.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, January 27, 2012

0 Apabila gaji isteri lebih tinggi, suami lebih rela jaga rumah

Jumlah ‘suri rumah’ lelaki di Britain meningkat tiga kali ganda

LONDON: Jumlah suami yang menjaga rumah tangga di Britain meningkat lebih tiga kali ganda sejak 15 tahun lalu, kata satu kajian dijalankan agensi kerajaan.

Menurut media, tahun lalu seramai 62,000 lelaki dianggap “tidak aktif secara ekonomi” ketika pasangan masing-masing keluar bekerja.

Pada 1996, jumlah lelaki seumpama itu hanya seramai 21,000 orang.

Ia juga menunjukkan, kira-kira 1.4 juta lelaki di seluruh Britain memegang peranan utama sebagai penjaga anak-anak.

Kaji selidik Pejabat Statistik Kebangsaan dikumpul untuk majalah The Spectator itu tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan berkurangan.

Ramai percaya satu daripada punca keadaan itu berlaku disebabkan perubahan sikap masyarakat terhadap peranan lelaki dan wanita.

Ketika ini, sebahagian besar golongan bapa gembira melepaskan peranan tradisi mereka sebagai pencari nafkah utama, sebaliknya mengambil tanggungjawab menjaga rumah tangga.

Ketua dasar kekeluargaan kumpulan pemikir Civitas, Anastasia de Waal, berkata beberapa dekad lalu pandangan bahawa lelaki menjadi pencari rezeki utama begitu kukuh.

"Ia kini berubah apabila lelaki lebih selesa menjaga rumah tangga,” katanya.

Keputusan kaji selidik itu juga menyatakan, jumlah lelaki tidak bekerja itu tidak termasuk golongan penulis atau seniman bebas yang bekerja di rumah.

Satu lagi kaji selidik terbaru menyatakan, jumlah bapa yang menjaga anak-anak meningkat 10 kali ganda - atau seramai 1.4 juta orang - berbanding sedekad lalu. Di kalangan bapa yang tidak bekerja itu, 43 peratus berkata, mereka berasa bertuah kerana berpeluang tinggal di rumah dan membesarkan anak-anak.

Bagaimanapun, 46 peratus pula berkata, keputusan menjadi penjaga anak-anak dibuat bagi membolehkan penyumbang utama ekonomi keluarga terus bekerja.

Kaji selidik sama menyatakan, pertukaran tanggungjawab menjaga rumah dan anak-anak itu menyebabkan hampir seorang bagi setiap lima bapa berasa mereka “kurang jantan,” manakala kira-kira seorang daripada setiap lapan bapa mengaku tugas di rumah jauh lebih sukar berbanding bekerja di luar.

Kumpulan bapa itu berharap dapat memperoleh pendapatan lebih tinggi supaya mereka boleh mengambil alih tugas mencari rezeki di luar daripada pasangan masing-masing.

Ketika wanita kini mampu menyara keluarga, satu per tiga daripada mereka berasa bersalah kerana keluar bekerja dan meninggalkan anak masing-masing di bawah jangan pasangan mereka. - DM