.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 10, 2010

0 Isabella versi 2010 kisah percintaan penuh tragis sebanyak 16 episod. Bukan senang buat shooting di luar negara, dua scene, lebih RM150,00.00

Kelainan Isabella versi 2010

Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my
2010/07/09 DI tangan Aziz M Osman menerusi filem Fenomena pada 1990, Isabella adalah milik gadis berdarah Pan Asian, Ramona Rahman. Manakala menerusi filem Isabella usahasama produksi Malaysia Indonesia arahan Boyke Roring juga tahun sama, Isabella menjadi milik pelakon cantik kelahiran Indonesia, Nia Dzulkarnain.

Namun sentuhan berbeza ditampilkan dalam drama bersiri Isabella terbitan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. apabila menampilkan pelakon berdarah Melayu peranakan, Vanidah Imran untuk watak Isabella. Drama cinta penuh tragis sebanyak 26 episod arahan Amie Maziah ini bakal menemui peminat menerusi Astro Prima setiap Selasa, jam 9.30 malam mulai 13 Julai.

Rosyam Nor membawa watak utama sebagai Nazman manakala pelakon lain, Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Izreen Azminda, Raja Norbaizura dan Yuswaisar. Kata Rosyam, selama ini semua peminat menganggap Isabella adalah gadis Inggeris, namun dia tergerak membuat kelainan supaya peminat tertarik menonton drama ini.


"Masa perbincangan awal dengan pihak Astro, saya sendiri terfikir nak ambil pelakon berdarah Pan Asian. Tapi Astro cadangkan buat kelainan dan sebut nama Vee (Vanidah). Saya ambil masa dua minggu sebab kena berbincang dengan Amie dulu mengenai konsep cahaya (lighting) yang diinginkan. Akhirnya saya nampak Vee boleh buat watak Isabella. "Ramai tertanya-tanya dengan pilihan ini. Anak saya sendiri bertanya bukankah Isabella itu sebenarnya 'Minah Salih'? Tapi saya jelaskan kepadanya yang Isabella adalah satu nama dan ia boleh jadi sesiapa saja. Yang penting siapa pun yang diletakkan sebagai Isabella, harus ada kredibiliti dan kemampuan dalam lakonan.


"Ini kerana saya harus balas semula kepercayaan yang diberi Astro kepada saya kerana sudah lama saya tak ada projek dengan Astro. Sekarang masanya saya kembali bekerjasama dengan mereka jadi saya kena menuruti segala kehendak mereka yang mahukan drama bermutu serta mempunyai jalan cerita menarik. "Ini ialah percubaan saya dengan Astro dan saya perlukan rating yang tinggi untuk drama ini," katanya.


Isabella yang menjalani penggambaran selama tiga bulan termasuk lokasi dua bandar terkenal dunia, London dan Paris. Kata Rosyam, bukan tugas mudah menggandingkan semua nama besar dalam sebuah drama apatah lagi menjalani penggambaran di Paris dan London yang penuh risiko kerana tanpa permit bekerja.


"Astro hendakkan gambaran adegan di luar negara, jadi saya kenalah ikut walaupun tahu dan faham kesukaran buat penggambaran di tempat yang disebutkan itu. Ini kerana saya pernah berlakon dengan Erma Fatima di London dan sudah jadi macam pekerja Bangladesh kerana kena seret beg sendiri. "Untuk penggambaran di dua tempat itu saja, saya keluarkan bajet RM150,000. Kami masuk tanpa permit kerja dan curi-curi buat penggambaran daripada pengawal bertugas. Kami pergi tanpa bawa peralatan lengkap seperti lighting sehingga terpaksa buat penggambaran dengan mencari sumber yang ada lighting.


"Sejak awal-awal lagi saya dah terangkan kepada semua terbabit dari A hingga Z masalah yang bakal dihadapi. Malah sejak tiba di lapangan terbang Heathrow lagi, rombongan kami seramai 13 orang sudah ditahan kerana disangka mahu cari kerja di London.


"Di Paris pula penggambaran berlangsung selama sehari. Namun nasib agak kurang baik kerana hujan menyebabkan kami tak dapat cari syot yang bagus," katanya.


Rosyam juga menyifatkan statusnya sebagai pelakon 'berusia' menjadi cabaran untuk bersaing dengan pelakon-pelakon baru apatah lagi kena bercinta dengan Vanidah.


"Mungkin orang akan mempertikai, tapi sebenarnya perjalanan cerita ini kena dengan usia Nazman dan Isabella. Pada saya, percintaan adalah universal tanpa mengenal usia. Saya pernah berpasangan dengan pelakon muda dan berusia tapi dalam masa sama, kita tengok juga watak dipaparkan. "Saya tiada masalah dari segi pengucapan cinta dan minta Vee wujudkan keserasian antara kami. Orang selalu salah anggap yang bukan-bukan seperti bila bercinta mesti ada adegan romantik sedangkan banyak cara lain boleh dipaparkan. Saya banyak gambarkan reaksi dari mata sebagai gambaran kami bercinta," katanya.



