.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, September 09, 2012

0 Alang-alang bisnes biar modal juta-juta

Labur RM10j Oleh Mohd Nor Asri Yaacob bisnes@hmetro.com.my TIARA Pesona Sdn Bhd, syarikat milik Bumiputera yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres, Ekspres Perdana melabur hampir RM10 juta untuk menambah 12 buah bas baru bagi meningkatkan lagi operasi pengangkutan sekali gus melonjakkan lagi jumlah penumpang yang kini sudah mencapai 27,000 menerusi perkhidmatan 20 bas sedia ada. Ketua Pegawai Eksekutif Ekspres Perdana, Laili Ismail berkata, sebagai permulaan, enam daripada bas berkenaan akan mula beroperasi pada Oktober depan manakala selebihnya pada awal tahun depan. “Kita meningkatkan operasi dengan menambah jumlah bas selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna selain menyediakan perkhidmatan yang selesa,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya dan Hari Kemerdekaan di pejabat Ekspres Perdana di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kelantan. Ekspres Perdana ketika ini menumpukan perkhidmatan membabitkan perjalanan dari Kota Bharu ke Lembah Klang dan Kuantan selain beberapa negeri seperti Melaka dan Negeri Sembilan. Sementara itu, Laili berkata, syarikat juga kini sudah melebarkan perkhidmatannya ke Wilayah Utara sejak bulan lalu dan mencapai kira-kira 5,000 penumpang selain memberi tumpuan kepada perkhidmatan bas pelancong dengan menyediakan bas berkonsepkan jeti ke jeti bermula dari Kuala Besut, Terengganu hingga Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang. “Konsep ini memudahkan pelancong bergerak ke tempat pelancongan secara individu tanpa menggunakan bas dan secara tidak langsung memajukan industri pelancongan tempatan dengan menawarkan perkhidmatan bas yang selesa,” katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/08

Wednesday, September 05, 2012

0 Buta sejarah atau menyokong penubuhan Melayu Raya?

'Sang Saka Malaya' bukan bendera asal Tanah Melayu MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN 4 September 2012 Bendera Persekutuan Tanah Melayu Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang diguba pakai dari 1896 hingga 1950 Bendera Sang Saka Malaya Bendera Sang Saka Malaya yang dikibarkan, Khamis lalu SHAH ALAM – Dakwaan kumpulan yang mengibarkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ pada Himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Khamis lalu, bagi menggantikan Jalur Gemilang kononnya ia bendera asal Tanah Melayu disanggah pakar sejarah. Bukan itu sahaja, pakar sejarah turut menggelar kumpulan tersebut sebagai pelupa dan jahil sejarah tanah air. Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, Tanah Melayu tidak pernah menggunakan bendera tersebut sebagai bendera rasmi walaupun ketika dijajah. Menurutnya, warna merah putih yang dinamakan Sang Saka itu adalah bendera yang digunakan kumpulan yang menyokong pembentukan Indonesia Raya dan sentimennya dibawa pertama kali ke Tanah Melayu oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938 pimpinan Ibrahim Yaakob. “Perkara yang diperjuangkan kumpulan KMM ini adalah memerdekakan Tanah Melayu, tetapi dengan cara bergabung dengan Republik Indonesia Raya atau Melayu Raya. “Namun majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu tidak bersetuju perjuangan mereka kerana orang Melayu mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam, kerana itu majoriti memilih perjuangan Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Katanya, selepas KMM diharamkan, ideologi itu dibawa pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr Burhanuddin Helmi dan Ahmad Boestamam. “Mereka menggunakan bendera Sang Saka ini dalam ceramah mereka, namun perjuangan mereka ini ditolak majoriti rakyat Tanah Melayu, tetapi saki baki pendukung ideologi itu hari ini cuba menghidupkannya semula,” katanya. Semalam, Sinar Harian melaporkan blogger 'Singa Selatan' mengakui membawa bendera baru pada sambutan kemerdekaan tanah air kerana Sang Saka Malaya bendera itu adalah simbolik panji perjuangan dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Sementara itu, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata, bendera Sang Saka itu memang sering digunakan oleh negeri-negeri Nusantara sejak dahulu lagi, namun ia bukanlah bendera asal Tanah Melayu. Katanya, dakwaan bahawa bendera itu sebagai bendera asal adalah sesuatu yang amat bodoh dan cubaan mempersoalkan kedaulatan negara. “Parti yang mendukung pembentukan Indonesia Raya telah diharamkan, tetapi penyokongnya masih ada, jadi mereka cuba membuat pembohongan besar dengan cuba menukar sejarah kononnya itu adalah bendera asal,” katanya.

