.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, November 02, 2010

0 Bimbang 21 gunung berapi menunjukkan aktiviti gegaran di Indonesia

21 gunung lagi dikhuatiri meletus


2010/11/02



SEKUMPULAN penduduk meninggalkan kawasan dekat Merapi di perkampungan Balerante, Klaten, semalam.Indonesia gusar aktiviti seismik meningkat selain Merapi

YOGYAKARTA: Indonesia pada masa ini bukan saja memantau Merapi yang memuntahkan gas dan debu panas semalam tetapi juga 21 gunung berapi lain yang menunjukkan tanda-tanda semakin aktif termasuk Galunggung, Dempo, Sinabung dan Anak Krakatau. Letusan baru itu dilaporkan ketika Indonesia turut bertungkus lumus menangani kesan tsunami dengan dua bencana itu mengorbankan hampir 500 penduduk menyebab-kan tentera turut membantu. Merapi adalah antara 129 gunung berapi aktif di Indonesia. Letusannya menyebabkan 38 kematian sejak seminggu lalu. Lebih 69,000 penduduk sudah dipindahkan daripada kaki gunung itu yang kini diselaputi debu.

Penduduk yang berada di khemah perlindungan sementara beberapa kilometer jauhnya turut lari mencari tempat lebih selamat selepas Merapi meletus lagi diikuti letupan kuat, kata Subrandrio, pegawai pemantau Merapi.

Gunung itu banyak kali meletus sejak dua abad lalu. Pada 1994, 60 orang maut manakala 1,300 terbunuh dalam letusan pada 1930 yang memusnahkan lebih 24 kampung.

Kerajaan juga meningkatkan tahap berjaga-jaga membabitkan 21 gunung berapi lain yang menunjukkan peningkatan aktiviti termasuk gegaran dan muntahan debu hitam sejak dua bulan lalu, kata pakar gunung berapi, Syamsul Rizal.
Seorang lagi pegawai, Gede Swantika berkata adalah biasa tahap berjaga-jaga ketiga tertinggi ditetapkan lima hingga 10 kerana sesebuah gunung berapi itu mungkin meletus dalam tempoh dua minggu.

Katanya, pegawai yang memantau aktiviti gunung berapi mengesan lebih banyak tempat menunjukkan aktivisi seismik lebih tinggi.

“Kita akui ini suatu yang luar biasa kerana membabitkan lebih 20 gunung berapi pada satu masa. Kami perlu terus memantau tetapi saya tidak boleh kata atau ramal mana satu akan meletus. Kami hanya dapat kesan coraknya,” katanya lagi.

Di PADANG, pihak berkuasa menafikan laporan bahawa bantuan tersadai di pelabuhan menyebabkan mangsa tsunami yang terselamat terpaksa mencari tumbuhan liar selepas bencana alam yang membunuh beratus-ratus orang.

Ketika Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata bahawa negaranya menerima bantuan asing untuk pembinaan semula kampung yang terjejas, ada laporan menuduh kerajaan merancang untuk menempatkan semula penduduk jauh dari kawasan pantai.

Mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami setinggi tiga meter di pulau Mentawai, barat Sumatera mengadu bahawa bantuan terlalu perlahan tiba kepada mereka manakala pekerja bantuan berkata koordinasi adalah terlalu lemah.

Tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter itu meranapkan kira-kira 10 kampung, memusnahkan sekolah, masjid dan rumah tradisional di kawasan pedalaman dan pantai yang popular di kalangan peluncur asing. – AFP/AP

“Penangguhan disebabkan keadaan cuaca buruk. Tetapi sekarang kami sudah tiba ke kawasan terjejas dan bantuan dihantar walaupun ia agak terbatas,” katanya. – AFP/AP

0 Cita-cita besar KRU dalam industri Filem. Ratus juta!

Bukan sekadar impian

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/11/02


MENJADI impian tiga anak muda ini untuk melihat KRU Studios sebagai pemangkin kemanjuan industri perfileman negara.

BILIK yang menempatkan kerja memasukkan kesan khas untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa dan Karak dilakukan.
Kewujudan kompleks studio KRU menjadi satu lagi lambang kemegahan industri perfileman tanah air

APABILA Norman bersama dua adiknya, Yusry dan Edry Abdul Halim memasang impian untuk memiliki kompleks studio sendiri kira-kira tujuh tahun lalu, niat mereka bukan sekadar mengembangkan empayar muzik yang dibina hampir dua dekad sebelum itu. Malah mereka ingin sama-sama mengembangkan industri perfileman tanah air ke tahap lebih tinggi, termasuk memasarkannya ke peringkat global. Lalu, apabila April lalu KRU Studios di Cyberjaya mula beroperasi, mereka mahu melihat kompleks canggih terbabit sama-sama dimanfaatkan oleh semua penggiat seni - bukan sekadar pemuzik, sebaliknya pembikin filem serta pembuat iklan dan program televisyen.

Justeru, amat difahami apabila mereka seboleh-bolehnya enggan memanjangkan isu kegelisahan sesetengah pihak yang mendakwa ada kes lobi-melobi membabitkan mereka sehingga Magika menang besar pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-23 yang baru berlalu.

Bagi mereka, ada agenda lebih besar yang harus diberikan perhatian, bukan berbalah dengan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati apabila kejayaan tidak dapat digapai.

Ketiga-tiganya pernah berada di pihak yang tewas. Namun, mereka sentiasa belajar daripada pengalaman lalu, untuk meningkatkan produk KRU agar lebih bermutu.
Lebih daripada itu, KRU amat mengharapkan kerjasama daripada semua pembikin filem negara ini, tanpa mengira rakan mahupun ‘lawan’. Tidak cukup dengan hanya mereka yang memandang jauh, jika pencapaian lebih baik ingin dikecapi dalam industri terbabit.

Kewujudan kompleks studio KRU di Cyberjaya pula, antara langkah besar trio adik-beradik ini untuk memajukan lagi dunia perfileman tanah air.

Dibina di atas tanah seluar 15.39 ekar, fasa awalnya sudah pun siap, dengan bangunan dua tingkat yang turut memuatkan studio tertutup atau sound stage utama yang dibina dengan ukuran sekitar 10,000 kaki persegi, manakala studio kedua lebih kecil, sekitar 2,500 kaki persegi.

Antara produk yang sudah pun dirakam di studio berkenaan ialah filem terbaru KRU, Karak, serta klip video peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8).

Menurut Norman yang juga Presiden Eksekutif KRU Studios, turut disediakan di kompleks yang direka oleh pelakon Azhar Sulaiman itu ialah beberapa studio suntingan yang boleh digunakan untuk melengkapkan proses keseluruhan produksi, daripada pengiklanan komersial televisyen hingga ke filem cereka.

Manakala serangkaian bilik disediakan untuk proses pewarnaan yang juga proses akhir dalam melengkapkan sesebuah produk untuk memastikan ia terhasil dengan kualiti terbaik.

"Kemudahan lebih lengkap 3D dan VFX, studio suntingan HD, studio rakaman, sound stage dan penata alih suara dan kesan bunyi disediakan untuk memastikan penghasilan sesuatu produk mencapai kepuasan optimum, selaras dengan pemasaran tempatan dan antarabangsa," katanya kepada sekumpulan wakil media yang mengikuti lawatan ke kompleks berkenaan, 29 Oktober lalu.

Kemudahan untuk penggiat filem

Diadakan sama pada hari itu ialah majlis kesyukuran sempena kejayaan KRU Studios pada FFM23, menerusi filem Magika dan My Spy. Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Kreatif KRU Studios, Yusry; dan Ketua Pegawai Teknikalnya, Edry; serta kru filem Magika. Pelakon Maya Karin yang kebetulan menyambut hari lahirnya yang ke-31 hari itu turut memeriahkan acara.

"Kami amat berbesar hati dan bersyukur dengan sokongan diberikan Cyberview, yang memudahkan lagi usaha kami untuk memberikan perkhidmatan “one-stop-solution” yang pelbagai dari awal hingga akhir proses penerbitan filem, rancangan televisyen, muzik dan iklan," katanya.

Menafikan kompleks terbabit terhasil atas dana jutaan ringgit, sebaliknya berdasarkan perjanjian perniagaan yang dimeterai, Norman bagaimanapun mendedahkan mereka memasang impian untuk memiliki sepenuhnya kompleks terbabit dalam masa 10 tahun lagi.

"Studio yang ada ketika ini bernilai kira-kira RM85 juta termasuk segala kelengkapan yang tersedia. Kami menjangkakan nilai itu bertambah RM10 juta lagi apabila kelengkapan terbaru termasuk teknologi 3D stereoskopik dimiliki dalam masa setahun lagi," katanya yang ingin melihat pembikinan filem antarabangsa dengan bintang kelas A akan dapat dilakukan di studio berkenaan suatu masa nanti.

Menyentuh mengenai perancangan penerbitan filem syarikat itu sendiri, Norman memaklumkan, pada tahun depan mereka sudah pun menyediakan tujuh judul filem cereka untuk peminat.

"Judul berkenaan ialah Ribbit (animasi 3D yang diusahakan bersama penerbit filem Alpha & Omega, Crest Animation Productions), filem epik Vikingdom, Hantu Kapchai (arahan Ghaz Abu Bakar), Cinta Kura-Kura (arahan Nizam Zakaria), 29 Februari (muzikal arahan Edry), Cicakman 3D (penjenamaan semula) dan Karak (arahan Yusry)," katanya.

Filem Karak bakal menemui penonton sekitar April atau Mei tahun depan. Filem yang menelan belanja RM1.3 juta itu masih dalam peringkat pasca produksi. Ia antara lain dibintangi juara AF8, Shahir.

Hikayat Merong Mahawangsa atau judul antarabangsanya The Malay Chronicles: Bloodlines pula muncul filem Melayu terbesar akan diedarkan di seluruh dunia. Difahamkan, sehingga kini filem yang mengambil masa sembilan bulan untuk disiapkan proses kesan visual atau CGInya itu bakal ditayangkan di 50 negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, New Zealand, China, Thailand, Vietnam, Russia, serta hampir keseluruhan negara Eropah dan Timur Tengah.

Filem terbabit akan ditayangkan di Los Angeles, California, pada 4 dan 5 November ini sempena acara The American Film Market (AFM).

0 Hargailah hasil permuafakatan masa lalu. Pertahankan ia menjadi perkara yang mulia dan dihormati

Nasihat Sultan Kedah

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2010/11/01
Sultan Abdul Halim minta rakyat setia, berkorban pertahan cita-cita kemerdekaan

SINTOK: Sehari selepas Majlis Raja-Raja Melayu menyuarakan kebimbangan berhubung trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah semalam pula mengingatkan rakyat mengenai pentingnya cita-cita kemerdekaan negara dipertahankan. Baginda menegaskan setiap rakyat harus memiliki sifat setia dan sayangkan negara, selain menjaga dan mempertahankan maruah bangsa serta negara. “Kita harus bersedia berkorban mempertahankan cita-cita kemerdekaan negara dan suka beta mengingatkan bahawa kemajuan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada permuafakatan masa dulu.

“Oleh itu, pendidikan hendaklah memberi tumpuan kepada pembinaan semangat satu bangsa, satu negara,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen Ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini.

Kelmarin, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dalam kenyataannya, berkata Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan kontrak sosial, iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum serta persetujuan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara.
Dalam hubungan ini, Sultan Kedah menyeru rakyat memelihara perkongsian nilai budaya sepunya daripada pelbagai kumpulan etnik dan ia mestilah diperkukuhkan.
Baginda bertitah, matlamat dan dasar yang dihasratkan dalam teras membina negara bangsa adalah untuk memastikan rakyat memiliki jati diri yang kukuh, patriotik dan berpegang teguh kepada ajaran agama.

Sehubungan itu, baginda mahu pihak universiti mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti bersesuaian demi memupuk perpaduan di kalangan pelajar.

“Semoga pengalaman yang ditimba boleh menjadi amalan dan seterusnya menjadi teladan kepada masyarakat sekeliling kampus kini dan pada masa hadapan.

“Beta percaya graduan sudah ditanamkan dengan sikap toleransi semasa berada di universiti. Hal ini penting untuk mengelakkan berlakunya sebarang pertelingkahan atau perselisihan faham yang boleh memecahbelahkan rakyat.

“Beta percaya graduan juga sudah ditanamkan dengan nilai hidup bersama ‘ibarat aur dengan tebing’ serta mengikis sikap ‘bagai enau dalam belukar’,” titah baginda.

Seramai 4,190 graduan menerima ijazah pada majlis konvokesyen berkenaan. Mereka terdiri daripada seorang graduan Ijazah Kehormat, 52 graduan Ijazah Doktor Falsafah, tujuh graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, 657 graduan Ijazah Sarjana, 2,906 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 567 graduan Diploma Lepas Ijazah (Diploma Pendidikan)

Sultan Kedah yang juga merangkap Canselor UUM bertitah, dalam apa jua keadaan, graduan atau generasi muda adalah tonggak kelangsungan sesebuah negara, agama dan bangsa.

“Dalam genggaman generasi muda, segala rentak dan hala tuju negara dan agama ditentukan. Sebagai institusi pengajian tinggi yang memartabatkan ilmu, UUM harus mampu memupuk perpaduan dalam menjayakan agenda negara bangsa.

“Pembinaan negara bangsa adalah agenda berterusan untuk menangani pelbagai cabaran dan cabaran terkini adalah globalisasi. Globalisasi membolehkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan saja maklumat, modal serta manusia, tetapi yang paling kita khuatir adalah sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara,” titah baginda.