.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, November 12, 2010

0 Idea kreatif dan Inovatif untuk tampung bajet tinggi

Rakam gambar Bumi dari angkasa dengan kos RM39,885



KAPAL terbang kertas meluncur ke udara dengan menggunakan gas helium.



LONDON - Sekumpulan peminat sains angkasa lepas di Britain menemui cara murah untuk merakamkan gambar pemandangan Bumi seperti rakaman satelit dengan hanya menggunakan kapal terbang kertas, lapor sebuah akhbar semalam.

Pesawat tanpa enjin itu meluncur pada ketinggian 27.4 kilometer di udara yang merupakan altitud tertinggi bagi sebuah kapal terbang kertas.

Pesawat kecil yang bersayap sepanjang satu meter dan dicipta oleh Steve Daniels, John Oates dan Lester Haines dengan kos cuma £8,000 (RM39,885) sekali gus jauh lebih murah berbanding harga sebuah roket.

Ia yang dilengkapi kamera video kecil dan sistem Perkhidmatan Paket Radio Umum (GPRS), dilancarkan ke udara dengan menggunakan sebuah belon berisi gas helium di kawasan pedalaman Sepanyol, kira-kira 80 kilometer dari bandar raya Madrid baru-baru ini.

Belon itu meletup pada altitud melebihi 27 kilometer menyebabkan kapal terbang kertas itu meluncur di udara sebelum mendarat kira-kira 160 kilometer dari lokasi pelancaran selepas dikesan dengan menggunakan perkhidmatan GPRS. - Agensi

0 Kenaikan nilai mata wang negara tidak beri manfaat kepada rakyat. Rakyat tidak cukup wang untuk belanja, yang dapat manfaat adalah pelabur asing

Tambat semula ringgit

Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
bisnes@utusan.com.my

LABUAN 11 Nov. - Mata wang tempatan ringgit mungkin perlu ditambat semula bagi membolehkan negara mendapat faedah daripada pengukuhan nilainya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kuasa beli rakyat masih rendah biarpun nilai mata wang negara semakin meningkat, sekali gus mendorong kepada penurunan nilai import .

"Kita tidak perlu menghentikan tambatan ringgit kerana kebanyakan negara di dunia sekarang menentukan nilai mata wang mereka mengikut undang-undang.

"Kuasa beli rakyat sepatutnya meningkat apabila mata wang semakin mengukuh kerana mereka sudah mampu membeli barangan dengan harga lebih murah berbanding ketika ringgit berada dalam keadaan lemah nilainya.

"Oleh kerana kita tiada kuasa untuk menentukan nilai ringgit dan memilih untuk memberhentikan tambatan ringgit, kita kena terimalah bahawa kita tidak merasai apa-apa manfaat daripada pengukuhannya," katanya

Dr. Mahathir berkata demikian di dalam sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan di Siri Ceramah Islam Antarabangsa Labuan di sini hari ini.

Beliau menambah, Malaysia sebenarnya mengambil langkah kebelakang apabila membenarkan nilai ringgit ditentukan oleh pasaran terbuka.

"Di dalam perang mata wang hari ini, kita hentikan (menambat ringgit) sedangkan orang lain melaksanakan tindakan yang kita pernah buat dahulu," ujarnya.

Dr. Mahathir, pada September tahun 1998, telah melaksanakan sistem tambatan ringgit, sebagai salah satu reaksi untuk menangani kemelut mata wang Asia Timur 1997-1998 yang melanda Malaysia dan negara-negara rantau ini.

Bagaimanapun, pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Ditanya mengenai prestasi cemerlang Bursa Malaysia kebelakangan ini, Dr. Mahathir berkata, beliau sebenarnya bimbang dengan aliran berkenaan kerana pengukuhan Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) adalah disebabkan oleh peningkatan aliran dana oleh pelabur asing.

Jelas beliau, terdapat kemungkinan bahawa para pelabur asing tersebut melabur di Malaysia bagi mengaut keuntungan sementara.

