.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, July 30, 2010

0 Perkahwinan bukan seperti cerita cinderella

Sumber:
http://www.rehal-centre.com/index.php?option=com_content&view=article&id=55:perkahwinan-ala-laila-majnun-tidak-relevan&catid=36:keluarga&Itemid=11


Perkahwinan ala Laila Majnun tidak relevan

Hari jumaat yang lalu, saya ada terbaca satu artikel menarik mengenai isu ini di Berita Harian online yang saya rasakan patut dikongsi bersama di ruangan ini meskipun ia tiada kaitan dengan pendidikan anak-anak. Selamat membaca

Kajian 2006 menunjukkan ada paradigma baru di kalangan gadis dalam memilih pasangan hidup sesuai

WANITA sekarang semakin bersifat kebendaan. Mereka juga dikatakan malas berusaha untuk memiliki kesenangan hidup hanya kerana sanggup memilih lelaki berusia yang berharta sebagai pasangan hidup. Malah, ada yang menganggap perkahwinan tanpa berlandaskan cinta itu tidak akan kekal kerana hanya berdasarkan kebendaan dan bukannya cinta seperti yang sepatutnya apabila sesuatu pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Persoalannya kini, mampukah perkahwinan yang berlandaskan cinta berkekalan hingga ke anak cucu? Berdasarkan senario hari ini, semakin ramai pasangan yang baru berkahwin akur dengan suratan takdir apabila perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka itu berkecai di tengah jalan. Malah, ada usia perkahwinan yang baru mencecah lima bulan, tetapi sudah pun melafazkan talaq.

Pensyarah Psikologi di Kolej Universiti Help, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata perkahwinan ala Laila Majnun yang sanggup sehidup semati demi cinta tidak lagi relevan pada zaman ini berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi, selain perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih berpaksikan kebendaan.

Beliau berkata, perubahan itu secara tidak langsung membentuk satu pemikiran baru di kalangan wanita untuk memilih lelaki yang stabil sebagai teman hidup.

“Lazimnya, dalam keadaan hari ini cinta tidak boleh bertahan lama. Terlalu banyak dugaan yang terpaksa dilalui apabila mendirikan rumah tangga. Kita lihat hari ini apa saja yang kita lakukan memerlukan duit. Nak makan, duit. Berjalan sedikit pun guna duit. Apa tah pula membesarkan anak pada zaman moden ini memerlukan wang yang banyak.

“Jadi, pasti wanita hari ini terutama yang berpendidikan tinggi ingin mencari teman hidup yang mampu memberikan beliau kesenangan. Siapa yang hendak hidup susah hanya kerana cinta dengan lelaki yang tidak bekerja dan hidupnya tiada arah tujuan,” katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai kecenderungan wanita memilih lelaki berusia yang berharta sebagai teman hidup (16 Februari 2007), baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan terhadap 1,050 pelajar wanita IPT berusia antara 21 hingga 28 tahun itu mendapati 65 peratus memilih lelaki berharta pada peringkat usia 40 hingga 50 tahun sebagai teman hidup, manakala 12 peratus lagi menyatakan kesediaan mengahwini lelaki berharta pada peringkat usia 51 hingga 60 tahun.

Sejak kajian itu dilaporkan, pelbagai reaksi diberikan. Ada yang menganggap kajian berkenaan tidak relevan, tetapi ramai juga yang melihat dari sudut positif bahawa kajian berkenaan satu penanda aras perubahan dalam sosio budaya masyarakat. Ini jelas dilihat pada perubahan usia berkahwin di kalangan wanita yang secara tidak langsung mencerminkan perubahan struktur masyarakat.

Pada era sebelum negara merdeka, perkahwinan lazimnya membabitkan jodoh yang ditentukan ibu bapa. Ketika itu, usia berkahwin bagi wanita adalah seawal 13 tahun sebaik saja sudah mencapai akil baligh dengan teruna yang berumur lewat belasan tahun. Menerusi perkahwinan itu, kebiasaannya mereka mempunyai jumlah anak yang ramai, misalnya 10 orang.

Pasca merdeka, usia berkahwin bagi gadis menginjak kepada lewat belasan tahun, manakala lelaki pula berusia 20-an. Perkahwinan itu membawa kepada jumlah kelahiran yang semakin menurun iaitu dengan purata enam anak.

Bagaimanapun, pada 1980-an berlaku lagi perubahan pada struktur masyarakat apabila usia berkahwin bagi wanita ialah 20-an, manakala lelaki juga 20-an dengan perbezaan umur yang tidak begitu ketara. Perubahan itu disebabkan semakin ramai wanita yang melanjutkan pelajaran ke menara gading sehingga mereka menangguhkan perkahwinan.

Pada penghujung alaf lalu, berlaku satu lagi perubahan apabila semakin ramai wanita yang berkahwin pada usia lewat 20-an atau awal 30-an demi perkembangan kerjaya. Usia pasangan mereka juga menginjak kepada 30-an, sekali gus menyaksikan semakin ramai pasangan mempunyai anak pada usia yang agak lewat. Akibatnya, jumlah anak yang dimiliki sesebuah keluarga juga semakin mengecil iaitu antara dua atau empat anak.

Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan satu aliran pula apabila semakin ramai gadis berusia 20-an mengahwini lelaki yang berusia lewat 30-an atau 40-an. Meskipun jarak umur yang begitu ketara sehingga ada suara sinis yang mengatakan bagai anak dan bapa, perkahwinan dua generasi itu sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini.

Sehubungan itu, Prof Noran berkata, jika kajian berkenaan diambil sebagai realiti kecenderungan wanita hari ini dalam memilih teman hidup, kita akan melihat satu perubahan struktur masyarakat yang baru.

“Kajian berkenaan menunjukkan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Kita lihat di kebanyakan IPT sekarang, lebih ramai pelajar wanita berbanding lelaki, 60 peratus wanita berbanding 40 peratus lelaki. Jika wanita sudah berpendidikan tinggi, tentu mereka juga hendak mencari pasangan yang setaraf. Tetapi dengan ratio perbandingan pelajar itu tidak semua yang dapat mencari pasangan sebaya di kampus.

“Jadi, lazimnya mereka akan bertemu dengan lelaki di luar kampus iaitu apabila mereka bekerja. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka bertemu dengan lelaki yang berusia dan pada usia berkenaan, biasanya lelaki itu sudah mempunyai kedudukan yang kukuh,” katanya.

Lazimnya perkahwinan sebegitu menyebabkan bilangan anak turut berkurangan iaitu antara satu atau dua anak kerana suami yang sudah meningkat usia beranggapan sudah terlalu tua untuk menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari satu aspek mungkin kecenderungan wanita memilih lelaki berusia dan berharta itu disebabkan kelemahan lelaki sendiri. Sikap lelaki muda yang dikatakan panas baran dan tidak memahami berbanding lelaki berusia menyebabkan wanita mudah jatuh cinta kepada lelaki yang matang.

“Mungkin ramai yang mengatakan wanita memilih lelaki berusia ini hanya bermotifkan harta. Tetapi, kita perlu ingat lelaki berumur ini lazimnya banyak pengalaman, mereka lebih memahami dan romantis menyebabkan wanita mudah jatuh cinta walaupun hakikatnya lelaki itu bagaikan bapa.

“Lelaki muda pula mungkin tidak matang, malah peningkatan perceraian di kalangan pasangan yang baru berkahwin menyebabkan wanita hari ini merasa tidak selamat untuk bersama lelaki yang sebaya. Lagipun, secara fisiologi, fizikal mahupun psikologi, wanita tiga tahun lebih cepat berkembang berbanding lelaki. Maknanya wanita lebih matang daripada lelaki sebayanya,” katanya.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, masyarakat tidak perlu cepat melatah apabila laporan sebegitu didedahkan kerana setiap universiti atau pensyarah lazimnya menjalankan pelbagai jenis kajian berdasarkan pengkhususan dan keperluan, bukan memilih sesuatu topik yang glamor semata-mata.

Pada masa sama, katanya, perkembangan terbaru itu harus dilihat sebagai cabaran bagi wanita yang sudah berusia. Laporan itu mungkin menggambarkan berlaku peningkatan kes poligami atau perceraian di kalangan pasangan sudah berusia berikutan si suami jatuh cinta dengan gadis yang lebih muda, tetapi wanita tidak harus berasa tergugat.

Apa yang penting, katanya, pastikan layanan terhadap suami tidak berbelah bagi kerana suami tidak mungkin terfikir untuk mencari yang lain jika sudah mempunyai rumah tangga yang stabil.

Pada masa sama, gadis muda pula janganlah hanya kerana ingin menikmati kemewahan segera sehingga sanggup meruntuhkan rumah tangga wanita lain. Bak kata orang, jangan mendirikan kebahagiaan di atas penderitaan wanita lain.

Alasan responden yang memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup (65 peratus memilih lelaki pada peringkat usia 40-50 tahun, manakala 12 peratus memilih lelaki peringkat usia 51-60 tahun)



Masa depan dan kerjaya wanita tidak dapat dijangkakan.

Perlukan keselamatan dan jaminan masa depan.

Tidak perlu bekerja keras.

Hidup tidak pernah susah.

Hidup susah dan ingin merasa kesenangan hidup.

Tidak yakin diri dan perlukan sokongan lelaki berusia dan berharta.

Cara hidup zaman moden yang tidak kisah mengenai pemilihan lelaki berusia asalkan berharta.

Tidak salah dalam pilihan itu asalkan bahagia.

Tekanan hidup dan desakan kewangan.

Membantu keluarga.

Dapat hidup mewah dan impian menjadi kenyataan.

Mencari kasih sayang sejati.

Sudah jodoh apa hendak dikata.

Cinta lelaki berusia meyakinkan, cinta lelaki muda menyakitkan.

Lelaki berusia matang dalam pemikiran dan komunikasi.

Bijak berkata-kata dan boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik.

Romantik dan sensitif dengan perasaan wanita.

Sabar melayan kerenah wanita.

Tidak lokek berbelanja.

Suka berjenaka dan banyak cerita yang melucukan.

Komited terhadap pekerjaan dan masa depan.

Bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Wanita tidak perlu kerja keras mencari duit.

Hendak menunjuk bahawa mereka mampu menarik golongan kaya menjadi pasangan hidup.

Dapat menyertai golongan elit dan ada kelas tersendiri.

Hidup masa kini berfokuskan duit dan bukan semata-mata kasih sayang.

Cinta boleh dipupuk dalam perkahwinan.

Alasan responden yang tidak memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup mereka (10 peratus responden menyatakan TIDAK bagi pemilihan lelaki berumur)


Jarak usia terlalu jauh akan menyusahkan diri sendiri.

Gaya hidup dan cita rasa berbeza.

Tidak selari dengan kehendak dan keperluan wanita muda.

Mudah cemburu dengan lelaki muda yang menjadi sahabat wanita muda.

Komunikasi berkesan tidak akan berlaku kerana jarak usia.

Tidak menghiburkan dari aspek sosialisasi.

Tidak membahagiakan.

Kehidupan dalam perkahwinan hanya rutin dan akan membosankan.

Tidak ceria dalam pergaulan dan dunia sosial.

Tidak meyakinkan sama ada lelaki itu akan setia pada wanita.

Pergaulan lelaki berkaitan luas dan membimbangkan.

Takut dipergunakan untuk tujuan perniagaan lelaki berkaitan.

Bimbang dengan pandangan masyarakat.

Malu untuk memperkenalkan suami pada kawan.

Tidak dapat menerima dan bergaul dengan golongan berusia.

Tidak memandang harta sebagai objektif utama dalam hidup.

Memilih hidup yang ceria, kreatif dan inovatif. Tetapi golongan lelaki berusia dan berharta itu tidak dapat memenuhi kehidupan seperti itu.

Nota: kajian dilakukan Dr Rusinah Siron dan Sabariah Siron (2006)

0 Tempat pengkarya kreatif berkumpul dan berkongsi ilmu pengetahuan

Karya kreatif di alam maya

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



KAPASITOR dibangunkan untuk penggiat karya kreatif seperti penulis, pelukis, penggubah lagu dan pemain muzik.



KEBANYAKAN orang tidak menyedari sisi kreatif di dalam diri kerana ia tidak pernah diterokai. Banyak faktor menyebabkan kreativiti itu terbantut begitu sahaja, salah satunya adalah kerana tiada medium untuk mengembangkan karya-karya kreatif itu.

Selain keterbatasan peluang menerbitkan karya kreatif, kos yang terlalu tinggi juga sering kali menjadi penghalang kepada usaha memahirkan bakat tersebut.

Lantaran itu, seorang anak muda membangunkan sebuah laman web www.kapasitor.net pada awal tahun 2001 untuk dijadikan platform kepada penggiat karya kreatif mengenengahkan bakat terpendam mereka.

