.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 10, 2010

0 Isabella versi 2010 kisah percintaan penuh tragis sebanyak 16 episod. Bukan senang buat shooting di luar negara, dua scene, lebih RM150,00.00

Kelainan Isabella versi 2010

Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
2010/07/09 DI tangan Aziz M Osman menerusi filem Fenomena pada 1990, Isabella adalah milik gadis berdarah Pan Asian, Ramona Rahman. Manakala menerusi filem Isabella usahasama produksi Malaysia Indonesia arahan Boyke Roring juga tahun sama, Isabella menjadi milik pelakon cantik kelahiran Indonesia, Nia Dzulkarnain.

Namun sentuhan berbeza ditampilkan dalam drama bersiri Isabella terbitan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. apabila menampilkan pelakon berdarah Melayu peranakan, Vanidah Imran untuk watak Isabella. Drama cinta penuh tragis sebanyak 26 episod arahan Amie Maziah ini bakal menemui peminat menerusi Astro Prima setiap Selasa, jam 9.30 malam mulai 13 Julai.

Rosyam Nor membawa watak utama sebagai Nazman manakala pelakon lain, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Izreen Azminda, Raja Norbaizura dan Yuswaisar. Kata Rosyam, selama ini semua peminat menganggap Isabella adalah gadis Inggeris, namun dia tergerak membuat kelainan supaya peminat tertarik menonton drama ini.


"Masa perbincangan awal dengan pihak Astro, saya sendiri terfikir nak ambil pelakon berdarah Pan Asian. Tapi Astro cadangkan buat kelainan dan sebut nama Vee (Vanidah). Saya ambil masa dua minggu sebab kena berbincang dengan Amie dulu mengenai konsep cahaya (lighting) yang diinginkan. Akhirnya saya nampak Vee boleh buat watak Isabella. "Ramai tertanya-tanya dengan pilihan ini. Anak saya sendiri bertanya bukankah Isabella itu sebenarnya 'Minah Salih'? Tapi saya jelaskan kepadanya yang Isabella adalah satu nama dan ia boleh jadi sesiapa saja. Yang penting siapa pun yang diletakkan sebagai Isabella, harus ada kredibiliti dan kemampuan dalam lakonan.


"Ini kerana saya harus balas semula kepercayaan yang diberi Astro kepada saya kerana sudah lama saya tak ada projek dengan Astro. Sekarang masanya saya kembali bekerjasama dengan mereka jadi saya kena menuruti segala kehendak mereka yang mahukan drama bermutu serta mempunyai jalan cerita menarik. "Ini ialah percubaan saya dengan Astro dan saya perlukan rating yang tinggi untuk drama ini," katanya.


Isabella yang menjalani penggambaran selama tiga bulan termasuk lokasi dua bandar terkenal dunia, London dan Paris. Kata Rosyam, bukan tugas mudah menggandingkan semua nama besar dalam sebuah drama apatah lagi menjalani penggambaran di Paris dan London yang penuh risiko kerana tanpa permit bekerja.


"Astro hendakkan gambaran adegan di luar negara, jadi saya kenalah ikut walaupun tahu dan faham kesukaran buat penggambaran di tempat yang disebutkan itu. Ini kerana saya pernah berlakon dengan Erma Fatima di London dan sudah jadi macam pekerja Bangladesh kerana kena seret beg sendiri. "Untuk penggambaran di dua tempat itu saja, saya keluarkan bajet RM150,000. Kami masuk tanpa permit kerja dan curi-curi buat penggambaran daripada pengawal bertugas. Kami pergi tanpa bawa peralatan lengkap seperti lighting sehingga terpaksa buat penggambaran dengan mencari sumber yang ada lighting.


"Sejak awal-awal lagi saya dah terangkan kepada semua terbabit dari A hingga Z masalah yang bakal dihadapi. Malah sejak tiba di lapangan terbang Heathrow lagi, rombongan kami seramai 13 orang sudah ditahan kerana disangka mahu cari kerja di London.


"Di Paris pula penggambaran berlangsung selama sehari. Namun nasib agak kurang baik kerana hujan menyebabkan kami tak dapat cari syot yang bagus," katanya.


Rosyam juga menyifatkan statusnya sebagai pelakon 'berusia' menjadi cabaran untuk bersaing dengan pelakon-pelakon baru apatah lagi kena bercinta dengan Vanidah.


"Mungkin orang akan mempertikai, tapi sebenarnya perjalanan cerita ini kena dengan usia Nazman dan Isabella. Pada saya, percintaan adalah universal tanpa mengenal usia. Saya pernah berpasangan dengan pelakon muda dan berusia tapi dalam masa sama, kita tengok juga watak dipaparkan. "Saya tiada masalah dari segi pengucapan cinta dan minta Vee wujudkan keserasian antara kami. Orang selalu salah anggap yang bukan-bukan seperti bila bercinta mesti ada adegan romantik sedangkan banyak cara lain boleh dipaparkan. Saya banyak gambarkan reaksi dari mata sebagai gambaran kami bercinta," katanya.