"Tidak perlu ghairah dengan situasi ini kerana mereka (pelabur asing) hanya datang dengan satu tujuan iaitu menaikkan harga saham dan jual balik pada harga yang tinggi."

"Apabila pasaran jatuh, orang tempatan yang akan terima padahnya, apa yang tinggal kepada kita hanyalah saham-saham yang tidak bernilai" ujar beliau lagi.

Tambah beliau, situasi ini pernah berlaku semasa krisis kewangan Asia pada 1997/1998 apabila indeks utama yang ketika itu berada di paras 1,300 jatuh menjunam kepada 262 akibat pengaliran keluar pelaburan asing.

Beliau juga mencadangkan badan kawal selia supaya mengawal aliran masuk dana asing di negara ini bagi memastikan pasaran modal kekal stabil dan terkawal.

"Badan kawal selia harus meneliti setiap pelabur sama ada mereka adalah pelabur sejati yang mengharapkan dividen ataupun hanya mahu mengaut keuntungan segera," katanya.

0 Keganasan Al Qaeda (yang dilabel pertubuhan pelampau islam di luar negara) menjadi ancaman keamanan dunia

Arab Saudi sedia bantu Yemen perangi al-Qaeda

MEKAH 11 Nov. - Arab Saudi berjanji untuk memenuhi permintaan Yemen bagi memerangi al-Qaeda, selepas kumpulan militan itu mengaku bertanggungjawab melakukan komplot penghantaran bom di beberapa negara, yang berjaya dipatahkan, baru-baru ini.

Pada bulan lalu, pihak berkuasa di Dubai dan Britain memintas dua bungkusan berisi bom yang disembunyikan dalam kartrij pencetak yang dihantar ke Amerika Syarikat (AS) dari Yemen menggunakan pesawat FedEx dan United Parcel Service, selepas menerima maklumat dari Arab Saudi.

Rangkaian al-Qaeda berpangkalan di Yemen mengaku bertanggungjawab melakukan komplot penghantaran bom itu.

"Situasi keselamatan di Yemen penting kepada kami, sama pentingnya seperti situasi keselamatan di negara ini," kata Menteri Dalam Negeri, Putera Nayef Abdul Aziz kepada wartawan di kota suci Mekah semalam, di mana berjuta-juta umat Islam berhimpun menjelang musim haji minggu depan.

Dalam kenyataan pertamanya berhubung masalah yang dibangkitkan oleh pegawai keselamatan tinggi sekutu AS, Nayef berkata, kerjasama keselamatan antara Arab Saudi dengan Yemen berada pada tahap terbaik dan negara ini akan membantu negara jirannya itu.

Walaupun bungkusan itu dihantar dari Yemen, namun masalah ini menarik perhatian Arab Saudi kerana pegawai AS percaya rakyat negara ini, Ibrahim Hassan al-Asiri, 28, menjadi suspek utama.

Ibrahim Hassan yang dipercayai oleh perisikan Arab Saudi tinggal di Yemen adalah salah seorang daripada ramai rakyat negara ini yang memainkan peranan penting dalam al-Qaeda, pertubuhan pengganas yang diasaskan oleh bekas rakyat Arab Saudi, Osama bin Laden.

"Kami akan membantu Yemen dengan semua keupayaan negara ini. Kami akan sentiasa bersama mereka tanpa teragak-agak," kata Nayef.

Ketika ditanya sama ada al-Qaeda atau kumpulan militan lain akan melancarkan serangan ketika musim haji ini atau cuba menyusup masuk pemberontak dari Yemen, Nayef berkata, mereka tidak menolak sebarang kemungkinan, tetapi mereka telah bersiap sedia menggagalkannya. - Reuters

0 KIK kerajaan untuk memperbaik mutu perkhidmatan

MyKid siap dalam satu jam

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 11 Nov. - Tempoh permohonan untuk mendapatkan MyKid yang sebelum ini mengambil masa sebulan, kini boleh diperoleh dalam tempoh sejam sahaja.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata, langkah inovasi terbaru daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang diberi nama MyKid Ekpress itu berjaya menambah baik perkhidmatan jabatan berkenaan.

