.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, April 29, 2011

0 TESCO vs Giant? Cawangan Tesco baharu dibuka dengan kos RM80 - RM200 juta sebuah

Tesco mahu ke Sabah, Sarawak

Oleh FAIRUS KASSIM




Tjreed Jegen (tengah) menunjukkan tanda ‘Sedia Bantu’ yang akan digunakan di kaunter pembayaran Tesco sempena pelancaran sistem Quick Q di Tesco Kepong Village, Bandar Manjalara, Kepong, semalam.



KUALA LUMPUR 28 April – Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. (Tesco) menjangkakan pembukaan tiga buah lagi cawangan dalam tempoh enam bulan akan datang, menjadikan cawangan keseluruhan tahun ini berjumlah 42 buah.

Cawangan baharu itu akan dibuka di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur; Pulau Pinang dan Sri Iskandar, Manjung di Perak dengan kos antara RM80 juta hingga RM200 juta sebuah.

Ketika ini, Tesco memiliki 39 buah cawangan dengan lapan daripadanya adalah Tesco Extra iaitu cawangan berkonsepkan jualan borong.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tjreed Jegen berkata, minggu ini, genaplah Tesco bertapak di Malaysia selama 10 tahun dan setakat ini, ia telah melabur lebih RM5 bilion untuk mengembangkan operasinya.

‘‘Tesco juga menyediakan lebih 15,000 peluang pekerjaan dengan 99.99 peratus daripadanya diisi oleh penduduk tempatan.

‘‘Secara purata kami menyediakan 1,000 peluang pekerjaan untuk setiap cawangan yang beroperasi dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka di Tesco.

‘‘Sebanyak 95 peratus daripada 60,000 produk yang dipasarkan diperoleh daripada dalam negara dan 75 peratus daripadanya dibekalkan oleh PKS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Tesco Quick Q sempena sambutan ulang tahun ke-10 Tesco, di sini hari ini.

Tesco Quick Q merupakan antara kaedah digunakan Tesco untuk mengurangkan masa beratur di kaunter pembayaran dengan menggunakan teknologi pemantauan melalui kamera berkomputer.

Tesco melabur hampir RM1 juta untuk memajukan sistem baharu berkenaan yang dilihat mampu menyelesaikan tempoh masa beratur dengan lebih berkesan untuk semua cawangannya di seluruh negara.

Jegen berkata, Tesco juga menerokai peluang untuk membuka cawangan di Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat jika mendapat kelulusan daripada kerajaan.

‘‘Tesco telah mengadakan rundingan dengan kerajaan berkenaan hasrat tersebut tetapi tiada keputusan dibuat,’’ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Tesco bakal membantu 152 kedai runcit terpilih di seluruh negara menerusi projek Transformasi Kedai Runcit (Tukar), program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tesco bagi membimbing peniaga runcit konvensional melakukan transformasi, sekali gus menjadikan golongan terbabit lebih berdaya saing.

Jegen berkata, ketika ini Tesco telah berjaya membantu mengubah dua buah kedai di Shah Alam dan Puchong dengan nilai bantuan sebanyak RM80,000 dan RM60,000.

0 Shaheizy Sam taruhan David Teoh untuk 100 pawagam. 1 print = RM4000.00 = RM400,000.00

100 panggung tayang Kongsi


2011/04/29




Shahiezy Sam
Status Bintang Paling Popular ABPBH2010, Shahiezy Sam dijadikan sandaran

METROWEALTH Movies Production (MMP) bakal mencipta sejarah dalam industri perfileman tanah air apabila filem terbitan mereka, Kongsi bakal ditayangkan di 100 buah pawagam. Bukan saja mencatat sejarah dari segi jumlah panggung yang ditayangkan tetapi juga buat pertama kalinya sebuah panggung mendapat dua print filem dan ia membabitkan sepuluh buah pawagam. Pengarah Urusan MMP, David Teo berkata filem lakonan pemenang kategori Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010), Shaheizy Sam itu dipilih berdasarkan kehendak pemamer dan juga penonton yang pernah menyaksikan trailer filem itu.

“Filem Kongsi bakal mencipta sejarah apabila ditayangkan pada 12 Mei depan kerana ia menjadi filem Melayu pertama yang akan ditayangkan di 100 pawagam di seluruh negara.

“Pemilihan filem ini dibuat bukan atas keputusan syarikat semata-mata tetapi turut mengambil kira permintaan pihak pemamer dan juga peminat yang pernah menyaksikan trailer filem berkenaan sejak kami tayang di pawagam lima bulan lalu.

“Belum pernah dalam sejarah penonton bertepuk tangan ketika menyaksikan trailer sesebuah filem waima filem dari Barat sekali pun.Justeru berdasarkan sambutan dan keyakinan yang mereka berikan itu, kami pun mengambil keputusan untuk menayangkan filem itu di seratus buah pawagam. Malah daripada jumlah itu, sepuluh daripadanya akan mendapat dua print filem dan ini bermakna mereka akan membuka dua buah dewan tayangan khusus untuk filem Kongsi,” kata David kepada Hip, kelmarin.
Bagaimanapun, semakin banyak panggung memerlukan kos yang tinggi juga. Dengan jumlah 100 panggung, bermakna MMP membelanjakan RM400,000 kerana setiap satu print atau salinan filem bagi setiap panggung berharga RM4,000.

“Kami sedar bukan sedikit jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Memang berisiko. Namun dengan sokongan daripada pihak pemamer dan peminat, kami tak kisah mengeluarkan belanja yang lebih. Lagipun, kami yakin populariti Shaheizy Sam juga mampu menarik peminatnya untuk menyaksikan filem ini,” katanya.

Sebagai sebuah syarikat produksi yang mendapat jolokan “kilang filem”, berderet filem mereka menanti untuk ditayangkan. Selepas Kongsi, menyusul adalah filem 3,2,1 Cinta dan diikuti filem Sekali Lagi juga lakonan Shaheizy Sam dan filem Flat 3A.

Apakah filem ini juga bakal menerima tuah yang sama seperti filem Kongsi?

“Tidak semua filem MMP ditayangkan di 100 pawagam. Seperti yang saya katakan, keputusan berapa jumlah pawagam bukan dibuat oleh syarikat semata-mata. Ia juga membabitkan pemilik pawagam dan sambutan peminat kerana sokongan mereka sangat penting dan kami tidak mahu menanggung risiko di kemudian hari.

“Bagaimanapun, kita mengambil sikap tunggu dan lihat saja. Jika filem itu sememangnya dinantikan peminat dan mendapat lampu hijau dari pihak pemamer, kita akan mengambil langkah yang sama,” kata David lagi.

Kongsi mengisahkan penyiasatan ASP Shariff terhadap kes pembunuhan di kalangan kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur. Kumpulan kongsi gelap ini terdiri daripada tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang selalu bergaduh selepas berlakunya sesuatu kes pembunuhan.

Selain Shaheizy, filem ini turut dibintangi oleh Farid Kamil, Bront Palarae, Fizo Omar, Norliana Samsudin, Azad Jazmin, Putri Mardiana dan Fida Ibrahim.

Industri filem catat setengah bilion ringgit

JUMLAH pawagam baru dengan konsep sinepleks iaitu panggung wayang dalam pusat membeli belah meningkat hampir sekali ganda. Konsep sinepleks ini memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung atau penonton yang terdorong untuk menonton filem, baik tempatan atau luar negara.

Mengikut Statistik Industri Perfileman Malaysia oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), pada tahun 2005 terdapat hanya 66 pawagam atau sinepleks yang keseluruhannya menyediakan 265 dewan tayangan atau layar perak. Keseluruhan dewan tayangan atau disebut sebagai hall ini memberikan 61,482 kerusi.

Pada tahun 2010, jumlah itu meningkat kepada 100 pawagam dengan 571 hall dan 110,424 kerusi. Sehingga Januari 2011, terdapat pertambahan 95 pawagam baru dibina dan ia menyediakan 561 lagi hall untuk memberi tambahan sebanyak 107,172 kerusi.

Pertambahan pawagam ini menunjukkan minat orang ramai untuk menonton filem yang semakin meningkat biarpun bersaing dengan teknologi baru seperti menonton menerusi internet, jalur lebar malahan baru-baru ini melanggan Astro First. Ini kerana suasana menonton dalam panggung memberikan mood yang berbeza.

Kepuasan menonton lebih dinikmati dalam panggung wayang dengan skrin atau layar lebar dan sistem bunyi yang padat sehingga memberi kesan dan penghayatan terhadap setiap filem yang ditonton. Suasana ini sudah tentu agak berbeza apabila menonton filem di rumah.

Kemunculan filem bercorak tiga dimensi atau 3 D yang setakat ini hanya boleh dinikmati di panggung, turut memberi kesan kepada minat orang ramai untuk ke panggung.

Mengikut statistik FINAS, pada tahun 2005, dianggarkan 26 juta menonton pelbagai jenis filem untuk menyumbangkan kutipan kasar RM217.4 juta. Jumlah ini meningkat sekali ganda pada tahun 2010 apabila panggung wayang mencatatkan kehadiran 54.3 juta penonton untuk menghasilkan kutipan kasar daripada sektor perfileman hampir setengah bilion ringgit atau RM518.2 juta.

Dan, sehingga Januari 2011 sahaja, panggung wayang mencatatkan kehadiran 4.22 juta penonton seterusnya memberikan pulangan kepada industri perfileman bagi tempoh itu sebanyak RM42 juta.

Thursday, April 28, 2011

0 Modal RM1 juta hingga RM3 juta untuk satu cawangan KFC

KFC buka 25 cawangan tahun ini




CAWANGAN KFC yang memiliki perkhidmatan pandu lalu semakin popular di kalangan para pelanggannya.



KUALA LUMPUR – KFC Holdings (Malaysia) Bhd. bercadang untuk membuka 25 restoran baharu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini dalam usaha untuk meluaskan penguasaan pasarannya di samping memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md. Ali (gambar) berkata, projek pengembangan cawangan tersebut dijangka membabitkan kos kira-kira RM45 juta.

“Setiap cawangan akan membabitkan pelaburan kira-kira RM1 juta manakala bagi cawangan yang memiliki perkhidmatan pandu lalu pula akan melibatkan kos kira-kira antara RM2 juta sehingga RM3 juta setiap satu,” katanya selepas mesyuarat agung di sini semalam.

KFC yang kini memiliki 515 cawangan itu telah membuka 40 cawangan terkini pada tahun lepas.

Tuesday, April 26, 2011

0 Dot Dot Dot Dalam Botol: Kutipan Box Office tidak penting untuk saya - Dihargai di luar negara / RM10 juta?

RM10 juta untuk ... Dalam Botol

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2011/04/26

Raja Azmi masih menimbangkan tawaran pengedar filem daripada New York

DALAM keadaan dilanda pelbagai kritikan dan kontroversi, filem Dalam Botol menarik minat pengedar filem antarabangsa berpusat dari New York yang menyatakan minat untuk membeli hak tayangan pada harga RM10 juta atau AS$3 juta. Pastinya jumlah yang ditawarkan itu lebih 10 kali ganda lebih tinggi daripada kutipan kasar filem Dalam Botol. Mengikut Maklumat Industri Perfileman di laman sesawang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), filem Dalam Botol yang dihasilkan dengan kos kira-kira RM800,000 mula ditayangkan menerusi 40 panggung pada 23 Mac lalu dan mencatatkan kutipan kasar RM570,000. Angka itu berdasarkan data yang dikemaskini oleh FINAS sehingga 20 April lalu.

Penerbitnya, Raja Azmi Raja Sulaiman ketika dihubungi Hip menjelaskan, belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat ketika ini kerana rundingan mengenai harga masih dalam perbincangan.

Menurutnya, rundingan itu adalah untuk menentukan harga sebenar kerana adakah wakil pengedar berkenaan mahu menayangkan filem Dalam Botol ke seluruh dunia atau hanya pawagam di Amerika Syarikat saja.

Enggan dianggap sebagai terlalu tamak, tetapi pada masa beliau juga sedang mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak lain apakah tawaran yang diberikan itu dianggap berpatutan.
“Menyebut pasal harga ini, rundingan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Saya tidak mahu dilihat tamak. Tapi pada masa sama saya kena fikir juga, adakah RM10 juta itu adalah harga yang tinggi atau sebaliknya.

“Saya pun mahu kepastian daripada pihak pengedar sama ada filem Dalam Botol hendak ditayangkan di seluruh dunia atau Amerika saja. Kalau di seluruh dunia, apakah harga yang ditawarkan itu setimpal,” katanya.

Minat penggiat filem luar antarabangsa terhadap filem Dalam Botol tercetus apabila salinannya turut diedarkan oleh Library of Congress di Amerika. Malahan sebelum filem itu ditayangkan di negara sendiri, Dalam Botol sudah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti Fesvital Filem Antarabangsa Venice, Itali; Festival Filem Independent New York dan Festival Filem Antarabangsa Lyon, Perancis.

Penayangan filem ini dikatakan memberikan sedikit ‘kejutan’ kepada orang luar kerana tema yang dibawakan dianggap sebagai di luar daripada kebiasaan kerana mengetahui masyarakat Malaysia yang masih konservatif dan taboo homoseksual.

Bagaimanapun, Raja Azmi sekali lagi menegaskan, filem Dalam Botol bukanlah cerita mengenai cinta sejenis atau homoseksual tetapi sekadar mengangkat konflik kehidupan yang dilalui oleh segelintir manusia tetapi tidak diberikan perhatian oleh masyarakat.

“Ingin saya tegaskan, filem Dalam Botol tidak sama sekali menggalakkan budaya homoseks. Saya bukan hendak mempromosikan itu. Tetapi yang penting, cerita yang dimuatkan menerusi filem Dalam Botol adalah mengenai kesilapan manusia dalam membuat keputusan kerana terlalu mengikut kata hati,” katanya.

Raja Azmi juga menjelaskan dia tidak mahu menyamakan filem ... Dalam Botol dengan Brokeback Mountain. Baginya, walaupun kedua-dua filem itu mungkin ada persamaan dari segi pendekatan ceritanya, tetapi konflik yang dipaparkan ... Dalam Botol jelas berbeza kerana ia masih memberi penekanan daripada aspek moral, budaya dan pegangan agama.

“Cuma daripada pandangan orang Barat, filem ... Dalam Botol memecahkan taboo pemikiran penonton di Malaysia kerana cerita mengenai hubungan homoseksual memang tidak pernah dibuat terutama dalam pemikiran masyarakat kita yang sangat konservatif.

“Filem ... Dalam Botol memberi kejutan kepada orang luar kerana selalunya mereka selalunya melihat cerita seperti ini dilakukan oleh penggiat filem dari Jepun, Korea atau Hong Kong, bukan daripada Malaysia yang majoriti penduduknya mempunyai pegangan yang kuat dengan agama Islam,” jelasnya.

Konflik lelaki daripada pandangan wanita

Laporan agensi berita antarabangsa Associated Press (AP) pada 13 April lalu melaporkan filem ... Dalam Botol mendapat ulasan yang menggalakkan daripada pengkritik filem antarabangsa, malahan ada yang membandingkannya dengan Filem Terbaik di Anugerah Academy, Brokeback Montain dan filem Happy Together arahan Wong Kar Wai dari Hong Kong.

Pengarah filem ... Dalam Botol, Khir Rahman dipetik sebagai berkata; “Kutipan box-office tidak penting kepada saya. Saya sudah melakukan kerja sebagai seorang pengarah untuk menghasilkan satu cerita yang baik.”

Tidak dinafikan ... Dalam Botol memang sentuhan homoseksual dengan babak pembukaannya memaparkan dua lelaki meraba dada masing-masing ketika berada di pantai. Walaupun tidak sama dengan Brokeback Montain, tetapi ia disifatkan sebagai keterbukaan penonton filem Malaysia.

Filem genre drama romantik, Brokeback Mountain diarahkan oleh pengarah kelahiran Taiwan, Ang Lee pada tahun 2005 memaparkan kisah cinta yang rumit dan penuh konflik membabitkan dua lelaki di Barat Amerika.

Seperti filem ... Dalam Botol yang mana idea asalnya daripada seorang wanita, iaitu Raja Azmi, begitu juga dengan Brokeback Montain. Konflik cinta penuh rumit antara dua lelaki itu dalam Brokeback Mountain juga adalah adaptasi berdasarkan kaca mata wanita iaitu Annie Proulx, manakala Diana Ossana bersama-sama Larry McMurthy sebagai penulis lakon layar. Filem itu dibintangi oleh Heath Ledger, Jake Gyllenhaal, Anne Hathaway dan Michelle Williams.

Friday, April 22, 2011

0 Jose Mourinho: Jurulatih untuk memenangi kejuaraan. Patutkah beliau ke Arsenal?

Mourinho cipta kejuaraan

2011/04/22


PEMAIN Real nyata puas dakap trofi Copa del Rey selepas benam Barcelona, awal pagi semalam.Real genggam trofi Copa del Rey selepas penantian 18 tahun

VALENCIA: Jose Mourinho bersedia menerima lebih banyak lagi kritikan jika ia membantunya memenangi lebih banyak kejuaraan selepas Real Madrid menumpaskan Barcelona 1-0 untuk kejuaraan pertama trofi Copa del Rey dalam tempoh 18 tahun, awal pagi semalam. Mourinho dikritik kerana taktik bertahan ketika pasukannya seri 1-1 menentang Barcelona dalam saingan La Liga Sabtu lalu. Presiden kehormat Madrid Aldfredo Di Stefano dan Johan Cruyff secara terbuka mengecam jurulatih Portugal itu dengan Cruyff berkata Mourinho hanya bekerja untuk memenangi kejuaraan dan bukan sebagai ‘jurulatih bola sepak.’ “Memenangi kejuaraan adalah dengan mencipta kejuaraan — ia selalu baik. Hanya beberapa hari lalu seseorang menggelar saya jurulatih yang hanya memenangi kejuaraan dan bukan bola sepak,” kata Mourinho dari stadium Mestalla.
“Terima kasih — saya suka menjadi jurulatih yang memenangi kejuaraan.”

Mourinho berkata dia menghormati pandangan Di Stefano tetapi menegaskan dia adalah jurulatih dan dia yang menentukan bagaimana pasukan bermain.

Strategi Mourinho ialah bermain tanpa penyerang asal — dengan Cristiano Ronaldo memainkan peranan itu— dan menggunakan barisan depan untuk menekan Barcelona daripada bermain hantaran pendek seperti biasa yang menyebabkan juara Sepanyol itu gagal beraksi corak permainan biasa dan terpaksa membuat hantaran jauh untuk menyerang.
“Mereka beraksi sama seperti Sabtu lalu,” kata jurulatih Barcelona Pep Guardiola. “Mereka menukar pemain tetapi konsep permainan mereka hampir sama di Bernabeu.”

Madrid tidak bernasib baik untuk tidak berada di depan, sebelum Ronaldo menanduk masuk hantaran lintang Angel Di Maria pada minit ke-103 untuk membolehkan Madrid menjulang piala domestik ke-18 dan jurulatih Portugal itu memenangi kejuaraan keempat dalam empat liga berbeza. - AP

Trofi Copa del Rey pecah

MADRID: Real Madrid menantikan hampir tiga tahun untuk menjulang trofi tetapi kemudian trofi yang dalam genggaman tiba-tiba pecah.

Pemain pertahanan Madrid Sergio Ramos terlepas ketika memegang trofi Copa del Rey di atas bas ketika meraikan kemenangan awal pagi semalam dan tayar bas itu melanggar trofi berkenaan.

Petugas kecemasan memungut kepingan yang pecah itu dan mengembalikannya kepada pemain di atas bas, tetapi ketika sambutan tradisi kelab itu di Plaza de Cibeles di tengah Madrid, trofi itu tidak dibawa bersama.

"Piala itu jatuh, ia tiba-tiba jatuh," kata Ramos yang dipetik agensi Europa Press. "Tetapi piala itu OK."

Madrid menewaskan Barcelona 1-0 pada final Copa del Rey final awal pagi semalam, melalui jaringan Cristiano Ronaldo pada masa tambahan untuk kejuaraan domestik pertama kelab itu dalam masa 18 tahun.

Laporan menyatakan kira-kira 60,000 penyokong berada di Cibeles me-raikan kejayaan Madrid menjulang trofi pertama di bawah jurulatih Jose Mourinho dan pertama sejak trofi liga Sepanyol pada 2008.

"Selepas dua tahun yang sukar, memenangi Copa del Rey begitu melegakan," kata kapten Madrid, Iker Casillas. - AP


Artikel berkaitan:

http://billyinfo.blogspot.com/2011/04/gambar-video-trofi-copa-del-rey.html








Catatan: Segio Ramos punya hal, Jose Mourinho bakal panik. Kesialan piala buat jurulatih.



Artikel seterusnya:

Real Madrid rangkul Piala Raja Sepanyol

VALENCIA, Sepanyol - Real Madrid merangkul trofi pertamanya dalam tempoh tiga tahun dengan penuh dramatik, apabila tandukan Cristiano Ronaldo pada masa tambahan membantu pasukannya menumpaskan seteru utama, Barcelona 1-0 dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey), semalam.

Dengan banyak tuntutan penalti dikemukakan pemain kedua-dua pasukan dalam aksi tegang di Stadium Mestalla, Valencia, Ronaldo bagaimanapun menyumbat gol kemenangan menerusi jaringan padang selepas menanduk cantik sepakan silang Angel Di Maria pada minit ke-103 untuk menamatkan kebuntuan.

Kekalahan itu menafikan hasrat Barca menjulang tiga kejuaraan.

Bagaimanapun Barcelona masih di landasan untuk memburu dua lagi gelaran dengan mendahului saingan La Liga menerusi lapan mata mengatasi Real, malah akan menentang Real sekali lagi pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, 27 April dan 3 Mei.

"Memenangi trofi sentiasa memberikan perasaan yang baik. Saya cuba melakukan kerja sebaik mungkin, saya amat kepenatan sekarang tetapi sangat gembira.

"Kemenangan ini meredakan sedikit ketegangan tetapi masih ada kerja besar yang perlu diteruskan,'' kata jurulatih, Jose Mourinho yang sebelum ini dikritik oleh Presiden Real, Alfredo Di Stefano selepas pasukan itu seri 1-1 dengan Barcelona dalam saingan liga di Bernabeu, minggu lalu.

Mourinho, 48, yang pernah membawa Barcelona menjuarai Piala Raja pada 1997 dan 1998 ketika bertindak sebagai pembantu jurulatih kepada Bobby Robson dan Louis Van Gaal, kini sudah meraih trofi di empat negara berbeza.

Selain Real, dia pernah menjulang Chelsea (England), Inter Milan (Itali) dan juga kelab negara kelahirannya, Portugal, Porto.

"Pada saya, ini adalah perlawanan bola sepak yang hebat. Kami bermain baik menentang pasukan yang hebat,'' ujar Mourinho lagi.

Mourinho memilih untuk tidak menurunkan penyerang dalam kesebelasan utama, sebaliknya jentera serangan mereka diketuai pemain sayap, Ronaldo bersama Mesut Ozil dan Di Maria. - Reuters

Tuesday, April 19, 2011

0 Pengebom Masjid didakwa sakit mental dan tidak dengar cakap ibu-bapa

Pengebom gelar bapa kafir
2011/04/19



GAMBAR telefon bimbit menunjukkan mayat penyerang masjid di Cirebon yang didedahkan sebagai Muhammad Syarif.Ayah Muhammad Syarif dedah sikap, peri laku anak

JAKARTA: Ketika pihak berkuasa Indonesia terus cuba mengenal pasti motif serangan bom di sebuah masjid di Jawa Barat, Abdul Gafur, bapa pengebom bunuh diri berkenaan, Muhammad Syarif, mendedahkan semalam bahawa anaknya menggelar beliau kafir. “Apabila saya memberi nasihat kepadanya, dia panggil saya kafir. Saya suruh dia banyak doa tetapi dia kata saya terlalu banyak memberi nasihat, seperti syurga dalam tangan saya,” kata Gafur kepada media Indonesia. Gafur juga berkata, Syarif memang berdegil apabila membincangkan pandangannya dalam soal agama khususnya selepas menjadi anggota sebuah pertubuhan konservatif pada 2009.

Syarif juga berkata, sebahagian besar Kanun Keseksaan atau undang-undang jenayah Indonesia diwarisi daripada undang-undang Belanda yang dirangka orang kafir.

Katanya lagi, undang-undang negara itu sepatutnya berasaskan kepada Syariah kerana majoriti penduduk Indonesia beragama Islam, lapor Jakarta Post.

Syarif disyaki pengebom masjid kompleks polis Cirebon, Jumaat lalu. Dia terbunuh dalam letupan yang mencederakan 25 jemaah lagi.
Sementara itu, guru agama terkenal Indonesia yang dituduh ada hubungan dengan gerakan militan, Abu Bakar Bashir berpendapat Syarif mengalami masalah mental.

“Saya tidak pernah membaca atau mendengar sebarang sebab dalam agama yang mewajarkan perbuatannya. Jika ada pihak percaya dan tetap berkata sebab itu wujud, datang jumpa saya, kita boleh berbincang.

“Bagaimana boleh seseorang itu melancarkan serangan bom ketika orang lain sedang menunaikan solat? Itu bercanggah dengan agama.

“Seorang pemuda yang memahami agamanya tidak akan melakukannya. Jika penyerang ahli sesebuah pergerakan, saya mengesyaki kumpulannya adalah musuh Islam yang mempergunakannya, mengajarnya melakukan serangan untuk mengelirukan orang lain.

“Itulah pandangan saya kerana agama Islam tidak sama sekali memberi sebab mewajarkan pengeboman masjid,” katanya lagi. – Agensi

0 Kemiskinan bandar dan survival di kota

Korban rehat demi RM1,000



SEPASANG suami isteri terpaksa mencari duit tambahan dengan berniaga burger di sebelah malam di Damansara Utama, baru-baru ini.



MASALAH mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup di bandar menjadi antara punca mengapa sesetengah ibu bapa terpaksa mengabaikan anak-anak mereka.

Bagi ibu atau bapa ini, mereka kadang-kala terpaksa melakukan dua kerja dalam sehari bagi mendapatkan pendapatan mencukupi yang sudah tentu mengurangkan masa berkualiti bersama anak-anak.

Keadaan itu boleh menimbulkan kesan psikologi yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan kes-kes penderaan terhadap anak-anak, masalah sosial dan jenayah di kalangan remaja.

Dalam laporan khas miskin bandar, wartawan Utusan Malaysia, TERMIZI CHE ANUAR dan jurugambar, ASMARUDDIN JAMALUDDIN dan ABDUL NAZIR MOHAMED cuba mengupas isu ini.


KUALA LUMPUR 18 Mac – Setiap malam, masa rehatnya terpaksa dikorbankan semata-mata bagi memperoleh wang tambahan sekitar RM1,000.

Itulah yang terpaksa dilakukan oleh seorang kakitangan sokongan kerajaan demi untuk meneruskan kelangsungan hidup di kota raya.

Apa yang dialami oleh Harun Ismail, 38, mungkin hanya secebis daripada banyak lagi kisah survival masyarakat berpendapatan sederhana yang menetap di bandar-bandar besar di negara ini.

Paling ketara ialah, dia perlu melatih diri melupakan rasa penat bekerja di sebelah pagi semata-mata perlu meneruskan usaha mencari wang tambahan bagi menampung keluarganya.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp

0 Hajat Afdlin Shauki dalam bisnes perfileman


24 bulan 15 filem
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
muhamadfairoz@bharian.com.my
2011/04/19


AFDLIN SHAUKI dan Ismail memotong kek sebagai tanda kerjasama antara Vision Works dengan Ismail Holdings.Afdlin Shauki turut simpan impian bina studio perfileman sendiri

LIMA belas filem dalam tempoh 24 bulan. Itulah hasrat Afdlin Shauki yang mahu melaksanakan impian itu bersama-sama beberapa rakan kongsi lain dengan matlamat untuk merancakkan lagi industri perfileman yang semakin mendapat sambutan daripada penonton. Bagi mencapat matlamat itu, Afdlin melalui syarikat penerbitannya, Vision Works (M) Sdn Bhd membuka peluang kepada pengarah baru dan lama untuk bekerjasama dengannya bagi menerbitkan filem. Sasarannya lima filem dihasilkan tahun ini selepas dua filem terbarunya selesai menjalani penggambaran iaitu Ponti VS Omi dan Berani Punya Budak yang kini dalam proses pasca produksi.

Meskipun kekuatannya lebih kepada filem bergenre komedi, namun dengan kerjasama itu dia yakin dapat menghasilkan filem lebih serius, malah Afdlin juga tidak memilih karya yang dihasilkan jika ia mampu menarik minat penonton.

Baginya, kerjasama Vision Works dengan Ismail Holdings Sdn Bhd membuka peluang kepada pengarah lain untuk bersama-sama dengannya menghasilkan filem serta dapat bekerjasama dengan syarikat penerbitan filem seperti Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), MIG Productions dan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB).

“Kalau kita boleh buat 15 filem dalam tempoh dua tahun, apa salahnya kita berkongsi dengan pengarah lain seperti Ahmad Idham, Mamat Khalid dan KRU untuk hasilkan filem bersama. Kita nak sama-sama naik dan merasa imbuhan yang kita dapat hasil daripada jalinan kerjasama ini,” katanya.
Selain membuka peluang kepada pengarah tempatan untuk menghasilkan filem dengannya, Afdlin turut memberi peluang kepada pelakon baru terbabit dalam filem arahannya bagi mengangkat bakat pelapis baru dalam industri perfileman.

Afdlin berpendapat pelakon baru perlu ada dalam sesebuah filem yang dihasilkan supaya bakat mereka dapat diasah dan tidak disisihkan bahkan akan turut memberi impak kepada sesebuah penerbitan filem.

“Kita akan cuba asah bakat pelapis baru seperti Isma Hanim dan Lana Nordin untuk turut sama dalam membintangi filem kita agar bakat mereka dapat dicungkil. Kita cuba gabungkan pelakon baru dan lama untuk menguatkan lagi nama mereka kerana sokongan atau pembantu perlu ada supaya filem itu nampak seimbang,” katanya.

Selain bercita-cita terbitkan 15 filem, Afdlin turut menyimpan impian membina sebuah studio perfilemannya sendiri yang dilengkapi peralatan terkini dan canggih seperti KRU Studio dan Studio FINAS.

Walaupun projek itu membabitkan kos yang tinggi, namun peluang untuk merealisasikan hasratnya itu akan terlaksana setelah mendapat persetujuan daripada Pengerusi Syarikat Ismail Holdings Sdn Bhd, Datuk Ismail Abdur Rahman.

“Datuk Ismail sudah bersetuju dengan cadangan itu tetapi belum tahu lagi bila akan dibina tetapi kita akan membina studio di kawasan yang kecil saja dan dilengkapi peralatan studio yang terkini dan canggih.

“Malah Datuk sendiri bersetuju untuk hasilkan 15 filem serta membeli peralatan studio termasuklah kamera digital, lampu penataan cahaya dan macam-macam lagi,” katanya.

Afdlin berharap dengan terbinanya studio terbabit nanti akan merancakkan lagi industri perfileman tempatan, bahkan akan memberi peluang kepada syarikat produksi lain menggunakan kemudahan kelengkapan studio yang terdapat di studionya itu.

Meskipun masih dalam perancangan, namun Afdlin sudah menyimpan hasrat untuk menghasilkan lebih banyak filem di masa depan dengan pengarah lain.

Malah, Afdlin masih berhasrat untuk membuat penggambaran di luar negara seperti filem Sumolah, bahkan berminat untuk mengunjungi Jepun sekali lagi sebagai lokasi penggambaran filemnya nanti.

“Ada perancangan untuk shooting di luar negara macam di London tetapi saya masih menyimpan impian untuk membuat penggambaran sekali lagi di Jepun,” katanya.

Genre seram dan komedi jadi pilihan

Dalam pada itu, Afdlin kini sedang sibuk membuat persediaan untuk penggambaran tiga filem terbarunya iaitu Along Bukit Beruntung, Berhantu dan Papadom 2 yang bakal diterbitkan bersama TUSB.

Bersandarkan kos pembikinan sekitar RM1.6 juta setiap filem, Afdlin yakin semua filem itu akan dapat dihasilkan sehingga penghujung tahun ini walaupun dua filem terbarunya, Ponti VS Omi dan Berani Punya Budak belum ditayangkan.

“Kita tak boleh tunggu filem tayang baru nak buat filem baru kerana dalam masa kita menunggu tarikh wajib tayang itu, kita sudah mampu menghasilkan sebuah filem baru kerana tempoh penggambaran filem bukannya lama,” katanya.

Filem Ponti VS Omi mengisahkan pergolakan dua ekor hantu, Pontianak dan Orang Minyak yang baru berkecimpung dalam dunia hantu, namun bagi menguji kepintaran hantu terbabit supaya diterima dalam kelompok hantu, kedua-duanya diuji untuk menakutkan penduduk Kampung Puaka yang turut didiami lima orang bomoh atau pawang.

Filem bergenre komedi seram ini turut menyelitkan elemen percintaan dan pertelingkahan di antara kedua-duanya yang turut dibintangi Johan (Omi), Nabil (Ponti), Afdlin Shauki (Pak Rejab), Khir Rahman (Sudiro), Lana Nordin (Ruminah), Adibah Noor (Saodah), Sharifah Shahirah (Ratu Syaira) dan Syarifah Amani (Maria).

Manakala Berani Punya Bmengisahkan tentang pertelingkahan kumpulan gangster Thai yang berlarutan sehingga ke Malaysia, namun pelbagai cabaran ditempuhi bagi meloloskan diri daripada Interpol.

Filem yang dibintangi Afdlin Shauki (Tong/ Shuhaimi Abdullah), Awie (John), Nabil (Brother John), Johan (Detektif Azlan), Adlin Aman Ramlie (Detektif Azman) dan Riezman Khuzaimi (Kuza) serta turut dibantu beberapa pelakon daripada Thailand ini sedang menjalani proses akhir sebelum ditayangkan.

Sunday, April 17, 2011

0 Keputusan pilihanraya di Sarawak

BN kekal majoriti 2/3 tapi hilang 8 kerusi
Apr 16, 11 2:26pm

Keputusan keseluruhannya, BN memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan Bebas (1). Keputusan itu menunjukkan BN kehilangan lapan kerusi, berbanding 63 kerusi yang dimenanginya pada 2006.

DAP menambah enam kerusi kepada 12 kerusi, manakala PKR juga menambah satu kerusi menjadi tiga. DAP dan PKR juga menyapu bersih semua lima kerusi di Kuching. Jumlah pemilih keluar mengundi ialah 70 peratus.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), BN mendapat undi terbanyak dengan 372,379 undi, diikuti DAP (134,847), Snap (15,663), PKR (117,100), PAS (9,719), PCM (2,895) dan Bebas (20,064).

Manakala seramai 71 calon telah hilang wang deposit.



Artikel berkaitan:


Analisis keputusan pilihan raya Sarawak 2011



PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN menunjukkan angka kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Sarawak di PWTC, Kuala Lumpur pada pukul 10 malam tadi, Pada pukul 11.30 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan BN menang 55kerusi keseluruhannya daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.


*Kesemua presiden parti yang bertanding termasuk parti pembangkang tempatan di Sarawak menang kecuali Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan yang tewas di tangan calon DAP, Ling Sie Kiong di DUN Piasau dengan perbezaan undi sebanyak 1,590.

* Pilihan raya kali ini menyaksikan penglibatan parti terbanyak di Sarawak.


Artikel berkaitan:

BN terus kekalkan kepercayaan
Laporan Kadir Dikoh, Naim Tahir, Misiah Taib, Hassan Omar, Hardi Effendi Yaacob, Mohd Azis Ngah, Matzidi Dris, Azrina Ahzan, Kandau Sidi, Roji Abdullah, M Hifzuddin Ikhsan, S Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain, Zanariah Abd Mutalib dan Syed Azwan Syed Ali l Jurugambar: Khairul Ghazali, Ghazali Bujang, Mohd Kamil Rahim, Radzi Bujang, Rosdan Wahid, Azahan Rosli, Shahrizal Mohd Nor, Ikhwan Munir, Effendy Rashid, Apendi Mohamad, Zain Ahmed, Mohd Fadli Hamzah, Nadim Bokhari dan Chan Wai Yew
bhnews@bharian.com.my
2011/04/17


KUCHING: Barisan Nasional (BN) terus mendapat kepercayaan rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10 dengan kemenangan dua pertiga dan Tan Sri Abdul Taib Mahmud kekal menerajui kerajaan negeri. Kejayaan BN membentuk kerajaan negeri diketahui seawal jam 8.59 malam selepas memperoleh majoriti mudah 36 kerusi melalui kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, manakala majoriti dua pertiga 48 kerusi diperoleh jam 9.43 malam dengan kemenangan di DUN Tamin. Kira-kira 45 minit selepas mendapat mandat dua pertiga, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal ketujuh.

Abdul Taib, 75, yang memakai baju Melayu warna ungu, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dalam satu majlis ringkas.

Ini adalah penggal kelapan Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak memegang tampuk pemerintahan negeri sejak dilantik Ketua Menteri Sarawak pada Mac 1981.

Keputusan penuh yang diumum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada jam 10.55 malam menyaksikan BN menang 55 kerusi, DAP (12), Parti Keadilan Rakyat (tiga), manakala Bebas menang satu kerusi.
Kemenangan BN disambut dengan nada gembira oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak yang mengikuti keputusan pilihan raya negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin BN lain.

Sebaik kemenangan mudah diperoleh, Najib mengadakan sidang video dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Abdul Taib Mahmud di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak di Demak Jaya di sini untuk mengucapkan tahniah kepada kepimpinan BN Sarawak dan rakyat negeri itu.

BN bertanding di semua kerusi dengan komponen utamanya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meletakkan calon di 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di 19 kerusi, manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) masing-masing di sembilan dan lapan kerusi.

Daripada 55 kerusi dimenangi BN, PBB menang semua 35 kerusi ditandinginya, SPDP dan PRS masing-masing menyumbang tujuh kerusi, tetapi SUPP yang bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, tewas teruk apabila hanya mampu menang enam kerusi iaitu Bawang Assan, Engkelili, Simanggang, Senadin, Opar dan Bengoh.

Abdul Taib menang selesa dengan majoriti 5,154 undi untuk mempertahankan kerusi Balingian, menewaskan calon Bebas, Datuk Salleh Jafaruddin, bekas Timbalan Menteri Pelajaran yang juga dua pupunya serta Suriati Abdullah daripada PKR.

Kejutan bagaimanapun, berlaku di DUN Piasau, Miri apabila penyandang kerusi, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam yang juga Presiden SUPP tewas kepada muka baru daripada DAP, Ling Sie Kiong.

Dua pemimpin komponen BN lain, iaitu Presiden SPDP, Datuk Seri William Mawan Ikom berjaya mempertahankan DUN Pakan dengan 3,938 undi, mengalahkan Jamal Abdullah @ Tedong Gunda (SNAP) dengan kelebihan 1,197 undi, manakala Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Masing kekal di DUN Baleh selepas memperoleh 5,242 undi, mengetepikan calon PKR, Bendindang Manjah dengan majoriti 3,898 undi.

Turut menang Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Openg; Naib Presiden Kanan parti itu, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Ketua Penerangannya yang juga Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, masing-masing mempertahankan kerusi DUN Satok, Bukit Sari dan Tanjung Datu.

Wednesday, April 13, 2011

0 Buat iklan di youtube untuk perjanjian 80:20 dan raih pendapatan 5 angka

Peroleh RM211,955 kerana video di YouTube



ROB HOMAYOON menunjukkan cara-cara untuk membuat origami di laman YouTube.


GERMANTOWN, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelajar pergigian Universiti Temple di Philadelphia, AS, Rob Homayoon menyatakan dia sudah memperoleh pendapatan sebanyak AS$70,000 (RM211,955) sejak 2008 dengan menghasilkan klip video origami di laman YouTube di Internet, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Homayoon, 25, yang tinggal di sini, Pennsylvania menghasilkan klip video mengenai cara untuk membuat origami daripada kertas dari apartmennya.

Origami merupakan kaedah melipatkan kertas untuk menghasilkan pelbagai bentuk seperti burung.

Dia memperoleh pendapatan itu menerusi satu perjanjian dengan YouTube yang menjual iklan.

Menurutnya, dia memperoleh 80 peratus daripada jualan iklan dan Google yang memiliki YouTube memperoleh 20 peratus.

"Semasa (video) saya bermula, saya memperoleh AS$100 (RM302.85) dan saya berpendapat saya boleh menggunakannya untuk wang minyak saya. Kemudian ia meningkat kepada AS$400 (RM1,211) dan AS$600 (RM1,817) dan pada akhirnya saya memperoleh AS$1,000 (RM3,028) dan kemudian AS$2,000 (RM6,057).

"Salah satu cek saya mengandungi lima angka. Ia berlaku pada Disember lalu, empat bulan lalu," kata Homayoon.

Video klip Homayoon kini dimuat naik sebanyak 29.4 juta dan rangkaian klip videonya di YouTube mempunyai 64,000 pelanggan. - Agensi

0 Bermula dari 9.99% kepada 29.99% dan sekarang 62.89% untuk Arsenal

Taikun Amerika kuasai Arsenal




LONDON - Taikun sukan Amerika Syarikat, Stan Kroenke telah menguasai pegangan saham Arsenal dan bersetuju dengan terma untuk membeli baki saham kelab Liga Perdana England itu semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bursa Saham London, perjanjian tersebut mencecah nilai sekitar £731 juta (RM3.6 bilion).

Kroenke Sports Enterprises (KSE) telah meningkatkan pegangan saham mereka daripada 29.99 peratus kepada 62.89 peratus dan terdapat terma yang dipersetujui untuk KSE membeli baki saham dengan nilai £11,750 (RM58,090) seunit.

"Kami cukup teruja dengan peluang untuk meningkatkan penglibatan serta komitmen kami terhadap Arsenal.

"Arsenal jelas sebuah pasukan yang cukup hebat dengan sejarah istimewa dan tradisinya.

"Mereka turut memiliki seorang pengurus yang bagus iaitu Arsene Wenger.

"Kami berhasrat untuk membina warisan yang penuh kekayaan ini dan membawa kelab ini ke arah satu kejayaan baru," kata Kroenke, 63, dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Wenger turut mengalu-alukan perjanjian baru itu sambil berkata: "Saya telah bekerja dengan Kroenke dalam lembaga pengarah kelab sejak beberapa tahun lalu dan yakin beliau cukup menyayangi kelab ini."

Kroenke yang pada mulanya hanya memiliki 9.99 peratus saham Arsenal pada April 2007 turut merupakan pemilik kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat, Colorado Rapids serta pasukan bola keranjang, Denver Nuggets dan pasukan hoki ais, Colorado Avalanche. - AFP

0 Ubah status hutan simpan kepada tanah kerajaan supaya dapat diagihkan secara geran berkelompok

Sabah sedia tukar status hutan



MUSA Aman (kanan) melambai kepada penari-penari suku kaum Murut selepas merasmikan Pesta Kalimaran ke-9 Peringkat Negeri di Padang Pekan Tenom, kelmarin.



TENOM 11 April – Kerajaan negeri bersedia menukar status hutan simpan kepada tanah kerajaan dan mengagihkannya kepada golongan yang benar-benar berhak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, apabila status hutan simpan ditukar kepada tanah kerajaan, ia akan diagih-agihkan kepada penduduk melalui pemilikan geran berkelompok seperti dilaksanakan di daerah Nabawan dan Tongod, sebelum ini.

Katanya, pengagihan tanah secara geran berkelompok dapat memastikan semua lapisan rakyat di negeri ini, khususnya di kawasan pedalaman memiliki tanah sendiri setelah mendudukinya sejak zaman berzaman.

“Dengan cara ini juga ia akan dapat melindungi dan mengelakkan tanah yang mereka miliki jatuh ke tangan orang asing.

“Kita akan beri keutamaan kepada kawasan hutan simpan yang telah diduduki oleh penduduk di situ sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Kalimaran kali kesembilan di padang pekan Tenom di sini semalam.

Musa menyatakan perkara itu sebagai mengulas permintaan Presiden Persatuan Murut Sabah, Datuk Rubin Balang agar penduduk yang mendiami hutan simpan sejak turun temurun diberi hak menduduki kawasan berkenaan.

Mengulas pembangunan daerah Tenom, Musa berkata, daerah itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan perdana yang telah dirancang di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini pun katanya, pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan di daerah itu, termasuklah pembinaan Jambatan Binai dan menaik taraf infrastruktur Pusat Kebudayaan Murut Sabah.

“Inilah cara kerajaan Barisan Nasional (BN) membela nasib rakyat bagi memastikan tiada kawasan yang ketinggalan,” katanya.