.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, November 25, 2012

0 mampukah pasangan suami isteri 18-12 tahun mengharungi hidup yang penuh pancaroba?

'Ini cara kami cegah gejala maksiat' Oleh ABD. RAZAK OSMAN

MOHD. Fahmi bersama Nur Fazira mengenakan pakaian pengantin serba putih pada kenduri perkahwinan mereka di Kampung Naga Lilit, Padang Serai semalam. PADANG SERAI - Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama. Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam. Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini. "Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat," katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah. Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira. Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri. "Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi," katanya. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Thursday, November 22, 2012

0 Driver teksi jujur begini sangat diperlukan oleh seluruh dunia

ARKIB : 21/11/2012

Pemandu teksi pulangkan wang RM2.7j Sia Ka Tian menjadi wira selepas dia memulangkan wang tunai berjumlah S$1.1 juta yang ditemui di dalam teksinya, di Singapura, kelmarin. - REUTERS SINGAPURA 20 Nov. - Seorang pemandu teksi di sini menjadi wira selepas dia memulangkan wang tunai berjumlah S$1.1 juta (RM2.7 juta) yang ditemuinya di dalam kenderaannya kepada sepasang pelancong Thailand yang sedang bercuti di republik ini. Sia Ka Tian, 70, terkejut apabila menemui wang di dalam sebuah beg kertas hitam di tempat duduk belakang teksinya semalam, selepas menurunkan pasangan itu di sebuah pusat membeli belah di sini. ''Bila saya melihat duit itu, saya berfikir, ada masalah di sini. Saya pasti sekurang-kurangnya ada S$244,976 (RM607,399) di dalam beg itu,'' lapor akhbar Straits Times yang memetik kenyataan pemandu warga emas itu yang telah berkhidmat selama 31 tahun. Namun, apabila dia membawa wang itu ke bahagian hilang dan jumpa syarikat pengangkutan ComfortDelGro, dia terkejut apabila rakannya memaklumkan jumlah duit yang terdapat dalam beg itu adalah S$1.1 juta. ''Wang itu tidak penting bagi saya kerana ia bukanlah hak saya. Jadi mana boleh saya gunakannya,'' katanya kepada media. Pasangan Thailand itu melaporkan kehilangan wang mereka kepada syarikat pengangkutan dan Ka Tian menunggu mereka di situ untuk memulangkan wang tersebut. Laporan tersebut tidak menyebut apa yang dilakukan oleh pasangan Thailand berkenaan dengan wang sebanyak itu. Difahamkan, Ka Tian menerima sejumlah wang tunai yang tidak didedahkan jumlahnya sebagai sagu hati daripada pasangan Thailand itu yang enggan dikenali. Syarikat pengangkutan itu juga merancang untuk memberi Ka Tian anugerah atas kejujurannya dan perkhidmatannya yang baik. - AFP

0 Latih Guru mengajar menjadi pemikir luar kotak dan penyelesai masalah

ARKIB : 21/11/2012 Latih guru berfikir sebagai usahawan - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin bersalaman dengan wakil peserta luar negara selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang usahawan. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat. "Saya berharap guru-guru akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir sebagai seorang usahawan. "Pemikiran yang kreatif, pemikiran yang 'luar biasa' dan 'berfikir di luar kotak' merupakan pemikiran yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti," katanya berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia, Datuk Dr. Haili Dolhan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, dengan lahirnya insan berfikiran kreatif, Malaysia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada firma asing dan mereka sudah tentu dapat memenuhi peluang dan harapan dalam pelbagai situasi bagi menjamin kehidupan yang lebih baik. Kata Muhyiddin, guru-guru seharusnya berkemampuan serta mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh murid, malah dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang. Menurut beliau, cabaran dan masalah dalam kehidupan ini perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza kerana setiap manusia mempunyai kaedah penyelesaian berbeza. "Walau siapapun kita, sama ada seorang ustaz, ustazah, guru, mentor atau sebagainya, kita perlu memiliki keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah. "Mereka yang memiliki kemahiran seperti ini merupakan golongan insan yang sangat diperlukan oleh mana-mana organisasi," ujarnya. Muhyiddin berkata, pendidik bertanggungjawab memastikan generasi akan datang bukan sahaja menguasai pengetahuan tetapi juga berupaya memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dan berkemahiran memimpin dalam pelbagai situasi. "Selain itu, kita juga perlu memastikan para pelajar yang menamatkan persekolahan boleh bertutur menggunakan pelbagai bahasa dan memiliki keperibadian yang seimbang dan harmonis sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan," jelasnya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121121/dn_02/Latih-guru-berfikir-sebagai-usahawan---Muhyiddin#ixzz2Csq6pVqx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday, November 13, 2012

0 Penulis lirik lagu sekarang kurang cerdik, hasil karya kosong

Skop HIP: Kuasa lirik 2012/11/12 - 05:58:29 AM Oleh Muhamad Fairoz Azizan

DARI kiri, Ajai, Habsah Hassan dan M Nasir. DARI kiri, Ajai, Habsah Hassan dan M Nasir. Ramai pihak mempersoalkan lagu ciptaan sekarang tak berjiwa, karya kosong tanpa mesej Mendengar bait lirik lagu nukilan Habsah Hassan, Mama Juwie, Loloq dan S Amin Shahab serta beberapa penulis lirik terkenal lain pada era 1980-an dan 1990-an, cukup menggetar perasaan. Mainan bahasa dalam lirik seperti lagu Merisik Khabar dan Menaruh Harapan karya Habsah atau Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu oleh Juwie misalnya, terasa begitu mendalam dan jelas difahami maksudnya. Tak salah menghasilkan lirik sendiri, tetapi harus dirujuk kepada penulis lirik berkaliber. Jangan fikir ini lagu kita, jadi kita tak perlu rujuk sesiapa," Ajai, Komposer/Penerbit Tidak hairanlah, ramai pihak mula mempersoalkan lagu yang dihasilkan sekarang bagai tidak berjiwa. Tanpa lirik yang ‘menyengat’, lagu yang dihasilkan komposer sekarang dirasakan cukup selamba atau dalam istilah bahasa slanga, sempoi tanpa menyelitkan elemen puitis, melankolik atau drama dalam lirik. Penggunaan bahasa pasar atau berbaur moden dan kontemporari juga menjadi punca tiada lagi bahasa indah digunakan dalam lirik lagu. Malah, kecenderungan penyanyi menghasilkan lirik sendiri dikatakan punca kurangnya lirik indah menyentuh perasaan dicipta. Selain itu, istilah tertentu seperti simbiosis, pudar, camar, rawan dan sebagainya sudah tidak lagi digunakan dalam lirik. Sedangkan, penggunaan istilah ini mampu mendidik dan mendedahkan pendengar dengan perkataan yang jarang dipertuturkan dalam perbualan harian. Berikutan senario ini, ada pihak bimbang bahasa Melayu atau kesusasteraan dalam lirik lagu tidak mampu berkembang apabila semakin banyak lagu dengan lirik selamba dicipta. Konsep lagu berparti sisih lirik Tidak salah menghasilkan lirik sendiri, tetapi bagi komposer dan penerbit, Ajai, penyanyi yang berniat begitu perlu merujuk dan berkongsi idea dengan penulis lirik profesional. “Penulis lirik perlu peka dan tahu lirik yang hendak diketengahkan. Kami sebagai produser bukan saja menghasilkan lagu, sebaliknya mendidik pendengar. Menghasilkan lirik lagu mengikut cita rasa pendengar adalah tindakan kurang bijak atau tidak tepat. “Jadi, tak salah menghasilkan lirik sendiri, tetapi harus dirujuk kepada penulis lirik berkaliber. Jangan fikir ini lagu kita, jadi kita tak perlu rujuk sesiapa. Dengan cara ini, kita bukan saja berkongsi ilmu tetapi dapat menghasilkan lirik yang cantik dan indah,” katanya kepada Skop HIP. Menyedari industri muzik kekurangan penulis lirik berbakat seperti Allahyarham Loloq, Habsah Hassan dan seangkatan dengan mereka, bagi Ajai, penulis muda perlu bijak menghasilkan karya yang bukan saja sedap didengar, malah dapat mendidik. Selain itu, Ajai berpendapat, penggunaan tatabahasa yang betul dan tepat dalam lirik amat penting. Ini kerana bagi Ajai, jika tidak, ia dianggap barisan ayat membuta tuli atau sekadar menjadi lirik penyedap. “Bukan salah artis atau produser, sebaliknya penulis lirik mesti pandai mencari cara hendak mendidik melalui lagu. Contohnya, penggunaan istilah pudar. Dulu orang tidak tahu maksudnya tetapi lagu itu akhirnya menjadi rujukan orang untuk mencari maksudnya. “Itu yang dikatakan mendidik pendengar bukan saja sedap didengar. Kalau kita lihat lagu sekarang, muziknya sedap tetapi lirik hancur. Ini kerana bagi mereka, apa yang penting adalah muzik, lirik macam manapun tak mengapa. Sedangkan lirik memainkan peranan penting dan lirik jugalah mencantikkan lagu,” katanya. Mengambil contoh lagu dari negara seberang yang masih mengekalkan bahasa kiasan indah, puitis dan sedap didengari, Ajai menganggap lirik sebagai sinopsis sebuah cerita yang disampaikan dalam masa tiga hingga empat minit. Meskipun ringkas, lirik memainkan peranan penting dalam lagu supaya mesej yang hendak dikongsi, sampai kepada pendengar. “Kalau kita main letak ayat saja, ia tidak memberi sebarang impak pada lagu. Malah tajuk lagu juga memainkan peranan penting seperti lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Habsah. “Ini kerana dengan judul lagu itu, peminat hendak tahu cerita di sebalik lagu berkenaan,” jelasnya yang menganggap lagu ciptaan sekarang lebih terarah kepada konsep berparti hingga menyisihkan lirik bermutu. Pandang remeh bahasa indah Walaupun berkongsi pandangan dengan Ajai, bagi penulis lirik, Ad Samad, pengkarya sekarang terlalu terikut kehendak penyanyi dan penerbit dalam menghasilkan lirik. Ad bekata, dek terlalu mengikut peredaran zaman, lirik puitis makin dilupakan. “Saya fikir penulis lirik generasi sekarang sudah tidak ada apa-apa yang hendak diberikan. Tidak seperti era 1980-an yang datang dari kampung seperti Datuk M Nasir dan S Amin Shahab yang datang dengan penuh cetusan idea dan kreativiti. “Mereka ada banyak benda yang hendak diluahkan kepada pendengar. Dalam penulisan lirik, tidak semua benda kita boleh cakap. Malah soal cinta sesuatu yang enteng dan sering dijadikan fokus,” katanya. Menganggap masyarakat sekarang lebih terbuka dan mahukan yang ringkas dan direct, soal prosa kata dan tatabahasa akhirnya dipandang remeh oleh penulis lirik. Bagi Ad, biarpun ringkas, inti pati lirik haruslah mendalam dan mesej difahami pendengar. Jika dulu penulis lirik merangkumi golongan sastera yang menguasai bahasa lembut dan tinggi, Ad menganggap, sekarang sesiapa saja boleh menjadi penulis lirik termasuk penyanyi. “Cukup sekadar ada falsafah dan mampu menghasilkan lirik yang puitis dan mendalam, sudah memadai. Sebagai contoh, kesilapan yang dilakukan seperti tajuk lagu Muka Buku, sepatutnya tidak boleh diubah kerana ia adalah kata nama dan kalau nak diubah, istilahnya adalah Buku Muka. “Sesetengah penulis lirik kini menggunakan ayat atau perkataan hanya sekadar sedap didengar tetapi tidak faham maksud sebenar perkataan. Tambahan pula, penerbit lagu dan penyanyi sekarang lebih suka lagu ringkas dan mudah,” katanya yang menganggap penulis lirik dulu lebih menitik beratkan soal gaya bahasa dan tata bahasa yang penuh dengan elemen penghayatan. Lirik sekadar pelengkap lagu Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Syed Mohd Zakir Syed Othman menyifatkan penulis lirik sekarang bukan daripada golongan mahir dalam bidang penulisan atau pakar bahasa. Ini menyebabkan lirik yang dihasilkan ringkas dan mudah. Mengakui peredaran zaman banyak mempengaruhi penulisan lirik, penulis lirik tidak boleh mengetepikan soal bahasa kerana ia menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu. "Lirik menggambarkan nilai budaya masyarakat. Dalam lirik, kita dapat menghayati keindahan bahasa itu sendiri. Jika lirik terlalu ringkas kononnya mahu menghasilkan lagu yang catchy, ia boleh merosakkan bahasa. "Masih ada lirik lagu yang indah seperti lagu Jamal Abdillah dan Shahir AF. Namun, ada beberapa lagu yang jelas menunjukkan tiada perkembangan dari segi bahasa. Malah ayat yang digunakan tersasar dari budaya Melayu sendiri," katanya. Jelas Syed Mohd Zakir, penulis lirik sekarang kurang menguasai bahasa dan malas berfikir untuk menghasilkan lirik indah. Ini berbanding penulis lirik dulu yang banyak menggunakan bahasa sastera. Menurutnya, tidak salah mengikut muzik Barat, tetapi soal bahasa dalam penulisan lirik perlu dititik beratkan. "Penulis lirik sekarang tidak cerdik malah kosong. Sebab itu lirik yang dihasilkan sekadar menjadi pelengkap lagu saja. Penggunaan ayat dalam lirik juga ada kalanya salah dan kurang sesuai dengan apa yang hendak disampaikan. "Apa salahnya jika penulis lirik sekarang mengambil contoh penulis lirik berkaliber dan profesional. Ini kerana bahasa yang mereka gunakan cukup lengkap dan cantik dengan ayat yang indah,” katanya. Syed Mohd Zakir berkata, apa yang berlaku sekarang, muzik sudah tidak ada nilai bahasa. “Jangan salahkan pendengar atau peminat muzik, sebaliknya penulis dan penggiat muzik harus mencari idea bagaimana hendak mengembangkan bahasa dalam lagu," katanya yang pernah memenangi anugerah Sasterawan Muda, Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2010 dan penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA) 2011 ini.

0 Talian 03-8000 8000 dan Faks 03-8000 8001 adalah idea di luar kotak

Ada aduan, dail saja talian 03-8000 8000

NAJIB (tiga dari kiri) melawat Pusat Panggilan 1Malaysia selepas melancarkan perkhidmatan itu di Putrajaya semalam. PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) iaitu sebuah pusat penyelesaian setempat untuk rakyat mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan mengenai perkhidmatan awam. Beliau berkata, pusat yang beroperasi 24 jam seminggu termasuk pada cuti umum itu sejajar dengan prinsip rakyat didahulukan dan diyakini dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat. "Saya yakin dan percaya 1MOCC ini benar-benar dapat meletakkan perkhidmatan awam dan kerajaan sebagai sesuatu yang dibanggakan oleh rakyat. "Saya amat berharap 1MOCC ini disokong dan didukung sepenuhnya oleh semua jabatan dan agensi kerajaan atas semangat kita sebagai satu entiti," katanya pada majlis pelancaran 1MOCC di sini semalam. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri G. Palanivel. 1MOCC merupakan satu projek National Flagship di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang membolehkan orang awam mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan kepada pelbagai agensi kerajaan menggunakan nombor rujukan tunggal 03-8000 8000. Selain itu, pengguna boleh memilih untuk menggunakan faks di talian 03-8000 8001, melayari laman web di www.malaysia.gov.my, e-mel 80008000@1mocc.gov.my dan laman-laman sosial iaitu facebook.com/myGovernment dan twitter.com/myGovPortal. Perdana menteri berkata, inisiatif itu akan lebih memudahkan rakyat kerana hanya satu nombor yang perlu diingat selain membolehkan kerajaan mencapai objektif dengan kos minimum. "Dengan cara ini, kita ada satu perkhidmatan yang revolusionari, tiada tolok bandingan di mana-mana negara. Kita sudah mencapai sesuatu yang di luar jangkaan yang mungkin tidak terfikir oleh kita dan hari ini ia menjadi satu kenyataan," katanya. - Bernama