.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 17, 2010

0 Rahsia bisnes Media Prima. Untung berjuta-juta!

Media Prima catat untung lebih tinggi
KUALA LUMPUR 16 Nov. - Media Prima Bhd., kumpulan pelaburan media, mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi sebanyak RM94.33 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2010 berbanding RM49.64 juta dalam suku yang sama pada 2009.

Perolehan syarikat juga meningkat RM416.75 juta berbanding RM206.35 juta sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2010, keuntungan sebelum cukai Media Prima melonjak kepada RM215.92 juta berbanding RM64.22 juta pada tempoh yang sama pada 2009.

Perolehan syarikat melonjak kepada RM1.13 bilion berbanding RM525.53 juta sebelumnya.

Media Prima dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan yang lebih tinggi itu sebahagiannya disumbangkan hasil penyepaduan keputusan New Straits Times Bhd. (NSTP).

Syarikat berkata, pengambilalihan NSTP dan pelupusan MPB Primedia Inc, sebahagiannya menyumbang kepada peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak lebih 100 peratus.

"Prestasi kumpulan yang luar biasa itu mencerminkan strategi kami dalam menyepadukan operasi, mengurus kos dengan berkesan dan mempelbagaikan sumber perolehan," kata Pengerusinya, Datuk Johan Jaaffar dalam kenyataannya di sini.

Mengenai prospek 2010, Media Prima optimistik dalam meningkatkan unjuran bagi pengguna dan pengiklan.

Kumpulan itu komited untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pemimpin industri dan pendapatan menerusi pelaburan berterusan dalam penjenaman dan kandungan berkualiti.

Ia juga akan meneruskan usaha dalam merealisasikan nilai platform media pelbagainya, dengan melaksanakan pelbagai inisiatif penyepaduan membabitkan asimilasi pelaburan dalam NSTP dan Kurnia Outdoor Sdn. Bhd. baru-baru ini, dalam Kumpulan Media Prima yang diperbesarkan.

"Jika tiada sebarang masalah, Lembaga Pengarah yakin kumpulan akan mencatat prestasi kewangan yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010," katanya.

Media Prima juga mengumumkan dividen interim satu peringkat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 sebanyak empat sen bagi setiap empat saham biasa yang akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan. - Bernama

0 Apabila belanja kahwin dituntut balik. Tentu besar kekecewaan perkahwinan mereka?

Kes Roslin-Faizah: Keputusan merayu luar masa 29 Disember


KUALA LUMPUR 16 Nov. - Bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim akan mengetahui pada 29 Disember ini keputusan permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memfailkan rayuan di luar masa berhubung kes tuntutan ganti rugi perkahwinan berjumlah RM53,460.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak di Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini.

Hakim Ibrahim bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Mohd. Yusof Che Teh dan Datuk Hussin Harun.

Terdahulu ketika membantah permohonan tersebut, peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Roslin selaku responden mendakwa, pemohon, Faizah Mohamad telah secara cuai atau sengaja gagal memfailkan rayuan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Ini kerana pemohon merupakan pihak yang menerima keputusan dalam kes bantahan awal dan menurut Arahan Amalan No. 13 Tahun 2001, penerima keputusan mempunyai hak untuk merayu dan tidak digalakkan membuat semakan kehakiman.

Peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin yang mewakili Faizah pula menghujahkan bahawa pihaknya mengikut prosedur yang sepatutnya dan ia perkara biasa dilakukan oleh mana-mana pihak.

"Jadi saya membantah hujah responden yang mengatakan pemohon telah sengaja cuai atau gagal dalam memfailkan rayuan tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya.

Faizah memfailkan kebenaran untuk merayu di luar masa berikutan tempoh 14 hari yang dibenarkan untuk memfailkan rayuan telah berakhir.

Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan semakan kehakiman itu pada 19 April lalu dengan alasan Faizah sepatutnya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada 25 Januari lalu yang menolak bantahan awal Faizah dan bukannya semakan kehakiman.

Isu ganti rugi perkahwinan tersebut mendapat perhatian apabila Roslin atau nama penuhnya, Muhammad Roslin Hashim, 35, menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin.