Pengasas dan Ketua Arkitek Kapasitor, Muhammad Johari Rahmad, 28, berkata, Kapasitor adalah sebuah laman jaringan sosial dan platform terbaik kepada orang ramai untuk menajamkan kemahiran penulisan puisi, cerpen serta novel mereka.

"Kapasitor dibangunkan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai berkarya dengan lebih bebas dengan melontarkan idea-idea bernas mereka kepada umum di alam maya.

"Memandangkan Kapasitor merupakan sebuah laman jaringan sosial, hasil karya yang dihasilkan mereka dapat dilihat dengan lebih meluas," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Selain penulisan kreatif, Muhammad Johari menambah, Kapasitor juga memberi peluang kepada orang ramai mengembangkan bakat dalam seni visual dan muzik.

Antara seni visual yang boleh dimuat naik dalam Kapasitor termasuk lukisan komik, lakaran, fotografi, seni halus, reka bentuk grafik dan banyak lagi.

"Kami juga tidak mengenepikan bakat-bakat penggubah lagu terpendam di negara ini dengan menyediakan platform kepada mereka berkarya dalam Kapasitor," katanya.

Ujar Muhammad Johari, laman web itu menawarkan tiga bahasa dalam penghasilan karya kreatif iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia.



MUHAMMAD Johari (kiri) boleh berbangga kerana idea dan kesungguhannya membangunkan Kapasitor diiktiraf dunia.



Katanya, dia merasakan pelbagai bahasa yang digunakan dalam Kapasitor mampu memeriahkan pembikinan karya kreatif di laman web berkenaan.

"Dalam pada itu, kami juga memberi peluang kepada pembaca untuk melontar komen-komen terhadap sesuatu karya kreatif yang terdapat di laman web berkenaan.

"Pendekatan itu diharap dapat membantu penggiat karya kreatif alam maya, memperbaiki dan menajamkan lagi kemahiran mereka dalam berkarya dengan mudah serta pantas," katanya.

Tiada caj ahli

Menariknya tentang laman jaringan sosial Kapasitor itu adalah ia terbuka kepada sesiapa sahaja dan tiada bayaran dikenakan kepada mereka yang ingin menjadi ahli.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Aplikasi dan Animasi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya itu menambah, Kapasitor sudah mempunyai 3,000 ahli yang bergiat aktif dalam melontarkan dan berkongsi karya kreatif mereka.

Katanya, kelebihan menjadi ahli di laman Kapasitor adalah mereka boleh menggunakan gajet seperti Facebook, Twitter dan Google.

"Dengan menawarkan kemudahan ini, pengguna yang menggunakan laman Kapasitor boleh mengikuti perkembangan semasa ahli yang berkarya dalam laman dengan mudah dan pantas.

"Sebagai contoh, jika menggunakan gajet Google ahli-ahli akan menerima e-mel mengenai kegiatan ahli lain atau pun karya terbaru yang dimuat naik dalam Kapasitor.

Selain itu, katanya, apabila menggunakan gajet Facebook dan Twitter juga mereka boleh berkomunikasi dengan lebih terperinci serta rapat dengan ahli-ahli lain.

Ujar dia lagi, mereka yang tidak menjadi ahli juga boleh mengakses ke laman web berkenaan untuk membaca hasil karya kreatif.



DENGAN lebih 3,000 orang ahli, Kapasitor menjadi platform sihat untuk golongan muda beraktiviti.

--------------------------------------------------------------------------------


Katanya, dia tidak membataskan kepada ahli sahaja kerana sasaran utama laman web itu dibangunkan adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam penghasilan karya kreatif.

"Saya mendapati tidak semua orang yang mempunyai keyakinan diri apabila berdepan secara bersemuka untuk mengetengahkan hasil karya kreatif mereka.

"Menggunakan platform alam maya ini, ia banyak membantu khususnya mereka yang berbakat besar tetapi mempunyai perasaan malu atau segan untuk mempersembahkan hasil karya mereka," katanya.

Hak intelek

Ujar Muhammad Johari lagi, laman web Kapasitor juga menitik beratkan isu hak cipta intelek ahli-ahli yang berkarya.

Katanya, mereka yang menaik turun hasil karya dalam Kapasitor boleh menggunakan Creative Commons untuk menjaga hak intelek karya kreatif tersebut.

"Kita bukan sahaja ingin mengenengahkan bakat-bakat baru yang terpendam dalam menghasilkan karya kreatif tetapi mendedahkan tentang kepentingan hak mereka.

"Sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui bahawa hasil karya kreatif mereka boleh dilindungi. Dengan adanya Creative Commons ia dapat membantu mereka menghormati dan menghargai hak orang lain," katanya.



MELALUI Kapasitor seseorang bukan sahaja memahirkan bakat kreativiti malah, meningkatkan keyakinan diri di depan khalayak.



Dalam pada itu, Muhammad Johari menambah, Kapasitor juga mempunyai sidang redaksi yang akan mengumpulkan karya-karya penulisan kreatif terbaik untuk dibukukan dalam majalah elektronik iaitu Prasasti.

"Pengumpulan hasil karya-karya terbaik ini akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga bulan untuk dijadikan bahan dalam Prasasti.

"Majalah elektronik yang dibukukan dalam format PDF boleh dimuat turun pada bila-bila masa sahaja mengikut kehendak pengguna," katanya.

Dia menambah, idea untuk membukukan hasil karya kreatif tersebut lahir kerana terdapat pengguna yang terlepas untuk membaca penulisan kreatif di laman web berkenaan.

Katanya, majalah elektronik ini memberi kebebasan kepada mereka untuk membaca hasil karya terbaik mengikut kesesuaian waktu dikehendaki.

Apa yang pasti, Muhammad Johari juga boleh berbangga kerana hasil cetusan ideanya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah e-Culture World Summit di Venice, Itali pada tahun 2007.

Dia berkata, anugerah berkenaan merupakan pemangkin kepada dirinya untuk terus membantu penggiat karya kreatif dalam mengembangkan bakat mereka di alam maya.

Bagaimanapun, dia menambah, pengiktirafan tersebut tidak mungkin tercapai jika tidak mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), ahli keluarga dan rakan-rakan.

Menyentuh mengenai hala tuju Kapasitor, dia berkata, pihaknya sedang berusaha melaksanakan pelbagai bengkel untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli.

1 Asalnya dari keluarga susah. Apabila wang bukan halangan, bisnes keluarga dalam perancangan.

Kerana keluarga


2010/07/29

HAKIKATNYA dia tidak akan beraksi pada kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan namun ia tidak menghalang Yaya Toure untuk menyertai Manchester City dalam kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.



Realitinya ia lebih mudah. Benar, bayaran perpindahan sebanyak STG30 juta (RM149 juta) untuk muncul sebagai pemain pertama dalam EPL yang menerima gaji sebanyak STG200,000 (RM995,000) seminggu menyebabkan Toure tidak teragak-agak melupakan Liga Juara-Juara.

Namun sebenarnya bukan wang mahupun kekecewaan yang menjadi ukuran bagi pemain yang berusia 27 tahun itu.



Ia adalah kerana akhirnya dia berpeluang untuk bermain di samping abangnya, Kolo, menyebabkan Yaya meninggalkan Nou Camp.

Lebih daripada "cabaran" ditemuinya di Eastlands, keinginan kuatnya untuk menjadikan kelab terkaya dunia itu sebagai kuasa besar mencabar Manchester United, Chelsea dan, satu hari Barcelona. Dia juga terdesak untuk bermain secara tetap di kemuncak kariernya, Yaya juga begitu kepingin melihat adik-beradik Toure bersatu di atas padang.

"Saya lihat banyak perkara dalam akhbar mengenai kenapa saya meninggalkan Barcelona," kata Toure.

"Tapi bagi saya, saya mahu bermain dengan abang saya, Kolo, sekurang-kurangnya sekali. Dalam bola sepak, anda tidak tahu apa yang akan berlaku esok, dan [untuk bermain dengan Kolo] amat penting buat saya."

Perbezaan usia hanya dua tahun, lahir daripada akademi bola sepak sama di ASEC Mimosas di Abidjan yang melahirkan Salomon Kalou, Bakary Kone dan ramai lagi pemain generasi emas di Ivory Coast, nasib kedua-dua adik-beradik itu berbeza.



Kolo kekal dalam pasukan utama ASEC selama dua tahun sebelum berhijrah ke Arsenal. Yaya, dilihat sebagai lebih berbakat, hanya tiga bulan di akademi itu sebelum dia dibawa ke kelab Belgium Beveren. Dia dijemput untuk berlatih di utara London oleh Arsene Wenger tetapi gagal memikat.

Ia memakan masa hampir sedekad, apabila Kolo berpindah dari Abidjan ke London dan kemudian ke Manchester dan Yaya berhijrah menerusi Monaco dan Barcelona, sebelum kedua-duanya meraih impian mereka menjadi rakan sepasukan.

Memang ada ikatan kuat antara dua adik-beradik itu yang ketika kecilnya pernah bekerja untuk menyara keluarga mereka - Kolo pernah bekerja sebagai pengilap kasut untuk menyara keluarga Toure - dan dengan anugerah diterimanya mampu mengeluarkan mereka daripada kemelut kemiskinan.

"Keluarga kami amat miskin," kata Kolo. "Ibu saya meninggal dunia [pada 2003] dan saya hanya ada bapa [pegawai tentera]. Kami adalah keluarga bola sepak - abang saya Ibrahim bermain di Tunisia dan tiga lagi bekerja di Eropah - tapi kehidupan kami tidak pernah senang.

"Di Afrika, kehidupan boleh menjadi amat teruk. Kami hanya makan sekali sehari. Apabila saya menandatangani kontrak pertama di Eropah, saya berkata kepada Kolo bahawa kini keluarga kami boleh bergembira.

"Apabila kehidupan anda mula berubah dan anda mendapat sedikit wang, walaupun ia sedikit, anda mahu membantu keluarga, dan itulah yang saya lakukan. Kami orang biasa, kami bukannya datang daripada keluarga yang banyak wang. Itulah sebabnya saya sayangkan abang saya. Dia seorang lelaki yang baik, sentiasa mahu membantu orang lain."

Perkara sama boleh diperkatakan mengenai Yaya. Kedua-duanya sudah menjadi penderma bagi tanah air mereka, menghantar berlori-lori makanan ke Abidjan setiap tahun, tetapi mereka juga mahu menggunakan masa mereka bersama di Manchester untuk bekerja rapat menjayakan sesuatu yang tidak berkaitan dengan bola sepak.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang penting dengan abang saya," kata Yaya. "Kami akan membentuk satu yayasan besar bagi membantu orang muda. Ia satu keseronokan dan kepuasan untuk melakukan kebajikan."


ADIK-BERADIK TERKENAL DALAM BOLA SEPAK



Gary dan Phil Neville (Manchester United dan England).

Frank dan Ronald de Boer (Ajax, Twente, Barcelona, Rangers, Al-Rayyan, Al-Shamal dan Belanda).

Bobby dan Jack Charlton (England).

Danny, Ray dan Rod Wallace (Southampton).

Ron dan Paul Futcher (Luton Town).

Jimmy dan Brian Greenhoff (Manchester United).

Thursday, July 29, 2010

0 Kemusnahan tamadun manusia? 2182 atau filem 2012? Apa yang pasti bumi akan musnah

Tamadun manusia musnah 2182?


LAKARAN artis menunjukkan kawah terbentuk akibat hentaman asteroid di Semenanjung Yucatan di Mexico sehingga mengakibatkan kepupusan dinosaur.



LONDON - Saintis-saintis memberi amaran bahawa ombak tsunami setinggi beberapa ribu meter mungkin memusnahkan tamadun manusia pada tahun 2182 kesan daripada hentaman sebuah asteroid gergasi, lapor sebuah akhbar semalam.

Kebarangkalian asteroid atau planet kecil yang dinamakan 1999 RQ36 itu menghentam bumi pada tahun berkenaan adalah satu nisbah 500 yang dianggap mungkin boleh berlaku.

Asteroid berdiameter kira-kira 548.6 meter itu yang pertama kali ditemui pada tahun 1999 merupakan sebahagian kumpulan Asteroid Berpotensi Merbahaya (PHA).

Menurut beberapa saintis, sebarang usaha termasuk letupan nuklear, untuk mengubah haluan asteroid itu perlu dilakukan 100 tahun lebih awal dari tarikh pelanggarannya sekiranya bumi ingin diselamatkan. - Agensi

Wednesday, July 28, 2010

1 Lelaki mahu kahwin supaya ada anak untuk jaga bila tua tetapi wanita belum mahu kahwin kerana faktor kerjaya

Wanita Asia tak suka kahwin


2010/07/27 PARIS: Semakin ramai lelaki Asia, terutama di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, memilih wanita asing sebagai pasangan kerana wanita tempatan enggan berkahwin.

Menurut kajian terbaru yang diterbitkan semalam, fenomena itu mula berlaku sejak lebih sedekad lalu turut menampakkan kecenderungan terhadap perpindahan wanita.

