.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Friday, January 21, 2011

0 Buat Duit Dengan Lukisan Seni Kreatif

Galeri: Ekspresi Dua Ribu Sebelas
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2011/01/21



'SPOT SUNS' karya Iszuan Ismail.



SENIMAN Agung dan Antara Lukisan (kanan) karya Nazmi Ismail.
Pameran karya 11 pensyarah, enam pelajar ASWARA

KARYA unik dan terkini gabungan 11 pensyarah dan enam pelajar Fakulti Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dapat disaksikan pada Pameran Ekspresi Dua Ribu Sebelas di Galeri Shah Alam, Shah Alam yang berlangsung sehingga 30 Januari ini. Sebanyak 140 karya yang menekan aspek budaya dan warisan dipamerkan dalam pameran itu, sekali gus memperlihatkan kelainan serta pembaharuan dalam seni cetakan, arca, lukisan dan media campuran hasil gabungan kreativiti juga minat mendalam. Pensyarah Fakulti Seni Halus ASWARA, Mohd Faizal Md Suhif, berkata ASWARA menganjurkan Pameran Ekspresi Dua Ribu Sebelas untuk memberi pendedahan kepada masyarakat sekitar Lembah Klang berkenaan penubuhan Fakulti Seni Halus di akademi itu.

Antara karya yang dipamerkan adalah garapan pensyarah ASWARA iaitu Juhari Said, Fuzin Mustafa, Suzlee Ibrahim dan Mad Anwar Ismail, selain tiga pelajar fakulti berkenaan yang pernah memenangi pertandingan melukis sempena 50 tahun Maybank, baru-baru ini.

“Pendedahan melalui pameran adalah usaha ASWARA mempromosikan Fakulti Seni Halus kepada generasi muda, sekali gus menghebahkan kepada masyarakat terhadap usaha memartabatkan seni halus yang kini mempunyai fakulti sendiri berbanding sebelum ini yang diletakkan di bawah jabatan di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kami juga menampilkan pelbagai karya dari genre yang berbeza termasuk karya saya, Ikan dan Laut yang dihasilkan menggunakan teknik cetakan hasil bahan buangan iaitu simen dan ia dijual pada harga RM2,500,” katanya kepada Galeri di Shah Alam, baru-baru ini.
Pelajar Fakulti Seni Halus ASWARA, Nazmi Ismail pula tampil dengan enam lukisan memaparkan watak seniman agung, Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma itu cuba mengembalikan nostalgia kegemilangan mereka dengan konsep lukisan pelbagai rupa.

“Saya mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan lukisan untuk dipamerkan dalam pameran ini dengan memilih watak P Ramlee dan Saloma kerana mereka adalah ikon seni yang harus disanjung dan terus dihargai di atas kejayaan mengangkat bangsa Malaysia dalam seni lakonan dan nyanyian.

“Saya menggunakan bahantara media campuran dan cuba menampilkan warna klasik bagi menampakkan imej nostalgia dalam karya berkenaan dengan setiap lukisan dijual pada RM3,500,” katanya.

Sementara itu, rakan fakultinya, Mohd Fahmi Mohd Taib yang juga pemenang kategori B pada pertandingan lukisan sempena 50 tahun Maybank menampilkan karya Irama Kenyalang bagi menonjolkan identiti negeri Sarawak yang sangat unik.

“Kebanyakan lukisan saya lebih bermotifkan haiwan kerana ia menjadi luahan hati saya yang juga penggemar binatang dan melalui Irama Kenyalang, saya menampilkan dua burung kenyalang sebagai subjek, selain watak masyarakat Sarawak yang gemar kepada tarian dan seni muzik.

“Untuk karya ini, saya menggunakan bahantara media campuran dan ia dihasilkan dalam tempoh dua bulan sejak pertengahan November lalu dan saya sangat teruja diberi peluang menyertai pameran ini selepas pernah terbabit dalam pameran lukisan di luar negara antaranya Belanda, Itali dan New York,” katanya.

INFO: Pameran Ekspresi Dua Ribu Sebelas
Tempat: Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik, Shah Alam, Selangor
Tarikhh: Sehingga 30 Januari 2011
Karya: 140 karya
Telefon: 03-55105344

0 POWER: Bank Negara Malaysia (BNM) prihatin kesengsaraan penghutang

Kita mungkin patut bimbang



Zeti Akhtar Aziz menunjukkan buku 'Power Pengurusan Wang Ringgit Anda AKPK' di Bank Negara Malaysia, kelmarin.



KELMARIN Bank Negara Malaysia melancarkan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!), sebuah program untuk mendidik setiap individu cara mengurus kewangan dengan baik sekali gus mengelakkan mereka dibelenggu masalah hutang keliling pinggang.

Inisiatif ini menunjukkan betapa seriusnya Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mahu membendung masalah hutang isi rumah lebih awal sebelum ia berada di luar kawalan.

Biarpun berdasarkan angka yang ada di tangan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kadar hutang isi rumah berjumlah RM577 bilion sehingga November lalu, masih lagi terkawal tetapi semua pihak mungkin patut juga berasa bimbang.

Kenapa tidak? Berdasarkan kepada demografi individu yang mendaftar ke dalam Program Pengurusan Kredit (PPK) yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 43.7 peratus adalah mereka yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun.

Ini diikuti oleh peserta yang berusia lebih 40 tahun dengan 40.7 peratus dan 15.5 peratus bagi peserta yang berumur di antara 20 sehingga 29 tahun.

Ini menunjukkan golongan ini membuat pinjaman apabila memasuki pasaran kerja ketika berusia di awal atau pertengahan 20an dan terbelit dengan kemelut hutang apabila usia menjengah 30an.

Berdasarkan perangkaan itu juga, sejak tahun 2007 sehingga 2010, seramai 32,997 (67.8 peratus) lelaki menyertai program PPK berbanding hanya 15,688 (32.2 peratus) perempuan.

Timbulnya isu ini adalah kerana pengurusan kewangan yang lemah, cetek pengetahuan kewangan dan tidak berdisiplin di dalam perbelanjaan harian mereka .

Kombinasi-kombinasi yang ada ini menyumbang kepada peningkatan hutang mereka, lantas mengakibatkan ketidakupayaan membayar balik pinjaman bak kata orang, ‘besar kerak daripada nasi’.

Pada usia yang masih muda, keghairahan dan keinginan untuk bergaya sama ada dengan membeli pakaian dengan fesyen terkini, kereta dan kediaman mewah menyebabkan mereka alpa untuk menyimpan secara berkala, malah lebih teruk membuat pinjaman untuk menampung kehidupan itu.

Dengan meningkatnya kadar faedah, peminjam tersebut akan mulai merasai bahangnya dan mulai tersepit apabila jumlah hutang yang ditanggung semakin membesar seperti belon.

Mungkin perkembangan ini boleh dielakkan dengan pihak berkuasa seperti BNM mengetatkan syarat-syarat pinjaman peribadi dan kad kredit.

Bahkan, individu yang baharu ingin membuat pinjaman mungkin perlu diberikan penarafan yang pada masa ini hanya dilakukan untuk syarikat-syarikat korporat.

Dengan berbuat demikian, hanya mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan berpeluang mendapatkan pinjaman, selain pada masa yang sama, kegiatan pemberian ‘haram’ melalui ah long misalnya dan juga koperasi, diperhebatkan.

Pada masa ini, syarat-syarat yang dikenakan terlalu longgar dengan hampir siapa sahaja yang mempunyai pendapatan tetap dan berusia 18 tahun ke atas layak untuk memohon kad kredit dan pinjaman peribadi.

Biarpun penggunaan kad kredit dikatakan hanya berada di tempat ketiga sebagai penyebab utama kegagalan peminjam membayar hutang, ia masih lagi penyumbang yang besar.

Kita mengetahui kebanyakan mereka tidak mempunyai disiplin dan tidak merancang kewangan, mengapa tidak pula kita menyekatkan.

Biarpun angka AKPK menunjukkan kegagalan membayar hutang adalah disebabkan oleh beban kos perubatan yang tinggi, tetapi tidak mungkin bilangan yang berkenaan adalah orang muda dan kebiasaannya adalah golongan yang mungkin berusia 40 tahun ke atas.

Isu berhutang kerana tujuan perubatan itu sebenarnya boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia didedahkan secara lebih meluas dan agresif tentang insurans perubatan. Perkara ini kebanyakannya tidak ditonjolkan sangat oleh syarikat-syarikat yang terlibat kecuali lebih menekan manfaat terhadap pulangan pelaburan.

Pada masa yang sama, tidak ramai yang bersedia untuk mengambil insurans berkenaan sama ada kerana mereka telah dilindungi oleh skim yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing dan tidak memahami betapa pentingnya mempunyai perlindungan tambahan.

Namun begitu, usaha BNM melancarkan POWER! sewajarnya dipuji kerana kata orang bijak lagi pandai, ‘‘Sediakan payung sebelum hujan’. Tambahan pula, adakalanya nasib tidak menyebelahi kita.

Dalam menangani permasalahan yang berada di hadapan kita, pihak Bank Pusat tidak boleh dibiarkan bersendirian untuk melakukannya tetapi digerakkan secara bersepadu melibatkan semua pihak termasuk institusi kewangan dan juga pihak berkuasa lain yang berkaitan. Lagipun, muafakat itu banyak berkatnya.

0 Astro First: RM15 untuk menonton filem baru dalam tempoh 48 jam selepas langganan

Astro First tidak saingi pawagam

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my




FILEM merupakan medium elektronik visual yang paling diminati oleh manusia sehingga hari ini. Pada awal kemunculannya, ia bukan sekadar hiburan bahkan turut menjadi alat propaganda untuk menyebarkan fahaman tertentu.

Berdasarkan sejarah, filem atau juga dikenali sebagai seni wayang diperkenalkan secara komersial oleh Lumiere bersaudara pada tahun 1895 dengan rekaan mereka yang dinamakan Cinematographe.

Bagaimanapun, evolusi penciptaan wayang gambar telah bermula dengan rekaan Panorama oleh Robert Barker pada tahun 1780-an yang berbentuk lukisan di dalam silinder.

Tidak lama selepas itu, perkembangan seni wayang menyaksikan terciptanya beberapa peralatan berkaitan seni wayang seperti Eidophusikon, Diorama, Zoetrope, Camera Obscura dan Kinetoscope.

Kemudian Lumiere bersaudara telah menyempurnakan kesemua ciptaan tersebut dengan Cinematographe sehingga wujudnya beberapa nama lain yang menjadikan teknologi seni wayang gambar sebagai satu sejarah yang sungguh hebat.

Sementara sejarah filem di Malaysia juga tidak kurang menariknya. Filem pertama kali diperkenalkan di Tanah Melayu pada tahun 1898 oleh penjajah Inggeris menerusi penayangan dokumentari yang bertajuk Diamond Anivessary Celebration of Queen Victoria.

Pada tahun 1907, pawagam pertama telah dibina di Singapura yang dikenali sebagai Alhambra Cinema.

Ia telah dibina oleh seorang lelaki berbangsa Inggeris yang bernama Willis, namun, ada pendapat lain yang mengatakan ia dibina oleh seorang lelaki Cina, Tan Cheng Kee yang juga perintis kepada industri perfileman ketika itu.

Mengenai penerbitan filem Melayu, rata-ratanya bersetuju bahawa filem Melayu pertama telah diterbitkan di Singapura pada tahun 1933 yang berjudul Laila Majnun yang dihasilkan oleh B.S. Rajhans, seorang pengarah filem dari India.

Selepas itu, era industri perfileman

di negara ini terus berkembang, terutama dengan penghasilan lebih banyak filem yang menjadi alat hiburan masyarakat pada era 1950-an dan 1960-an.

Meskipun saluran televisyen pertama mula diperkenalkan pada tahun 1963, namun, ia tidak menghalang untuk industri perfileman terus berkembang dan masyarakat masih lagi ke pawagam untuk menonton filem-filem kegemaran mereka.

Pada hari ini, sekalipun pelbagai saluran televisyen percuma dan berbayar telah diperkenalkan, orang ramai masih gemar ke pawagam untuk menonton wayang.

RM15 sebuah filem

Tentunya sebelum ini tidak pernah terlintas di fikiran masyarakat di Malaysia bahawa pada suatu hari nanti mereka akan dapat menonton filem-filem tempatan terbaru di rumah. Menariknya, filem yang akan ditonton itu adalah filem yang baru dua minggu ditayangkan di pawagam.

Bayangkan pada tahun 1990-an, penonton hanya dapat menonton filem tempatan di kaca televisyen semasa musim perayaan sahaja, itu pun selepas beberapa bulan ia ditayangkan di pawagam.

Bagaimanapun, kini segala-galanya tidak mustahil lagi apabila stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan sebuah lagi saluran baru iaitu Astro First.

