.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, July 08, 2010

0 Kes anak luar nikah, salahkan budaya barat? Atau salah sendiri?

Timur: Kes anak luar nikah membimbangkan
Oleh Baharom Bakar

2010/07/07
KUALA TERENGGANU: Mengejutkan. Sebanyak 1,160 kes anak luar nikah direkodkan di Terengganu dari Januari 2008 hingga pertengahan tahun ini, dengan ibu paling muda berusia 15 tahun.

Kes itu terus mencatat angka membimbangkan dengan 321 kes dilaporkan setakat enam bulan pertama tahun ini, selain 611 kes sepanjang tahun lalu dan 549 kes tahun sebelumnya. Bimbang kejadian tidak bermoral itu terus meningkat, kerajaan negeri akan melaksanakan program kesedaran untuk golongan remaja bagi mengekang masalah berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata mengikut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes kelahiran bayi tanpa bapa tertinggi iaitu 350 kes.

Katanya, pihaknya bimbang gejala tidak bermoral itu terus meningkat lantaran perkembangan semasa menunjukkan masalah sosial membabitkan generasi muda di negara ini semakin meningkat dan langkah berkesan perlu dilaksanakan segera bagi menanganinya.

Langkah pencegahan perlu dilakukan segera, termasuk melaksanakan program kesedaran bagi menyelesaikan masalah sosial seperti kes kelahiran bayi luar nikah ini, selain membendung budaya hitam ini daripada terus menular dan merosakkan golongan remaja.

Oleh itu, kerajaan negeri merancang melaksanakan kursus termasuk menerapkan nilai keagamaan tinggi kepada golongan ini. Kita akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Rozi Mamat supaya penerapan nilai keagamaan dimasukkan ke dalam agenda bakti remaja, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Said merasmikan Majlis Jejak Gemilang Murid Terbilang 2010 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan Berangan, di sini, semalam.

Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Berangan mengulas mengenai titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah baru-baru ini bahawa negara sedang berdepan krisis moral yang membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan sebanyak 257,000 sijil kelahiran dikeluarkan dari 2000 hingga Julai 2008 tidak mencatatkan nama bapa.

Ketika mengulas mengenai rumah perlindungan untuk bayi luar nikah, Yahya berkata, bayi berkenaan tidak berdosa dan memerlukan asuhan secukupnya termasuk diberi pendidikan agama supaya dapat membesar sebagai insan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Yang berdosa adalah ibu bapa mereka, mengapa kita perlu menghukum bayi itu walaupun dia dilahirkan secara tidak sah taraf dan kita perlu tempatkan mereka di rumah perlindungan supaya pemantauan dan didikan sempurna dapat dilakukan, katanya.

0 Bagaimana buat rundingan bisnes dengan FINAS untuk buat filem? Ilmu survival penerbit untuk filem

Jamil cabar FINAS
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2010/07/07
Terus buat filem baru walaupun didakwa masih berhutang

PENGARAH filem Momok Jangan Panggil Aku, M Jamil Zulkifli rasa kecewa apabila dituduh masih belum menjelaskan Dana Pembangunan Seni Filem yang dipinjam daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ketika menghasilkan Momok The Movie tahun lalu, walaupun filem itu berjaya mencatat kutipan kasar sebanyak RM2.5 juta.

Akibatnya syarikat dimilikinya, Galaksi Seni Sdn Bhd tidak layak menerima dana perfileman kerana hutang terdahulu yang masih belum langsai. Pengarah berusia 46 tahun itu berkata, dakwaan mengatakan syarikatnya masih berhutang tidak benar kerana dia menyimpan bukti pembayaran. Jamil juga menjelaskan, mustahil pengedar yang dilantik iaitu MIG Production Sdn Bhd mempunyai niat untuk menipu kerana pemiliknya iaitu David Teo salah seorang dari Ahli Lembaga FINAS. Setahu saya, setiap kali pihak pengedar iaitu MIG menerima bayaran daripada pemilik panggung, mereka akan terus menjelaskan hutang yang tertangguh. Setakat ini, kami sudah menjelaskan hampir 70 peratus hutang kami dengan FINAS. Tetapi saya terkejut apabila permohonan untuk mendapatkan dana seterusnya tidak diluluskan.

