.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, May 15, 2010

0 Militan adalah racun dunia, memalukan bangsa, memalukan agama. Sebaiknya tanya apa sumbanganmu kepada negara bukan apa sumbangan negara ke atasmu?

Militan Indonesia dipercayai mahu serang Susilo, Obama

JAKARTA 14 Mei - Polis Indonesia mematahkan komplot oleh puak militan untuk membunuh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, pegawai kerajaan dan tetamu asing dalam serangan semasa sambutan hari kemerdekaan pada 17 Ogos ini.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri (gambar) berkata, militan merancang serangan itu dengan mendapat inspirasi daripada serangan yang membunuh 166 orang di Mumbai, India pada November 2008.

"Mereka merancang untuk membunuh Presiden, pegawai kerajaan dan tetamu asing yang menghadiri sambutan hari kemerdekaan," kata Bambang pada sidang media di sini hari ini.

Militan Indonesia 'merancang beberapa pembunuhan di Jawa dan Jakarta dengan warga asing terutamanya rakyat Amerika menjadi sasaran utama mereka, selain Presiden Indonesia', katanya.

Mereka juga merancang untuk menggempur hotel-hotel dengan meniru serangan di Mumbai, dan jika serangan-serangan itu berjaya, puak militan akan mengisytiharkan Indonesia sebagai sebuah negara yang menjalankan pemerintahan Islam, tambah beliau.

Ketua Polis itu bercakap pada taklimat mengenai siri serbuan yang dilancarkan oleh polis antikeganasan baru-baru ini, berikutan penemuan sebuah kem latihan militan di Aceh pada Februari lepas.

Bambang berkata, 58 suspek pengganas ditangkap dan 13 lagi dibunuh dalam serbuan sejak tiga bulan lalu.

Sementara itu, pakar berkata, serbuan polis baru-baru ini menunjukkan militan di Indonesia mungkin menukar strategi daripada melancarkan serangan bom kepada pertempuran bersenjata ala tentera.

"Itu cara paling berkesan untuk menyerang warga asing tanpa membunuh penduduk awam Indonesia," kata Noor Huda Ismail daripada Institut bagi Memupuk Keamanan Antarabangsa.

Katanya, 'impian' militan ialah membunuh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang dijadual melawat Indonesia pada pertengahan Jun ini.

Sebelum itu, pakar perisikan, Mardigu Wowi Prasantyo yang mengikuti siasatan polis, berkata, Obama adalah antara individu yang dipercayai menjadi sasaran puak militan yang ditangkap dalam serbuan polis baru-baru ini. - AFP/Reuters

0 Piala Thomas: Ulasan jujur Lin Dan: " Kami sama bagus tetapi kali ini Dia bukan dirinya yang sebenar. "

Chong Wei amat tertekan - Lin Dan

KUALA LUMPUR - Lin Dan berkata, aksi kaku dan permainan tertekan Datuk Lee Chong Wei memudahkan tugasnya untuk menumpaskan jaguh No. 1 dunia itu 21-17, 21-8 dalam perlawanan berat sebelah di Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam.

Juara Olimpik dan dunia itu mengakui, lawannya tidak menunjukkan permainan sebenar akibat tidak mampu menanggung bebanan hebat untuk membantu Malaysia mengembalikan Piala Thomas selepas 18 tahun.

Biarpun diganggu oleh ribuan penonton tuan rumah yang bersorak untuk Chong Wei dan kadang kala mengejeknya, namun kata Lin Dan keadaan itu tidak memberi tekanan kepadanya, sebaliknya Chong Wei yang lebih tertekan.

"Sebenar(nya)permainan saya dan Chong Wei sama bagus tetapi hari ini dia bukan dirinya yang sebenar. Dia jelas amat tertekan, mungkin kerana Malaysia terlalu mengharapkan dia untuk merampas kembali Piala Thomas selepas 18 tahun.

"Lagipun, selepas memenangi semua kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, malah Piala Thomas, saya kini menjadi pemain yang lebih relaks dan tidak mudah tertekan. Saya bermain dengan lebih seronok kerana tiada apa yang hendak dibimbangkan," kata Lin Dan, yang membuka bajunya sebaik menundukkan Chong Wei dalam masa 47 minit.

Kata Lin Dan, dia jarang melakukan perkara seperti itu kecuali terlalu gembira. Dia pernah melakukan perkara yang sama ketika menundukkan jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade selepas memenangi perlawanan final Piala Thomas di Jakarta 2004.

"Itu (buka baju) bukan kebiasaan saya, tetapi saya akan melakukannya kalau terlalu gembira. Enam tahun lalu saya amat gembira, hari ini juga saya sangat gembira kerana mengalahkan Chong Wei di depan penyokongnya sendiri," katanya.


Artikel berkaitan:

China memang terbaik – Rashid, (Rexy)

Oleh FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my


KUALA LUMPUR – China memang terbaik, kami tewas kepada pasukan yang bagus, itulah kata-kata yang diberikan oleh jurulatih Malaysia selepas ditunjukkan jalan keluar oleh China apabila kalah 0-3 dalam perlawanan separuh akhir Piala Thomas 2010, semalam.

Tidak ada apa lagi yang dapat disimpulkan oleh ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek dan jurulatih beregu, Rexy Mainaky melainkan hanya melemparkan kata-kata pujian kepada penyandang juara itu apabila anak-anak buahnya tewas mudah.

Bagi Rashid, mereka kalah kepada sebuah pasukan yang memang kuat dan seimbang walaupun pemainnya telah sedaya upaya memberi tentangan kepada China.

“Saya lihat dengan begitu jelas sekali mereka memang sebuah pasukan yang kental dan telah membuat persiapan rapi untuk mempertahankan trofi ini,” katanya selepas perlawanan antara Malaysia dan China tamat di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Jelasnya, pemainnya telah berhempas-pulas untuk menewaskan pemain China tetapi gagal melakukannya dan dia mengakui pasukan negara tembok besar itu berhak untuk mencatat kemenangan semalam.

“Kita memang merasakan persiapan yang telah kita lakukan sudah terbaik, tetapi kita silap, China telah melakukan persiapan yang lebih baik berbanding kita, walaupun ada pemain mereka tewas pada beberapa kejohanan sebelum ini termasuk Lin Dan di kejohanan All England.

“Kualiti yang mereka pamerkan sangat berbeza berbanding sebelum ini, mungkin mereka telah meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan ini dengan tidak mempedulikan kejohanan lain ataupun ranking dunia,” katanya.

Ditanya mengenai peluang Malaysia bagi kejohanan yang sama dua tahun lagi ketika Wong Choong Han dan Muhammad Hafiz Hashim sudah meniti usia, Rashid berkata, Malaysia tidak ada cara lain selain membentuk pemain muda menjadi pemain yang berkualiti.

“Kita tidak ada pilihan untuk itu selain membangunkan pemain-pemain muda tidak kira cara apa sekali pun kita mesti mengerah mereka menjadi pemain yang hebat,” katanya.

Sementara itu, Rexy juga berpendapat yang sama dengan Rashid dengan mengatakan pasukan China yang gagal dijinakkan mereka betul-betul terbaik dan dia sangat terkejut dengan permainan yang dipamerkan oleh kesemua pemain negara itu.

“Kita sudah melakukan segalanya, memberikan tentangan yang habis baik kepada mereka tetapi China ternyata sukar untuk ditundukkan baik pemain perseorangan mahupun beregu,” katanya selepas tamat perlawanan itu.

0 Tanda aras Malaysia adalah global, mesti kelas dunia, bukan hanya slogan. Jangan remehkannya! Dari azam itu cita-cita

PM: Transformasi besar akan berlaku

PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya transformasi besar akan berlaku di negara ini jika momentum ekonomi dan program transformasi kerajaan dapat dipupuk dan diperkukuhkan.

Perdana Menteri menegaskan, sebab itu tempoh 10 tahun akan datang ini memerlukan semua pihak terutama para penjawat awam menunjukkan kecergasan dan kehebatan luar biasa dalam menggalas cabaran mencapai matlamat negara maju 2020.

Beliau menarik perhatian bahawa Malaysia ketika ini belum mencapai peringkat kemantapan tetapi dalam perjalanan untuk merapati fasa akhir negara maju.

''Kita sudah dekat dengan garis penamat, kita kena pecut dan bukannya sudah habis angin... tercungap-cungap.

''Saya tidak mahu sesiapapun memperlekehkan Malaysia dan sedikit sebanyak apabila saya jumpa Presiden (Barack) Obama (baru-baru ini), saya tidak fikir dia bagi pertemuan dua hala dengan saya kalau dia tidak lihat Malaysia ini negara yang stabil dan berjaya.

''Dalam hal ini, kita perlu menjadi kerajaan yang berkesan supaya dapat mengisi jangkaan dan harapan rakyat yang semestinya semakin kritikal. Oleh itu tanda aras kita mesti global, kelas dunia dan bukan sekadar slogan," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman dan beberapa menteri Kabinet.

Dalam aspek ini, Perdana Menteri turut menjelaskan maksud kerajaan berkesan yang ingin dilihat oleh beliau berlaku iaitu berkesan pada peringkat makro (keseluruhan) dan berkesan dari segi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.

''Ini kerana dari sudut makro penting kerana kalau (kerajaan) tidak diuruskan dengan baik dan tepat, maka sesebuah negara boleh terjerumus dalam lembah yang tidak menentu dengan pelbagai masalah dalaman seperti rusuhan.

''Perkara ini (rusuhan) tidak terbatas di negara membangun tetapi juga berlaku di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang tidak sepatutnya terjadi seperti di Greece yang dibebani masalah hutang," katanya.

Kata beliau: ''Apabila kerajaan tidak diuruskan dengan baik, maka yang sengsara adalah rakyat dan pekerja.

''Sebab itu soal dalam menghasilkan kerajaan yang berkesan ini menjadi tanggungjawab bersama dan Alhamdulillah, berkat kerjasama bekerja sebagai satu pasukan, pertumbuhan ekonomi dalam suku pertama tahun ini melonjak kepada 10.1 peratus."

Menurut Perdana Menteri, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu bukan kerana dasar fiskal, kewangan dan usaha kerajaan semata-mata tetapi juga disebabkan bantuan serta komitmen para penjawat awam.

0 Penjawat awam bergaji rendah mendapat perhatian PM. Kumpulan sasaran ini pula sedang fikirkan angkasanya

Tekad naikkan gaji pekerja

Oleh ZULKIFLI JALIL dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak sampai hati melihat gaji penjawat awam rendah dan yakin kerajaan diketuainya mampu meningkatkan pendapatan per kapita negara dari AS$7,000 (RM22,400) kepada AS$15,000 (RM48,000) dalam tempoh 10 tahun ini.

Tegas Perdana Menteri, meskipun amat mencabar, usaha merealitinya boleh dicapai.

Kata beliau, tekad untuk meningkatkan pendapatan negara itu akan turut melibatkan para penjawat awam yang memperoleh gaji minimum sekitar RM1,024.

''Saya tidak suka melihat penjawat awam bergaji rendah.

''Apabila saya dengar baru-baru ini pekerja pos dapat gaji di bawah garis kemiskinan, saya minta ia dikaji semula, naikkan dan insya-Allah, gaji mereka akan naik Julai ini dengan 15,000 orang dapat gaji baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.

Omar baru-baru ini berkata, CUEPACS mahu kerajaan melakukan semakan semula gaji kakitangan awam, bukannya membuat penyelarasan gaji.

Menurutnya, CUEPACS tidak menuntut penyelarasan gaji sebaliknya mahu semakan gaji kakitangan awam membabitkan kenaikan antara 20 dan 40 peratus kepada 1.2 juta kakitangan awam di seluruh negara.

CUEPACS, kata beliau, akan menolak sebarang cadangan untuk membuat penyelarasan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah 400,000 kakitangan yang menerima gaji terlalu rendah iaitu antara RM480 dan RM690 sebulan.

Perdana Menteri berkata, konsep negara perlu berteraskan kepada modal insan jika mahu menjurus kepada ekonomi inovatif dan berpengetahuan.

''Kalau nak membangun, rakyat yang berpengetahuan tinggi mesti diberi gaji yang setimpal, ini termasuk penjawat-penjawat awam.

''Dengan ini akan berlaku anjakan di mana kita iktiraf dari segi kemampuan ilmu, kemahiran dan kebolehan supaya apa yang kita beri dari segi gaji dan kemudahan sama ada dalam sektor awam atau swasta biarlah setanding dengan negara-negara maju yang lain," katanya.

Kata beliau: ''Dalam aspek ini, kita akan lakukan dengan tingkatkan produktiviti. Produktiviti ini penting sejajar dengan semangat yang diberikan penjawat awam."