Memulakan perkhidmatan pada 13 Januari lalu, saluran berkenaan menawarkan filem tempatan yang baru sahaja ditayangkan di pawagam.




KARYAWAN filem tempatan dijangka menerima impak positif dengan kemunculan Astro First.


Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, jika sebelum ini filem terbaru hanya dapat ditonton di pawagam, kini para pelanggan Astro yang berjumlah kira-kira tiga juta orang boleh menontonnya di kaca televisyen.

“Perkhidmatan ini merupakan sejarah baru dalam industri hiburan tanah air. Kini orang ramai boleh menonton filem-filem terbaru di rumah dalam keadaan selesa bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Penonton juga tidak perlu memikirkan masalah seperti terpaksa menghadapi kesesakan lalu lintas untuk ke pawagam, bersesak-sesak beratur membeli tiket atau tidak sempat menonton filem terbaru kerana sibuk dengan jadual harian,” katanya pada majlis pelancaran saluran Astro First di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Henry, saluran Astro First juga dapat memanjangkan tempoh tayang sesebuah filem memandangkan Syarat Wajib Tayang di negara ini cuma dua minggu.

Ujarnya lagi, saluran berkenaan juga akan memberi peluang yang lebih luas kepada penonton yang tinggal di kawasan luar bandar untuk menonton filem terbaru, sekali gus memberikan sokongan kepada filem-filem tempatan.

Perkhidmatan ini juga memberi kelebihan kepada penonton kerana mereka dapat menjimatkan kos jika sesebuah filem itu ditonton secara beramai-ramai di rumah.

Menurutnya, untuk melanggan sebuah filem, pelanggan Astro hanya perlu membayar RM15 dan ia boleh ditonton dalam tempoh 48 jam selepas langganan.

“Sebagai permulaan, Astro First akan menayangkan sebanyak tiga buah filem tempatan terbaru kepada penonton iaitu Ngangkung, Aku Masih Dara dan Damping Malam,” ujarnya.

Tambah Henry, selepas ini para pelanggan Astro akan dapat menyaksikan lebih banyak filem terbaru termasuk Hikayat Merong Mahawangsa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Senjakala dan Kembar Siang.

Tidak Terjejas

Mengikut senarai yang dipetik daripada laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sehingga bulan Disember 2010, terdapat sebanyak 19 syarikat pawagam, 106 buah pawagam, 577 Dewan dan 119,165 kerusi di seluruh Malaysia.

Kemunculan begitu banyak pawagam di negara ini adalah seiring dengan penghasilan filem yang semakin meningkat saban tahun. Misalnya pada tahun 2003, sebanyak 16 filem sahaja yang dihasilkan setahun.

Namun, pada tahun 2010 pula jumlahnya meningkat dengan begitu ketara iaitu sebanyak 29 buah. Dijangka pada tahun ini lebih banyak filem yang akan dihasilkan.




PELANGGAN hanya perlu membayar RM15 untuk menonton sebuah filem.



Mengenai pengenalan saluran Astro First, sebenarnya timbul satu isu apabila dikatakan ia boleh menyebabkan orang ramai tidak lagi berminat untuk pergi ke pawagam.

Ketika diajukan soalan mengenai perkara tersebut, Henry memberitahu orang ramai akan terus menonton filem di pawagam meskipun kini muncul perkhidmatan baru itu.

Menurutnya, Astro First hanya menjadi satu alternatif kepada mereka yang terlepas menonton filem kegemaran di pawagam.

“Tidak semestinya orang ramai tidak lagi pergi ke pawagam atau memberi saingan kepada pemilik pawagam.

“Berdasarkan kajian kami, ada juga segelintir individu yang tidak mahu beratur panjang untuk membeli tiket wayang sehingga membatalkan hasrat untuk menonton sesebuah filem,” ujarnya.

Bagaimanapun, Henry turut menjelaskan bahawa pihaknya berkeyakinan bahawa minat masyarakat untuk pergi ke pawagam tidak akan terjejas kerana masih ramai lagi golongan seperti remaja yang gemar mencari hiburan di luar rumah.



Artikel berkaitan:


Penerbit filem sokong

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my




KARYAWAN filem Ngangkung pasti bangga kerana filem mereka menjadi antara tiga naskhah terawal ditayangkan menerusi Astro First.



