.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, August 12, 2010

0 Arahan Roh Kuda dari syaitan? Lihatlah bagaimana syaitan (iblis) menggoda manusia? Ini dalam hal yang tragis pun terpedaya, apa lagi hal yang lazat2

Kes bunuh 4 beranak: Rasidi dakwa terima arahan bunuh ahli keluarga


2010/08/12
SEREMBAN: Rasidi Ismail, yang menghadapi pertuduhan membunuh bapa, datuk, nenek dan adik perempuannya, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang dia menerima arahan untuk membunuh empat anggota keluarganya itu yang datang dalam bentuk visual dan tulisan.

Rasidi, 32, memberitahu mahkamah bahawa dua hingga tiga hari sebelum pembunuhan itu berlaku, dia sering mendapat visual melihat ayahnya diangkat ke langit.

"Selepas melihat ayah di angkat ke langit, mak terkejut lalu meninggal dunia. Abang kedua saya pula menjadi batu dan adik saya mati dalam kemalangan jalan raya," katanya mengenai visual itu semasa membacakan keterangan membela diri terhadap pertuduhan membunuh empat anggota keluarganya itu di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara 7 pagi hingga 11 pagi, 5 Januari lalu.


Rasidi dituduh mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.


Dalam keterangannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin, katanya sehari sebelum membunuh mereka, dia tidak dapat tidur kerana asyik berkomunikasi dengan tulisan di dinding yang menyatakan ada banyak dajal dan syaitan sudah keluar di Malaysia dan tulisan itu memintanya bersabar dan banyak mengingati Allah.


"Keesokan paginya iaitu pada 5 Januari, tulisan itu sekali lagi muncul di dinding dan meminta saya menikam nenek (Sufiah Katas, 80 tahun) dan datuk (Atan Daud, 87) dengan pisau.


"Selepas itu saya pulang ke rumah dan membasuh tangan dan pisau di paip air lalu ayah saya keluar dan tulisan di dinding telah mengarahkan saya menyembelih ayah (Ismail Awang, 76 tahun) dan mengambil kepalanya dan membawanya ke Thailand," katanya.


Katanya, dia kemudian diarah menikam adiknya (Siti Khadijah).


Ibu Rasidi dan anggota keluarganya yang hadir di mahkamah dilihat menangis dan sedu-sedan mereka dapat didengari ketika tertuduh membacakan keterangannya itu.


Rasidi berkata, dia kemudian melarikan diri ke Tampin sebelum ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel murah.


"Pada malam itu saya telah diadili oleh tuhan di atas pembunuhan yang saya lakukan dan saya telah dijatuhi hukuman pancung," katanya.



Esoknya selepas menanam kepala bapanya, katanya dia pergi ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman pancung seperti yang "diarahkan" tetapi penjara itu sudah ditutup dan dia kemudian pergi ke mahkamah dekat Dataran Merdeka, Kuala Lumpur tetapi mahkamah itu sudah berpindah.


Dalam prosiding hari ini, dua saksi turut memberikan keterangan iaitu bekas majikan Rasidi, Azhar Johari, pengarah urusan sebuah syarikat pembinaan di Shah Alam, Selangor dan bekas tunang Rasidi, Mysara Mohd Ali.


Azhar berkata, Rasidi bekerja di syarikat itu dari September 2008 hingga Mei 2009 dan mendapatinya bersikap pelik selepas beberapa bulan bekerja di mana dia sering bercakap seorang diri dan gemar mengasingkan diri di dalam longkang.


"Rasidi juga akan makan serta minum dengan senang hati ketika beliau memberi taklimat iaitu sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh pekerja lain," kata Azhar semasa disoal peguam yang mewakili Rasidi, Hanif Hassan.



Mysara dalam keterangannya berkata, selepas melakukan pembunuhan itu, Rasidi ada menghubunginya dengan telefon dengan berkata: "mak, bapa, abang ngah dan adik lelaki" sudah meninggal dunia.


Katanya, beliau mempertikaikan jumlah kematian yang ramai itu dan Rasidi memberitahu bahawa perkara itu adalah benar kerana dirinya adalah Rasulullah sebelum talian diputuskan.


Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan ke 1 September depan dengan saksi terakhir iaitu pakar sakit jiwa yang pernah merawat Rasidi dijadual memberikan keterangan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. -Bernama



Artikel berkaitan:

Misi suci ‘bunuh syaitan, dajal’

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

RASAH 11 Ogos – Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini dikejutkan dengan pendedahan seorang saksi yang memberitahu bahawa Rasidi Ismail mendakwa dia bertindak membunuh empat ahli keluarganya demi melaksanakan satu misi suci ‘membunuh syaitan dan dajal’.

Perkara itu didedahkan oleh Pegawai Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Asisten Supritendan Noor Suran Abdul Wahid ketika disoal balas oleh peguam bela kepada Rasidi, Hanif Hassan.

HANIF: Ada tanya OKT (orang kena tuduh) kenapa tanam kepala bapanya, Ismail Awang di Shah Alam, Selangor?

NOOR SURAN: Ada. OKT beritahu ketika itu dia bercelaru.

HANIF: Ada OKT beritahu bahawa kepala yang dia tanam itu adalah kepala Sayidina Abu Bakar?

NOOR SURAN: Ada.

HANIF:Ada OKT beritahu bahawa dia menanam kepala itu bagi menghalang ia diambil oleh syaitan dan dajal?

NOOR SURAN: Ada.

HANIF: Ada OKT beritahu bahawa dia ketika itu menjalankan satu misi suci untuk membunuh syaitan dan dajal yang kini banyak di muka bumi ini?

NOOR SURAN: Ada.

Saksi pendakwa kesembilan itu juga menyatakan, tertuduh ada memberitahunya bahawa nenek tertuduh, Sufiah Katas, 80, ialah jelmaan syaitan manakala datuknya, Atan Daud, 87, ialah jelmaan dajal.

Di samping itu, tertuduh mendakwa dia membunuh adiknya, Siti Khadijah Ismail, 22, kerana perlu menyelamatkan mangsa daripada syaitan dan dajal.

‘‘Tertuduh juga ada memberitahu sebelum semua mangsa dibunuh, dia telah meminta maaf daripada mereka,’’ kata Noor Suran.

Rasidi, 32, dibicarakan atas tuduhan membunuh bapanya, Ismail, 76, datuk dan neneknya di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, di sini antara pukul 7 pagi dan 11 pagi, 5 Januari lalu.

Tertuduh yang merupakan penganggur juga dituduh membunuh Siti Khadijah di rumah bernombor 119, Kampung Batang Rokan pada masa dan tarikh yang sama.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Tampin, Asisten Supritendan Khairil Anuar Saidin pula memberitahu, Rasidi berharap agar dia dibunuh ketika bertindak menyerang dua anggota polis bantuan di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu.

Menurut saksi kesepuluh itu, pemuda tersebut memberitahu tindakannya menyerang anggota polis bantuan itu bertujuan agar mereka menyerangnya semula.

HANIF: Ada dia beritahu tujuan dia menyerang anggota polis bantuan berkenaan supaya dia boleh terbunuh ketika diserang balas?

KHAIRIL ANUAR: Ada.

HANIF: Ada OKT beritahu dia mahu mati kerana dia sudah dijatuhkan hukuman mati?

KHAIRIL ANUAR: Ada.

Selepas saksi itu selesai memberi keterangan, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin memerintahkan Rasidi membela diri atas tuduhan yang dihadapinya setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berjaya membuktikan kes prima facie.

‘‘Laporan bedah siasat dan keterangan saksi membuktikan bahawa semua mangsa mati akibat kecederaan yang dialami mereka.

‘‘Mahkamah juga mendapati penemuan kepala, rekod percakapan tertuduh dan kelakuan tertuduh jelas menunjukkan niat tertuduh,’’ katanya.


Artikel berkaitan:

'Saya diadili Tuhan'
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud

2010/08/13 SEREMBAN: Tertuduh kes bunuh empat ahli keluarganya di Gemencheh, Tampin, Januari lalu, Rasidi Ismail, 32, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa dia membawa kepala bapanya yang disembelih keluar dari kawasan rumah menggunakan motosikal hingga ke pekan Tampin.


Rasidi yang memakai baju kemeja putih berkata, sebaik sampai di Tampin, dia meneruskan perjalanan ke Seremban menggunakan sebuah teksi sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur.

“Saya turun di Petaling Street dan mendapat visual imej seorang bekas teman saya iaitu Sherry meminta saya tunggu di Kuala Lumpur dan saya menyewa sebuah hotel bajet di Petaling Street. Saya menunggu dia (Sherry) sehingga esok paginya.

“Pada malam itu, saya diadili oleh Tuhan di atas pembunuhan yang dilakukan dan dijatuhi hukuman pancung,” katanya.

Menurutnya, pada pagi itu, dia mendapat tulisan di langit meminta supaya menanam kepala bapanya di mana-mana tanah perkuburan Islam lalu dia pergi ke Shah Alam menaiki sebuah teksi.

Katanya, sebaik sampai di sana, dia menanam kepala bapanya berhampiran pagar dan balik semula ke Kuala Lumpur dengan teksi sebelum solat Zuhur di Masjid Jamek Kuala Lumpur.

“Selepas itu, saya (pergi) ke Penjara Pudu untuk menjalani hukuman pancung, tetapi saya dapati Penjara Pudu sudah ditutup lalu saya bertanyakan kepada anggota polis yang bertugas di situ di mana tempat hukuman pancung dijalankan kerana saya dijatuhkan hukuman di dalam perbicaraan.

“Saya kemudian diarahkan oleh anggota polis itu supaya pergi ke belakang mahkamah dekat Dataran Merdeka dan apabila sampai di situ, saya dapati mahkamah berpindah lalu kembali semula ke Masjid Jamek Kuala Lumpur,” katanya.



Rasidi berkata, pada sebelah petang, dia mendengar ribuan suara manusia di sekeliling menyebabkannya menjadi bingung dan berkecamuk.

Menurutnya, dia mendengar suara itu menyerang anggota polis supaya anggota polis menembak kepalanya yang membawa maksud hukuman pancung terbabit terlaksana.

Katanya, dia mengambil sebilah pisau dari kedai makan berdekatan Masjid Jamek Kuala Lumpur lalu berjalan mencari balai polis berhampiran, namun berjumpa dengan anggota polis yang meronda di Stesen LRT Masjid Jamek dan mengacukan pisau ke arah mereka dengan harapan anggota polis itu menembak kepalanya.

“Namun, mereka tidak menembak kepala saya bahkan mengejar dan berjaya menahan saya lalu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi,” katanya.

Rasidi menghadapi pertuduhan membunuh bapanya, Ismail Awang, 76; datuknya, Atan Daud, 87, dan neneknya, Sufiah Katas, 80, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Batang Rokan, Gemencheh antara jam 7 pagi dan 11 pagi pada 5 Januari lalu.

Selain itu, dia dituduh membunuh adiknya, Siti Khadijah, 22, di rumah bernombor 119 kampung berkenaan pada tarikh dan waktu sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Pada perbicaraan hari ketiga semalam, dua saksi pihak pembelaan iaitu bekas tunang dan majikan memberikan keterangan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin.

Sementara itu, bekas tunang mangsa, Mysharah Mohammad Ali, 29, ketika menjawab pertanyaan peguam bela tertuduh, Hanif Hassan, berkata dia ada menerima panggilan daripada Rasidi pada malam 3 Januari lalu yang memberitahu beberapa ahli keluarganya sudah meninggal dunia.

Bekas majikan tertuduh, Azahar Abdul Halim, 35, berkata Rasidi mula berubah sikap selepas beberapa bulan bekerja di syarikat pembinaan di Shah Alam.

Katanya, Rasidi yang bekerja pada September 2008 sebagai pegawai penyelaras tapak projek mula berubah sikap dengan bercakap seorang diri di tapak binaan selain enggan mendengar arahan daripada orang lain.

Perbicaraan akan bersambung pada 1 dan 2 September depan dengan pihak pembelaan akan mengemukakan saksi penting iaitu seorang pakar sakit jiwa.