Saya mengaku masih lagi berhutang dengan FINAS tetapi jumlahnya tidak banyak. Baki yang tertunggak sekitar RM200 ribu hingga RM300 ribu, bagaimanapun saya sudah memaklumkan kepada FINAS yang mereka akan menerima bayaran melalui rebet cukai dan daripada TV3.

Setahu saya, mana-mana syarikat yang mendapat dana daripada FINAS diberi tempoh tiga tahun untuk membayar kembali pinjaman. Walhal Momok The Movie baru ditayangkan tahun lalu. Ini bermakna hutang kami tak sampai tiga tahun lagi dan kami juga sudah berjaya melangsaikan kira-kira 70 peratus daripada hutang itu, katanya kepada media di majlis pelancaran filem terbaru arahan dan terbitannya di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang, baru-baru ini.

Pengarah itu juga menegaskan, dia bukanlah baru dalam dunia pengarahan dan sebagai anak kepada seniwati terkemuka Datuk Sarimah Ahmad, tidak mungkin dia mahu memalukan nama baik ibunya. Sebelum ini dia sudah mengarah filem Warna Warna Hati, Tarik Tarik, Termometer 3 dan Musuh Dalam Selimut selain lebih lima drama.
Sehubungan itu, Jamil mencabar FINAS menyaman atau menghantar surat amaran kepadanya jika benar dakwaan dia masih berhutang.

Ini bukan filem pertama saya. Kalau betul saya tak bayar, saya takkan datang ke sini. Sedangkan syarikat saya adalah yang pertama membayar pinjaman dengan cepat. Saya ada semua bukti.

Satu lagi yang menjadi persoalan, kenapa mereka enggan memberikan bantuan kepada syarikat yang sudah pun membuktikan kemampuan mereka. Tetapi berani pula memberikan dana kepada entah sesiapa dan akhirnya filem mereka tak siap sehingga kini, katanya.

Mengenai filem terbarunya, Momok Jangan Panggil Aku, Jamil menjelaskan ia bukanlah sambungan daripada filem Momok The Movie, sebaliknya memaparkan kisah baru.

Katanya, filem terbarunya itu adalah kisah seram sepenuhnya selepas menerima pendapat peminat yang tidak begitu menyukai tema komedi dalam Momok The Movie.
Dia juga yakin tanpa membariskan bintang terkenal atau popular, filem terbarunya itu masih boleh mendapat sambutan yang baik.

Kita lihat, ada juga filem yang mengetengahkan artis popular pun tak laku. Bagi saya yang penting adalah jalan cerita filem itu sendiri. Tahun lalu, saya adakan sesi menonton wayang dengan pengikut di laman sosial kerana ingin mendengar sendiri apa komen mereka mengenai Momok The Movie.

Ulasan mereka itu saya ambil untuk dijadikan panduan bagi saya buat filem seterusnya, katanya lagi.

Filem Momok Jangan Panggil Aku membabitkan bajet RM1.3 juta ini bakal mengangkat tiga kisah. Pertama, kisah hantu yang biasa dikenali dikalangan masyarakat Melayu iaitu hantu raya, polong dan saka. Penggambaran diadakan di sekitar Pahang seperti Lebuh Raya Karak, Bentong dan Temerloh.

Antara barisan pelakon yang membarisi filem ini ialah M Jamil sendiri, Cassandra Patrick, Arif S Shamsudin, Zarina Zainuddin, Ruminah Sidek dan ramai lagi. Selain itu, penyanyi dangdut Indonesia, Inul Daratista juga dikatakan bakal menjadi pelakon undangan untuk filem ini dan turut menyanyikan lagu soundtrack filem ini. Inul bakal memegang watak Ibu bunian.