Mengenai pemilihan lagu nama wanita sebagai judul dramanya, Rosyam berkata ia kerana wanita amat penting buat lelaki. Wanita makhluk yang hebat kerana pada mereka ada segala-galanya. "Di kaki seorang wanita juga ada terletaknya syurga. Saya pilih namakan drama dengan judul lagu kerana rasa bertanggungjawab letakkan lagu-lagu malar segar pada tahap di tempat yang sewajarnya. Ini juga sumbangan saya kepada industri muzik supaya masyarakat tahu kita ada banyak koleksi lagu-lagu menarik. "Saya sanggup berhabis duit bayar pada penciptanya kerana kosnya agak tinggi. Saya bercadang nak buat drama Fantasia Bulan Madu pula selepas ini," kata Rosyam yang mengeluarkan kos keseluruhan RM 1 juta untuk drama ini. Sementara itu, Vee memberitahu tidak menyangka Rosyam menawarkannya berlakon watak Isabella apatah lagi sejak ada anak, dia jarang berlakon drama episod kerana perlukan komitmen sepenuhnya di lokasi.


"Saya terkejut apabila Rosyam hubungi saya hingga terfikir banyak benda dan ingat tak jadi pun tak apa. Tapi apabila dia telefon lagi untuk maklumkan projek drama ini, saya susah pula nak tolak. Tambah lagi apabila dapat skrip, saya rasakan sangat menarik kerana menampilkan percintaan matang. Ia sesuai dengan keserasian saya dan Rosyam.


"Ini lakonan pertama saya bersama Rosyam dan banyak perkara yang saya belajar. Walaupun sudah lama berlakon, pengalaman dengan dia berbeza di mana saya diajar bermain dengan kamera. Rosyam pandai mewarnai sesuatu karektor. Malah ketika proses bacaan skrip lagi, dia minta saya berikan komitmen 200 peratus.


"Ketika penggambaran di Paris dan London, selain dibuat tergesa-gesa, saya juga terganggu dengan keadaan cuaca terlalu sejuk. Bayangkan nak ucapkan dialog pun susah kerana mulut jadi menggigil. Untuk mengatasi keadaan itu, saya spontan beli sarung tangan untuk kurangkan sejuk," katanya.


Artikel berkaitan:




Teragak-agak terima tawaran Rosyam

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my



Bukan tidak mahu bergandingan dengan Rosyam, tetapi sejak bernikah dengan aktor yang juga bekas anggota kumpulan muzik Deadmushroom, Rashidi Ishak, hanya sekali dia menerima tawaran untuk drama rantaian iaitu drama berjudul Kamasutra pada tahun 2006.

Semenjak itu, wajah Vanidah atau Vee hanya kelihatan dalam telefilem atau filem sahaja. Menurutnya bukan tiada tawaran drama bersiri yang datang tetapi tugasnya sebagai seorang ibu kepada Mikail Imran, 9, dan Maryam Rashika, 6, membataskannya untuk berjauhan dalam tempoh yang lama dengan dua buah hatinya itu.

Namun, tawaran yang datang daripada seorang sahabat yang dikaguminya itu tidak mampu ditolaknya. Apatah lagi, belum pernah dia berpeluang bergandingan dengan Rosyam untuk watak yang cukup besar.

Justeru, drama bersiri yang mengangkat nama watak utama sebagai judul iaitu Isabella, cukup menarik perhatiannya. Akui Vee, dia sebenarnya takut untuk berkata tidak kepada Rosyam.

"Bukan tidak pernah bergandingan dengan Rosyam tetapi belum pernah untuk watak yang besar seperti ini. Ketika Rosyam hubungi saya tahun lepas, dalam hati berdetik biar betul Rosyam mahu saya jadi heroinnya.

"Sebab apa yang saya tahu dia selalu bergandingan dengan aktres muda saja (ketawa). Dia pun sudah kejar saya untuk drama ini sejak tahun lepas, jadi saya tiada alasan untuk menolak, lagi pun jalan cerita cukup menarik," kata Vee yang ditemui pada majlis pelancaran drama Isabella di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara baru-baru ini.

Mengakui watak Isabella cukup berat buat dirinya, Vee memberitahu kerjasama yang diberikan Rosyam benar-benar membantunya di lokasi penggambaran.

'Bayangkan sebelum penggambaran Rosyam cakap, saya harus beri komitmen 200 peratus dan kalau saya tidak berjaya bawa watak Isabella, drama ini akan hancur.

"Saya jadi takut sebab kalau tidak berjaya habislah saya (ketawa). Tetapi alhamdulillah, melihat hasilnya saya boleh tersenyum, selepas ini terpulang kepada penonton untuk menilainya," ujar Vee mengenai drama yang menjalani penggambaran selama tiga bulan itu.

Kedinginan kota Paris

Cerita Vee, drama yang turut menjalani penggambaran selama lima hari di luar negara iaitu empat hari di London dan sehari di Perancis benar-benar menguji kemampuannya serta keseluruhan krew penggambaran.



Jika di London berlatarbelakangkan London Bridge, Sungai Thames, Big Ben dan Eyes of London. Di Paris pula, tentunya Menara Eiffle menjadi lokasi utama.

