.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, August 07, 2010

0 Histeria dari pandangan pengamal agama islam dan sudut sains

Gangguan jin punca histeria

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/08/06


HATI-HATI, jangan sampai menjadi mangsa pengamal perubatan tradisional yang mengambil kesempatan.HISTERIA dikaitkan dengan perlakuan, tindakan dan pengeluaran suara individu yang luar daripada biasa. Ia dimulai dengan seorang individu dan boleh berjangkit kepada individu lain dalam sebuah kumpulan seperti dalam asrama, bilik darjah serta kilang.

Walaupun ada mengaitkan individu berkenaan atau mangsa sebagai mengalami tekanan mental, kita tidak seharusnya menafikan wujudkan pengaruh persekitaran luar pemikiran manusia seperti dunia jin dan syaitan. Pengasas dan Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Kiswah, Ustaz Hayat Abdul Rahman, berkata mangsa histeria dikaitkan dengan wanita lantaran ada ‘perkara’ yang tidak dimiliki lelaki, tetapi dipunyai wanita iaitu darah haid. Beliau berkata, dari segi psikologi ketika datang bulan, emosi wanita menjadi tidak menentu dan merasa lebih lemah akibat darah yang keluar itu, selain pertahanan tubuh menjadi kurang stabil, lemah termasuk perubahan emosi ketika datang bulan.

Kedatangan darah kotor yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh membaca ayat suci al-Quran sepanjang tempoh itu menjadikan mereka pilihan makhluk halus untuk merapati mereka.

Histeria juga dilaporkan sering berlaku di kalangan pelajar dan ia mungkin berpunca daripada pengumpulan tekanan kesan kesibukan belajar dan peperiksaan.
Selain itu, katanya, kedudukan sekolah yang menjadi ‘pusat’ makhluk halus berkampung dan apabila koloni mereka terganggu, tidak mustahil ia akan mengamuk boleh mencetus kepada histeria.
“Ia turut dikaitkan dengan aspek kebersihan. Dalam banyak kes ia berlaku di sekolah berasrama yang mana ketika itu remaja tidak begitu tahu bagaimana menguruskan kebersihan diri termasuk membersihkan darah pada pada tuala wanita sebelum dibuang ke dalam tong sampah, bukannya dibuang sesuka hati. Pengalaman saya selama 10 tahun sebagai pengamal perubatan, membuktikannya.

“Histeria banyak terjadi di kalangan remaja perempuan yang berada di sekolah dan paling banyak membabitkan masalah pengurusan kebersihan. Dalam kes saya kendalikan sebelum ini, seorang remaja perempuan dirasuk dan berjangkit dengan puluhan pelajar lain. Ketika berdialog dengan jin itu, ia menyatakan bahawa remaja itu membuang tuala wanitanya ke dalam kolah asrama, dan kolah berkenaan sebenarnya perkampungan jin. Tindakan remaja itu mengundang marah jin berkenaan lalu ‘menyerang’ pelajar itu,” katanya mengulas mengenai kejadian histeria yang dilaporkan kerap berlaku di kalangan wanita.

Dari sudut amalan perubatan tradisional, histeria dikaitkan dengan sejenis ‘jin yang suka berpindah-randah’. Rasukan boleh berlaku apabila jin memasuki 32 rongga tubuh dan apabila berjaya dilakukan, maka ia akan mulai menguasai manusia dan sebanyak 60 peratus rasukan, duduknya di kepala dan ia diterjemahkan dengan jeritan dan tindak balas.

Apabila seseorang itu kerasukan akibat jin berkenaan, ia boleh menjangkiti pelajar lain, tetapi dilakukan oleh pelbagai jenis jin lain, apatah lagi sekiranya orang berhampiran itu lemah semangat dan mungkin juga berhadapan tekanan sama dengan individu yang mula-mula dirasuk.

Tidak menafikan ia banyak membabitkan pelajar Melayu Islam dan pelajar sekolah agama serta tahfiz, Hayat berkata, ia berlaku bukan kerana pelajar berkenaan dalam kategori ‘nakal’, sebaliknya makhluk halus sememangnya gemar mengganggu golongan yang ingin hampir kepada Allah.

“Manusia ini unik, ada jenis yang dilahirkan jenis yang disukai jin serta lemah semangat. Bila orang pertama merasuk, jin lain akan kacau orang lain, kerana rasukan terhadap orang yang mula-mula terkena histeria itu adalah provokasi terhadap jin lain untuk mengeluarkan diri masing-masing.

“Ada juga yang mengaitkan orang yang mempunyai saka sebagai sasaran histeria. Ini ada juga kebenarannya memandangkan saka bagaikan biji benih yang boleh membesar dan ia keluar dalam bentuk rasukan,” katanya.

Mengenai keadaan histeria, katanya, ia berlaku dalam beberapa cara termasuk ada mangsa yang tidak sedar sehingga tiga jam, tetapi sedar dalam keadaan keletihan kerana dalam keadaan tidak sedar itu jin berkenaan mengawal dirinya.

Ada juga keadaan individu sedar dan membuka mata, tetapi pergerakan dan perbuatannya di kawal makhluk berkenaan. Selalunya mangsa mengeluarkan suara yang berbeza daripada biasa dan mempunyai kuasa yang kuat dan lain daripada orang normal. Tidak kecuali ada segelintir yang ‘buat-buat’ dengan alasan untuk mendapat perhatian ibu bapa.

Mengulas mengenai rawatan, katanya, ia bergantung kepada sekolah atau organisasi, tetapi perawatan yang dilakukan pengamal perubatan Islam tidak boleh dicampuradukkan dengan rawatan dilakukan bomoh.

“Bomoh selalunya akan menggunakan ‘tangkapan’ seperti memasukkan jin ke dalam tin dan sebagainya yang mana ia berbeza dengan amalan perubatan Islam. Cara perubatan Islam adalah dalam bentuk kitab rawatan menggunakan ayat suci al-Quran, doa, khutbah serta azan. Cara ini membantu menghalau makhluk ini daripada mengganggu manusia.

“Begitupun suka saya memberikan nasihat supaya berwaspada dengan kewujudan pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan rawatan tradisional sebagai topeng sedangkan ada yang menyeleweng hingga melakukan jenayah rogol, pencabulan dan sebagainya. Ada perawat hingga meminta untuk tidur bersama mangsa hingga berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Menangani histeria, katanya sekolah atau organisasi perlulah mengambil beberapa tindakan termasuk menjauhi unsur kelalaian seperti hiburan atau konsert nyanyian terlampau sehingga meninggalkan solat, percampuran lelaki dengan wanita tanpa batasan serta tingkatkan kebersihan.

“Individu yang terkena histeria boleh berulang tetapi tingkatkan ibadat untuk mengelakkan ia daripada terus berlaku,” katanya yang boleh dihubungi di 017-9065131 atau layari laman http://www.rukyahsyariah.com



Artikel berkaitan:

Histeria dari sudut sains


2010/08/06
sebelum - selepas
cWanita mudah 'dirasuk' akibat gagal tangani tekanan

HISTERIA sejenis gangguan psikiatri atau mental boleh berlaku disebabkan tekanan tidak terurai, dan apabila tidak dapat kendalikan dengan baik, maka ia akan mempengaruhi pemikiran individu dan dikeluarkan secara histeria. Presiden Persekutuan Asean Bagi Kesihatan Psikiatri dan Mental (AFPMH), Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata apabila individu yang menjadi punca histeria dirasuk, ia boleh mempengaruhi orang berhampirannya kerana mungkin orang yang berada di sekitarnya ketika itu, turut menghadapi masalah sama dengan ‘ketua’ yang memulakan histeria itu, seperti tekanan akibat peperiksaan dan sebagainya. “Histeria dikatakan berjangkit, tetapi sains melihatnya sebagai mekanisme minda yang boleh mempengaruhi individu lain. Contoh yang paling mudah, kalau si A menyatakan kubur hujung kampung ada hantu, si A nampak hantu dan menyebarkan cerita itu kepada orang lain, maka orang yang seterusnya akan menganggap memang betul ada hantu di kawasan kubur berkenaan, seterusnya kawasan itu dicop sebagai berhantu.

“Ia adalah tindakan emosi yang menyebabkan ia berlaku begitu, tetapi dalam kes histeria, ia boleh jadi lebih ekstrem lagi. Bila seorang memulakan, individu lain yang melihatnya akan merasa ketakutan dan turut terbabit histeria. Walaupun histeria turut berlaku di kalangan lelaki, wanita yang lebih ramai kerana naluri selain pengaruh psikologi mereka,” katanya.

Begitupun Prof Mohamad Hussain berkata, kepercayaan berhubung perkara tahyul, turut mempengaruhi apabila yang menjadi ketua itu dikatakan terkena sampuk sedangkan mungkin sebelum itu individu berkenaan sememangnya sudah berhadapan tekanan perasaan sebelum ini.

“Dalam proses rawatan, kita akan analisa ‘ketua’ itu terlebih dulu bagi memastikan apakah sebenarnya punca masalahnya. Selalunya kita akan berikan pesakit ubat penenang, seterusnya kaunseling dan diberikan cuti rehat. Justeru majikan atau pihak sekolah harus faham kerana rawatan kadangkala memakan waktu kerana ada rawatan susulan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, histeria juga dikaitkan dengan proses pemodenan. Apabila sesuatu masyarakat itu melalui proses perpindahan dari kampung ke kawasan moden, kejadian histeria dilaporkan semakin berkurangan.

Merujuk pada tahun 1980 dan 90-an dulu, Prof Hussain berkata, ketika itu, banyak kejadian histeria berlaku di sekolah serta industri hingga memaksa berlaku penutupan sekolah dan kilang malah dalam satu kes pada 1980-an, sebuah kilang terpaksa ditutup kerana kira-kira 50 orang pekerjanya terkena histeria.

“Psikobudaya masyarakat yang ada masalah histeria lebih menjurus kepada pemikiran atau masih dikongkong dengan tahyul. Tetapi apabila kita melihat di Malaysia, dari segi etnik, Melayu paling tinggi dibandingkan dengan kaum lain. Psikobudaya terkongkong dengan pemikiran tradisi yang ada kaitan dengan tahyul banyak berlaku di kalangan orang Melayu.

“Zaman 1960-an lalu, ramai juga orang India serta China terkena histeria, tetapi apabila zaman berubah, golongan daripada kaum itu yang terbabit dengan kejadian histeria semakin berkurangan tetapi sekiranya dibandingkan antara tiga golongan ini, orang Melayu masih menduduki tempat tertinggi,” katanya yang tidak menolak kemungkinan faktor ekonomi rendah turut mempengaruhi mangsa.

Mengambil contoh kejadian histeria, katanya, orang meracau akan mengeluarkan bahasa yang sukar difahami hingga segelintir menyatakan disampuk hantu India atau Cina, tetapi apabila didengar betul-betul, ia sekadar bahasa yang sukar difahami.

Memandangkan histeria berlaku di sekolah, beliau menasihatkan supaya ‘ketua’ yang memulakan histeria dibawa ke hospital dengan segera kerana kesan histeria boleh melumpuhkan sesuatu organisasi.

INFO: Kejadian histeria (seperti dilaporkan media)


15 JULAI 2009
ARAU: SEKURANG-KURANGNYA sembilan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SMKSS) gempar apabila beberapa pelajarnya histeria selepas mendakwa melihat kelibat wanita dalam keadaan mengerikan berkeliaran di pekarangan sekolah itu. Pelajar yang baru pulang dari menyertai Latihan Perkhemahan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) di Bukit Ayer meraung, meracau dan menangis secara tiba-tiba. Malah, ada antara mereka mula bertutur dalam loghat Indonesia sehingga mencetuskan rasa takut di kalangan rakan, sambil menangis meminta tolong ketika cuba dirawat seorang pengamal perubatan tradisional.

Kejadian selama sejam bermula 10 pagi itu sebenarnya adalah lanjutan kepada serangan histeria yang dilaporkan berlaku di Bukit Ayer di sini, yang turut membabitkan pelajar sekolah sama, hari sebelumnya. Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya lima daripada 32 pelajar SMKSS yang menyertai Latihan Perkhemahan JPAM di Bukit Ayer, dilaporkan mengalami histeria, sebelum dibawa pulang ke sekolah.


28 APRIL 2009
ALOR SETAR: LIMA pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Langgar (SMKL) di sini, diserang histeria. Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika kebanyakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat sedang membaca surah Yassin di surau sekolah apabila seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sambil menunjuk ke arah kantin sekolah sebelum diikuti beberapa pelajar lain.
Dalam kejadian itu seorang pelajar mendakwa ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang dan berkain putih mengelilingi sekolah, menyebabkan ramai pelajar perempuan menjerit dan meracau kerana takut.


11 OKTOBER 2008
KUALA LUMPUR: Empat pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Gombak diserang histeria sejak awal minggu lalu. Seorang pelajar mendakwa kejadian itu turut dialami tiga lagi rakannya sejak beberapa hari lalu selepas waktu rehat sesi petang persekolahan. Sebaik mangsa dibawa ke bilik guru, rakannya pula melarikan diri kerana mendakwa ada lelaki ingin mencederakannya dan ketika itu juga dia nampak wanita berwajah menakutkan berdiri di sebelahnya.


3 OGOS 2010
KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah menengah di Desa Petaling di sini, terpaksa ditutup sementara selepas lebih 10 pelajar perempuan, seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita tiba-tiba diserang histeria, semalam.

Serangan histeria itu bermula kira-kira jam 7.45 pagi apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga, Atikah Abdullah, yang menghadiri perhimpunan pagi tiba-tiba mengamuk dipercayai dirasuk.

Keadaan dialami mangsa berjangkit kepada sembilan pelajar lain termasuk seorang pelajar lelaki dan seorang guru wanita ketika semua mereka yang juga rakan sekelas mangsa cuba menenangkannya.

0 Dari filem ke drama bersiri pula. Tahniah Lagenda Budak Setan. Maslina seperti ada perasaan cinta pertama masakan gementar

Gementar di sisi Farid Kamil

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/08/06



MASLINA tertekan dan gementar bergandingan dengan pelakon berpengalaman, Farid Kamil.Bakat baru, Maslina Nasir, dipilih jayakan watak Ayu dalam drama bersiri Lagenda Budak Setan

ASALNYA, dia hanyalah pelakon tambahan dalam beberapa drama. Namun, dek wajahnya yang dikatakan seiras dengan Jue Aziz, tuah nampaknya menyebelahi pelakon baru, Maslina Nasir, 20, apabila diterima sebagai pelakon utama drama bersiri Lagenda Budak Setan (LBS), tayangan Astro Prima, mulai 10 Ogos ini. Bermula sebagai pelakon tambahan dalam Kasut Tumit Tinggi, diikuti Mat & Ginseng, siri Gerak Khas dan Akademi Polis, bakat gadis manis dari Kota Bharu ini akhirnya dikesan pengarah Along Kamaruddin, yang memberikannya ruang untuk menunjukkan keupayaan dalam siri yang diangkat daripada novel tulisan Ahadiat Akashah. Dalam drama berkenaa, Maslina memegang watak Ayu, sebelum wanita malang itu melakukan pembedahan ke atas wajahnya dan menukar nama menjadi Emilia (Jue). Dia akan muncul daripada episod pertama sehingga episod 16, daripada 26 episod drama berkenaan.

Selain dia dan Jue, turut berlakon dalam drama terbabit ialah Farid Kamil, Melissa Maureen Rizal, Arifah Damanhuri, Nas T dan Ngasriah Ngasri.
Mengaku watak berkenaan cukup mencabar kemampuannya, namun kepayahan itu dihadapinya dengan tabah, apatah lagi mengenangkan peluang sedemikian tidak datang setiap hari.

"Saya pula sememangnya bercita-cita menjadi seorang pelakon. Jadi, sukar atau tidak, saya terima dengan hati terbuka. Selepas membaca novel LBS dan mendapat bimbingan Along, saya berasakan, kesukaran membawakan watak Ayu makin berkurangan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbabit di ibu kota, baru-baru ini.
Dedah wanita muda ini, Along seorang pengarah yang agak garang ketika di lokasi. Begitupun, dia tidak serik dan menjadikan cabaran itu sebagai penguat semangat dan pengalaman berguna untuk meningkatkan kebolehan lakonannya.

Sebagai pelakon baru, Maslina sedar, banyak kekurangan yang ada pada dirinya. Namun, dia tidak pernah menutup ruang untuk terus belajar daripada setiap pengalaman lakonan yang diterima.

Menyedari hakikat itu juga, dia bersedia untuk menerima kritikan yang mungkin datang, sebaik saja drama terbabit menemui penonton di televisyen.

"Saya amat menghormati pelakon Lisa Surihani yang menjayakan watak ini dalam versi filem. Selepas ini, mungkin ada peminat yang akan membandingkan lakonan kami berdua. Saya pula sedia menerima segala teguran, demi mempertingkatkan mutu lakonan pada masa akan datang," katanya.

Melakonkan watak utama dalam siri itu, baginya, satu tanggungjawab besar yang tidak boleh dia persiakan. Segala keringat, katanya, sudah dicurah agar persembahannya sebagai Ayu tidak sia-sia.

"Jadi, saya benar-benar berharap lakonan saya dalam drama bersiri LBS diterima baik oleh penonton. Sokongan mereka akan membolehkan saya terus mengembangkan lagi karier yang baru hendak bercambah," ujar anak kelima daripada enam adik-beradik ini.

Gadis peramah yang turut meminati bidang nyanyian ini berkata, selepas menjayakan beberapa drama televisyen, dia juga menyimpan hasrat untuk muncul di filem, sebagai pelakon idolanya, Erra Fazira.

Selain Erra, Maslina juga menggemari lakonan Wan Maimunah dan Eman Manan, yang dianggapnya sebagai pelakon sebenar.

Ditanya mengenai gandingannya dengan Farid yang kembali memainkan watak Kasyah si budak setan, Maslina mengaku, sepanjang penggambaran, dirinya berasa begitu tertekan dan gementar!

"Setiap kali tibanya babak membabitkan saya dan Farid, tubuh saya jadi gementar. Maklum saja, siapalah saya dibandingkan dengannya? Saya pula belum ada pengalaman bercinta, manakala watak yang saya lakonkan juga memang besar," katanya yang pernah menghadiri uji bakat Pilih Kasih musim pertama, tetapi gagal menarik perhatian panel penilai.