Menurut Daniele Belanger dari Universiti Western Ontario, sejak 1990-an semakin ramai lelaki Asia Tenggara mencari calon isteri di luar negara.


Di Taiwan, katanya, 15 peratus isteri berasal dari negara luar pada 2009 dan lapan peratus di Korea Selatan.


“Di Jepun, fenomena itu berlaku lebih awal, iaitu 1980-an, tetapi perkembangannya berlaku secara sederhana apabila hanya lima dan enam peratus perkahwinan direkodkan pada pertengahan 2000 membabitkan wanita asing,” katanya dalam jurnal Institut Kajian Demografi Kebangsaan (Ined).


Di ketiga-tiga negara itu, kata Daniele, pengantin wanita menjadi imigran paling ramai berbanding pekerja sementara yang dibawa masuk.


Kebanyakan wanita yang dijadikan isteri itu berasal dari China atau Vietnam.


“Lelaki tempatan mencari pasangan hidup di negara lain kerana kekurangan wanita tempatan,” katanya.


Menurut Daniele, disebabkan taraf pendidikan wanita meningkat, penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan juga bertambah dan sebahagian daripadanya enggan memainkan peranan tradisional sebagai seorang isteri.


“Mereka lebih suka mengekalkan status sedia ada dan mengejar kerjaya,” katanya.


Sebaliknya, kata Daniele, lelaki mahu mendapat zuriat, dan sesetengahnya mengharapkan mereka boleh bergantung harap dengan anak masing-masing ketika tua.



“Justeru, lelaki tidak sanggup kekal membujang,” katanya. - Agensi

Tuesday, July 27, 2010

1 Perbezaan personaliti merupakan punca suami mencerai isteri

SINGAPURA

Lebih separuh kes cerai pasangan Islam dimulakan isteri

Kaunselor, peguam: Kecurangan suami punca utama, bukan kerana wanita sekarang lebih berdikari

Oleh
Linilidia Abdul Hamid
LEBIH separuh kes cerai pasangan Islam tahun lalu dimulakan oleh isteri.

Tuntutan cerai itu dimulakan isteri bukan semata-mata kerana kaum wanita kini semakin mampu berdikari, tetapi lebih disebabkan faktor kecurangan suami.

Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian 2009 menunjukkan terdapat 1,631 kes cerai pasangan Islam dan 1,084 daripadanya, iaitu 66 peratus, dimulakan isteri.

Ini berbanding 494 kes yang dimulakan suami, sementara baki 53 pasangan memutuskan secara bersama untuk bercerai.

Namun berdasarkan pengamatan peguam dan kaunselor yang dihubungi Berita Harian, keputusan bercerai bukanlah sesuatu yang diambil mudah oleh para isteri itu.

Sebaliknya, ia merupakan jalan keluar terakhir setelah segala usaha lain tidak dapat menyelamatkan rumah tangga mereka.

Daripada 1,084 kes perceraian yang dimulakan isteri, kecurangan suami menjadi sebab utama bagi 230 kes, iaitu 21.2 peratus.

Ini berbanding hanya 65 kes isteri memulakan proses cerai akibat kecurangan suami 10 tahun lalu.

Sebanyak 104 kes cerai pula dimulakan suami atas sebab isteri curang, iaitu 21.1 peratus daripada 494 perceraian yang dimulakan suami.

Ini berbanding 33 kes sedemikian 10 tahun lalu.

Kecurangan isteri sebab kedua paling utama suami memulakan proses menceraikan isteri tahun lalu.

Perbezaan personaliti menjadi sebab utama, dengan sebanyak 141 kes, iaitu 28.7 peratus.

Peguam Ahmad Nizam Abbas daripada firma Straits Law Practice LLC berkata berdasarkan kes cerai yang diurusnya, memang benar sebahagian besar wanita yang memulakan proses itu lebih berdikari, berpendidikan dan mampu menyara diri sendiri.

Namun, isteri selalunya cuba menyelamatkan rumah tangga mereka sebelum meminta cerai.

Beberapa peguam dan kaunselor sosial berkata selain kecurangan suami, mereka menerima kes isteri curang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Mohd Yusof Ismail, semasa beliau menjalankan sesi kaunseling bagi para banduan beliau pernah mendengar kisah-kisah sedemikian diceritakan kepadanya.

'Selalunya ia merupakan kes isteri kesunyian ketika suami dipenjara. Mula-mula hubungan yang dijalin hanya sekadar suka-suka kemudian menjadi lebih serius sehingga isteri akhirnya terjebak,' ujar beliau.

Encik Ahmad Nizam kerap juga mendapati kes isteri menyara suami dan bukan sebaliknya.

'Si isteri yang menyara suami dan keluarga. Ada juga kes isteri tiada lesen kereta tetapi terpaksa bekerja keras untuk bayar ansuran kereta yang akhirnya digunakan suami untuk berfoya-foya dengan perempuan lain.

'Bayangkan perasaan isteri dalam keadaan demikian,' ujar beliau.

Pengarah Pusat Sokongan Keluarga PPIS As-Salaam dan PPIS Vista Sakinah, Cik Azita Abdul Aziz, berkata:

'Daripada kes-kes yang saya tangani, wanita selalunya sanggup melalui susah payah. Jika suami bergaji kecil pun mereka tidak ambil kisah.

'Tetapi apabila suami mula curang, mereka berasa pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai dan itulah antara punca mereka minta cerai.'

0 Sengal betul! Menggunakan perkahwinan sebagai lesen buat maksiat. Bagaimana jika keluarga tetap membantah?

Bermukah hingga anak dua

Oleh Nor Husaini Nor Majid
am@hmetro.com.my
2010/07/26 KULIM: Sepasang kekasih bukan saja hidup bersama seperti suami isteri, malah turut mempunyai dua cahaya mata hasil bersekedudukan lebih tiga tahun.

Pasangan bersekedudukan bukan kerana ketagih seks, tetapi hubungan cinta dihalang keluarga wanita.

Pasangan lelaki berusia 29 tahun tidak mahu dikenali berkata, mereka mahu berkahwin apabila teman wanitanya hamil, tetapi ditolak keluarga.

“Peminangan saya ditolak keluarga teman wanita walaupun ketika itu kami sudah terlanjur dan dia hamil,” katanya.

Katanya, walaupun tidak mendapat restu keluarga teman wanita, dia tetap mengambil keputusan untuk bersama kekasihnya itu kerana sayangkannya serta berasa bertanggungjawab.

“Saya sayangkan teman wanita dan anggap dia sebagai isteri. “Saya mempunyai dua anak bersama teman wanita iaitu berusia 20 bulan dan 30 hari, namun keluarga teman wanita saya masih berkeras tidak menerima saya,” katanya.

Pasangan itu pernah mohon bantuan Mahkamah Rendah Syariah di Perak untuk mendapatkan wali hakim bagi tujuan mengesahkan nikah.

“Ketika proses mendapatkan wali hakim bagi tujuan pernikahan, teman wanita melahirkan anak pertama menyebabkan proses ditunda dan mahkamah turut memanggil keluarga teman wanita untuk hadir ke mahkamah,” katanya.



Menurutnya, meskipun dipanggil mahkamah, keluarga teman wanitanya tetap berkeras serta tidak mahu bekerjasama.

Mahkamah terpaksa menunda tarikh sekali lagi pada Jun lalu namun ketika tarikh perbicaraan, teman wanitanya melahirkan seorang lagi anak menyebabkan perbicaraan ditunda sekali lagi.

Sementara itu, Ketua Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Kedah (PADK) cawangan Kulim, Azmi Rejab berkata, mereka melakukan siasatan terhadap pasangan itu selepas mendapat aduan orang ramai.

Katanya, siasatan mendapati mereka bersekedudukan sehingga melahirkan dua anak selain mengesahkan pasangan itu mempunyai dokumen permohonan untuk bernikah dan mendapatkan wali hakim.

“Bagaimanapun kes ini tetap disiasat mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000,” katanya.

Menurutnya, PADK menasihatkan pasangan untuk tidak tinggal bersama sementara menunggu keputusan.

Monday, July 26, 2010

0 Gadis 16 berkelakuan buruk akibat diperkosa lelaki 17, mengakhiri kehidupan dengan 30 das tembakan oleh bapa saudaranya dengan alasan maruah keluarga

Tembak anak saudara demi maruah


2010/07/26
AMMAN: Seorang lelaki warga Jordan mengaku membunuh anak saudaranya berusia 16 tahun kerana mahu menjaga maruah keluarganya.

Seorang pegawai kehakiman berkata semalam, pembunuhan itu dilakukan selepas mangsa menjadi sasaran serangan seksual.

Lelaki berusia 43 tahun itu melepaskan 30 tembakan mesingan ke arah gadis berkenaan Jumaat lalu, menyebabkan dia mati serta-merta. Lelaki itu mengaku melakukan pembunuhan kerana mahu menjaga nama baik keluarga selepas mengesyaki anak saudaranya berkelakuan buruk selepas kehilangan dara sebulan lalu akibat diperkosa seorang remaja berusia 17 tahun.


Keluarganya kemudian mengahwinkannya dengan seorang sepupunya dalam usaha menyembunyikan perkara itu, kata pegawai berkenaan.


Menurutnya, suspek dalam serangan seksual itu kini ditahan untuk dibicarakan sementara bapa saudara mangsa berdepan dengan tuduhan membunuh dengan niat.


Kesalahan membunuh dibalas dengan hukuman mati di Jordan. Bagaimanapun, bagi pembunuhan yang dilakukan kerana menjaga maruah, hakim boleh mengenakan atau mengurangkan hukuman, terutamanya jika keluarga mangsa merayu.


Antara 15 hingga 20 wanita mati dibunuh atas alasan menjaga maruah keluarga di Jordan setiap tahun meskipun kerajaan berusaha membendung jenayah seumpama itu. - Agensi

0 Menonton filem lebih terasa jika anda pernah berkunjung ke lokasi penggambarannya

Kehebatan lokasi terpancar di filem

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

2010/07/26 APABILA berada di lokasi penggambaran filem atau drama, tentulah memberi kenangan lebih manis apabila menontonnya di panggung atau kaca televisyen.

Itulah yang saya rasai sebaik saja tiba di lokasi filem Nur Kasih di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor, Khamis lalu. Rumah kampung dua tingkat di tengah sawah padi itu masih segar lagi dalam ingatan ketika menonton siri Nur Kasih yang disiarkan di TV3 dari 29 Mei hingga 27 November tahun lalu. Ia adalah rumah Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman bersama anak-anaknya, Remy Ishak dan Fizz Fairuz kemudian turut dihuni Tiz Zaqyah.

Kini apabila drama yang mencetuskan fenomena mencatat jumlah penonton paling tinggi (4.3 juta) diangkat pula ke filem, rumah milik Juri Tumijan itu sekali lagi menjadi tumpuan lokasi. Ia menjadi lokasi pembukaan pada 20 Jun dan juga diakhiri di sini pada 24 Julai lalu manakala selebihnya di Kuala Lumpur untuk beberapa babak membabitkan kesan khas seperti kemalangan kereta api.


Selain Tanjung Karang, filem ini turut menjalani penggambaran di Jordan selama 10 hari. Ingatkan dapatlah melihat penggambaran filem di Jordan seperti janji produsernya sebelum ini kepada Harian Metro, namun kerana kekangan bajet, nampaknya sekadar meninjau ke lokasi di sini saja.


Sebelum ini saya berpeluang mengikuti penggambaran filem Mendam Berahi di Manila, Filipina dan Mr Cinderella 2 Di Chrischurch, New Zealand tetapi nampaknya melopong sajalah hendak ikut kru filem ini ke Jordan. Sekadar mendengar cerita pengalaman mereka sepanjang berada di sana dari 25 Jun hingga 5 Julai. Antara lokasi menarik, pemandangan indah di Petra yang pernah dipaparkan dalam banyak filem Hollywood seperti Indiana Jones.


Khabarnya, bukan mudah untuk kru sampai ke sana kerana perlu berjalan kaki sejauh empat kilometer kerana kenderaan tidak boleh menghampiri kawasan yang menjadi tarikan pelancong itu untuk mengekalkan keasliannya. Selama tiga hari di padang pasir, mereka juga mengalami cabaran ribut pasir dan keadaan kering hingga ramai kru jatuh sakit.


Baru-baru ini, saya menyaksikan filem Angels & Damon di Astro. Sebelum ini, saya tidak melepaskan peluang menyaksikan filem lakonan Tom Hanks ini di panggung tetapi ketika itu tidak cukup menghayati jalan ceritanya kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke Rom, Itali yang menjadi lokasi filem itu. Tapi selepas berpeluang ke sana pada Jun lalu, segalanya kembali terbentang di depan mata apabila jalan ceritanya banyak berkisar mengenai tempat menarik di Rom seperti The Vatican City bersama gereja St Peter, Piazza del Popolo, Trevi Fountain dan Castel Sant' Angelo.