Antara yang dituntut ialah cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut ialah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

Pasangan itu terdahulunya menjadi tumpuan awam apabila perkahwinan mereka hanya bertahan selama 12 hari dan ketika perbicaraan mengesahkan perceraian itu, Roslin telah bersumpah bahawa tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh tersebut.

Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 1 Februari tahun lalu dan lapan hari kemudian majlis bertandang di rumah Roslin di Kampung Sirih, Kota Bharu dengan wang hantaran RM15,000.

Pada 12 Mei tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya memutuskan pasangan tersebut sah bercerai dan talak tersebut jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).

Bekas jaguh badminton itu kemudian berkahwin semula dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai lalu tetapi bercerai talak satu selepas perkahwinan itu mencecah usia 28 hari.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, memutuskan lafaz cerai yang diucapkan oleh Roslin kira-kira pukul 8.32 malam, 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang dekat sini adalah lafaz yang sorih (jelas) dan sah.

0 SEARCH: Meniti Harapan. Skrip filem ini sedang giat diusahakan. Filem kisah benar selalunya dapat sambutan menggalakkan. Siapa directornya kelak?

Kisah Search ke layar perak
Oleh Rozdan Mazalan

2010/11/16
Filem berjudul Search: Meniti Titian bakal mulakan penggambaran awal tahun depan

HANYA dengan satu keputusan nekad, lima minit sebelum bas bergerak menuju ke Kuala Lumpur, adalah menjadi titik terpenting di dalam lipatan sejarah buat kumpulan lagenda rock tanah air, Search.

Pemain dram, Yazid Ahmad hampir bertindak mengoyakkan tiket Amy kerana yakin Amy tidak akan menaiki bas pada malam itu untuk menuju ke ibu negara bagi memulakan penghidupan baru mereka sebagai pemuzik. Amy pula yang sememangnya pemuda pendiam sejak remaja seperti berada di dalam dilema. Dia seperti tidak mampu untuk membuat keputusan, sama ada ingin terus mengikuti sahabat lain ke Kuala Lumpur atau mendengar cakap kedua orang tuanya supaya terus tinggal di Johor Bahru. Sedangkan pada waktu Hillary Ng, Nasir Daud dan Din memang sudah lama menunggu mereka (Yazid dan Amy) di Kuala Lumpur. Lima minit sebelum bas bergerak, kelibat Amy dalam keadaan termengah-mengah berlari menaiki anak tangga bas membuatkan Yazid tersenyum bangga.

Bermulalah penghidupan baru lima anak muda di kota yang penuh dengan segala macam cabaran sebagai anak seni.

Segala detik terpenting, semangat untuk berubah, kejujuran dalam persahabatan dan kehidupan sebenar kumpulan lagenda Search bakal dilayarkan ke layar perak sebagai sebuah filem cereka tidak lama lagi.

Itulah antara babak dan cerita yang dipaparkan dalam filem yang mengangkat perjalanan hidup dan bermulanya kumpulan Search berjudul Search: Meniti Titian. Ketika ini perancangan untuk filem itu sudah dilakukan sejak setahun yang lalu dan kini proses menyiapkan skrip sedang berjalan rancak.
Filem yang diterbitkan Saspintar Sdn Bhd melalui perancangan yang teliti untuk menghasilkan kisah benar kumpulan yang cukup dikagumi di negara ini.
Penerbitnya, Marzunaidi Mat Noh berkata, perancangan dan kajian yang rapi akan dilalui bagi memastikan kualiti produk dapat dihasilkan.

“Idea ini timbul setahun yang lalu di dalam bulan puasa. Saya dan rakan sekerja, Suhaimi berjumpa Amy pada satu majlis berbuka puasa dan menyatakan hasrat itu untuk menerbitkan filem yang mengisahkan kisah benar Search.

“Idea saya memang diterima Amy, namun Amy menyoal saya semula, ‘siapa yang nak buat? Katanya kalau betul nak buat, kenalah serius dan melakukan persediaan yang rapi. Memang dia tidak mahu cakap kosong.

“Dari situ kami mula berbincang, merancang dan merangka sehinggalah hari ini. Bererti kini sudah setahun proses ini berjalan,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Kini proses menyiapkan skrip sedang rancak dijalankan dan dijangkakan akan melalui beberapa draf sebelum dipersetujui oleh setiap anggota Search sendiri.

“Kami kini sedang mendapatkan kisah hidup setiap anggota Search dengan meluangkan masa menemubual mereka dan mengkaji latar kehidupan silam mereka.

“Semua cerita di dalam filem ini adalah cerita benar. Beberapa peristiwa penting akan dikeluarkan di mana tanpa peristiwa itu maka tidak akan wujudlah Search hingga hari ini.

Sebaik draf pertama siap, ia akan melalui proses penyaringan pertama daripada setiap anggota Search sehinggalah ke draf ketiga atau seterusnya.

“Pada peringkat menyiapkan skrip ini, memang kami harus mendapatkan persetujuan daripada semua ahli Search, ini bagi mengelakkan daripada kesalahan fakta. Lebih lagi filem ini bukan sekadar filem cereka tetapi ia boleh dijadikan rujukan kepada peminat mengenai sejarah penubuhan kumpulan kesayangan mereka,” katanya.

Sebaik proses menghasilkan skrip siap sepenuhnya, proses uji bakat bagi mencari pelakon akan dimulakan di seluruh tanah air.

“Mengikut perancangan, hujung tahun ini kami akan mengadakan sesi uji bakat mengikut zon di seluruh tanah air. Kami sangat memerlukan pelakon yang memenuhi kriteria seperti boleh menyanyi dan bermain alat muzik, memiliki muka yang iras anggota Search, bercakap dan bergaul seperti mana mereka (anggota Search).

“Kami mengharapkan mereka yang ingin hadir pada sesi uji bakat itu membuat kajian terperinci mengenai karektor ahli Search. Kami juga akan maklumkan mengenai uji bakat ini pada bila dan tempat dalam masa terdekat atau mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut di dalam laman web www.searchthemovie.com.my.

Menurut Marzunaidi, selepas memperoleh senarai pendek, mereka akan dinilai sendiri oleh setiap ahli Search sebelum terpilih memulakan penggambaran. Pelakon yang terpilih akan duduk bersama ahli Search dalam satu hingga dua minggu untuk mengenal karektor asal.

Search sudah berusia 30 tahun

VOKALIS utama Search, Amy berkata, sempena 30 tahun usia pembabitan Search di dalam industri hiburan, projek filem ini seharusnya ada bagi dokumentasi impian yang ingin digapai generasi baru.

“Filem ini bukan sekadar menceritakan mengenai pembabitan awal Search di dalam industri seni tetapi semangat. Kerja kuat dan impian Search sehingga sampai ke tahap ini.

“Bagaimana kami bermula dengan mimpi dan akhirnya menjadi realiti. Kami mahu memberi galakan kepada generasi akan datang walaupun kami semuanya bukan dari latar belakang berpendidikan tinggi,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Bagi Nasir Daud, sempena ulang tahun ke-30 pembabitan Search dalam industri seni tahun depan, pelbagai perancangan membabitkan jenama Search dirancang dan bakal diterbitkan.

“Kini sudah sampai masanya untuk menunjukkan kemuncak karier Search di dalam industri terus disokong. Selain banyak syarikat penerbitan yang berminat untuk menerbitkan filem Search, kami juga merancang untuk menghasilkan buku berjudul ‘Search Untold Story’.

“Buka ini akan menceritakan kisah Search yang tidak pernah diketahui peminat. Sebagai contoh mengenai pembikinan lagu yang pernah mencetus fenomena dalam industri muzik kita iaitu Isabella dan apa cerita disebalik pembikinan lagu itu.

“Selain itu, kami juga akan mengeluarkan replika patung Search dalam beberapa versi untuk cenderamata kepada peminat kami. Cenderamata ini akan ditempah di luar negara dan ia bakal diperkenalkan buat pertama kali di negara kita secara eksklusif,” katanya.

0 Ketokohan semasa hidup akan terus beri pendapatan sesudah mati. Bagaimana dengan P Ramlee, Sudirman, John Gaisah, Ahmad Nisfu?