0 Hebatnya Hasihin, atlit paralimpik Malaysia menang pingat perak memanah

Hasihin raih perak memanah Hasihin Sanawi meraikan kejayaan merangkul pingat perak pada Sukan Paralimpik 2012 dalam acara memanah recurve individu W1/W2 (berkerusi roda) di London, semalam. - BERNAMA LONDON - Pemanah elit paralimpik negara Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama kepada kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik London apabila meraih pingat perak, semalam. Pada saingan akhir acara recurve individu lelaki W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack dekat sini, Hasihin tumpas kepada Oscar de Pellegrin dari Itali dalam pusingan penentuan selepas kedua-dua pemanah itu terikat 5-5 selepas lima set. Turut menyaksikan kejayaan cemerlang Hasihin ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Paralimpik London, Datuk Zolkples Embong; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail; Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin. "Saya memang tidak fikir apa-apa... syukur kepada Allah atas kejayaan pingat perak ini. "Pencapaian ini adalah yang terbaik sepanjang setahun saya melibatkan diri dalam sukan memanah. "Saya tidak pernah bertemu dia (Oscar) sebelum ini, jadi saya hanya fokus dan cuba memberikan saingan yang terbaik," katanya. Hasihin berkata, beliau juga gembira kerana berjaya melunaskan impian bekas pemanah elit paralimpik negara, Allahyarham Mohd. Salam Sidik untuk mengalahkan pemanah Iran, Ebrahim Anjbarkivaj dalam saingan separuh akhir. "Saya ingat lagi arwah pernah kata dia hendak kalahkan pemanah Iran itu suatu hari nanti. Saya pegang kata-kata arwah itu dan bila berjumpa Ebrahim, saya berjaya kalahkan dia," kata pemanah berusia 27 tahun itu yang pertama kali beraksi di Sukan Paralimpik. Allahyarham Mohd. Salam yang meninggal tahun lepas, semasa hayatnya berada pada ranking kedua dunia, tumpas kepada Ebrahim pada Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada 2010. Terdahulu pada saingan separuh akhir hari ini, Hasihin yang turut terikat dengan kedudukan 5-5, berjaya melepasi pusingan penentuan apabila memperoleh 10 mata berbanding Ebrahim yang hanya meraih lapan mata. Hasihin akan meneruskan cabaran negara dalam acara berpasukan bersama Zulkifli Mat Zain dan Mohd. Zafi Rahman Mat Salleh pada Sukan Paralimpik. - Bernama

0 Bagaimana melepasi kekangan untuk berkarya kreatif di Malaysia?

Analog: Kekangan minda sekat karya hebat 05/09/2012 - 05:39:11 AM Imlan Adabi Cetak Emel Kawan Kita masih terhalang menikmati karya di luar pemikiran perdana. Walaupun ada yang mendakwa 55 tahun merdeka bermakna kita bebas menafsir dan membuat keputusan, tidak banyak karya yang menduga minda untuk ditonton atau dibaca. Justeru, kita kekal membaca buku atau novel popular, cinta kecundang atau jodoh tak sampai. Kita sekadar menonton filem gred B yang sekadar aksi lasak dan cinta tiga segi. Kita jarang diberi peluang membaca buku yang mencabar minda atau menonton filem yang di luar pemikiran sendiri. Setiap tahun Hollywood menghasilkan hampir 1,000 filem dan Bollywood pula 1,500 judul. Hanya dua peratus karya mereka dianggap bermutu, berbanding yang berlambak di pawagam kita sekadar adegan ganas, cinta dan hantu. Tiga filem yang paling mendapat sambutan dunia tahun ini bukan karya terbaik. Mission Impossible: Ghost Protocol (kutipan RM87 juta), Sherlock Holmes: A Game of Shadows (RM59.7 juta) dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (RM49.4 juta). Filem berkenaan sekadar hebat dengan teknologi dan kesan bunyi, bukan mutu dan mesej yang membentuk minda. Malang bagi peminat seni di Malaysia kerana kita dibekalkan dengan karya sampah-sarap, termasuk karya tempatan yang memaparkan cerita seram atau lawak murahan. Jika ada pun karya yang boleh dimanfaat, skrip lama masih berulang – sensitiviti agama, kaum, budaya dan klise Melayu. Karya yang baik diharamkan atau ditunda penayangan dan penerbitan. Malang bagi peminat seni di Malaysia kerana kita dibekalkan dengan karya sampah-sarap, termasuk karya tempatan yang memaparkan cerita seram atau lawak murahan. Jika ada pun karya yang boleh dimanfaat, skrip lama masih berulang – sensitiviti agama, kaum, budaya dan klise Melayu. Karya yang baik diharamkan atau ditunda penayangan dan penerbitan. Unsur perkauman, ganas Keadaan berlarutan hingga menyebabkan filem Tanda Putera hanya ditayang pada 15 November. Polemik yang timbul bukan kerana seni analisis tapi hal di luar kesenian itu sendiri. Kononnya filem ini ada unsur perkauman dan keganasan. Ada yang mendakwa kepentingan politik kepartian. Kita sukar merumus tanpa menilai dan mengkaji sesebuah karya. Sebelum ini beberapa karya besar dunia dinafikan tayangan di Malaysia. Filem Schindler’s List (1993) karya Steven Spielberg diharamkan Lembaga Penapis Filem kerana dikaitkan unsur Yahudi. Begitu juga Saving Private Ryan dan The English Patient kerana pengarahnya Yahudi. Kita menjadi tabu dengan Yahudi walaupun pada masa sama kita menerima idea mereka untuk sistem kewangan, teknologi, pengurusan dan politik. Begitu juga buku yang mencabar pemikiran dan tradisi turut menjadi mangsa keadaan. The Malay Dilemma oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang dihasilkan pada 1970 hanya berada di pasaran pada 1981 selepas beliau dilantik Perdana Menteri. Ada yang menuduh Dr Mahathir anti-Islam dan rasis. Selepas buku itu diteliti, dakwaan sebelumnya ternyata meleset. Tradisi kesusasteraan tidak pernah sunyi dengan polemik. The Satanic Verses karya Salman Rushdie diharamkan di banyak negara kerana menghina Islam serta memburukkan Nabi Muhammad dan Siti Aishah. Cerpen Langit Makin Mendung yang dihasilkan penulis Indonesia, Ki Panji Kusmin tidak kurang mengundang kontroversi. Karya yang diterbitkan Majalah Sastra, edisi Ogos 1968 dianggap menghina peristiwa israk mikraj. Menghina Islam Sasterawan dan cendekiawan, Dr Kassim Ahmad juga tidak terkecuali menerima tempias apabila sajak Sidang Roh dianggap menghina Islam. Dia terpaksa menerima ganjaran mahal apabila ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata dituduh komunis. Bagi pengkaji yang jujur menilai, Sidang Roh tidak lebih sebagai karya seni yang mengungkapkan jiwa kacau apabila dunia menguasai minda manusia. Mungkin ‘dosa’ bagi sajak ini kerana ungkapan ‘perlu satu-satu diperhitungkan kembali, hari ini kita dewasa tanpa Tuhan tanpa impian/kerana besok mungkin terlalu lewat/bagi kiamat yang telah ditangguhkan.’ Karya yang dihasilkan di Petaling Jaya pada Ogos 1960 adalah pengalaman peribadi penulis yang menghadapi cabaran pemikiran dan persekitaran urban. Dua buku yang diperdebatkan tahun ini adalah karya Irshad Manji dan Faisal Tehrani. Buku Allah, Liberty and Love diharamkan pengedaran kerana dikaitkan tafsiran bebas terhadap agama. Irshad yang didakwa lesbian pernah mengalami nasib sama di Indonesia apabila majlisnya terpaksa dibatalkan kerana bantahan gerakan Islam. Faisal yang menghasilkan Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang dituduh menyelitkan unsur Syiah dalam karya. Dari segi sejarah, novel Putera Gunung Tahan karya Pak Sako diharamkan British sebelum kemerdekaan negara. Mungkinkah selepas 55 tahun merdeka ada novel lain yang diharamkan?

