.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, November 13, 2012

0 Penulis lirik lagu sekarang kurang cerdik, hasil karya kosong

Skop HIP: Kuasa lirik 2012/11/12 - 05:58:29 AM Oleh Muhamad Fairoz Azizan

DARI kiri, Ajai, Habsah Hassan dan M Nasir. DARI kiri, Ajai, Habsah Hassan dan M Nasir. Ramai pihak mempersoalkan lagu ciptaan sekarang tak berjiwa, karya kosong tanpa mesej Mendengar bait lirik lagu nukilan Habsah Hassan, Mama Juwie, Loloq dan S Amin Shahab serta beberapa penulis lirik terkenal lain pada era 1980-an dan 1990-an, cukup menggetar perasaan. Mainan bahasa dalam lirik seperti lagu Merisik Khabar dan Menaruh Harapan karya Habsah atau Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu oleh Juwie misalnya, terasa begitu mendalam dan jelas difahami maksudnya. Tak salah menghasilkan lirik sendiri, tetapi harus dirujuk kepada penulis lirik berkaliber. Jangan fikir ini lagu kita, jadi kita tak perlu rujuk sesiapa," Ajai, Komposer/Penerbit Tidak hairanlah, ramai pihak mula mempersoalkan lagu yang dihasilkan sekarang bagai tidak berjiwa. Tanpa lirik yang ‘menyengat’, lagu yang dihasilkan komposer sekarang dirasakan cukup selamba atau dalam istilah bahasa slanga, sempoi tanpa menyelitkan elemen puitis, melankolik atau drama dalam lirik. Penggunaan bahasa pasar atau berbaur moden dan kontemporari juga menjadi punca tiada lagi bahasa indah digunakan dalam lirik lagu. Malah, kecenderungan penyanyi menghasilkan lirik sendiri dikatakan punca kurangnya lirik indah menyentuh perasaan dicipta. Selain itu, istilah tertentu seperti simbiosis, pudar, camar, rawan dan sebagainya sudah tidak lagi digunakan dalam lirik. Sedangkan, penggunaan istilah ini mampu mendidik dan mendedahkan pendengar dengan perkataan yang jarang dipertuturkan dalam perbualan harian. Berikutan senario ini, ada pihak bimbang bahasa Melayu atau kesusasteraan dalam lirik lagu tidak mampu berkembang apabila semakin banyak lagu dengan lirik selamba dicipta. Konsep lagu berparti sisih lirik Tidak salah menghasilkan lirik sendiri, tetapi bagi komposer dan penerbit, Ajai, penyanyi yang berniat begitu perlu merujuk dan berkongsi idea dengan penulis lirik profesional. “Penulis lirik perlu peka dan tahu lirik yang hendak diketengahkan. Kami sebagai produser bukan saja menghasilkan lagu, sebaliknya mendidik pendengar. Menghasilkan lirik lagu mengikut cita rasa pendengar adalah tindakan kurang bijak atau tidak tepat. “Jadi, tak salah menghasilkan lirik sendiri, tetapi harus dirujuk kepada penulis lirik berkaliber. Jangan fikir ini lagu kita, jadi kita tak perlu rujuk sesiapa. Dengan cara ini, kita bukan saja berkongsi ilmu tetapi dapat menghasilkan lirik yang cantik dan indah,” katanya kepada Skop HIP. Menyedari industri muzik kekurangan penulis lirik berbakat seperti Allahyarham Loloq, Habsah Hassan dan seangkatan dengan mereka, bagi Ajai, penulis muda perlu bijak menghasilkan karya yang bukan saja sedap didengar, malah dapat mendidik. Selain itu, Ajai berpendapat, penggunaan tatabahasa yang betul dan tepat dalam lirik amat penting. Ini kerana bagi Ajai, jika tidak, ia dianggap barisan ayat membuta tuli atau sekadar menjadi lirik penyedap. “Bukan salah artis atau produser, sebaliknya penulis lirik mesti pandai mencari cara hendak mendidik melalui lagu. Contohnya, penggunaan istilah pudar. Dulu orang tidak tahu maksudnya tetapi lagu itu akhirnya menjadi rujukan orang untuk mencari maksudnya. “Itu yang dikatakan mendidik pendengar bukan saja sedap didengar. Kalau kita lihat lagu sekarang, muziknya sedap tetapi lirik hancur. Ini kerana bagi mereka, apa yang penting adalah muzik, lirik macam manapun tak mengapa. Sedangkan lirik memainkan peranan penting dan lirik jugalah mencantikkan lagu,” katanya. Mengambil contoh lagu dari negara seberang yang masih mengekalkan bahasa kiasan indah, puitis dan sedap didengari, Ajai menganggap lirik sebagai sinopsis sebuah cerita yang disampaikan dalam masa tiga hingga empat minit. Meskipun ringkas, lirik memainkan peranan penting dalam lagu supaya mesej yang hendak dikongsi, sampai kepada pendengar. “Kalau kita main letak ayat saja, ia tidak memberi sebarang impak pada lagu. Malah tajuk lagu juga memainkan peranan penting seperti lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Habsah. “Ini kerana dengan judul lagu itu, peminat hendak tahu cerita di sebalik lagu berkenaan,” jelasnya yang menganggap lagu ciptaan sekarang lebih terarah kepada konsep berparti hingga menyisihkan lirik bermutu. Pandang remeh bahasa indah Walaupun berkongsi pandangan dengan Ajai, bagi penulis lirik, Ad Samad, pengkarya sekarang terlalu terikut kehendak penyanyi dan penerbit dalam menghasilkan lirik. Ad bekata, dek terlalu mengikut peredaran zaman, lirik puitis makin dilupakan. “Saya fikir penulis lirik generasi sekarang sudah tidak ada apa-apa yang hendak diberikan. Tidak seperti era 1980-an yang datang dari kampung seperti Datuk M Nasir dan S Amin Shahab yang datang dengan penuh cetusan idea dan kreativiti. “Mereka ada banyak benda yang hendak diluahkan kepada pendengar. Dalam penulisan lirik, tidak semua benda kita boleh cakap. Malah soal cinta sesuatu yang enteng dan sering dijadikan fokus,” katanya. Menganggap masyarakat sekarang lebih terbuka dan mahukan yang ringkas dan direct, soal prosa kata dan tatabahasa akhirnya dipandang remeh oleh penulis lirik. Bagi Ad, biarpun ringkas, inti pati lirik haruslah mendalam dan mesej difahami pendengar. Jika dulu penulis lirik merangkumi golongan sastera yang menguasai bahasa lembut dan tinggi, Ad menganggap, sekarang sesiapa saja boleh menjadi penulis lirik termasuk penyanyi. “Cukup sekadar ada falsafah dan mampu menghasilkan lirik yang puitis dan mendalam, sudah memadai. Sebagai contoh, kesilapan yang dilakukan seperti tajuk lagu Muka Buku, sepatutnya tidak boleh diubah kerana ia adalah kata nama dan kalau nak diubah, istilahnya adalah Buku Muka. “Sesetengah penulis lirik kini menggunakan ayat atau perkataan hanya sekadar sedap didengar tetapi tidak faham maksud sebenar perkataan. Tambahan pula, penerbit lagu dan penyanyi sekarang lebih suka lagu ringkas dan mudah,” katanya yang menganggap penulis lirik dulu lebih menitik beratkan soal gaya bahasa dan tata bahasa yang penuh dengan elemen penghayatan. Lirik sekadar pelengkap lagu Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman menyifatkan penulis lirik sekarang bukan daripada golongan mahir dalam bidang penulisan atau pakar bahasa. Ini menyebabkan lirik yang dihasilkan ringkas dan mudah. Mengakui peredaran zaman banyak mempengaruhi penulisan lirik, penulis lirik tidak boleh mengetepikan soal bahasa kerana ia menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu. "Lirik menggambarkan nilai budaya masyarakat. Dalam lirik, kita dapat menghayati keindahan bahasa itu sendiri. Jika lirik terlalu ringkas kononnya mahu menghasilkan lagu yang catchy, ia boleh merosakkan bahasa. "Masih ada lirik lagu yang indah seperti lagu Jamal Abdillah dan Shahir AF. Namun, ada beberapa lagu yang jelas menunjukkan tiada perkembangan dari segi bahasa. Malah ayat yang digunakan tersasar dari budaya Melayu sendiri," katanya. Jelas Syed Mohd Zakir, penulis lirik sekarang kurang menguasai bahasa dan malas berfikir untuk menghasilkan lirik indah. Ini berbanding penulis lirik dulu yang banyak menggunakan bahasa sastera. Menurutnya, tidak salah mengikut muzik Barat, tetapi soal bahasa dalam penulisan lirik perlu dititik beratkan. "Penulis lirik sekarang tidak cerdik malah kosong. Sebab itu lirik yang dihasilkan sekadar menjadi pelengkap lagu saja. Penggunaan ayat dalam lirik juga ada kalanya salah dan kurang sesuai dengan apa yang hendak disampaikan. "Apa salahnya jika penulis lirik sekarang mengambil contoh penulis lirik berkaliber dan profesional. Ini kerana bahasa yang mereka gunakan cukup lengkap dan cantik dengan ayat yang indah,” katanya. Syed Mohd Zakir berkata, apa yang berlaku sekarang, muzik sudah tidak ada nilai bahasa. “Jangan salahkan pendengar atau peminat muzik, sebaliknya penulis dan penggiat muzik harus mencari idea bagaimana hendak mengembangkan bahasa dalam lagu," katanya yang pernah memenangi anugerah Sasterawan Muda, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2010 dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2011 ini.

0 Talian 03-8000 8000 dan Faks 03-8000 8001 adalah idea di luar kotak

Ada aduan, dail saja talian 03-8000 8000

NAJIB (tiga dari kiri) melawat Pusat Panggilan 1Malaysia selepas melancarkan perkhidmatan itu di Putrajaya semalam. PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) iaitu sebuah pusat penyelesaian setempat untuk rakyat mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan mengenai perkhidmatan awam. Beliau berkata, pusat yang beroperasi 24 jam seminggu termasuk pada cuti umum itu sejajar dengan prinsip rakyat didahulukan dan diyakini dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. "Saya yakin dan percaya 1MOCC ini benar-benar dapat meletakkan perkhidmatan awam dan kerajaan sebagai sesuatu yang dibanggakan oleh rakyat. "Saya amat berharap 1MOCC ini disokong dan didukung sepenuhnya oleh semua jabatan dan agensi kerajaan atas semangat kita sebagai satu entiti," katanya pada majlis pelancaran 1MOCC di sini semalam. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel. 1MOCC merupakan satu projek National Flagship di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang membolehkan orang awam mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi kerajaan menggunakan nombor rujukan tunggal 03-8000 8000. Selain itu, pengguna boleh memilih untuk menggunakan faks di talian 03-8000 8001, melayari laman web di www.malaysia.gov.my, e-mel 80008000@1mocc.gov.my dan laman-laman sosial iaitu facebook.com/myGovernment dan twitter.com/myGovPortal. Perdana menteri berkata, inisiatif itu akan lebih memudahkan rakyat kerana hanya satu nombor yang perlu diingat selain membolehkan kerajaan mencapai objektif dengan kos minimum. "Dengan cara ini, kita ada satu perkhidmatan yang revolusionari, tiada tolok bandingan di mana-mana negara. Kita sudah mencapai sesuatu yang di luar jangkaan yang mungkin tidak terfikir oleh kita dan hari ini ia menjadi satu kenyataan," katanya. - Bernama