Mengenai pemilihan lagu nama wanita sebagai judul dramanya, Rosyam berkata ia kerana wanita amat penting buat lelaki. Wanita makhluk yang hebat kerana pada mereka ada segala-galanya. "Di kaki seorang wanita juga ada terletaknya syurga. Saya pilih namakan drama dengan judul lagu kerana rasa bertanggungjawab letakkan lagu-lagu malar segar pada tahap di tempat yang sewajarnya. Ini juga sumbangan saya kepada industri muzik supaya masyarakat tahu kita ada banyak koleksi lagu-lagu menarik. "Saya sanggup berhabis duit bayar pada penciptanya kerana kosnya agak tinggi. Saya bercadang nak buat drama Fantasia Bulan Madu pula selepas ini," kata Rosyam yang mengeluarkan kos keseluruhan RM 1 juta untuk drama ini. Sementara itu, Vee memberitahu tidak menyangka Rosyam menawarkannya berlakon watak Isabella apatah lagi sejak ada anak, dia jarang berlakon drama episod kerana perlukan komitmen sepenuhnya di lokasi.


"Saya terkejut apabila Rosyam hubungi saya hingga terfikir banyak benda dan ingat tak jadi pun tak apa. Tapi apabila dia telefon lagi untuk maklumkan projek drama ini, saya susah pula nak tolak. Tambah lagi apabila dapat skrip, saya rasakan sangat menarik kerana menampilkan percintaan matang. Ia sesuai dengan keserasian saya dan Rosyam.


"Ini lakonan pertama saya bersama Rosyam dan banyak perkara yang saya belajar. Walaupun sudah lama berlakon, pengalaman dengan dia berbeza di mana saya diajar bermain dengan kamera. Rosyam pandai mewarnai sesuatu karektor. Malah ketika proses bacaan skrip lagi, dia minta saya berikan komitmen 200 peratus.


"Ketika penggambaran di Paris dan London, selain dibuat tergesa-gesa, saya juga terganggu dengan keadaan cuaca terlalu sejuk. Bayangkan nak ucapkan dialog pun susah kerana mulut jadi menggigil. Untuk mengatasi keadaan itu, saya spontan beli sarung tangan untuk kurangkan sejuk," katanya.


Artikel berkaitan:




Teragak-agak terima tawaran Rosyam

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



Bukan tidak mahu bergandingan dengan Rosyam, tetapi sejak bernikah dengan aktor yang juga bekas anggota kumpulan muzik Deadmushroom, Rashidi Ishak, hanya sekali dia menerima tawaran untuk drama rantaian iaitu drama berjudul Kamasutra pada tahun 2006.

Semenjak itu, wajah Vanidah atau Vee hanya kelihatan dalam telefilem atau filem sahaja. Menurutnya bukan tiada tawaran drama bersiri yang datang tetapi tugasnya sebagai seorang ibu kepada Mikail Imran, 9, dan Maryam Rashika, 6, membataskannya untuk berjauhan dalam tempoh yang lama dengan dua buah hatinya itu.

Namun, tawaran yang datang daripada seorang sahabat yang dikaguminya itu tidak mampu ditolaknya. Apatah lagi, belum pernah dia berpeluang bergandingan dengan Rosyam untuk watak yang cukup besar.

Justeru, drama bersiri yang mengangkat nama watak utama sebagai judul iaitu Isabella, cukup menarik perhatiannya. Akui Vee, dia sebenarnya takut untuk berkata tidak kepada Rosyam.

"Bukan tidak pernah bergandingan dengan Rosyam tetapi belum pernah untuk watak yang besar seperti ini. Ketika Rosyam hubungi saya tahun lepas, dalam hati berdetik biar betul Rosyam mahu saya jadi heroinnya.

"Sebab apa yang saya tahu dia selalu bergandingan dengan aktres muda saja (ketawa). Dia pun sudah kejar saya untuk drama ini sejak tahun lepas, jadi saya tiada alasan untuk menolak, lagi pun jalan cerita cukup menarik," kata Vee yang ditemui pada majlis pelancaran drama Isabella di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengakui watak Isabella cukup berat buat dirinya, Vee memberitahu kerjasama yang diberikan Rosyam benar-benar membantunya di lokasi penggambaran.

'Bayangkan sebelum penggambaran Rosyam cakap, saya harus beri komitmen 200 peratus dan kalau saya tidak berjaya bawa watak Isabella, drama ini akan hancur.

"Saya jadi takut sebab kalau tidak berjaya habislah saya (ketawa). Tetapi alhamdulillah, melihat hasilnya saya boleh tersenyum, selepas ini terpulang kepada penonton untuk menilainya," ujar Vee mengenai drama yang menjalani penggambaran selama tiga bulan itu.

Kedinginan kota Paris

Cerita Vee, drama yang turut menjalani penggambaran selama lima hari di luar negara iaitu empat hari di London dan sehari di Perancis benar-benar menguji kemampuannya serta keseluruhan krew penggambaran.



Jika di London berlatarbelakangkan London Bridge, Sungai Thames, Big Ben dan Eyes of London. Di Paris pula, tentunya Menara Eiffle menjadi lokasi utama.

Tiada masalah dengan lakonan sepanjang di luar negara, bagaimanapun Vee dan krew harus berdepan dengan cuaca sejuk sehingga mencengkam tulang.

"Kami ingat di Paris sedang musim panas, jadi saya dan krew tidak bawa baju sejuk atau sarung tangan. Apabila sampai sahaja di sana cuaca di sebelah pagi dalam 15 darjah celcius dan waktu pagi dalam 5 darjah celcius.

"Sampai untuk keluarkan dialog pun menggigil-gigil sampai mulut keras tidak boleh bercakap. Sesekali bila angin bertiup, kami semua jadi keras macam batu menahan sejuk," cerita Vee sambil tertawa tentang pengalamannya di Paris.

Ditanya bagaimana bercinta dengan Rosyam yang memegang watak Nazman kekasihnya dalam drama ini, Vee tersenyum dan mengatakan tidak sukar untuknya bercinta dengan Rosyam.