Jana pendapatan walaupun sudah mati

Mendiang Raja Pop Michael Jackson mencatat pendapatan paling tinggi sejak 10 tahun lalu berbanding mana-mana penyanyi atau pelakon yang masih hidup mahupun sudah mati.

Anehnya, Michael tidak pernah tersenarai dalam 100 selebriti tahunan pilihan majalah Forbes sepanjang hidupnya. Namun, selepas kematiannya, dia mencatat pendapatan paling tinggi sepanjang tahun lalu selain Oprah Winfrey.


Jackson bukan saja menduduki tangga pertama senarai terbaru itu tetapi turut menewaskan 12 lagi selebriti yang berada dalam senarai itu selama ini.

Malahan, nilai hartanah miliknya sepanjang 12 bulan lebih tinggi daripada pendapatan dua bintang paling hebat tahun ini iaitu U2 dan AC/DC. Pendapatan selepas kematiannya diperoleh daripada keuntungan saham dalam katalog Sony/ATV, filem popular terbitan Sony, 'This Is It' dan kegilaan peminat terhadap muzik, video dan apa juga barangan berjenama Michael Jackson.




Selebriti yang sudah meninggal dunia perlu memperoleh sekurang-kurangnya AS$5 juta (RM16 juta) antara 1 Oktober 2009 hingga 1 Oktober 2010 untuk termasuk dalam senarai tahun ini.



Berikut kedudukan 10 selebriti yang sudah mati tetapi masih meraih pendapatan lumayan dalam senarai yang dikeluarkan majalah Forbes.


1- Michael Jackson
Pendapatan: AS$275 juta (RM880 juta)
Pemuzik
Tarikh mati: 25 Jun 2009
Umur: 50 tahun
Punca: Pengambilan dadah berlebihan

Michael meninggal dunia pada musim panas tahun lalu tetapi memperoleh pendapatan sebanyak AS$275 juta (RM880 juta) lebih tinggi berbanding dua selebriti yang masih hidup iaitu U2 dan AC/DC yang mencatat pendapatan paling tinggi.


2- Elvis Presley
Pendapatan AS$60 juta (RM192 juta)
Penyanyi, pelakon
Tarikh mati: 16 Ogos 1977
Umur: 42 tahun
Punca: Serangan jantung

Pendapatan Raja Rock n Roll meningkat kepada AS$60 juta (RM192 juta), naik AS$5 juta (RM16 juta) berbanding tahun lalu hasil daripada kutipan tiket untuk melawat Graceland dan pelancaran Elvis Presley Cirque du Soleil di Las Vegas pada awal tahun ini. Selain itu, jualan barangan berjenama Elvis Presley ketika sambutan ulang tahun kematian Raja Rock n Roll itu turut menjana pendapatan.


3- J R R Tolkien
Pendapatan: AS$50 juta (RM160 juta)
Penulis
Tarikh mati: 2 September 1973
Umur: 81 tahun
Punca: Pendarahan ulser

Walaupun filem terakhir Lord of the Rings ditayangkan lapan tahun lalu tetapi Tolkien masih hangat dibincangkan di Hollywood. Dua filem adaptasi daripada bukunya 'The Hobbit' kini hampir siap, Perhatian yang diberikan Hollywood membantu penjualan buku Tolkien dan berdasarkan statistik yang dikumpulan oleh syarikat Nielsen, bukunya sudah terjual sebanyak 500,000 naskhah tahun lalu.


4- Charles Schulz
Pendapatan: AS$33 juta (RM105.6 juta)
Kartunis
Tarikh mati: 12 Februari 2000
Umur: 77
Punca: Barah usus

Jenama Peanuts bertukar pemilik lagi pada tahun ini apabila Iconix membeli karakter kartun itu pada harga AS$175 juta (RM560 juta) untuk membentuk Peanuts Worldwide, LLC. Dengan pemilikan baru itu, rakan kongsi karya Charles M Schulz mengekalkan 20% saham dalam syarikat berkenaan. Schulz masih menjana pendapatan daripada karakter kartunnya yang terbit dalam 2,200 akhbar di 75 negara.


