.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, August 05, 2010

0 Negara agak aman bila isu kalimah Allah tidak diungkit dan itu adalah baik untuk ekonomi Malaysia

Kabinet muktamad isu kalimah tidak wajar diperdebat


2010/08/05
PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendirian Kabinet mengenai isu penggunaan kalimah Allah bahawa ia bukan perkara yang wajar diperdebatkan adalah muktamad dan perlu dihormati.

Timbalan Perdana Menteri berkata, isu berkenaan adalah soal hukum agama selain masih berada pada peringkat perbicaraan dalam mahkamah yang mana semua pihak, sama ada komponen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, perlu menghormatinya. "Kita harus hormat keadaan itu (peringkat mahkamah), tak perlu kita nak bincang, kalau saya sebut (ulas), (akan ada) debat lagi, tidak ada hasilnya. "Memang ada orang suka porak peranda...gaduh (dengan) timbulkan balik semula, tetapi kerajaan BN yang bertanggungjawab tidak mahu perkara itu timbul walaupun belum selesai," katanya pada sidang media selepas menerima peruntukan RM50 juta bagi pihak Kementerian Pelajaran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, di sini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Saya fikir dalam masa beberapa bulan lalu, negara agak aman, tak ada pihak rasa isu sebegini boleh mengganggu jadi saya harap itulah pendirian yang kita harus ambil.

"Dalam Kabinet pun kita putuskan kerana ia ada hubung kait dengan mahkamah dan semua orang tahu undang-undang mahkamah jangan kita bicara soal yang masih di mahkamah yang bersifat subjudis," katanya.
Di KUALA LUMPUR: MCA menegaskan parti itu tidak berkongsi pendirian bersama DAP dalam mendesak kerajaan menarik balik pengharaman kalimah ‘Allah’ di kalangan bukan Islam, sebaliknya hanya menyuarakan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan segera.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata pandangan itu disuarakan hasil pertemuan dan dialog bersama Persatuan Kristian Malaysia pada Majlis Presiden parti, minggu lalu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan berasakan ada keperluan isu itu diselesaikan secepat mungkin.

“MCA hanya menyuarakan hasrat NGO itu kerana isu ini tidak diselesaikan sejak tercetus tahun lalu.

“Kami tidak membuat pendirian sama dengan DAP. Kami hanya mahu kerajaan BN menyelesaikan isu ini secepat mungkin supaya ia tidak dieksploitasi pembangkang,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan MCA supaya bersikap rasional dalam pendiriannya selaku komponen BN sebelum bersekongkol dengan pihak tertentu bagi mendesak kerajaan menarik balik pengharaman penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan bukan Islam.

Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, isu itu tidak wajar dihangatkan kembali berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa keputusan pengharaman itu oleh menteri sebelumnya, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai sesuatu yang mengecewakan.

Sementara itu, Pengerusi MIC Perak yang juga bekas Naib Presiden MIC, Datuk S Veerasingam berkata parti komponen BN perlu menerima teguran dari pucuk pimpinan demi menjaga perpaduan dan kekuatan BN.

“Nasihat dari pucuk pimpinan BN ini bukan saja dituju kepada MCA tapi parti komponen lain supaya sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama. Apa saja yang perlu dibuat kena menjaga kepentingan parti dan semua kaum, ini penting demi semangat kekeluargaan dalam parti.

“Lagipun perkara itu (kalimah Allah) masih di peringkat mahkamah, tidak elok kalau saya sebut perbuatan (MCA) itu salah atau tidak, biar disebut pucuk pimpinan,” katanya.

0 Kisah disebalik cerita seolah-olah seperti cerita TITANIC

Bangkai pesawat Skyvan ditemui selepas 17 tahun


2010/08/05



Akhbar Indonesia dakwa bangkai kapal terbang, rangka manusia dikesan di Aceh

KUALA LUMPUR: Polis Aceh mendakwa menemui bangkai sebuah pesawat dipercayai jenis SC-7 Skyvan milik Pan Malaysia Air Transport (PMAT) Sdn Bhd yang hilang ketika dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, 17 tahun lalu. Akhbar Waspada kelmarin menyiarkan di muka depannya berita mengenai penemuan bangkai pesawat itu dan rangka manusia di dalamnya yang dikesan di kawasan pergunungan Aceh Besar di Utara Sumatera. Usaha Berita Harian sehingga lewat malam tadi untuk mendapat pengesahan sama ada bangkai pesawat itu adalah milik PMAT tidak membawa kejayaan, berikutan pasukan mencari diketuai Polis Indonesia yang memasuki kawasan pergunungan berkenaan dikatakan belum keluar dari kawasan lokasi penemuan bangkai itu.

Ketua Polis Daerah Aceh Besar, Agus Susanto memberitahu akhbar itu pasukannya sudah berlepas ke kawasan Gunung Leuser bagi mencari bahan bukti untuk mengesahkan penemuan berkenaan.

“Kita harus mengharungi perjalanan sekurang-kurangnya dua hari untuk sampai ke lokasi bangkai pesawat itu dikesan,” katanya.

Difahamkan, pasukan itu dijangka keluar lewat petang ini.
Pesawat jenis SC-7 Skyvan Malaysia itu hilang pada 30 Januari 1993 selepas terputus hubungan dengan pusat kawalan Lapangan Terbang Medan kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Medan menuju ke Banda Aceh.