Menurutnya, langkah penambahbaikan itu secara tidak langsung memudahkan urusan ibu bapa ketika mendaftarkan anak mereka yang baru lahir.

"MyKid boleh dipohon oleh ibu bapa sebaik saja mendaftarkan anak masing-masing untuk mendapatkan sijil kelahiran dan tidak perlu untuk menunggu lama untuk mendapatkan kad pengenalan kanak-kanak.

"Namun buat masa sekarang, pelaksanaan MyKid Ekspres ini hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPN di Putrajaya sahaja dan masih belum boleh dikembangkan ke seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi JPN 2010 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Alwi Ibrahim.

Mahmood berkata, pelaksanaan MyKid Ekspres hanya boleh dilakukan di Putrajaya disebabkan hanya ibu pejabat JPN di situ sahaja yang memiliki maklumat dan jaringan hubungan lengkap berbanding ibu pejabat negeri dan cawangan lain.

Selain itu, kata beliau, ia bersangkut paut faktor keselamatan kerana MyKid melibatkan identiti seseorang justeru menyebabkan ia belum boleh dilaksanakan secara meluas.

"Proses menambah baik infrastruktur dan kelengkapan peralatan perlu dilakukan terlebih dahulu di peringkat negeri dan cawangan bagi membolehkan tempoh masa selama sejam mendapatkan MyKid ini tercapai," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, JPN menjangkakan pelaksanaan menyeluruh MyKid Ekspres akan dapat dilakukan pada tahun depan.

Beliau berharap dengan tempoh masa yang lebih singkat itu, ramai ibu bapa akan tampil membuat permohonan MyKid untuk pengenalan identiti anak masing-masing.

"Urusan menggunakan MyKid lebih mudah kerana tidak memerlukan ibu bapa membawa sijil kelahiran anak ketika membuat urusan di mana-mana sahaja," katanya.

0 Cucu P Ramlee dan Hukum Faraid

Tidak puas hati, menantu Seniman Agung bikin kecoh






KUALA LUMPUR 11 Nov. - Majlis pelancaran Duit Syiling P. Ramlee di Balai Seni Lukis Negara di sini hari ini, kecoh apabila menantu Seniman Agung itu, Suria Bakar, 55, (gambar) tidak berpuas hati dengan penganjuran majlis tersebut.

Suria yang hadir bersama anak bongsunya, Zakaria Nasir, 18, mendakwa, penganjur majlis itu, Kuala Lumpur Mint (KL Mint) tidak mendapat persetujuan daripada mereka anak-beranak yang merupakan pewaris kepada P. Ramlee.

Ketika ditemu bual oleh pihak media, Suria memberitahu, beliau dan anak- anaknya tidak pernah menyatakan persetujuan untuk mengizinkan majlis itu berlangsung.

"Beberapa bulan lalu, wakil KL Mint datang ke rumah saya untuk mendapatkan persetujuan saya.

"Tetapi saya tidak bersetuju dengan cadangan itu walaupun keluarga kedua-dua bekas isteri Nasir iaitu Mariati dan Rashidah telah memberikan persetujuan mereka," jelasnya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KL Mint, Othman Abdullah yang ditemui selepas itu menjelaskan, pihaknya telah berjumpa dengan Suria terlebih dahulu kerana menghormatinya sebagai balu kepada pewaris P. Ramlee.

Katanya, kesemua tujuh cucu P. Ramlee termasuk dua anak Nasir bersama Suria telah diberitahu mengenai majlis itu.

"Tiga anak Nasir bersama isteri pertamanya, Mariati dan dua anaknya bersama isteri kedua, Rashidah telah pun menyatakan persetujuan mereka secara bertulis melalui dokumen yang diserahkan," katanya.

"Cuma, anak-anak Suria sahaja yang tidak menyerahkan semula dokumen itu. Sekiranya mereka tidak bersetuju, mereka sepatutnya menyatakan sebab dalam dokumen yang diserahkan.

"Mengikut hukum Faraid, kami sebagai penganjur hanya perlu meminta kebenaran daripada pewaris yang sah iaitu cucu-cucu P. Ramlee tanpa perlu meminta kebenaran Suria," jawab Othman membalas semula kenyataan Suria.

Tambah Othman, pihaknya juga telah mencadangkan agar RM50,000 hasil daripada jualan syiling tersebut disalurkan untuk menubuhkan Yayasan P. Ramlee bagi tujuan menjaga hak serta isu royalti yang membabitkan seniman itu.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Selain mengumpul dana untuk menubuhkan Yayasan P. Ramlee, hasil jualan syiling tersebut juga akan disumbangkan kepada Tabung Kebajikan Karyawan.

0 Contohi bagaimana rakyat Amerika jadi jutawan dengan guna internet

7.5 juta pemilik akaun Facebook

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna aplikasi rangkaian sosial Facebook, Friendster dan Twitter yang tertinggi di dunia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, dianggarkan terdapat 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia kini.

“Ini adalah potensi rakyat yang harus digunakan oleh industri dalam bidang ini untuk memajukan negara khususnya menerusi kandungan mudah alih.

“Terdapat fakta yang menunjukkan bahawa kewujudan Facebook, Twitter, inovasi platform Android, aplikasi dalam talian dan mudah alih telah mengubah landskap komunikasi, pemikiran manusia dan melahirkan jutawan baru di Amerika Syarikat,” katanya.



Artikel berkaitan:


Belanja RM35 juta setahun hantar SMS

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Rakyat Malaysia membelanjakan RM35 juta untuk menghantar 3.5 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) pada tahun ini, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Menurut beliau, jumlah perbelanjaan itu adalah berdasarkan anggaran kos satu sen bagi setiap SMS yang dihantar.

Katanya, statistik itu menjadikan rakyat Malaysia muncul sebagai antara pengguna SMS tertinggi di dunia.

"Rakyat Malaysia juga adalah antara pengguna aplikasi Facebook, Friendster dan Twitter yang tertinggi di dunia.

"Terdapat kira-kira 7.5 juta pemilik akaun Facebook di Malaysia sekali gus meletakan negara pada tempat ke-16 pengguna paling aktif di dunia," katanya dalam ucapan pelancaran Ekspo dan Persidangan Go Mobile di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum.

Mengulas lanjut Rais berkata, statistik berkenaan menjadi bukti bahawa rakyat negara ini mempunyai kadar celik teknologi komunikasi yang sangat baik.

Katanya, potensi itu harus digunakan oleh industri untuk memajukan negara melalui kandungan mudah alih.

"Walaupun terdapat pandangan serong terhadap potensi multimedia kreatif dan pembangunan aplikasi sebagai jentera pertumbuhan ekonomi, namun fakta menunjukkan kewujudan Facebook, Twitter dan inovasi menggunakan platform android telah merubah landskap komunikasi dan pemikiran manusia.

Rais berkata, menyedari potensi industri berkenaan, kerajaan telah menjadikan bidang pembangunan dan infrastruktur komunikasi sebagai salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

0 Rusuhan kaum 13 Mei harus diingati sebagai Hari Muhibah Negara seperti cara Singapura

13 Mei: Ikut cara Singapura - Zam

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bersetuju tarikh 13 Mei perlu diingati sebagai Hari Muhibah Negara seperti Singapura menjadikan hari rusuhan kaum terburuk di republik itu pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Hari Keharmonian Kaum di Singapura disambut setiap 21 Julai.

Di Malaysia, katanya sebaik sahaja peristiwa 13 Mei berlaku, kerajaan mengambil langkah segera dan secara aktif mengadakan majlis-majlis muhibah yang memberi kesan besar bagi mengembalikan perhubungan baik dan rasa saling mempercayai antara kaum.

