.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, December 22, 2010

0 Cinta kekasih gelap tidak sama dengan cinta suami - kerana itu membuatkan mereka dirikan rumah tangga dan ada anak

Liz rayu diterima kembali




ADA PENGGANTI...Nayar bersama wanita misteri yang menemaninya semalam.
ELIZABETH...berhajat rujuk semula dengan Nayar selepas mengetepikan Warne. LONDON: Belum sampai 10 hari mengumumkan perpisahannya, Elizabeth Hurley dilaporkan merayu kepada suaminya, Arun Nayar, supaya tidak meninggalkannya, lapor media semalam.



Perubahan mendadak Elizabeth itu berlaku ekoran penemuan lebih 100 mesej pesanan ringkas (SMS) dihantar kekasih barunya, Shane Warne, kepada seorang wanita lain.


Dilaporkan, Warne - memang terkenal sebagai kaki perempuan - mengirim SMS lucah itu kepada Adele Angeleri, 44.


Antara kandungan SMS itu adalah: “Memikirkan kamu, saya sangat berahi hari ini. Saya mahu melihat kamu di atas saya.” Pada 12 Disember lalu, Elizabeth, 45, mengumumkan rumah tangganya dengan Nayar berakhir selepas gambar aktres itu berkucupan dengan Warne disiarkan media.


Elizabeth berkahwin dengan Nayar pada 2007.


Sementara itu, sumber berkata, harapan Elizabeth menyelamatkan rumah tangganya mungkin tidak kesampaian.




“Elizabeth baru sedar dia diperbodohkan dan cepat-cepat menghubungi Nayar untuk meminta maaf.


“Masalahnya, Nayar enggan dan masih mahu perceraian mereka dilakukan segera,” katanya.



Kemungkinan itu diperkuatkan lagi apabila ada saksi berkata, Nayar, 46, mencium seorang wanita tidak dikenali di khalayak ramai di Mayfair, London Barat, semalam.


Menurut saksi, mereka agak panik apabila aksi itu dirakam jurugambar, menyebabkan wanita terbabit masuk ke teksi tergesa-gesa dan berlalu dari situ.


Nayar dilaporkan pernah menasihati isterinya supaya berhati-hati dengan Warne ketika mereka bertengkar selepas kecurangan aktres itu terdedah. Bagi Warne pula, perubahan Elizabeth itu dipercayai akan memberi pukulan hebat kepada dirinya.


Minggu lalu, bintang kriket Australia itu mengumumkan akan meninggalkan bekas isterinya, Simone, selepas mereka tinggal bersama walaupun selepas bercerai.


Hasil perkahwinan Warne dan Simone, mereka dikurniakan tiga anak.


Rakan Warne berkata, bintang kriket itu memang berhajat mengahwini Elizabeth. - Agensi

0 Pemandu Malaysia paling berbahaya di dunia? Cari penyebab lain kenapa kes kemalangan masih tinggi

Musang berbulu ayam dalam LPKP, JPJ, polis...?

Oleh ZAINI HASSAN

SEBAIK sahaja news alert Utusan mengenai kemalangan bas yang meragut nyawa puluhan orang pelancong Thai masuk dalam BlackBerry saya, saya tergamam sebentar. Dalam hati saya mengharapkan bas pelancong itu bukan milik kita, dan sudah tentu pemandu bas itu juga bukan orang kita. Saya berharap pelancong itu datang terus dari Thailand dengan bas pelancongan mereka. Ternyata harapan saya tidak betul. Ia adalah bas kita; dan pemandunya juga pemandu rakyat kita. Kini sudah ternyatalah segala-galanya. Pemandu bas kita, semoga Allah merahmati roh pemandu yang turut terkorban itu, adalah pemandu yang paling berbahaya di dunia.

