.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }
Showing posts with label akhbar. Show all posts
Showing posts with label akhbar. Show all posts

Wednesday, July 06, 2011

0 Punca pendapatan terbesar bagi akhbar ialah melalui jualan iklan

Akhbar tarik iklan RM1.7b


2011/07/06
AKHBAR kekal sebagai peneraju dalam perbelanjaan pengiklanan (ADEX) dengan menarik perbelanjaan iklan sebanyak RM1.7 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA).

Ini adalah pertumbuhan 14.3 peratus daripada RM1.5 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. MNPA dalam kenyataannya berkata, ADEX berkembang 16.2 peratus kepada RM4.09 bilion dalam tempoh lima bulan sehingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dan momentumnya dijangka berterusan. Pengerusi MNPA, Datuk Mohd Nasir Ali berkata kos pengeluaran akhbar tahun ini dijangka terus meningkat berikutan kadar pengangkutan, tarif elektrik dan kos buruh yang tinggi.

“Duti antilambakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam jajaran 5.59 peratus hingga 43.24 peratus bagi import kertas akhbar dari Kanada, Indonesia, Korea, Filipina dan Amerika Syarikat, juga memburukkan lagi keadaan,” katanya.

MNPA adalah persatuan yang ditadbir oleh penerbit di Malaysia.

Sunday, December 19, 2010

0 Wartawan akhbar nasional vs wartawan akhbar picisan

Tingkat mutu penulisan akhbar

Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2010/12/19


PRESIDEN Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia, Dr Alias Mohamed (tiga kiri) berbual dengan bekas wartawan Berita Harian pada Mesyuarat Agung keenam dan ketujuh persatuan, semalam.Bekalan informasi berguna hadapi persaingan lebih agrasif

KUALA LUMPUR: Pemantauan rapi terhadap perkembangan wartawan Melayu tanah air bukan saja mampu membantu mengeratkan silaturahim dalam kalangan wartawan, tetapi turut berperanan mempertingkatkan mutu penulisan, khususnya bagi media arus perdana. Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib, berkata kerjasama erat bersama institusi tertentu termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) membolehkan wartawan Melayu menimba pelbagai informasi berguna yang boleh dijadikan senjata untuk bersaing lebih agresif dan kompetitif dengan wartawan kaum lain. “Pada masa ini semua akhbar arus perdana di seluruh dunia mengalami kejatuhan dari segi edaran. Ini bukan saja kerana kandungan akhbar boleh diakses menerusi internet, tetapi dalam hal lain mutu penulisan juga banyak mempengaruhi.

“Kewartawanan berasaskan kepada ketepatan fakta, kecepatan menghantar berita, penulisan yang baik dan kebolehan menganalisis yang dinamik. Jadi jika ada satu jawatankuasa ditubuhkan bersama IPT di negara kita, saya percaya aspek keilmuan dalam dunia kewartawanan akan lebih terserlah dan mampu melahirkan wartawan berkualiti,” katanya.

Berucap merasmikan mesyuarat agung keenam dan ketujuh Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM), di sini semalam yang turut dihadiri Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, Ahmad berkata, PBWBHM harus ada blog sendiri supaya hal ehwal persatuan dan perkembangan terkini ahli diketahui dengan pantas dan berkesan.

“Ahli kita ada di seluruh negara dan mungkin juga ada ahli yang berhijrah ke luar negara. Jadi blog adalah perantara terbaik untuk membolehkan mereka mengetahui perkembangan terkini persatuan,” katanya.
Ahmad berkata, blog persatuan itu bagaimanapun perlu mempunyai agenda khusus sama ada menjurus kepada aktiviti berbentuk sosial atau memberi fokus kepada wadah perjuangan persatuan dalam merintis jalan lebih sempurna dan terjamin untuk wartawan Melayu.

“Blog dalam bentuk sosial membolehkan ahli berkomunikasi dan bertukar pendapat manakala blog yang mengkhusus sebagai wadah perjuangan akan menjadi lidah dan pencetus fikiran untuk agenda lebih serius,” katanya yang turut menyarankan direktori PBWBHM diwujudkan dalam bentuk cetakan dan virtual untuk kemudahan ahli.

Wednesday, October 20, 2010

0 Trend pembaca berita di Malaysia

Berita Harian Online laman berita nombor satu


2010/10/19
KUALA LUMPUR: Berita Harian Online menjadi laman berita tempatan nombor satu, mengatasi laman web akhbar arus perdana dan portal berita lain menerusi laporan kajian terbaru agensi penyelidikan media, Nielsen, mengenai corak pilihan pembaca akhbar online utama.

Nielsen Media Index bagi tempoh kajian dari Julai tahun lalu hingga Jun lalu menunjukkan Berita Harian Online menjadi pilihan 33 peratus daripada 1.4 juta pembaca, diikuti satu lagi penerbitan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, MyMetro (Harian Metro) dengan 29 peratus dan NST Online di tempat keenam dengan 11 peratus. Mengikut laporan itu, pesaing luar terdekat ialah The Star di tempat ketiga dengan 29 peratus; Utusan (19 peratus); dan Malaysiakini (18 peratus). Indeks itu juga menunjukkan dua laman web akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew di tempat ketujuh dengan 11 peratus dan China Press kelapan dengan 8 peratus.

Bagi segmen corak pilihan akhbar, Berita Harian/Berita Minggu di tempat kedua dengan 1.49 juta pembaca. Tempat pertama adalah Harian Metro/Metro Ahad dengan 3.61 juta pembaca.

Kajian itu juga menunjukkan peratusan mereka yang membaca akhbar bercetak masih jauh mendahului versi online iaitu 72 peratus. Jumlah mereka yang hanya membaca versi online ialah 1 peratus manakala 9 peratus membaca kedua-duanya.

Sementara itu, Berita Harian Online terus mendahului pesaing lain dari segi penyertaan laman sosial dengan 232,776 peserta Facebook sejak dilancarkan hampir setahun lalu.

Saturday, July 10, 2010

0 Takkan melayu hilang di dunia, ambil iktibar kejatuhan kesultanan melayu melaka

Melayu – Antara mungkin dan pasti
Oleh Mior Kamarul Shahid

2010/07/10
Senario politik dengan matlamat halalkan cara kian diterima

KETIKA berbual dengan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik di Kuala Terengganu, Rabu lalu, beliau menarik perhatian kepada satu tajuk berita yang dibacanya di akhbar pagi itu yang menurutnya sebagai salah. Tajuk berita itu berbunyi 'kuasa politik Melayu mungkin hilang jika mereka berpecah belah'. “Tajuk berita ini tidak betul,” katanya dengan tegas. Beliau menjelaskan, tajuk berita yang betul ialah ‘kuasa politik Melayu pasti hilang jika mereka berpecah belah’. Perkataan ‘mungkin’ sepatutnya diganti ‘pasti’. Daripada raut wajahnya, beliau bukan bergurau atau sinikal terhadap akhbar, tetapi cuba menyampaikan satu mesej yang amat serius mengenai kedudukan orang Melayu hari ini. Katanya, tidak timbul lagi soal orang Melayu mungkin kehilangan kuasa apabila mereka sudah berpecah belah.

“Jika orang Melayu berpecah belah, saya kata, mereka pasti kehilangan kuasa,” jelasnya.

Beliau menguatkan hujahnya dengan analogi jika seseorang tidak makan, tidak timbul soal dia mungkin lapar. Dia pasti lapar jika tidak makan. Begitu juga, jika tidak tidur, dia pasti mengantuk. Tidak timbul soal dia mungkin mengantuk akibat tidak tidur.

Sabbaruddin amat bimbang melihat perpecahan orang Melayu kerana sedar mereka akan lesap segala-galanya. Apa juga keistimewaan yang diperjuangkan selama ini akan terkubur.
Dalam sejarah tamadun dunia, apa-apa pun boleh berlaku. Tidak ada soal mustahil dalam membicarakan tamadun manusia. Kuasa besar yang amat kuat, malah empayar atau dinasti sekali pun, runtuh akibat perbalahan sesama sendiri.

