.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, October 11, 2010

0 Kisah kejayaan Inai Kiara oleh Gilzar Mohamad

Dari RM2 jadi RM3 bilion

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
najib.daud@utusan.com.my

SHAH ALAM 10 Okt. - ''Saya membesar bukan seperti kanak-kanak lain kerana saya mula mengenal alam pekerjaan sejak berusia sembilan tahun hingga 15 tahun untuk membantu menyara ibu dan adik-adik lain,'' kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan Inai Kiara, Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed (gambar).

Berasal dari Kuching dan datang dari keluarga 10 beradik, sejak dari kecil lagi katanya, beliau amat iri hati dengan kanak-kanak lain yang seusianya yang seronok bermain tanpa memikir sebarang masalah dan tanggungjawab.

Menurut Gulzar Mohamad, ayahnya yang meninggal dunia semasa berumur 11 tahun, memaksakan beliau mengambil tanggungjawab bapanya sebagai ketua keluarganya.

Pada usia muda, pelbagai kerja dilakukannya, dari buruh kontrak membina Hotel Holiday Inn di Kuching, hinggalah menjadi nelayan, pernah bekerja di kuari selain menjadi penyelam dengan bekerja di syarikat-syarikat perkapalan di Kuching.

''Asalkan apa kerjanya boleh menghasilkan wang, saya sanggup melakukannya asalkan kami tidak kelaparan,'' kata Gulzar.

Ketika di zaman persekolahan, kemiskinan keluarga memaksa beliau berjalan kaki lima kilometer setiap hari ke sekolah.

"Saya pernah berjalan kaki dari sekolah dan sampai ke rumah pada pukul lapan malam disebabkan jaraknya terlalu jauh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Selepas itu, beliau menimba pengalaman sebagai pengemudi pernah belayar merentasi tujuh lautan sebelum beliau menyertai Jabatan Marin sebagai pemeriksa untuk Peperiksaan Kompetensi Sijil Marin.

Gulzar Mohamad, kemudiannya meletakkan jawatannya dari Jabatan Laut pada tahun 1992 dan bekerjasama dengan beberapa profesional untuk terlibat di dalam projek tebatan dan pengerukan.

Penglibatan itu membukanya peluang untuk memulakan perniagaan sendiri beberapa tahun kemudian sebagai menjadi perunding kepada syarikat antarabangsa sebelum diminta membuka sebuah entiti bagi membolehkannya menjadi rakan kongsi.

"Berbekalkan RM2 dan berserta dua orang kakitangan pada 11 tahun lalu, Inai Kiara mendapat projek pertama pemulihan pantai dan pelindung ombak di Brunei dan projek kedua di Sarawak,'' katanya.

Nasib Inai Kiara semakin cerah apabila diberi peluang membangunkan fasa kedua Pelabuhan Tanjung Pelepas yang bernilai RM1 bilion yang perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun.

Hari ini, syarikat itu dalam proses membangunkan sebuah limbungan kapal terbesar di Asia Tenggara di Pulau Indah, Klang bernilai lebih RM3 bilion dalam tempoh lima tahun.

Menyorot kembali pencapaiannya, Gulzar Mohamad berkata, semua yang diperoleh kini bukannya datang bergolek kerana beliau pernah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang cukup mencabar.

Antaranya, ketika terbabit di dalam projek gas asli cecair di Taiwan yang mana ketika berdepan dengan taufan pada tahun 2003.

Selain itu perpindahan beberapa tenaga kerja yang dididiknya sejak peringkat awal sehingga menjadi pekerja mahir juga turut menyumbang kepada cabarannya.

"Inai Kiara pernah membayar gaji RM200,000 sebulan kepada seorang pakar asing yang berkaitan di dalam industri ini berikutan ketiadaan pakar tempatan dan sebab itu saya sangat kecewa apabila ada anak tempatan yang betul-betul bagus tiba-tiba berhenti dari syarikat ini,'' katanya.

Namun kata Gulzar Mohamad, beliau memilih untuk belajar menerima kenyataan bahawa tiada satu yang akan kekal.

Beliau, sebaliknya semakin berbangga apabila anak didiknya yang berjaya mencipta karier di tempat lain hasil kemahiran dan pengalaman yang diberikan di Inai Kiara.

"Saya berpegang kepada pepatah iaitu perjalanan akhir bagi seorang manusia adalah ilmu-ilmu yang ditinggalkan kerana ia adalah satu pemberian yang kekal dan disebabkan itu jugalah saya tidak takut kepada persaingan," katanya.

Sehingga kini Inai Kiara telah berjaya melaksanakan beberapa projek berprofil tinggi di luar negara seperti India, Brunei Singapura, Taiwan dan Indonesia.

0 Pinjam wang Ah Long untuk buat bisnes? Pinjam dengan bank berdaftar lagi ramai. Ramai menderita selepas wang gaji untuk bayar hutang bank

Pinjam ah long RM2.9j masuk MLM

Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my



SEORANG anggota polis melalui kawasan telefon awam yang dipenuhi iklan ah long haram menawarkan pinjaman wang. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Membimbangkan! Percaya atau tidak, wanita bujang dan berkahwin menjadi golongan yang kian terhimpit apabila statistik Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menunjukkan mereka semakin galak meminjam dengan ah long melibatkan hutang mencecah RM2.9 juta sejak 2009 sehingga Ogos tahun ini.

Dalam tempoh dua tahun itu, sebanyak 51 aduan yang diterima biro itu melibatkan wanita berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an mengatakan hidup mereka diselubungi kebimbangan lantaran menjadi buruan lintah darat tersebut kerana gagal melunaskan hutang.

Bagi tahun 2009, sebanyak 51 wanita Melayu Lembah Klang telah meminjam dengan ah long membabitkan hutang RM2.2 juta manakala tahun ini sehingga Ogos pula seramai 16 peminjam berbuat demikian membabitkan hutang berjumlah RM784,000.

Difahamkan, rata-rata jumlah pinjaman berjumlah di antara RM1,000 dan RM300,000 itu dibuat oleh golongan tersebut ialah untuk memulakan perniagaan dan menyertai program pemasaran pelbagai peringkat (MLM).

Ketika mendedahkan perkara tersebut, ketua jabatan itu, Datuk Michael Chong berkata, walaupun jumlah pengadu melibatkan wanita Melayu masih rendah berbanding wanita kaum lain, ia tidak boleh dipandang ringan.

0 Penyebaran islam di UK menimbulkan keresahan penganut kristian. Ada sebab masing-masing berkembang dan mahu mempertahankan

Pelampau Kristian UK merusuh



PELAMPAU-pelampau Kristian melaung-laungkan slogan anti-Islam semasa menunjuk perasaan anti-Islam di Leicester, Britain, kelmarin. – AFP



LONDON 10 Okt. – Sebuah kumpulan pelampau berhaluan kanan, Liga Pertahanan Inggeris (EDL) yang kerap melancarkan protes menentang penyebaran Islam di Britain bertempur dengan polis di bandar raya, Leicester di utara negara ini semalam.

Empat orang ditahan dan seorang pegawai polis dimasukkan ke hospital.

Hampir 1,400 pegawai polis termasuk sesetengah daripadanya yang lengkap dengan peralatan rusuhan dan menunggang kuda dikerah untuk mengawal kira-kira 1,000 aktivis daripada EDL yang berkumpul di Leicester untuk mengadakan demonstrasi.

Polis berkata, pelbagai objek dilontar kepada mereka dan seorang pegawai dikejarkan ke hospital.

Beberapa pembantah, kebanyakannya remaja lelaki berpecah dari kawasan protes yang ditetapkan pada satu ketika untuk berkonfrontasi dengan kumpulan remaja tempatan.

Penyokong-penyokong EDL yang ditubuhkan pada tahun lalu, memulakan jelajah di sekitar negara bagi melancarkan demonstrasi menentang penyebaran syariah atau hukum syariah di England pada musim panas lalu.

Kumpulan itu menegaskan ia dilakukan secara aman, namun para pengkritik berkata ia adalah bersifat perkauman dan berpotensi menimbulkan kekacauan.

Sabtu lalu, kira-kira 700 anggota sebuah kumpulan berhaluan kiri yang digelar Bersatu Menentang Fahaman Fasis mengadakan demonstrasi balas di kawasan berhampiran.

Kedua-dua kumpulan yang berbeza fahaman itu bertempur semasa perhimpunan-perhimpunan serupa pada tahun lalu di beberapa bandar raya seperti Leeds dan Manchester. – AP

0 Beri teladan yang baik berlandaskan agama adalah cara terbaik didik anak dan elakkan pertengkaran

Persoalan Agama: Lima perkara bantu didik anak salih

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my

2010/10/10
ALHAMDULILLAH, saya disahkan hamil tiga minggu. Ada pelbagai petua yang diberikan rakan dan saudara mengenai usaha mendapatkan anak sihat dan salih namun ada antaranya meragukan. Saya inginkan petua ustaz mengenai amalan ibu ketika hamil bagi memastikan zuriatnya sama ada lelaki atau perempuan, menjadi anak yang baik.


