.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, June 19, 2010

0 Ahmad Idham pertaruhkan filem seram untuk menembusi pasaran dunia. Bagaimana buat filem 1Malaysia?

18 Mei 2010
AHMAD IDHAM TERUS MELAKAR SEJARAH


‘Untung sabut timbul, untung batu tenggelam’. Percaturan Ahmad Idham (IDHAM) dalam industri perfileman ini telah membawa penubuhan Excellent Picture Sdn. Bhd. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, UiTM Shah Alam ini, beliau mula mengorak langkah sebagai pelakon pembantu namun kini beliau boleh berbangga dengan kecemerlangan yang dicapai pada hari ini. Anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini terus melakar kejayaan sebagai pengarah dalam menyemarakkan industri perfileman negara. SINEMA MALAYSIA (SM) berpeluang berkongsi pengalaman dengannya dalam menempatkan diri sebagai seorang pengarah filem yang berjaya.

SM Nama Ahmad Idham mula dikenali sebagai pelakon pembantu melalui filem Kuala Lumpur Universiti pada tahun 1995. Bagaimana En. Ahmad Idham boleh mula terlibat dalam industri filem ini.

IDHAM : Saya mula terlibat dalam industri ini hanya secara kebetulan. Ketika itu saya sedang belajar di UiTM dalam bidang akaun. Kebetulan saya mengenali Riezman Khuzaimi dan Azhar Sulaiman dan selalu mengikuti dan melihat mereka shooting filem. Kemudian saya dipelawa sebagai pelakon extra dan mendapat bayaran RM50.00 sehari. Ketika itu,masih student dan bayaran ini sudah dikira ok. Sementara menunggu peluang kerja, tawaran berlakon tiba-tiba muncul dan ini adalah satu peluang yang baik. Apabila telah berlakon dan mendapat banyak tawaran menyebabkan saya rasa seronok dan ingin lari dari dunia akaun yang dipelajari selama 6 tahun di UiTM. Ketika itu saya mula kenal dengan Md Noor Kadir yang berkelulusan Engineer Electrical yang telah berjaya sebagai produser dan mempunyai syarikat sendiri atas nama Kuasatek Pictures. Semua ini membuatkan saya menyedari yang industri perfileman ini tidak hanya untuk mereka yang belajar filem. Saya melihat peluang pernigaan dan potensi dalam industri ini. Ketika masih tiada nama, saya mendapat peluang sebagai pelakon dalam telemovie ‘Cinta Antara Benua’. Drama tersebut menjadi hit dan secara tidak langsung nama saya mulai dikenali ramai. Selepas itu saya mendapat peluang berlakon drama ‘Cinderella’ dan drama tersebut telah menaikkan nama saya dan mendapat perhatian industri. Md Noor Kadir merupakan orang yang telah membawa saya kepada industri ini dan dia telah memberi peluang untuk saya bekerja di belakang kamera. Dari situ saya mula menimba pengalaman dari Md Noor Kadir melalui Kuasatek Pictures yang terus memberi peluang kepada saya untuk mengarah drama. Selepas itu saya mula menang beberapa anugerah dan di sini saya merasa yakin untuk terlibat secara serius dalam industri ini. Saya bersama Kuasatek Pictures sehingga tahun 1999 dan tahun 2000 saya telah membuka syarikat sendiri atas nama Exellent Pictures Sdn. Bhd.Tahun 2004 baru syarikat saya mendapat projek drama dan alhamdullillah selepas itu saya terus mendapat peluang membuat drama dan mengarah filem sehinggalah ke hari ini.

SM Kemunculan Excellent Pictures Sdn. Bhd. telah menyemarakkan lagi industri perfileman negara. Bagaimana En. Ahmad Idham melihat perkara ini. Adakah Excellent Pictures mampu bersaing dengan syarikat yang ada?



IDHAM : Bagi saya Excellent Pictures itu adalah wajah saya. Excellent Pictures adalah syarikat dan saya adalah individu dalam company tersebut. Jika saya mampu menonjol dalam industri bermakna Excellent Pictures tetap berpeluang untuk bersaing walaupun hari ini nampak seperti kolaborasi saya banyak dengan Metrowealth tapi semuanya smart partnership. Saya bukannya datang dari keluarga kaya yang boleh mendapat modal serta merta jadi saya memerlukan investor. Jika saya mempunyai modal yang besar anytime boleh buat filem. Tapi kita akur, modal kita tidak besar tapi tetap ada progress. Saya mula dengan drama dan saya percaya jika terlalu cepat naik sesebuah syarikat itu akan cepat jatuh. Jika syarikat saya mempunyai modal yang besar, pasti Excellent Pictures mampu bersaing. Walaupun begitu Excellent Pictures tetap progress secara perlahan. Peningkatan nama syarikat saya tidaklah seagresif peningkatan nama dan kerjaya saya sebagai pengarah. Tahun ini diharap saya dapat mencari modal yang besar untuk disuntik ke dalam Excellent Pictures dan ini adalah cabaran kedua saya sebagai penerbit filem. Sehingga hari ini saya telah mengarah 17 filem dan esok filem ke-18. Saya telah mengarah 1 filem untuk Kuasatek Pictures, 3 untuk Excellent Pictures dan 14 untuk Metrowealth.

SM : Ketokohan En. Ahmad Idham dalam mengarah pelbagai genre filem seperti seram, komedi, kekeluargaan, muzikal dan aksi telah membuktikan kemampuan En. Ahmad Idham. Genre filem yang bagaimanakah dapat memberi kesan yang hebat kepada En.Ahmad Idham sebagai pengarah filem.

IDHAM : Hari ini saya melihat filem seram mempunyai potensi dalam industri filem negara. Filem seram berjaya membuat kutipan paling box-office di Malaysia. Genre ini juga telah berjaya membawa nama saya ke luar Malaysia seperti Singapura, Brunei dan Filipina. Jika sebelum ini orang kata, filem kita berjaya ditayang di Singapura, tetapi filem saya berjaya ditayang sehingga 12 print di sana. Filem terbaru Excellent Pictures, Niyang Rapik juga telah mendapat tempahan di sana dan ini adalah sesuatu yang membanggakan. Kebiasaannya filem lain hanya 1 atau 2 print sahaja. Kini kita cuba untuk ke negara lain pula.

Apa yang saya nampak sekarang ini genre seram berbeza dengan filem aksi. Filem aksi kita masih tidak dapat menandingi filem aksi luar kerana kita kekurangan modal yang besar. Filem aksi terlibat secara langsung dengan kos, lagi tinggi kos, lagi bagus aksi dapat dibuat. Jadi filem aksi kita hanya untuk pasaran Malaysia sahaja. Untuk bersaing dengan negara luar, kita tiada kapisiti sebab kos. Berbeza dengan filem seram, kita ada khazanah kita. Filem seram Malaysia tidak akan sama dengan filem seram Korea, Thailand dan Jepun. Negara kita ada originality seperti cara ustaz kita dalam menghadapi makhluk halus dan juga cerita seperti ini tidak terdapat dalam filem Hollywood dan negara lain. Ini menyebabkan orang luar berminat untuk menonton filem yang berbeza dengan negara mereka.

Filem seram saya juga sudah ditayangkan di London, Australia dan lain-lain untuk warga Malaysia di sana. Sambutannya sangat menggalakkan dan pawagam sentiasa penuh. Ketika Malaysian Film Week di Singapura berlaku kekecohan apabila penontonnya bergaduh kerana tidak mendapat tempat di pawagam. Ini sesuatu yang membanggakan namun begitu filem seram saya sahaja yang mendapat sambutan tetapi filem lain tidak begitu berjaya.

SM : Bagaimanakah En. Ahmad Idham melihat potensi filem kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

IDHAM : Secara umumnya memang susah untuk kita bersaing di peringkat antarabangsa kerana kita banyak limitation. Kita kena cari kelebihan filem kita, kita tidak boleh pasarkan filem secara general macam tu sahaja. Kita perlu khususkan dulu genrenya dan paling penting pilih untuk pasaran mana dahulu. Kita ada banyak pasaran, negara dunia pertama hingga dunia ketiga. Setiap negara itu berbeza dari segi tahap ekonomi, sosial dan politiknya. Filem untuk pasaran Amerika dan Afghanistan berbeza. Peluang untuk memasarkan di luar negara memang ada tapi kita perlu tentukan pasaran yang mana dan kita perlu ada target. Bagi saya filem seram menjadi pilihan kerana filem seram ada bahasa yang sama di seluruh dunia. Tanpa dialog, penonton seluruh dunia faham ekspresi dan jalan cerita filem seram tersebut. Oleh sebab itu juga beberapa buah filem seram berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Nang Nak dari Thailand, Ju-On dari Korea dan mampu menandingi Hollywood.



Jika mahu membawa filem kita ke luar saya berani mempertaruhkan filem seram. Pelaburan yang besar untuk filem seram mampu membawa Malaysia ke persada dunia dan saya dah melaluinya dengan filem seram saya telah berjaya ke luar negara dalam open market. Itu penentu hala tuju industri filem kita di luar negara. Saya dah berjaya di Brunei, Singapura dan Filipina dan sekarang ini saya tengah cuba untuk menembusi pasaran Indonesia dan Thailand. Walaupun susah saya percaya genre seram tetap boleh menembusi pasaran antarabangsa.

SM : En. Ahmad Idham terus diberi kepercayaan oleh Metrowealth Movie Production dalam mengarah pelbagai genre filem kebelakangan ini. Apakah pandangan En. Ahmad Idham tentang perkara ini.

IDHAM : Saya selalu melihat ini sebagai satu business, satu perkara yang selalu ada dalam diri saya, hormat duit orang. Bila kita diberi peluang dan kepercayaan, orang berani invest atas kemampuan kerja kita sampai berjuta-juta ringgit, bermakna kita perlu memberi yang terbaik. Untung banyak atau sikit itu hak produser dan jika produser tiada duit, kitapun tidak boleh direct. Pengarah memang perlu kayakan produser supaya kita boleh mendapat peluang kedua dan seterusnya. Selagi Metrowealth perlukan khidmat saya sebagai pengarah, saya akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik. Bila saya bersungguh menghasilkan produk, Metrowealth membuat pasaran dan promosi filem dengan bersungguh-sungguh dan ini membuatkan saya yakin dengan Metrowealth. Apa yang penting kerjasama antara kami. Jika David Teo berjaya sebagai produser, Ahmad Idham berjaya berjaya sebagai pengarah. Nama saya naik sebagai pengarah, Excellent Picture juga akan dikenali dan dari situ syarikat saya akan bergerak atas kredibiliti nama kita. Bila kita telah ada nama ia akan menjadi penentu kita mendapat peluang job dari stesyen TV.

SM : Apakah pandangan En. Ahmad Idham tentang konsep 1Malaysia yang telah dilancarkan baru-baru ini. Adakah melalui filem konsep tersebut dapat diterapkan dalam memaparkan perpaduan masyarakat Malaysia.

IDHAM : Saya telah diberi satu amanah untuk membuat dokumentari 1Malaysia. Kita jangan sempitkan pemikiran tentang pengertian tentang 1Malaysia. Apabila sebut 1Malaysia kita terus nampak perkauman sahaja. Terlalu cetek dan pendek tahap pemikiran pembikin filem kalau mentafsir 1Malaysia sekadar tentang Melayu, Cina dan India. Sekadar memenuhi kuota untuk filem mengangkat filem mereka filem 1Malaysia. Bagi saya itu pandangan yang terlalu sempit. 1Malaysia bagi saya adalah sebuah filem yang mempunyai roh dan spirit Malaysia yang membuatkan penonton proud to be Malaysian dan Malaysia tetap nombor satu.



Sebuah filem 1Malaysia sepatutnya memberi impak kepada penonton bahawa saya bangga menjadi warga Malaysia. Bagaimana pelaksanaan itu yang perlu dikupas. Sekarang ini saya sedang membuat dokumentari yang menggambarkan how lucky i am that i was born in Malaysia. Syukur. Ke mana saya pergi saya akan kata Malaysia the best. Kita lihat kejayaan angkasawan kita. Kita tidak kata angkasawan pertama adalah orang Melayu tetapi kita akan sebut orang Malaysia. Nicol David diiktiraf sebagai pemain tenis nombor satu dunia, kita tidak sebut orang Serani tetapi kita akan sebut orang Malaysia. Di mana kita ingin membawa wajah Malaysia kerana ketika zaman P.Ramlee lagi konsep 1Malaysia telah diguna pakai untuk filem-filem terbitannya. Dengan mengaku kita hidup dalam perpaduan kaum yang berpaksikan lima rukun negara kita perlu menghormati antara kaum yang ada. Dalam konteks filem kita kena cari pendekatan yang sesuai. Bukan sekadar mencampak watak Melayu, Cina dan India dalam satu filem. Bagaimana dengan kaum Kadazan, Bajau dan lain-lain etnik yang terdapat di Sabah. Bukankah mereka juga orang Malaysia?

SM : Tahniah kepada En. Ahmad Idham yang dilantik sebagai Ahli Perbadanan FINAS. Sebagai Ahli Perbadanan FINAS yang baru bagimanakah En. Ahmad Idham melihat senario industri perfileman negara ketika ini.

IDHAM : Terima kasih, pada mulanya saya juga terkejut apabila dilantik menjadi ahli Perbadanan FINAS. Sebelum ini saya hanya melihat sebagai practitioner yang melihat FINAS dari luar dan jauh. Apabila menjadi ahli Perbadanan FINAS saya melihat banyak orang luar tidak tahu tentang FINAS dan FINAS tidak nampak apa yang orang industri perlukan. Saya menjadi jambatan untuk merapatkan jurang antara FINAS dan penggiat filem dari peringkat akar umbi. Saya sebagai ahli Perbadanan lebih khusus kepada technicality untuk unit produksi dalam Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC). Saya menjadi pemaklum kepada gambaran sebenar senario industri hari ini yang patut FINAS tahu dan apa pula yang FINAS lakukan yang patut orang industri tahu dan sokong. FINAS dan orang industri perlu dirapatkan bagi menjelaskan sesuatu dasar yang ditetapkan dan cara perlaksanaannya.

0 Bukan tidak buat filem 1malaysia tetapi selalunya idea itu tidak mendapat sambutan dan penerbit tidak berani ambil risiko. Skrip kena baik dulu

18 Mei 2010
MEMAHAMI PERFILEMAN BERKONSEP 1MALAYSIA
GAGASAN 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk membentuk semangat keharmonian dan nasionalisme pelbagai kaum di kalangan rakyat di negara ini. Dalam erti kata lain, semangat itu harus bertunjangkan semangat kekitaan bersama di bumi watan ini untuk saling toleransi dan hormat-menghormati sesama warga negara mengikut hak dan kebersamaan rakyat seperti yang sudah termaktub dalam Perlembagaan serta berganding bahu membangunkan negara tercinta ini biarpun kita berbeza kaum, latar belakang, ideologi politik dan status hidup.

Gagasan ini bukan satu pernyataan politik tetapi atas semangat kenegaraan untuk membawa Malaysia ke mercu lebih berjaya untuk membina kecemerlangan dalam segala aspek membina jati diri dan identiti atas perpaduan kaum meskipun secara realitinya di Malaysia ada pelbagai kaum, sub-etnik dan bahasa serta budaya kehidupan yang berbeza. Gagasan 1Malaysia bukan retorik politik untuk mengadu domba atau satu pernyataan untuk mengajak menyokong kerajaan sebaliknya tiupan angin baru supaya keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini di negara tercinta akan berterusan buat selama-lamanya.

Justeru, kefahaman dan penghayatan terhadap gagasan 1Malaysia dengan slogan – ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ harus bertolak kepada pemikiran, kesedaran dan kebangkitan . Kita harus ingat pada pepatah, kalau menang jadi abu, kalah jadi arang – maka perjuangan berlandaskan kaum untuk memenangi kaum tertentu tidak akan mencapai jalan penyelesaian sebaliknya pemupukan rasa hormat-menghormati itu berasaskan sejarah, kontrak sosial dan kepercayaan yang disemai sejak zaman nenek moyang kita di negara ini harus dipertahankan. Sebab itu ada perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia harus menjadi inti pati kepada gagasan 1Malaysia kerana masing-masing terjamin haknya di negara ini dan ia sudah terbukti hingga menjadikan Malaysia dikagumi kerana rakyatnya yang berbeza kaum mampu hidup penuh sentosa.



Sebab itu 1Malaysia dicetuskan dengan perkataan baru supaya semua warga sedar bahawa perpecahan kaum dan perjuangan yang berteraskan chauvinistik tidak akan membentuk masa depan lebih baik, malah mungkin bertukar menjadi padah jika ada pihak mencabar pihak yang lain. Perpaduan kaum dan semangat muhibbah yang dibina dan disemai sejak negara ini merdeka pada 31 Ogos 1957 harus ditatang bagai minyak yang penuh. Tragedi berdarah yang berpunca daripada semangat perkauman melampau sebagaimana detik 13 Mei 1969 seharusnya menjadi iktibar paling berharga jika kita mahu melihat negara ini sentiasa aman damai dan sentosa. Elemen sensitiviti kaum dan agama, perjudis terhadap hak Bumiputera, mempersoalkan hak bukan Bumiputera serta apa saja yang menjadikan ketegangan antara kaum dan agama boleh membinasakan keharmonian dan keselamatan negara.

Dalam apa saja kegiatan, acara dan pelaksanaan sama ada dasar dan tindakan, kerajaan dan rakyat sedar, ia harus bertindak atas semangat gagasan 1Malaysia. Gagasan ini bukan sekadar untuk memenuhi semangat perpaduan kaum tetapi untuk berkongsi rasa kekitaan dan hak menghormati bersama antara kaum. Melayu mengormati apa yang kaum Cina lakukan, India menghormati apa yang dianjurkan dibuat kaum Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tetap berbangga kerana dihormati oleh kaum lain. Semuanya kerana atas kesedaran untuk saling menghormati selagi terjerumus kepada sensitivity perkauman. Contoh ketara ialah sambutan perayaan mengikut agama apabila masing-masing kaum akan tumpang merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Wesak, Hari Gawai, Good Friday, Thaipusam dan sebagainya.

Begitu juga dalam bidang kesenian dan kebudayaan, masing-masing kaum boleh meneruskan hak mereka dalam bentuk upacara atau produk tradisional mahupun apa saja berkaitan identiti, jati diri, bahasa, budaya, adat mahupun corak pemikiran kaum mereka. Tarian, lagu, muzik, seni pementasan atau apa saja bentuk produk seni budaya termasuk kerja seni filem masih tetap dibolehkan untuk memenuhi kehendak sesuatu kaum itu.

Namun, ada andaian menganggap apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan, perlulah filem dari negara ini harus menterjemahkan konsep 1Malaysia dengan memasukkan watak-wataknya dari tiga kaum utama di negara ini iaitu Melayu, Cina dan India. Memang ia bukan kesalahan dan lebih bagus jika naratif sesebuah filem mampu menggabungkan elemen ini tetapi pada masa sama kita juga harus ingat tidak boleh mengabaikan kaum lain yang juga menjadi penduduk di negara ini terutama kaum peribumi Sabah dan Sarawak ia dikategorikan sebagai Bumiputera. Penduduk Sabah dan Sarawak juga ada hak untuk dimasukkan dalam seni filem jika memberi alasan sebegini tetapi kita harus berbalik kepad keperluan sesebuah filem itu dihasilkan mengikut cerita dan motifnya.

