.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, March 20, 2013

0 Semua orang memerlukan kata-kata rangsangan untuk bermotivasi

Bisnes produk ungkapan positif PELBAGAI kata-kata positif dalam bentuk kad boleh dibeli di Positive Emporium. PENGUNJUNG di pusat beli-belah Publika berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur yang lalu-lalang di hadapan premis Positive Emporium di paras G2 akan memperlahankan langkah atau berhenti seketika untuk membaca ungkapan-ungkapan yang dizahirkan pada bingkai-bingkai di kaki lima premis. Ungkapan-ungkapan tersebut seolah-olah menyambut kehadiran sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke sebuah premis berkeluasan kira-kira 15.79 meter persegi itu. Antara ungkapan yang tertera ialah Untuk Sukses Tiada Istilah Sakit, yang ada hanya bangkit; Satu langkah lebih baik daripada seribu angan-angan; Selagi masih hidup, masih ada harapan dan sebagainya. Kepada Mohd. Khairul Nizam Johari, 28, paparan kata-kata penuh inspirasi memberikan kesan mendalam kepada dirinya. "Saya sukakan kata-katanya yang ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam. Produk pertama saya beli berupa bingkai yang tertulis kata-kata Stop wishing, start doing dan yang kedua ialah Every wall is a door. "Kata-kata ini saya letakkan di meja belajar dan pada dinding bilik yang kini sudah penuh dengan kata-kata pemberi semangat kepada saya," kata Penolong Pengurus di MAS Golden Lounge. Positive Emporium satu-satunya premis yang menawarkan 100 peratus produk berpaksikan kata-kata positif penuh motivasi di Malaysia. Pelbagai pilihan produk dijual seperti organizer dan pelekat yang boleh diletakkan di mana-mana sahaja. Mengakui kata-kata tersebut memberikannya semangat apabila rasa rendah diri menyelubungi, dia kini bangkit daripada bekerja sebagai seorang chef kepada seorang penolong pengurus. Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan setia Positive Emporium, Noorul Sakinah Mohamad, 27, memberitahu, dia sanggup mencari lokasi Positive Emporium walaupun tinggal di Temerloh, Pahang selepas melihatnya di laman sosial Facebook. "Selepas berkunjung ke sana buat pertama kali pada bulan Disember tahun lalu, saya terus teruja melihat pelbagai produk yang dijual di situ. "Walaupun kedainya kecil, kesan kata-katanya cukup besar kepada saya. Sejak itu, saya tidak pernah ketinggalan membeli produk-produknya secara dalam talian," katanya yang merupakan salah seorang pelanggan tetap yang membeli secara talian. Positive Emporium juga mengemaskini produknya melalui aplikasi Whatsapp. Menggemari ungkapan, 99% of success is failure, kata-kata positif membuatkan mindanya sentiasa positif dan yakin dalam melakukan sesuatu perkara. Dia juga gemar memberikan hadiah berupa kata-kata positif buat rakan-rakan yang mendirikan rumah tangga dan menyambut hari lahir. Sementara itu, pemilik Positive Emporium, Nur Azam Zamberi, 33, nekad meneruskan perniagaan tersebut kerana mahu membenihkan pemikiran positif kepada komuniti. Bermula secara kecil-kecilan, bisnesnya beroperasi di jalanan. Nur Azam kemudian mengembangkan bisnes dalam industri kewangan dan kini menyandang jawatan Pengarah Agensi Kumpulan bagi Etiqa Takaful Berhad. Tambahnya, ungkapan-ungkapan membina yang diperoleh melalui pembacaan, seminar dan majalah membuatkan semangatnya sentiasa membara. NUR RIZA sedia membantu apabila anda berkunjung ke Positive Emporium. Agenda utama Nur Azam pernah memborong poster-poster kata-kata positif untuk diletakkan di pejabat dan bilik tidur. Menurut anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu, dia tidak meletakkan nilai komersial sebagai agenda utama. Bisnes itu turut didokong oleh dua adiknya iaitu Nur Rini dan Nur Riza yang masing-masing berusia 27 dan 24 tahun. Berbekalkan inspirasi dalam dirinya, tiga beradik tersebut mula membuka gerai kecil dengan modal RM100 pada akhir tahun 2011. Melihatkan sambutan yang menggalakkan terhadap produk jualan di gerai, Nur Azam bertekad meluaskan empayar positifnya dengan membuka sebuah premis di Publika dengan sewa RM4,000 sebulan berbekalkan modal RM100,000. Menurut Nur Azam, semua orang memerlukan kata-kata positif, baik seorang anak, seorang ibu, seorang pelajar, ahli perniagaan, lebih-lebih lagi usahawan yang selalu berdepan dengan penolakan. Item yang mendapat tempat dalam hati pelanggan ialah pelbagai jenis bingkai yang mengandungi kata-kata inspirasi yang unik dan berkesan. "Kata-kata yang selalu dibeli pelanggan ialah Every Wall Is A Door. Kebanyakan pelanggan sukakan perkataan-perkataan yang ringkas, malah ada pula yang gemar kata-kata yang mempunyai impak. "Ada seorang mat saleh datang dan terbaca ungkapan, If you born poor it is not your fault, if you die poor it is your fault. Teruja dengan kata-kata tersebut, dia terus membelinya," ujarnya sambil memberitahu item yang paling laris dijual ialah bingkai dan button batch. Selain bingkai, Positive Emporium menjual pelbagai produk lain seperti kad nota, baju-T, button batch, jam, koleh, pelekat, buku nota, rantai kunci, penanda buku, poskad dan organizer. Berbekalkan kepakaran dalam bidang grafik, Nur Rini dan Nur Riza membuat reka bentuk terhadap setiap produk yang dijual. "Setiap kata-kata ada cara susunannya kerana ia mampu mempengaruhi emosi pembaca," kata Nur Rini sambil memberitahu, pemilihan fon dan saiz sangat penting dan ia tidak boleh dilakukan sebarangan. Walaupun menjual kata-kata ungkapan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, ada dalam kalangan mat saleh yang membeli ungkapan bahasa Melayu untuk dijadikan kenang-kenangan. Sambil memberitahu akan memperbanyakkan suntikan elemen Islamik dalam masa terdekat, setiap hari Positive Emporium akan menampilkan ungkapan-ungkapan baharu yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook. SESIAPA sahaja yang lalu-lalang di premis ini akan teruja membaca kata-kata positif yang setia menyambut ketibaan pengunjung. Ragam pengguna Menggunakan laman maya seperti Facebook, Instagram dan Twitter sebagai medium promosi, adik-beradik tersebut turut menjual rangkaian produk mereka secara talian. "Pelbagai ragam yang dapat kami lihat. Ada yang datang menyalin apa dibaca seolah-olah sedang menaip mesej dan mengambil gambar menggunakan telefon," katanya bahawa Positive Emporium dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Bagi memberikan kepelbagaian kepada para pelanggan, Nur Riza memberitahu, sekurang-kurangnya lima ungkapan baharu setiap bulan akan dizahirkan mengikut tema. Barang-barang Positive Emporium dijual dari RM5 hingga RM700. Walaupun usia Positive Emporium baru masuk bulan keempat, Nur Azam rancak merencanakan masa depan perniagaan tersebut. Nur Azam mahu menjual produknya melalui ebay. Dalam tempoh dua tahun lagi, dia merancang mengadakan PositivEmporium Megastore. PositivEmporium Megastore akan menjual pelbagai barangan selain menganjurkan bengkel seni. "Melalui bengkel ini, pelanggan boleh menghasilkan sesuatu dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri," ujarnya," katanya yang turut mempunyai gerai di The Street@ The Curve dibuka pada setiap hujung minggu.