PENGENALAN perkhidmatan Astro First kepada para pelanggan stesen televisyen berbayar berkenaan ternyata merintis satu revolusi kepada dunia perfileman tanah air.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang mempersoalkan rasional Astro First yang didakwa boleh menyebabkan khalayak ke pawagam akan berkurangan. Namun, rata-rata penerbit filem di negara ini menyambut baik perkhidmatan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan, beliau yakin minat orang ramai untuk ke pawagam masih tinggi.

“Industri perfileman di negara ini sering dihantui dengan kewujudan masalah cetak rompak yang berleluasa sehingga sekarang.

“Sehinggakan ada filem-filem yang baru beberapa hari ditayangkan sudah boleh ditonton melalui cakera padat video (VCD) yang cukup mudah untuk diperoleh.

“Walaupun masalah tersebut terus berlaku, minat penonton untuk menonton filem di pawagam semakin meningkat, sedangkan mereka boleh sahaja memilih untuk membeli VCD cetak rompak,” ujarnya sewaktu pelancaran Astro First baru-baru ini.

Tambah Norman, pengenalan perkhidmatan terbaru itu seharusnya dilihat dari sudut positif terutama sebagai salah satu langkah terbaik untuk membanteras gejala berkenaan.

Menurutnya, selepas ini orang ramai tidak perlu lagi membeli VCD cetak rompak dan sekali gus dapat membantu perkembangan industri perfileman negara.

Dalam pada itu, Norman turut menjelaskan Astro First sedikit sebanyak dapat membantu para penerbit filem yang gagal meraih keuntungan menerusi kutipan filem mereka di pawagam.

Ujar Norman, filem yang tidak mendapat sambutan yang baik di pawagam sudah tentu boleh disiarkan terus melalui kaca televisyen.

“Sementara bagi penerbit filem kecil, Astro First juga menjadi pilihan terbaik untuk filem mereka ditonton oleh lebih ramai orang,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Norman turut berharap agar semua pihak menganggap kemunculan saluran itu sebagai satu bentuk persaingan dalam era baru teknologi serta industri perfileman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth International Group (MIG), David Teo bersetuju bahawa kemunculan Astro First akan membantu ramai penerbit.

Menurut David, tidak timbul isu orang ramai semakin berkurangan berkunjung ke pawagam. Setiap filem yang akan dimasukkan di saluran berkenaan hanya disiarkan selepas dua minggu ia ditayangkan di pawagam.

“Mengikut Syarat Wajib Tayang Finas, sesebuah filem akan ditayangkan selama dua minggu sahaja.

“Penayangan akan diteruskan pada minggu ketiga sekiranya filem berkenaan mencapai kutipan lebih RM2 juta, tetapi jumlah tayangan akan dikurangkan.

“Kalau kutipan kurang daripada RM2 juta, filem itu akan dihentikan terus tayangannya di pawagam. Jadi, sudah tentu ia akan merugikan penerbit kerana filem terbitan mereka kurang mendapat sambutan,” ujarnya.

Tambah David, Astro First sebenarnya dapat membantu penerbit filem menambah pendapatan mereka.

Selain itu, David turut berbangga kerana Astro First akan mewujudkan satu fenomena dalam industri penyiaran di negara ini, malah perkhidmatan seumpama itu adalah yang pertama di dunia.

0 Erra Fazira mencari banyak skrip drama dan lagu untuk album barunya

Ingin kembali
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2011/01/21


SESI uji bakat Mentor 5 untuk mencari protege Erra Fazira di Sri Pentas TV3.

BERSAMA anak kesayangan Engku Aleesya.
Selepas empat tahun, Erra Fazira teringin muncul bersama album baru

EMPAT tahun lalu, penyanyi dan pelakon jelita Erra Fazira menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman SRC sebagai artis baru naungan mereka. Syaratnya, Erra dikehendaki menghasilkan lima album bersama syarikat berkenaan. Namun pejam celik, pejam celik, sehingga kini bayang album pun masih lagi tidak kelihatan. Apa sudah jadi dengan kontrak yang dipersetujui itu? Tertanya-tanya juga apakah album baru Erra memang tidak akan muncul di pasaran kerana khabarnya, sehingga kini ia belum siap sepenuhnya. Rasanya ramai peminat ibu kepada Engku Aleesya ini yang tidak sabar menantikan kelahiran buah tangan penyanyi ini. Kali terakhir Erra muncul dengan album terbaru adalah pada 2006, yang memuatkan lagu popular seperti Harapan Hanya Impian.