Gagasan 1Malaysia tidak harus disempitkan dengan pemahaman filem Malaysia selepas ini harus berpaksikan wujudnya tiga kaum utama di Malaysia dalam cerita filem yang mahu dihasilkan. Andaian ini terpesong daripada gagasan ini kerana ia seolah-olah menafikan hak kaum lain dan lebih malang, kerja seni filem itu disempitkan dengan teori perpaduan kaum yang mengelirukan.



Filem dalam konteks filem cereka atau drama TV dihasilkan kerana ada tujuan dan nilai moralnya. Filem selalunya bercakap atas nama bangsa dan bangsa yang wujud di negara Malaysia ialah bangsa Malaysia. Ini adalah istilah dari sudut kenegaraan. Dalam sisi lain, filem juga bercakap atas nama bangsa mengikut kaum mengikut kefahaman keturunan etnik yang wujud di negara ini – tidak kira asalnya sebagai peribumi atau pendatang - kerana ia adalah inti pati kesusasteraan, cerminan sosial, rakaman budaya dan ekspresi pemikiran serta luahan emosi terhadap sesuatu bangsa. Bangsa mengikut keturunan seperti Melayu berhak menghasilkan filem Melayu, keturunan Cina berhak menerbitkan filem Cina, keturunan India juga berhak menghasilkan filem Tamil. Begitu juga jika ada kaum Sikh atau keturunan Kadazandusun mahupun apa saja ethik di Sabah dan Sarawak mahu menghasilkan filem berteraskan keturunan mereka, ia masih dibolehkan kerana filem itu bebas bercakap sebagai suara anak bangsanya.

Jika disempitkan pemahaman filem harus ada tiga watak - Melayu, Cina dan India sebagai kaum dalam filem, ia bukan saja tidak diterima sebagai satu kerja seni yang bebas untuk setiap bangsa itu mengutarakan topik mengenai tokoh, budaya, latar kehidupan dan proses sosialisasi sesuatu kaum itu malah zalim untuk menafikan kerja filem itu sebagai sebuah kerja seni yang bertindak sebagai perakam budaya sesuatu bangsa mengikut etnik, bahasa dan keturunan.

Bagi industri perfileman atau penyiaran, hak kaum utama seperti Melayu, Cina dan India tetapi diberi peluang untuk menghasilkan kerja filem dalam lingkungan budaya, bahasa dan corak pemikiran mereka. Namun, realitinya dari dulu hingga kini filem yang dihasilkan dalam bahasa Melayu, yang kebanyakannya dilakonkan dan berkisar masyarakat Melayu sering mendapat perhatian dari segi pasaran. Bukan tidak ada filem tempatan dalam bahasa Tamil atau Mandarin. Bukan tidak ada filem mengenai masyarakat Cina dan India atau kaum lain tetapi selalunya filem daripada etnik ini sering gagal mendapat sambutan di pasaran dan ramai pihak tidak berani membuat pelaburan untuk tujuan berkenaan.

Faktor utamanya ialah kerana konflik kepercayaan itu sendiri. Dari segi tinjauan, memang kita dengan jelas melihat sokongan kaum lain terutama bukan Melayu lebih terdorong kepada filem import. Bukan saja filem Hollywood tetapi senario ini ketara seperti masyarakat Cina di Malaysia masih berkiblatkan filem dari Hong Kong, China mahupun Taiwan, manakala penduduk India di negara ini masih mengagungkan filem Tamil dan seumpamanya dari India. Hakikat ini bukan berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini malah inilah tradisi dan budaya kepenontonan filem di pawagam yang berlaku sejak sebelum negara ini merdeka.

Bukan tidak ada cubaan beberapa produser mahupun pengarah memasukkan elemen rakyat pelbagai kaum di negara ini dalam filem tetapi selalunya tujuan ini sering gagal dari segi pasaran dan penerimaan masyarakat keseluruhannya. Sejak zaman P Ramlee lagi sudah ada kesedaran pada Seniman Agung itu untuk menghasilkan filem berteraskan semangat perpaduan kaum dalam filem dengan memuatkan elemen watak utamanya berbangsa Melayu, Cina dan India seperti filem Gerimis (1968 – Studio Merdeka) dan Sesudah Subuh (1966 – Studio Merdeka).

Sepanjang alaf baru sejak tahun 2000, memang ada usaha daripada pengarah bukan Melayu menghasilkan filem cereka yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil tetapi malangnya filem mereka diabaikan oleh kaum Cina dan India di negara ini. Meskipun filem terbabit sering dicanangkan menang di festival filem antarabangsa, ia tidak mampu untuk menjerat masyarakat bukan Melayu untuk menyokong kehadiran filem tempatan yang bukan berbahasa Melayu.