0 Tajuk kapoww dikatakan sebagai filem pintar, sekali dengar nama tajuk kapoww anggapan awal saya filem ini 'filem bodoh-bodoh'

Sambutan Kapoww mengecewakan
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2010/07/07
Azizi Chunk dakwa penonton kita masih prejudis filem tempatan

WALAUPUN diberikan ulasan yang baik oleh media, tetapi sambutan terhadap filem Kapoww sangat mengecewakan apabila kutipan kasarnya selepas dua minggu ditayangkan tidak seperti yang diharapkan oleh pengarahnya, Azizi Adnan.

Kapoww adalah filem terakhir kerana selepas ini saya akan beralih bidang. Mungkin menjadi pensyarah, siapa tahu mungkin juga menjual burger. Saya tidak mahu lagi ada kena mengena dengan dunia seni tanah air. Lebih baik jadi orang biasa, jiwa lebih tenang, katanya. Azizi atau dikenali juga sebagai Azizi Chunk berkata demikian sebagai meluahkan rasa terlalu kecewa dengan kutipan filem bercorak adiwira itu yang hanya memperoleh kutipan kasar kira-kira RM240,000 sejak mula ditayangkan pada 17 Jun lalu. Katanya, dia bersusah payah menghasilkan filem menggunakan teknologi dan animasi terkini bagi menyuntik kelainan kepada filem tempatan, tetapi sayangnya masyarakat tidak pandai menghargai kerana mereka belum bersedia dengan filem bercorak abstrak.

Sebaliknya penonton kita lebih menggemari filem yang cinta, seram dan rempit. Selain bersikap prejudis, penonton juga lebih cenderung memuja filem antarabangsa.

Saya tidak akan melanggar prinsip menghasilkan filem untuk keuntungan semata-mata. Saya mahu hasilkan filem yang dapat menaikkan minda masyarakat, saya tak mahu lemahkan mereka dengan cerita-cerita yang tiada unsur ilmiah.
Saya terlalu kecewa. Selama 13 tahun dalam bidang ini, saya berasakan perjuangan ini sia-sia. Saya bukan budak filem, saya bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menceburi bidang perfileman disebabkan minat. Saya bukan orang yang mudah putus asa, kerana sudah berada dalam industri ini lebih satu dekad. Saya rasa masa yang saya peruntukan dalam industri ini sudah terlalu lama.
Tapi saya bangga dengan cerita yang saya buat. Kapoww mempunyai tanggungjawab sosial mengenai kisah derhaka terhadap ibu bapa. Oleh kerana masyarakat tidak sukakan filem seperti ini, saya berasakan mengundur diri (dari mengarah filem) adalah jalan terbaik, katanya.

Azizi juga tidak menolak kemungkinan drama bersiri Kapoww yang terlebih dulu menemui penonton sedikit sebanyak mempengaruhi keinginan mereka untuk ke pawagam. Bagaimanapun, maklum balas dari penonton drama bersiri itu adalah baik.

Selain itu, dia juga mendakwa kekurangan publisiti turut menjadi faktor filem arahannya itu tidak mendapat sambutan yang baik.

Namun begitu, dia enggan menyalahkan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) sebagai penerbit walaupun soal publisiti sepatutnya menjadi tanggungjawab syarikat itu, kerana dia (TUSB) juga mempunyai banyak filem lain yang perlu diberi perhatian.
Kalau nak menyalahkan barisan pelakon, saya rasa tiada sebarang masalah. Mungkin promosi untuk filem ini tak banyak. Kisah pembikinan juga tidak ada, jadi penonton tak berapa tahu sangat mengenai filem ini. Jika disiarkan kisah di belakang tabir, sedikit sebanyak dapat menarik penonton ke pawagam.

Kemungkinan juga waktu tayangan tak sesuai kerana ketika itu ada beberapa filem Hollywood yang ditayangkan serentak antaranya Karate Kid dan Toy Story, katanya.
Azizi berkata, tidak ada guna menghasilkan filem yang sukar hingga memakan hampir dua tahun untuk disiapkan kerana di akhirnya ia akan mengecewakan pengarah itu sendiri.

Saya teringat kata seorang penerbit, katanya jangan hasilkan filem pandai nanti rugi. Nampaknya kenyataan itu benar. Saya juga kecewa kerana kalau kita berkarya, ada orang cuba bawa minda kita ke satu hiburan yang lain.

Selain itu ada juga yang cenderung menghina tanpa terlebih dulu menonton filem saya. Orang mengutuk dan menghina filem saya dengan cara yang melampau, seolah-olah tujuan mereka itu mahu merosakkan industri. Jadi saya rasa lebih baik saya tarik diri dan beri peluang kepada pengarah lain pula, katanya.

0 Apabila FINAS mahu filem sejarah sedangkan filem tema sejarah tidak laku, apa harus dibuat?

Epilog: Filem kenegaraan, sejarah harus jadi produksi wajib
Oleh Akmal Abdullah

2010/07/07
KELMARIN, ketika rombongan pengurusan kanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengadakan kunjungan hormat terhadap pengurusan editorial The New Straits Times Bhd (NSTP) di Balai Berita, Kuala Lumpur, antara topik yang dibangkitkan ialah mengenai keperluan industri filem di negara ini menerbitkan filem bercorak sejarah dan kenegaraan secara konsisten.

Ia disuarakan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid yang berasakan perlu ada banyak filem bercorak kenegaraan seperti mengangkat perjuangan dan jasa tokoh silam serta apa saja berkaitan kepentingan negara. Antara alasan diberikan Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim ialah kesukaran produser untuk buat filem bercorak sedemikian kerana selain masalah bajet besar ia juga menghadapi masalah pasaran kerana sukarnya mendapat sambutan daripada penonton. Seniman, Datuk Mustapha Maarof yang turut bersama dalam kunjungan itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS, turut akui sewajarnya filem berkonsep sejarah dan kenegaraan dihasilkan dengan sekurang-kurangnya setahun satu judul supaya negara mempunyai khazanah filem bermutu untuk dimanfaatkan rakyatnya. Namun, FINAS tetap berusaha menghasilkan sendiri dokumentari berkaitan kenegaraan seperti judul Becoming A King, Fight Master: Silat, Smart Tunnel dan Spellbound dan Jean Perera: The Beauty Queen Murder. Jawapan Mohd Mahyidin ada benarnya seperti terbukti beberapa judul filem cereka berkaitan sejarah dan kenegaraan seperti Embun, Paloh, Puteri Gunung Ledang dan Leftenan Adnan gagal mendapat sambutan baik malah ada yang boleh dianggap kantoi di pawagam, begitu juga filem yang pernah dihasilkan Datin Paduka Shuhaimi Baba - 1957: Hati Malaya juga gagal mendapat sambutan besar khalayak yang rajin ke panggung wayang.

Sebenarnya, industri filem di Malaysia tidak menghadapi masalah kepenontonan. Cuma ia menghadapi masalah tidak konsisten dari segi sambutan terhadap filem yang memasuki pawagam. Jika dilihat pada perangkaan mereka yang berkunjung ke pawagam, untuk filem tempatan saja, sejak Januari 2010 hingga Mei lalu, direkodkan sebanyak 2.9 juta penonton membeli tiket di pawagam seluruh negara untuk menonton filem terbitan Malaysia sendiri. Ini bererti sambutannya bagus dengan purata hampir 600,000 penonton menyokong filem Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Jika diambil kira pula jumlah keseluruhan mereka yang pergi ke pawagam menonton filem import seperti filem Hollywood, jumlahnya lagi besar iaitu seramai 9.56 juta penonton dalam tempoh masa sama, selain filem berbahasa Mandarin dari Hong Kong, China, Taiwan termasuk Korea memperlihatkan ada sokongan 4.59 juta penonton dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Filem dari India dan lain-lain negara pula ditonton hampir 1.4 juta penonton.

