.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, October 09, 2010

0 Kemalangan ini mengingatkan kepada telemovie WAIBI yang bakal ditayangkan di RTM




Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia dalam nahas
09/10/2010 5:07pm


KOTA KINABALU 9 Okt. - Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di sini, pagi ini.

Edmund, 54, dipercayai sedang menunggang motosikal berkuasa besar dari Sembulan ke Tanjung Aru apabila bertembung dengan sebuah kereta Mercedez kira-kira pukul 11.40 pagi ini.

Mayatnya telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini.

Beliau merupakan Ahli Parlimen pertama di Batu Sapi selepas memenangi pilihan raya umum pada 2004 lalu. - Utusan



Artikel susulan:

Ahli Parlimen Batu Sapi maut

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 9 Okt. - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 11.40 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 750cc terbabit dalam kemalangan di Jalan Coastel Tanjung Aru-Kota Kinabalu, berhampiran Apartmen Graceville di sini.

Berikutan kemalangan itu, wakil rakyat tersebut tercampak kira-kira lima meter ke laluan bertentangan selepas dipercayai merempuh besi penghadang jalan.

Edmund dikatakan mengalami kecederaan serius di muka dan kepala berikutan kemalangan itu.

Ketika kejadian, beliau dikatakan dalam perjalanan pulang selepas membeli tiket kapal terbang untuk menghadiri persidangan Parlimen minggu depan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Tanjung Aru menghala ke bandar Kota Kinabalu.

"Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal berkuasa besar yang dinaiki Ahli Parlimen itu dengan sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz yang datang dari arah yang sama.

"Siasatan awal mendapati, berlaku pergeselan antara dua kenderaan itu kerana terdapat kesan kemik di bahagian kanan kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu kereta Mercedes-Benz berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Dalam pada itu, katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita sedang mengadakan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

"Sehubungan itu, kita meminta orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat," ujarnya.

Selain menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund merupakan Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala, Kwong Wing mendapat 5,771 undi.

Kali pertama beliau menjadi Ahli Parlimen adalah pada 2004 selepas menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Beliau yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS) negeri dan Ketua PBS Bahagian Elopura, meninggalkan seorang isteri, Linda Tsen Thau Lin, 54, dan empat anak.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, kematian Edmund merupakan kehilangan besar kepada BN dan rakyat Sabah.

"Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, saya ingin menyampaikan takziah kepada keluarga Edmund Chong dan juga kepada PBS atas kemalangan dan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi.

"Kita kehilangan seorang wakil rakyat yang begitu dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab beliau selaku Ahli Parlimen kawasan yang beliau wakili," ujarnya.


Artikel berkaitan:


Terpelanting 50 meter
Oleh JUNAIDI LADJANA dan FARDY BUNGGA

metahad@hmetro.com.my
2010/10/10
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) terbunuh selepas motosikal Kawasaki 750cc ditunggangi dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Mercedes sebelum terpelanting sejauh kira-kira 50 meter di Jalan Coastel Kota Kinabalu, pagi semalam.



MAUT... anggota polis dan orang ramai mengangkat mayat Chong selepas terbabit dalam kemalangan.
Difahamkan sebelum kejadian, Chong dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Petagas ke kediamannya di Taman Likas Jaya, Likas, dekat sini.


Motosikal ditunggangi Chong dipercayai bergesel pada pintu kanan depan kereta, dalam perjalanan dari arah yang sama sebelum tercampak ke seberang jalan.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati ada kesan hentakan di bahagian kanan pintu depan kereta mewah terbabit.


Bagaimanapun, pemandu kereta itu yang dikatakan ahli perniagaan berusia 31 tahun hanya cedera ringan dan diberikan rawatan pesakit luar di hospital sama.


“Mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat QEH, di sini, semalam.


Dalam pada itu, isteri mendiang, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, yang turut berada di Rumah Mayat QEH enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kematian suaminya.


Chong yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), meninggalkan isteri, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, dan empat anak berusia antara 13 hingga 23 tahun.


Mendiang dilahirkan pada 9 April 1956 di Sandakan, berkelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan memegang jawatan sebagai Bendahari PBS serta pengerusi cawangan Elopura parti berkenaan.


Mendiang memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas lawannya menarik diri pada saat akhir.


Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Pada pilihan raya itu, mendiang meraih 9,479 undi manakala Chung 5,771 undi.


Beberapa wakil rakyat turut kelihatan menziarahi mendiang, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api, Datuk Dr Yee Moh Chai yang juga Timbalan Presiden PBS serta Adun Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.


Mayat Chong akan dibawa ke Rumah Mayat Fook Lusiew, Jalan Tuaran, di sini.



Artikel susulan:

BN Batu Sapi tingkat persiapan hadapi pilihan raya kecil


2010/10/10

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Batu Sapi akan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya, semalam.

Pengerusinya, Datuk Samsudin Yahya, berkata semua parti komponen BN di kawasan Parlimen itu sudah mengenal pasti kempen yang sesuai untuk mendekati pengundi dan ia akan diperkemaskan lagi. "Kami yakin tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kerana ia adalah kubu kuat BN," katanya di sini, hari ini. Dalam kejadian di Kota Kinabalu semalam, Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru.

Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, yakin pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menyambung tugas Edmund untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batu Sapi.

Mengulas kematian Edmund, Samsudin menyifatkan BN Batu Sapi kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat.

"Saya kehilangan seorang rakan khususnya dalam perjuangan BN di Batu Sapi. Beliau adalah seorang Anggota Parlimen yang bekerja kuat untuk parti dan prihatin dengan kebajikan rakyat," katanya.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan berharap isteri serta anak-anaknya bersabar menghadapi dugaan itu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Samsudin dari UMNO dan DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar dari Parti Liberal Demokratik pada bulan lalu. - BERNAMA



Artikel susulan:

Dewan Rakyat belum terima notis kematian wakil Batu Sapi


2010/10/11
KUALA LUMPUR: Notis kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, belum dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana Dewan Rakyat masih belum menerima notis dan surat kematian secara rasmi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar, berkata beliau yakin akan menerima notis tersebut daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) atau keluarganya dalam masa sehari dua lagi. "Kebiasaannya apabila berlaku kematian Ahli Parlimen, pihak yang berwajib iaitu parti atau keluarga akan beri notis kepada Parlimen secara bertulis bersama sijil kematian. "Tetapi saya cukup yakin Dewan (Rakyat) akan menerima notis tersebut selewat-lewatnya lusa, dan kemudian baru kita dapat hantar ke SPR supaya dapat ditentukan tarikh penamaan calon, pilihan raya dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada kejadian di Kota Kinabalu Sabtu lalu, Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong yang diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin, yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing, dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi. - BERNAMA