.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, July 25, 2010

0 Menolak ajaran agama dan mengharap guru mendidik adalah faktor utama kelahiran luar nikah di Malaysia

Tak peduli dorong jumlah anak luar nikah meningkat


2010/07/25
KUCHING: Sikap tidak ambil peduli masyarakat, khususnya kalangan remaja yang menolak ajaran agama serta budaya masyarakat tempatan adalah antara faktor mendorong golongan itu melakukan maksiat dan kelahiran anak luar nikah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata sindrom negatif itu menyebabkan secara puratanya, seorang bayi luar nikah dilahirkan pada setiap 17 minit di negara ini. Sambil menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan, Mashitah menegaskan, permasalahan itu menuntut semua pihak terutama ibu bapa, bekerjasama dan tidak menyerahkan tugas mendidik itu semata-mata kepada guru. “Jumlah 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan hasil statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jika kita pecahkan kepada purata bulanan, angkanya adalah 80,000 yang bersamaan dengan seorang bayi untuk setiap 17 minit.

“Malah sejak 2000 hingga Julai 2008, statistik menunjukkan bilangan bayi yang tidak dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran adalah seramai 257,000 dan angka berkenaan amat membimbangkan, sekali gus memerlukan perhatian serius daripada semua pihak,” katanya sempena Program Integrasi Timbalan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak di sini, semalam.

1 Bola sepak: Di korea, pemain harus menyertai kelab elit untuk mewakili negara

Korea 'bingung' nasib Malaysia

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/07/24


PEMAIN Korea Selatan menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam.'Mungkin FAM agak ketinggalan dalam sistem pembangunan pemain'

JURULATIH Olimpik Korea Selatan, Hong Myung Bo masih mengingati zaman kegemilangan Malaysia pada era 70-an tetapi hairan melihat taraf bola sepak negara kini yang merudum jauh. Ketika Korea Selatan melakar mercu tanda baru dengan mara ke pusingan kedua Piala Dunia buat pertama kali di bumi asing di Afrika Selatan pada penampilan ketujuh berturut-turut sejak 1986, skuad Harimau Malaya kini berada pada ranking ke-142 dunia. “Saya masih ingat ketika membesar, pasukan Malaysia begitu kuat tetapi mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agak ketinggalan dalam sistem pembangunan pemain.

“Di Korea, pemain perlu menyertai kelab besar dalam Liga-K bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dan memperbaiki permainan,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan barisan bawah 23 negara dengan Olimpik Korea Selatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 5.15 petang ini.

Sungguhpun tidak membawa empat pemain Piala Dunia yang layak beraksi, Myung-bo menyenaraikan dua pemain Piala Dunia Bawah 20 di Mesir tahun lalu iaitu Kim Dong-sub yang beraksi untuk Tokushima Vortis dalam Liga-J dan penyerang, Park Hee Seong yang mewakili Korea University.

Perlawanan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Selatan ini turut digunakan kedua-dua jurulatih sebagai persiapan Sukan Asia di Guangzhou, China November ini.
Menyedari lawan berada pada kelas tersendiri, jurulatih negara, K Rajagobal menjanjikan barisannya akan berusaha menyaingi Korea Selatan dari semua segi terutama kepantasan.

“Kami tidak akan turun untuk bertahan, saya mahukan mereka menikmati perlawanan ini. Korea Selatan, China dan Jepun bermain dengan corak permainan pantas,” katanya.

Tanpa penjaga gol, Mohd Farizal Marlias yang disentak kecederaan muka selepas terbabit dalam pelanggaran dengan penyerang, Faizal Abu Bakar yang turut diketepikan, Rajagobal memiliki wira Sukan SEA, Mohd Sharbinee Allawee di pintu gawang.

Melihatkan beberapa pemain yang kian meningkat usia, pengendali kebangsaan itu juga mungkin menggunakan perlawanan itu untuk menguji beberapa pemain skuad Harimau Muda A.

Tiket RM30 bagi grandstand, RM10 dan RM5 (kanak-kanak) dijual bermula jam 10 pagi ini di kaunter stadium.


Artikel berkaitan:

Malaysia kejutkan Korea Selatan

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my



SKUAD bola sepak kebangsaan membuktikan mereka kini wajar untuk terus digeruni apabila berjaya mengejutkan skuad Olimpik Korea Selatan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh pemain tengah Selangor, Safiq Rahim pada awal separuh masa kedua.

Perlawanan yang diadili pengadil ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Salleh itu bermula dalam keadaan hujan renyai sambil disaksikan 5,000 penonton kedua- dua negara.

Malaysia yang dibarisi pemain B-23 kecuali tiga pemain lebih umur, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengimbangi kekuatan lawan yang dibarisi pemain B-21 pada separuh masa pertama.

Seawal minit keempat, Malaysia sudah menguji gawang Korea Selatan tetapi percubaan Nor- shahrul hasil hantaran Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan sedikit sipi.

Gawang Malaysia cemas seketika pada minit ke-10 apabila tandukan penyerang Korea Sela- tan, Park Hee-seong berpunca daripada sepakan sudut berjaya menggegarkan palang gol ketika Sharbinee sudah tertewas.

Selang dua minit kemudian, Malaysia sekali lagi mengancam, kali ini menerusi pemain sayap kanan, Ahmad Fakri Saarani yang memperdayakan seorang pertahanan Korea Selatan sebelum rembatannya tepat ke daka- pan Lee Bum-soo.

Selepas aksi rancak pada awal permainan itu, kedua-dua pasukan sekadar bertukar serangan tanpa sebarang gerakan bahaya untuk menghasilkan gol.

Namun pada minit ke-40, Korea Selatan hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan percuma pemain pertahanan, Park Hyung -Jin sekadar menggegar palang.

Sebaik babak kedua bermula, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tidak melakukan sebarang pertukaran dan Malaysia hanya memerlukan lima minit untuk mendahului lawan.



Gol pertama Malaysia diperoleh pada minit ke-50 menerusi rembatan Safiq selepas sepakan percuma yang diambilnya sebelum itu gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Korea Selatan.

Korea Selatan yang seakan tersentak dengan jaringan itu mula bangkit mengatur serangan tetapi masih gagal menembusi kekebalan benteng pertaha- nan yang diterajui ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Sabre Mat Abu dan Asraruddin Putra Omar.

Rajagobal melakukan enam pertukaran dengan memasukkan Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen Zambri, Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Ahmad Shakir Md. Ali dan Azmi Muslim menggantikan Norshahrul, Fakri, Nasriq, Amar Rohidan, S. Kunanlan dan Asraruddin.

0 Seks bebas dulu melibatkan bohsia sekarang gadis biasa. Majoriti mangsa adalah tahap pendidikan SPM, PMR

Kes remaja hamil kronik

Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
2010/07/25
Pergaulan bebas punca utama

KUALA LUMPUR: Seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak yang sebahagian besarnya luar nikah sejak 2008 hingga bulan lalu, akibat pergaulan bebas. Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008. Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan – Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ada 135 hospital kerajaan di seluruh negara, tetapi usaha Berita Minggu mendapatkan perangkaan di kebanyakan hospital tidak berjaya, kerana antara lain alasan ialah isu sensitif dan bimbang dikenakan tindakan Kementerian Kesihatan.

Sebahagian remaja berkenaan membuat pengakuan sudah berkahwin kepada pihak hospital, ada mendakwa tidak tahu hubungan seks dengan rakan boleh menyebabkan kehamilan, malah ada kes mengaku dirogol.