Jawapan:

Aida, Ampang. Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “(Tetaplah atas) fitrah Allah yang menciptakan manusia menurut fitrah itu. (Hukum-hukum) ciptaan Allah tidak dapat diubah. Itulah agama yang benar. Tapi sebahagian besar manusia tidak mengetahui.”
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Sebenarnya, setiap manusia yang lahir ke dunia dalam keadaan suci bersih dan yang membentuknya menjadi baik atau buruk adalah kedua ibu bapanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Namun, sebelum mahu membentuk anak menjadi salih, ibu atau bapa hendaklah berusaha menjadi ibu yang salihah dan bapa yang salih.
Justeru, pertama, perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.

Kedua, banyakkan memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan doa yang ma’thur iaitu doa daripada al-Quran atau Hadis.

Antaranya doa terbaik yang dipetik daripada al-Quran iaitu ayat 38 surah ali-Imran : “Rabbi Hab li Min Ladunka Zurriyatan Toiyibatan, innaka sami’ud du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

Begitu juga surah Ibrahim ayat 40: “Rabbij’alni muqiimas solati wamin zurriyati rabbana wa taqabbal du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doa permohonan ku.”

Ketiga, suami isteri perlu hindarkan diri daripada sering bertengkar. Ini disebabkan, pertengkaran itu boleh menyebabkan wujud suasana tidak harmoni dalam hubungan suami isteri dan dibimbangi mempengaruhi anak.

Keempat, jauhi daripada melakukan perkara fasik atau maksiat. Apabila ibu atau ayah sukakan perkara maksiat boleh membawa kerosakan besar dalam hubungan suami isteri, begitu juga anak. Berusahalah mewujudkan suasana baik sebagai mana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (Sakinah) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah)...”

Kelima, banyakkan membaca al-Quran ketika mengandung. Tidak semestinya membaca ayat pilihan seperti surah Yusuf dan surah Maryam. Sebaik-baiknya, baca sehingga khatam kemudian diulang. Begitu juga apabila anda ingin membesarkan anak, dengarkan anak dengan bacaan al-Quran kerana ia boleh mempengaruhi jiwanya. Wallahua’lam.

INFO

SEBARANG kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

0 Kerana anak terlalu ramai, mustahil dapat mengingat nama semua anak. Makan sayur adalah rahsia panjang umur

Lelaki 100 isteri meninggal dunia


2010/10/10
Tekanan darah tinggi punca kematian ‘Danger’

NAIROBI: Seorang lelaki Kenya yang terkenal kerana mempunyai 100 isteri, meninggal dunia minggu ini selepas jatuh sakit, lapor media tempatan. Lelaki yang tinggi digelar ‘Danger’ (Bahaya) kerana pandai memikat wanita, mempunyai hampir 160 anak, lapor Perbadanan Penyiaran Kenya (KBC). Ancentus ‘Danger’ Akuku berusia 90-an. Disebabkan anggota keluarganya ramai, beliau membina sebuah gereja dan sekolah untuk anak-anaknya di bandar Kisumu. Akuku mengakui saiz keluarganya menyebabkan dia mustahil untuk mengingati kesemua nama mereka.

Lelaki itu menganggap pemakanan tradisional termasuk sayur adalah faktor utama dia umur panjang serta terus bersemangat menjalani kehidupan, kata media di sini.

Dia pengsan di rumahnya disebabkan komplikasi tekanan darah tinggi dan diisytiharkan menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di sini, kata anaknya.

Akuku berkahwin isteri pertamanya pada 1939 dan kali terakhir pada 1992. Dia juga bercerai sebanyak 30 kali, lapor akhbar kerajaan.
Ketika era Akuku membesar, poligami adalah amalan biasa di negara Afrika Timur itu. Bagaimanapun, ia tidak lagi popular dan semakin jarang diamalkan kebelakangan ini.

Selain itu, wanita juga semakin ramai yang menuntut persamaan hak di Kenya dan kebanyakan mereka juga enggan bermadu.

“Saya tidak peduli sama ada dia raja atau presiden. Amalan ramai isteri ketika era nenek moyang sudah tamat dan wanita juga memegang kuasa sekarang, tidak seperti dulu,” kata seorang penduduk Nairobi, Janet Otieno, 25.

Kata-katanya disokong oleh Anastasia Wanjiru yang menganggap poligami sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Adakah semua isterinya tinggal bersama? Tidak mungkin rumah tangga saya akan aman jika saya bermadu. Itu tidak normal. Gila,” kata Wanjiru, 28, ketika diminta mengulas. – Agensi

0 Krisis makanan sedang berlaku mengingatkan bekalan beras wangi dari Thailand belum sampai ke Kota Kinabalu Sabah

22 negara hadapi krisis makanan


2010/10/10

ROME: Kira-kira 166 juta penduduk di 22 negara kini mengalami masalah kekurangan makanan kronik akibat krisis makanan yang berpanjangan.

Laporan terbaru Program Makanan Dunia (WFP) dan Operasi Makanan dan Pertanian (FAO) menyatakan perang dan bencana alam menyumbang kepada masalah kekurangan zat makanan di 22 negara termasuk Afghanistan, Haiti, Iraq, Somalia dan Sudan. Pengarah FAO, Jacques Diouf dan Pengarah WFP, Josette Sheeran, dalam laporan mereka menyatakan sesebuah negara yang melaporkan krisis makanan untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun dan menerima 10 peratus dana asing dalam bentuk bantuan kemanusiaan dianggap mengalami krisis makanan berterusan. Negara lain yang terbabit ialah Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Congo, Korea Utara Republik Demokratik Congo, Eritrea, Habshah, Guinea, Ivory Coast, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe.

“Krisis berlarutan boleh berlaku terus-menerus sehingga proses pemulihan nya menjadi semakin sukar,” kata laporan itu.

Di kalangan 22 negara terbabit, kadar penduduk yang kekurangan zat makanan adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding negara membangun. – AP

0 Barark Obama dari Demokrat boleh lakukan yang lebih baik berbanding calon Republikan

Penyokong Barack Obama kecewa


2010/10/10



Shepard FaireyArtis poster ‘Hope’ akui ramai hilang kepercayaan terhadap Presiden AS

WASHINGTON: Pelukis poster wajah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang dipamerkan pada setiap kempen pilihan raya beliau pada 2008, Shepard Fairey, berkata beliau memahami mengapa semakin banyak pihak hilang kepercayaan terhadap pemimpin itu. Dalam satu temu ramah dengan National Journal, Fairey melahirkan kekecewaan dengan kepemimpinan Obama yang mendapat kepercayaan penuh Demokrat untuk membawa pelbagai perubahan sebelum ini. “Ada banyak perkara yang tidak dapat dikawal Obama dan Demokrat, tetapi perkara yang lebih penting ialah generasi muda mahukan seseorang yang mampu menentang status quo. Saya rasa Obama belum berjaya melakukannya,” katanya.

Fairey berkata, ketika menghasilkan poster berkenaan pada 2008, beliau cuba memaparkan imej seorang pemimpin yang prihatin terhadap pelbagai isu termasuk penjagaan kesihatan, membantu golongan pekerja dan menyekat pelobi.

“Apabila melihat pendirian Obama dalam pelbagai dasar, saya tanya kepada diri sendiri mengapa saya tidak tunjukkannya dalam satu poster saja,” kata Fairey dalam temu ramah telefon dari Los Angeles.

“Obama adalah ‘alat pelaksanaan dasar’ secara teori. Sekarang saya menyedari beliau mungkin bukan alat yang betul dan saya terpaksa menangani setiap isu secara berasingan,” katanya.
Lukisan potret Obama dengan kepala sedikit mendongak dan merenung jauh dan tulisan perkataan ‘Harapan’ di bahagian bawahnya, menggambarkan imaginasi Demokrat dan secara tidak langsung menghakis sokongan kepada Hillary Rodham Clinton.

Ratusan ribu poster dan pelekat dengan perkataan ‘Hope’ (Harapan) diedarkan kepada penyokong di seluruh negara ketika kempen pilihan raya presiden pada 2008.

“Bagaimanapun ia hanya satu permulaan. Lukisan itu dicetak semula berulang kali di internet dan versi yang mempersendakan Obama sebagai The Joker dan Socialism in place of Hope menjadi topik hangat pada banyak perhimpunan,” katanya.

Imej biru dan merah yang dihasilkan Fairey diubah suai daripada gambar Obama yang diambil Associated Press dan beliau kini terbabit dengan saman berikutan penggunaan gambar itu.

Mengenai Parti Republikan, Fairey menyifatkan pemimpin parti itu ‘hanya tahu menghalang’ dan percaya keadaan di Amerika akan lebih teruk jika mereka menang.

“Memang Obama boleh lakukan lebih baik dalam beberapa aspek. Tetapi, saya fikir, keadaan akan jauh lebih teruk jika Sarah Palin dan John McCain yang memerintah,” katanya. – Agensi

0 Tahun 2009-2010, Arsenal untung besar, Manchester United rugi besar. Pelajarilah rahsia bisnes Arsenal

United catat rugi bersih RM418 juta


2010/10/10

LONDON: Manchester United mencatat rugi bersih tahunan sebanyak 83.6 juta pound (RM418 juta) selepas pemilik kelab dari Amerika Syarikat menjelaskan segala bayaran berkaitan hutang, sekali gus menjejaskan keuntungan kelab.

Dalam laporan kewangan berakhir 30 Jun yang dikeluarkan kelmarin, United, mencatat keuntungan 286.4 juta pounds (RM1.4 bilion) berdasarkan pendapatan pemasaran dan penyiaran. Ia adalah pertama kali kelab mencatat keuntungan operasi mencecah 100 juta pound (RM500 juta). Tetapi kesannya sebahagian besar keuntungan itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang menguruskan kelab sekitar 750 juta pound (RM3.7 bilion), dan kos berkaitan penerbitan obligasi yang menimbulkan kontroversi.

“Kami mempunyai struktur pembiayaan jangka panjang, pendapatan yang sangat baik dan berjaya mengawal kos selain boleh membayar bunga atas kewangan jangka panjang kami,” kata ketua eksekutif United, David Gill.

“Pada pendapat kami, jika sesuatu berubah dalam pemilikan, kelab ini mampu bertahan kerana mempunyai pembiayaan yang lebih dari cukup.”

Rekod kerugian terbesar kelab gergasi Liga Perdana itu dalam tahun kewangan sebelum ini adalah daripada keuntungan 25.5 juta pound (RM127.5 juta) yang terhasil daripada penjualan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid yang mencipta rekod dunia 80 juta pound (RM400 juta). – AP

0 Pelancongan menjana pendapatan RM1 bilion setiap minggu sepanjang tahun 2009 dengan penyumbang terbesar Singapura, Thailand dan Indonesia

23.65 juta pelancong lawat Malaysia sepanjang tahun 2009

10th October, 2010

LABUAN: Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia, Datuk Haji Ab Ghafar Ab Tambi berkata, Malaysia mencatatkan kemasukan pelancong asing seramai 23.65 juta dengan hasil pendapatan sebanyak RM53 bilion sepanjang tahun 2009.

Ini bermakna katanya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan berjumlah RM1 bilion setiap minggu dan pengunjung teramai yang datang ke Malaysia adalah dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

“Dalam pada itu United Nation Wold Tourism Organisation sebagai sebuah badan Bangsa-Bangsa bersatu dalam sektor pelancongan telah meletakkan Malaysia di senarai 10 teratas destinasi pelancongan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Kuiz Program Pelancongan Pelajar (3P) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang di Hotel Tiara dekat sini, kelmarin.

Sementara itu, katanya, untuk tahun 2020 kementerian telah mensasarkan seramai 36 juta pelancong asing yang akan melawat negara ini membabitkan pendapatan sebanyak RM168 juta.

Bagaimanapun, katanya, sasaran itu hanya akan dapat dicapai jika semua pihak termasuk pelajar menghayati konsep ‘Think Tourism dan Act Tourism serta mengamalkan sikap mesra pelancong melalui konsep ‘Malaysia Welcomes the Wold.’

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Maxwell Francis.

Menyentuh mengenai industri pelancongan di Labuan, beliau yakin kedudukan geografi Labuan yang terletak bersebelahan dengan negara Brunei Darussalam dan wujudnya aktiviti selam skuba serta adanya kemudahan sukan laut yang baik mampu menarik lebih ramai lagi pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke pulau bebas cukai ini.

Dalam pertandingan itu, SMK Labuan muncul juara sekaligus akan mewakili Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan November depan di Kuala Lumpur. Tempat kedua dan ketiga di sandang oleh SMK Pantai dan SMK Mutiara.