Monday, September 03, 2012

0 Apabila Orang Semenanjung kurang arif tentang Sabah dan Sarawak

TV3, Nurul Syuhada mohon maaf Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA kamilah.mustapha@kosmo.com.my BINTULU yang juga bandar keempat terbesar di Sarawak berkembang pesat hasil pembangunan sektor minyak dan gas. KUALA LUMPUR – Stesen televisyen TV3 dan pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin, 28, (gambar kecil) memohon maaf berhubung ulasan semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lalu berkenaan pemilihan lokasi sambutan Hari Malaysia di Bintulu, Sarawak yang dikatakan daif. TV3 membuat permohonan maaf dalam satu kenyataan di sini semalam sementara Nurul Syuhada pula menulisnya dalam laman sosial Facebook beliau setelah menerima kritikan serta gesaan pelbagai pihak supaya berbuat demikian. “Sebagai seorang anak jati Malaysia, saya tidak pernah dan tidak akan kritik tanah air saya atau mana-mana wilayah negara ini dan kepada orang-orang yang tersinggung, saya minta maaf,” kata Nurul Syuhada dalam laman web sosial itu semalam. Beliau turut memetik kembali ulasan yang dibuatnya dalam program itu yang menimbulkan rasa kurang senang terutama masyarakat di Bintulu yang berbunyi: “Kawasan luar bandar yang daif tapi telah melalui pelan-pelan transformasi yang ingin disampaikan...berjaya dan terus mengangkat bandar itu (Bintulu) sendiri.” Selain memohon maaf, Nurul Syuhada yang dikecam dalam Facebook sempat mengingatkan kepada mana-mana pihak yang menyemai perasaan kebencian terhadapnya bahawa mereka akan diadili oleh Tuhan. Sementara itu, Unit Perhubungan Awam TV3 dalam kenyataannya mereka semalam menyatakan, isu itu timbul ekoran salah tafsir sesetengah pihak mengenai ulasan pengacara MHI itu. “Bagi pihak TV3, kami ingin menerangkan bahawa terdapat salah tafsiran terhadap penyampaian oleh pengacara kami, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd. Zin ketika merujuk kepada pemilihan Bintulu sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia tahun ini semasa siaran lintas langsung Perarakan Hari Kemerdekaan ke-55 pada Jumaat lepas. “Kami meminta maaf jika salah tafsir ini menyinggung mana-mana pihak. Nurul Syuhada dan TV3 tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan bandar tersebut,” jelasnya. Sejurus selepas program tersebut, pelbagai pihak termasuk Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak menggesa Nurul meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya semasa lintas langsung itu. Naib Ketua Pemuda PBB, Pandi Suhaili dilaporkan berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga menyebabkan beliau beranggapan bahawa bandar itu sebagai daif walhal ia antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menerusi hasil gas dan minyak. Bintulu bakal menjadi tuan rumah perayaan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.

