.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 20, 2013

0 Belajar menulis cerpen - Hikmat Pertemuan. Tema kemerdekaan. Mohon komen untuk penambahbaikan karya seterusnya

HIKMAT PERTEMUAN Sempena cuti umum 16 September, Azmil mempunyai rancangan dengan rakan-rakan ke Kolam Air Panas Poring, Ranau yang jauhnya lebih 150KM dari rumah kediaman tetapi Puan Hasnah, ibu Azmil mempunyai rancangan lain iaitu ke perbarisan hari keputeraan TYT Negeri Sabah dan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri. Mereka mahu menyaksikan pasukan yang disertai Sazali, abang Azmil mempertahankan kejuaraan mereka tahun lalu bagi kategori jabatan tidak beruniform. Puan Hasnah mahu Azmil tidak membantah kerana jarak rumah dengan lokasi perbarisan cuma 15KM sahaja. “Ibu harap kau faham, Azmil? Ini cara ibu untuk menghalang kau terus berkawan dengan budak nakal seperti Dino,” ujar Puan Hasnah menampakkan kerisauannya. “Kalau begitu saya di rumah sahaja. Main internet, main facebook dan tunggu sehingga kamu balik! Saya tengok siaran langsung di tv sahaja,” tegas Azmil kerana kecewa. “Selepas acara perbarisan selesai, kita pergi merdeka raya di rumah kawan ibu, setuju?” pujuk Puan Hasnah kepada anak bongsunya yang berumur 20 tahun itu. Azmil menyoal ibunya kenapa mereka harus pergi ke majlis merdeka raya tersebut. Ibunya memberitahu bahawa majlis tersebut agak istimewa kerana menyambut hari raya serentak dengan sambutan Hari Malaysia. “Anak sulung mereka yang tidak pulang pada hari raya pertama telah balik kelmarin. 5 tahun mereka tunggu kepulangan anak mereka itu. Hari Malaysia pada tahun ini mesti hari raya yang sangat bermakna untuk keluarga mereka,” terang Puan Hasnah. Azmil terkedu. “Lima tahun tidak balik raya? Mesti ada pergaduhan yang besar di antara mereka, kan?” soal Azmil yang tertarik dengan berita yang disampaikan ibunya. “Ibu harap ajakan ibu ini tidak sia-sia. Sejak berkawan dengan Dino, kau kurang bergaul dengan orang lain. Ibu mahu kau bergaul dengan lebih ramai kawan. Inilah peluang untuk kau berkenalan dengan kawan baru atau jumpa kawan-kawan lama,” nasihat Puan Hasnah. Azmil menjawab, “Aah... Banyak sangat perayaan kerajaan buat setiap tahun. Macamlah banyak duit sangat. Dari sambutan Tahun Baharu, Tahun Baharu Cina, Pesta Menuai - Gawai, Deepavali, Hari Wesak, Hari Raya Aidil Fitri dan lain-lain. Entah berapa billion duit kerajaan sudah dibazirkan,”katanya. “Kita sepatutnya bersyukur kerana kerajaan mampu mengadakan sambutan perayaan-perayaan itu. Ini Kita tidak akan jumpa ini di negara lain, tahu tak?” jawab Puan Hasnah. Perbezaan pendapat di antara Azmil dengan ibunya terus berlarutan. Azmil menjelaskan duit pembayar cukai sepatutnya diguna untuk membantu orang miskin di bandar dan luar bandar. Puan Hasnah pula berpendapat perayaan-perayaan begitu perlu untuk memupuk perpaduan antara kaum. Dalam hal politik pula, supaya rakyat lebih mengenali pemimpin negara. “Lebih banyak keburukan daripada kebaikannya, ibu,” Azmil terus membantah. “Yang paling teruk ialah menggalakkan remaja bergaul bebas. Inikah yang kerajaan mahu dari kami iaitu bergaul bebas tanpa batasan?” Azmil meninggikan suaranya. Puan Hasnah hairan bagaimana anaknya begitu pandai mencari alasan. Puan Hasnah yakin mesti Dino yang telah menghasut anaknya. “Adakah muda-mudi yang datang ke sambutan perayaan hari kebangsaan mesti bergaul bebas dan suka hati melanggar tatasusila? Kenapa? Kau pergi hanya untuk mencari gadis?” tukas Puan Hasnah dengan nada agak keras. Azmil gembira ibunya menyebut berkenaan hal mencari gadis. Azmil menganggap telah berjaya memperdaya ibunya menurut kehendaknya. “Ini keputusan muktamad. Esok mesti bangun awal, jam 7 tepat mesti berada di sana,”perintah Puan Hasnah. Azmil tidak puas hati tetapi tetap akur dengan kehendak ibunya. “Saya datang untuk ‘cuci mata’ sahajalah! Kalau saya dapat pikat gadis di sana, ibu bayar saya RM100, bagaimana?” kata Azmil. Puan Hasnah menggeleng-geleng kepala mendengar cabaran Azmil yang sedemikian rupa. Keesokan harinya, di tempat permulaan perbarisan kawad kaki, suasana agak meriah. Ramai pengunjung telah datang untuk menyaksikan pasukan masing-masing atau sekadar memeriahkan perarakan hari kebangsaan. Bunyi pancaragam menghidupkan suasana. Kelihatan beberapa anggota pasukan keselamatan sedang berkawal untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Puan Hasnah di sebelah suaminya, Encik Bakri teruja melihat kesegakan Sazali, anak sulung mereka dalam pasukan yang disertainya. Azmil berdiri agak jauh dari ibu bapanya kerana mahu mencari gadis yang boleh dipikatnya. Azmil ternampak seseorang gadis, namun sebelum sempat Azmil mengecamnya, kelibat gadis itu menghilang di sebalik ratusan orang yang hadir. “Mustahil saya silap orang,” bisik hati Azmil apabila usaha untuk mengejar gadis tersebut gagal. Azmil akur tidak dapat mengejar gadis itu tatkala disapa oleh seseorang yang lain. “Hei Azmil, buat apa di sini?” tegur orang itu. “Hei kau pula John! Saya datang ke sini untuk tengok abang perbarisan,” jawab Azmil. “Kau kelihatan sedang bekerja dengan uniform kau?” soal Azmil pula. “Saya sedang bekerja. Juruteknik peralatan ICT untuk program kita hari ini,” jawab John. “Wow hebatlah! Ada kerja kosong untuk saya?” tanya Azmil teruja. “Saya memang sedang mencari kerja sekarang?” tambah Azmil. “Kebetulan kami kekurangan pekerja. Ada kerja di pejabat dan kerja maintenance. Datanglah temuduga sebelum diisi oleh orang lain,” beritahu John. John menghulurkan kad namanya. Azmil menyatakan kekagumannya terhadap John. “Kita kan kawan baik? Saya yakin kau mesti suka kerja ini,” beritahu John memberi semangat kepada Azmil. “Terima kasih John! Tidak sangka kita dapat berjumpa di sini,” ujar Azmil. “Saya lihat kau kejar orang tadi? Nampak tergesa-gesa saja?” John bertanya inginkan kepastian. “Tadi saya nampak Azura dengan seseorang. Mesra betul saya tengok. Saya berharap seseorang itu bukan teman lelakinya,” jelas Azmil. “Ooo... Itu memang Azura. Dia semakin cantik sekarang kan?” Azmil tersengih. “Ooh.. Rupanya kamu ada bertegur-sapa tadi?” tanya Azmil. “Ya. Lelaki itu tunang Azura. Bekerja sebagai guru di sekolah menengah. Mereka baru bertunang sebulan yang lalu. Azura cerita kepada saya tadi,” John menjelaskan. “Azura pandai cari calon suami kan?” John cuba mengusik Azmil. Azmil membuat pengakuan bahawa dia hampir mahu memikat Azura sebentar tadi. Mujurlah mereka cepat berlalu jika tidak tentu memalukan Azmil yang masih belum berkerjaya. Azmil teringat akan Dino yang juga belum bekerja tetapi selalu ada banyak wang di dompet. “Berkenaan kerja itu, boleh saya bawa kawan sekali?” tanya Azmil mengalihkan topik perbualan. Azmil berazam untuk mengubah sikap Dino yang memang agak nakal menjadi baik. “Ada tiga kekosongan,” jawab John. “Terima kasih John!” kata Azmil bertambah ceria. John melihat jam di tangannya dan kemudian meminta diri kerana perlu bertugas. “Saya harus beredar sekarang, telefon saya dahulu sebelum hadir temuduga,” pesan John. Selepas John berlalu, Azmil memandang sekeliling kalau-kalau masih ada gadis lain yang menarik minatnya. Azmil tetap ingat yang dia telah bertaruh dengan ibunya. “Awal betul Azura bertunang. Kalau tidak, bukankah ini peluang untuk saya mencari bakal menantu ibu?” Azmil meluahkan kekecewaannya namun dia pasrah. Di tengah ribuan pengunjung yang lain, Azmil berharap dapat berjumpa beberapa orang lagi yang dikenalinya sama ada bekas guru di sekolah menengah dahulu mahupun artis yang dia minati. “Rupanya banyak kebaikan datang ke perayaan yang ramai orang begini. Saya sudah dapat hasilnya hari ini. Jika saya tidak datang hari ini, tentu tidak berjumpa John. Mulai sekarang saya mesti selalu berfikiran positif,” luah Azmil menginsafi diri. “Saya mesti berterima kasih kepada ibu. Tetapi sebelum itu kami mesti beri sokongan kepada pasukan abang dahulu,” tegas Azmil kepada diri sendiri. Azmil berharap pasukan abangnya menang lagi tahun ini. Puan Hasnah melihat Azmil sedang mara ke arah mereka. “Chayo! Chayo! Kita akan sokong pasukan abang!” jerit Azmil dengan agak bersemangat sehingga membuatkan Puan Hasnah agak kehairanan. “Azmil kelihatan gembira?” teka Puan Hasnah. “Tadi saya berjumpa dengan rakan sekelas di SMK dulu. Dia rekomenkan saya satu pekerjaan. Saya tidak sabar untuk hadir ke temuduga,” Azmil menjelaskan kepada ibunya. “Baguslah. Tidak sia-sia ibu mengajak kau ke mari,” ujar Puan Hasnah sambil tersenyum. “Selepas ini kita pergi beraya pula di rumah kawan ibu. Harap-harap ada rezeki baru atau peluang lain menanti kau di sana,” sambung Puan Hasnah memberi perangsang kepada anak manjanya yang masih kelihatan riang. “Ya. Sambutan Hari Malaysia dan hari raya tahun ini sangat bermakna buat saya! Sekarang saya tidak sabar hendak makan ketupat raya pula,” jawab Azmil kegirangan. Acara perbarisan kawad kaki baharu sahaja diumumkan untuk bermula. Kelihatan pasukan yang disertai Sazali sedang bersedia untuk bergerak. Di majlis merdeka raya yang akan dikunjungi Puan Hasnah sekeluarga, persiapan sedang rancak dijalankan. Beberapa wanita dewasa sedang menyediakan juadah sambil menonton siaran langsung perarakan hari merdeka peringkat kebangsaan di tv nasional.

Thursday, August 08, 2013

0 Apabila rumah kebajikan lebih sempurna daripada rumah sendiri?

Aidilfitri tanpa kehadiran anak Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA kamilah.mustapha@kosmo.com.my SENI AISHAH sebak ketika ditemu bual di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong baru-baru ini. KUALA LUMPUR - "Perniagaannya tidak maju jika mak cik tinggal dengan dia (anak). Mak cik juga dianggap pembawa sial dan celaka menyebabkan mak cik dibuang ke sini." Demikian antara luahan sedih Seni Aishah Abdullah, 73, ketika ditemui wartawan Kosmo! di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Kampung Pulau Meranti di Puchong dekat sini. "Sejak dicampak ke sini tujuh tahun lalu, mak cik tidak pernah dipedulikan oleh keluarga dan tiga orang anak mak cik," katanya dalam nada tersekat-sekat kerana terlalu sedih mengimbau nasib diri yang malang. Seni Aishah yang berasal dari Bandar Kinrara merupakan seorang India Muslim yang dihantar ke pusat jagaan itu oleh salah seorang anak lelakinya. "Anak saya memiliki perniagaan kedai runcit. Kami selalu bergaduh berpunca daripada hal-hal kecil dan selepas dia (anak) tidak tahan dengan mak cik dan ditambah perniagaannya kerap rugi, anak ambil keputusan hantar mak cik di sini," kata warga emas itu. Walaupun pada hakikatnya amat menyakitkan apabila dibuang darah daging sendiri, namun Seni Aishah memberitahu, dia tetap bersyukur kerana pusat jagaan itu lebih sempurna dan terjaga berbanding tinggal di rumah anak-anak sendiri. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2bKApYCXa Hakcipta terpelihara