"Senang bercinta dengan abang Rosyam. Dia sangat pemberi jadi tidak secara langsung keserasian antara kami cepat wujud," balasnya.

Disoal pula bagaimanakah dia melakonkan watak Isabella dan dalam masa yang sama menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Vee menjelaskan dia tidak pernah berhadapan sebarang masalah ketika menjalankan kerjanya sebagai pelakon.

"Memang saya sudah berkahwin tetapi kepercayaan itu harus ada dalam diri setiap pasangan. Macam saya dan suami, kami tahu batas-batas yang harus dijaga jadi tidak timbul sebarang masalah antara kami, sama juga halnya ketika saya berlakon dengan abang Rosyam.

"Sebagai isteri dan ibu, saya meneliti setiap watak yang ditawarkan terlebih dahulu. Saya tidak akan sesekali membawa watak yang memalukan suami dan anak-anak saya di sekolah. Saya juga tidak akan sesekali berkemban di dalam drama mahupun filem," ulasnya lagi.



Rosyam nyaris ditahan

Berbicara bersama penerbitnya yang juga peneraju Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Rosyam Nor, pertama kali produksi miliknya melakukan penggambaran di luar negara memberi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Penggambaran yang dilakukan tanpa permit terpaksa dilakukan secara curi-curi berbekalkan tiga buah kamera bersama 18 orang termasuk krew dan pelakon.

"Di sana mahal daripada segala segi termasuk makan dan pengangkutan. Sebab itu, kami redah sahaja walaupun beberapa kali didatangi oleh pihak berkuasa mereka yang meminta kami menghentikan penggambaran.

"Penggambaran di London dan Paris menelan belanja RM100,000 dan sebanyak 26 babak dijayakan di sana. Krew bekerja dari awal pagi sehingga tengah malam. Mujur siangnya lebih panjang dari malam, jadi banyak penggambaran boleh dilakukan dalam sehari," kata Rosyam.

Tambah Rosyam, dia juga nyaris ditahan pihak imigresen di lapangan terbang di London kerana mereka menyangka Rosyam bersama rombongannya datang ke London untuk bekerja.

"Memanglah muka kami semua macam agak selekeh sebab perjalanan yang jauh, jadi mereka ingat kami ke sana untuk bekerja.

"Akhirnya saya minta mereka menaip nama saya di Internet dan keluar semua artikel mengenai saya. Selepas itu baru mereka percaya saya pelakon dan membenarkan kami masuk ke London," ceritanya.

Drama 26 episod yang diarahkan oleh Amie Maziah itu turut dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Raja Norbaizura, Yuswaisar dan seorang pelakon baru yang membawa watak antagonis Izreen Azminda.

Sedikit sinopsis drama Isabella, ia menyingkap kisah cinta Isabella yang mengalami tekanan emosi sejak kehilangan kekasihnya Benjamin akibat kemalangan ketika berada di luar negara.

Ibu bapanya, Borhan dan Kasmah membawa Isabella bertemu pakar jiwa untuk mendapatkan rawatan. Selepas beberapa bulan, Isabella hampir pulih dan mula melupakan kesedihannya.



Ketika dirawat di hospital, Isabella berkenalan dengan seorang pesakit Dr Rahim yang lain iaitu Nazman (lakonan Rosyam) yang turut mengalami trauma dan gangguan emosi selepas kematian isterinya yang sedang mengandung.

Oleh kerana mengalami tragedi hampir sama, mereka mula tertarik antara satu sama lain dan seterusnya bercinta.

Selepas Isabella dan Nazman pulih, mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Namun begitu, pelbagai masalah timbul dan Isabella didatangi seorang gadis bernama Vivian yang mengaku kenalan lama Benjamin. Siapakah Vivian yang sebenar? Untuk mengetahui konflik yang melanda Nazman dan Isabella, jangan lupa menyaksikan drama Isabella setiap Selasa bermula 13 Julai pukul 9.30 malam di Astro Prima.

0 RM5.5j untuk ingkar janji kahwin

Kes Maria Tunku Sabri ditetapkan 30 Julai


2010/07/09 KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Julai untuk keputusan isu perundangan tanpa perbicaraan berhubung tuntutan saman personaliti TV3 Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin.

Wan Johani, 57, didakwa mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana tidak berkahwin dengan Maria.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran peguam Karpal Singh yang mewakli Maria, 40, dan peguam Jangjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili Wan Johani.


Akhbardin memberitahu pemberita bahawa isu undang-undang yang dibangkitkan oleh pihaknya sebelum ini termasuklah kesahihan perjanjian yang dibuat oleh Maria iaitu seorang perempuan Islam yang telah berkahwin.


"Keputusan itu juga berkaitan dengan dakwaan defendan bahawa perjanjian itu tidak sah dan melanggar undang-undang mengikut Seksyen 14 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lagi selagi perkahwinan itu wujud," katanya.


Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani kerana didakwa melanggar perjanjian.


Pada 2004, Maria pengacara program ''Jalan-Jalan Cari Makan'', memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan. Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.-Bernama

0 Bunuh, potong dan beri makan kepada anjing! Apa kesalahan si mati sampai dibunuh sekejam itu? Mungkinkah ada misteri di sebalik kes?

Penjaga gol ditahan kes bunuh kekasih
RIO DE JANEIRO - Penjaga gol dan kapten Flamengo, Bruno Souza menyerah diri kepada pihak polis ekoran menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan kejam bekas kekasihnya, Eliza Samudio.

Insiden itu ternyata mengejutkan ramai pemerhati bola sepak selepas pihak polis mengadakan sidang media pada Khamis lalu mengaitkan pembabitan Souza di dalam kes berkenaan.

''Seorang pemain idola seperti Bruno, yang bermain bersama sebuah kelab besar boleh bersikap seperti syaitan kepada wanita.

''Jenayah ini telah dirancang dengan teliti. Kami boleh menyimpulkan Eliza sebenarnya telah mati,'' kata ketua Pesuruhjaya Polis Edson Moreira, Minas Gerais yang mengetuai siasatan tersebut.

Mayat Samudio masih belum dijumpai, namun sepupu Bruno berusia 17 tahun, dapat membantu siasatan selepas mendakwa mempunyai beberapa bukti kukuh yang dapat dikaitkan dengan penjaga gol itu.

Difahamkan, Bruno pernah dilihat berada berhampiran dengan kawasan rumah Samudio di Belo Horizonte pada bulan lalu sebelum dibunuh dan mayatnya dipercayai dipotong kepada beberapa bahagian sebelum diberikan kepada anjing untuk menghilangkan bukti jenayah. - AFP

0 Rekod adalah untuk dipecahkan, Malaysia bila layak ke final 100 meter olimpik?

Lemaitre pelari kulit putih pertama catat bawah 10 saat
10/07/2010 3:26am

PARIS 10 Julai - Christophe Lemaitre dari Perancis menjadi lelaki kulit putih pertama yang mencatatkan masa di bawah 10 saat dalam acara pecut 100 meter apabila merekodkan masa 9.98 saat, semalam.

Lemaitre, 20, mencatatkan masa tersebut ketika menyertai satu kejohanan di Valence, selatan negara itu.

“Dia adalah pelari kulit putih pertama yang mencatatkan masa di bawah 10 saat dalam acara 100 meter,” kata pegawai medai Persekutuan Atlet Perancis, Jean-Philippe Manzelle kepada Reuters.

Rekod lama Perancis dipegang oleh Ronald Pognon dengan masa 9.98 saat pada 2005 manakala rekod dunia dipegang oleh pelari Jamaica, Usain Bolt dengan masa 9.58 saat. - Reuters

0 Kisah senja seniwati agung negara. Semoga cepat sembuh!

Latifah Omar dimasukkan ke hospital


2010/07/10
KUALA LUMPUR: Seniwati veteran, Latifah Omar dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM), di sini, petang semalam kerana kekurangan air dalam tubuh.

Latifah atau nama sebenarnya, Fatimah Omar, 72, dibawa ke hospital pada jam 2.45 petang selepas mengadu sakit perut dan muntah. Sumber HUKM memberitahu, situasi pelakon yang terkenal dengan tahi lalat di bibir itu stabil tetapi masih diletakkan di bawah pemantauan doktor. “Dia stabil cuma keadaannya masih lemah kerana kehilangan air dalam tubuh disebabkan muntah dan cirit-birit. Doktor juga sudah melakukan prosedur rawatan dan setakat ini mendapati tiada masalah serius.

“Bagaimanapun, dia ditempatkan ke wad pemerhatian untuk pemantauan tahap kesihatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Sumber itu juga memaklumkan Latifah enggan ditemui media dan memohon supaya tidak diganggu kerana mahu berehat.

Pelakon itu sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit seperti kencing manis, ulser perut dan sakit sendi.
Latifah mula mencipta nama menerusi filem Dahlia ketika usia 14 tahun pada 1953 dan pernah membintangi 36 filem termasuk Lanchang Kuning, Laila Majnun, Cucu Datuk Merah, Bawang Putih Bawang Merah dan Putus Sudah Kasih Sayang.

Dia bagaimanapun mengambil keputusan meninggalkan dunia lakonan selepas beraksi dalam filem Hati Batu pada 1973 untuk memberi perhatian kepada keluarganya.

0 Paul Sotong Kurita vs Burung Nuri. Belanda atau Sepanyol?

Burung nuri ramal Belanda, sotong pilih Sepanyol


2010/07/10


MUNIYAPPAN melihat daun pakau Belanda dipilih Mani, di Singapura, semalam.


KUALA LUMPUR: Setelah seekor sotong kurita bernama Paul semakin popular kerana ramalan tepatnya mengenai keputusan kalah menang antara Jerman dan pasukan lawannya, kini muncul pula seekor burung yang membuat ramalan sama dan terbukti turut betul.

Namanya, ‘Mani Si Nuri’, seekor burung nuri yang menetas di Malaysia dan kini dipelihara di Singapura, mula menjadi sebutan apabila meneka tepat Belanda menewaskan Brazil pada perlawanan peringkat suku akhir. Semalam Mani dikatakan meramalkan Belanda bakal menjadi juara dalam edisi Piala Dunia 2010 untuk menewaskan Sepanyol pada perlawanan akhir lusa, manakala Paul memilih Sepanyol. Paul juga dilaporkan membuat ramalan bagi menentukan tempat ketiga Piala Dunia antara Jerman dan Uruguay awal pagi esok dan pilihannya ialah Jerman.

‘Mani Si Nuri’ adalah sebagai pembantu tukang tilik kepada seorang tukang tilik dikenali sebagai Muniyappan di Singapura.

Haiwan kecil ini bersama tuannya mencari rezeki di Jalan Serangoon, Little India di Singapura dan pada musim Piala Dunia, kedua-duanya ‘tumpang sekaki’ membuat ramalan keputusan perlawanan Piala Dunia dengan menggunakan daun pakau.

Apa yang pasti, perlawanan akhir Piala Dunia 2010 kali ini bukan saja bakal menyaksikan pertembungan antara Belanda dan Sepanyol, malah medan menguji keupayaan haiwan di darat dan di air meramal dengan tepat keputusan perlawanan akhir itu.
Edisi Ke-19 Piala Dunia FIFA di Afrika Selatan ibarat ‘cerita 1,001 malam’ turut diserikan dengan kisah ramalan oleh sotong dan burung.


Artikel berkaitan:

BERITA WORLD CUP 2010

AFP/PATRIK STOLLARZ

Paul meramal Jerman sebagai pemenang dalam perebutan tempat ketiga melawan Uruguay, Sabtu (10/7/2010).
Sabtu,10 Juli 2010 | 06:15 WIB
Tabarez: Kami Akan Kalahkan Paul

JOHANNESBURG, KOMPAS.com - Pelatih Uruguay, Oscar Tabarez, mengaku optimistis, timnya akan mengalahkan Jerman pada laga perebutan tempat ketiga Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, Sabtu (10/7/2010) dan dengan begitu mementahkan ramalan gurita bernama Paul.

Paul adalah gurita yang telah meramal enam hasil pertandingan Jerman di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan dengan rekor seratus persen benar. Pada laga terakhir Jerman, yaitu melawan Uruguay, ia menyebut Jerman bakal menjadi pemenang.

"Ini bukan cuma soal mengalahkan Jerman, tetapi juga mengalahkan si gurita. Ini akan menjadi luar biasa dan saya pikir ini mungkin," ujar Tabarez.

"(Bila kami menang), itu akan menjadi pesan bagi setiap orang bahwa tak ada yang mustahil dalam sepak bola," tambahnya. (TEL)


TUR

Editor: tjatur

0 Takkan melayu hilang di dunia, ambil iktibar kejatuhan kesultanan melayu melaka

Melayu – Antara mungkin dan pasti
Oleh Mior Kamarul Shahid

2010/07/10
Senario politik dengan matlamat halalkan cara kian diterima

KETIKA berbual dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik di Kuala Terengganu, Rabu lalu, beliau menarik perhatian kepada satu tajuk berita yang dibacanya di akhbar pagi itu yang menurutnya sebagai salah. Tajuk berita itu berbunyi 'kuasa politik Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah belah'. “Tajuk berita ini tidak betul,” katanya dengan tegas. Beliau menjelaskan, tajuk berita yang betul ialah ‘kuasa politik Melayu pasti hilang jika mereka berpecah belah’. Perkataan ‘mungkin’ sepatutnya diganti ‘pasti’. Daripada raut wajahnya, beliau bukan bergurau atau sinikal terhadap akhbar, tetapi cuba menyampaikan satu mesej yang amat serius mengenai kedudukan orang Melayu hari ini. Katanya, tidak timbul lagi soal orang Melayu mungkin kehilangan kuasa apabila mereka sudah berpecah belah.

“Jika orang Melayu berpecah belah, saya kata, mereka pasti kehilangan kuasa,” jelasnya.

Beliau menguatkan hujahnya dengan analogi jika seseorang tidak makan, tidak timbul soal dia mungkin lapar. Dia pasti lapar jika tidak makan. Begitu juga, jika tidak tidur, dia pasti mengantuk. Tidak timbul soal dia mungkin mengantuk akibat tidak tidur.

Sabbaruddin amat bimbang melihat perpecahan orang Melayu kerana sedar mereka akan lesap segala-galanya. Apa juga keistimewaan yang diperjuangkan selama ini akan terkubur.
Dalam sejarah tamadun dunia, apa-apa pun boleh berlaku. Tidak ada soal mustahil dalam membicarakan tamadun manusia. Kuasa besar yang amat kuat, malah empayar atau dinasti sekali pun, runtuh akibat perbalahan sesama sendiri.

Jika ia membabitkan kaum yang sama seperti di China atau Jepun. Malah di negara kuasa Barat, kejatuhan pemerintah kepada kaum sama. Tetapi, jika ia berlaku di negara yang mempunyai komposisi kaum yang berbeza dan setiap kaum mempunyai kecenderungan untuk menguasai politik, kuasa politik boleh berpindah tangan.

Kerajaan Melayu Melaka jatuh juga adalah berpunca daripada perbalahan dan perebutan kuasa. Jika kerajaan Melayu ketika Kesultanan Melaka boleh tumbang seterusnya ditawan, inikan pula sebuah kerajaan dalam sistem demokrasi yang ditentukan kuasa undi.

Sudah banyak pun kerajaan bertukar tangan. Dalam sistem demokrasi di negara majmuk, perpecahan kaum lebih mudah berlaku. Kuasa kaum majoriti menjadi lebih kecil apabila berlaku perpecahan undi. Dalam konteks politik Malaysia, ia adalah satu senario yang boleh menyebabkan ‘apa-apa pun boleh berlaku’.

Tahap paling tinggi perpecahan orang Melayu berpunca daripada perbezaan ideologi politik kepartian. Bila agama turut dimasukkan pula ke dalam politik, perpecahan kian ketara. Orang Melayu yang mewakili 60 peratus penduduk negara ini berpecah sekurang-kurangnya kepada tiga aliran pemikiran yang dikemudi oleh parti politik.

Sekali pun berdasarkan kepada kadar purata 40 peratus UMNO:15 peratus PAS dan lima peratus Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia tetap perpecahan ketara undi orang Melayu. Dalam konteks negara majmuk, ia adalah perpecahan yang menakutkan.

Dalam senario politik yang mana matlamat menghalalkan cara diterima sebagai norma politik, keadaan sebegini lebih dilihat sebagai tindakan untuk melakukan apa cara sekali pun demi untuk merampas kuasa. Selain daripada itu hanyalah alasan.

Dalam politik Malaysia, sub-perpecahan orang Melayu berlaku sehingga ke peringkat kampung dan daerah akibat tidak sefahaman yang diada-adakan dan soal titik bengik. Semua ini memberi kesan kepada undi dan menyebabkan perpecahan pasti berlaku yang akhirnya mengakibatkan orang Melayu kehilangan kuasa.

Antara akhbar dan filem

Ketika berbincang dengan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) diketuai Ketua Pengarahnya, Mohd Mahyidin Mustakim, yang melawat Balai Berita, Selasa lalu, perbincangan menyentuh soal industri akhbar dan filem.

Industri akhbar dan filem mempunyai banyak persamaan. Persamaan ini bukannya disebabkan dua-duanya adalah tergolong dalam komunikasi media, tetapi dari segi perniagaan dan kumpulan sasaran.

Akhbar memerlukan pembaca, manakala filem memerlukan penonton. Bagaimana pun, dari segi operasinya adalah berbeza kerana akhbar perlu cepat mencari bahan setiap hari, manakala filem memerlukan masa untuk membuat kajian.

Kemahiran dalam dua bidang ini juga jauh berbeza. Dalam dunia yang penuh saingan ini, persoalan sejauh manakah industri ini boleh bertahan, tidak dapat dielakkan. Akhbar akan terus wujud selagi pembaca memerlukan maklumat baru menerusi saluran yang pelbagai.

Begitu juga dengan filem, selagi penonton tidak jemu menonton filem di pawagam. Hari ini kedua-dua industri itu menghadapi saingan paling sengit. Akhbar bukan saja menghadapi saingan saluran maklumat daripada televisyen dan akhbar lain, tetapi daripada apa juga bahan bacaan khasnya media baru.

Filem juga menghadapi saingan daripada ratusan stesen televisyen yang menyiarkan filem yang juga bertujuan untuk menarik pelanggan, DVD, internet dan sebagainya.

Atas keyakinan akhbar akan menjaga kredibiliti, menyiarkan berita yang tepat, benar dan memberi maklumat berguna kepada pembaca, manakala FINAS pula menerbitkan atau membantu syarikat filem tempatan menerbitkan filem bermutu, kedua-dua industri ini akan terus kekal dan mendapat pasaran.

0 Remaja lari dari rumah? Salah sendiri? Salah Ibu-bapa? Salah agama? Salah syaitan? Salah iblis? Salah barat? Salah zionis? Salah freemason? Antiagama?

Lima kategori lari dari rumah untuk mencari kebebasan luar


2010/07/10
MASALAH pelajar lari dari rumah sebenarnya bukan hanya membabitkan kes tidak pulang sehingga beberapa hari atau berminggu-minggu, malah ia sebenarnya turut merangkumi kes remaja dikesan 'lari beberapa jam' semata-mata kerana mahu mencari kebebasan di luar.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Che Din, berkata isu remaja dan pelajar lari rumah pada masa ini boleh dipecahkan kepada lima kategori dengan semuanya berpunca daripada pelbagai faktor di rumah termasuk kurang perhatian ibu bapa. Katanya, kategori pertama adalah pelajar yang keluar rumah selepas sesi persekolahan dengan tujuan melepak bersama rakan sebaya di kompleks beli-belah atau kedai kopi kerana tidak selesa tinggal di rumah dan mereka ini hanya pulang menjelang lewat petang setiap hari. Kategori kedua pula, katanya, pelajar yang sengaja keluar rumah beberapa hari dengan memberi alasan kepada ibu bapa kononnya ada aktiviti tertentu seperti menyiapkan tugasan sekolah tanpa memberitahu dengan tepat ke mana mereka pergi.

“Manakala kategori ketiga yang juga boleh dikategorikan lari rumah ialah keluar mengikut orang dikenali seperti kakak atau abang angkat dan sepupu dengan menggunakan alasan sebagai ‘lesen’ untuk tidak pulang selama beberapa hari atau beberapa minggu.

“Kategori keempat ialah remaja lari rumah tanpa diketahui puncanya. Mereka ini biasanya mahukan kebebasan dan hanya pulang ke rumah selepas tempat yang dituju sebenarnya lebih teruk berbanding di rumah terutama menjadi mangsa dera atau dijadikan mangsa seks,” katanya kepada Berita Harian.

Dr Mohd Fadzil berkata, kategori kelima membabitkan kes lebih tegar iaitu remaja terbabit boleh disifatkan sebagai pelari tegar yang lari kerana inginkan kebebasan atau mengikut rakan sebaya dan tidak mahu langsung pulang ke pangkuan keluarga.
“Dalam kajian yang dijalankan ISM di rumah kebajikan dan perlindungan di ibu negara, kebanyakan remaja yang ditemui mengaku lari rumah antara tiga hingga empat kali, malah ada juga yang lari sampai tujuh kali dengan 70 peratus menjalankan aktiviti lepak dan berjalan-jalan tanpa tujuan di samping 10 peratus pula mengaku menghidu gam,” katanya.

Sementara itu, kajian Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menunjukkan hampir 10 peratus ibu bapa tidak berperanan sebagai pemimpin untuk membimbing dan mencorak anak-anak ke arah kebaikan menyebabkan kes lari rumah meningkat dan berada pada tahap membimbangkan.

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kebanyakan alasan yang diberikan bapa adalah kesibukan di tempat kerja menyebabkan mereka tiada masa menghabiskan masa bersama anak-anak dan sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada pembantu rumah atau isteri yang tidak bekerja.

Katanya, kajian juga menunjukkan ibu bapa di negara ini berkomunikasi dengan anak-anak kurang 30 minit setiap hari menyebabkan jurang antara anak dan ibu bapa terlalu luas mengakibatkan mereka lebih selesa mencari rakan di luar untuk meluahkan perasaan.

"PIBGN mengakui masalah ini berada pada tahap membimbangkan. Namun, perlu diingat punca utama anak-anak lari rumah kerana kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa dan mereka lebih selesa mencari rakan sebaya di luar untuk berhibur.

"Jika kasih sayang dan perhatian mencukupi mampu diperoleh di rumah, pastinya gejala lari rumah tidak berlaku kerana kasih sayang antara ibu bapa dan anak terlalu erat," katanya.


Artikel berkaitan:

Laporan Khas: 'Kenangan paling buruk dalam hidup'
Oleh Nor Fazlina Abd Rahim dan Wan Faizal Ismayatim

2010/07/10
Pergaulan bebas bersama rakan, inginkan keseronokan menjadi punca pelajar bertindak berani meninggalkan keluarga

PASIR MAS: "Saya sudah insaf dan tekad untuk berubah menjadi seorang anak yang baik... kejadian lalu adalah kenangan paling buruk dalam hidup saya," luah seorang pelajar yang mahu dikenali sebagai Diana, 17, yang mengaku tiga kali lari dari rumah sejak dua tahun lalu. Dia sedar tindakannya selama ini memalukan air muka keluarganya. Namun perkara itu sudah berlalu dan masa tidak mampu diputar kembali kepada asal dan akan menjadikan pengajaran kepada kehidupan lebih baik. Mengimbas kembali tindakannya lari rumah sebelum ini termasuk kali terakhir pada Februari lalu, Diana berkata, pergaulan bebas bersama rakan dan inginkan keseronokan menjadi punca dia bertindak berani meninggalkan keluarga.

Malah, dia juga sanggup meninggalkan sekolah tanpa memaklumkan kepada sesiapa dan mengikut rakan lelaki ke ibu negara dan Johor semata-mata ingin mengenali dunia luar dan merasai keseronokan.

"Setiap kali lari rumah, paling lama seminggu sebelum saya pulang tanpa rasa bersalah. Ketika itu, tidak berfikir langsung kesan buruk hingga sanggup bermalam dengan rakan lelaki, perasaan ibu bapa juga tidak pernah terlintas di fikiran.

"Apa yang saya tahu, ingin mencari keseronokan bersama rakan tanpa dibelenggu bebanan kerja sekolah. Saya tahu setiap kali melakukan perbuatan itu, keluarga bimbang dan sibuk mencari termasuk merayu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta saya pulang, namun tidak diendahkan.
"Selepas menikmati keseronokan, saya pulang tanpa rasa takut dan bersalah, sebaliknya hanya memberitahu keluarga mengikut rakan berkhemah bagi mencari ketenangan," katanya ketika ditemui Berita Harian.

Diana berkata, lima bulan lalu dia melarikan diri ke Johor selama empat hari selepas menerima ajakan rakan lelaki.

"Akibat perbuatan kali ketiga itu, ibu saya jatuh sakit kerana bimbang keselamatan saya sehingga tidak sedarkan diri. Namun, adik-beradik lain tidak memaklumkan keadaan ibu kerana telefon bimbit saya dimatikan dengan alasan tidak mahu diganggu.

"Lebih menyedihkan, ibu yang semakin tenat menghembuskan nafas terakhir jam 5.30 pagi pada 20 Februari lalu tanpa kehadiran saya di sisi," katanya tersekat-sekat menahan sebak.

Katanya, ketika pulang ke rumah dari Johor itu, dia terkejut apabila melihat ramai orang di rumahnya seolah-olah ada kenduri.

"Ketika itu, adik saya memberitahu ibu sudah meninggal dunia dan sempat menyebut nama saya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Pada waktu itu, dada saya bagaikan dihempap batu dan dunia menjadi gelap.

"Sejak itu, saya mula berubah... saya insaf, tetapi terpaksa menerima hakikat tidak sempat memohon maaf kepada ibu,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis, Pahang, yang dilaporkan hilang selama seminggu akhir Mei lalu, mendakwa mengalami tekanan perasaan akibat perceraian ibu bapanya akhir tahun lalu.

Muhamad Shafrie Shahiran berkata, kehidupannya tertekan sebaik ibu bapanya berpisah dan tidak tinggal sebumbung menyebabkannya nekad melarikan diri ke Kuala Lumpur untuk menumpang rumah rakan.

“Jika sebelum ini, ibu menjadi tempat mengadu masalah, tetapi kini dia sudah tinggal di Kuala Lumpur dan saya pula bersama bapa di Pahang. Berpunca tekanan perasaan itu menyebabkan saya tekad melarikan diri tanpa memikirkan ibu bapa yang bimbang terhadap keselamatan saya,” katanya.

Katanya, selepas seminggu menghilangkan diri, dia melihat gambar ibunya di sebuah akhbar yang menjejaki kehilangannya menyebabkan dia menjadi sayu dan ambil keputusan pulang.

"Selepas pulang, saya memohon maaf kepada keluarga terutama ibu dan ayah dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang boleh menyusahkan semua orang," katanya.