Filem sebelumnya, Da Vinci Code juga lebih seronok ditonton bagi mereka yang sudah berpeluang ke Paris kerana dipaparkan tempat menarik di sana. Walaupun jalan ceritanya agak sukar difahami, dapat juga mengimbau semula kenangan manis ketika berkunjung ke sana.


Itulah kehebatan filem, kalau tidak pernah menjejakkan kaki ke lokasi itu, dapat juga melihat kehebatannya di layar perak. Banyak lagi kehebatan tempat penting dipaparkan dalam filem seperti Taj Mahal di India, piramid di Mesir, Tembok Besar China dan kota romantik Venice.


Rasa tidak sabar pula menonton Nur Kasih kerana sentuhan Kabir Bhatia tidak pernah mengecewakan seperti Cinta, Sepi dan Love. Tapi saya tidak berkesempatan menyaksikan Setem. Nur Kasih pula diangkat daripada drama bersiri yang mencetuskan fenomena dengan jumlah penonton tertinggi. Bagaimana agaknya kehebatan cinta Adam dan Nur Amina lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah yang sebelum ini menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan hingga membuatkan penonton menitiskan air mata? Seperti dapat menduga keinginan penonton mahu tahu bagaimana jalan cerita filem ini, Kabir mengambil tindakan untuk merahsiakannya. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga apabila sebelum ini ada pihak menyebarkan jalan cerita bersirinya episod demi episod di Internet, hingga ramai yang tahu penamat cerita. Ramai juga mengeluh tidak berminat untuk terus menonton sirinya.


Filem diterbitkan Primeworks Studios bersama Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd ini dijangka untuk tayangan Februari atau Mac tahun depan. Pada mulanya, ia disasarkan untuk tayangan Disember tetapi nampaknya produser perlu akur dengan giliran kerana banyak filem sudah siap berbaris menanti tayangan. Daripada mengejar waktu tayangan pada Disember, agaknya lebih baik Kabir fokus dengan pembikinannya bagi memastikan filemnya ini hebat. Lebih baik begitu daripada berkobar-kobar hendak menyiapkan filem untuk ditayangkan segera di panggung tetapi akhirnya tidak tayang-tayang juga kerana macam-macam langkah perlu diambil sebelum filemnya boleh ditonton. Ada filem itu dikatakan ulang-ulang babak sama untuk memanjangkan cerita. Ada juga yang bimbang filemnya tidak mendapat sambutan hingga diperap sekian lama walaupun sudah lama siap. Contoh terbaik, filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang ditayangkan tahun lalu selepas empat tahun siap. Tapi sayangnya hanya mencatat kutipan RM29,000.

0 Please Give Me A Job! Dan seorang pengarah membawanya untuk temuduga

Tuah penganggur minta kerja di tepi jalan



GAMBAR menunjukkan Mark Wheeldon (kanan) berjabat tangan dengan Vince Champion yang menawarkan pekerjaan kepadanya di Stoke-On-Trent, baru-baru ini.



STOKE-ON-TRENT, England - Seorang penganggur, Mark Wheeldon berumur 23 tahun yang memegang kayu mengandungi poster meminta pekerjaan bertuah kerana akhirnya dia mendapat kerja selepas 20 minit dia ditemu duga oleh seorang ahli perniagaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini dia menganggur selama dua tahun. Dia mempromosikan dirinya di tepi jalan di sini bagi meminta pekerjaan selepas bosan hidup dengan mendapat elaun sara hidup kerajaan.

Selepas tiga jam berdiri dengan memegang poster itu, seorang ahli perniagaan yang merupakan pengarah sebuah kilang, Vince Champion menghampirinya setelah dia melihat lelaki tersebut dari keretanya.

Dia kemudian membawa Mark ke pejabatnya dan menemuduganya selama 20 minit sebelum menawarkannya bekerja di sebuah kilang membuat bingkai.

Menurut pengarah kilang itu: "Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada pukul 8 pagi, saya melihat Mark berdiri dalam hujan memegang kayu poster itu untuk meminta pekerjaan.

"Saya berpendapat, jika terdapat seseorang yang sanggup berdiri dalam hujan, dia mesti nekad untuk mendapatkan pekerjaan. Menurut pandangan saya, dia akan menjadi aset untuk mana-mana syarikat." - Agensi

0 Serangan maut kepada pekerja kilang dari Sabah, disyaki berpunca kerana dendam, mengingatkan cerita rakan bahawa ada rakyat Sabah 'pow' bangsa nepal

Lelaki Sabah maut diserang


KAWASAN bawah Flat Valencia, Taman Sri Muda, Shah Alam tempat Kasibal diserang dan mati kelmarin.


SHAH ALAM - Keseronokan tujuh pemuda dari Sabah bermain gitar di kawasan letak kereta di Flat Valencia, Taman Sri Muda di sini malam kelmarin berakhir dengan seorang daripada mereka mati manakala seorang lagi parah.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 malam, mangsa Mohd. Kasibal Julaini, 25, berasal dari Sabah mati di tempat kejadian manakala seorang rakannya yang tidak dikenali dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, sebelum kejadian, tujuh lelaki yang semuanya bekerja kilang bermain gitar di Blok 3 rumah flat itu.

"Ketika mereka berseronok, kumpulan pemuda dari Sabah itu didatangi kira-kira 20 lelaki dipercayai semua berkulit gelap menunggang kira-kira 10 buah motosikal," kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, kesemua lelaki yang bertopi keledar itu dengan bersenjatakan parang dan pisau terus menetak Kasibal dan seorang rakannya manakala lima lagi yang lain sempat melarikan diri.

"Akibat serangan itu, Kasibal mati kira-kira 50 meter dari tempat dia ditetak akibat cedera parah di kepala dan belakang badan manakala rakannya masih dirawat," kata beliau.

Kata beliau lagi, lima lagi rakan kepada kedua-dua mangsa itu tidak cedera kerana mereka sempat melarikan diri dengan naik ke flat itu.

Katanya, polis sedang menyiasat motif serangan itu namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada dendam.

"Sebelum ini sebuah motosikal milik seorang lelaki terbakar di padang permainan tidak jauh dari tempat kejadian dan kita sedang siasat kemungkinan serangan itu ada kaitan dengan motosikal yang terbakar itu," ujarnya.

Menurut Noor Azam, polis kemudian menahan 10 lelaki dalam sekatan jalan yang dilakukan di sekitar Taman Sri Muda.

Katanya, salah seorang daripada suspek itu memiliki parang.

"Polis masih memburu 10 suspek lain," jelas beliau.

Sunday, July 25, 2010

0 Menolak ajaran agama dan mengharap guru mendidik adalah faktor utama kelahiran luar nikah di Malaysia

Tak peduli dorong jumlah anak luar nikah meningkat


2010/07/25
KUCHING: Sikap tidak ambil peduli masyarakat, khususnya kalangan remaja yang menolak ajaran agama serta budaya masyarakat tempatan adalah antara faktor mendorong golongan itu melakukan maksiat dan kelahiran anak luar nikah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata sindrom negatif itu menyebabkan secara puratanya, seorang bayi luar nikah dilahirkan pada setiap 17 minit di negara ini. Sambil menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan, Mashitah menegaskan, permasalahan itu menuntut semua pihak terutama ibu bapa, bekerjasama dan tidak menyerahkan tugas mendidik itu semata-mata kepada guru. “Jumlah 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan hasil statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), jika kita pecahkan kepada purata bulanan, angkanya adalah 80,000 yang bersamaan dengan seorang bayi untuk setiap 17 minit.

“Malah sejak 2000 hingga Julai 2008, statistik menunjukkan bilangan bayi yang tidak dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran adalah seramai 257,000 dan angka berkenaan amat membimbangkan, sekali gus memerlukan perhatian serius daripada semua pihak,” katanya sempena Program Integrasi Timbalan Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak di sini, semalam.

1 Bola sepak: Di korea, pemain harus menyertai kelab elit untuk mewakili negara

Korea 'bingung' nasib Malaysia

Oleh Harris Rajahdin
harajah@bharian.com.my
2010/07/24


PEMAIN Korea Selatan menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, petang semalam.'Mungkin FAM agak ketinggalan dalam sistem pembangunan pemain'

JURULATIH Olimpik Korea Selatan, Hong Myung Bo masih mengingati zaman kegemilangan Malaysia pada era 70-an tetapi hairan melihat taraf bola sepak negara kini yang merudum jauh. Ketika Korea Selatan melakar mercu tanda baru dengan mara ke pusingan kedua Piala Dunia buat pertama kali di bumi asing di Afrika Selatan pada penampilan ketujuh berturut-turut sejak 1986, skuad Harimau Malaya kini berada pada ranking ke-142 dunia. “Saya masih ingat ketika membesar, pasukan Malaysia begitu kuat tetapi mungkin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agak ketinggalan dalam sistem pembangunan pemain.

“Di Korea, pemain perlu menyertai kelab besar dalam Liga-K bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dan memperbaiki permainan,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan barisan bawah 23 negara dengan Olimpik Korea Selatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, jam 5.15 petang ini.

Sungguhpun tidak membawa empat pemain Piala Dunia yang layak beraksi, Myung-bo menyenaraikan dua pemain Piala Dunia Bawah 20 di Mesir tahun lalu iaitu Kim Dong-sub yang beraksi untuk Tokushima Vortis dalam Liga-J dan penyerang, Park Hee Seong yang mewakili Korea University.

Perlawanan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Selatan ini turut digunakan kedua-dua jurulatih sebagai persiapan Sukan Asia di Guangzhou, China November ini.
Menyedari lawan berada pada kelas tersendiri, jurulatih negara, K Rajagobal menjanjikan barisannya akan berusaha menyaingi Korea Selatan dari semua segi terutama kepantasan.

“Kami tidak akan turun untuk bertahan, saya mahukan mereka menikmati perlawanan ini. Korea Selatan, China dan Jepun bermain dengan corak permainan pantas,” katanya.

Tanpa penjaga gol, Mohd Farizal Marlias yang disentak kecederaan muka selepas terbabit dalam pelanggaran dengan penyerang, Faizal Abu Bakar yang turut diketepikan, Rajagobal memiliki wira Sukan SEA, Mohd Sharbinee Allawee di pintu gawang.

Melihatkan beberapa pemain yang kian meningkat usia, pengendali kebangsaan itu juga mungkin menggunakan perlawanan itu untuk menguji beberapa pemain skuad Harimau Muda A.

Tiket RM30 bagi grandstand, RM10 dan RM5 (kanak-kanak) dijual bermula jam 10 pagi ini di kaunter stadium.


Artikel berkaitan:

Malaysia kejutkan Korea Selatan

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my



SKUAD bola sepak kebangsaan membuktikan mereka kini wajar untuk terus digeruni apabila berjaya mengejutkan skuad Olimpik Korea Selatan 1-0 pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh pemain tengah Selangor, Safiq Rahim pada awal separuh masa kedua.

Perlawanan yang diadili pengadil ke Piala Dunia 2010, Subkhiddin Salleh itu bermula dalam keadaan hujan renyai sambil disaksikan 5,000 penonton kedua- dua negara.

Malaysia yang dibarisi pemain B-23 kecuali tiga pemain lebih umur, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha berjaya mengimbangi kekuatan lawan yang dibarisi pemain B-21 pada separuh masa pertama.

Seawal minit keempat, Malaysia sudah menguji gawang Korea Selatan tetapi percubaan Nor- shahrul hasil hantaran Zaquan Adha Radzak dari sebelah kanan sedikit sipi.

Gawang Malaysia cemas seketika pada minit ke-10 apabila tandukan penyerang Korea Sela- tan, Park Hee-seong berpunca daripada sepakan sudut berjaya menggegarkan palang gol ketika Sharbinee sudah tertewas.

Selang dua minit kemudian, Malaysia sekali lagi mengancam, kali ini menerusi pemain sayap kanan, Ahmad Fakri Saarani yang memperdayakan seorang pertahanan Korea Selatan sebelum rembatannya tepat ke daka- pan Lee Bum-soo.

Selepas aksi rancak pada awal permainan itu, kedua-dua pasukan sekadar bertukar serangan tanpa sebarang gerakan bahaya untuk menghasilkan gol.

Namun pada minit ke-40, Korea Selatan hampir memecah kebuntuan tetapi sepakan percuma pemain pertahanan, Park Hyung -Jin sekadar menggegar palang.

Sebaik babak kedua bermula, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tidak melakukan sebarang pertukaran dan Malaysia hanya memerlukan lima minit untuk mendahului lawan.



Gol pertama Malaysia diperoleh pada minit ke-50 menerusi rembatan Safiq selepas sepakan percuma yang diambilnya sebelum itu gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pertahanan Korea Selatan.

Korea Selatan yang seakan tersentak dengan jaringan itu mula bangkit mengatur serangan tetapi masih gagal menembusi kekebalan benteng pertaha- nan yang diterajui ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak, Nasriq Baharom, Sabre Mat Abu dan Asraruddin Putra Omar.

