.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, June 05, 2010

0 Rumah Mayat 6 Bintang vs Hotel 5 Bintang

Global: Rumah mayat versi moden


2010/05/22 KEMATIAN nampaknya bukan lagi isu kesedihan semata-mata, malah di sebuah pusat pengurusan mayat baru dibuka di Singapura, si mati boleh 'berangkat' dengan diiringi konsert rock.

Berbeza daripada pembakaran mayat biasa, di Pusat Peringatan Nirvana itu, tiada setanggi atau sami mendoakan roh si mati, sebaliknya hanya deretan kendi berisi abu manusia.

Sebaliknya, apabila tirai diangkat secara automatik bagi menampakkan kendi itu, asap dihasilkan mesin memenuhi ruang diikuti suara ratib yang dirakam terlebih awal.


Pelawat juga boleh mendengar kata-kata nasihat daripada suara itu.


Lebih menarik, pusat berkenaan dilengkapi pelbagai peralatan canggih termasuk sistem bunyi dan lampu bernilai kira-kira RM6.6 juta.


Ia turut menempatkan patung Buddha yang bergetar perlahan-lahan dengan hiasan lampu LED.


Melengkapkan hiasan di situ, suluhan cahaya terang bersinar ke atas kendi bagi melambangkan si mati diangkat ke 'syurga'.


"Ini baru 60 peratus daripada apa yang kami tawarkan," kata pekerja di situ, Jessie Ong.


Menurutnya, mereka masih dalam proses menyesuaikan cahaya laser di situ.


Sebahagian besar kawasan itu kekal gelap dan agak menakutkan. Di lantai, debu setanggi ditabur dan kendi diatur rapi sehingga mencecah siling dalam ruang kecil bersama gambar si mati.


Namun, ruang dan kemewahan di Pusat Peringatan Nirvana itu masih banyak.



Pengarah syarikat itu, Jeff Kong, berkata premis seperti itu biasanya menjadi tempat ziarah waris si mati hanya setahun sekali.


"Kami mahu mewujudkan suasana lebih menarik dan menggalakkan waris datang sekerap mungkin melawat saudara mereka," katanya.


Rumah mayat 'enam bintang' itu adalah yang pertama seumpamanya dan hasil idea syarikat Malaysia, NV Multi Corp.


Selain Singapura, syarikat itu turut membuka perniagaan sama di beberapa negara Asia Tenggara.



Buddha adalah agama majoriti penduduk Singapura dengan lebih 40 peratus penduduknya mengisytiharkan diri menjadi penganut.


Kebanyakan amalan mereka adalah gabungan elemen Taoisme dan pegangan tradisional Cina.


Rumah mayat seluas 11,200 meter persegi itu dilengkapi penyaman udara dan permaidani, selain lobi terbuka dan kawasan letak kenderaan tertutup.


Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2011, kemudahan bernilai RM72.3 juta itu akan menempatkan sehingga 50,000 ruang kendi di sepanjang 11 suite yang dibina mengikut elemen feng shui.


Setiap suite juga dilengkapi kawasan rehat dengan sofa dan perabot kayu bermutu tinggi untuk waris si mati berehat.


Untuk masuk ke kawasan debu mayat, waris diberi kad kunci elektronik.


Syarikat itu juga bercadang membuka sebuah restoran dan menyediakan sistem menghantar peringatan elektronik kepada keluarga si mati untuk datang memberi penghormatan pada setiap tarikh tertentu, misalnya pada hari ulang tahun kelahiran atau kematian.


Namun, harga untuk mendapat perkhidmatan itu tidaklah murah.


Berbanding rumah mayat kendalian negara (RM1,179 bagi satu ruang), kemudahan di situ dikenakan bayaran daripada RM72,000 untuk ruang kembar di Suite Diraja dan RM304,435 untuk Suite Keluarga yang boleh menempatkan sehingga 32 kendi.


Ada juga kelas ekonomi kepada sesiapa yang berminat.


Di situ, harganya bermula daripada RM7,200 satu ruang dan boleh dibayar secara ansuran.


Menurut Puan Goh, 60-an, dia menempah satu lot untuk menempatkan kendi abu mayatnya apabila dia mati nanti.


Katanya, kemudahan di situ berbaloi untuk dibeli.


"Tempat ini bersih, selesa dan kurang menyeramkan berbanding rumah mayat tradisional," katanya. - Reuters

0 Rahsia Lagu P Ramlee jadi evergreen. Mari ambil pelajaran

Rahsia hebatnya lagu P Ramlee

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

2010/05/29

HARI ini genap 37 tahun, Allahyarham Tan Sri P Ramlee meninggalkan kita.

Beliau pergi tetapi meninggalkan khazanah seni yang tidak ternilai harganya.

Filem dan lagunya terus menjadi santapan jiwa kita. Bakat seni yang dimilikinya luar biasa dan belum ada tandingan. Bukan saja mereka yang pernah hidup sezaman dengannya memujanya malah kanak-kanak hari ini pun kenal siapa P Ramlee. Masakan tidak, saban waktu filemnya terus diulang siar di TV dan lagunya berkumandang di radio. Setiap kali menjelangnya raya, lagu Dendang Perantau begitu menggamit perasaan perantau untuk segera pulang ke kampung halaman.


Lagu lain yang cukup sinonim dengan P Ramlee termasuklah Getaran Jiwa, Azizah, Engkau Laksana Bulan, Tunggu Sekejap, Bunyi Gitar, Anakku Sazali, Berkorban Apa Saja, Dalam Air Terbayang Wajah, Jangan Tinggal Daku, Jeritan Batinku, Tiru Macam Saya dan banyak lagi.


Apakah yang membezakan komposisi lagu karya P Ramlee dengan pencipta zaman ini dan kenapa ada yang mampu bertahan untuk beberapa ketika saja. Justeru Harian Metro mendapatkan pandangan daripada komposer terkenal tanah air iaitu Adnan Abu Hassan, Ramli MS, Helen Yap dan Aizat.




Adnan Abu Hassan:
"Lagu P Ramlee macam lagu Hindustan yang mana penonton dan pendengar boleh kaitkan lagu dengan filem. Menjadi trend di Bollywood dari dulu sehingga sekarang, mereka buat filem dan muatkan lagu yang mana liriknya turut menceritakan situasi hero dan heroin dalam filem itu. Kemudian barulah semua itu diterbitkan dalan bentuk CD. Jadi setiap kali orang mendengar lagu itu langsung teringatkan cerita filem itu.

"Sama juga dengan P Ramlee, lagu dan filemnya (audio dan visual) saling membantu. Kebanyakan daripada kita, sudah pun menonton filem Ramlee buka sekali tetapi berpuluh kali. Tidak puas menonton di televisyen mereka beli CD dan VCD pula untuk mendengar lagunya. "Lagu P Ramlee adalah kisah hidup kita. Bila ada kawan hendak berkahwin lagi satu, dia akan menyanyikan lagu Madu Tiga. Kebanyakan lagunya mewakili hidup kita seharian.


"Bagaimanapun keadaan sekarang berbeza. Kalau komposer buat banyak lagu untuk sesebuah filem, mahukan stesen radio memainkannya? "Stesen radio zaman dulu tiada masalah untuk menyiarkan lagu apa saja. Sekarang banyak sangat halangan. Seperti saya katakan, audio dan visual mesti saling menyokong sehingga semua lagu itu melekatkan kuat dalam minda pendengar. "Filem dan drama sekarang pun ada lagu tema tetapi lagu itu jarang bertahan dan orang tidak ingat pun. Cuba kita dengar lagu Azizah, secara tidak langsung terus terbayangkan pelakon Zaiton yang membawakan watak Azizah dalam filem itu."

RAMLI MS:
"LAGU P Ramlee mempunyai melodi yang ringkas, seni kata padat dan tidak terlalu kompleks. Banyak juga lirik lagunya yang berbunga-bunga tetapi tidaklah keterlaluan seperti lagu Hindustan yang membuatkan hero dan heroinnya terpaksa menari keliling pokok. Saya akui melodi lagu P Ramlee sangat indah dan merdu. Penyanyi dulu juga tidak suka menyanyi dengan nada tinggi dan terjerit-jerit macam artis sekarang. "Pun begitu kita kena faham zaman P Ramlee tidak sama dengan keadaan sekarang dan kita terpaksa menerima perubahan itu. Apapun juga, tiada siapa yang dapat memiliki bakat sehebat P Ramlee. Apa yang boleh saya katakan, komposer sekarang ramai yang merapu. Orang dulu hendak jadi komposer bukan senang, kini sesiapa pun boleh buat lagu. "Untuk menjadi komposer yang hebat mesti ada skil yang bagus. Orang dulu buat semua benda sendiri, daripada mencipta lagu, menulis lirik dan menggubah muzik semuanya idea sendiri. Sebab itu lagu yang dihasilkannya begitu dekat di hati kita. "Sekarang satu lagu, ramai yang buat. Orang lain buat lagu, orang lain gubah muzik dan akhirnya, jadi 'caca marba'. Sekejap saja orang dengar, lepas itu sudah basi kerana lagu itu tidak berjiwa.

"Dulu, kita boleh kenal identiti pencipta lagu itu menerusi lagu karyanya seperti Datuk Ahmad Nawab, Fauzi Marzuki, Saari Amri dan M Nasir. Lagu sekarang susah hendak ingat kerana gubahannya tidak sedap disebabkan komposernya cetek pengalaman. Mereka gagal menyelami lagu yang dicipta.


"Jika mereka sendiri gagal untuk memahami lagu sendiri, macam mana pendengar hendak jatuh hati dengan lagu itu? Suatu waktu dulu juga komposer buat lagu untuk satu atau dua penyanyi saja. Sekarang seorang komposer terpaksa buat lagu untuk ramai artis, sampai 10 hingga 20 orang! "Oleh itu dia gagal menghasilkan lagu itu dengan sepenuh jiwa raganya. Penyanyi sekarang pula, hanya tahu mereka mesti ada album. Lagu itu sedap atau tidak, belakang kira. Allahyarham Sudirman dulu mengkaji setiap ayat dan nota lagu. Sebab itulah lagunya turut bertahan sampai sekarang."

HELEN YAP:
"Saya meletakkan P Ramlee sebagai ikon dan komposer Melayu sejati. Melodi ciptaannya semua indah belaka. Lagu dan muzik P Ramlee sentiasa 'evergreen' dan lagu yang paling saya suka, Getaran Jiwa. Bagi saya lagu ini mewakili suara hati rakyat Malaysia dan lagu ciptaannya ada rasa antara bangsa. Kita tak akan malu membawa lagu P Ramlee ke luar negara. "Susah hendak cari orang macam P Ramlee. Dia anak seni sejati. P Ramlee manusia unik dan tiada pengganti. Kepada pencinta seni tanah air, P Ramlee adalah segala-galanya iaitu sebagai pelakon, penyanyi, pencipta lagu, pelawak dan pembikin filem.

"Lagu P Ramlee lain yang saya suka ialah Engkau Laksana Bulan dan Tunggu Sekejap kerana ia sangat klasik. Kalau boleh, saya juga ingin menjadi seperti P Ramlee meninggalkan legasi yang sangat berharga untuk peminat kelak.




AIZAT:
"SAYA mula mendengar lagu P Ramlee sejak usia 14 tahun lagi. Allahyarham meninggalkan karya yang sungguh hebat untuk generasi demi generasi. Kita semua tahu setiap lagunya, jatuh cinta dengan karektor selambanya dan tertarik dengan lakonannya yang bersahaja itu.

"Sejak kecil saya menonton filem-filem P Ramlee dan mendengar lagunya berulang kali. P Ramlee manusia terpilih yang dianugerahkan bakat luar biasa untuk menghiburkan masyarakat.


"Dalam berkarya, saya mahu ambil kejujuran dan semangat P Ramlee. Orang sekarang saya lihat terlalu serius mencipta lagu sampai tidak tahu hendak melawak. "Mungkin sebab itulah karya kita menjadi tidak menarik macam P Ramlee. Tapi P Ramlee menyuntik pelbagai elemen dan rasa dalam setiap lagunya dan ia begitu dekat dengan dunia seharian kita. Saya paling suka lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti."

1 Barat Laut Planet Musytari dilanggar asteroid. Bagaimana jika seluas lautan pasifik melanggar Australia atau Afrika Selatan? Bagaimana kalau Brunei?

Planet Musytari dihentam objek misteri



GAMBAR yang dirakamkan Anthony Wesley menunjukkan satu objek misteri (dalam bulatan) menghentam planet Musytari kelmarin.




LOS ANGELES - Planet Musytari dihentam lagi oleh sebuah objek misteri kelmarin.

Seorang ahli astronomi amatur, Anthony Wesley di Australia melaporkan dia menyaksikan satu cahaya terang dari sebuah objek yang menghentam planet itu.

Pengakuan itu turut disahkan lagi oleh seorang lagi ahli astronomi amatur dari Filipina.

Menurut Wesley, cahaya bebola api itu berlangsung selama dua saat.

Planet Musytari merupakan planet kelima mengelilingi matahari dan terbesar dalam sistem solar.

Pada tahun lalu, dia mengesan satu kawah sebesar Lautan Pasifik dekat Kutub Selatan planet tersebut yang dipercayai disebabkan oleh hentaman sebuah asteroid.

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) kemudian menemui bukti bahawa planet berkenaan dihentam sebuah objek di Kutub Selatan. - Agensi

0 Harga sebuah perbuatan rasuah - RM32.43j


Jadi jutawan selepas didapati tak bersalah


GIBBS



NEW YORK - Bandar raya New York kelmarin bersetuju untuk membayar ganti rugi sebanyak AS$9.9 juta (RM32.43 juta) kepada seorang lelaki Barry Gibbs yang tidak bersalah dalam satu kes pembunuhan sehingga dia dipenjarakan selama 19 tahun.

Pembayaran itu merupakan rekod untuk tuntutan saman hak asasi manusia terhadap pihak bandar raya.

Sebelum ini, seorang lelaki yang lumpuh menerima ganti rugi AS$8 juta (RM26.21 juta) selepas dia ditembak oleh seorang anggota polis pada 1999.

"Kami bersetuju untuk menyelesaikan kes itu dan percaya ia merupakan kepentingan terbaik untuk semua pihak," kata Jabatan Undang-Undang New York menerusi satu kenyataan.

Gibbs yang merupakan bekas pekerja pos yang kini berumur 61 tahun disumbat ke dalam penjara selepas seorang detektif menipu pada satu perbicaraan di sebuah mahkamah dengan menyediakan seorang saksi yang melihat dia membuang mayat mangsa kena jerut dekat sebuah jambatan di sini.

Detektif yang memperdayakan mahkamah itu, Louis Eppolito kini dipenjarakan seumur hidup kerana menjadi penembak upahan profesional secara sambilan pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Pada satu siasatan semula oleh ejen-ejan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), saksi yang memperdayakan hakim itu mengaku detektif tersebut merasuahnya untuk mengenal pasti Gibbs sebagai lelaki yang membuang mayat tersebut. - AP

0 Senario Bisnes Filem Malaysia: Saya tidak sabar menonton Lagenda Budak Setan

@sinepleks: Dua filem berentap
Oleh Nurul Hisham Abdul Latiff

2010/06/05
Kecoh Betul berebut penonton dengan Lagenda Budak Setan

MENGIKUT sesawang www.sinemamalaysia.com.my, lima filem sedang dan akan ditayangkan bagi tempoh dua bulan ini iaitu sebelum Ramadan pada Ogos nanti.
Filem itu ialah Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami ditayangkan sejak 20 Mei lalu. Ketika ini dua filem berentap di panggung iaitu Kecoh Betul terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd dan Lagenda Budak Setan daripada Astro Shaw Sdn Bhd. Kedua-duanya ditayangkan sejak 3 Jun lalu.
Apabila dua filem tempatan bersaing sesama sendiri, pastinya peminat tertanya-tanya, judul manakah yang berjaya menggamit lebih ramai penonton ke pawagam? Pada kebiasaannya, hanya sebuah filem Melayu ditayangkan kepada umum, pada satu-satu masa, kecuali pada Aidilfitri dan cuti hujung tahun. Tidak adil memberikan jawapannya sekarang setelah hanya dua hari filem, masing-masing arahan S Baldev Singh (bersama Ikhzal Ideris) dan Sharad Sharan, itu ditayangkan. Menyusul selepas dua itu ialah Kapoww! arahan Azizi ‘Chunk’ terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd. Filem ini ditayangkan pada 17 Jun. Dan, diikuti dengan filem Zoo pada 1 Julai sebelum disusuli dengan filem seram Mantra pada 15 Julai.
Setakat ini, filem Dua Alam yang dicanang untuk mula ditayangkan pada 27 Mei lalu sebenarnya belum ada dalam senarai panggung walaupun publisiti dan promosinya ketika ini sangat hebat.

Sementara itu, separuh pertama tahun 2010 bukanlah milik filem komedi, jika dilihat kepada persembahan pungutan mereka di pawagam. Sebaliknya filem aksi seperti Evolusi KL Drift 2 dan V3: Samseng Jalanan yang tampak lebih digemari peminat. Begitupun, Adnan Sempit terbitan MIG yang masih dikategorikan sebagai filem lawak (campur rempit) menyelamatkan situasi kurang memberangsangkan itu.

Filem komedi 2 Hati 1 Jiwa memungut kutipan kasar RM400,000, manakala Lu Pikirlah Sendiri de Movie pula RM2.15 juta. Hooperz dan Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami masing-masing mencatat sekitar RM300,000 dan RM500,000.
Lalu, jika dilihat kepada prestasi filem komedi sejak akhir-akhir ini, tentunya statistik itu agak membimbangkan penerbit Kecoh Betul.
Adnan Sempit mencatat kejayaan luar biasa ketika menemui penonton pada awal tahun. Sejak itu, corak pilihan peminat terhadap genre filem Melayu bagai sudah berubah bentuk.

Namun cita rasa penggemar filem Malaysia sukar diduga. Kadangkala filem yang tidak diberi harapan, mampu menarik ratusan ribu penonton ke pawagam. Kejutan serupa boleh dilakukan Kecoh Betul, lebih-lebih lagi apabila sudah lama peminat tidak menonton Apek berlakon.

Sementara itu, Lagenda Budak Setan yang diangkat daripada novel terkenal tulisan Akadiat Akashah sehingga kini menerima ulasan agak memberangsangkan. Penulis filem mahupun peminat nampaknya memberikan reaksi positif terhadap filem lakonan Lisa Surihani, Farid Kamil, Que Haidar, Shiqin Kamal, Raja Farah dan Nur Fazura itu.

Bagaimanapun, bilakah kali terakhir filem bercorak drama atau drama cinta berupaya mencatat kejayaan cukup membanggakan dari segi kutipan? Sejak lima tahun lalu, belum ada judul dalam genre terbabit yang mampu mencatat pungutan yang baik. Jika ada judul yang dapat mengutip lebih RM1 atau RM2 juta sekalipun, ia sebuah filem drama yang digabung bersama komedi atau aksi.

Evolusi KL Drift yang memungut kira-kira RM6 juta ialah drama aksi, begitu juga dengan V3: Samseng Jalanan serta Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, yang masing-masing meraih lebih RM3 juta. Hanya Syurga Cinta, satu-satunya filem romantik yang mampu memungut lebih RM2 juta. Itupun, setelah digarap dalam bentuk lebih ringan atau masih kuat dengan elemen komedinya.

Apakah Lagenda Budak Setan menjadi judul drama cinta terbaru yang boleh menukar keadaan berkenaan? Kita sama-sama tunggu apabila peminat menilaikannya. Sama ada filem komedi Kecoh Betul atau filem drama cinta Lagenda Budak Setan yang menjadi pilihan anda, yang penting sokongan terhadap filem Melayu berterusan. Selamat menonton.