.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, August 14, 2011

0 Jika homoseksual direstui di Malaysia, takut negara ditimpa bala

Kristian tentang sekeras-kerasnya amalan homoseksual

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Agama Kristian secara hakikinya menentang keras dan tidak merestui amalan homoseksual dalam kalangan penganutnya.

Beberapa pemimpin ajaran Kristian di negara ini berkata, amalan tersebut seharusnya ditentang dan dibanteras agar tidak menjadi satu budaya yang menjatuhkan imej agama dan negara.

Setiausaha Eksekutif National Evangelical Christian Fellowship (NECF), Alfred Pais berkata, amalan homoseksual sebenarnya telah membelakangi ajaran yang dibawa oleh Jesus.

"Sejak dahulu lagi agama Kristian tidak bersetuju dengan perkahwinan sejenis. Berkahwin sesama lelaki adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan budaya ini tidak sepatutnya dibawa ke Malaysia.

"Jika budaya import itu dibawa ke mari, nescaya ia akan menyebabkan kemusnahan terhadap nilai-nilai murni yang telah dibentuk sekian lama," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan paderi gay warga Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini dan sekali gus menimbulkan banyak penentangan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Paderi Gereja Anglican St. Margaret Keningau, Sabah yang hanya mahu dikenali sebagai Jeffry berkata, gejala tersebut harus dihalang daripada berlaku kerana ia bakal memberi implikasi yang buruk terhadap imej dan masa depan negara ini.

"Saya sebagai penganut Kristian sangat dukacita dengan cadangannya (Wen Feng) kerana ia telah memburukkan imej dan kesucian agama ini di mata masyarakat.

"Justeru, saya mengajak semua penganut Kristian yang prihatin untuk bersama-sama menentang serta-merta segala unsur yang bertentangan dengan kesucian agama seperti ini," ujarnya.

Dalam pada itu, paderi dari sebuah Gereja Methodist, juga di Sabah, yang mahu dikenali sebagai David berkata, Kristian sebagai agama yang mementingkan martabat sememangnya mengutuk gejala homoseksual kerana ia mencalar imej agama terbesar di dunia itu.

"Penganut Kristian perlu sensitif dengan perkembangan ini kerana ia akan memberi kesan yang besar terhadap keharmonian yang dikecapi oleh negara ketika ini," katanya lagi.


Artikel berkaitan:

Gay kahwin: Halang sebelum parah

Oleh MOHAMMED SOFIAN BAHAROM dan NORMAIRAH JAMALUDDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kerajaan digesa menghalang cadangan paderi gay warganegara Malaysia, Pastor Ou Yang Wen Feng untuk berkahwin dengan 'kekasihnya' di negara ini.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, jika perkahwinan itu dibiarkan berlaku, nescaya keruntuhan akhlak yang dahsyat bakal tercetus dalam kalangan rakyat negara ini.

"Jika perkahwinan itu dibiar berlangsung, ia akan memperlihatkan bahawa kita membenarkan perkahwinan seumpama itu di negara ini.

"Seterusnya, dia (Wen Feng) akan dijadikan idola oleh minoriti gay atau lesbian yang pada ketika itu berasa diri mereka diiktiraf dan dihargai.

"Akhirnya, komuniti ini akan menubuhkan NGO mereka sendiri dan bertambah berpengaruh sehingga mampu mengikis identiti agama dan bangsa semua orang," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Wen Feng yang membuat pengakuan terbuka untuk melangsungkan perkahwinan dengan 'kekasihnya' seorang lelaki warga Afrika-Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis itu bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat dan juga di negara ini.

Jelas Mohd. Jurit, berdasarkan pemerhatiannya, budaya songsang itu sebenarnya semakin menular dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mungkin disebabkan pengaruh media Barat yang gemar 'menghalalkan' watak gay pada cerita-cerita popularnya.

"Pencegahan awal seperti menghalang perkahwinan sebegini adalah amat penting bagi menjamin akhlak rakyat tidak runtuh. NGO juga perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik dalam menentang perkembangan negatif ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perkahwinan sejenis adalah bertentangan dari segi moral serta budaya dan tidak diterima di negara ini.

"Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis. Saya pasti masyarakat mengetahui hal ini, tetapi mengapa dia (Wen Feng) masih berdegil mahu melakukan majlis perkahwinan di sini.

"Jika dia masih mahu melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya di sini bulan depan, bererti dia sudah melanggar Perlembagaan negara," tambahnya.

0 comments: