.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, June 05, 2010

0 Rumah Mayat 6 Bintang vs Hotel 5 Bintang

Global: Rumah mayat versi moden


2010/05/22 KEMATIAN nampaknya bukan lagi isu kesedihan semata-mata, malah di sebuah pusat pengurusan mayat baru dibuka di Singapura, si mati boleh 'berangkat' dengan diiringi konsert rock.

Berbeza daripada pembakaran mayat biasa, di Pusat Peringatan Nirvana itu, tiada setanggi atau sami mendoakan roh si mati, sebaliknya hanya deretan kendi berisi abu manusia.

Sebaliknya, apabila tirai diangkat secara automatik bagi menampakkan kendi itu, asap dihasilkan mesin memenuhi ruang diikuti suara ratib yang dirakam terlebih awal.


Pelawat juga boleh mendengar kata-kata nasihat daripada suara itu.


Lebih menarik, pusat berkenaan dilengkapi pelbagai peralatan canggih termasuk sistem bunyi dan lampu bernilai kira-kira RM6.6 juta.


Ia turut menempatkan patung Buddha yang bergetar perlahan-lahan dengan hiasan lampu LED.


Melengkapkan hiasan di situ, suluhan cahaya terang bersinar ke atas kendi bagi melambangkan si mati diangkat ke 'syurga'.


"Ini baru 60 peratus daripada apa yang kami tawarkan," kata pekerja di situ, Jessie Ong.


Menurutnya, mereka masih dalam proses menyesuaikan cahaya laser di situ.


Sebahagian besar kawasan itu kekal gelap dan agak menakutkan. Di lantai, debu setanggi ditabur dan kendi diatur rapi sehingga mencecah siling dalam ruang kecil bersama gambar si mati.


Namun, ruang dan kemewahan di Pusat Peringatan Nirvana itu masih banyak.



Pengarah syarikat itu, Jeff Kong, berkata premis seperti itu biasanya menjadi tempat ziarah waris si mati hanya setahun sekali.


"Kami mahu mewujudkan suasana lebih menarik dan menggalakkan waris datang sekerap mungkin melawat saudara mereka," katanya.


Rumah mayat 'enam bintang' itu adalah yang pertama seumpamanya dan hasil idea syarikat Malaysia, NV Multi Corp.


Selain Singapura, syarikat itu turut membuka perniagaan sama di beberapa negara Asia Tenggara.



Buddha adalah agama majoriti penduduk Singapura dengan lebih 40 peratus penduduknya mengisytiharkan diri menjadi penganut.


Kebanyakan amalan mereka adalah gabungan elemen Taoisme dan pegangan tradisional Cina.


Rumah mayat seluas 11,200 meter persegi itu dilengkapi penyaman udara dan permaidani, selain lobi terbuka dan kawasan letak kenderaan tertutup.


Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2011, kemudahan bernilai RM72.3 juta itu akan menempatkan sehingga 50,000 ruang kendi di sepanjang 11 suite yang dibina mengikut elemen feng shui.


Setiap suite juga dilengkapi kawasan rehat dengan sofa dan perabot kayu bermutu tinggi untuk waris si mati berehat.


Untuk masuk ke kawasan debu mayat, waris diberi kad kunci elektronik.


Syarikat itu juga bercadang membuka sebuah restoran dan menyediakan sistem menghantar peringatan elektronik kepada keluarga si mati untuk datang memberi penghormatan pada setiap tarikh tertentu, misalnya pada hari ulang tahun kelahiran atau kematian.


Namun, harga untuk mendapat perkhidmatan itu tidaklah murah.


Berbanding rumah mayat kendalian negara (RM1,179 bagi satu ruang), kemudahan di situ dikenakan bayaran daripada RM72,000 untuk ruang kembar di Suite Diraja dan RM304,435 untuk Suite Keluarga yang boleh menempatkan sehingga 32 kendi.


Ada juga kelas ekonomi kepada sesiapa yang berminat.


Di situ, harganya bermula daripada RM7,200 satu ruang dan boleh dibayar secara ansuran.


Menurut Puan Goh, 60-an, dia menempah satu lot untuk menempatkan kendi abu mayatnya apabila dia mati nanti.


Katanya, kemudahan di situ berbaloi untuk dibeli.


"Tempat ini bersih, selesa dan kurang menyeramkan berbanding rumah mayat tradisional," katanya. - Reuters

0 comments: