.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, October 28, 2011

0 Persaingan masa depan adalah persaingan mencari makanan?

Pertanian lubuk kekayaan generasi baru

Oleh NORDIN ABDUL MALEK
PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech

WARREN Buffett, seorang pelabur hartanah dan antara manusia paling kaya di dunia kini sanggup berpanas di gurun Futuo, Ghana bagi projek mega tanaman soya dan jagungnya yang bernilai lebih AS$38 juta. Projek-projek pertanian beliau kini diamanahkan kepada anak lelakinya, Howard Buffett untuk diberikan perhatian yang lebih serius.

Di sebalik label diktator, Muammar Gaddafi pernah melakukan dasar drastik untuk mengubah landskap ekonomi Libya dan bagi menggelakkan kebergantungan dunia luar dengan membina sistem saliran air paling efisien di dunia bagi disalurkan ke tanah-tanah kontang Libya bagi tujuan pertanian.

Walaupun Libya merupakan negara pengeksport minyak kelapan terbesar di dunia, sebahagian besar pendapatan negara disalurkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan pertaniannya.

Semua fakta di atas sebenarnya menggambarkan persiapan untuk berdepan dengan krisis yang paling digeruni oleh lebih enam bilion penduduk dunia yang bakal melanda pada tahun 2050 kelak iaitu krisis makanan dunia.

Peningkatan suhu dan perubahan iklim dunia, pertambahan penduduk dan keluasan tanah pertanian yang semakin berkurangan merupakan petanda-petanda awal bahawa teori krisis makanan ini perlu diambil perhatian dengan lebih serius oleh semua pihak.

Namun, di sebalik kekalutan ini, ia juga merupakan rahmat kepada sesiapa yang bijak mengambil peluang terutamanya kepada golongan petani untuk mencipta kekayaan.

Bagi para petani di Malaysia khususnya, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa merekalah golongan yang paling bertuah jika dunia dilanda krisis makanan nanti, kerana bumi Malaysia sememangnya dicipta subur untuk pertanian tanpa perlu jutaan ringgit bagi pembinaan saliran canggih dan tidak perlu untuk kita sampai ke Afrika mengintai peluang bertani di sana seperti yang dilakukan sesetengah negara lain.

Dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), sektor pertanian diberikan perhatian yang khusus dan diangkat menjadi salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Bajet 2012 pula memperlihatkan keseriusan negara dalam memajukan sektor ini apabila peruntukan keseluruhan bagi pertanian ditambah kepada RM29.8 bilion berbanding RM3.8 bilion tahun lalu.

Peluang sudah terbentang luas, bantuan sudah dihulurkan oleh pihak kerajaan, tapi persoalannya, sejauh manakah masyarakat petani sedia ada di Malaysia bersedia untuk berdepan dengan tekanan yang amat tinggi dari seluruh dunia dan masih berkesankah teknik serta minda pertanian konvensional generasi petani terdahulu?

Tugas dan tanggungjawab ini seharusnya digalas oleh generasi baru, terutamanya graduan-graduan berteraskan pertanian kerana kepesatan industri pertanian dunia ini memerlukan minda yang segar dan nilai inovasi yang tinggi selaras dengan peredaran zaman agar industri pertanian kita tidak terus ketinggalan.

Generasi muda pertanian ini pula perlu berani dan diberikan galakan untuk menjadi usahawan kerana adalah mustahil untuk memiliki kekayaan seperti yang digambarkan selain menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Hal ini bersesuaian dengan Hadis Rasulullah SAW iaitu 9 daripada 10 pintu rezeki adalah daripada perniagaan. Mungkin ia satu kebetulan apabila ketika kecil Nabi Muhammad juga dilatih untuk menjadi pengembala kambing. Keusahawanan pertanian seolah-olah sunnah sebagai karier wajib kebanyakan Nabi.

Namun, di samping peluang dan bantuan pelbagai pihak, faktor paling penting penentu kejayaan graduan dalam bidang perniagaan ialah jati diri masing-masing kerana kualiti seorang usahawan berjaya bukan semata-mata dilihat daripada pencapaian akademik dan pensijilan.

Mengumpul kekayaan dalam bidang pertanian berbeza daripada bidang lain kerana bidang ini kelihatan kotor, susah dan kadang kala berbahaya atau lebih dikenali sebagai bidang 3D (dirty, difficult, dangerous).

Oleh sebab inilah, pembentukan jati diri dan sahsiah yang menepati keperluan serta keazaman spiritual yang tinggi diberikan penekanan khusus di Institut Skill-Tech (IST). Subjek Jati Diri juga dijadikan subjek wajib kepada semua pelatih di IST.

Pendekatan ini terbukti berjaya apabila sehingga kini hampir 300 usahawan yang dilahirkan IST masih bertahan dan majoritinya sedang menuju kepada perusahaan berskala besar.

Resipi unik dalam pembentukan usahawan tani berjaya yang digunakan oleh IST sebenarnya hasil garapan buah fikir dan real-life practice yang disumbangkan oleh lebih 300 syarikat berteraskan pertanian di Malaysia, bermula daripada syarikat Industri Kecil Sederhana (IKS) hinggalah kepada syarikat-syarikat konglomerat besar seperti Felda, IOI dan Borneo Samudera.

Berdasarkan penilaian dan kajian yang dilakukan oleh IST sendiri terhadap usahawan-usahawan mereka, di samping jati diri yang mantap, mereka juga perlu memiliki cita-cita yang tinggi dan jiwa yang besar supaya dapat mengusahakan pertanian yang lebih bersifat komersial dan berskala besar.

Nilai-nilai inilah yang membezakan antara usahawan tani 'belakang rumah' dengan mereka yang berpendapatan lumayan sehingga mampu menembusi pasaran global dan menjadi juara dalam transformasi 'pertanian' kepada 'industri pertanian' dan daripada sekadar 'petani' kepada 'usahawan tani'.

Hari ini kita boleh menghela sedikit nafas lega apabila melihat 400 orang lagi generasi muda bakal bergelar pemain utama dan pemangkin transformasi industri pertanian Malaysia setelah tamat latihan di IST.

IST telah pun memainkan peranan sebagai peneraju latihan kemahiran sumber manusia berteraskan pertanian di Malaysia.

Jika momentum sedia ada diteruskan, IST pasti menjadi institusi latihan kemahiran bertaraf dunia suatu hari nanti.