.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, March 06, 2012

0 Bagaimana memotivasi anak untuk cemerlang dalam jiwa dan pelajaran?

Rahsia anak hebat
Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
drasmadi@maptraining.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ANAK hebat lebih berdisiplin, ada wawasan, sasaran, matang berfikir, mudah bergaul, seimbang hidupnya, bagus akhlaknya serta taat agama.

Dia bukan sahaja disenangi ibu bapa, guru dan rakan-rakannya. Mereka cemerlang dalam akademik dan kokurikulum malah sering ditabal tokoh pelajar di sekolah.

Jadi, apa yang ada pada anak cemerlang yang tiada pada anak-anak lain?

Ada anak hebat datang daripada keluarga biasa, anak yatim atau daripada keluarga mangsa penceraian. Ini membuktikan persekitaran, keadaan keluarga, kesusahan dan kemiskinan tidak menjejaskan menjadi insan hebat.


Rahsia pertama: Anak hebat ada matlamat jelas dan tidak sanggup berkompromi dalam merealisasikan matlamatnya. Apabila ditanya cita-citanya, mereka memberi jawapan dengan pasti.


Rahsia kedua: Anak hebat pentingkan pelajaran. Dia tahu hanya pelajaran boleh mencapai cita-citanya. Justeru, mereka memberi tumpuan dalam kelas, menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran.

Malah, anak hebat menyertai program motivasi luar bagi mendorong dirinya dan memantapkan teknik dan kemahiran belajar.


Rahsia ketiga: Anak hebat tidak malu mengakui kelemahannya dan meminta bantuan mengatasi kekurangan itu. Mereka sedar tidak semua orang tahu semua perkara selain memiliki bakat dan kebolehan berbeza-beza.


Rahsia keempat: Anak hebat menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang, hormat ibu bapa, sentiasa mendengar nasihat, menyenang dan menggembirakan orang tua, membantu dan mesra dengan adik-beradik.


Rahsia kelima: Anak hebat sentiasa muhasabah tindak-tanduk dan memantau prestasi pencapaiannya. Dia tahu kedudukannya sama ada hampir atau masih jauh dari sasaran lalu memperbaiki prestasi tanpa menunggu arahan.


Rahsia keenam: Anak hebat melakukan sesuatu bersungguh-sungguh dan tiada istilah main-main.


Rahsia ketujuh: Anak hebat istiqamah dalam usahanya dan percaya kejayaan besar yang mahu dicapai esok hari adalah himpunan kejayaan kecil setiap hari.

Dia sentiasa membuat perancangan belajar dan konsisten belajar mengikuti perancangan tanpa bosan.


Rahsia kelapan: Anak hebat sentiasa belajar daripada orang lain dan suka hadir pelbagai program, aktiviti dan seminar yang membuka mindanya.

Anak hebat mempunyai mentor. Dia tahu kejayaan yang mahu dicapainya itu pernah dicapai orang lain.


Rahsia kesembilan: Anak hebat sentiasa ingat Allah kerana manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan menentukan. Dia juga tahu jika dirinya ingkar perintah Allah, bergelumang dengan dosa, Allah akan tutup hatinya dan hilang keberkatan dalam usahanya.

Mereka sentiasa menjaga solat lima waktu, melakukan banyak amalan sunat, membaca al-Quran, berpuasa sunat Isnin dan Khamis, amalan doa harian dan
basah lidah serta hatinya dengan zikir.


Rahsia kesepuluh: Anak hebat tidak sombong dengan apa yang dicapai dan sentiasa bersyukur apabila berjaya selain berkongsi kegembiraannya dengan mereka di sekelilingnya.

Anak hebat tidak pernah menunjuk-nunjuk atau mendabik dada kerana tahu sifat sombong hanya merosakkan akhlak dan amalannya. Dia berterima kasih setiap kali berjaya.


Rahsia kesebelas: Anak hebat sedar hanya dia yang boleh menolong dirinya.

Jika tidak faham satu dua perkara bolehlah bertanya pada guru tetapi bukannya menyerahkan semuanya kepada guru.


Sepanjang cuti sekolah ini, Seminar Motivasi Alihan Pelajar (MAP) selama dua hari membantu melahirkan anak hebat dan diadakan di Johor Bahru dan di Kuala Lumpur.

Motivasi ini dijalankan sejak 17 tahun lalu dan melahirkan lebih 100,000 pelajar hebat. Anak hebat perlukan satu program yang hebat dan insya-Allah, MAP adalah jawapannya.

Hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar di talian 03-22734622, 016-5580719 atau 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web, www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.

0 Naypyidaw - lanskap lebih hebat daripada lanskap Putrajaya, tentu misinya besar dari negara mundur!

Misteri ibu kota baru Myanmar kian terungkai
Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
2012/03/05



NAYPYIDAW, pusat pentadbiran baru Myanmar yang hampir menyamai landskap Putrajaya.

NAYPYIDAW, ibu kota Myanmar yang baru, jika diterjemahkan ke bahasa Melayu membawa maksud tempat bersemayam atau singgahsana diraja. Berdasarkan kemewahan fizikal bandar raya yang terletak kira-kira 350 kilometer ke utara Yangon itu, Naypyidaw memang layak digelar sedemikian. Bezanya, Myanmar sudah lama tidak menggunakan sistem beraja dan sejak hampir setengah abad sehingga tahun lalu, ‘negara seribu pagoda’ itu diperintah oleh rejim tentera.

Walaupun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Pusat sejak 2005, tidak ramai termasuk rakyat Myanmar sendiri yang mempunyai maklumat sebenar mengenai Naypyidaw, apa lagi mengunjungi bandar itu. Malah, beberapa pegawai kanan kerajaan yang kami temui di sana minggu lalu, saling mengelak mengenai kos sebenar pembinaan ibu kota itu. Namun, mereka menegaskan, kerajaan tidak membuat sebarang pinjaman dalam membina ibu kota yang tersenarai antara sepuluh bandar raya dunia paling pesat membangun itu.
Pemimpin kerajaan tentera Myanmar, Jeneral Than Shwe tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi kenapa beliau secara tiba-tiba memindahkan pentadbirannya dari Yangon pada November 2005, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terutama daripada media Barat, yang sejak sekian lama melihat negara itu dan kerajaannya dari sudut negatif.
Teori paling popular di sebalik pemindahan pusat pentadbiran yang mula dibina pada 2003 itu ialah nasihat tukang tilik kepada Presiden Shwe kononnya untuk mengelak daripada serangan asing dan kebangkitan rakyat. Ada juga yang menuduh ketua junta itu mahu mengikut jejak raja-raja Burma (nama lama Myanmar) sebelum era penjajahan dulu yang sering memindahkan ibu kota mereka.

Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai teori itu, angka yang dipilih sebagai tarikh pemindahan dilihat mempunyai kaitan ramalan astrologi. Pemindahan pertama kakitangan kerajaan ke Naypyidaw dilakukan tepat pada jam 6.37 pagi 6 November. Lima hari selepas itu, pada jam 11 pagi 11 November 2005, konvoi kedua merangkumi 1,100 trak tentera yang membawa 11 batalion askar dan 11 kementerian, meninggalkan Yangon.

Pada akhir Februari 2006, semua kakitangan kerajaan berpindah ke sana walaupun belum membawa keluarga mereka disebabkan banyak kemudahan termasuk sekolah dan rumah kediaman belum siap.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Myanmar menjelaskan, langkah memindahkan pusat pentadbiran itu disebabkan Yangon kini terlalu sesak dan padat sehingga sukar membina kompleks pejabat kerajaan bagi menampung keperluan akan datang. Tarikh pemindahan juga, katanya, memang dirancang dan diberitahu kepada kakitangan yang terbabit.
“Lagipun, berbanding Yangon yang jauh di selatan, Naypyidaw terletak di tengah-tengah Myanmar dan dianggap lebih sesuai sebagai ibu kota. Pembinaan dan pemindahan ini memang dirancang teliti, bukannya terburu-buru seperti dilaporkan media Barat,” katanya.

Rakyat Malaysia yang kali pertama ke Naypyidaw tidak dapat mengelak daripada membandingkannya dengan Putrajaya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak persamaan dari segi landskap, keseragaman bangunan kementerian, perancangan bandar, malah jambatan yang melintasi tasik buatan manusia. Sama seperti Putrajaya yang diletakkan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan, Naypyidaw ditadbir di bawah Wilayah Kesatuan.

Bezanya, kawasan Naypyidaw jauh lebih luas (7,054.37km persegi) yang dibahagikan kepada lapan zon – perumahan, ketenteraan, kementerian, perhotelan, kawasan beli-belah, rekreasi, antarabangsa dan Pagoda Uppatasanti.
Selain itu, Naypyidaw mempunyai lapangan terbangnya sendiri, lima padang golf dan sekurang-kurangnya 10 hotel bertaraf empat bintang ke atas, sudah beroperasi.

Kecuali zon ketenteraan yang menjadi kawasan larangan, pihak berkuasa sudah mula membenarkan kunjungan orang awam. Malah, kumpulan wartawan penyiaran dari ASEAN yang mengunjungi Naypyidaw minggu lalu, bebas merakam video termasuk kompleks Parlimen dan bangunan kementerian, sesuatu yang mustahil dilakukan sebelum ini.

Berbanding Putrajaya yang semakin sibuk dan sesak sekarang, Naypyidaw, yang menurut statistik 2009, mempunyai 925,000 penghuni, jauh lebih lengang dan sunyi. Walaupun jalannya amat lebar sehingga 10 lorong di sesetengah kawasan, belum banyak kenderaan menggunakannya. Malah, jumlah kenderaan yang memotong atau berselisih dengan bas mini kami boleh dibilang jari sepanjang enam jam perjalanan di lebuh raya empat lorong dari Yangon ke Naypyidaw.

Ketika ini kerja membina kompleks sukan yang merangkumi beberapa stadium sebagai persediaan menganjurkan Sukan Asia Tenggara tahun depan, giat dilaksanakan. Sidang Kemuncak ASEAN juga akan diadakan di sana apabila Myanmar mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN mulai 2014. Barangkali, selepas menerima lebih banyak kunjungan masyarakat antarabangsa nanti, misteri ibu kota moden di negara termundur ini, semakin terungkai.