.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, August 14, 2011

0 Penyanyi berlambak tetapi kurang lagu berkualiti

Industri muzik makin nazak – Jay Jay

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT
amirah.amaly@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF




Jay Jay


PENYANYI Jay Jay membayangkan negara kita bakal menjejak Singapura yang mengalami kejatuhan zaman industri seni Melayu satu masa nanti. Malapetaka ini pasti berlaku berdasarkan pemerhatiannya yang merasai sendiri kemerosotan idea dan penghasilan kerja kreatif sejak kebelakangan ini.

“Kita tak mahu jadi macam Singapura atau Brunei yang mengimport lagu dari luar. Singapura misalnya adalah pusat kesenian Melayu yang cukup terkenal di rantau ini satu ketika dahulu.

“Semua orang tahu Studio Jalan Ampas cukup berkembang pesat dengan pemasaran, rakaman dan penerbitan aktiviti kesenian.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya. Kita tak nak industri muzik Malaysia mengalami masalah yang sama. Jadi seperti industri muzik Cina di Malaysia yang terpaksa mengimport lagu dari negara China dan Taiwan,” hujah penyanyi kumpulan Carefree tatkala mengukuhkan kenyataan yang dikeluarkannya itu.

Mengulas tentang ‘ramalan’ penghibur yang sudah mengabdikan diri dalam industri muzik sejak 31 tahun yang lalu ini, dia memberitahu kemunduran industri muzik tanah air berdasarkan kekurangan penghasilan lagu baru terbaik.

“Dahulu, kita ada banyak lagu kuat yang masih malar segar sehingga hari ini. Contohnya lagu Issabella atau Srikandi Cintamu. Setiap lagu dicipta dan diukur mengikut lenggok suara penyanyi tertentu.

“Contohnya Datuk Ahmad Nawab dan M. Nasir. Mereka akan cipta lagu yang dikhususkan untuk penyanyi tertentu sahaja sebab mereka dah kaji latar belakang suara penyanyi itu.

“Maknanya, tidak akan berlaku jual beli lagu kepada penyanyi lain andai lagu itu tidak dinyanyikan olehnya,” dedahnya lagi.

Ditanya apa kriteria utama yang membezakan penyanyi sezaman Jay Jay dengan hari ini, lelaki ini ada jawapannya.

“Bakat menyanyi di Malaysia ini berlambak. Semua orang boleh menyanyi. Tapi bagaimana pula dengan akar pada sesebuah penghasilan produk lagu itu.

“Adakah penyanyi sekarang punya keseimbangan tahap disiplin, emosi dan jiwa seperti mana orang dahulu. Nilaikan sendiri etiket kerja orang lama dengan sekarang dalam menghasilkan sesebuah karya agung itu. Cukup jauh berbeza,” kesalnya.

Mengajukan persoalan kemungkinan hubung kait gaya hidup dan teknologi sekarang mempengaruhi cara kerja generasi pemuzik sekarang, lelaki ini tidak menafikan.

“Artis perlu bersyukur dengan senario negara kita yang pesat membangun. Banyak acara korporat yang sentiasa menjemput artis setiap masa. Pentas ballroom adalah perkara biasa.

“Sebab itu, mereka ‘malas’ nak bekerja lebih. Nyanyi sikit, dapat duit dan terus pulang. Mereka tak rasa bagaimana jerit perit orang dahulu sewaktu memperjuangkan lagu mereka,” katanya.

Mengulas persoalan terdapat punca lain yang menyebabkan industri muzik negara semakin tandus, Jay Jay punya alasan tersendiri.

“Teknologi kita terlalu cepat berkembang. Tapi ada tak bagus. Contohnya, Indonesia menapis teknologi yang digunakan. Masih menggunakan cara lama, kaset dan sekat penggunaan laman sosial Facebook dan Twitter. Sebab itu artis mereka masih laku bila tiada yang percuma di situ.

“Berlainan di Malaysia. Penyanyi kita buat promosi pun kena menyanyi satu dua lagu. Itu dah dikira seperti mini showcase. Orang tengok benda ini ringan tapi sebenarnya berat.

“Kalau nak tahu, kita adalah negara yang mengamalkan cara ‘pakej’ macam itu. Negara lain tak pernah buat pun. Sebab itu dah hilang nilai eksklusif bagi seseorang penyanyi itu bila dia muncul di mana-mana tempat,” dedahnya yang berharap agar semua pihak mengambil berat isu yang diketengahkan itu.

0 Jika homoseksual direstui di Malaysia, takut negara ditimpa bala

Kristian tentang sekeras-kerasnya amalan homoseksual

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Agama Kristian secara hakikinya menentang keras dan tidak merestui amalan homoseksual dalam kalangan penganutnya.

Beberapa pemimpin ajaran Kristian di negara ini berkata, amalan tersebut seharusnya ditentang dan dibanteras agar tidak menjadi satu budaya yang menjatuhkan imej agama dan negara.

Setiausaha Eksekutif National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Alfred Pais berkata, amalan homoseksual sebenarnya telah membelakangi ajaran yang dibawa oleh Jesus.

"Sejak dahulu lagi agama Kristian tidak bersetuju dengan perkahwinan sejenis. Berkahwin sesama lelaki adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan budaya ini tidak sepatutnya dibawa ke Malaysia.

"Jika budaya import itu dibawa ke mari, nescaya ia akan menyebabkan kemusnahan terhadap nilai-nilai murni yang telah dibentuk sekian lama," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan paderi gay warga Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini dan sekali gus menimbulkan banyak penentangan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Paderi Gereja Anglican St. Margaret Keningau, Sabah yang hanya mahu dikenali sebagai Jeffry berkata, gejala tersebut harus dihalang daripada berlaku kerana ia bakal memberi implikasi yang buruk terhadap imej dan masa depan negara ini.

"Saya sebagai penganut Kristian sangat dukacita dengan cadangannya (Wen Feng) kerana ia telah memburukkan imej dan kesucian agama ini di mata masyarakat.

"Justeru, saya mengajak semua penganut Kristian yang prihatin untuk bersama-sama menentang serta-merta segala unsur yang bertentangan dengan kesucian agama seperti ini," ujarnya.

Dalam pada itu, paderi dari sebuah Gereja Methodist, juga di Sabah, yang mahu dikenali sebagai David berkata, Kristian sebagai agama yang mementingkan martabat sememangnya mengutuk gejala homoseksual kerana ia mencalar imej agama terbesar di dunia itu.

"Penganut Kristian perlu sensitif dengan perkembangan ini kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap keharmonian yang dikecapi oleh negara ketika ini," katanya lagi.


Artikel berkaitan:

Gay kahwin: Halang sebelum parah

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.