5- John Lennon
Pendapatan: AS$17 juta (RM54.4 juta)
Pemuzik
Tarikh kematian: 8 Disember 1980
Umur: 40 tahun
Punca: Dibunuh

Sudah hampir 30 tahun anggota kumpulan The Beatles', John Lennon dibunuh di New York City. Pada ulang tahun kelahirannya yang ke-70 penyanyi itu, EMI melancarkan kempen 'Gimme Some Truth' dan menghasilkan semula lagu Lennon hingga tersenarai semula dalam carta Top 10. Pendapatan hartanahnya diperoleh melalui permainan video 'Beatles Rock Band' serta lesen untuk Cisco dan Mont Blanc.


6- Stieg Larsson
Pendapatan: AS$15juta (RM48 juta)
Penulis
Tarikh mati: 9 November 2004
Umur: 50 tahun
Punca: Sakit jantung

Larsson meninggal dunia sebelum buku 'The Girl With The Dragon Tattoo' diterbitkan, menyebabkan dia tidak dapat melihat kejayaan besar tiga siri buku karyanya yang lebih dikenali sebagai 'The Millennium Trilogy'. Lebih 40 juta naskhah buku itu terjual dalam 44 bahasa di seluruh dunia dan Sony sedang menerbitkan filem berdasarkan buku itu yang akan dibintangi Daniel Craig dengan melakonkan watak Mikael Blomkvist.


7- Dr Seuss (Theodor Geisel)
Pendapatan: AS$11 juta (RM35.2 juta)
Penulis
Tarikh mati: 24 September 1991
Umur: 87 tahun
Punca: Sakit tua

Dr Seuss ialah penulis buku kanak-kanak paling laris dalam sejarah. 'Horton the Grinch' dan karakter terkenal lain dalam bukunya kini diperoleh pembaca melalui iPhone dan taman tema Universal Studio di Orlando, Florida. Menurut Nielsen, tiga juta buku itu sudah dijual tahun ini.


8- Albert Einstein
Pendapatan: AS$10 juta (RM32 juta)
Saintis
Tarikh mati: 18 April 1955
Umur: 76 tahun
Punca: Sakit tua

Nama Einstein yang dikaitkan dengan kecerdikan terus digunakan dalam produk bayi Einstein rekaan Disney yang bertujuan mendorong bayi menjadi bijak. Selain itu, kempen 'Face Value' Banca Profilo di Itali, iklan jenama Chrysler's Ram dan koleksi kaca mata A J Morgan turut menghasilkan pendapatan untuk Einstein. Kediaman saintis itu juga dijadikan permainan video melalui permainan uji minda Nintendo DS yang dijual pada harga AS$50 (RM160).


9- George Steinbrenner
Pendapatan: AS$8 juta (RM25.6 juta)
Pemilik francais sukan
Tarikh mati: 13 Julai 2010
Umur: 80 tahun
Punca: Sakit jantung

Sukan profesional tidak mempunyai pemilik francais yang lebih terkenal selain George Steinbrenner. Bos kelab The New York Yankees itu berjaya membawa kelab itu meraih kejuaraan, membeli stadium baru di Bronx dan membawa kelab itu mencipta nama seluruh dunia. Walaupun Steinbrenner sudah meninggal dunia, dia masih memperoleh pendapatan selagi Yankee terus meraih kejuaraan.


10- Richard Rodgers
Pendapatan: AS$7 juta (RM22.4 juta)
Penulis lirik
Tarikh mati: 30 Disember 1979
Umur: 77 tahun
Punca: Penyakit kronik

Pada 2009, kumpulan muzik Imagem Belanda membeli hak cipta milik lagu ciptaan Richard Rodgers dan Oscar Hammerstein dengan nilai AS$200 juta (RM640 juta). Tanpa aset itu, Rogers masih tetap menduduki senarai Forbes melalui hasil kerjanya bersama Lorenz Hart. Lagu 'My Funny Valentine' dan 'The Lady is a Tramp' yang ditulisnya dan hingga kini masih menjadi kegemaran ramai. - Agensi