.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, July 26, 2010

0 Menonton filem lebih terasa jika anda pernah berkunjung ke lokasi penggambarannya

Kehebatan lokasi terpancar di filem

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

2010/07/26 APABILA berada di lokasi penggambaran filem atau drama, tentulah memberi kenangan lebih manis apabila menontonnya di panggung atau kaca televisyen.

Itulah yang saya rasai sebaik saja tiba di lokasi filem Nur Kasih di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor, Khamis lalu. Rumah kampung dua tingkat di tengah sawah padi itu masih segar lagi dalam ingatan ketika menonton siri Nur Kasih yang disiarkan di TV3 dari 29 Mei hingga 27 November tahun lalu. Ia adalah rumah Datuk Jalaluddin Hassan dan Liza Othman bersama anak-anaknya, Remy Ishak dan Fizz Fairuz kemudian turut dihuni Tiz Zaqyah.

Kini apabila drama yang mencetuskan fenomena mencatat jumlah penonton paling tinggi (4.3 juta) diangkat pula ke filem, rumah milik Juri Tumijan itu sekali lagi menjadi tumpuan lokasi. Ia menjadi lokasi pembukaan pada 20 Jun dan juga diakhiri di sini pada 24 Julai lalu manakala selebihnya di Kuala Lumpur untuk beberapa babak membabitkan kesan khas seperti kemalangan kereta api.


Selain Tanjung Karang, filem ini turut menjalani penggambaran di Jordan selama 10 hari. Ingatkan dapatlah melihat penggambaran filem di Jordan seperti janji produsernya sebelum ini kepada Harian Metro, namun kerana kekangan bajet, nampaknya sekadar meninjau ke lokasi di sini saja.


Sebelum ini saya berpeluang mengikuti penggambaran filem Mendam Berahi di Manila, Filipina dan Mr Cinderella 2 Di Chrischurch, New Zealand tetapi nampaknya melopong sajalah hendak ikut kru filem ini ke Jordan. Sekadar mendengar cerita pengalaman mereka sepanjang berada di sana dari 25 Jun hingga 5 Julai. Antara lokasi menarik, pemandangan indah di Petra yang pernah dipaparkan dalam banyak filem Hollywood seperti Indiana Jones.


Khabarnya, bukan mudah untuk kru sampai ke sana kerana perlu berjalan kaki sejauh empat kilometer kerana kenderaan tidak boleh menghampiri kawasan yang menjadi tarikan pelancong itu untuk mengekalkan keasliannya. Selama tiga hari di padang pasir, mereka juga mengalami cabaran ribut pasir dan keadaan kering hingga ramai kru jatuh sakit.


Baru-baru ini, saya menyaksikan filem Angels & Damon di Astro. Sebelum ini, saya tidak melepaskan peluang menyaksikan filem lakonan Tom Hanks ini di panggung tetapi ketika itu tidak cukup menghayati jalan ceritanya kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke Rom, Itali yang menjadi lokasi filem itu. Tapi selepas berpeluang ke sana pada Jun lalu, segalanya kembali terbentang di depan mata apabila jalan ceritanya banyak berkisar mengenai tempat menarik di Rom seperti The Vatican City bersama gereja St Peter, Piazza del Popolo, Trevi Fountain dan Castel Sant' Angelo.


Filem sebelumnya, Da Vinci Code juga lebih seronok ditonton bagi mereka yang sudah berpeluang ke Paris kerana dipaparkan tempat menarik di sana. Walaupun jalan ceritanya agak sukar difahami, dapat juga mengimbau semula kenangan manis ketika berkunjung ke sana.


Itulah kehebatan filem, kalau tidak pernah menjejakkan kaki ke lokasi itu, dapat juga melihat kehebatannya di layar perak. Banyak lagi kehebatan tempat penting dipaparkan dalam filem seperti Taj Mahal di India, piramid di Mesir, Tembok Besar China dan kota romantik Venice.


Rasa tidak sabar pula menonton Nur Kasih kerana sentuhan Kabir Bhatia tidak pernah mengecewakan seperti Cinta, Sepi dan Love. Tapi saya tidak berkesempatan menyaksikan Setem. Nur Kasih pula diangkat daripada drama bersiri yang mencetuskan fenomena dengan jumlah penonton tertinggi. Bagaimana agaknya kehebatan cinta Adam dan Nur Amina lakonan Remy Ishak dan Tiz Zaqyah yang sebelum ini menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan hingga membuatkan penonton menitiskan air mata? Seperti dapat menduga keinginan penonton mahu tahu bagaimana jalan cerita filem ini, Kabir mengambil tindakan untuk merahsiakannya. Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga apabila sebelum ini ada pihak menyebarkan jalan cerita bersirinya episod demi episod di Internet, hingga ramai yang tahu penamat cerita. Ramai juga mengeluh tidak berminat untuk terus menonton sirinya.


Filem diterbitkan Primeworks Studios bersama Filmscape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd ini dijangka untuk tayangan Februari atau Mac tahun depan. Pada mulanya, ia disasarkan untuk tayangan Disember tetapi nampaknya produser perlu akur dengan giliran kerana banyak filem sudah siap berbaris menanti tayangan. Daripada mengejar waktu tayangan pada Disember, agaknya lebih baik Kabir fokus dengan pembikinannya bagi memastikan filemnya ini hebat. Lebih baik begitu daripada berkobar-kobar hendak menyiapkan filem untuk ditayangkan segera di panggung tetapi akhirnya tidak tayang-tayang juga kerana macam-macam langkah perlu diambil sebelum filemnya boleh ditonton. Ada filem itu dikatakan ulang-ulang babak sama untuk memanjangkan cerita. Ada juga yang bimbang filemnya tidak mendapat sambutan hingga diperap sekian lama walaupun sudah lama siap. Contoh terbaik, filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang ditayangkan tahun lalu selepas empat tahun siap. Tapi sayangnya hanya mencatat kutipan RM29,000.

0 comments: