.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 30, 2011

0 Bagaimana terapkan konsep PENERIMAAN perbezaan kaum apabila sesama bangsa masing-masing mahu berjaya

Minda Pengarang: Konsep penerimaan antara kaum perkukuh perpaduan seiring peredaran masa


2011/07/30
MENGURUSKAN sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia bukan perkara mudah. Banyak negara di dunia yang mengagumi keamanan dan keharmonian hidup yang dikecapi Malaysia, walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Kejayaan itu dicapai kerana pemimpin negara sentiasa mencari jalan dan menggunakan pelbagai pendekatan terbaik untuk mewujudkan semangat perpaduan antara kaum agar rakyat dapat hidup bersatu padu dan bertoleransi, terutama selepas tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969 yang mengorbankan banyak nyawa. Keharmonian kaum sentiasa menjadi agenda utama pemimpin negara. Perpaduan kaum menjadi kunci utama kepada kestabilan politik. Malah, kestabilan politik menjadi petunjuk penting sejauh mana keberkesanan kerajaan mentadbir negara, seterusnya memacu kemajuan ekonomi. Pada awal kemerdekaan, pendekatan bertoleransi atau bertolak ansur antara kaum menjadi elemen utama dalam mencapai keharmonian negara. Namun, seiring dengan peredaran masa dan keperluan, pendekatan diubah mengikut suasana. Justeru, bagi mencapai matlamat itu, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin meminta rakyat berbilang kaum di negara ini supaya sedia berubah daripada konsep toleransi kepada penerimaan di antara satu sama lain. Perdana Menteri pada satu majlis di Alor Setar, Kedah menjelaskan konsep penerimaan itu bagi membolehkan pembentukan perpaduan nasional yang lebih mantap. Konsep toleransi hari ini tidak lagi sesuai kerana masih ada jurang yang memisahkan antara kaum dan ia tidak berkekalan bagi mewujudkan semangat perpaduan. Apapun, yang penting ialah untuk mewujudkan perasaan saling menerima terhadap perbezaan dan kekurangan yang wujud antara kaum, sama ada dari segi agama, budaya mahupun pengagihan kekayaan.

Malah, konsep penerimaan ini adalah antara tiga prinsip teras Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri, selain prinsip kenegaraan dan keadilan sosial. Bersandarkan prinsip penerimaan ini, walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai cara hidup, amalan dan budaya berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai rakan setia. Yang jelas konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara berbeza sama ada dari segi ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif untuk menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati terbuka, ikhlas dan tanpa ada unsur terpaksa. Konsep toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan atau secara terpaksa. Sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan lain, dan ia diterima dengan ketidakjujuran. Justeru, Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa juga perkara baik dengan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa berjaya.

0 Bancian penduduk terkini di Malaysia



Wanita banyak pilihan
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Magendran Rajagopal
bhnews@bharian.com.my
2011/07/30

Jumlah lelaki lebih ramai

PUTRAJAYA: Penduduk Malaysia kini berjumlah 28.3 juta, pertumbuhan dua peratus untuk tempoh 10 tahun lalu dengan bilangan lelaki mencecah 14.56 juta orang, iaitu lebih tinggi berbanding 13.77 juta wanita. Data muktamad Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, pada sidang media Pemakluman Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-Ciri Asas Demografi Banci 2010 di sini, semalam. Berdasarkan data itu, bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 106:100. Mengikut negeri pula, Pahang mempunyai paling ramai lelaki (113), diikuti Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), Labuan (107) dan Sarawak (106), manakala bilangan lelaki kurang daripada perempuan untuk Putrajaya (89) dan Perlis (97).

Thursday, July 28, 2011

0 Kedai 1Malaysia VS Kemelesetan ekonomi

Perangi kos kehidupan – Najib

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my



NAJIB Tun Razak berhubung melalui telefon memberikan kata-kata perangsang kepada Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Datuk K. Rajagobal sebelum perlawanan timbal balik Malaysia dan Singapura esok sebelum mempengerusikan perbincangan Meja Bulat dalam talian 1Malaysia bersama beberapa personaliti di Putrajaya, semalam. Antara yang hadir Amy Search, Aznil, Lisa Surihani, Tan Sri Lim Kok Wing dan beberapa orang lagi. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 27 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pertambahan satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat sebagai usaha membantu meringankan beban rakyat ekoran kenaikan kos harga barang makanan.

Perdana Menteri berkata, pertambahan NKRA kepada tujuh bidang berbanding enam sebelum ini dibuat berdasarkan kajian dan penilaian terhadap tuntutan serta kehendak rakyat.

“Kira-kira dua tahun lalu tidak ada fenomena global mengenai kenaikan harga barang makanan tetapi sekarang ia turut melanda semua negara di dunia, sebab itulah hari ini kita tambah satu lagi NKRA.

“Oleh kerana fenomena ini telah membawa impak kepada rakyat Malaysia dan pengguna, maka kerajaan berpendapat ia sudah menjadi isu utama justeru kita perlu menentukan respons dan penyelesaian yang boleh memberi kesan dan kelegaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog dengan pakar-pakar bidang yang terlibat perbincangan dalam talian Meja Bulat 1Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Najib berkata, langkah-langkah yang diambil bagi tujuan itu ialah kerajaan mengawal harga kebanyakan barangan dan mengekalkan sistem subsidi kepada kebanyakan barang-barang keperluan.

“Kita juga ada inisiatif seperti Klinik 1Malaysia yang memberikan perkhidmatan dengan kos RM1 sahaja, rangkaian kedai runcit 1Malaysia yang sedang diperluaskan ke seluruh negara melalui kedai-kedai runcit Tukar dan juga barangan runcit dalam bungkusan Felda.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sudah berunding dengan pihak terlibat dalam industri ayam dan mereka setuju mengurangkan kos harga pengeluar yang boleh membawa kepada penurunan harga ayam,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, langkah tersebut tiada kaitan dengan pilihan raya sebaliknya kerajaan mendengar permintaan rakyat dan melaksanakan kehendak mereka.

Menurutnya, Unit Pengurusan Prestasi Pelaksanaan (Pemandu) akan membantu agensi-agensi kerajaan dan kementerian termasuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga untuk mengurangkan kos kepada rakyat.

“Kita mahu lihat bagaimana rangkaian bekalan boleh diliberalisasikan, mungkin kita boleh benarkan lebih pengimportan serta memanfaatkan kawasan-kawasan tanah lapang untuk pengeluaran makanan dan ternakan,” katanya.

Sekiranya terdapat cadangan-cadangan yang baik, ia akan dipertimbangkan ke dalam belanjawan akan datang, selain daripada memuatkan ke dalam komputer butiran-butiran jutaan rakyat yang telah mendapat faedah hasil daripada kejayaan pelaksanaan NKRA, ujar beliau.

Friday, July 22, 2011

0 Demam bola EPL di Kuala Lumpur - Macam piala dunia?

Saingi sambutan hangat terhadap Liverpool Sabtu lalu 80,000 saksi aksi \Blues\

Oleh AIZAWATI AHMAD dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my




Sebahagian daripada penonton yang menyaksikan perlawanan antara Pilihan Malaysia dengan Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/ Hafiz Johari


KUALA LUMPUR - Lebih 80,000 penyokong memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea di sini, semalam.

Jumlah itu menyamai kehadiran pada perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Liverpool di venue yang sama Sabtu lalu.

Jumlah kehadiran kedua-dua perlawanan tersebut jauh lebih tinggi berbanding aksi kelab Liga Perdana Inggeri, Arsenal yang menentang skuad K. Rajagobal di stadium yang sama Rabu lalu iaitu 65,000 orang.

Peminat fanatik Blues mula memenuhi tempat duduk stadium seawal pukul 6 petang, sekali pun perlawanan bermula pukul 8.45 malam.

Kali terakhir Chelsea mengadakan kunjungan ke negara ini pada Julai 2008, dengan perlawanan persahabatan berkesudahan berpihak kepada Blues 2-0 di Stadium Shah Alam.

Kehadiran Blues yang dalam Siri Jelajah Asia di bawah bimbingan jurulatih baru, Andre Villas-Boas membuka peluang lebih luas kepada penyokong setia Chelsea di negara ini, memandangkan perlawanan diadakan di Stadium Nasional dengan kapasiti tempat duduk yang lebih besar berbanding di Stadium Shah Alam.

Sambutan luar dugaan dipamerkan penyokong Chelsea terserlah dengan suasana gamat di Stadium Nasional dengan jeritan penyokong terutama apabila barisan pemain bintang Blues memasuki padang.

Namun, dalam keasyikan menyaksikan bintang antarabangsa Chelsea, sorakan dan sokongan padu buat skuad Pilihan Malaysia tetap tidak dilupakan oleh para penyokong yang turut melaungkan nama Malaysia.

0 Untungnya jadi selebriti popular apabila ada syarikat sanggup menaja

Persalinan Memey RM7.2 juta

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
Pengarang@utusan.com.my



Norman Hakim dan Memey Suhaiza.


KUALA LUMPUR 21 Julai - Pelakon Memey Suhaiza akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta pada majlis persandingannya dengan Norman Hakim di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini.

Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek.

Menurut Bill Bora selaku wakil Rafflesia, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya.

Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut.

"Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat.

"Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara.

"Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Prof. Datuk Jimmy Choo," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang.

Memey dan Norman, 35, bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.

"Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama," katanya.

Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka.

0 Jangan gurau melampau apabila melibatkan perbezaan kaum

Gurau melampau antara punca utama kes gaduh

Oleh Hamid Karim
bhnews@bharian.com.my
2011/07/21
120 kes babit pelbagai kaum dilapor sehingga Jun

SHAH ALAM: Gurauan melampau yang sepatutnya tidak menjadi isu, dikenal pasti antara punca pertengkaran dalam 120 kes pergaduhan membabitkan rakyat pelbagai kaum di negeri ini yang dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Ketua Cawangan Khas Selangor, Datuk Mohd Pilus Ismail, berkata selain alasan remeh itu, ada pergaduhan tercetus hanya disebabkan berebut wanita membabitkan rakyat pelbagai keturunan. Bagi tempoh sama, katanya, pergaduhan membabitkan kaum paling tinggi dicatatkan berlaku di Kajang iaitu sebanyak 19 kes.

“Berdasarkan rekod, 71 kes pergaduhan membabitkan India dan Melayu berlaku dalam tempoh itu, 30 kes (Melayu/Cina) dan 19 kes pula membabitkan pergaduhan di antara keturunan Cina dan India,” katanya ketika memberi taklimat dalam majlis dialog di antara Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini semalam.

Mohd Pilus berkata, walaupun keadaan adalah terkawal dan polis mampu menangani kejadian itu.

pelbagai pihak terutama masyarakat berbilang kaum tidak harus membiarkan perkara kecil berlarutan menjadi besar.
“Kes yang dilaporkan ini biasanya membabitkan perkara kecil tetapi kerana gagal menahan perasaan, tercetus pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata, polis mengenal pasti sekurang-kurangnya sembilan penyebab utama pergaduhan antara kaum, antaranya perasaan tidak puas hati, perselisihan faham, peras ugut, mencuri, berebut wanita, gangster, balas dendam, gurauan melampau dan hutang.

Saturday, July 09, 2011

0 Profesor Malaysia digesa buat kajian rahsia kekuatan negara - Perpaduan kaum dan kurang bencana alam

Profesor perlu kaji sejarah kemajuan negara kenal pasti rahsia kekuatan negara


2011/07/08
KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta profesor di negara ini untuk mengkaji sejarah kemajuan negara sejak dulu hingga kini supaya rahsia sebenar kejayaan dapat digunakan untuk membawa negara lebih jauh ke hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara menempa pelbagai kejayaan baik daripada segi pentadbiran, ekonomi, teknologi dan hubungan antara kaum yang menjadi asas kejayaan memacu pembangunan ekonomi yang pesat. "Saya percaya, di sebalik kejayaan kita ini, terdapat ramuan penting yang telah membawa kita ke tahap di mana kita berada sekarang. "Semestinya terdapat rahsia di sebalik pelbagai kejayaan ini yang boleh dijadikan pedoman untuk kita merangka pembangunan negara di masa hadapan," katanya ketika berucap menutup Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Kongres Profesor Negara itu yang berlangsung sejak Rabu, dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Khamis dan dihadiri oleh kira-kira 1,200 profesor daripada 1,700 profesor di universiti awam seluruh negara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, khazanah sebenar kejayaan itu perlu digali, dikaji dan dijadikan landasan serta panduan untuk negara melangkah maju lebih jauh pada masa akan datang.

"Janganlah keghairahan untuk menjadi sebuah negara maju semata-mata, menyebabkan kita mengetepikan khazanah kekuatan negara kita selama ini, bak kata pepatah, mendengar guruh di langit, air di tempayan jangan dicurahkan.
"Maka, profesor selaku manusia intelektual yang memegang obor sinar penyuluh dalam masyarakat adalah golongan yang paling layak untuk memikul peranan dan amanah besar ini," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menerima 14 resolusi disampaikan oleh Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Emeritus, Datuk Dr Zakri Abdul Hamid yang dihasilkan sepanjang tiga hari kongres melalui perbincangan 14 kluster dalam MPN.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebuah universiti awam tempatan akan dinaik taraf sebagai universiti penyelidikan sains sosial pertama.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya sedang merangka cara pemilihan di peringkat kementerian sebelum membuka permohonan kepada 15 universiti awam di seluruh negara. - BERNAMA

Wednesday, July 06, 2011

0 Hati-hati dengan lelaki yang mulut manis kerana dia pandai pujuk rayu

Jangan bodoh kerana cinta

‘‘SAYA masih tertanya-tanya mengapa wanita apabila dilanda gelora cinta mereka jadi bodoh, tak boleh berfikir, tak makan nasihat, jadi buta, pekak, bisu dan cuma percaya kekasihnya saja. Itulah yang terjadi pada saya dahulu, sehingga hampir memusnahkan hidup saya.’’ Demikian cerita FaraNajwa dalam emelnya.

‘‘Walaupun peristiwa itu berlaku 10 tahun lalu, tetapi bila melihat gelagat wanita kini yang tak boleh berfikir kerana cinta membuat saya teringat peristiwa pahit yang pernah saya lalui. Walaupun saya lulusan universiti tetapi ketika bercinta saya jadi bodoh.

‘‘Saya kenal Joe ketika sama belajar, dia menyayangi saya sepenuh hati, sanggup buat apa sahaja untuk saya. Dia tak benarkan saya keluar sendirian apa lagi naik bas. Saya ditatang macam putri. Dan saya menikmati saat-saat bercinta paling menyeronokkan.

‘‘Ketika bercinta kami berkongsi segalanya, masalah, duit makanan dan nota pelajaran. Tetapi satu masalahnya dia panas baran dan tak mahu mengalah. Ada masanya dia mengongkong saya hingga membuat hubungan kami jadi panas.

‘‘Dipendekkan cerita hubungan kami bertahan enam tahun, walaupun sering bergaduh kerana saya tahu dia playboy dan baran. Ramai kawan tahu dia ada ramai teman wanita, tetapi nasihat mereka saya anggap tomahan dan fitnah.

‘‘Akhirnya hubungan kami sampai ke tahap ‘terlarang,’ namun Joe berjanji akan bertanggung jawab dan berkahwin setelah tamat pengajian. Saya menangis dan kesal kerana terlanjur, kerana saya terdidik soal agama, namun kerana terlalu sayangkan Joe saya ikut sahaja kemahuannya. Memang saya bodoh.

‘‘Joe kenal keluarga saya, ibu ayah saya melayan Joe seperti anak sendiri. Lebih-lebih lagi Joe pandai ambil hati orang tua dan menghormati mereka. Dan keluarga saya menunggu saat dan ketika untuk kami segera kahwin.

‘‘Setelah enam tahun bercinta kami pun bertunang. Tetapi perubahan sikap Joe jelas apabila kami berkhidmat di negeri berjauhan. Dia jadi semakin sukar dihubungai. Saya dapat tahu dia bercinta dengan teman sepejabat. Beberapa kali kawan kami terserempak mereka pergi menonton dan makan malam, mereka cuba nasihatkannya. Tapi Joe tak peduli.

‘‘Setiap kali dengar berita, saya hubungi Joe sudah pasti dia menafikan, akhirnya dia tuduh saya suka dengar fitnah. Joe lebih berang bila saya hubungi teman wanitanya untuk kepastian. Saya terpaksa, kerana tarikh perkahwinan tinggal tiga bulan lagi.

‘‘Untuk menyejukkan kemarahan saya, Joe minta saya butikan kasih sayang saya padanya, dan sudah pasti ketika itu saya terpaksa membenarkan tubuh saya diratah. Saya tak berani membantah permintaan Joe kerana banyak sebab. Pertama saya terlalu sayangkannya, kedua tarikh perkahwinan semakin hampir, ketiga saya takut ditinggalkan, keempat malu jika kahwin tak jadi, kelima saya takut siapalah mahukan saya jika tak jadi kahwin, kerana saya bukan gadis lagi. Saya ikut kehendaknya disebabkan lima perkara tadi.

‘‘Malangnya Joe masih teruskan sikapnya. Saya jatuh sakit. Bila diberitahu, Joe kesal dengan perbuatannya, dia berjanji akan setia. Tetapi janji tinggal janji. Sekali lagi kami bergaduh. Kata Joe, ‘‘Apa awak nak jadi jika saya tinggalkan awak?

‘‘Tamparan kata-katanya membuka mata saya mengenali siapa Joe sebenarnya. Kata Joe pertunangan hanya adat. Dia masih berhak mencari calon isteri lebih sesuai. Lagipun dia tidak selesa dengan sifat saya yang teratur, kemas dan bersopan kerana dia mahukan wanita yang ‘sempoi’ dan ‘rock’. Dia juga tidak selesa dengan ketertiban keluarga saya kerana keluarganya biasa bercakap ‘kau dan aku’. Rumah kami yang kecil juga membuatkan dia tidak betah tinggal.

‘‘Seribu satu alasan Joe berikan menghina saya dan keluarga. Paling mendukacitakan dia merasakan perbuatannya meratah dan meniduri saya adalah perbuatan normal bagi pasangan bercinta, dan dia tidak mahu berkahwin atas dasar tanggungjawab saja kerana dalam jiwanya langsung tidak wujud perasaan cinta terhadap saya.

‘‘Kerana terlalu marah, mungkin sakit hati dan amat sedih, saya terpaksa menerima keputusan Jo yang mahu pertunangan kami diputuskan.

‘‘Sebulan selepas putus tunang, dengan izin Allah dan takdirNya juga seorang kenalan lama menyatakan hasratnya mengambil saya jadi isterinya. Saya yang masih dihantui sejarah hitam berterus-terang kepadanya keadaan diri saya yang tidak suci lagi. Saya sendiri tak tahu bagaimana saya berani memberitahu sejarah hitam saya yang tersimpan rapi selama ini. Alhamdulillah, dia terima saya seadanya katanya saya baik cuma tersilap langkah.

‘‘Dia terpikat dengan personaliti dan perilaku saya. Dia terus berjumpa keluarga melamar saya. Ibu dan ayah terkejut besar, dan menerimanya sebagai ketentuanNya.

‘‘Saya terima lamarannya bukan mahu jadikan beliau kambing hitam. Tetapi saya mahu buktikan saya mampu bangkit semula, dan musibah ini tidak memusnahkan hidup saya dan tidak mahu meratapi nasib sepanjang hayat.

‘‘Kami berkahwin beberapa bulan kemudian. Dan saya gunakan semua barangan yang telah saya siapkan sebelum ini. Saya belajar mencintainya selepas berkahwin. Alhamdulillah, Allah telah membuka hati dan perasaan saya untuk menerima cintanya.

‘‘Kini saya anggap sayalah manusia paling bertuah dan bahagia di dunia ini kerana diberi peluang kedua untuk merasa nikmat kasih sayang yang sebenar. Suami membimbing saya jadi isteri sempurna dan tidak putus-putus mengatakan betapa bertuahnya dia mendapat isteri seperti saya. Beliau tidak pernah mengungkit kisah silam saya.

‘‘Selepas berkahwin, Joe menghantar SMS menyatakan kekesalannya dan hasratnya untuk kembali kepada saya. Tetapi dia terkejut saya mendapat pengganti begitu cepat. Dan dia kesal dengan apa yang terjadi. Pada saya itu hanya omong kosong.

Saya bersyukur dan berusaha jadi isteri terbaik untuk suami tercinta sambil menunggu kelahiran anak kedua kami.’’ Demikian nasihat FaraNajwa.

0 Punca pendapatan terbesar bagi akhbar ialah melalui jualan iklan

Akhbar tarik iklan RM1.7b


2011/07/06
AKHBAR kekal sebagai peneraju dalam perbelanjaan pengiklanan (ADEX) dengan menarik perbelanjaan iklan sebanyak RM1.7 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA).

Ini adalah pertumbuhan 14.3 peratus daripada RM1.5 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. MNPA dalam kenyataannya berkata, ADEX berkembang 16.2 peratus kepada RM4.09 bilion dalam tempoh lima bulan sehingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dan momentumnya dijangka berterusan. Pengerusi MNPA, Datuk Mohd Nasir Ali berkata kos pengeluaran akhbar tahun ini dijangka terus meningkat berikutan kadar pengangkutan, tarif elektrik dan kos buruh yang tinggi.

“Duti antilambakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam jajaran 5.59 peratus hingga 43.24 peratus bagi import kertas akhbar dari Kanada, Indonesia, Korea, Filipina dan Amerika Syarikat, juga memburukkan lagi keadaan,” katanya.

MNPA adalah persatuan yang ditadbir oleh penerbit di Malaysia.

0 Penduduk miskin mempunyai banyak masa terluang: Merokok adalah cara untuk bergembira dan melupakan tekanan hidup

Rokok 'makanan' rakyat miskin


2011/07/06
JAKARTA: Ketika kerajaan Indonesia bertungkus-lumus menangani masalah kemiskinan dan kesihatan yang semakin meruncing di negara itu, satu kajian terbaru mendapati perbelanjaan membeli rokok adalah yang kedua tertinggi di kalangan penduduk negara itu selepas beras.

Ketua Agensi Statistik Pusat (BPS), Rusman Heriawan, berkata kajian dijalankan pihaknya mendapati, penduduk miskin bandar menghabiskan 25.44 peratus pendapatan mereka membeli beras manakala penduduk miskin luar bandar membelanjakan 32.81 peratus. Manakala penduduk bandar menghabiskan 7.7 peratus wang membeli rokok, warga luar bandar pula membelanjakan 6.3 peratus. “Penemuan kajian ini mengecewakan. Perbelanjaan membeli rokok dan tembakau kedua tertinggi. Rokok bukan makanan berkhasiat,” kata Rusman. Beliau berkata, lebih menyedihkan sebilangan keluarga lebih mengutamakan membeli tembakau berbanding menghantar anak ke sekolah.

“Ia satu-satunya cara mereka bergembira dan melupakan tekanan hidup. Penduduk miskin mempunyai banyak masa terluang, mereka bersembang untuk menghabiskan masa dan merokok sebahagian daripada tabiat diamalkan,” kata dekan jabatan Sosial dan Sains Politik Universiti Indonesia, Bambang Shergy Laksmono.

Beliau berkata, perbuatan itu juga cara melarikan diri daripada kenyataan namun menjadikan mereka bertambah miskin.

Pakar sosiologi dari Institut Sains Indonesia, Henny Warsilah menyalahkan kerajaan berikutan fenomena yang berlaku.
“Penduduk diberi laluan menghisap rokok dengan lambakan iklan rokok yang disiarkan secara besar-besaran melalui media massa tetapi tiada iklan larangan merokok yang berkesan. Kanak-kanak mula merokok sejak di tadika, sesuatu yang tidak kita lihat di negara lain,” katanya. – Agensi

Friday, July 01, 2011

0 Justin Timberlake beli laman Myspace dengan harga AS35 juta

Justin Timberlake beli laman MySpace

LAMAN rangkaian sosial MySpace.




LOS ANGELES – Penyanyi pop, Justin Timberlake merupakan sebahagian daripada pemilik laman rangkaian sosial MySpace selepas dia bekerjasama dengan syarikat Specific Media untuk membeli laman itu pada harga AS$35 juta (RM105.65 juta) daripada syarikat News Corp milik bilionair Rupert Murdoch, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebagai persediaan untuk menerajui MySpace, Timberlake membina sebuah ibu pejabat di sini selain mengambil enam orang pekerja.

“Semasa kami menemui Justin dan ketika kami berbincang mengenai strategi kami, satu persetujuan telah dicapai dengannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook.

“Salah satu daripada keghairahannya ialah dia seronok membantu artis lain dan mencipta satu komuniti untuk orang ramai menyuarakan perasaan mereka,” jelasnya.

MySpace pernah digelar sebagai raja laman jaringan sosial tetapi kewujudannya ditenggelamkan oleh Facebook dan Twitter sekali gus membawa kepada kemerosotan pengguna.

Facebook kini dilaporkan bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) manakala ketua pegawai eksekutifnya, Mark Zuckerberg, 27, dilaporkan memiliki kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.5 bilion)

Timberlake juga berlakon dalam filem The Social Network yang mengisahkan kehidupan Zuckerberg di Universiti Harvard.

Dalam filem itu, Timberlake memegang watak sebagai presiden pertama Facebook, Sean Parker yang juga pengasas laman stor muzik dan penjual syarikat, Napster. – Agensi

0 Amerika Syarikat (AS) diambang kebankrapan, beban hutang melampau

Amaran IMF kepada AS
WASHINGTON 30 Jun - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa tahap beban hutang negara itu kini dalam keadaan bahaya.

IMF turut menasihatkan AS supaya tidak melaksanakan penyelarasan fiskal terlalu ketat kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan ekonomi negara itu semakin perlahan.

Dalam penilaian tahunan keadaan kewangan AS, IMF berkata, sekiranya AS tidak meningkatkan had hutang tertingginya, negara itu dikhuatiri tidak lagi mampu menampung komitmen perbelanjaan, sekali gus menimbulkan kesan huru-hara dalam pasaran global.

''Penyatuan polisi fiskal perlu diteruskan memandangkan dinamik hutang tidak stabil dan kehilangan kredibiliti fiskal yang akan menyebabkan keadaan semakin teruk,'' kata IMF.

Tambahnya, cabaran utama polisi adalah untuk melaksanakan penyatuan fiskal dan memastikan pemulihan yang semakin rapuh kembali kepada landasannya.

Di sebalik beban hutang yang cukup bahaya, AS perlu meningkatkan modal sebanyak AS$14.29 trilion melalui pinjaman bagi mengelak daripada tercetusnya satu kejutan teruk kepada ekonomi dan pasaran kewangan dunia, menurut IMF.

Perbendaharaan AS mengunjurkan negara itu terpaksa menangguhkan pembayaran semula hutang mulai 2 Ogos ini sekiranya modal tidak ditingkatkan. - AFP

0 Kemampuan menguasai bahasa asing beri kelebihan mencari kerja dan gaji menarik

Malaysia semakin ketandusan modal insan
KUALA LUMPUR 30 Jun – Malaysia didapati semakin mengalami ketandusan modal insan akibat penghijrahan kerja-kerja berbakat.

Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) dalam Tinjauan Pekerjaan dan Panduan Gaji Kelly 2011/12 berkata, meskipun berhadapan dengan situasi itu namun pasaran kerja di negara ini masih optimistik.

Pengarah Urusan Kelly Malaysia dan Singapura, Melissa Norman berkata, tinjauan itu mendapati terdapat aliran keluar bakat tempatan yang semakin ketara disebabkan mereka semakin bersedia untuk bertukar kerja terutama ke pasaran serantau.

‘‘Kami dapati majikan sanggup membayar gaji lebih tinggi untuk menarik bakat yang boleh terus bekerja dan memerlukan latihan minimum.

‘‘Permintaan bakat semakin ketara dalam bidang yang pesat berkembang seperti industri perbankan dan kewangan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan kejuruteraan,’’ katanya di sini hari ini.

Panduan Gaji Kelly turut menunjukkan gaji bagi jawatan pengurus tahap pertengahan hingga kanan dengan pengalaman antara tujuh hingga 10 tahun bagi sektor perbankan dan kewangan terutama dalam kewangan Islam melonjak sebanyak 12 peratus.

Profesional dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan pengalaman berkaitan antara lima dan lapan tahun boleh mengharapkan kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus.

Bakat dalam jualan dan pemasaran pertengahan hingga kanan dengan rekod pencapaian baik dan prestasi tinggi berpeluang memperoleh kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus dengan pakej komisen menarik.

Panduan Gaji Kelly dalam tinjauan itu turut mendedahkan Malaysia kekal sebagai peserta utama dalam industri pusat panggilan disebabkan kebolehan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan kakitangan tele pemasaran tempatan, dengan lebih 85 peratus ejen memiliki kelebihan tersebut.

Majikan dalam bidang itu sanggup menawarkan insentif dan elaun tambahan untuk calon yang fasih dalam bahasa popular lain seperti bahasa Korea, Jepun dan Indonesia.

Industri penting lain juga mencatatkan kenaikan gaji ialah sektor kejuruteraan dengan kenaikan 15 peratus dan juga peningkatan permintaan untuk kakitangan kontrak ekoran pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

0 Bayar gaji minimum atau denda RM10K seorang kepada majikan

Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara diluluskan


2011/06/30
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 untuk menubuhkan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan. "Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar ekonomi, statistik dan sosial," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Beliau berkata, menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata, majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran berkaitan.

"Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan," katanya.

Beliau berkata, gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.
"Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.

"Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, penetapan gaji bagi pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan. - BERNAMA