Orang surat khabar macam saya sering menerima berita dari seantero dunia mengenai kisah seperti ini. Kita selalu berseloroh bahawa kemalangan feri dan kapal karam di Bangladesh - yang sering mengorbankan ratusan nyawa muatannya - bukan satu nilai berita lagi. Begitu juga kisah kemalangan kereta api di India yang mengorbankan ratusan orang - juga bukan satu nilai berita lagi.

Mengapa ia bukan lagi nilai berita? Jawapannya kerana ia sudah terlalu kerap, sering berlaku dan bukan unusual lagi.

Begitu juga kemalangan bas di Malaysia. Ia sudah jadi biasa. Hanya jumlah kematian sahaja yang membezakan ia biasa atau luar biasa. Dalam kejadian di Jalan Cameron Highlands itu kelmarin, ia luar biasa sedikit kerana jumlahnya yang besar serta membabitkan pelancong luar negara. Namun, kisah kemalangan bas bukan luar biasa lagi di Malaysia. Apakah kita kini sebaris dengan Bangladesh dan India dari segi kekerapan kemalangan feri, kereta api dan bas ekspres? Laporan berita asing menulis kemalangan bas ekspres di Malaysia sudah terlalu kerap dan pemandunya adalah antara yang paling bahaya di dunia.

Kita tidak perlu mengulas di sini mengapa ia berlaku, bagaimana ia berlaku, apakah ia masalah mekanikal atau keadaan jalan dan sebagainya. Tulis seorang rakan facebook sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, dia sudah dapat mengagak "esok penuhlah muka akhbar dengan cerita-cerita bas itu". Benar kata beliau. Beliau bukan wartawan tapi sudah mengagak itulah berita-beritanya. Akhbar akan membuat pelbagai analisis, termasuk dari pakar ini dan itu. Selain untuk memenuhkan ruang akhbar, ia seperti sudah menjadi satu rutin. Akhbar kita, mungkin jugalah masih lagi bermentaliti dunia ketiga. Pendekatannya agak berbeza dengan akhbar di negara maju. Kita tidak berani membongkar apa yang pihak berkuasa buat dan mengapa ia kerap berlaku? Itu pasal kemalangan seumpama ini hanya berlaku di negara dunia ketiga seperti Bangladesh, India dan Malaysia! Kita harus bertanya apa pihak perlesenan kenderaan awam buat? Apa polis buat? Apa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat? Apa Jabatan Kerja Raya (JKR) buat? Dan apa syarikat bas yang mengejar laba itu buat? Akhir sekali apa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat?

Kita tidak boleh salahkan syarikat bas semata-mata, kerana walaupun ia jahat sejahat-jahatnya, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang patut mengambil tindakan dan bertanggungjawab. LPKP juga harus memaklumkan kepada JPJ dan Polis Trafik dan pihak JPJ dan Polis Trafik harus mengambil tindakan. Jika dulu kita cukup hairan mengapa warganegara China terlalu ramai berada di negara ini dan ramai juga yang menjadi GRO, pelayan lelaki serta pelacur-semalam jawapannya terserlah.

Musang berbulu ayamnya ialah orang dalam Imigresen sendiri. Beliau ialah Timbalan Ketua Pengarah (TKP) yang tanpa rasa bersalah, malu dan segan meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China itu, setelah diberi sogokan wang ringgit.

Jika dalam perang, orang macam itu bukan dihukum enam tahun, tapi hukumannya ialah hukuman mati ditembak kerana treason atau menderhaka kerana menjual kedaulatan negaranya. Begitu juga di dalam LPKP, JPJ, Polis dan lain-lain. Kerana terlalu kerap kemalangan bas berlaku, kini punca yang lain harus dicari. Apakah LPKP, JPJ, Polis juga bersifat musang berbulu ayam seperti bekas TKP Imigresen itu? SPRM jengok-jengoklah ke dalam permasalahan ini. Lakukanlah siasatan forensik dalam LPKP, JPJ, Polis dan lain-lain. Mengapa mereka benarkan bas-bas ini dipandu oleh pemandu yang sering kali mempunyai masalah.

Baru-baru ini Utusan Malaysia, untuk sekian kalinya, membuat tinjauan mengenai teksi di ibu kota. Kesimpulan daripada tinjauan itu ialah pemandu teksi kita adalah antara yang berperangai paling buruk di dunia. Tapi apa tindakannya. Tak nampak?

Oleh itu, marilah kita, once and for all, terbuka dalam hal ini. Keadaannya kini sudah menjadi barah. Jika di negara maju, berita yang kita dengar keesokkan harinya ialah pihak-pihak di LPKP itu akan meletak jawatan!

Pesta bola di Jakarta dan Kuala Lumpur

DIKHABARKAN oleh seorang sahabat yang baru pulang dari Jakarta, pesta sedang berlangsung di sana. Setiap toko atau kedai sudah memasang bendera. Bukan bendera untuk hari kebangsaan, tapi merayakan hari besar perlawanan akhir Indonesia menentang Malaysia dalam Piala Suzuki AFF 2010, mulai Ahad ini. Mereka cukup teruja. Semua orang bercakap mengenainya. Malah sudah tentu dua juta rakyat Indonesia - sah atau PATI - yang berada di negara ini juga akan menanti-nanti perlawanan akhir pertama antara kedua-dua negara itu.

Malaysia akan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad ini. Dianggarkan stadium itu akan penuh. Kedua-dua penyokong merah (Indonesia) dan kuning (Malaysia) akan memenuhi stadium itu.

Sesungguhnya di kotaraya Jakarta sekarang, di saat ini, suasananya sungguh meriah sekali. Bapak Presiden SBY serta seteru politiknya, Mergawati bersama-sama akan menyokong pasukan mereka.

Bagi orang Indonesia inilah masanya mereka mahu mengganyang Malaysia dalam erti kata sebenar -- di atas padang.

Malaysia pula wajib mempertahankan maruah kita atas semangat Harimau Muda!

Terima kasih diucapkan kepada RTM yang akan menyiarkan secara langsung final pusingan pertama Malaysia menentang Indonesia, Ahad ini, 8 malam. Kita berharap perlawanan kedua di Jakarta pun dapat disiarkan secara live (bukan siaran tertunda).

0 Jangan panang mudah hal tandas. Ketiadaan tandas buat negara berbelanja RM169 bilion setiap tahun

India rugi RM169.31 bilion akibat kurang tandas, cara hidup tidak bersih

NEW DELHI 21 Dis. - Masalah kekurangan tandas dan cara hidup yang tidak bersih di India menyebabkan negara kuasa ekonomi ketiga terbesar di Asia itu kerugian sebanyak AS$54 bilion (RM169.31 bilion) setiap tahun, kata Bank Dunia semalam.

Kekerapan kematian bayi pramatang dan kos rawatan pesakit hanya merugikan masa serta melemahkan produktiviti selain turut melumpuhkan industri pelancongan di negara ini, tambah laporan Bank Dunia itu.

"Sejak berdekad lalu, kami menyedari tentang kekurangan tandas dan masalah sanitasi di India.

"Laporan yang kami terima menunjukkan India mengalami kemelesetan ekonomi dan kanak-kanak serta penduduk miskin tinggal dalam keadaan sistem sanitasi yang teruk," kata Ketua Program Air dan Sanitasi Selatan Asia bagi Bank Dunia, Christopher Juan Costain.

Laporan Bank Dunia itu menambah, masalah kesihatan yang dialami rakyat adalah punca utama berlakunya kemelesetan ekonomi di India.

Beberapa pakar dalam laporan Bank Dunia itu berkata, seramai 450,000 kematian daripada 575 juta kes cirit-birit dilaporkan berlaku setiap tahun di India.

Menurut laporan itu, masih ramai penduduk di bandar dan di luar bandar yang membuang air besar di merata tempat, tidak mencuci tangan dan diselubungi masalah sistem perparitan yang sangat daif.

Kos rawatan pesakit akibat penyakit cirit-birit, malaria, trakoma, cacing di dalam usus dan kematian akibat bayi pramatang menyebabkan India terpaksa berbelanja sebanyak AS$38.5 bilion (RM121.12 bilion) setiap tahun.

Selebihnya kos sebanyak AS$10.7 bilion (RM33.66 bilion) lagi adalah akibat daripada kerugian masa yang banyak dihabiskan untuk mencari tandas awam serta terpaksa membuang air besar di merata tempat berbanding jika seseorang itu mempunyai tandas sendiri yang bersih dan selesa di rumah sendiri.

Kekurangan tandas di bangunan sekolah dan pejabat juga merupakan punca pelajar perempuan serta pekerja wanita sering tidak hadir atau ponteng sekolah dan pejabat hanya kerana mereka berasa tidak selesa. - REUTERS

0 Rakyat Malaysia suka memasak

Rakyat Malaysia belanja lebih untuk ruang dapur
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Pengendali laman web hartanah nombor satu, iProperty.com Malaysia (iProperty) mendedahkan sebanyak 45 peratus daripada responden kajian, membelanjakan wang mereka untuk menaiktaraf ruang dapur berbanding bahagian lain.

Keputusan itu diperoleh melalui secara undian umum dalam Internet tentang tabiat perbelanjaan masyarakat terhadap kediaman mereka.

Kajian itu melibatkan seramai 686 responden. iProperty dalam kenyataannya di sini, keputusan yang tidak dijangkakan memperlihat rakyat Malaysia mengutamakan makanan selain menambah ruang dapur mereka.

Jelas pengendali web itu, bahagian ruang tamu mendapat tempat pilihan kedua penting kepada responden.

''Seramai 231 responden atau 34 peratus membelanjakan wang mereka untuk ruang tamu kediaman.

''Antara barangan mahal yang dibelanjakan para pengundi adalah televisyen (TV) LCD, dan TV plasma, sistem audio dan perabot yang direka bentuk sendiri,'' kata kenyataan itu.

Bahagian ruang makan menjadi pilihan yang paling rendah dan perbelanjaan bilik air dan taman bunga pula dilihat sebagai tidak penting oleh responden, masing-masing menerima undian sebanyak lima peratus dan dua peratus.

Sehubungan itu, iProperty membuat rumusan bahawa kunci utama kediaman di Malaysia adalah bahagian dapur.

''Dapur adalah tempat makanan disediakan dengan baik untuk seisi keluarga dan tidak mengejutkan apabila ramai keluarga melabur sebahagian besar duit mereka untuk dapur masing-masing," kata kenyataan itu.

0 Gempa bumi di utara Sumatera

Gempa kuat landa utara Indonesia
22/12/2010 2:21am


JAKARTA 21 Dis. - Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan pulau Sumatera di utara negara ini, hari ini.

Badan Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa itu terletak berhampiran dengan lokasi gempa bumi yang berlaku pada Disember 2004 lalu.

Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi kuat itu menggegarkan pulau Simeulue pada kedalaman 27 kilometer, pukul 9.07 malam waktu tempatan dengan pusat gempanya di kedudukan 312 kilometer dari barat Medan, di tanah besar Sumatera dan 315 kilometer dari tenggara Banda Acheh, kata USGS. - AFP

0 Gempa bumi di Jepun

Gempa kuat berukuran 7.4 pada skala Richter melanda dekat kepulauan Jepun
22/12/2010 2:42am


TOKYO 22 Dis. - Gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggegarkan selatan Jepun, hari ini.

Badan Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, penduduk yang tingal berhampiran kawasan tepi pantai diarahkan berpindah sebelum kemungkinan berlakunya tsunami setinggi dua meter.

Gempa bumi itu berlaku pada pukul 3.19 waktu tempatan, di kedudukan 153 kilometer dari timur Chichi-shima yang terletak di kawasan pulau terpencil Jepun, Pulau Bonin pada kedalaman 14 kilometer. - AFP