.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, February 19, 2010

0 Syukurlah apa yang ada, jika minyak telah habis hendak dapat 100j atau 500j pun tentu payah

Sumber: UM:

Petronas Gas untung RM966.28 juta

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Petronas Gas Bhd. (Petronas Gas) telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai belum diaudit berjumlah RM966. 28 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir pada 31 Disember 2009.

Ia mewakili peningkatan sebanyak RM81.718 juta berbanding RM884.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Petronas Gas dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia di sini hari ini berkata, perolehan syarikat dalam tempoh sembilan bulan pertama, menguncup sedikit kepada RM2.41 bilion berbanding RM2.47 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Manakala pendapatan asas sesaham syarikat itu adalah sebanyak 37.37 sen.

Jumlah dividen keseluruhan yang dibayar pula adalah sebanyak RM963.9 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding RM840.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Perolehan syarikat untuk suku ketiga yang berakhir 31 Disember 2009 adalah RM810.9 juta berbanding RM832.9 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu,'' kata kenyataan tersebut.

Keuntungan sebelum cukai untuk suku ketiga Petronas Gas pula adalah sebanyak RM343.3 juta berbanding RM222.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Petronas Gas memberitahu, peningkatan keuntungan itu didorong oleh kos perolehan yang lebih rendah.

Mengulas prospek perniagaan pada tahun ini, Petronas Gas berkata, walaupun prospek perolehan untuk kegiatan pemerosesan dan transmisi perniagaan bergantung kepada permintaan gas, tetapi ia tidak menjejaskan keuntungan.

Prospek untuk perniagaan utiliti pula bergantung kepada pemulihan ekonomi.

"Sebarang perubahan harga gas akan memberi kesan kepada harga yang ditawarkan kepada para pelanggan,'' ujarnya.

0 Wahai manusia, apabila lawak budak sekolah Fabianski ini jadi tajuk popular semalam, marilah kita jangan sebodoh atau lalai seperti itu?

Sumber: UM:

Porto hukum Arsenal


PENJAGA gol Arsenal, Lukasz Fabianski (kanan) tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Martin Hansson (dua dari kiri) memberi sepakan percuma kepada Porto, sambil diperhatikan pemain Porto, Ruben Micael (dua dari kanan) dan pemain Arsenal, Sol Campbell dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Porto semalam. – AP

--------------------------------------------------------------------------------



LONDON – Dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan penjaga gol Arsenal menghukum kelab Liga Perdana England itu apabila tunduk 2-1 kepada Porto dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik bola sepak Liga Juara-Juara Eropah di Porto, semalam.

Mimpi ngeri skuad Gunners bermula seawal minit ke-11 selepas penjaga gol keduanya, Lukasz Fabianski, yang mengisi tempat penjaga gol utama, Manuel Almunia terlepas bola tendangan lemah Silvestre Varela.

Penjaga gol muda Poland berusia 24 tahun itu kemudian melakukan satu lagi kesilapan amatur, menangkap bola hantaran ke belakang daripada rakan sepasukan, Sol Campbell, yang membawa kepada gol kemenangan Porto.

Walaupun Campbell berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan cantik pada minit ke-18, namun gol kontroversi Porto yang disempurnakan Radamel Falcao di minit ke-51 menafikan hajat skuad Gunners untuk membawa pulang bekalan lebih selesa.

Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana pemain Porto mengambil sepakan percuma yang pantas ketika pemain-pemain Arsenal masih bercakap dengan pengadil, Martin Hansson.

Amat malang sekali, Hansson membenarkan jaringan tersebut sekalipun dibantah keras oleh Arsenal.

Kemenangan itu membolehkan Porto, juara Eropah 2006 membawa bekalan apabila berkunjung ke London untuk perlawanan kedua di Stadium Emirates, 9 Mac ini.

Bagi pengurus Arsenal, Arsene Wenger tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut adalah satu kesilapan besar.

“Saya percaya ia (hantaran ke belakang) tidak disengajakan oleh Sol, dia tersentuh bola secara tidak sengaja.

“Malah, pengadil juga sepatutnya memberikan kami masa untuk membuat tembok pemain dan bukan membenarkan lawan mengambil sepakan yang pantas pada ketika pemain kami belum lagi bersedia,’’ ujar Wenger kepada televisyen Britain.

Kapten Arsenal, Cesc Fabregas pula berkata, pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi ekoran kesilapan tidak sepatutnya.

“Bila anda melepaskan gol seperti ini, anda tidak boleh pergi ke mana-mana. Kesilapan budak sekolah, apa yang boleh anda lakukan ?,’’ kata Fabregas.

Jaringan tersebut juga menenggelamkan penampilan pertama Campbell dalam kancah Eropah, empat tahun selepas beraksi buat kali pertama buat Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Ia sepatutnya menjadi malam indah buat Campbell selepas menjaringkan gol penyamaan yang cantik, tujuh minit selepas jaringan pembukaan Porto.

“Keputusan ini tetap baik buat Arsenal kerana mereka menjaringkan gol di tempat lawan,’’ kata pengurus Porto, Jesualdo Ferreira. – AP

0 Apabila BI harus digunakan di dunia global, kita akan tahu bahawa BI ini penting. Dalam membaca news paper pun kita dapat rasa kerugiannya

Sumber: BH:

Atase Indonesia didakwa lemah bahasa Inggeris


Pegawai terbabit kerap ambil cuti sakit elak temui wakil asing

JAKARTA: Beberapa duta Indonesia di kedutaan luar negara begitu lemah berbahasa Inggeris sehinggakan mereka mengambil cuti sakit bagi mengelakkan pertemuan dengan pegawai asing, kata pegawai kanan Kementerian Luar.

Imron Cotan, pegawai nombor dua di Kementerian Luar Indonesia, memberitahu jawatankuasa parlimen bahawa masalah itu bukannya berpunca daripada diplomatnya sendiri tetapi pegawai atase yang dihantar ke kedutaan oleh kementerian lain termasuk pertahanan, perdagangan dan kewangan.

"Saya mendapati sebilangan pegawai atase kami tidak lancar berbahasa Inggeris," lapor akhbar Jakarta Post kelmarin. Imron memberitahu jawatankuasa parlimen yang menyiasat pencapaian diplomat Indonesia.

"Setiap kali rakan sejawatan mereka dari negara tuan rumah ingin mengadakan pertemuan, mereka akan takut dan mencari helah bagi mengelakkannya," tambah Imron.

Cuti sakit adalah alasan biasa bagi mengelakkan pertemuan itu, kata Imron. Beliau tidak memberi bilangan pegawai atase yang kurang mahir berbahasa Inggeris.

Imron yang pernah mewakili Indonesia di New York, Geneva dan Australia – mencadangkan semua calon pegawai atase lulus ujian bertulis dalam bahasa Inggeris, yang menjadi bahasa diplomatik antarabangsa.

Kebanyakan rakyat Indonesia bertutur bahasa Indonesia, bahasa rasmi di negara itu juga mempunyai beratus-ratus loghat lain.

Bahasa Inggeris adalah wajib dalam kurikulum sekolah awam tetapi jarang kedengaran dipertuturkan dan tidak ramai rakyat Indonesia mahir dalam bahasa berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizahsyah mengesahkan laporan akhbar itu, tetapi enggan menamakan kedutaan mana daripada 119 kedutaan Indonesia yang menghadapi masalah itu.

Teuku Faizahsyah berkata kementeriannya tidak bertanggungjawab bagi kemahiran berbahasa pegawai atase yang dihantar oleh jabatan lain ke kedutaan asing.

"Ia adalah tanggungjawab kerajaan memastikan pegawainya mempunyai kemampuan yang diperlukan dalam menjalankan tugas di luar negara," kata Teuku Faizahsyah. – AP