Ia bermaksud, rakyat Malaysia serta mereka yang tinggal di negara ini memang boleh dianggap kaki wayang sebab sepanjang lima bulan tahun ini dari Januari hingga Mei lalu, hampir 18.5 juta penonton membeli tiket. Jumlah ini bersamaan hampir dua pertiga daripada jumlah rakyat Malaysia! Ertinya, filem cereka di pawagam tetap mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia cuma mestilah pengisian dan filem itu disukai untuk menarik mereka ke pawagam.

Alasan produser takut nak buat filem sejarah sebab tidak laku, ia boleh diterima secara mudah kerana kita mengambil kira kepentingan produser filem adalah orang berniaga. Mereka tentu mengharapkan pulangan baik atau keuntungan hasil pelaburan besar menerbitkan filem apatah lagi untuk buat filem kenegaraan dan bertemakan sejarah bukannya mudah, banyak cabaran getirnya terutama dari segi penyelidikan, pembikinan dan mutu produksi.
Apapun alasannya sekarang, kita sudah kesuntukan masa. Negara kini sedang menghadapi krisis yang pelbagai termasuk politik, semangat cintakan negara dan patriotik di kalangan generasi muda yang semakin menghakis. Ramai yang sudah menjadi rakyat buta sejarah. Negara akan menghadapi generasi yang tidak kenal sejarah bangsa sendiri. Kementerian Pelajaran sudah mula sibuk merancang untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah. Usaha untuk meningkatkan semangat belia untuk sedar mengenai kepentingan mengundi untuk Pilihan Raya Umum sedang dijalankan.

Pengabaian terhadap erti Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan tidak difahami dan menyedihkan institusi raja mula diperkotak-katikkan pihak tertentu. Perlembagaan mula dipermainkan dengan hujah politik dangkal kononnya atas nama kebebasan, hak asasi dan demokrasi melulu. Lebih menakutkan ada puak tertentu yang bersikap cauvinis untuk jadikan Malaysia sebagai negara republik. Semuanya kerana kegagalan kita menghayati sejarah negara sendiri dan belajar dari sejarah silam untuk membina bangsa Malaysia yang lebih kuat. Perpaduan yang ada belum kuat kerana masing-masing cuba menjadi hero kaum sendiri.

Atas sebab itu, sudah tiba masanya Kementerian yang menjaga kepentingan filem berbuat sesuatu. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan harus memulakan langkah berani untuk merancang strategi jangka pendek dan jangka panjang menghasilkan banyak filem cereka yang berkisar aspek kenegaraan dan sejarah supaya filem dilihat membantu untuk membantu negara. Dalam entitinya sebagai produk hiburan, imej filem itu sendiri boleh dimanfaatkan untuk lebih mudah, santai dan difahami mengenai erti kenegaraan dan sejarah.
Demi kepentingan negara dan bangsa, sudah tiba masanya juga kerajaan menerusi kementerian terbabit berani menyediakan peruntukan besar supaya perancangan menghasilkan filem cereka berkaitan sejarah dan kenegaraan dihasilkan segera. Kita ada ramai tenaga kerja dan orang kreatif yang bijak untuk menghasilkan filem bercorak sedemikian, tetapi sayangnya mereka dipinggirkan kerana tidak ada produser yang berminat dan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka.

Kita tidak boleh memberi alasan kerana bajet tidak ada sedangkan kita boleh berbelanja mewah untuk buat macam-macam program yang sekadar untuk kemeriahan dan glamor selain pelbagai festival yang sekadar untuk berpesta termasuklah Festival Kuala Lumpur! Gunakan wang rakyat untuk dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk filem sebegini. Kita malu kerana ketandusan filem bercorak sedemikian sedangkan negara jiran sedang ghairah untuk buat filem kenegaraan mereka. Jika bangsa Cina dan India boleh melihat filem sejarah mereka dari Cina dan India, tetapi orang Melayu dari Tanah Melayu pula nak tengok visual filem mengenai sejarah mereka dari mana? KIta juga boleh hasilkan filem yang memaparkan sejarah kewujudan pelbagai kaum di negara ini supaya gagasan 1Malaysia lebih difahami dan dihayati.

