.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, January 27, 2012

0 Apabila gaji isteri lebih tinggi, suami lebih rela jaga rumah

Jumlah ‘suri rumah’ lelaki di Britain meningkat tiga kali ganda

LONDON: Jumlah suami yang menjaga rumah tangga di Britain meningkat lebih tiga kali ganda sejak 15 tahun lalu, kata satu kajian dijalankan agensi kerajaan.

Menurut media, tahun lalu seramai 62,000 lelaki dianggap “tidak aktif secara ekonomi” ketika pasangan masing-masing keluar bekerja.

Pada 1996, jumlah lelaki seumpama itu hanya seramai 21,000 orang.

Ia juga menunjukkan, kira-kira 1.4 juta lelaki di seluruh Britain memegang peranan utama sebagai penjaga anak-anak.

Kaji selidik Pejabat Statistik Kebangsaan dikumpul untuk majalah The Spectator itu tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan berkurangan.

Ramai percaya satu daripada punca keadaan itu berlaku disebabkan perubahan sikap masyarakat terhadap peranan lelaki dan wanita.

Ketika ini, sebahagian besar golongan bapa gembira melepaskan peranan tradisi mereka sebagai pencari nafkah utama, sebaliknya mengambil tanggungjawab menjaga rumah tangga.

Ketua dasar kekeluargaan kumpulan pemikir Civitas, Anastasia de Waal, berkata beberapa dekad lalu pandangan bahawa lelaki menjadi pencari rezeki utama begitu kukuh.

"Ia kini berubah apabila lelaki lebih selesa menjaga rumah tangga,” katanya.

Keputusan kaji selidik itu juga menyatakan, jumlah lelaki tidak bekerja itu tidak termasuk golongan penulis atau seniman bebas yang bekerja di rumah.

Satu lagi kaji selidik terbaru menyatakan, jumlah bapa yang menjaga anak-anak meningkat 10 kali ganda - atau seramai 1.4 juta orang - berbanding sedekad lalu. Di kalangan bapa yang tidak bekerja itu, 43 peratus berkata, mereka berasa bertuah kerana berpeluang tinggal di rumah dan membesarkan anak-anak.

Bagaimanapun, 46 peratus pula berkata, keputusan menjadi penjaga anak-anak dibuat bagi membolehkan penyumbang utama ekonomi keluarga terus bekerja.

Kaji selidik sama menyatakan, pertukaran tanggungjawab menjaga rumah dan anak-anak itu menyebabkan hampir seorang bagi setiap lima bapa berasa mereka “kurang jantan,” manakala kira-kira seorang daripada setiap lapan bapa mengaku tugas di rumah jauh lebih sukar berbanding bekerja di luar.

Kumpulan bapa itu berharap dapat memperoleh pendapatan lebih tinggi supaya mereka boleh mengambil alih tugas mencari rezeki di luar daripada pasangan masing-masing.

Ketika wanita kini mampu menyara keluarga, satu per tiga daripada mereka berasa bersalah kerana keluar bekerja dan meninggalkan anak masing-masing di bawah jangan pasangan mereka. - DM

Wednesday, January 25, 2012

0 Desakan mendapat pekerjaan yang baik untuk kehidupan yang lebih baik

Menjana pekerjaan menerusi pendidikan tinggi
Oleh Dr Sharifah Hapsah

2012/01/25
Sekolah, universiti perlu lahir graduan berkualiti, bukan hanya pentingkan kelulusan

PADA masa lampau semua lulusan universiti terjamin memperoleh pekerjaan yang baik, khususnya dalam perkhidmatan awam yang sedang pesat berkembang. Apabila negara mencebur diri dalam perindustrian, ramai pula diterima bekerja dengan pihak swasta. Malah ada mahasiswa yang terus mendapat tawaran pekerjaan ketika masih berada di tahun akhir pengajian mereka. Namun keadaan ini sudah berlalu. Graduan termasuk yang memperoleh biasiswa pun tidak lagi terjamin akan diberi pekerjaan. Keadaan ekonomi ialah antara faktor penyebab seperti juga faktor kebolehupayaan graduan itu sendiri mendapat pekerjaan. Kita perlu berusaha menangani kedua-dua faktor ini supaya pengangguran tidak akan menjadi satu masalah rumit dalam kalangan graduan.

Nampaknya masalah yang amat meresahkan kita dewasa ini bukannya peningkatan kos rawatan pesakit, puak pelampau dan keganasan global atau pun pencemaran alam sekitar tetapi ketandusan pekerjaan yang baik untuk semua.

Dalam buku The Coming Jobs War yang berdasarkan satu bancian pendapat orang ramai, penulisnya Jim Clifton, yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gallup, menyatakan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, masyarakat telah berubah daripada menginginkan kasih sayang, wang, makanan, perlindungan, keselamatan, kedamaian dan kebebasan kepada desakan untuk mendapat pekerjaan yang baik untuk diri dan anak-anak mereka.

Bancian ini juga mendapati bahawa tiga bilion daripada sejumlah lima bilion manusia berumur 15 tahun ke atas memaklumkan kepada Gallup bahawa mereka sedang bekerja atau mahukan pekerjaan. Masalahnya, kini ada 1.2 bilion pekerjaan formal sekurang-kurangnya 30 jam, dengan pendapatan tetap.
Keadaan ini boleh mewujudkan tekanan yang boleh menggugat kestabilan masyarakat akibat 1.8 bilion orang, merangkumi hingga seperempat daripada keseluruhan jumlah manusia di dunia, tidak mempunyai pekerjaan tetap. Pengangguran ialah masalah besar yang boleh mendatangkan kekecewaan dan kehampaan rakyat sesebuah negara. Ini dengan sendirinya boleh menyebabkan kemerosotan nisbah kesejahteraan negara. Penganggur ialah rakyat yang amat murung sehingga ada yang memerlukan lebih banyak rawatan kesihatan.

Pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai perhubungan rapat. Tanpa pertumbuhan KDNK penambahan pekerjaan tidak akan berlaku. Apabila tidak ada penambahan pekerjaan, pertumbuhan KDNK juga tidak akan berlaku. Justeru, penjanaan pekerjaan baru dan pertumbuhan baik KDNK ialah antara unsur perubahan utama yang boleh membawa kepada kesejahteraan dunia.

Maka, Program Transformasi Negara (GTP) yang diharap membuahkan hasil dalam jangka masa Rancangan Malaysia Kesepuluh dan ke-11 seiring dengan Model Baru Ekonomi adalah langkah tepat untuk menjana peluang pekerjaan. Wawasan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi adalah sejajar dengan rangsangan pertumbuhan ekonomi, penjanaan pekerjaan dan penarikan pelaburan. Matlamat akhirnya ialah jaminan peningkatan kualiti hidup rakyat yang mana tidak seorang pun akan terpinggir, manakala masa hadapan generasi akan datang tidak pula terabai.

Pelajaran ialah asas dan landasan kepada GTP. Ia adalah juga satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan dan menjadi satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi, selain keperluannya Program Transformasi Luar Bandar dan Program Transformasi Politik.

Dengan itu, pengetua sekolah dan naib canselor universiti harus berpandangan jauh dan tidak hanya tertumpu kepada kadar kelulusan graduan tetapi turut memberi tumpuan kepada pendidikan yang dapat menjamin peluang pekerjaan yang lebih cerah.

Kebanyakan pekerjaan kini dijana oleh syarikat kecil dan sederhana (SKS). Di Amerika Syarikat misalnya 99 peratus daripada sejumlah enam juta syarikatnya mempunyai kurang daripada 500 pekerja. Penubuhan SKS pula memerlukan pencipta inovasi dan usahawan. Bagaimanapun, pencipta inovasi saja tidak memadai.

Inovasi belum tentu dapat dimajukan tanpa pengusaha berbakat yang boleh menilai dan menterjemahkan inovasi itu untuk dibangunkan sebagai satu usaha perniagaan. Pengusaha itu harus pula sudah mempunyai corak dan strategi perniagaan hingga dapat mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pengguna untuk jualan dan mendatangkan keuntungan. Pertumbuhan KDNK dan penjanaan pekerjaan akan terlaksana dengan hasil perniagaan, bukannya daripada inovasi semata-mata.

Universiti perlu menyumbang kepada transformasi kebangsaan bukan saja dengan penghasilan graduan yang memenuhi keperluan ekonomi baru serta menjana ilmu untuk menyokong sistem inovasi kebangsaan, tetapi juga berperanan menjana pekerjaan.

Oleh itu sebuah universiti penyelidikan seperti UKM perlu memupuk budaya inovasi dan keusahawanan sebagai suatu nilai teras akademiknya. Inovasi, khususnya inovasi berteknologi memupuk dinamisme keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menerusi inovasi dan keusahawanan universiti bukan saja menghasilkan jurutera, saintis dan pereka ciptaan, tetapi juga pengusaha dan kelompok berbakat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang boleh memberi nilai tambah kepada syarikat terbitan universiti yang memberi manfaat kepada institusi, fakulti dan pelajar. Lebih penting lagi budaya inovasi dan keusahawanan akan dapat menanam keyakinan dan meningkat semangat para graduan untuk membenih idea sehingga tumbuh subur sebagai perniagaan melalui inovasi dan keusahawanan.

Misalnya di UKM pelajar semua bidang pengajian sejak tahun pertama lagi sehingga tahun akhir didedahkan kepada usaha dan pengalaman membawa hasil penyelidikan kepada pasaran. Mereka juga diberi ruang bekerja dengan SKS untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan memenuhi kehendak pasaran.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 19, 2012

0 Kehebatan Muzik Retro dan kehebatan Aizat mencipta lagu

Aizat pilih muzik retro untuk album ketiga
Oleh Muhamad Fairoz Azizan

2012/01/18
AizAT memperkenalkan Amir (kiri) sebagai artis pertama naungannya.



AizAT memperkenalkan Amir (kiri) sebagai artis pertama naungannya.

TERTARIK dengan melodi dan susunan muzik era 60-an dan 70-an, Aizat Amdan terdetik menghasilkan album berentak sedemikian bagi percubaan ketiganya nanti.
Berasakan muzik terbabit kembali mendapat tempat dan diterima peminat, album itu bagaimanapun bakal diperkuatkan lirik terkini.
Idea menampilkan kembali muzik retro tercetus selepas penyanyi yang dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 itu mendengar lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Datuk A Rahman Hassan. “Album ketiga nanti akan fokus kepada susunan muzik dan bunyi, malah saya akan masukkan irama lama ke dalam lagu moden kerana banyak maklum balas yang saya terima menyatakan mereka minat dengan lagu sedemikian.

“Walaupun iramanya sederhana, tetapi saya akan hasilkan sesuatu yang menarik terutama dari segi lirik supaya ia senang diingati. Lagu sebegini tidak terlalu kompleks dan berkonsepkan light and easy,” katanya pada majlis memperkenalkan artis baru di bawah syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment (KGE), Amir Jahari.

Album yang memuatkan lebih 10 lagu terbaru itu hanya akan menjalani proses rakaman pertengahan Februari kerana studio rakamannya sedang diubahsuai.
Aizat, 23, juga merancang penerbitan album Inggeris pertamanya sebelum berangkat menyambung pengajian di United Kingdom, tahun ini.

“Sekarang saya sibuk menulis lagu dan setakat ini sudah 16 lagu disiapkan. Tetapi tidak semua lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru nanti," katanya. Tidak hanya menumpukan kepada bidang nyanyian, KGE turut menerbitkan program televisyen berbentuk travelog, Aizat Gegar New Zealand, siaran TV9, di samping terbabit dalam filem animasi, Bola Kampung.
“Insya-Allah lepas ini KGE akan terbabit dalam penghasilan lagu tema untuk filem atau drama, selepas filem Istanbul Aku Datang," ujarnya.

Sementara itu, Aizat berkata dia tertarik untuk mengambil bekas peserta Akademi Fantasia 9 dari Sarawak itu sebagai artisnya kerana bakat dimiliki penyanyi berkenaan.

“Dia boleh bermain muzik dan mencipta lagu. Insya-Allah dia juga akan muncul bersama albumnya sendiri, di samping menghasilkan lagu untuk artis lain,” jelasnya.

Tidak berasakan Amir menumpang popularitinya, sebaliknya Aizat menegaskan, bakat baru itu mempunyai aura tersendiri dalam memperkenalkan muziknya, malah kekuatan melodi dan lagunya mampu menarik minat pendengar.

Tuesday, January 03, 2012

0 Kinabatangan Sabah lebih ramai warga asing daripada penduduk tempatan





Artikel berkaitan:

Jumlah penduduk Malaysia yang terkini : 27,565,821 orang
14,112,667 lelaki dan 13,453,154 perempuan
6,396,174 isi rumah dan 7,380,865 tempat kediaman di seluruh negara
Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna bagi merancang dan melaksanakan dasar pembangunn negara. Banci sebelum ini dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000
Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi dalam negara dengan 5,411,324 orang (19.63 peratus) setelah mencatat kadar pertumbuhan penduduk 3.17 peratus
Putrajaya yang mempunyai 67,964 penduduk mencatat pertumbuhan penduduk paling pesat iaitu 17.77 peratus akibat perpindahan kebanyakan pejabat kerajaan serta perpindahan penduduk ke kuarters kerajaan di situ.
Labuan, Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan adalah antara negeri yang mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan penduduk
Mengenai kadar kesuburan penduduk, beliau berkata ia menurun kepada 2.3 peratus pada tahun lepas berbanding tiga peratus pada tahun 2000.
Dijangka pada tahun 2015 terdapat kemungkinan kadar kesuburan penduduk di Malaysia turun kepada 2.1 peratus seperti juga di negara maju

0 Kenapa Lin Dan atau China terlalu handal dalam badminton?

Pengasas Apple inspirasi Lin Dan



Lin Dan

BEIJING - Bintang badminton China, Lin Dan semalam mendedahkan, pengasas Apple Inc., Steve Jobs adalah orang yang memberi inspirasi kepadanya untuk berjaya.

Lin Dan mendedahkan, dunianya terus berubah selepas membaca biografi lampau Jobs, di mana dia memasang azam yang kuat untuk mengejar mimpi.

Juara Olimpik dan dunia itu turut menambah, dia mahu menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh dalam sukan badminton menerusi permainan dan karisma yang ada pada dirinya.

"Walaupun dia (Jobs) tiada kaitan dengan sukan, namun saya sangat berinspirasi selepas membaca biografinya. Kami selalu memikirkan bagaimana hendak mempromosikan badminton dengan lebih jauh menerusi pengaruh kami dan bagaimana hendak menarik orang ramai meminati bulu tangkis,'' kata Lin Dan dalam satu temu bual dengan stesen TV China, baru-baru ini.

Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, dia membaca buku tersebut ketika sedang bersantai dan tidak mempunyai latihan atau pertandingan.

Biarpun masih gagal merampas takhta No. 1 dunia daripada bintang Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan mengharungi karier yang menakjubkan, termasuk merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat di Arena Wembley, Ogos lalu, iaitu venue yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik London 2012.

Dia turut melengkapkan gelaran "Grand Slam" dengan menumpaskan rakan senegara, Chen Long untuk merangkul kejuaraan Siri Super Masters Akhir di Li Zhou, China pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun di mata Lin Dan, bintang tenis China, Li Na yang muncul pemain pertama negaranya merangkul kejuaraan tenis Grand Slam dengan memenangi Terbuka Perancis, lebih layak ditabal sebagai bintang sukan terbaik China sepanjang 2011 kerana menunjukkan prestasi yang luar biasa.

Kejuaraan yang diraihnya berbeza dengan kemenangan kami pada Sukan Olimpik, dia telah merubah nilai sukan China di mata dunia. Saya harap, lebih ramai orang China akan melakukan apa yang telah dilakukan,'' katanya.

Lin Dan turut mendedahkan, dia terkejut dengan keputusan rakan senegara, Bao Chunlai untuk bersara secara tiba-tiba, bagaimanapun dia memahami mengapa pemain itu membuat keputusan tersebut.

Bercakap mengenai perancangannya pada 2012, Lin Dan menegaskan, fokusnya cuma satu, Sukan Olimpik London.

"Selain itu, saya juga merancang masa depan saya. Saya harap dapat mempromosikan badminton dalam cara yang baik tetapi sekarang, saya tahu peminat saya hanya mahu saya terus bermain dan mencari kejayaan,'' katanya lagi. - AGENSI

0 Peruntukan RM5j untuk majukan industri kreatif di Sabah

6 syarikat terima dana bangun industri kreatif



Mohd. Nazri Abdullah (kiri) diiringi Tengku Zaib Raja Ahmad (tengah) menyampaikan cek pendahuluan kepada Pengurus Syarikat Mentari Tropika (Sabah) Sdn. Bhd., Abu Bakar Elah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 1 Jan. - Buat julung kalinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat tempatan bagi membangunkan industri kreatif di negeri ini.

Ketua Pegawai Perkhidmatan dan Sokongan SKMM, Tengku Zaib Raja Ahmad berkata, melalui perjanjian itu pihaknya akan menyalurkan dana kepada enam syarikat terpilih bagi membangunkan kandungan kreatif tempatan.

"Dana daripada peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tempoh tiga tahun itu diberi berdasarkan kos program yang dibuat oleh sesebuah syarikat industri kreatif di negeri ini.

"Jadi kita berharap ia akan menjadi pendorong kepada kerancakan pertumbuhan industri kandungan kreatif di Sabah dan Sarawak," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara SKMM dengan syarikat-syarikat pembekal bagi program TVi di sini kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd. Nazri Abdullah dan Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul.

Enam syarikat tempatan yang terpilih ialah Erawave Sdn. Bhd., Bestaborneo Sdn. Bhd, Apple Studio Production, Layar Kinabalu Sdn. Bhd., Mentari Tropika (Sabah) Sdn. Bhd dan Tampasak JA Production.

Pada majlis itu keenam-enam syarikat berkenaan turut menerima cek pendahuluan sebanyak 30 peratus daripada jumlah yang bakal diterima mereka.

Tambah Tengku Zaib, melalui perjanjian itu SKMM berperanan menyediakan dana manakala RTM akan memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syarikat terbabit.

Katanya, program yang disiapkan oleh syarikat berkenaan kemudiannya akan ditayangkan di TVi.

"Menjadi harapan SKMM agar eksperimen kerjasama kali pertama ini akan menghasilkan impak positif kepada perkembangan industri kandungan kreatif di Sabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga akhir tahun ini SKMM telah meluluskan sebanyak RM34 juta projek bagi membangunkan industri kreatif di seluruh negara.

Ujarnya, daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta digunakan dalam kerjasama strategik RTM dan SKMM bagi membangunkan kandungan Sabah dan Sarawak untuk saluran TVi.