Tiada masalah dengan lakonan sepanjang di luar negara, bagaimanapun Vee dan krew harus berdepan dengan cuaca sejuk sehingga mencengkam tulang.

"Kami ingat di Paris sedang musim panas, jadi saya dan krew tidak bawa baju sejuk atau sarung tangan. Apabila sampai sahaja di sana cuaca di sebelah pagi dalam 15 darjah celcius dan waktu pagi dalam 5 darjah celcius.

"Sampai untuk keluarkan dialog pun menggigil-gigil sampai mulut keras tidak boleh bercakap. Sesekali bila angin bertiup, kami semua jadi keras macam batu menahan sejuk," cerita Vee sambil tertawa tentang pengalamannya di Paris.

Ditanya bagaimana bercinta dengan Rosyam yang memegang watak Nazman kekasihnya dalam drama ini, Vee tersenyum dan mengatakan tidak sukar untuknya bercinta dengan Rosyam.

"Senang bercinta dengan abang Rosyam. Dia sangat pemberi jadi tidak secara langsung keserasian antara kami cepat wujud," balasnya.

Disoal pula bagaimanakah dia melakonkan watak Isabella dan dalam masa yang sama menjaga statusnya sebagai seorang isteri dan ibu, Vee menjelaskan dia tidak pernah berhadapan sebarang masalah ketika menjalankan kerjanya sebagai pelakon.

"Memang saya sudah berkahwin tetapi kepercayaan itu harus ada dalam diri setiap pasangan. Macam saya dan suami, kami tahu batas-batas yang harus dijaga jadi tidak timbul sebarang masalah antara kami, sama juga halnya ketika saya berlakon dengan abang Rosyam.

"Sebagai isteri dan ibu, saya meneliti setiap watak yang ditawarkan terlebih dahulu. Saya tidak akan sesekali membawa watak yang memalukan suami dan anak-anak saya di sekolah. Saya juga tidak akan sesekali berkemban di dalam drama mahupun filem," ulasnya lagi.



Rosyam nyaris ditahan

Berbicara bersama penerbitnya yang juga peneraju Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., Rosyam Nor, pertama kali produksi miliknya melakukan penggambaran di luar negara memberi pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Penggambaran yang dilakukan tanpa permit terpaksa dilakukan secara curi-curi berbekalkan tiga buah kamera bersama 18 orang termasuk krew dan pelakon.

"Di sana mahal daripada segala segi termasuk makan dan pengangkutan. Sebab itu, kami redah sahaja walaupun beberapa kali didatangi oleh pihak berkuasa mereka yang meminta kami menghentikan penggambaran.

"Penggambaran di London dan Paris menelan belanja RM100,000 dan sebanyak 26 babak dijayakan di sana. Krew bekerja dari awal pagi sehingga tengah malam. Mujur siangnya lebih panjang dari malam, jadi banyak penggambaran boleh dilakukan dalam sehari," kata Rosyam.

Tambah Rosyam, dia juga nyaris ditahan pihak imigresen di lapangan terbang di London kerana mereka menyangka Rosyam bersama rombongannya datang ke London untuk bekerja.

"Memanglah muka kami semua macam agak selekeh sebab perjalanan yang jauh, jadi mereka ingat kami ke sana untuk bekerja.

"Akhirnya saya minta mereka menaip nama saya di Internet dan keluar semua artikel mengenai saya. Selepas itu baru mereka percaya saya pelakon dan membenarkan kami masuk ke London," ceritanya.

Drama 26 episod yang diarahkan oleh Amie Maziah itu turut dibintangi oleh Datuk Rahim Razali, Fauziah Nawi, Omar Abdullah, Kartina Aziz, Corrine Adrienne, Raja Norbaizura, Yuswaisar dan seorang pelakon baru yang membawa watak antagonis Izreen Azminda.

Sedikit sinopsis drama Isabella, ia menyingkap kisah cinta Isabella yang mengalami tekanan emosi sejak kehilangan kekasihnya Benjamin akibat kemalangan ketika berada di luar negara.

Ibu bapanya, Borhan dan Kasmah membawa Isabella bertemu pakar jiwa untuk mendapatkan rawatan. Selepas beberapa bulan, Isabella hampir pulih dan mula melupakan kesedihannya.



Ketika dirawat di hospital, Isabella berkenalan dengan seorang pesakit Dr Rahim yang lain iaitu Nazman (lakonan Rosyam) yang turut mengalami trauma dan gangguan emosi selepas kematian isterinya yang sedang mengandung.

Oleh kerana mengalami tragedi hampir sama, mereka mula tertarik antara satu sama lain dan seterusnya bercinta.

Selepas Isabella dan Nazman pulih, mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Namun begitu, pelbagai masalah timbul dan Isabella didatangi seorang gadis bernama Vivian yang mengaku kenalan lama Benjamin. Siapakah Vivian yang sebenar? Untuk mengetahui konflik yang melanda Nazman dan Isabella, jangan lupa menyaksikan drama Isabella setiap Selasa bermula 13 Julai pukul 9.30 malam di Astro Prima.

0 comments: