.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, July 01, 2011

0 Justin Timberlake beli laman Myspace dengan harga AS35 juta

Justin Timberlake beli laman MySpace

LAMAN rangkaian sosial MySpace.




LOS ANGELES – Penyanyi pop, Justin Timberlake merupakan sebahagian daripada pemilik laman rangkaian sosial MySpace selepas dia bekerjasama dengan syarikat Specific Media untuk membeli laman itu pada harga AS$35 juta (RM105.65 juta) daripada syarikat News Corp milik bilionair Rupert Murdoch, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebagai persediaan untuk menerajui MySpace, Timberlake membina sebuah ibu pejabat di sini selain mengambil enam orang pekerja.

“Semasa kami menemui Justin dan ketika kami berbincang mengenai strategi kami, satu persetujuan telah dicapai dengannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook.

“Salah satu daripada keghairahannya ialah dia seronok membantu artis lain dan mencipta satu komuniti untuk orang ramai menyuarakan perasaan mereka,” jelasnya.

MySpace pernah digelar sebagai raja laman jaringan sosial tetapi kewujudannya ditenggelamkan oleh Facebook dan Twitter sekali gus membawa kepada kemerosotan pengguna.

Facebook kini dilaporkan bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) manakala ketua pegawai eksekutifnya, Mark Zuckerberg, 27, dilaporkan memiliki kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.5 bilion)

Timberlake juga berlakon dalam filem The Social Network yang mengisahkan kehidupan Zuckerberg di Universiti Harvard.

Dalam filem itu, Timberlake memegang watak sebagai presiden pertama Facebook, Sean Parker yang juga pengasas laman stor muzik dan penjual syarikat, Napster. – Agensi

0 Amerika Syarikat (AS) diambang kebankrapan, beban hutang melampau

Amaran IMF kepada AS
WASHINGTON 30 Jun - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa tahap beban hutang negara itu kini dalam keadaan bahaya.

IMF turut menasihatkan AS supaya tidak melaksanakan penyelarasan fiskal terlalu ketat kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan ekonomi negara itu semakin perlahan.

Dalam penilaian tahunan keadaan kewangan AS, IMF berkata, sekiranya AS tidak meningkatkan had hutang tertingginya, negara itu dikhuatiri tidak lagi mampu menampung komitmen perbelanjaan, sekali gus menimbulkan kesan huru-hara dalam pasaran global.

''Penyatuan polisi fiskal perlu diteruskan memandangkan dinamik hutang tidak stabil dan kehilangan kredibiliti fiskal yang akan menyebabkan keadaan semakin teruk,'' kata IMF.

Tambahnya, cabaran utama polisi adalah untuk melaksanakan penyatuan fiskal dan memastikan pemulihan yang semakin rapuh kembali kepada landasannya.

Di sebalik beban hutang yang cukup bahaya, AS perlu meningkatkan modal sebanyak AS$14.29 trilion melalui pinjaman bagi mengelak daripada tercetusnya satu kejutan teruk kepada ekonomi dan pasaran kewangan dunia, menurut IMF.

Perbendaharaan AS mengunjurkan negara itu terpaksa menangguhkan pembayaran semula hutang mulai 2 Ogos ini sekiranya modal tidak ditingkatkan. - AFP

0 Kemampuan menguasai bahasa asing beri kelebihan mencari kerja dan gaji menarik

Malaysia semakin ketandusan modal insan
KUALA LUMPUR 30 Jun – Malaysia didapati semakin mengalami ketandusan modal insan akibat penghijrahan kerja-kerja berbakat.

Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) dalam Tinjauan Pekerjaan dan Panduan Gaji Kelly 2011/12 berkata, meskipun berhadapan dengan situasi itu namun pasaran kerja di negara ini masih optimistik.

Pengarah Urusan Kelly Malaysia dan Singapura, Melissa Norman berkata, tinjauan itu mendapati terdapat aliran keluar bakat tempatan yang semakin ketara disebabkan mereka semakin bersedia untuk bertukar kerja terutama ke pasaran serantau.

‘‘Kami dapati majikan sanggup membayar gaji lebih tinggi untuk menarik bakat yang boleh terus bekerja dan memerlukan latihan minimum.

‘‘Permintaan bakat semakin ketara dalam bidang yang pesat berkembang seperti industri perbankan dan kewangan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan kejuruteraan,’’ katanya di sini hari ini.

Panduan Gaji Kelly turut menunjukkan gaji bagi jawatan pengurus tahap pertengahan hingga kanan dengan pengalaman antara tujuh hingga 10 tahun bagi sektor perbankan dan kewangan terutama dalam kewangan Islam melonjak sebanyak 12 peratus.

Profesional dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan pengalaman berkaitan antara lima dan lapan tahun boleh mengharapkan kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus.

Bakat dalam jualan dan pemasaran pertengahan hingga kanan dengan rekod pencapaian baik dan prestasi tinggi berpeluang memperoleh kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus dengan pakej komisen menarik.

Panduan Gaji Kelly dalam tinjauan itu turut mendedahkan Malaysia kekal sebagai peserta utama dalam industri pusat panggilan disebabkan kebolehan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan kakitangan tele pemasaran tempatan, dengan lebih 85 peratus ejen memiliki kelebihan tersebut.

Majikan dalam bidang itu sanggup menawarkan insentif dan elaun tambahan untuk calon yang fasih dalam bahasa popular lain seperti bahasa Korea, Jepun dan Indonesia.

Industri penting lain juga mencatatkan kenaikan gaji ialah sektor kejuruteraan dengan kenaikan 15 peratus dan juga peningkatan permintaan untuk kakitangan kontrak ekoran pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

0 Bayar gaji minimum atau denda RM10K seorang kepada majikan

Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara diluluskan


2011/06/30
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 untuk menubuhkan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan. "Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar ekonomi, statistik dan sosial," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Beliau berkata, menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata, majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran berkaitan.

"Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan," katanya.

Beliau berkata, gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.
"Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.

"Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, penetapan gaji bagi pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan. - BERNAMA