Rajagobal melakukan enam pertukaran dengan memasukkan Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhymeen Zambri, Muslim Ahmad, K. Gurusamy, Ahmad Shakir Md. Ali dan Azmi Muslim menggantikan Norshahrul, Fakri, Nasriq, Amar Rohidan, S. Kunanlan dan Asraruddin.

0 Seks bebas dulu melibatkan bohsia sekarang gadis biasa. Majoriti mangsa adalah tahap pendidikan SPM, PMR

Kes remaja hamil kronik

Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
2010/07/25
Pergaulan bebas punca utama

KUALA LUMPUR: Seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak yang sebahagian besarnya luar nikah sejak 2008 hingga bulan lalu, akibat pergaulan bebas. Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008. Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan – Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ada 135 hospital kerajaan di seluruh negara, tetapi usaha Berita Minggu mendapatkan perangkaan di kebanyakan hospital tidak berjaya, kerana antara lain alasan ialah isu sensitif dan bimbang dikenakan tindakan Kementerian Kesihatan.

Sebahagian remaja berkenaan membuat pengakuan sudah berkahwin kepada pihak hospital, ada mendakwa tidak tahu hubungan seks dengan rakan boleh menyebabkan kehamilan, malah ada kes mengaku dirogol.

Bagaimanapun, remaja diklasifikasi kepada dua kategori, bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun. Remaja bawah 16 tahun yang hamil dianggap sebagai kes rogol, walaupun atas dasar suka sama suka.
Justeru, pasangannya boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, manakala remaja di bawah usia 18 tahun akan dirujuk kepada JKM sebagai pelindung yang diwartakan.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Noramni Mohd Yusoff, berkata pihaknya tidak hairan jika angka sebenar remaja bawah umur yang hamil lebih tinggi.
“JKM hanya rekodkan kes dilapor atau memohon perlindungan. Statistik sebenar hanya boleh diperoleh dari hospital seluruh negara,” katanya kepada Berita Minggu.

Tinjauan di HKL dan HTAR, mendapati pada 2008 seramai 106 remaja bawah umur hamil luar nikah, manakala di HKL, 50 kes pada 2008, 67 kes (2009) dan sehingga Jun tahun ini, 38 kes.

Kajian Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL mendapati, kebanyakan remaja bawah umur ini tidak tahu hubungan kelamin boleh menyebabkan kehamilan.

Mereka melakukannya atas dasar ingin mencuba dan berseronok dengan rakan sekelas, kekasih yang lebih berusia selain ada juga kes mengaku dirogol.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HTAR, Dr Mohamad Farouk Abdullah berkata, kajian 2008 mendedahkan kebanyakan remaja berkenaan berusia antara 14 hingga 18 tahun dengan majoritinya, berbangsa Melayu.

“Mungkin jumlahnya lebih lagi, tetapi tidak mustahil ada sebahagian yang menggugurkan kandungan. Memang jika kita lihat dari aspek sosialnya, keadaan ini teruk, tetapi dari sudut perubatan, jika mereka datang awal mendapatkan bantuan perubatan kita boleh membantu dari segi penjagaan sepanjang hamil,” katanya.

Beliau berkata, mendapat penjagaan kesihatan yang sempurna ketika hamil membolehkan remaja ini menginsafi kesilapan mereka, pada masa sama, memberi peluang mereka kembali ke sekolah.

Katanya, sepanjang 2008, 13,189 kelahiran dicatatkan di HTAR dengan 256 membabitkan kelahiran di kalangan remaja bawah umur. Daripada jumlah itu 75.8 peratus mengaku sudah berkahwin, 21.9 peratus tidak berkahwin sementara tiga peratus mendakwa dirogol. Kebanyakan mereka berpendidikan sehingga Penilaian Menengah Rendah (49.6 peratus), Sijil Pelajaran Malaysia (27.7 peratus), manakala bakinya hanya belajar setakat sekolah rendah.

Dalam konteks inilah Dr Farouk berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk masyarakat berfikiran lebih terbuka dalam isu pendidikan seks di sekolah.

“Kebanyakan remaja yang hamil luar nikah ini tidak tahu hubungan intim boleh menyebabkan mereka hamil. Buat sekali tidak hamil, jadi mereka rasa tidak mungkin hamil dan lebih kerap melakukannya dan akhirnya hamil,” katanya.

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Hasnah Sulaiman, berkata memang amat menyedihkan kebanyakan remaja bawah umur ini berbangsa Melayu beragama Islam. Malah latar belakang mereka terbabit ialah daripada keluarga berpendapatan rendah selain kurang ilmu mengenai sistem reproduktif manusia.

“Apabila ditanya, majoriti menjawab mereka buat atas dasar suka sama suka, berseronok-seronok dan tidak sangka boleh mengandung. Jika dulu kita mungkin kata remaja ini adalah bohsia atau minah rempit, tetapi rata-rata hari ini mereka adalah remaja biasa yang lazim kita temui di sekolah dan ada yang bertudung labuh,”

“Jika di HKL, dalam puluhan kes pasti ada lebih daripada satu kes remaja ini datang daripada keluarga yang porak peranda atau jika tidak bermasalah tetapi susah. Malah, kajian kami pada 2004 mendedahkan banyak kes membabitkan remaja yang tinggal bersama keluarga di rumah flat satu bilik,” katanya.

Saturday, July 24, 2010

0 Laptop termurah. Berita baik untuk asia, tragedi untuk bisnes AS. Hal ini memang dijangkakan

Komputer riba India RM112.12

2010/07/24



KAPIL menunjukkan komputer kos murah ciptaan India.Perkakasan kos rendah khusus untuk pelajaran

NEW DELHI: India muncul dengan komputer riba termurah di dunia, peralatan komputer skrin sesentuh yang berharga hanya sekitar AS$35 (RM112.12). Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Kapil Sibal minggu ini mengumumkan peralatan perkomputeran riba kos rendah yang direka khusus untuk pelajar, menyatakan jabatannya mula berunding dengan pengeluar global untuk memulakan pengeluaran secara besar-besaran tidak lama lagi. “Kami sudah mencapai satu tahap pembangunan pada hari ini, papan induk, cip pemproses, sambungan, semuanya kos terkumpul sekitar AS$35 (RM112.12), termasuk memori, paparan dan segala-galanya,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata peralatan sesentuh itu dipasang dengan pelayar internet, pembaca PDF dan kemudahan persidangan video, namun perkakasannya dicipta dengan fleksibel bagi membolehkan komponen baru ditambah mengikut keperluan setiap pengguna.

Kapil berkata peralatan komputer berasaskan Linux itu dijangka diperkenalkan kepada institusi pendidikan tinggi bermula 2011, namun sasaran itu ialah untuk menurunkan lagi harganya kepada AS$20 (RM64.07) dan pada akhirnya sehingga AS$10 (RM32.04).

Peralatan itu dibangunkan oleh pasukan penyelidik di institusi teknologi terkemuka India, Institut Teknologi India dan Institut Sains India.
India membelanjakan kira-kira tiga peratus daripada bajet tahunannya untuk pendidikan sekolah dan memperbaiki kadar kecelikan kepada lebih 64 peratus daripada sejumlah 1.2 bilion penduduknya.

Kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ramai pelajar tidak begitu mahir membaca atau menulis dan kebanyakan sekolah kerajaan tidak memiliki kemudahan mencukupi. – Reuters

0 Konflik bertengkar dalam filem/drama mengajar penonton cara bergaduh?

Adegan bertengkar tidak berfaedah


2010/07/24

DALAM kebanyakan drama dan filem Melayu, sering dipaparkan babak pertengkaran yang membabitkan suami isteri, adik beradik, rakan sepejabat, penduduk sekampung dan sebagainya. Perbalahan lebih dahsyat ditunjukkan jika berlaku pertelingkahan politik, perbezaan pandangan agama dan sebagainya. Tontonilah kebanyakan drama dan filem Melayu hari ini dan sejak sekian lama dulu lagi, pasti ada elemen pertikaman lidah. Setidak-tidaknya ia adegan pertelingkahan antara hero dan heroin atau pasangan kekasih. Biasanya, perbalahan ini ditunjukkan dengan ekspresi wajah mereka yang bertelagah hingga menjerit-jerit. Jika marah, ekspresi marah ditonjolkan sejelas-jelasnya. Begitu juga dengan ekspresi benci seseorang. Perhatikan juga apakah punca dan topik pergaduhan mereka. Tidak banyak perbalahan mengenai isu besar yang sering diketengahkan. Kebanyakannya mengenai salah faham, salah sangka, fitnah, cemburu buta, hasrat dengki dan sebagainya. Hakikatnya, dalam kehidupan seharian, perbalahan suami dan isteri adalah perkara rahsia. Jika suami isteri bergaduh, hanya diketahui antara mereka berdua. Masyarakat umum hanya tahu apabila pertikaian mereka berakhir dengan perceraian, terutama jika dibawa ke mahkamah syariah. Itu pun, kebanyakan kes, seboleh mungkin mereka merahsiakan apa juga yang terjadi, melainkan kes perbicaraan mereka mendapat liputan media. Pengarah drama dan filem tentunya mahukan adegan perbalahan ini kerana ia akan dapat mencantikkan dialog. Apa yang kita lupa ialah, perbalahan dalam drama ini disaksikan orang Melayu. Jika inilah yang disajikan kepada mereka setiap hari, tidak hairanlah orang Melayu memang suka berbalah. Apabila adegan perbalahan ini ditontoni setiap hari, orang Melayu tidak lagi segan silu untuk bertengkar dan berbalah kerana pada mereka ia norma dan nilai orang Melayu.

0 41 orang muflis setiap hari. Penyumbang tertinggi ialah kegagalan bayar hutang

Muflis muda

Laporan Khas oleh Mohd Aziz Ngah dan Alzahrin Alias
bminggu@bharian.com.my
2010/07/24

Ramai eksekutif terjerat godaan kad kredit untuk hidup mewah

KUALA LUMPUR: Seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis di seluruh negara dalam tempoh 65 bulan sehingga Mei lalu, trend yang amat membimbangkan kerana status itu boleh menjejaskan masa depan golongan muda. Ini bermakna 41 orang bankrap setiap hari yang antaranya berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit hingga banyak hutang tertunggak selain pinjaman peribadi. Kebanyakan pemegang kad kredit di kalangan golongan muda menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak penting, mewah serta mengeluarkan wang tunai untuk perbelanjaan harian.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata dalam tempoh itu, 80,348 kes direkodkan muflis membabitkan semua golongan. Ini bermakna 41 orang muflis setiap hari.

“Sepanjang tempoh itu, golongan berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai diisytiharkan bankrap.

“Golongan pertengahan umur (35 hingga 44 tahun) mencatatkan 25,229 kes atau 31.4 peratus kes diikuti golongan 45 hingga 54 tahun dengan 21,051 kes (26.2 peratus), golongan berusia 25 hingga 34 tahun (13,128 kes atau 16.34 peratus) dan 55 tahun ke atas 9,722 atau 12.1 peratus),” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, daripada 80,348 kes muflis itu, kes pinjaman sewa beli kenderaan mencatatkan 19,380 kes atau 24.12 peratus daripada keseluruhan kes. Ini bermakna, setiap hari ada 10 pembeli kenderaan diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang dan keseluruhannya 41 individu diisytiharkan bankrap.

Jumlah itu diikuti faktor kegagalan menyelesaikan pinjaman peribadi dengan 9,464 kes (11.78 peratus), pinjaman perniagaan dengan 8,786 (10.93 peratus), pinjaman perumahan (6,022 kes atau 7.49 peratus) dan hutang kad kredit (4,417 kes atau 5.5 peratus).

Faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jumlah itu ialah hutang cukai pendapatan (882 kes), penjamin korporat (4,291 kes), penjamin sosial (3,726), biasiswa atau pinjaman pelajaran (147) dan lain-lain faktor (23,333 kes).

Jika diambil kira jumlah tidak direkodkan iaitu merujuk kepada kes yang dilaporkan sebelum 2005, jumlah sebenar kes bankrap adalah 217,577 kes.

Abdul Karim turut mengakui kebanyakan kes muflis membabitkan golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan gagal membayar balik hutang dalam tempoh ditetapkan berbanding kes golongan lebih berusia yang majoritinya berkaitan soal pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang sudah diisytiharkan muflis masih berpeluang membuat rayuan termasuk berunding dan merayu tindakan itu tidak diteruskan serta membuat perkiraan bagaimana hutang boleh dijelaskan sekiranya kes petisyen kebankrapan belum difailkan ke mahkamah.

Berdasarkan jumlah aduan diterima, masalah berkaitan pinjaman peribadi didapati meningkat dengan ketara bermula dengan 1,487 kes pada 2005, menurun kepada 961 kes (2006) tetapi meningkat semula kepada 1,425 kes (2007), 1,506 kes (2008) dan 2,806 kes pada 2009.

Mengikut Akta Kebankrapan 1967, ada tiga cara bagaimana mereka boleh melepaskan diri daripada status muflis iaitu melalui pembatalan perintah penghukuman; pelepasan dengan perintah mahkamah dan pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi.

Mengulas situasi itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha’ani Abdullah menyifatkan ia suatu yang membimbangkan kerana status muflis itu sendiri dianggap menutup masa depan mereka.

“Ada pengadu yang datang ke FOMCA mengakui terlebih berbelanja, sanggup berhutang semata-mata mahu hidup gaya mewah,” katanya.

“Mereka sanggup beli set teater rumah yang mewah, aksesori kereta mahal, televisyen canggih sedangkan itu tidak begitu penting berbanding keperluan asas lain. Lebih banyak berhabis duit membeli rumah,” katanya.

0 Sabah layak ke liga super! Terima kasih! Tahniah! Syukur! Bukannya mudah di liga super

Sabah iringi Felda United ke Liga Super

KUALA LUMPUR - Sabah berjaya memintas PKNS pada perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pos Malaysia tatkala pesaingnya itu tewas 2-1 kepada Harimau Muda, semalam.

Beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad bimbingan Gary Phillip itu berjaya memperoleh jaringan seawal minit keempat menerusi gerakan cantik Farid Ideris yang memperdayakan pertahanan lawan sebelum masuk petak penalti melepaskan rembatan deras.

Jaringan tunggal itu sudah cukup untuk membawa Sabah kembali ke Liga Super dengan menduduki tangga kedua di belakang Felda United yang sudah mengesahkan tempat ke saingan tersebut lebih awal sebelum perlawanan terakhir.

Felda United muncul juara Liga Perdana dengan mengumpul 50 mata selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

PKNS yang memerlukan kemenangan untuk kekal di tangga kedua gagal berbuat demikian ketika beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya apabila ditewaskan Harimau Muda.

Harimau Muda yang turun tanpa 10 pemain utama mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan D. Saarvindran pada minit ke-23 dan 42 manakala gol sagu hati PKNS disumbangkan oleh Cristie Jaya Seelan seminit sebelum perlawanan tamat.

Sementara itu, USM FC berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Shahzan Muda yang tersingkir ke dari Liga Perdana apabila menduduki tempat terakhir dengan hanya mengumpul lapan mata daripada 22 perlawanan.

Turut mengikut jejak langkah Shahzan Muda tersingkir dari Liga Perdana ialah Melaka yang menduduki tangga kedua terbawah dan mereka tewas pada perlawanan terakhir 6-1 kepada Sarawak.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelasah Majlis Perbandaran Muar 8-0.

Sabah mara ke Liga Super selepas menanti dalam tempoh lima tahun, kali terakhir mereka beraksi di kejohanan utama Liga Malaysia itu ialah pada 2005.


Artikel berkaitan:


Sabah ke Liga Super, Melaka, Shahzan cicir
Oleh Norakmah Md Youb dan Nazri Abu Bakar
bhsukan@bharian.com.my
2010/07/24


PEMAIN Felda United, Mohd Saufi Ibrahim (kiri) diasak pemain Tentera, Ahmad Tarmini Saiban dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium KLFA, malam tadi.MD Farid Ideris muncul wira Sabah apabila jaringannya seawal minit keempat membantu pasukannya muncul naib juara Liga Perdana selepas menewaskan Pos Malaysia 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kejayaan pasukan negeri di bawah bayu itu juga dibantu oleh kemenangan Harimau Muda yang menundukkan pencabar terdekat, Selangor PKNS 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Keputusan itu menyaksikan Sabah mengiringi Felda United mara ke kelompok elit – Liga Super – musim depan selepas mengutip 48 mata daripada 15 kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan. Sebelum perlawanan terakhir malam tadi, Sabah dan Selangor PKNS terikat dengan 45 mata tetapi pasukan kelab dari Selangor itu berada di tangga kedua dengan kelebihan jaringan.

Felda United yang sudah mengesahkan kejuaraan pula menutup tirai dengan keputusan seri 0-0 menentang Tentera di Stadium Bola Sepak Cheras.

Pasukan itu menghimpun 50 mata hasil 15 kemenangan, lima seri dan dua kekalahan. Sementara itu, Melaka melakar sejarah hitam apabila menjadi negeri pertama terpaksa beraksi dalam Liga FAM musim depan selepas sekadar menduduki tangga kedua tercorot apabila dibelasah Sarawak 6-1 di Stadium Hang Tuah.

Turut terhumban ke Liga FAM ialah Shahzan Muda yang menduduki tangga tercorot selepas tewas dalam perlawanan terakhir kepada USM 4-1 di Stadium Olahraga USM.

Tuesday, July 20, 2010

0 Pembangkang Sarawak mahu lawan 1 lawan 1. Sabah apa cerita? X cukup modalkah?

Pakatan pembangkang bentuk majlis hadapi pilihan raya Sarawak


2010/07/19
KUALA LUMPUR: Parti pembangkang di Sarawak menubuhkan satu pakatan pembangkang 'Majlis Pakatan Rakyat Sarawak' sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri yang perlu diadakan sebelum Julai tahun depan.

Majlis itu terdiri daripada pemimpin pembangkang utama negeri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan Parti Nasional Sarawak (SNAP) yang mengadakan mesyuarat pembentukan pertamanya malam tadi, dengan hasrat untuk mewujudkan barisan bersatu menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri nanti. "Kita bekerja ke arah pertandingan satu lawan satu selain mempunyai slogan dan manifesto pilihan raya yang sama. Ini akan dibuat oleh jawatankuasa kecil," kata pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng ketika dihubungi. Wong, yang juga ketua pembangkang negeri berkata dengan pembentukan majlis ini, parti pembangkang di negeri ini kini boleh bekerja ke arah mencapai objektif untuk membentuk kerajaan negeri akan datang dengan memperoleh sekurang-kurangnya 36 daripada 71 kerusi negeri.

"Bagaimanapun, jika kita tidak dapat membentuk kerajaan negeri, sekurang-kurangnya kita mesti menafikan majoriti dua pertiga BN di negeri ini," katanya. - BERNAMA

0 Kisah pengemis diangkat ke filem dengan kos RM34j. Terima kasih untuk jurugambar amatur

PAKAIAN Cheng Guorong semasa berkeliaran di jalan-jalan Ningbo, China kini menjadi fesyen selepas gambarnya disiarkan di Internet pada Januari lalu.



NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.

Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.

Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.

Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.

Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.

Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.

Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.

Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.

Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.

Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi

Monday, July 19, 2010

2 Apa yang perlu anda tahu apabila anda buat ujian darah anda?

Sumber:
http://www.bphealthcare.com/bphealth/brochures/profile_d/pd_malay.htm

UJIAN PEMERIKSAAN KESIHATAN

Ujian Pemeriksaan Kesihatan merupakan sekumpulan ujian yang direka khas untuk menilai tahap kesihatan seseorang individu. Panduan ini memberikan maklumat umum tentang jenis-jenis dan kepentingan ujian yang dilakukan. Namun demikian, anda dinasihatkan untuk mendapat maklumat atau keterangan lanjut dari doktor anda.

PEMERIKSAAN DARAH PERIFERI

Red Cell Indices
Red Cell Indices memberi petunjuk tentang ketaknormalan sel darah merah.

Hematokrit (PCV)
Nilai PCV yang rendah mungkin disebabkan oleh anemia, kehilangan darah dan anemia hemolitik. PCV yang tinggi boleh disebabkan oleh polycythaemia atau macrocytosis.

Hemoglobin (Hb)
Hb berperanan sebagai pengangkut oksigen kepada sel. Nilai Hb di bawah aras normal menandakan anemia.

Sel Darah Putih
Sel darah putih (SDP) bertindak sebagai sistem pertahanan tubuh terhadap mikroorganisma yang boleh mendatangkan penyakit. Ia boleh dibahagikan kepada 5 jenis iaitu neutrofil, limfosit, monosit, eosinofil dan basofil.
Kehadiran sel yang abnormal menandakan infeksi kronik. Kehadiran sel-sel yang tak matang (blasts cells) dalam darah periferi dan peninkatan nilai SDP menandakan leukemia.

Platelet
Platelet memainkan peranan yang penting dalam mekanisma pembekuan darah bagi mengelakkan kehilangan darah yang berlebihan.

ESR
Erythrocyte Sedimentation Rate (ESR) merupakan kadar enapan komponen selular dalam plasma dalam masa satu jam.

PBF (Peripheral Blood Film)
Smear darah nipis yang diwarnakan dengan pewarna tertentu dan diperiksa di bawah mikroskop. Impression yang diberikan adalah berdasarkan smear darah dan keputusan ujian darah yang lain.

Kumpulan Darah
Dua sistem yang biasa digunakan dalam penentuan kumpulan darah adalah ABO dan Rhesus (Rh). Melalui sistem ABO, kumpulan darah boleh dibahagikan kepada A, B, AB dan O. Taburan bagi setiap kumpulan adalah A (23%), B (23%), AB (5%) dan O (49%).
Di bawah sistem Rhesus pula, darah boleh dibahagikan kepada 2 kumpulan iaitu rhesus positif atau rhesus negatif.

URIN (FEME)
Urin atau air kencing dihasilkan dari proses penyaringan darah melalui ginjal. Kandungan urin bergantung kepada keadaan kesihatan dan pemakanan harian seseorang individu.

pH
Individu normal mempunyai julat pH antara 5.0 hingga 7.0. Faktor yang mempengaruhi pH urin seseorang individu adalah pemakanan harian, tempoh selepas pengutipan sampel, infeksi saluran urinari dan ketakseimbangan hormonal.

Glukos
Ujian saringan kehadiran glukos dalam urin adalah petanda seseorang individu itu mempunyai penyakit diabetes melitus. Namun demikian, kehadiran glukos dalam urin individu yang normal mungkin berlaku dalam individu yang mempunyai ambang glukos rendah; keadaan yang dikenali sebagai glukosuria.

Keton
Keton adalah hasil sampingan daripada metabolisma lemak dan dikumuhkan dalam urin. Keton biasanya hadir dalam pesakit diabetes mellitus kerana sel-sel badan tidak dapat menggunakan glukos sebagai sumber tenaga secara efektif.

Darah
Kehadiran darah dalam urin; hematuria;mungkin berpunca dari ginjal, saluran urinari atau pundi kencing. Hematuria dengan kesakitan adalah satu petanda kehadiran batu karang dalam salur urinari. Namun demikian, kehadiran darah dalam perempuan semasa haid biasanya dianggap normal.

Protein
Kandungan protein meningkat dalam individu yang mengalami infeksi saluran urinari, individu yang mempunyai tekanan darah tinggi, diabetes mellitus dan penyakit ginjal.

Specific Graviti (S.G.)
S.G. adalah indikasi daya pemekatan dan perkumuhan ginjal. Individu normal mempunyai julat S.G. antara 1.015 hingga 1.030.

Mikroskopi
Permeriksaan kandungan urin di bawah mikroskop.

Sel Darah Putih (SDP)
Hitungan kurang dari 5 dalam satu HPF dianggap normal. Peningkatan SDP dan kehadiran bakteria dalam urin adalah berhubungkait dengan infeksi saluran urinari.
Ujian kultur perlu dilakukan untuk menentukan jenis bakteria dan antibiotik yang perlu diberikan.

Sel Darah Merah (SDM)
SDM menandakan kehadiran darah dalam urin.

Sel Epithelia
Hitungan lebih dari 10 dalam satu HPF adalah indikasi infeksi saluran urinari.

Casts
Kehadiran cast granular mungkin menandakan kegagalan fungsi ginjal. Cast hialin boleh hadir dalam urin individu normal selepas senaman berat atau individu yang mengamalkan pemakanan diet kaya protein.

Kristal
Kristal urin yang biasa dilihat adalah kristal asid urik dan kalsium oksalat. Kehadiran kristal triple phosphate menandakan kemungkinan besar kehadiran batu karang ginjal.


UJIAN FUNGSI HATI

Protein (Albumin & Globulin)
Kedua-dua albumin dan globulin berguna untuk mengukur status pemakanan seseorang individu. Kedua-duanya juga berguna untuk mendiagnosis penyakit hati, gastrointestinal dan ginjal (buah pinggang), ketaknormalan protein, kanser dan kegagalan fungsi sel darah.

Bilirubin
Peningkatan aras bilirubin dalam serum boleh berpunca dari kegagalan fungsi hati, obstruksi salur hempedu atau penyakit sel darah merah. Manifestasi klinikal ialah penyakit kuning.

SGOT/AST/Aspartate Aminotransferase
Enzim akan dibebaskan ke dalam peredaran darah apabila sel tercedera dan aras akan meningkat mengikut tahap kecederaan pada sel.

SGPT/ALT/Alanine Aminotransferase
Ianya selalu digunakan bersama SGOT bagi mengukur fungsi hati dan mendiagnos penyakit yang berkaitan dengan kegagalan fungsi hati.

SAP/Alkaline Phosphatase
Paras ALP yang tinggi ditemui pada kanak-kanak, penyakit hati, obstruksi salur hempedu dan penyakit tulang.

UJIAN FUNGSI GINJAL (RENAL FUNCTION TEST)

Elektrolit
Elektrolit merupakan komponen yang penting dalam cecair badan dan keseimbangannya membolehkan berbagai sel dan organ berfungsi secara normal.

Urea
Urea merupakan hasil akhir metabolisma protein dan asid amino. Ia mengukur fungsi ginjal dan hidrasi. Walaubagaimanapun, ianya tidak boleh digunakan secara bersendirian dalam penentuan fungsi ginjal (hanya untuk ujian penyaringan sahaja).

Kreatinin
Kreatinin selalunya diukur bersama-sama urea untuk menentukan fungsi ginjal.

Asid Urik
Gout merupakan sindrom klinikal bagi pesakit yang mempunyai asid urik yang tinggi dalam darah dan pengenapan kristal urate pada tisu lembut; terutamanya pada sendi mengakibatkan respons inflamasi.
Parasnya dalam darah juga dipengaruhi oleh jumlah asid urik yang dihasilkan dan kecekapan eksresi ginjal.

LIPID STUDIES
Aras kolesterol darah memberikan indikasi risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan juga berguna untuk menilai fungsi hati dan tiroid.

Kolesterol
Peningkatannya boleh mengakibatkan penimbunan pada dinding salur darah menyebabkan penyempitan dan seterusnya penyumbatan saluran darah (arhterosclerosis).

HDL-Kolesterol
Ianya dikenali juga sebagai kolesterol yang baik (good cholesterol). Ianya berfungsi sebagai pengangkut bagi mengeluarkan kolesterol yang berlebihan dari sel. Nilainya boleh ditingkatkan dengan melakukan senaman harian.

LDL-Kolesterol
Ianya juga dikenali sebagai kolesterol yang tak baik (bad cholesterol). Kolesterol yang berlebihan akan diangkut oleh LDL ke dinding arteri; mengakibatkan artherosclerosis.

Trigliseride
Trigliseride merupakan asid lemak yang ditemui dalam aliran darah. Aras yang tinggi boleh meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.

Glukos (Kandungan gula darah)
Ianya biasa digunakan untuk mengdiagnos penyakit kencing manis (diabetes mellitus). atau bagi menilai tahap pengawalan glukos. Perubahan arasnya dalam darah bergantung kepada aktiviti individu dan juga jangkamasa selepas makan.
Individu dengan keputusan ujian glukos darah dalam keadaan puasa yang menghampiri nilai yang ditetapkan dikehendaki melakukan ujian Glucose Tolerance Test (GTT) untuk menentukan diagnosis penyakit kencing manis.

T4 (Thyroxine)
Aras T4 darah berguna sebagai ujian penyaringan bagi mengesan penyakit tiroid.

Kalsium & Fosforus
Kedua-dua ujian ini berguna bagi mengdiagnos penyakit ginjal dan penyakit tulang (skeletal disorders) serta digunakan untuk menilai elektrolit dan keseimbangan asid-bes.

HBsAg
Individu dengan keputusan HBsAg reaktif juga dikenali sebagai pembawa Hepatitis B (Hepatitis B carrier). Pembawa Hepatitis B mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit kanser hati dan kerosakan hati (cirrhosis) jika dibandingkan dengan orang normal.

Anti-HBs
Anti-HBs merupakan antibodi yang dihasilkan bagi melawan antigen permukaan Hepatitis B.

Rheumatoid Factor (RF)
RF boleh dikesan pada pesakit yang menghidap rheumatoid arthritis dan inflamasi kronik seperti sifilis, hepatitis, infectious mononucleosis dan leprosi.

VDRL
VDRL adalah ujian penyaringan bagi penyakit sifilis. Keputusan VDRL positif tidak semestinya menunjukkan seseorang individu itu mempunyai sifilis kerana kemungkinan terjadinya reaksi positif palsu. Ujian TPHA dilakukan untuk mengesahkan penyakit sifilis jika ujian VDRL didapati positif di peringkat awal.

Petanda Tumor (Tumour Markers)
Tumour markers merupakan salah satu ujian yang penting yang dapat digunakan bersama dengan ujian lain dalam diagnosis penyakit. Selain daripada mengesan dan mengikuti perkembangan sesuatu penyakit, penentuan dengan ujian petanda tumor tertentu juga dapat menolong mengdiagnos sesuatu penyakit secara klinikal.

CEA (Carcino Embryonic Antigen)
Ianya dihasilkan secara khusus oleh sel yang aktif membahagi (proliferatif). CEA dikesan dalam aras yang tinggi pada pesakit yang mempunyai tumor pada saluran gastrointestinal (pankreas, kolon, rektum), paru-paru, buah dada, kelenjar prostatik dan ovari. Parasnya dalam darah juga bergantung kepada faktor lain seperti kehadiran inflamasi dan juga tabiat merokok.

AFP (Alpha feto Protein)
AFP merupakan antigen onkofetal yang hadir pada sesetengah sel 'germ line tumour' seperti teratoblastoma, kanser testikular dan ovari, kanser hati (hepatocellular carcinoma) dan penyakit hati seperti cirrhosis, hepatitis dan nekrosis. Ujian ini biasanya digunakan secara meluas bagi mengdiagnos kanser hati.

PSA (Prostate Specific Antigen)
PSA dijumpai hanya pada tisu prostatik. Ianya digunakan untuk mengdiagnos kanser prostatik. Aras dalam darah juga meningkat pada keadaan benign seperti benign prostatic hypertrophy (BPH).

CA-125
Aras CA-125 berguna untuk mengesan perkembangan kanser dan nilainya mempunyai korelasi dengan saiz kanser.

CA-153
Aras CA-153 dalam darah meningkat dalam pesakit kanser payudara dan kanser paru-paru. Ianya digunakan untuk mengesan pertumbuhan kanser baru selepas terapi primer sebelum ianya dapat dikesan secara klinikal.

CA-199
Aras CA-199 biasanya meningkat pada pesakit dengan kanser intra-abdomen, adenokarsinoma paru-paru, perut, pundi hempedu dan kolon.

HSV II IgG (Herpes Simplex Type II IgG)
Infeksi HSV jenis II dikelasifikasikan sebagai penyakit jangkitan seksual. Namun begitu, infeksi HSV jenis I yang bukan penyakit seksual mungkin akan memberi keputusan ujian positif palsu. Ini adalah kerana kedua-dua virus tersebut mempunyai banyak persamaan (cross reactivity).

HAV IgG (Hepatitis A IgG)
Kehadiran antibodi adalah kekal dan dapat memberi perlindungan dari jangkitan berulang.

Anti HIV I & II
HIV (Human Immunodeficiency Virus) merupakan agen penyebab bagi penyakit AIDs (Acquired Immune Deficiency Syndrome). Strain virus yang utama adalah jenis I dan II.
Diagnosis serologi dan penyaringan jangkitan HIV adalah melalui pengesanan antibodi HIV (Anti HIV I & II). Pengesahan jangkitan HIV adalah melalui ujian Western Blot. Individu dengan keputusan ujian Anti HIV I & II negatif tidak bermakna ianya tidak dijangkiti kerana ujian yang dilakukan pada window period akan memberi keputusan negatif palsu.

Artikel berkaitan:

Ujian Am Makmal

Profil ujian makmal direka bentuk untuk memeriksa sebanyak mungkin penyakit dalam pelbagai sistem tubuh. Pengesanan awal penyakit boleh memberi anda peluang untuk mengatur langkah-langkah pencegahan penyakit. Pelbagai penyakit boleh dirawat dan komplikasinya boleh dicegah jika rawatan awal diberikan. Daripada ujian-ujian yang telah dijalankan, kami boleh menentukan sama ada ujian lanjutan diperlukan. Ini akan menjimatkan kos terhadap ujian-ujian yang tidak perlu dijalankan.

Kadar Rujukan ("rujukan normal")
Oleh sebab julat rujukan (kecuali bagi sesetengah ujian lipid) bagi populasi yang sihat pada kebiasaannya adalah pada nilai median 95%, ia tidak bermakna untuk setiap spesimen (walaupun daripada pesakit yang sihat) akan menunjukkan nilai yang 'normal' bagi semua ujian yang telah dijalankan. Oleh itu, langkah-langkah yang sepatutnya perlu diambil untuk mencegah sebarang keraguan dan ketidaknormalan yang kurang meyakinkan tanpa hubungkait klinikal.

Faktor Risiko Kardiovaskular

Jumlah Kolesterol
Ujian ini adalah untuk berat badan berlebihan (obesiti), tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Peningkatan tahap kolesterol boleh menyebabkan pemendakan lemak di dalam salur darah. Ini akan menyebabkan penyempitan salur darah dan seterusnya salur darah tersebut akan tersumbat (aterosklerosis). Tahap kolesterol di atas paras 6.2 MMOL/L adalah berkait rapat dengan gejala aterosklerosis dan peningkatan risiko terhadap penyakit arteri koronari (salur darah jantung).

Kolesterol HDL
HDL, atau dikenali sebagai kolesterol baik, membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah dan menghantarnya ke hati untuk dilupuskan. Kadar HDL yang tinggi mengurangkan risiko gejala aterosklerosis dan penyakit jantung.

Kolesterol LDL
LDL, atau dikenali sebagai kolesterol tidak baik, menyebabkan pemendakan kolesterol di dalam salur darah di mana ia membantu kepada pembentukan aterosklerosis. Kadar LDL yang tinggi meningkatan risiko untuk mendapat penyakit arteri koronari (salur darah jantung).

Nisbah Jumlah Kolesterol/ Kolesterol HDL
Salah satu cara untuk menilai risiko adalah dengan menggunakan nisbah jumlah kolesterol/ kolesterol HDL. Nilai yang rendah menunjukkan risiko yang dihadapi juga adalah rendah.

Trigliserida
Trigliserida adalah sejenis lemak yang terdapat pada tisu lemak di dalam badan manusia dan ianya merupakan sumber tenaga utama. Peningkatan trigliserida juga menyumbang kepada penyakit arteri koronari (salur darah jantung).

Protein C-reaktif bersensitiviti tinggi
Protein C-reaktif ialah bahan yang dihasilkan oleh hati dan dirembeskan ke dalam aliran darah. Rembesan ini akan bertambah dengan kehadiran keradangan. Keradangan memainkan peranan dalam permulaan dan penghasilan aterosklerosis, iaitu penyebab asas utama kepada Infaksi Miokardial (MI). Tahap CRP yang tinggi juga dikaitkan dengan risiko serangan jantung, strok iskemik, dan penyakit arteri peripheral (PVD).

Panel Kimia

Glukosa
Peningkatan tahap glukosa (gula dalam darah) menandakan berlakunya gejala diabetes mellitus (kencing manis). Tahap glukosa sepatutnya diukur ketika berpuasa (anda tidak seharusnya makan sama sekali dalam tempoh masa minimum lapan jam sebelum ujian dibuat). Jika keputusan didapati abnormal, pakar perubatan kebiasaannya akan membuat ujian susulan.



Urea Darah
Urea darah adalah produk terakhir bagi metabolisma protein. Peningkatan tahap urea darah didapati bagi individu yang mempunyai penyakit buah pinggang. Peningkatan tahap urea darah yang sedikit menunjukkan individu tersebut mengamalkan diet yang berprotein tinggi.

Kreatinin
Seperti urea darah, peningkatan tahap kreatinin juga berlaku pada individu yang mempunyai penyakit buah pinggang. Kreatinin adalah produk sampingan yang terhasil dari pemecahan kreatin pada otot.

Sodium dan Klorida
Elemen tersebut juga dikenali sebagai elektrolit. Tahap elektrolit adalah bergantung pada pengambilan cecair dan pengeluaran produk buangan oleh buah pinggang. Tahap abnormal berlaku pada individu yang mempunyai penyakit buah pinggang, hipertensi (tekanan darah tinggi) dan penyakit jantung.


Kalsium
Tahap kalsium yang rendah biasanya dikaitkan dengan pengambilan diet yang kurang. Kalsium adalah penting untuk kekuatan tulang dan gigi. Susu adalah sumber yang paling baik untuk kalsium.

Asid Urik
Tahap urik asid yang tinggi boleh menyebabkan gout, batu karang dan penyakit buah pinggang. Individu yang mempunyai tahap urik asid yang tinggi perlu mengurangkan pengambilan makanan berprotein tinggi seperti telur ikan dan organ dalaman (hati, paru-paru, limpa). Pengurangan pengambilan alkohol juga digalakkan.

Jumlah Protein, Albumin, Globolin
Peningkatan tahap jumlah protein berlaku pada dehidrasi, sama seperti kes-kes kronik hati seperti radang hati, myeloma serta jangkitan dan keradangan yang kronik. Albumin dan globulin adalah protein dan merupakan sebahagian daripada jumlah protein.


Jumlah Bilirubin
Tahap jumlah bilirubin yang tinggi didapati pada individu yang menghidap penyakit hati dan haemolitik anemia. Individu tersebut kebiasaanya menghidap jaundis (penyakit kuning-pada kulit dan mata).

Fosfates Alkalin
Fosfates alkalin adalah enzim yang dihasilkan di tulang dan sel hati. Peningkatan tahap fosfates alkalin didapati pada individu yang mempunyai masalah hati dan tulang. Ia juga terdapat pada kanak-kanak yang sedang aktif membesar.

Aminotransferes Aspartat (AST)
AST adalah enzim yang hadir di kebanyakan organ major seperti jantung dan hati, otot dan juga sel darah. Peningkatan tahapnya didapati pada infaksi miokardial akut (serangan jantung) dan radang hati.


Aminotransferes Alanin (ALT)
ALT adalah enzim yang terdapat pada hati. Peningkatan tahapnya menunjukkan kemerosotan sel hati dan ianya selalu terjadi pada penyakit-penyakit hati.

Tiroksin (T4)
T4 adalah hormon yang dihasilkan oleh kalenjar tiroid yang berfungsi dalam kitaran aktiviti metabolisma. Peningkatan tahapnya menunjukkan hipertirodisma, manakala kekurangannya pula menunjukkan hipotirodisma.

Perbezaan dan CBC

Hemoglobin, RBC, HCT
Hemoglobin (Hb) adalah pigmen merah di dalam sel darah merah (RBC). Ia berfungsi untuk mengangkut oksigen ke seluruh tisu tubuh. Tahap hemoglobin yang rendah menunjukkan individu tersebut menghidap anemia. Penghidap anemia biasanya kelihatan pucat dan cepat penat. Anemia boleh terjadi disebabkan oleh penghasilan sel darah merah (RBC) yang rendah, pengambilan nutrien seperti zat besi yang kurang dan juga keturunan. Hematokrit (HCT) merupakan peratusan sel darah merah (RBC) berbanding dengan cecair dalam darah.

Sel Darah Putih (WBC) dan Perbezaan Pengiraan
Sel darah putih (WBC) membantu tubuh menentang jangkitan dan menghilangkan debris. Terdapat beberapa jenis sel darah putih : neutrofil-melawan jangkitan bakteria, limfosit-melawan jangkitan viral, eosinofil-menentukan jangkitan parasit atau alahan, monosit-agen untuk membuang debris. Perbezaan pengiraan menunjukkan penyebaran jenis sel darah putih yang berlainan.

Pengiraan Sel Darah Merah
Isipadu Korpuskular Purata (MCV), Hemoglobin Korpuskular Purata (MCH) dan Kepekatan Hemoglobin Korpuskular Purata (MCHC) adalah nilai yang merujuk kepada isipadu sel darah merah dan kandungan hemoglobin dalam darah. Ia juga adalah ujian-ujian yang digunakan oleh pakar perubatan untuk menentukan abnormaliti pada sel darah merah.

Pengiraan Platlet
Adalah ujian untuk masalah pendarahan.


Analisis Urin

Buah pinggang menghasilkan urin dengan mengekstrakkan cecair dan bahan buangan dari darah yang melaluinya. Analisis urin boleh menentukan abnormaliti pada darah, buah pinggang dan trek urinari.

Warna
Menandakan keadaan fizikal seperti impuriti, darah, jangkitan, kepekatan dan sebagainya.


Keadaan
Urin mungkin berkeadaan jernih atau berkeladak. Urin yang berkeladak menandakan kehadiran impuriti atau jangkitan.

pH
pH menandakan sama ada urin tersebut bersifat alkali atau asid. pH adalah bergantung kepada jenis makanan yang dimakan pada hari sampel urin diambil.

Graviti Spesifik
Graviti spesifik menentukan kepekatan urin berbanding air.


Glukos
Glukos kebiasaannya tidak terdapat pada urin individu yang sihat. Glukos selalunya terdapat pada urin pesakit yang menghidap diabetes mellitus (kencing manis).

Protein
Protein kebiasaannya tidak terdapat pada urin individu yang sihat dan kehadirannnya dikaitkan dengan masalah buah pinggang. Kandungan protein yang kecil mungkin terdapat pada individu normal, pada spesimen yang berkepekatan tinggi atau selepas senaman yang berat.


Keton
Keton kebiasaannya tidak terdapat pada urin individu yang sihat. Kehadiran keton pada urin menandakan individu tersebut menghidap kencing manis atau kebuluran akut.

Bakteria/Nitrit
Kebiasaannya urin adalah steril. Kehadiran bakteria dan/atau nitrit dalam sampel urin yang baru diambil menandakan jangkitan pada trek urinari atau pundi kencing.

Bilirubin
Bilirubin kebiasaannya tidak hadir dalam urin. Kehadirannya menandakan masalah hati seperti hepatitis (radang hati).


Urobilinogen
Peningkatan tahap urobilinogen boleh terjadi pada individu normal. Walaubagaimanapun bagi sesetengah keadaan, ia menunjukkan masalah pada hati atau keadaan lain yang menghapuskan sel darah merah seperti Thalassemia.

Sel Darah Putih, Sel Epitelium, Sel Darah Merah, Casts, Kristal
Fungsi sistem urinari adalah membuang bahan buangan dari tubuh. Semasa proses pembuangan berjalan, sesetengah elemen sel juga dikeluarkan melalui urin. Sejumlah kecil sel darah putih, sel darah merah dan sel epitelium adalah normal. Casts dan kristal di dalam urin adalah abnormal.

Saringan Hepatitis (radang paru-paru)


Antigen permukaan Hepatitis B (HBsAg)
HBsAg hadir pada individu yang mempunyai virus hepatitis B yang aktif. Hepatitis B merupakan penyakit yang boleh membawa maut. Individu yang positif untuk ujian ini seharusnya mendapatkan khidmat nasihat pakar perubatan secepat mungkin.

Antibodi permukaan Hepatitis B (HBsAb)
Individu yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan hepatitis B atau melakukan imunisasi menentang hepatitis B telah mendapat antibodi terhadap HBsAg. Walaubagaimanapun, tahap antibodi akan menurun mengikut peredaran waktu dan dos ¡®booster¡¯ mungkin diperlukan jika ia jatuh di bawah julat perlindungan.

Ujian Saringan Am Lain

Kumpulan Darah & Jenis Rh
Terdapat empat kumpulan darah utama iaitu A, B, AB dan O. Kumpulan darah ini berkemungkinan adalah Rhesus (Rh) negatif atau positif. Adalah penting untuk mengetahui kumpulan darah anda jika proses pemindahan darah perlu dijalankan. Jika proses tersebut perlu dibuat, seseorang individu memerlukan darah dari kumpulan dan Rh yang sama.


Rapid Plasma Reagin (RPR)
RPR adalah ujian yang sangat sensitif untuk mengesan penyakit sifilis. Keputusan yang positif tidak semestinya menunjukkan individu tersebut menghidap sifilis. Oleh kerana ujian telah disetkan untuk mengesan keabnormalan pada tahap terendah, keputusan palsu-positif mungkin diperolehi. Walaubagaimanapun, pakar perubatan akan membuat pemeriksaan susulan sekiranya keputusan adalah positif.

Penanda Tumor (Ketumbuhan)

Pengukuran tahap penanda tumor amat berguna ¨C apabila digunakan bersama-sama pemeriksaan sinar-x atau ujian-ujian lain dalam mengesan dan mendiagnosis sesetengah jenis kanser. Bagaimanapun, pengukuran tahap penanda tumor semata-mata tidak mencukupi untuk mendiagnosis kanser atas sebab-sebab berikut:

Tahap penanda tumor boleh menjadi tinggi di kalangan mereka yang menghidap penyakit ketumbuhan yang tidak berbahaya (benign).

Tahap penanda tumor tidak meningkat pada setiap orang yang menghidap kanser, terutamanya pada peringkat awal penyakit itu.

Kebanyakan penanda tumor tidak spesifik kepada jenis kanser tertentu; tahap penanda tumor boleh menjadi tinggi disebabkan lebih daripada satu jenis kanser.
Kesimpulan yang dibuat berdasarkan ujian penanda tumor jarang diasaskan pada satu hasil ujian sahaja, tetapi berdasarkan satu siri keputusan ujian yang dipanggil pengukuran bersiri. Satu siri nilai yang bertambah atau berkurang adalah lebih signifikan dan tepat daripada cuma satu nilai.

Alpha-Fetoprotein (AFP)
Penanda tumor dikaitkan dengan kanser hati, testikular dan ovari. Keadaan tak berkanser yang boleh menyebabkan tahap AFP yang tinggi termasuk ketumbuhan benign seperti sirosis atau hepatitis; ataksia telangiaekstasia; sindrom Wiscott-Aldrich; dan mengandung.

Carcinoembryonic Antigen (CEA)
CEA selalunya ditemui dalam jumlah yang kecil dalam darah kebanyakan orang yang sihat, tetapi boleh menjadi tinggi dalam darah orang yang mempunyai kanser atau penyakit benign. Kegunaan utama CEA ialah untuk mengawasi kanser kolorektum, terutamanya apabila penyakit itu telah merebak. CEA juga digunakan selepas rawatan untuk memeriksa pertumbuhan semula kanser kolorektum. Bagaimanapun, pelbagai jenis kanser lain juga boleh menyebabkan peninggian tahap penanda ketumbuhan ini termasuk melanoma, limfoma dan kanser-kanser payudara, paru-paru, pankreas, perut, serviks, pundi kencing, buah pinggang, tiroid, hati dan ovari.
Peningkatan tahap CEA juga boleh berlaku pada pesakit bukan kanser termasuk penyakit radang usus, radang pankreas dan penyakit hati. Penggunaan tembakau juga boleh menyebabkan tahap CEA yang lebih tinggi daripada biasa.

CA 19-9
Mulanya ditemui pada pesakit kanser kolorektum, CA 19-9 juga didapati terdapat pada pesakit yang menghidap kanser pankreas, perut dan duktus hempedu. Penyelidik juga telah membuat penemuan bahawa di kalangan mereka yang menghidap kanser pankreas, tahap CA 19-9 yang lebih tinggi dikaitkan dengan penyakit yang telah merebak. Keadaan bukan kanser yang boleh menaikkan tahap CA19-9 termasuk batu karang, radang pankreas, sirosis hati dan radang pundi hempedu.

CA 15-3
Tahap-tahap CA 15-3 sangat berguna dalam siri rawatan untuk wanita-wanita yang didapati menghidap kanser payu dara, terutamanya kanser payu dara yang telah merebak. Tahap-tahap CA 15-3 jarang meningkat untuk wanita yang menghidap kanser payu dara peringkat awal. Kanser ovari, paru-paru dan prostat juga mungkin meningkatkan tahap-tahap CA 15-3. Tahap CA 15-3 yang tinggi juga boleh dikaitkan dengan keadaan bukan kanser seperti ketumbuhan payu dara atau ovari, endometriosis, radang pelvis dan radang hati. Mengandung dan penyusuan anak juga boleh menyebabkan tahap-tahap CA 15-3 meningkat.

CA 125
CA 125 dihasilkan oleh pelbagai jenis sel terutamanya sel kanser ovari. Kajian menunjukkan bahawa ramai wanita yang menghidap kanser ovari mempunyai tahap CA 125 yang tinggi. CA 125 disyorkan sebagai ujian pemeriksaan untuk kanser ovari apabila wujud sejarah sindrom kanser keturunan (satu pola kelompok kanser ovari dalam satu atau dua generasi).

Tidak semua wanita yang mempunyai tahap CA 125 tinggi menghidap kanser ovari. Tahap CA 125 boleh menjadi tinggi kerana kanser uterus, serviks, pankreas, hati, kolon, payudara, paru-paru dan sistem penghadaman. Keadaan bukan kanser yang boleh menyebabkan tahap CA 125 yang tinggi termasuk endometriosis, penyakit keradangan pelvis, peritonitis, radang pankreas, penyakit hati dan mana-mana penyakit yang meradangkan pleura (tisu yang melitupi paru-paru dan mengalas rongga dada). Datang haid dan mengandung juga boleh menyebabkan CA 125 meningkat.


Catatan: Tidak semua ujian darah yang abnormal menandakan anda mempunyai masalah kesihatan. Hanya pakar perubatan terlatih yang boleh menilai keputusan ujian darah anda dengan tepat. Ujian darah adalah hanya sebagai salah satu cara bagi pakar perubatan menilai tahap kesihatan anda. Sila hubungi pakar perubatan anda sekiranya anda mempunyai sebarang soalan mengenai ujian darah yang telah dijalankan.

Ini hanyalah maklumat am. Hubungi doktor jika anda memerlukan sebarang nasihat perubatan atau sekiranya keputusan perubatan perlu dibuat.