tamat persekolahan, Tunku Mahkota telah dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) Kota Tinggi selama tiga bulan untuk menerima latihan asas ketenteraan.

Kemudian Tunku Ibrahim Ismail ke Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS) untuk latihan ketenteraan (Airborne dan Infantery Offices Basic Course) dan kemudian menyambung latihan di Fort Bragg, AS.

Tunku Mahkota turut menjalani latihan penerbangan helikopter di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kluang dan seterusnya ke Fort Wracker, AS untuk latihan lanjutan di Advanced Helicopter Flying's School dan menerima anugerah 'sayap' penerbangannya.

Selain itu, Tunku Ibrahim Ismail juga pernah melanjutkan pengajian di bidang undang-undang dan diplomasi dari Universiti Tufts, AS.

Dalam bidang kesukanan, Tunku Mahkota gemar bermain polo selain menunggang motosikal berkuasa tinggi dan sinonim dengan program Kembara Mahkota Johor yang melawat ke seluruh pelosok negeri ini.

0 Badminton: Malaysia jumpa China


Sumber: UM:

Tan Fook pilih Jiewen sebagai teman hidup


Choong Tan Fook (dua dari kanan) menerima ucapan tahniah daripada pasangan regunya, Lee Wan Wah selepas mendaftar perkahwinannya dengan bekas bintang badminton China, Zhang Jiewen di Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya, semalam. - BERNAMA

--------------------------------------------------------------------------------



PUTRAJAYA - Bekas pakar beregu negara, Choong Tan Fook menamatkan zaman bujangnya, semalam apabila memilih bekas bintang badminton China, Zhang Jiewen sebagai pasangan hidupnya, setelah lima tahun berkenalan.

Tan Fook, 34, dan Jiewen, 29, memeteraikan ikatan perkahwinan mereka secara sivil, di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, dengan ditemani rakan terdekat seperti Lee Wan Wah, Wong Choon Han dan Chew Choon Eng.

Pemain kelahiran Perak itu berpakaian kemas dengan mengenakan seluar hitam yang dipadankan bersama kemeja putih, kelihatan berseri-seri di samping isterinya, Jiewen, yang memakai blaus putih.

Tan Fook, ketika ditemui pemberita berkata, dia dan isteri merancang untuk berbulan madu di Venice, Itali dalam masa terdekat ini.

''Jiewen mahu ke Venice, jadi kami akan bercuti di sana. Sebenarnya saya tidak kisah di mana pun kami akan berbulan madu, kerana di Macau pun memadai bagi saya.

''Tetapi, Jiewen ingin sangat ke Venice, jadi, saya kena ikut sahaja apa yang dia mahukan,'' katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Tan Fook memberitahu, setakat ini, dia serta isteri akan berulang alik Malaysia-China dan tidak membuat sebarang perancangan di mana mereka bakal bermastautin.

Jelasnya, dia yang masih mempunyai kontrak bersama penaja Victor, dan akan terus bermain di pentas antarabangsa bersama pasangannya Wan Wah.

Sementara itu, mengulas mengenai perasaannya setelah bergelar isteri, Jiewen berkata, selama ini, dia hanya melihat adegan perkahwinan di dalam drama televisyen.

''Tetapi kali ini tidak sangka pula ia berlaku kepada diri saya, rupa-rupanya apa yang saya tonton dalam drama televisyen itu sama seperti yang saya lalui hari ini,'' ujarnya.

Menurut Jiewen, buat masa ini, dia yang masih terikat dengan tanggungjawab sebagai pegawai sukan di China, dan akan meneruskan tugasnya itu sehingga selesai.

''Untuk perancangan akan datang biarlah takdir yang akan menentukan,'' katanya.

Pada zaman kegemilangannya, Jiewen, yang genap 29 tahun pada 4 Januari lalu, melakar kebanyakan kejayaan bersama Yang Wei.

Antara pencapaian terhebat mereka termasuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Malah, gandingan Jiewen-Yang Wei juga pernah muncul juara dunia pada 2005 dan 2007.

Tan Fook menjadi pasangan utama negara bersama Lee Wan Wah sebelum mengumumkan keputusan untuk keluar dari skuad kebangsaan sejurus tamat Sukan Olimpik, dua tahun lalu.

Antara kejayaan mereka adalah muncul juara Asia 2006 dan 2007, selain muncul naib juara kejohanan prestij Seluruh England pada 2004.

0 Selamat maju jaya tuanku sultan!

Sumber: BH:

Tunku Ibrahim dimasyhur sebagai Sultan Johor


JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru hari ini.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Bahru, 10.21 pagi.

“Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama,” katanya.




Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.

Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan semua anakanda serta adinda baginda.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada jam 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta. - Bernama

0 Kuching lebih dekat dengan almarhum baginda sultan kerana bangunan sultan iskandar

Sumber: BH:

Sultan Johor mangkat



JENAZAH Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar dari Hospital Pakar Puteri, semalam.



Rakyat berkabung 7 hari; Semua majlis rasmi dibatal; Pemasyhuran sultan baru hari ini

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, yang memerintah Johor hampir tiga dekad, mangkat pada jam 7.15 malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini kerana gering.

Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Pejabat Kerajaan Negeri, Bukit Timbalan, kira-kira jam 11.30 malam tadi.




Baginda yang meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 putera dan puteri, akan dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, kira-kira jam 2 petang ini.

Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada jam 11.30 pagi Jumaat, 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984, baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Terdahulu, di Istana Besar di sini, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad, mengumumkan pelantikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail sebagai Pemangku Raja.

Pelantikan itu dibuat mengikut Fasal 9(1)(b) dan 9(2) Bahagian Pertama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895.

Abdul Ghani pada sidang akhbarnya, berkata pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor pada jam 1 tengah hari di Istana Besar sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar.

Beliau turut mengumumkan hari ini cuti umum untuk seluruh negeri Johor dan semua majlis rasmi termasuk hiburan serta keramaian dibatalkan, manakala tempoh berkabung ialah selama tujuh hari dengan semua bendera negeri dikibarkan separuh tiang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang.

Abdul Ghani berkata, baginda dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kira-kira jam 5 petang kelmarin dan mangkat pada jam 7.15 malam tadi.

Katanya, manakala Istiadat pemakaman Diraja akan bermula pada jam 9 pagi ini di Dewan Besar Istana Besar di sini, dengan orang ramai boleh menziarahi jenazah sehingga jam 10.30 pagi.

Menteri Besar berkata, mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari pula adalah penghormatan terakhir untuk orang kenamaan dan kerabat Diraja.

Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dibawa dari Istana Besar pada jam 1.30 tengah hari sebelum disembahyangkan di Makam Diraja, Bukit Mahmoodiah pada 2 petang.

Abdul Ghani yang baru pulang dari mengikuti lawatan Perdana Menteri di India, berkata semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan majlis tahlil selama tujuh hari se lepas istiadat pemakaman jenazah.

"Tempoh berkabung bagi kerabat Diraja ialah 40 hari manakala rakyat biasa selama tujuh hari," katanya.

Peraturan berkabung bagi lelaki Melayu ialah bersongkok lilit putih dua inci manakala bagi bangsa lain ialah kain hitam lebar tiga inci di lengan kiri.

"Bagi upacara pemakaman, lelaki Melayu berbaju Melayu teluk belanga serba hitam dan lilitan kain putih di songkok hitam dan bagi lelaki bukan Melayu, sut hitam bertali leher dan kain hitam tiga inci di lengan kiri," katanya.