.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, February 03, 2013

1 Transisi Aktor Ben Affleck Menjadi Sutradara Piala

Ben, aktor nakal jadi sutradara piala MENJULANG piala kemenangan bergelar Sutradara Terbaik di Anugerah Golden Globe. RESAH gelisah menyelubungi diri Ben Affleck sewaktu filem ketiga arahannya, Argo mahu dipertontonkan kepada umum. Dia mengaku perasaan itu bermain-main dalam benaknya. Dahulu, dia tidak tahu kepentingan untuk turun promosi sewaktu bergelar pelakon tetapi dia sanggup berbuat apa sahaja. Ben Affleck yang awalnya seorang aktor kini sutradara filem Argo yang tidak mendapat pencalonan untuk Anugerah Academy tahun ini. Namun filem itu mengalami pemulihan nama baik dengan meraih dua piala Anugerah Golden Globe dalam kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik (Drama). Begitu juga kemenangan di Anugerah SAG dan Critics' Choice Awards. "Saya tidak peduli dengan penghargaan," terang Ben saat menerima piala sebagai sutradara terbaik. Keresahannya ternyata berhujung apabila filem itu mendapat bukan sahaja tempat dalam hati para peminat tetapi akademi penganugerahan dan pengkritik filem. Minta maaf daripada JLo Untuk seorang lelaki yang berumur 40 tahun, Ben sudah memiliki sebuah kehidupan yang sempurna. Isteri yang cantik, tiga orang cahaya mata yang membesar, filem yang mendapat penghargaan serta cerita nakalnya yang luput dalam ingatan khalayak. "Saya berasa seperti kerja saya dinilai atas sebab yang betul. Itu merupakan perasaan yang yang baik, itu yang saya mahukan. Apabila khalayak mula melihat apa yang kamu lakukan malah memberi merit ke atasnya. Saya bekerja sangat kuat dan saya sangat mengambil peduli. Sebuah penghargaan buat saya untuk melakukan apa yang saya lakukan sekarang. "Ramai orang mahu membuat sesuatu. Saya mahu pastikan apabila saya menoleh semula, 15 tahun daripada sekarang dan berkata, 'saya menyukai filem yang saya buat. Saya bersyukur membuat filem-filem ini'. Saya sudah berada dalam fasa di mana saya tidak perlu sembunyikan apa-apa. Apa yang saya tahu, saya sangat bahagia. Saya suka filem yang saya buat. Malah saya gemarkan peluang dapat membuat filem. Itu sebuah kemenangan, di Hollywood," katanya tentang kehidupannya sekarang yang dilihat lancar. Aktor filem Armageddon, Chasing Amy dan Dogma ini dahulunya dilihat sebagai selebriti parti. Kini seiring usia dan benang hidup yang mula tersusun cantik, dia merupakan seorang bapa yang bangun seawal pukul 6 pagi dan masuk tidur pukul 9 malam. Usia perkahwinan yang mencapai angka tujuh beserta kehidupan harmoni bersama Violet, 8, Seraphina, 4, dan Samuel, 1, menunjukkan transisi hidup Ben. Sifat kebapaan mengubah haluan hidupnya. "Benar. Saya juga mula tidak pedulikan perkara-perkara remeh yang saya tidak perlu ambil tahu. Bagi saya, kemaafan adalah satu hal yang sihat. Saya pernah menjadi bahan berita muka hadapan tetapi biarlah kerana lelaki ini ada pekerjaan yang harus dilaksanakan. Saya juga ada tanggungjawab terhadap diri sendiri," luahnya. Ben mengaku pernah berasa dia perlu meminta maaf daripada bekas kekasih, Jennifer Lopez (JLo), tentang filemnya yang tidak menjadi dan berasa bertanggungjawab akan hal itu. Kisah dirinya dan Jennifer pernah menjadi fenomena hingga mereka diberi jolokan 'Bennifer'. Ben mendakwa, dia masih berhubungan dengan JLo atas tali persahabatan. Mereka mengutus e-mel dan mengucapkan tahniah atas kerja masing-masing. Sewaktu JLo menjadi juri untuk American Idol, Ben mengutus kata-kata semangat buat bekas tunangnya itu. BEN (kiri) mengaku Jennifer (kanan) mengubah hidupnya menjadi lebih baik. Puncak kerjaya Argo bukan filem pertama arahan Ben. Terdahulu dia pernah mengarahkan filem Gone Baby Gone (2007) dan The Town (2010). Hasil kejayaan yang ditempa Argo, Ben telah dipilih untuk menggantikan David Yates sebagai sutradara filem adaptasi novel Stephen King, The Stand. Pihak Warner Bros juga dikatakan mengintai Ben untuk mengarahkan filem Justice League namun pelawaan itu ditolak Ben. "Saya suka bertindak sebagai pengarah. Saya bertindak dan saya tahu bahawa saya berpeluang untuk mempunyai ruang untuk memberi pendapat. Saya cuba untuk mewujudkan persekitaran yang merehatkan untuk para pelakon. Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu. Anda boleh berjalan di luar kamera dan tidak mengapa. Apa-apa sahaja yang mungkin menjadi baik," ujar seorang pengarah yang fleksibel. Sebagai seorang teman rapat yang paling mengerti perjalanan hidup Ben, aktor Matt Damon yang dikenali sejak usia 8 tahun nampak transisi tersebut. Kata Matt: Ben pernah berada di puncak dan di bawah. Kini dia melihat Ben sedang berada di puncak kembali. "Dia mendapat pengiraan penuh tentang apa kehidupan di Hollywood boleh tawarkan. Kini, dia selesa berada di situ." Kini dalam setiap kata-kata dan gerak nafas Ben, turun naiknya banyak berbunyi semangat sutradara. Dia berasa penuh tanggungjawab membawa predikat tersebut. "Saya mengambil rasa tanggungjawab untuk mengarah dan benar-benar daripada hati. Inilah tempatnya di mana saya boleh mengawal semua aspek yang berbeza dan bukan cuma sekadar kotak persembahan anda. "Saya cuba untuk melakukan perkara yang berbeza dan saya membuat kesilapan. Saya melakukan beberapa perkara yang betul dan kemudian saya berkahwin dan mempunyai anak-anak dan yang ia banyak membantu. Kemudian saya memutuskan untuk hanya melakukan filem yang saya percaya," jujur penerangan lelaki yang pernah berpacaran dengan Gywneth Paltrow ini. Suami Jennifer Garner ini merangkumi kehidupan yang dilaluinya kini. Dia pernah dilihat sebagai salah seorang pelakon Hollywood yang kacak dan dikelilingi wanita hebat. Dia kemudian pada satu takuk tampil dengan sisi serius sebagai pelakon dan sutradara yang berjuang untuk sisi kreatif dan perjuangan seninya. Garner yang dijodohkan dengannya dalam filem Daredevil menyumbang kepada pemikiran ini. "Jennifer memainkan peranan yang mendalam dalam menjadikan saya seorang yang lebih baik. "Kami tidak mempunyai perkahwinan yang sempurna, tetapi dia inspirasi saya. Mencari diri dalam perkahwinan dan mempunyai anak semakin menjadikan diri saya lebih matang," kata Ben . "Bertuahnya, pada fasa ini saya berasa bebas daripada perkara-perkara negatif. Akhirnya, satu hari, saya akan ditemu ramah dengan perkara-perkara yang tidak melibatkan cerita-cerita tabloid 2003," ujar Ben menutup tirai gosip dan pada satu sisi lain membuka pintu jayanya. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2JmPfyORN Hakcipta terpelihara

0 Filem, Aswara dan P Ramlee

Kekalkan mesej filem P. Ramlee Oleh IKHWAN IDERIS ikhwan.ideris@kosmo.com.my KUALA LUMPUR - Filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mempunyai mesej tersendiri untuk menjana pemikiran penonton dan elemen tersebut sepatutnya menjadi fokus utama Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee. Rakan seperjuangan P. Ramlee, Datuk Sarimah Ahmad berkata, elemen-elemen itu penting kerana ia menjadi ramuan utama kenapa mesej filem P. Ramlee terus kekal dihayati walaupun selepas 39 tahun Allahyarham meninggal dunia. "Penonton boleh mengambil iktibar dan pengajaran daripada setiap filem arahan P. Ramlee, misalnya dalam filem Anakku Sazali yang menceritakan kasih sayang seorang bapa yang terlalu memanjakan anaknya. "P. Ramlee merupakan seorang yang mendahului zamannya. Jadi, pengarah filem muda sekarang perlu rajin buat kerja rumah, memerhatikan alam sekeliling dan mendalami hubungan sesama manusia bagi menghasilkan filem yang mengandungi mesej dan erti tersendiri," katanya ketika dihubungi di sini semalam. Mengulas mengenai elemen dan ciri yang perlu ada pada karya Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee yang dianjurkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Sarimah berkata, semuanya terserah kepada kreativiti peserta. "Saya akui arwah merupakan seorang yang genius dalam bidangnya dan tidak ramai manusia yang mempunyai bakat yang sama. "Bagaimanapun, sekiranya arwah masih hidup sekarang, kita tidak mengetahui bagaimana corak pemikiran beliau, jadi terserah kepada kreativiti pengarah sekarang untuk menghasilkan sesuatu filem," katanya. Sementara itu, anak P. Ramlee, Sazali menyokong penuh usaha untuk menghasilkan semula filem-filem P. Ramlee supaya ia terus kekal dalam ingatan peminat pada masa depan. "Bagi saya, tidak mengapa sekiranya karya tersebut dilihat terkeluar sedikit daripada filem asal, biarlah ia dihasilkan dengan idea dan gaya tersendiri," katanya. Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM70,000 iaitu RM20,000 kepada juara, RM15,000 untuk tempat kedua dan tempat ketiga RM10,000 selain lima hadiah penghargaan RM5,000 setiap satu. Maklumat lanjut dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.aswara.edu.my. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2JmKfrPWa Hakcipta terpelihara Artikel berkaitan: Pelbagai aktiviti dianjurkan sempena Festival P. Ramlee bermula bulan ini Dec 04, 2012 KUALA LUMPUR, 4 Dis – Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam usahanya menyemarakkan lagi kenangan, sanjungan dan penelitian terhadap seniman negara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menganjurkan Festival P. Ramlee yang berisi dengan pelbagai aktiviti. Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Dr Mohamad Hatta Azad Khan berkata mulai bulan ini pelbagai aktiviti diadakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kementerian itu termasuk penganjuran pertandingan Bintang P. Ramlee semalam di Auditorium RTM, yang disertai peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei. “Pertandingan ini akan diadakan setiap tahun oleh RTM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Mohamad Hatta berkata RTM juga sedang menyiarkan 10 telemovie melalui slot ‘Tribute P. Ramlee’ dengan mengguna pakai tajuk lagu-lagu P. Ramlee. “Telemovie ini ditayangkan setiap malam Ahad sejak awal November lalu. Antara tajuk-tajuknya ialah ‘Getaran Jiwa’, ‘Tunggu Sekejap’, ‘Di Manakan Ku Cari Ganti’, ‘Hanya Dikau’, ‘Titisan Kasih’ dan lain-lain,” katanya. Beliau berkata Istana Budaya pula akan mementaskan Muzikal Ali Baba pada 21-29 Disember ini. “Pementasan teater tersebut pernah diangkat pada tahun 2006 dengan berkonsepkan teater muzikal kanak-kanak. Pada tahun ini, bersempena Festival P.Ramlee, ia diangkat semula buat kali kedua berkonsep remaja dan dibintangi oleh Aznil Haji Nawawi, Fizo Omar, Elfira Roy dan ramai lagi,” katanya. Mohamad Hatta berkata Festival P.Ramlee yang bertajuk ‘Dari Masa Hingga Masa’ merupakan lanjutan dari pelancaran Kursi P.Ramlee selaras dengan harapan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menyuarakan selain melibatkan bidang penyelidikan mengenai P. Ramlee, pelbagai aktiviti perlu diadakan seperti teater, pertandingan gubahan lagu dan sebagainya, bagi mengangkat kejayaan dan kecemerlangan seniman agung negara itu. Beliau berkata untuk itu, pada 1 Januari tahun depan, Aswara dengan kerjasama Finas dan RTM akan melancarkan Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee, yang terbuka kepada karyawan amatur berumur antara 18 hingga 40 tahun. Pertandingan filem yang memakan masa lima hingga tujuh minit itu perlu menggunakan tajuk filem P. Ramlee, satu watak dan sebaris dari watak filem-filemnya, kata beliau. Tarikh tutup pertandingan pada 28 Februari dengan keputusan akan diumumkan pada Mei depan, tambahnya. Beliau berkata: “Filem pendek yang melepasi saringan awal akan disiarkan melalui youtube dan RTM selama sebulan mulai 22 Mac 2013 Sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran P.Ramlee. Siaran ini membolehkan penonton untuk menilai dan membuat pilihan”. Mohamad Hatta berkata Aswara pada Februari 2012, akan mengadakan program ‘P.Ramlee Dari Desa’ yang merupakan program bagi mencungkil bakat-bakat seni yang berada khususnya di luar bandar. “Program ini akan dijalankan oleh ASWARA dengan kerjasam Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN) dan RTM, dan melibatkan beberapa kategori yang relevan dengan bakat P.Ramlee seperti nyanyian, bermain alat muzik dan lakonan,” katanya. Beliau berkata Aswara juga akan menganjurkan syarahan Perdana P. Ramlee yang berbentuk siri syarahan tiga kali dalam setahun oleh tokoh penyelidik dalam bidang seni, muzik, teater dan filem, yang akan bermula pada Februari tahun depan. Dalam bidang penyelidikan pula, Aswara akan melancarkan Pengajian Pasca Siswazah dan Penganugerahan Zamallah P. Ramlee, di mana sesi pengajian 2013-2014 akan bermula pada Jun tahun depan. “Butiran lanjut mengenai Zamallah ini akan diiklan dalam akhbar tempatan pada Mac 2013,” katanya. Beliau berkata segala aktiviti yang dianjurkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan adalah antara usaha yang dijalankan untuk menghargai jasa P.Ramlee yang telah mencipta nama di persada negara dan antarabangsa sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan penggubah lagu. – Bernama Artikel berkaitan: UiTM, UMK janji hantar 20 filem Oleh ZULKIFLI MANZOR zulkifli.manzor@kosmo.com.my KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengesahkan akan menghantar 20 penyertaan pada Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee yang bermula semalam hingga 2 Mac depan. Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof. Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, UMK tidak akan melepaskan kesempatan menyertai pertandingan yang dapat memberi peluang kepada pelajarnya menimba pelbagai pengalaman berguna. "UMK akan menghantar sekurang-kurangnya 10 karya ke pertandingan itu memandangkan universiti ini antara hab pengajian bidang kreatif di negara ini. "Kemenangan pastinya akan dapat memberi galakan kepada pelajar untuk menyelami bidang perfileman dengan lebih mendalam," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. Sehubungan itu, Abu Hassan menyeru para pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain supaya mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut supaya dapat mengetengahkan kreativiti masing-masing. Katanya, pertandingan anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu merupakan plat form terbaik untuk pelajar memperoleh pendedahan dalam industri perfileman sebenar. Sementara itu, Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM, Aminah Rhapor memuji penganjuran Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee kerana ia bertepatan dengan matlamat memartabatkan industri perfileman di negara ini. Beliau percaya penganjuran pertandingan seperti itu akan dapat meningkatkan minat golongan pelajar dalam bidang perfileman bagi menghasilkan karya yang menarik dan bermutu untuk dipertontonkan kepada umum. Beliau yakin UiTM akan menghantar sebanyak 10 filem pendek kerana pihaknya memang mengalu-alukan penglibatan pelajar dalam pertandingan seumpama itu. "Sudah tentu kami akan memastikan pelajar kami menghantar karya mereka. UiTM sentiasa menyokong dan akan memberi kerjasama kepada pelajar dalam penghasilan filem pendek yang terbaik," katanya. Pertandingan Filem Pendek Inspirasi P. Ramlee menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 kepada juara, tempat kedua (RM15,000), ketiga (RM10,000) dan lima hadiah penghargaan RM5,000 setiap satu. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan menerusi laman web www.aswara.edu.my. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2JmTB7Oyn Hakcipta terpelihara