Jika ia membabitkan kaum yang sama seperti di China atau Jepun. Malah di negara kuasa Barat, kejatuhan pemerintah kepada kaum sama. Tetapi, jika ia berlaku di negara yang mempunyai komposisi kaum yang berbeza dan setiap kaum mempunyai kecenderungan untuk menguasai politik, kuasa politik boleh berpindah tangan.

Kerajaan Melayu Melaka jatuh juga adalah berpunca daripada perbalahan dan perebutan kuasa. Jika kerajaan Melayu ketika Kesultanan Melaka boleh tumbang seterusnya ditawan, inikan pula sebuah kerajaan dalam sistem demokrasi yang ditentukan kuasa undi.

Sudah banyak pun kerajaan bertukar tangan. Dalam sistem demokrasi di negara majmuk, perpecahan kaum lebih mudah berlaku. Kuasa kaum majoriti menjadi lebih kecil apabila berlaku perpecahan undi. Dalam konteks politik Malaysia, ia adalah satu senario yang boleh menyebabkan ‘apa-apa pun boleh berlaku’.

Tahap paling tinggi perpecahan orang Melayu berpunca daripada perbezaan ideologi politik kepartian. Bila agama turut dimasukkan pula ke dalam politik, perpecahan kian ketara. Orang Melayu yang mewakili 60 peratus penduduk negara ini berpecah sekurang-kurangnya kepada tiga aliran pemikiran yang dikemudi oleh parti politik.

Sekali pun berdasarkan kepada kadar purata 40 peratus UMNO:15 peratus PAS dan lima peratus Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia tetap perpecahan ketara undi orang Melayu. Dalam konteks negara majmuk, ia adalah perpecahan yang menakutkan.

Dalam senario politik yang mana matlamat menghalalkan cara diterima sebagai norma politik, keadaan sebegini lebih dilihat sebagai tindakan untuk melakukan apa cara sekali pun demi untuk merampas kuasa. Selain daripada itu hanyalah alasan.

Dalam politik Malaysia, sub-perpecahan orang Melayu berlaku sehingga ke peringkat kampung dan daerah akibat tidak sefahaman yang diada-adakan dan soal titik bengik. Semua ini memberi kesan kepada undi dan menyebabkan perpecahan pasti berlaku yang akhirnya mengakibatkan orang Melayu kehilangan kuasa.

Antara akhbar dan filem

Ketika berbincang dengan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) diketuai Ketua Pengarahnya, Mohd Mahyidin Mustakim, yang melawat Balai Berita, Selasa lalu, perbincangan menyentuh soal industri akhbar dan filem.

Industri akhbar dan filem mempunyai banyak persamaan. Persamaan ini bukannya disebabkan dua-duanya adalah tergolong dalam komunikasi media, tetapi dari segi perniagaan dan kumpulan sasaran.

Akhbar memerlukan pembaca, manakala filem memerlukan penonton. Bagaimana pun, dari segi operasinya adalah berbeza kerana akhbar perlu cepat mencari bahan setiap hari, manakala filem memerlukan masa untuk membuat kajian.

Kemahiran dalam dua bidang ini juga jauh berbeza. Dalam dunia yang penuh saingan ini, persoalan sejauh manakah industri ini boleh bertahan, tidak dapat dielakkan. Akhbar akan terus wujud selagi pembaca memerlukan maklumat baru menerusi saluran yang pelbagai.

Begitu juga dengan filem, selagi penonton tidak jemu menonton filem di pawagam. Hari ini kedua-dua industri itu menghadapi saingan paling sengit. Akhbar bukan saja menghadapi saingan saluran maklumat daripada televisyen dan akhbar lain, tetapi daripada apa juga bahan bacaan khasnya media baru.

Filem juga menghadapi saingan daripada ratusan stesen televisyen yang menyiarkan filem yang juga bertujuan untuk menarik pelanggan, DVD, internet dan sebagainya.

Atas keyakinan akhbar akan menjaga kredibiliti, menyiarkan berita yang tepat, benar dan memberi maklumat berguna kepada pembaca, manakala FINAS pula menerbitkan atau membantu syarikat filem tempatan menerbitkan filem bermutu, kedua-dua industri ini akan terus kekal dan mendapat pasaran.