''Sangat wajar 13 Mei diperingati dalam konteks untuk mengingatkan rakyat pada setiap tahun terhadap bahaya sebarang konsep asing diperkenal dan diterima oleh rakyat negara ini.

''Kita harus membina keyakinan dan kekuatan diri, bangsa dan negara di atas formula nilai-nilai yang mengasaskan perdamaian dan kestabilan negara yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak setelah peristiwa 13 Mei itu,'' kata Zainuddin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei'.

Tun Abdul Razak, kata Zainuddin, telah mengambil inisiatif mengadakan majlis-majlis muhibah selepas 13 Mei bagi memulihkan perpaduan dan keharmonian negara.

''Oleh itu eloklah 13 Mei diperingati sebagai Hari Muhibah Negara,'' katanya yang juga dikenali sebagai Zam.

Menurut Zainuddin, peristiwa 13 Mei di Malaysia berpunca daripada konsep Malaysian Malaysia yang diwarisi daripada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew oleh parti-parti tertentu di Malaysia setelah Singapura disingkirkan dari negara ini pada 1965.

''Ucapan Kuan Yew mengenai konsep itu dalam Parlimen Malaysia disifatkan oleh Tunku Abdul Rahman lebih menyakitkan hati daripada sakit kayapnya ketika dirawat di sebuah klinik di London menyebabkan Almarhum membuat keputusan menyingkirkan Singapura dari Malaysia,'' katanya.

Menurut Zainuddin, Tunku menulis dalam The Star pada 7 April 1975 bahawa ucapan Kuan Yew menyentuh kedudukan kuasa Melayu dan raja-raja Melayu walaupun pada masa itu kerajaan Perikatan bukanlah kuasa Melayu tetapi kerajaan yang mewakili semua kaum.

Tunku juga, katanya, marah terhadap ucapan Kuan Yew pada 1 Jun 1965 di Delta Community Center Singapore yang mengugut sekiranya cara yang tidak berperlembagaan digunakan untuk menyekat Malaysian Malaysia maka Singapura, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang hendaklah bersatu untuk mencari pilihan (alternative arrangements) bagi memaksa Malaysian Malaysia digunakan.

''Ini kerana kata Kuan Yew apabila menyertai Malaysia, Singapura tidak pernah bersetuju menerima kuasa Melayu,'' katanya.

Maka itu, kata Zainuddin, tidak hairanlah mereka yang terlibat dalam mempromosikan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi punca timbulnya prasangka buruk antara kaum sehingga menyebabkan sesuatu kaum menjadi fobia dengan tarikh 13 Mei.



Artikel susulan:

Kerajaan sedia timbang peristiwa 13 Mei diingati
YOKOHAMA 14 Nov. - Kerajaan sedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan peristiwa hitam 13 Mei sebagai hari yang diperingati, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan setakat ini belum lagi menerima cadangan atau memikirkan soal itu.

Muhyiddin berkata, daripada laporan blog yang dibacanya sesetengah pihak melihat peristiwa itu satu titik hitam manakala dalam perspektif berbeza ada yang menyifatkannya sebagai baik seperti diamalkan oleh banyak negara,

"Di sesetengah negara hal-hal seperti ini dilihat dalam perseptif berbeza, tidak melihat kepada perkara negatif tetapi sebagai usaha untuk meningkatkan kerjasama, perpaduan dan mengelakkan perselisihan.

"Apa pun kita serah kepada pihak-pihak tertentu kalau mereka fikir ini satu yang baik, kerajaan boleh timbangkan," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini hari ini.

Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei'.

Walaupun cadangan itu dibantah oleh pakatan pembangkang yang membuat laporan polis kerana menyifatkannya sebagai hasutan tetapi ramai pihak menyokongnya kerana ia langkah positif untuk mengukuhkan perpaduan. -- UTUSAN