.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, August 11, 2010

0 Apabila Lagenda Budak Setan mencapai kutipan RM5j... Maka lahirkan drama bersiri LBS

Cinta agung Kasyah, Ayu di TV

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM



NIZAM Sani (empat dari kiri) bersama karyawan drama bersiri Lagenda Budak Setan pada majlis pelancaran drama berkenaan di Teeq Brasserie, Rooftop Lot 10, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



KEJAYAAN filem Lagenda Budak Setan (LBS) yang baru sahaja ditayangkan baru-baru ini sememangnya telah membuka mata ramai pihak yang sebelum ini meragui kehadiran filem tersebut.

Pada segelintir pihak, mereka meragui naskhah LBS yang sudah berusia 25 tahun itu tidak mampu memikat dan menarik perhatian audiens tempatan menontonnya di pawagam.

Ternyata, semua telahan itu silap dan LBS telah membuktikan sebaliknya. Tiada siapa pernah menyangka, LBS mampu membuat kutipan yang cukup memberangsangkan yang menghampiri RM5 juta.

Kejayaan itu sekali gus meletakkan LBS sebagai salah sebuah filem romantik tempatan yang berjaya mengaut kutipan tiket sebesar itu.

Menyedari kehangatan LBS masih belum reda, kisah yang mengangkat cinta agung dua watak utamanya, Kasyah dan Ayu itu kini dilangsungkan pula dalam medium televisyen yang pastinya mampu menarik perhatian pengikut setia LBS.

Apatah lagi, ramai yang bagaikan tidak puas apabila kisah cinta Kasyah dan Ayu tidak dikembangkan sepenuhnya seperti mana yang tertulis dalam novel cinta paling laris itu.

Sebagaimana kejayaan yang dicatatkan menerusi filemnya, Astro Prima selaku penyiar drama bersiri LBS optimis versi televisyennya mampu mencipta fenomenanya sendiri.

Malah, Astro Prima begitu optimis bahawa drama bersiri 26 episod ini mampu mencatatkan rating sebanyak 1 juta orang penonton apabila mula ditayangkan sejak 10 Ogos di saluran Prima.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, perancangan untuk menghasilkan drama bersiri LBS dilakukan sebaik sahaja filemnya tamat penggambaran sekitar awal tahun ini.

"Kami memang percaya dari awal lagi naskhah agung Ahadiat Akashah ini mampu mencipta kejayaan yang luar biasa dan semuanya sudah terbukti daripada filemnya.

"Kerana itu jugalah, kami tidak berfikir panjang untuk memanjangkan lagi kisah cinta popular ini menjadi sebuah drama bersiri yang pastinya akan menjadi ikutan ramai khususnya kepada peminat setia LBS.

"Sememangnya kami optimis dengan drama bersiri ini kerana 95 peratus daripada keseluruhan jalan ceritanya adalah berpandukan novel asalnya," jelas Nizam tentang drama bersiri LBS yang diharapnya mampu mencetus fenomena baru dalam bidang penerbitan drama bersiri di negara ini.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran drama bersiri LBS yang diadakan di Teeq Brasserie, Rooftop Lot 10, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah pemilik naskhah LBS, Ahadiat Akashah bersama pengarah terkenal, Along Kamaruddin selaku pengarah drama bersiri berkenaan. Tidak ketinggalan penerbitnya yang juga pengarah filem LBS, Sharad Sharan.

Antara drama bersiri yang ditayangkan di saluran Prima yang mendapat sambutan hebat adalah seperti Mertua vs Menantu dan Halimah Jongang.

0 Idea 1Malaysia yang boleh dikembangkan lagi kepada topik yang makin mencabar

RTM realisasi impian anak Malaysia

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
afifihafiz.nor@kosmo.com.my





SEMUA orang mempunyai impian sendiri. Adakala impian itu hanya angan-angan kosong dan ada juga yang menjadi kenyataan. Impian yang menjadi kenyataan biasanya akan membuatkan seseorang tidak dapat melupakan kenangan manis tersebut.

Bagai memahami impian jutaan manusia di seluruh Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Pos Malaysia telah menjalankan program terbaru yang diberi judul Impian 1Malaysia.

Menariknya, Impian 1Malaysia bukan dicedok atau cuba dibayangi program realiti hiburan yang sedia ada. Sebaliknya, RTM memilih untuk mewujudkan sebuah program realiti yang merealisasikan impian masyarakat yang cenderung untuk menikmati perpaduan dalam Malaysia.

Ia membuka peluang kepada sesiapa yang bertuah sekali gus akan merealisasikan impian peserta menerusi pengembaraan mendekati masyarakat selain memberi penekanan dan pendekatan kepada kepelbagaian suku kaum yang terdapat di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahaya, program itu dilihat akan menjadi satu landasan dalam usaha mendekatkan generasi muda mengenali dan memahami asal-usul, budaya dan kehidupan pelbagai etnik di negara ini. Ia juga sebagai usaha menyahut Gagasan IMalaysia.

Katanya lagi, program ini juga memberi ruang kepada rakyat Malaysia mentafsir, mendefinisi serta menghayati konsep 1Malaysia mengikut acuan serta panduan yang diberi dengan lebih terperinci.

"Dengan menggunakan tagline Sejuta Impian, Sejuta Tafsiran dalam Impian 1Malaysia, program ini mula disiarkan pada 10 Ogos pukul 9.30 malam menerusi TV1.

"Ia seterusnya akan disiarkan selama tiga bulan dengan pelbagai paparan yang menarik. Antaranya ia memuatkan dua episod diari yang akan mengimbas kembali semua episod impian yang telah direalisasikan.

"Setiap pemegang impian yang berjaya melalui suka duka kembara yang diimpikan," katanya ketika sidang akhbar di Wisma TV Angkasapuri RTM baru baru ini yang turut dihadiri Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Yazli Muhamad Saleh.

Sementara itu, seramai 10 peserta telah terpilih untuk menyertai program julung kali itu dengan latar impian yang berbeza untuk direalisasikan.

Mereka adalah Nurzulayla Hamidan yang mahu menyelami cara hidup etnik masyarakat Kadazan Dusun di Kampung Kiau Nuluh, Kundasang, Sabah, Farah Lydia Mokhtar, yang akan menghayati dan mempelajari keunikan tarian makyong di Kampung Besut, Terengganu dan Donny Thomas, pemuda kelahiran Sabah yang mahu menyelami kehidupan orang di Semenanjung Malaysia iaitu di Kampung Air Banun, Tasik Banding, Perak.

Antara peserta lain termasuk Azrol Johan yang mahu menjadi sukarelawan di rumah warga tua dan akan memberi khidmat sosial tersebut di Rumah Warga Tua Pulau Pinang, Hassan Suliman pula memegang impian ingin melihat cara hidup warga Kuala Lumpur.

Gadis keturunan India Teng Swee Kim mahu mempelajari bahasa dan budaya orang Jawa di Batu Pahat, Johor, Siti Sarah Lee (mengenali cara hidup di Kampung Pulau Keladi, Pekan Pahang), Nor Yazmin Nordin (ingin mempelajari seni mempertahankan diri masyarakat cina), Yogaraj Viyakumar (tinggal lima hari bersama etnik Penan) dan gadis Sarawak, Norhafeeza Ali yang ingin tinggal bersama keluarga Baba & Nyonya di Melaka.

Apa yang menariknya dalam program ini adalah penonton RTM akan turut berpeluang memilih tiga impian terbaik daripada 10 impian yang telah direalisasikan dengan menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) di mana pemarkahan dibuat berdasarkan juri awam (50 peratus) dan juri khas (50 peratus).

Tiga pemenang terbaik akan membawa pulang hadiah keseluruhan RM30,000. Program itu dikendalikan dua pengacara iaitu Qushairi Razali (Qi) dan Nur Izzati Abul 'As.