.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, April 29, 2012

0 Skrip, stesen TV, penerbit, pelakon dan pengiklan

Cerita bosan drama Melayu HEBAT sebagai pelakon, Erma dan Zul melepaskan banyak keinginan yang tidak tercurah sebagai orang depan kamera menerusi penulisan dan pengarahan. TELEVISYEN menjadi medium hiburan yang begitu penting terhadap masyarakat. Kepada karyawan drama, ia juga bukan sahaja sumber periuk nasi yang penting bahkan penerus kelangsungan untuk berkarya sampai bila-bila. Sebab itulah, berapa banyak sekalipun rungutan tentang bayaran murah penyiar terhadap penerbit, selektif dan diskriminasi terhadap pelakon senior, royalti atau apa sahaja rungutan berhubung masalah dalam penerbitan bahan di kaca dipersoalkan, ironinya, setiap hari ada sahaja drama baharu yang semakin menyengat tersaji depan mata. Bertemu pelakon yang kini bergelar pengarah, Erma Fatima dan Zul Huzaimy Marzuki, mereka tertarik membincangkan isu dalaman yang tidak berkesudahan itu. Mereka berkongsi aspirasi atas praktikal dan pengamatan secara peribadi. Sensasi Bintang: Banyak orang industri mendakwa bayaran menjadi duri dalam daging dalam berkarya, bagi kalian, apa isu utama yang perlukan tindakan segera? ERMA FATIMA (E): Isu hak cipta! Setiap drama yang kami hantar ke stesen televisyen biasanya dibeli bersama hak cipta drama berkenaan. Penerbit hilang hak royalti atau mendapat pulangan hatta diulang siar beratus kali ataupun dijual semula kepada stesen-stesen televisyen. Sejarah sudah menyaksikan betapa miskinnya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana karyanya dipegang oleh pihak lain tetapi pihak industri hari ini tidak mengambil iktibar pun daripada sejarah itu. Nasib yang sama ditanggung semua pelakon kita yang tiada royalti. Kalau ada royalti, saya rasa tidak timbul soal artis kena merayu bantuan apabila sudah tidak mampu bekerja. ZUL HUZAIMY (Z): Saya rasa industri kita perlukan kawalan dari segi tenaga kerja pembikinan serta pelakon-pelakon. Mereka semua harus ada kemahiran, terlatih dan menjalani kursus diakreditasi. Ini tidak, sekarang ini ramai yang main belasah sahaja. Macam mana nak lahirkan kerja berkualiti kalau yang masuk dalam industri bawa penyakit. Persatuan kena perjuang isu utama, bukan isu sampingan. Bila cakap soal kualiti, pembikin selalu bercakap soal modal, kalau tiada duit kenapa nak jadi penerbit? E: Memanglah, dalam bisnes apa pun kena ada bajet, tak ada bajet tak payah buat drama. Untuk penerbitan drama, penerbit memang layak mohon pinjaman. Masalahnya, kerenah birokrasi untuk dapat pinjaman penerbitan drama itu sangatlah ketat, ambil masa sampai berbulan-bulan padahal penerbit memang tak akan dapat mengelak daripada buat bayaran kerana stesen akan bayar kepada pihak bank, bukannya penerbit. Saya memang sudah lama tidak guna duit bank untuk buat drama. Sejauh mana benarnya dakwaan stesen televisyen membayar harga drama pada kadar sama sejak 20 tahun lalu? E: Itu isu basi sebenarnya. Apa yang penerbit boleh buat ialah bekerja dalam bajet. Minimumkan segala benda dan seleraskan bajet dengan bayaran yang akan diterima. Satu telemovie, paling tinggi pun boleh jual RM90,000. Jadi, kalau ada artis yang letak bayaran terlalu tinggi dan kita tak mampu bayar, kita cari pelakon lain. Z: Pengiklan dan stesen sebenarnya sudah buat perbincangan tentang bayaran. Bayaran sesebuah iklan dalam televisyen sangat mahal tapi penerbit drama masih terima bayaran yang rendah. Penerbit bahan tempatan juga perlu bersaing dengan penerbit tempatan yang bekalkan bahan luar negara kepada stesen televisyen, mereka itu dalam zon selesa yang jadi mangsanya ialah penerbit kecil-kecilan. Orang drama atau filem tiada persatuan sehebat Perlindungan Karya Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP) yang dimiliki oleh pemuzik dan penyanyi. Kita patut ada badan yang sebegitu. Drama tempatan sejak dari dahulu bertemakan cerita sama. Kalian sendiri bagaimana? E: Hidup kita sendiri memang klise. Apa yang berlaku kepada diri sendiri juga berlaku kepada orang lain, cuma beza situasi. Saya sendiri selalu 'pecah kepala' untuk beri kelainan yang dimahukan. Ia bukan lagi soal klise tapi