Dalam kejadian itu, 16 dilaporkan hilang iaitu 11 penumpang dan lima krew.
Lima krew itu termasuk tiga rakyat Malaysia, iaitu Pengarah Urusan PMAT, Piaruddin Fathodin, 48, yang juga juruterbangnya; pembantu juruterbang, Achuthan Ramadas, 27 dan juruteknik, Augustine Joseph serta dua lagi juruterbang rakyat Myanmar.

Sepuluh penumpang pesawat itu adalah rakyat Singapura manakala seorang lagi rakyat India. Rakyat Singapura itu dikenali sebagai Mansur Usman, Kaharudin Salamat, Zuraini Syakdan, Saharudin Jaldi, Samsul Bahri, Janri Isa, Lee Mon Thong, Palamisami, Abu Nasir dan Lim Pun Wan, manakala warga India dikenali sebagai Prem Kumar.

Ketika kejadian itu, pesawat berkenaan disewa syarikat Esso Singapura dan dipercayai dalam perjalanan ke Kepulauan Nicobar untuk memeriksa sebuah kapal tangki Denmark, Maersk Navigator yang terbabit dalam pelanggaran dengan sebuah kapal lain di Selat Melaka pada 21 Januari 1993.

Waspada turut memetik Ketua Divisyen Operasi Angkasa Pura Blangbintang Aceh Besar, Mustari mengesahkan pesawat ringan milik Malaysia terhempas di kawasan itu pada 1990-an dan belum ditemui sehingga kini.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia, Norlin Othman yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata pihak berkuasa republik itu belum dapat mengesahkan sama ada pesawat terbabit milik syarikat Malaysia.

“Pasukan polis republik itu sedang berusaha untuk sampai ke lokasi bangkai pesawat ditemui bagi mengesahkan spesifikasinya daripada segi jenis atau sama ada ia pesawat Malaysia.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, dua pesawat Malaysia yang disyaki terhempas di kawasan berkenaan, termasuk SC-7 Skyvan milik PMAT,” katanya.

Norlin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan sebaik pihak berkuasa republik itu mengesahkan bangkai pesawat milik syarikat Malaysia.

‘Saya tak berhenti berharap suami pulang’

KUALA LUMPUR: “Saya berharap pesawat yang ditemui polis Aceh itu daripada jenis SC-7 Skyvan yang hilang ketika dalam perjalanan dari Medan ke Banda Aceh, 17 tahun lalu,” kata Noorhidayati Cheah Abdullah.

Wanita kelahiran Kelantan itu kehilangan suaminya, Piaruddin Fathodin dalam tragedi itu bersama empat lagi anak kapal, selain 11 penumpang warga Singapura dan India.

Dalam kejadian 30 Januari 1993 itu, pesawat yang dikendalikan Piaruddin yang juga juruterbang pesawat itu merangkap Pengarah Urusan Pan Malaysia Air Transport (PMAT) Sdn Bhd itu disyaki hilang apabila terputus hubungan dengan Lapangan Terbang Medan ketika dalam perjalanan ke Banda Aceh.

“Berita terkini mengenai penemuan pesawat SC-7 Skyvan itu suatu rahmat menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini, lebih-lebih lagi kejadian 17 tahun lalu itu juga berlaku sebulan sebelum umat Islam menunaikan ibadat puasa.

“Malah perasaan terkejut, sedih dan tertekan yang dialami 30 Januari 1993 lalu turut dirasai sebaik menerima berita penemuan bangkai pesawat yang hilang itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Berusia 35 tahun ketika peristiwa itu menimpa diri dan keluarganya, Noorhidayati berkata, dalam beberapa bulan selepas pesawat itu hilang, nalurinya kuat menyatakan suaminya masih hidup dan turut mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

“Saya tidak pernah berhenti mengharapkan kepulangannya kerana sebelum berlepas suami berjanji akan pulang, malah saya tidak dapat menerima kenyataan beliau sudah pergi meninggalkan kami sekeluarga.

“Siapa tahu, mungkin juga beliau sesat dalam hutan, mungkin juga beliau salah seorang yang bernasib baik dan terselamat serta dijaga penduduk di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya sudah jangka berita penemuan pesawat itu pasti diterima suatu hari nanti, cuma entah bila dan hari ini (semalam) apa yang saya jangkakan benar-benar berlaku,” katanya yang menggalas tugas Pengarah Eksekutif syarikat yang pernah diterajui suaminya itu.

0 Gempa bumi di Papua

Gempa kuat 7.0 magnitud gegar Papua New Guinea


2010/08/05

PELABUHAN MORESBY: Gempa kuat berukuran 7.0-magnitud menggegarkan kawasan pergunungan di Papua New Guinea awal pagi ini sehingga mencetuskan panik di kalangan penduduk.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada laporan mengenai kecederaan dan kerosakan. Gempa yang melanda di kawasan kurang penduduk di Pulau New Britain itu berlaku jam 8.01 pagi waktu tempatan (2201 GMT) di kedalaman 54 kilometer, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) dan Pejabat Gempa Bumi Papua New Guinea. “Kami belum menerima maklumat terkini mengenai kerosakan yang berlaku tapi gegaran amat kuat di Bandar Kimbe dan beberapa bahagian di pulau berkenaan," kata ahli seismologi, Lawrence Anton dari Pejabat Gempa Bumi Papua New Guinea kepada AFP.

Gempa berkenaan terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat gegaran gempa 7.3 magnitud yang melanda wilayah berkenaan Julai lalu. - AFP