0 Program Datuk Bandar di Palestin

Gadis 16 tahun jadi datuk bandar dua bulan ALLAR - Seorang gadis berusia 16 tahun, Bashaer Othman (gambar kecil) kembali semula ke sekolah selepas beliau menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar selama dua bulan di sebuah bandar kecil di Tebing Barat, Palestin. Beliau menjadi Datuk Bandar Allar yang mempunyai 8,000 penduduk. Beliau menjadi datuk bandar pada 2 Julai lalu semasa usianya 15 tahun. Bashaer menjadi datuk bandar menerusi program projek parlimen muda yang dikendalikan Forum Pemuda Sharek. Tujuan program itu diperkenalkan adalah untuk melibatkan golongan muda dalam pentadbiran tempatan Palestin. "Saya datang ke pejabat pada setiap pukul 8 pagi dan meneliti banyak fail, menandatangani dokumen selain bertemu dengan anggota-anggota majlis perbandaran. "Saya juga melakukan banyak lawatan untuk menyelesaikan masalah dengan segera," katanya. Menurutnya, dia berasa takut memegang tanggungjawab yang terlalu banyak namun menganggapnya sebagai satu cabaran. Selepas enam jam bekerja, Bashaer pulang ke rumah dan melakukan rutin harian sebagai seorang gadis termasuk bermain permainan komputer. Terdapat 11 anggota majlis perbandaran, enam daripadanya dari parti Fatah, lima lagi mewakili pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza. Menurut Bashaer, semua anggota majlis tersebut memberikan sokongan kepadanya. Gadis itu diberikan kuasa penuh sebagai datuk bandar. Bagaimanapun, dia hanya dibenarkan utnuk menandatangani kelulusan kewangan setakat AS$75 (RM52.92). Menurutnya, dia berharap akan menjadi datuk bandar sekali lagi. - AFP

Saturday, September 01, 2012

0 Masuk Universiti adalah permulaan menimba banyak ilmu yang relevan

Masuk universiti bukan kemuncak pelajaran 01/09/2012 - 05:32:40 AM Ikbal Salam Cetak Emel Kawan Sejak beberapa tahun lalu ramai sahabat berstatus majikan mengeluh mengenai kualiti graduan Melayu yang menghadiri temu duga. Ramai yang tidak menggambarkan mereka lulusan institusi pengajian tinggi apabila gagal menjawab soalan pengetahuan am yang secara logiknya patut diketahui graduan. Sudah menjadi kelaziman dalam sesi temuduga hari ini seorang graduan tidak mampu menyampaikan hujah dan idea secara kritikal dan bernas. Malah ada yang tidak mampu menyatakan nama tokoh negara hingga menimbulkan kecurigaan terhadap keaslian ijazah yang dibawa. Akibat tiada pilihan, ramai majikan menutup sebelah mata dan berharap graduan berkenaan menjadi lebih matang dan menunjukkan kebolehan sebenar apabila diambil bekerja. Malangnya, kebolehan yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul dan tahap prestasi kerja mereka hanyalah setakat memenuhkan bilangan kakitangan. Ramai juga graduan Melayu yang tidak mampu mendapatkan kerja yang sesuai dengan kelulusan kerana tidak langsung mempunyai keyakinan diri dan tiada kemahiran tambahan. Sedih bercampur geram apabila melihat bakat muda ini hanya mampu menjaja ijazah dan diploma ke sana sini sebelum akhirnya menjadi pembantu jualan langsung atau memenuhi jawatan tidak mencabar yang memerlukan kelulusan sijil persekolahan saja. Kejayaan masuk universiti bukan tanda mereka sudah menjadi pelajar cemerlang, sebaliknya ia permulaan kepada usaha menimba sebanyak mungkin ilmu yang relevan dengan kehidupan masa depan” Lemah di alam universiti Sejak kecil lagi mereka menyatakan cita-cita ke menara gading yang menjadi matlamat akhir pemburuan ilmu mereka. Mereka mengharungi persekolahan dengan bersungguh-sungguh dan melepasi satu persatu sistem peperiksaan perdana. Setiap tahun semakin ramai yang memperoleh banyak atau semua A untuk subjek yang diambil. Akhirnya mereka berjaya menempatkan diri di universiti yang semakin banyak pada hari ini. Malangnya pendaftaran sebagai seorang pelajar universiti yang sepatutnya menjadi titik mula kepada pembentukan seorang profesional tidak berjaya diterjemahkan kepada kehidupan mahasiswa dan mahasiswi ini. Ini disebabkan persepsi sebahagian mereka yang menganggap memasuki universiti adalah kemuncak kehidupan mereka mencari ilmu. Oleh kerana kemuncaknya sudah diperoleh, maka ramai pelajar Melayu yang dahulunya begitu aktif di alam persekolahan menjadi kian lemah di alam universiti dan seolah-olah hilang minat meneroka dan menguasai cabang ilmu yang luas. Lebih parah lagi ada yang mengambil kursus tidak lagi menjadi keperluan pasaran pekerjaan. Pemikiran mereka seperti mentaliti sebahagian ahli sukan kita yang menganggap penyertaan dalam Sukan Olimpik adalah kejayaan mutlak. Sebab itulah apabila ditemu ramah media Malaysia, sebahagian mereka langsung tidak menunjukkan rasa bersalah akan kekalahan mereka, seolah-olah mereka sekadar penonton temasya sukan itu. Ini berbeza dengan ahli sukan negara lain yang menganggap hanya pencapaian pingat emas boleh dianggap sebagai tercapainya kemuncak matlamat. Graduan biasa Kini ramai anak muda Melayu yang berjaya ke universiti sehingga dianggap perkara biasa. Keadaan ini berbeza berbanding zaman ibu bapa kita dulu hinggakan satu kampung berkenduri meraikan kejayaan anak jiran masuk universiti. Gambaran penghormatan anak muda dulu yang berjaya masuk universiti adalah seperti diberikan kepada Datuk Lee Chong Wei ketika kembali dari temasya Olimpik London baru-baru ini. Tuntutan terhadap graduan kini sudah jauh berbeza. Kejayaan masuk universiti bukan tanda mereka sudah menjadi pelajar cemerlang, sebaliknya ia permulaan kepada usaha menimba sebanyak mungkin ilmu yang relevan dengan kehidupan masa depan. Mereka hendaklah menjadikan universiti sebagai platform menanamkan keyakinan dan melatih ketrampilan diri. Amat mendukacitakan apabila sebahagian graduan Melayu menjadi begitu kaku dan hambar hinggakan terlalu bergantung kepada pasaran kerja ditawarkan institusi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan. Untuk berjaya dalam kehidupan hari ini, graduan Melayu perlu mempunyai selera untuk menjadi individu yang hebat. Malangnya, ramai yang hanya mampu menjadi graduan biasa hinggakan ke sesi temu duga terpaksa ditemani ibu bapa lantaran tiada keyakinan diri. Tiada apa boleh dibanggakan dalam resume mereka jika dibandingkan dengan graduan bangsa lain yang hadir dengan keyakinan diri untuk berhujah dan kemampuan menguasai beberapa bahasa. Selepas melalui proses memperkukuh ketahanan diri Ramadan lalu, pelajar Melayu hendaklah dengan serius merenung sejenak arah tuju masa depan mereka dan bertindak bagi memperbaiki tahap pencapaian orang Melayu dalam negara kita. Kadang-kadang apabila kita terlalu beralah dan perlahan, kita juga yang akhirnya dipinggir dan ditinggalkan. Anak muda Melayu hari ini adalah pewaris bagi menerus dan meningkatkan kedudukan agama Islam dan orang Melayu. Tidak mengapalah menjadi Melayu yang kiasu asalkan sikap itu tidak pula menindas orang lain.