.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, December 12, 2010

0 Trend filem ringan jadi pilihan di pawagam perlu diimbangi filem lebih berat untuk mencapai standard antarabangsa

Sampai bila 'filem ringan' terus jadi pilihan ramai?
Oleh Akmal Abdullah

2010/12/12
Pembikin filem harus lebih berani, kreatif hasilkan karya mencabar minda

INDUSTRI filem tempatan masa kini semakin rancak jika melihat dari segi jumlah penerbitan filem cereka, selain sokongan padu diberikan terhadap kebanyakan karya yang memasuki pawagam serta mencapai kutipan box-office yang baik, malah luar biasa. Tahun ini, satu catatan sejarah kutipan filem tempatan berlaku apabila filem komedi, Adnan Sempit berjaya mencecah kutipan RM7.8 juta. Ketika ini juga satu lagi filem terbitan MIG Productions, Ngangkung sehingga kelmarin dikatakan hampir mencecah RM7.4 juta. Ia masih terus ditayangkan dan produsernya tidak menolak kemungkinan mampu mencapai sasaran RM8.5 juta. Trend sambutan filem box-office tempatan selalunya ialah filem yang dikategorikan sebagai ‘filem ringan’, iaitu kisah dipaparkan adalah cerita biasa yang mudah, ringkas dan padat elemen hiburan jenaka, kisah cinta dan ada elemen komersial seperti genre seram atau aksi lasak.

Ini dibuktikan menerusi filem lain yang mencapai box-office apabila memasuki pawagam sepanjang tahun ini seperti Evolusi KL Drift 2 (RM6 juta), Santau (RM4.3 juta), Lagenda Budak Setan (RM4.4 juta), Jangan Pandang Belakang Congkak 2 (RM4.5 juta) dan V3: Samseng Jalanan (RM3.8 juta).

Ketika ini juga, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mula ditayangkan sejak Khamis lalu, turut dilaporkan mencapai sambutan memberangsangkan. Magika yang dijulang sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 turut mencapai kejayaan box-office dengan catatan RM3.5 juta.

Dari satu aspek, sambutan box-office yang bagus ini penting kerana mampu membuktikan filem tempatan juga boleh berdaya saing dari segi pasaran dan memeriahkan pawagam di negara sendiri. Ini penting supaya pawagam masih boleh bernafas seterusnya menyuburkan kegiatan perfileman yang membuka peluang kepada bakat baru muncul, selain peluang pekerjaan dalam industri berkembang secara konsisten.
Namun, filem yang mendapat sambutan itu tidaklah dalam kategori ‘filem hampas’ seperti dilabelkan pihak tertentu kerana ia masih mempunyai makna dan mesej untuk disampaikan. Seperti Ngangkung, walaupun ia sekadar komedi biasa dengan lakonan selamba Shaheizy Sam dan Angah Raja Lawak, mesejnya tetap ada dengan mengingatkan penonton supaya tidak terpengaruh perbuatan nombor ekor atau tahi judi kerana kesannya buruk terhadap diri dan keluarga.

Meninjau semula pada era 1970-an dan 1980-an, filem box-office juga adalah filem dikategori sebagai filem ringan atau sekadar memuatkan pengisian yang tidak mencabar minda, tetapi ia tetap diberi sokongan padu penonton seperti filem Si Badul terbitan 1979, filem Panglima Badul, Gila-Gila, Prebet Lapok, Adik Manja, Mat Tenggek, Da Di Du, Penyamun Tarbus, Sikit Punya Gila, Mekanik, Ali Setan dan Azura.

Tetapi tempoh itu sambutannya tetap seimbang dengan filem genre drama atau heavy drama yang cenderung untuk mengajak penonton menghayati dan berfikir secara berat apabila filem sedemikian mendapat sambutan baik seperti Detik 12 Malam, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu, Hapuslah Air Matamu, Sumber Ilhamku, Abang, Dia Ibuku, Langit Petang, Potret Maria, Pemburu, Raja Laut dan Pertentangan.

Era 1990-an juga walaupun ada filem lambakan yang cuba mencabar minda penonton seperti Bintang Malam, Abang 92, Wanita Bertudung Hitam, Azizah The Legenda, Perempuan Isteri Dan.... serta Amuk, ia mula menyaksikan sambutan filem sedemikian sukar mendapat keyakinan penonton. Sebaliknya, buah tangan Datuk Yusof Haslam dan Aziz M Osman seperti Sembilu, Sembilu 2, Maria Mariana, XX Ray, Senario The Movie dan banyak lagi mula mencipta trend filem komersial.

Justeru, suasana dan sentimen penonton ke pawagam yang menggemari filem ringan bukan satu perkara baru kerana ia diwarisi sejak dulu. Sambutan terhadap filem jenis sedemikian masih meningkat, walaupun pada zaman makin mencabar menerusi ledakan ilmu dan maklumat.

Menyalahkan penonton yang mempunyai cita rasa sedemikian adalah tidak wajar kerana mereka berhak menentukan cita rasa mereka. Mereka mempunyai pilihan... jika tidak menonton filem tempatan, mereka masih berpeluang memilih filem import khususnya dari Hollywood, Hong Kong dan Bollywood.

Persoalannya, sampai bila kita mahu membiarkan trend sokongan seperti ini hanya menjurus kepada filem ringan yang tidak mencabar minda? Industri filem harus mencari dan menambah penonton baru yang boleh meraikan filem lebih serius pada pemikiran, nilai budaya dan isu disampaikan. Industri kini sedang menanti tayangan untuk menguji selera penonton baru dan sedia ada seperti Hanyut arahan U-Wei Saari dan Hikayat Merong Mahawangsa arahan Yusry Abdul Halim.

Pandangan ini turut disokong pensyarah filem dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Megat Al Imran Yassin, yang akur kehendak penonton hingga sanggup berpusu-pusu ke pawagam untuk membeli tiket bagi memenuhi cita rasa mereka berhibur dengan filem tempatan.

Katanya, kegiatan filem harus difahami mempunyai dua aspek, iaitu sebagai seni untuk mendidik dan medium hiburan.

Dr Megat yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, berkata kecenderungan ramai penonton memilih filem ringan sebagai bahan hiburan bukan untuk berfikir dengan mendalam ketika berada dalam pawagam.

“Mereka tidak boleh dipersalahkan atau dianggap tidak suka berfikir sebab bukan saja remaja yang pergi pawagam, malah ada mereka berpendidikan tinggi juga menonton filem ringan bersama ahli keluarga. Ini kena balik pada pembikin filem sendiri untuk lebih kreatif mendidik menerusi filem. P Ramlee pun buat filem lawak nampak bodoh, tetapi bijak mendidik penonton atas nama komedi dan hiburan.

Bekas pensyarah filem dari Universiti Sains Islam Malysia (USIM), Dr Naim Ahmad pula berkata, jika filem dibuat sekadar untuk hiburan, ia tidak membawa apa-apa perkembangan dari segi mutu dan kejayaan dari sudut seni dan pemikiran meskipun ada mesej cuba disampaikan secara ringkas.

“Dari sudut seni perfileman, sebaliknya ia bagus untuk industri filem supaya pawagam kita meriah dengan filem tempatan. Namun, sampai bila-bila pun kita tidak membangun minda penonton, walaupun kita bercakap kita mahu melangkah ke negara maju.

“Penerbit filem penting untuk bangunkan industri filem kita. Mereka harus utamakan perniagaan mereka, jadi menggunakan pendekatan menghasilkan filem yang boleh memberi keuntungan juga tidak salah. Cuma, kita mahu wujudkan suasana seimbang supaya industri filem kita dihormati dan mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.