Kerajaan harus berani untuk buat tindakan menghasilkan banyak filem kenegaraan supaya ada khazanah yang boleh dirujuk untuk generasi sekarang dan akan datang. Jangan paksa dan tunggu produser untuk buat filem sebegini. kerajaan kena prihatin dan mengambil inisiatif. Kementerian yang diterajui Datuk Seri Dr Rais Yatim kenalah segera berbuat sesuatu sebelum terlambat, sebelum mereka dipersoalkan oleh generasi akan datang!

Kata orang, biar miring jangan sampai tertelangkup...

0 Parti Ekonomi Rakyat Sarawak lebih sesuai untuk Sarawak berbanding PKR, PAS dan DAP. Sabah bagaimana?

Parti baru mahu tanding 71 kerusi DUN Sarawak
Oleh Misiah Taib

2010/07/08
PERSB rancang perkenal calon pilihan raya negeri Sabtu

KUCHING: Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERSB), sebuah parti baru ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Kesepuluh mengesahkan akan bertanding di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Setiausaha penaja parti itu, Noh @ Mohammad Noh Bakri @ Bakeri, berkata mereka sudah mengenal pasti 71 calon yang akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri yang dijangka akhir tahun ini, atau paling lewat awal tahun depan. Malah katanya, parti itu sudah bersiap sedia dari segi modal sebagai wang cengkeram untuk semua calonnya. "Kami akan memperkenalkan semua 71 calon parti kami pada satu sidang media khas di Hotel Grand Continental di Kuching pada jam 9.30 pagi, Sabtu ini, katanya kepada Berita Harian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai parti itu kecuali mengesahkan ia diketuai seorang ahli perniagaan, David Mathew, dari Lawas.

Katanya, parti itu ditubuhkan sekumpulan ahli perniagaan dan golongan profesional termasuk peguam.

Noh berkata, perjuangan PERSB berbeza dengan parti lain kerana tidak menyokong parti kerajaan Barisan Nasional (BN), mahupun pakatan pembangkang.
"PERSB mempunyai landasan perjuangan tersendiri dan kita akan memperjuangkan nasib penduduk luar bandar terutama yang tidak menikmati bekalan asas elektrik, air dan tiada sumber ekonomi," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sarawak yang dihubungi mengesahkan PERSB sudah memohon untuk didaftarkan.

0 Mawi buka syarikat penerbitan sendiri, menulis skrip dan mengarahnya sendiri. Tahniah mawi!

Mawi kembangkan kebolehan
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2010/07/07
Nafi kerjaya nyanyian semakin malap

DUA kali diberi peranan sebagai anggota polis, pertama dalam filem Jin Notti dan kali kedua menerusi drama terbitannya sendiri, Jiwa Kacau menyebabkan Mawi menolak tawaran melakonkan watak sama biarpun hanya untuk klip video Tak Mungkin Berpaling.

Bersetuju dengan cadangan penyanyi itu, pengarah klip video berkenaan, Mohd Irwan Rauf, mengubah watak juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu daripada anggota polis kepada perompak. Klip video yang turut menampilkan Zamani Slam itu menjalani penggambaran selama dua hari di sekitar Kuala Lumpur, bulan lalu. Kali ini, Irwan menonjolkan kelainan apabila memaparkan jalan cerita mengenai dua perompak yang terjerat dengan kebaikan seorang wanita, sebagai simbolik kepada kisah cinta tiga segi dalam lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Slam itu. "Saya sengaja memaparkan kelainan kepada jalan cerita klip video ini bagi menyokong susunan lagu Tak Mungkin Berpaling yang kini lebih segar. Kami masih mengekalkan tema sama iaitu mengenai cinta tiga segi tetapi dipaparkan dalam bentuk berbeza.

"Alhamdulillah anda yang menonton klip video ini faham apa yang ingin saya sampaikan. Sebelum ini Mawi sering tampil dengan karakter yang baik tetapi kali ini, kami mencuba kelainan dengan memaparkan watak Mawi sebagai perompak. Bagaimanapun saya menyelitkan sedikit unsur komedi dan mewujudkan penceritaan supaya klip video ini mempunyai karakter," katanya.

Mawi pula ketika ditemui di majlis tayangan klip video terbitan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), mengakui seronok dapat bekerjasama dengan Irwan apatah lagi dengan keterbukaan pengarah itu menerima cadangannya.

"Saya menolak watak polis kerana sudah beberapa kali diberikan watak serupa. Jadi saya memberi pandangan itu kepada pengarah, meminta supaya diberikan watak lain. Selain itu, saya juga menimba satu lagi pengalaman baru apabila buat pertama kalinya berlakon di samping Zamani selepas kami berduet bersama,"kata penyanyi Kian ini.
Bermula sebagai penyanyi, Mawi bagaimanapun turut mengembangkan sayapnya bergelar pelakon. Filem pertamanya Aduh Saliha sehingga kini masih lagi terbengkalai. Sebaliknya Mawi terlebih dulu muncul di layar perak menerusi Jin Notti.

Selepas itu, dia berjinak-jinak pula sebagai pengarah. Drama pertama arahannya Pak Nil Ibu Kirim Salam bakal menemui penonton pada Aidilfitri nanti. Anak muda kelahiran Johor ini mengambil keputusan untuk menduduki kerusi pengarah pengarah kerana keinginan untuk mencuba yang membuak-buak.

Cita-cita jadi pengarah filem

SETELAH memiliki syarikat produksi MW Entertainment Sdn Bhd, Mawi berasa terpanggil untuk mengarah. Bukan disebabkan karier nyanyiannya yang dikatakan semakin perlahan, tetapi Mawi ingin mempelbagaikan lagi kebolehan.

"Setakat ini, alhamdulillah, pada setiap bulan saya masih menerima pelbagai undangan menyanyi. Insya-Allah pada September saya akan muncul dengan album terbaru berjudul Idola. Jadi tak benarlah dakwaan mengatakan saya mengarah kerana undangan menyanyi kian berkurang.

"Selain album Idola, album kompilasi The Best Of Mawi juga akan berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.

Menurutnya, bukan menjadi satu kesalahan menyimpan cita-cita sebagai pengarah filem suatu hari nanti, tetapi dia tidak mahu ia dilakukan secara tergesa-gesa.

"Telefilem Pak Nil Ibu Kirim Salam boleh dikatakan buah tangan saya sepenuhnya. Saya hasilkan skrip dan saya sendiri yang mengarah kerana saya sayang nak berikan kepada pengarah lain, bimbang tidak mendapat bayangan apa yang saya mahukan.

"Sebagai persediaan untuk telefilem ini, saya banyak menonton drama dan filem tempatan serta antarabangsa. Saya lihat bagaimana teknik penggambaran mereka, saya juga tidak kisah sekiranya dikritik, kata Mawi.

Pak Nil Ibu Kirim Salam adalah berdasarkan pengalaman Mawi sendiri. Skrip drama itu terhasil sebagai penghargaan untuk peminatnya yang menghidap autisme, kerana kesungguhannya mencari Mawi di serata tempat semata-mata untuk bertemu dengannya.

Telefilem itu dijayakan oleh Aznil Nawawi dan Along Raja Lawak serta penampilan khas 33 pelakon popular tanah air seperti Linda Onn, A Galak, Angah Raja Lawak, Hamid Gurkha, Zamani, Joey dan ramai lagi.

Aznil diangkat sebagai teraju utama kerana populariti pengacara dan penyampai radio itu dari segenap lapisan umur terutamanya kanak-kanak.