0 Dilema pelajar universiti bila terlanjur dan mengandung. Apabila jadi kes tanda pesawat, jadi kes profail tinggi

Wanita pam bayi baru lahir dalam tandas pesawat


2010/07/09
NEW DELHI: Seorang wanita India yang melahirkan bayi dalam tandas sebuah pesawat penumpang antarabangsa cuba mengepam bayinya itu ke dalam lubang tandas.

Bayi terbabit ditemui tersangkut dalam lubang tandas selepas pesawat terbabit mendarat di Amritsar, utara India dan dikejarkan ke hospital bersama mangkuk tandas, kata polis dan doktor kepada Press Trust of India. Seorang doktor di Hospital Escort berhampiran lapangan terbang itu, H.P Singh berkata sepasukan doktor bedah terpaksa menggunakan pemotong untuk mengeluarkan kepala bayi terbabit daripada mangkuk tandas. Ibu berusia 22 tahun itu dilaporkan meninggalkan pesawat sebaik saja ia mendarat, tetapi ditahan di lapangan terbang selepas krew kabin Turkmenistan Airlines menemui bayi terbabit.

Doktor dan hospital berkata bayi terbabit dalam keadaan kritikal.

Akhbar melaporkan ibu terbabit, pelajar perubatan yang tidak berkahwin pulang ke rumahnya selepas menamatkan pengajian di luar negara. AFP


Artikel berkaitan:

Buang bayi dalam tandas pesawat


2010/07/09 NEW DELHI: Seorang wanita melahirkan anak di bilik air sebuah pesawat dan cuba menghapuskan bayi itu dengan membuangnya ke dalam tandas kapal terbang itu.

Bayi itu yang tersekat dalam tandas berkenaan ditemui selepas pesawat itu mendarat di Amritsar, utara India.

Dia dikejarkan ke hospital dengan keadaannya masih tersekat dalam tandas itu, kata polis dan doktor kepada agensi berita, Press Trust of India.


Doktor HP Singh dari Hospital Escorts, berhampiran lapangan terbang itu berkata, sepasukan pakar bedah menggunakan gergaji memotong tandas berkenaan bagi mengeluarkan kepala bayi itu.


Ibu berusia 22 tahun itu dilapor meninggalkan pesawat terbabit sebaik ia mendarat tetapi ditangkap di lapangan terbang berkenaan tidak lama kemudian selepas kakitangan Syarikat Penerbangan Turkmenistan menemui bayinya.


Doktor berkata, bayi itu dalam keadaan kritikal.


Menurut laporan, ibu itu ialah pelajar perubatan yang masih belum berkahwin, kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya.


Pesawat itu tiba di Amritsar dari Ashgabat di Turkmenistan. - AFP

0 Apa penyebab kepada sakit mental anak osama bin laden?

Anak Osama bercerai selepas dengar suara ganjil

LONDON - Anak lelaki Ketua Al-Qaeda, Osama bin Laden bercerai dengan isterinya yang berketurunan Inggeris yang telah memeluk agama Islam, lapor sebuah akhbar semalam.

Osama yang dikehendaki oleh pemerintah Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa menaja keganasan kini didakwa bersembunyi di kawasan pergunungan di Pakistan dan Afghanistan.

Anak lelaki Osama itu bercerai selepas dia mendakwa kerap mendengar suara bapanya.

Omar telah dimasukkan ke sebuah hospital mental pada minggu lalu dan dia diberikan ubat sakit schizophrenia.

Dia yang berumur 29 tahun turut berkelakuan aneh selama beberapa minggu termasuk pernah disaman sebanyak £3,000 (RM14,544) kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dan dia turut ketagih membeli-belah.

Isteri Omar, Zaina atau nama asalnya, Jane Felix Browne yang berusia 54 tahun mendedahkan kepada sebuah akhbar Britain bahawa dia kecewa dengan perpisahan mereka tetapi tidak tahan lagi dengan perangai ganjil suaminya.

"Memang benar ikrar perkahwinan kami untuk bersama di waktu sihat dan sakit tetapi jika perangai ganjilnya berterusan saya akan mati dahulu," katanya.

Zaina yang pernah berkahwin sebanyak enam kali sebelum ini bagaimanapun memberitahu, dia tahu Omar mengalami sakit mental semasa mereka berkenalan.

Omar telah memohon visa untuk tinggal di Britain sebanyak enam kali tetapi semua permohonannya ditolak. - Agensi

0 UFO masih menjadi misteri kepada manusia. Siapakah mereka ini?

Lapangan terbang terpaksa ditutup sebab UFO



SATU cahaya yang aneh bergerak dengan laju di ruang
angkasa bandar Hangzhou baru-baru ini.



BEIJING - Sebuah lapangan terbang antarabangsa di timur China terpaksa ditutup apabila pengawal-pengawal kawalan trafik udara mengesan kehadiran sebuah objek terbang yang tidak dikenali (UFO) menerusi skrin radar, lapor sebuah akhbar semalam.

Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Xiaoshan di bandar Hangzhou, wilayah Zhejiang, Rabu lalu menyebabkan semua penerbangan keluar ditunda manakala pesawat yang hendak mendarat dilencong ke lapangan terbang berdekatan.

Objek misteri itu dilaporkan muncul di radar pada waktu malam dan sempat dirakamkan oleh seorang penduduk tempatan manakala ramai saksi mendakwa mereka juga melihat sebuah bebola api yang menyerupai komet di langit.

UFO tersebut kemudian hilang di skrin radar namun pegawai-pegawai lapangan terbang itu mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti objek berkenaan.

Seorang pemandu bas yang melintasi objek aneh itu melintasi ruang angkasa berkata, ia terbang begitu laju ke arah barat umpama melarikan diri daripada sesuatu. - Agensi