Usaha seperti Yasmin Ahmad memuatkan filem dengan alasan filem untuk semua kaum seperti Sepet, Gubra dan Talentime mahupun Mualaf, hakikatnya ia sekadar retorik kerana apa yang dihasilkan itu bukan contoh terbaik imej 1Malaysia atau memenuhi konsep filem perpaduan kaum – malah tidak mendapat sambutan baik di pawagam - kerana cerita yang dipaparkan menerusi karya Yasmin seolah-olah satu artificial, dibuat-buat dan klise. Skop cerita disempitkan dengan gambaran jika hendak melihat perpaduan kaum dan agama, ia harus ada watak Melayu bercinta dengan watak Cina atau India. Pemikiran ini sempit dan terkongkong dengan kefahaman jika menghasilkan filem yang ada elemen kaum, ia harus bertunjangkan aspek cinta antara dua insan yang berbeza kaum dan agama. Ini sama juga seperti mana sentuhan P Ramlee menerusi Sesudah Subuh dan Gerimis – hampir 40 tahun yang lalu!

Kita harus faham, bahawa gagasan 1Malaysia itu masih membenarkan apa saja filem dibuat atas nama bangsa mengikut keturunan masing-masing. Ia boleh dihasilkan dengan baik untuk memenuhi kehendak dan selera sesiapa saja yang menontonnya selagi tidak melanggar sensitivity dan mengikut peraturan ditetapkan. Filem menggunakan bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan adalah simbolik bahawa filem Melayu diterima baik oleh masyarakat di negara ini sejak dulu lagi, waima sejak sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Kita boleh merenung semula kenapa filem Melayu yang muncul sejak 1933 berterusan boleh hidup dan terus bernafas sehingga ke hari ini.

Jika dulu negara ini bukannya berbahasa Kebangsaan kerana ia berada di bawah penjajahan British tetapi tauke filem dari Hong Kong dan pengarah filem yang dibawa dari India menghasilkan filem berbahasa Melayu – mendapat sambutan dan mencipta survival filem Melayu hingga mencetuskan suasana zaman kegemilangan filem Melayu pada era 1950-an dan 60-an. Ketika itu juga penggunaan bahasa Ingeris lebih dominant dalam urusan rasmi seharian dengan kerajaan Inggeris dan penggunaan bahasa Mandarin lebih menguasai ekonomi menerusi peniaga Cina yang mendominasi dan memonopoli kegiatan perniagaan di bandar dan pekan utama di negara ini terutama Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan bandar-bandar lain.

Seperti juga filem arahan Afdlin Shauki yang memuatkan elemen perpaduan kaum yang lebih natural dan jujur menerusi karyanya, Papadom dan Buli Balik, ia lebih realistik meskipun bahasa pengantarnya ialah bahasa kebangsaan – bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Ada andaian untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk filem tempatan kerana alasan ia lebih bersifat universal dan boleh memberi jaminan ke pasaran antarabangsa. Teori ini selalunya diputar-belitkan dan belum terbukti filem Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya atau lebih separuh isi filemnya mampu mencapai sambutan di pasaran luar negara. Kita lihat apa yang berlaku terhadap filem The Red Kebaya serta banyak lagi filem - filem lain terutama daripada sentuhan pengarah muda atas nama generasi karyawan filem indie tetap belum dapat membuktikan secara meyakinkan mengenai teori ini. Begitu juga filem Hikayat Merong Mahawangsa (2009) yang dikatakan menggunakan lebih 80 peratus dialognya dalam bahasa Inggeris untuk tujuan pemasaran di luar negara. Kita tunggu dan lihat sejauh mana filem arahan Yusry KRU itu boleh mencipta sejarah baru? Atau, mungkin kelak terpaksa juga menggigit ibu jari!

Untuk kepentingan bersama atas nama sinema nasional, filem Malaysia harus juga berpaksikan kepada hakikat dan realiti di negara ini. Jika negara jiran lain yakin dengan bahasa rasmi negara masing-masing untuk menghasilkan filem atas semangat bahasa kebangsaan mereka - maka seni filem juga boleh membantu untuk membentuk semangat perpaduan atas nama kaum dan agama. Memang tugas filem bukan untuk mempromosikan bahasa tetapi sekurang-kurangnya atas semangat 1Malaysia – perpaduan kaum itu boleh dicetuskan dengan semangat murni menerusi penggunaan bahasa kebangsaan. Selain bahasa kebangsaan, elemen seperti falsafah Rukun Negara juga harus diterapkan dalam filem Malaysia meskipun apa saja cerita yang dipaparkan. Konsep perpaduan, integrasi nasional, masyarakat majmuk dan kebebasan berkarya dengan menghormati sikap antara kaum yang ada mampu menjadikan filem di Malaysia lebih bertanggungjawab bukan saja kepada pengkarya tetapi untuk masyarakat dan negara. Gagasan 1Malaysia harus diterjemahkan dengan kesedaran bahawa filem meskipun berkisarkan budaya dan pemikiran yang berbeza tetapi ia menyatu dan mengakrabkan hubungan rakyat di negara ini.

Filem tetap berdiri dengan sendirinya selagi ia mendapat sokongan daripada masyarakat dan selagi ia dekat di hati mereka – meskipun apa saja alasan diberikan. Filem Melayu boleh mendapat sokongan bukan Melayu, filem Cina dan India tempatan juga boleh memikat bangsa Melayu dan etnik lain selagi apa yang dipaparkan itu memenuhi cita rasa dan titik pemikiran dan spiritual yang bersatu sebagai produk yang memberi kesan ermosi dan menghiburkan. Mampukah perfileman kita era baru mampu memenuhi kehendak ini?

0 Senarai tajuk filem di pawagam untuk panduan menulis skrip dalam bidang ini

13 Mac 2010 : Harian Metro

Industri Filem Makin Galak
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Industri perfileman tanah air menunjukkan peningkatan sepanjang 2009 bukan hanya menerusi peningkatan jumlah filem dihasilkan, malah kegigihan karyawan meneroka pelbagai genre untuk tatapan penonton. Jika tahun sebelumnya penghasilan filem cereka banyak tertumpu kepada kelompok genre seram, komedi dan cinta, kini muncul genre berbeza.

Karyawan kita membuktikan mampu menghasilkan filem dengan teknologi moden penggunaan imej janaan komputer (CGI) selain minat yang ditunjukkan produser baru yang melihat industri filem mempunyai masa depan yang cerah. Jika 10 tahun lalu penonton hanya berpeluang menyaksikan tidak sampai 10 judul filem Melayu setahun, kini jumlahnya bertambah hampir lima kali ganda. Pada 2009 saja, 26 filem tempatan ditayangkan bermula dengan Maut pada 15 Januari, diakhiri dengan Duhai Si Pari-Pari pada 31 Disember. Filem Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les' Copaque mencatat sejarah bukan saja kerana penggunaan CGI, malah kejayaannya mencatat kutipan lebih RM6.2 juta.

Filem lain yang turut mendapat sambutan ialah Jangan Pandang Belakang Congkak ( RM6.1 juta) dan Bohsia: Jangan Pilihan Jalan Hitam (RM4 juta). Filem Papadom terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan sebuah lagi produk MIG Production, Jangan Tegur turut melakar kejayaan tersendiri apabila masing-masing memungut lebih RM3 juta manakala tujuh judul lain memberikan sedikit keuntungan kepada produser apabila mereka berjaya mengaut lebih RM2 juta sewaktu tayangan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim berkata perkembangan baik yang dapat dilihat dari industri perfileman tempatan melalui jumlah filem dihasilkan, kutipan mahupun panggung yang menayangkan filem berkenaan. "Tahun 2010 mungkin menyaksikan sehingga 30 judul filem tempatan ditayangkan kepada penonton, manakala penambahan jumlah panggung terutama di pantai timur akan menyemarakkan lagi sambutan orang ramai terhadap filem keluaran syarikat tempatan. "Kami harap perkembangan ini akan berterusan dari semasa ke semasa ke arah memperkasakan filem tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya.

Bagi pengarah, Azizi Chunk Adnan perkembangan industri filem tanah air melihatkan petanda positif dengan wujudnya pelbagai genre baru yang mampu memberi variasi pilihan kepada peminat seni tempatan. "Perkembangan dunia seni tanah air nampak semakin baik dari segi wujudnya penghasilan genre baru. Macam-macam bentuk cerita dihasilkan. Bukan seperti suatu masa dulu terikat kepada satu genre semata-mata iaitu cinta atau seram saja. Kalau kita lihat pembikin filem kini berani menghasilkan genre baru seperti komedi penyiasatan, seram komedi, drama dan lawak slapstik.

"Saya yakin pembikin filem tempatan kini semakin berani menuju ke arah satu cerita yang seakan-akan siri filem cakera ala Hollywood. "Justeru keberanian pembikin filem dalam mencuba menghasilkan sesuatu genre baru perlu diberikan galakan dan sokongan. Pada saya sebagai pembikin filem kita tidak dapat melakukan sesuatu benda jika tidak mencuba," katanya. Secara kasar, pungutan keseluruhan bagi tahun ini berjumlah hampir RM50 juta.

Jumlah itu mengatasi catatan RM43.93 juta yang dilakukan pada 2008. Pada tahun hadapan, dengan jumlah judul hampir sama bakal menemui penonton, pungutan lebih baik dijangka mampu dicapai apabila lebih banyak panggung dibuka. Pembukaan kira-kira enam lagi panggung wayang terutama di wilayah pantai timur yang selama ini ketandusan hiburan dalam bentuk filem, pasti menambah jumlah penonton filem. Sehingga Oktober lalu, sebanyak 98 pawagam beroperasi di negara ini yang menyediakan 489 skrin serta 96,700 kerusi buat kaki filem.

Bagi mengatasi judul antarabangsa seperti filem dari Hollywood dengan bajet ratusan juta ringgit seperti 2012, Transformers dan Avatar mungkin masih menjadi mimpi buat kita. Tetapi, dengan hidangan judul lebih baik, dari segi cerita, kerja teknikal dan genrenya, maka tidak mustahil peluang untuk mencuri perhatian penggemar filem. Jika Geng dan Jangan Pandang Belakang Congkak mampu melakukannya, tiada alasan untuk filem tempatan lain menyerah kalah. Kerjasama lebih erat perlu diperbanyakkan antara pelabur dengan pembikin filem supaya judul lebih menyerlah dapat dihasilkan.

Bagaimanapun, sikap pelabur yang beriya-iya ingin membabitkan diri dalam dunia perfileman, sepatutnya mencari pembikin yang bagus dan bervisi. Dalam sesetengah kes, duit yang dilabur tidak ke mana apabila filem gagal di pasaran dek ketidakupayaan pembikin, yang datang entah dari mana, merealisasikan impian mereka. Malah, ada juga sesetengah pembikin filem mempunyai impian menggunung, tetapi tidak mempunyai dana yang cukup. Lalu, projek filem yang dimulakan akhirnya tersadai.

Antara filem yang gagal memberi keuntungan kepada produser kerana mencatat kutipan kurang dari RM500,000 ialah Sayang U Can Dance, Talentime dan Muallaf. Paling menyedihkan apabila ada filem sekadar mencatat kutipan sekitar RM30,000 seperti Lembing Awang Pulang Ke Dayang terbitan Dayang Digital Sdn Bhd dan Pulau Asmara (Alakazam Production Sdn Bhd). Apa yang lebih penting ketika ini setiap pembikin filem perlu berusaha ke arah meningkatkan mutu penghasilan filem tempatan.

Sebagai pembuka tirai 2010, filem Adnan Sempit mula ditayangkan di pawagam mulai 14 Januari diikuti 2 Hati 1 Jiwa (28 Januari), Lu Fikirlah Sendiri De Movie (11 Februari), Niyang Rapik (25 Februari) manakala pada 11 Mac dua filem ditayangkan serentak sempena cuti sekolah iaitu V3: Samseng Jalanan dan Magika manakala KL Drift 2 pada 25 Mac. Filem lain yang memohon untuk tayangan 2010 ialah Semerah Cinta Stilleto (8 April), Hooperz (22 April) dan Belukar (6 Mei).

Turut menunggu giliran untuk tayangan tahun depan ialah Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Estet, Senario Asam Garam, Mentera, Aku Masih Dara, Misteri Dendam Balan-Balan, Shh...Dia Datang, Janin, Hilang, Eee.. Hantu, Kantoi, Gentayangan, Seremmm..., Brave (Berani Punya Budak), Jibam The Movie, Taiko, Kecoh Betul, Kapoww!!, Syirik, Johnny Bikin Filem dan Dimensi Cinta.

Kutipan Filem Cereka 2009

Judul Filem/Tarikh tayangan/Kutipan kasar (RM)

Maut/ 15 Januari/1.60 juta
Sifu & Tongga/29 Januari/2.57 juta
Geng: Pengembaraan Bermula/12 Februari/6.20 juta
Rasukan Ablasa/26 Februari/0.82 juta
Jin Hutan/12 Mac/0.23 juta
Sayang You Can Dance/12 Mac/0.37 juta
Talentime/ 26 Mac/0.42 juta
Jangan Tegur/9 April/3.42 juta
Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam/23 April/4.14 juta
Sell Out?/7 Mei/0.16 juta
Syurga Cinta/21 Mei/2.38 juta
Jangan Pandang Belakang Congkak/4 Jun/6.09 juta
Skrip 7707/16 Julai/1.91 juta
Setem/30 Julai/1.27 juta
Jin Notti/20 September/2.05 juta
Momok The Movie/20 September/2.10 juta
Pappadom/8 Oktober/3.40 juta
Lembing Awang Pulang Ke Dayang/22 Oktober/0.09 juta
Pisau Cukur/5 November/2.30 juta
Senario The Movie Episode 2: Beach Boys/19 November/3.10 juta
Jalang/26 November/0.68 juta
My Spy/3 Disember/1.20 juta
Pulau Asmara/17 Disember/0.03 juta
Santau/ 10 Disember/3.36 juta
Muallaf/ 24 Disember/0.04 juta
Duhai Si Pari Pari/31 Disember

Filem untuk 2010

Judul filem/Tarikh

1. Adnan Sempit - 14 Februari
2. 2 Hati 1 Jiwa - 28 Januari
3. Lu Fikirlah Sendiri De Movie - 11 Februari
4. Niyang Rapik - 25 Februari
5. V3: Samseng Jalanan - 11 Mac
6. Magika - 11 Mac
7. KL Drift 2 - 25 Mac
8. Semerah Cinta Stilleto - 8 April
9. Hooperz - 22 April
10. Belukar - 6 Mei