Bagaimanapun, remaja diklasifikasi kepada dua kategori, bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun. Remaja bawah 16 tahun yang hamil dianggap sebagai kes rogol, walaupun atas dasar suka sama suka.
Justeru, pasangannya boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, manakala remaja di bawah usia 18 tahun akan dirujuk kepada JKM sebagai pelindung yang diwartakan.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Noramni Mohd Yusoff, berkata pihaknya tidak hairan jika angka sebenar remaja bawah umur yang hamil lebih tinggi.
“JKM hanya rekodkan kes dilapor atau memohon perlindungan. Statistik sebenar hanya boleh diperoleh dari hospital seluruh negara,” katanya kepada Berita Minggu.

Tinjauan di HKL dan HTAR, mendapati pada 2008 seramai 106 remaja bawah umur hamil luar nikah, manakala di HKL, 50 kes pada 2008, 67 kes (2009) dan sehingga Jun tahun ini, 38 kes.

Kajian Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL mendapati, kebanyakan remaja bawah umur ini tidak tahu hubungan kelamin boleh menyebabkan kehamilan.

Mereka melakukannya atas dasar ingin mencuba dan berseronok dengan rakan sekelas, kekasih yang lebih berusia selain ada juga kes mengaku dirogol.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HTAR, Dr Mohamad Farouk Abdullah berkata, kajian 2008 mendedahkan kebanyakan remaja berkenaan berusia antara 14 hingga 18 tahun dengan majoritinya, berbangsa Melayu.

“Mungkin jumlahnya lebih lagi, tetapi tidak mustahil ada sebahagian yang menggugurkan kandungan. Memang jika kita lihat dari aspek sosialnya, keadaan ini teruk, tetapi dari sudut perubatan, jika mereka datang awal mendapatkan bantuan perubatan kita boleh membantu dari segi penjagaan sepanjang hamil,” katanya.

Beliau berkata, mendapat penjagaan kesihatan yang sempurna ketika hamil membolehkan remaja ini menginsafi kesilapan mereka, pada masa sama, memberi peluang mereka kembali ke sekolah.

Katanya, sepanjang 2008, 13,189 kelahiran dicatatkan di HTAR dengan 256 membabitkan kelahiran di kalangan remaja bawah umur. Daripada jumlah itu 75.8 peratus mengaku sudah berkahwin, 21.9 peratus tidak berkahwin sementara tiga peratus mendakwa dirogol. Kebanyakan mereka berpendidikan sehingga Penilaian Menengah Rendah (49.6 peratus), Sijil Pelajaran Malaysia (27.7 peratus), manakala bakinya hanya belajar setakat sekolah rendah.

Dalam konteks inilah Dr Farouk berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk masyarakat berfikiran lebih terbuka dalam isu pendidikan seks di sekolah.

“Kebanyakan remaja yang hamil luar nikah ini tidak tahu hubungan intim boleh menyebabkan mereka hamil. Buat sekali tidak hamil, jadi mereka rasa tidak mungkin hamil dan lebih kerap melakukannya dan akhirnya hamil,” katanya.

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Hasnah Sulaiman, berkata memang amat menyedihkan kebanyakan remaja bawah umur ini berbangsa Melayu beragama Islam. Malah latar belakang mereka terbabit ialah daripada keluarga berpendapatan rendah selain kurang ilmu mengenai sistem reproduktif manusia.

“Apabila ditanya, majoriti menjawab mereka buat atas dasar suka sama suka, berseronok-seronok dan tidak sangka boleh mengandung. Jika dulu kita mungkin kata remaja ini adalah bohsia atau minah rempit, tetapi rata-rata hari ini mereka adalah remaja biasa yang lazim kita temui di sekolah dan ada yang bertudung labuh,”

“Jika di HKL, dalam puluhan kes pasti ada lebih daripada satu kes remaja ini datang daripada keluarga yang porak peranda atau jika tidak bermasalah tetapi susah. Malah, kajian kami pada 2004 mendedahkan banyak kes membabitkan remaja yang tinggal bersama keluarga di rumah flat satu bilik,” katanya.