bagaimana seseorang pengarah itu bermain lakon layar dan bercerita tentang isi. Z: Kalau pengarah atau pelakon kita asyik merujuk kepada karya terdahulu, maka gagal. Tapi kalau kita keluar dan sentiasa mencari budaya baharu, kawan baharu, persekitaran baharu, penulisan karya kita pun akan bagus. Bila bagi kertas cadangan karya yang lain sikit, penerbit akan tolak, bagi yang klise, barulah laku. Penulis skrip pula janganlah lokek bila skrip mahu dirombak sedikit demi kesesuaian. Karya William Shakespeare pun boleh dirombak. Penulis skrip sebenarnya akan mati bila skripnya selesai, pengarah pula harus menulis dengan visual. Dalam kerja saya, selagi boleh, saya akan elak babak bercakap dalam kereta (ketawa). Stesen televisyen kadangkala memilih pelakon yang akan membintangi drama, bagaimana ? E: Memang sesetengah stesen, TV3 seumpamanya sangat selektif dengan pemilihan pelakon. Tapi TV3 juga bukan kuku besi, jika pelakon yang diminta tidak dapat memberi komitmen kerana jadual serta meletakkan harga terlalu tinggi, mereka ada budi bicara dan boleh berkompromi dengan pilihan alternatif. Wajah yang dipilih oleh stesen menandakan itulah wajah yang dimahukan oleh penonton. Z: Stesen umpama pemilik kereta yang mahu buat modifikasi keretanya, tentulah dia mahukan aksesori terbaik. Dalam bab ini, impaknya kepada pengkarya. Stesen boleh pilih kalau dia ada buku rujukan senarai artis dari 'Subuh' sampai ke 'Isyak', tak kisahlah artis mana yang dipilih yang penting semua boleh bagi lakonan yang mantap. Ini berbalik kepada skil lakonan tadi. Ramai pelakon senior mendakwa mereka tiada tempat di televisyen semata-mata hendak beri peluang kepada pelakon baharu. Sejauh mana dakwaan ini benar? E: Sebelum bercakap, siasat dahulu. Pelakon kena sedar ruang. Bila ada watak yang sesuai, pelakon senior yang sesuai akan dicari. Bila jadi pelakon, kita kena siapkan diri untuk dipuja atau dilupakan. Hala tuju kena ada, saya sendiri awal-awal lagi sudah siapkan diri untuk jadi pengarah. Dalam lakonan ini memang ada masa, kita jadi heroin, jadi kakak, jadi emak dan lama-lama jadi nenek pula. Z: Dalam bab lakonan, Eman Manan pernah pesan kepada saya, supaya jangan sembarangan meletakkan diri dalam lakonan. Tapi saya bersyukur apabila stesen televisyen mula terima saya sebagai pengarah. Bila seorang lagi pengarah baharu muncul, maka terbukalah periuk nasi kepada pekerja-pekerja belakang tabir yang lain pula. Kalian sendiri pernah ada penyakit 'primadona'? E: Nasir Jani pernah cakap kepada saya, seseorang pelakon hanya nampak hebat bila terima anugerah atas pentas, bila turun dari pentas, dia bukan lagi hebat. Saya tak kecewapun kalau sudah dilupakan sebagai pelakon. Sekarang tanggungjawab saya dalam bidang pengarahan Z: Saya jadi pengarah bukan takut tak laku jadi hero. Sejak jadi pengarah, saya masih dapat tawaran lakonan, jadi hero lagi. Saya ingat lagi kata-kata Rosyam Nor, katanya, aktor hanya akan jadi hero sebenar-benarnya pada usia 30-an. Saya baru 33 tahun. Bagaimana pula dengan rungutan, kononnya industri drama atau filem tidak pandai menghargai graduan seni? E: Pelajaran sahaja tidak cukup untuk jadi orang seni. Penonton atau pasaran di Malaysia lebih menghargai rupa paras berbanding bakat, kemudian barulah ia ditentukan oleh nasib. Rupa jadi nombor satu. Tapi ada rupa kalau langsung tak berbakat pun entah ke mana juga. Ada rupa dan bakat, tapi kalau nasib tak menyebelahi pun tak popular juga. Saya sendiri pernah bekerja dengan graduan-graduan seni, mereka semua bagus dan sangat memudahkan kerja pengarah. Penerbit hanya boleh beri peluang tapi nasib di tangan Tuhan. Z: Dahulu ada Akademi TV3 untuk latih pelajar penyiaran, UiTM sendiri pernah ada kerjasama dengan MIG, Farid Kamil lahir dari UiTM tapi Aswara ditubuhkan untuk melahirkan bakat selepas itu, pelajarnya kena pandai-pandai cari susu dan pakai lampin sendiri. Tak boleh begitu, kena juga sediakan ruang. Saya pun susah juga, kena belajar berjalan sendiri. Tapi pengajar dan mentor saya semuanya orang hebat, hujungnya ilmu itu tetap asas utama. Kata seorang guru saya, 'lepas habis belajar, kau kena melacur pula'. Maksudnya, kena pandai bawa diri dan jual bakat.