Namun sama seperti judul lagu popularnya itu, harapan pemilik nama penuh Fazira Wan Chek ini untuk menyaksikan album sulungnya bersama syarikat rakaman tempatan itu bagaikan tidak kesampaian apabila kontraknya bakal berakhir sekitar tahun ini. Dan, perkara ini turut membimbangkan Erra kerana dia sendiri memang sudah gian untuk merakamkan lagu baru.

“Sebelum ini memang Erra sudah merakamkan beberapa lagu termasuk meminta lagu dari kumpulan Ungu untuk dimuatkan dalam album baru. Namun disebabkan kesibukan Erra berlakon dan juga melahir serta membesarkan anak, pembikinan album Erra terpaksa ditangguhkan. Dari sehari ke sehari, ada saja aktiviti yang perlu Erra lakukan sehingga Erra tidak sedar kontrak bersama SRC sudah pun hampir tamat.

“Bukan tidak boleh untuk meneruskan projek album ini, tetapi lagu yang sudah Erra rakamkan rasanya tidak sesuai untuk trend sekarang. Maklum sajalah, Erra rakamkan lagu itu kira-kira dua atau tiga tahun lalu, jadi Erra rasa muziknya sudah tidak lagi relevan dengan apa yang diminati orang ramai ketika ini. Mungkin Erra akan mencari material baru untuk disesuaikan dengan cita rasa penggemar muzik hari ini,” cerita aktres ini ketika ditemui pada majlis Tahun Baru Cina Green Cheongsam anjuran Rafflesia The Pearl Centre di pusat beli-belah The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru.
Pada petang itu, Erra yang baru saja dilantik sebagai seorang daripada Mentor bagi musim terbaru program realiti terbitan TV3 itu menggayakan busana Cheongsam hijau paras lutut rekaan Riffai, yang menampakkan penampilannya persis wanita China era 50-an.

Katanya, walau apapun terjadi, dia tetap akan meneruskan hasrat mengeluarkan album solonya itu secepat mungkin.

“Jika kontrak Erra dengan SRC tamat dan album Erra masih belum dapat disiapkan, Erra akan tetap meneruskan projek itu walaupun terpaksa menerbitkannya sendiri. Untuk itu, Erra sekarang sedang dalam proses mencari lagu dan jika ada komposer yang berminat untuk bekerjasama dengan Erra, ia amat dialu-alukan.

"Tapi, kalau kontrak Erra disambung dan SRC masih berminat untuk menerbitkan album itu, Erra rasa ia tak menimbulkan sebarang masalah kerana sekurang-kurangnya lagu yang Erra dapat nanti boleh dimuatkan terus dalam album berkenaan,” kata Erra yang sempat menghasilkan sebuah lagu raya dengan syarikat rakaman terbabit, berjudul Gema Lebaran.

Selain ingin memberikan fokus pada penerbitan album solonya, wajah ekslusif Astro ini juga merancang untuk menerbitkan lebih banyak drama dan telefilem di bawah syarikat penerbitannya sendiri.

“Sekarang ini Erra mencari lebih banyak penulis skrip untuk menghasilkan drama untuk syarikat Erra. Bukan tidak ada skrip yang datang, tetapi kami ingin mencari lebih banyak lagi cerita menarik. Jadi kalau ada sesiapa yang berminat untuk menghantar skrip mereka, dipersilakan,” ujarnya.

Ditanya apakah dia sendiri ada mencuba untuk menulis skrip, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara ini hanya tergelak besar mendengar soalan itu.

“Erra ada juga mencuba, tetapi kebanyakannya hanyalah sinopsis semata-mata. Kalau nak diikutkan memang banyak sinopsis yang Erra sudah hasilkan, namun untuk menulis skrip itu saja yang agak memakan masa sedikit,” katanya.

Sedia tambah cahaya mata

USAH lagi dibangkitkan cerita kononnya pasangan popular ini sedang berdepan dengan masalah rumah tangga kerana baik Erra mahu pun suaminya, Engku Emran, mereka sudah pun menjelaskan bahawa ikatan perkahwinan yang terjalin sejak tiga tahun lalu masih lagi kukuh. Bersama cahaya mata yang semakin membesar, Erra sekali lagi menegaskan, tidak ada apa yang lebih menggembirakannya apabila dikelilingi insan tersayang.

Justeru, apakah Erra dan Emran tidak bercadang untuk menambah anggota keluarga keluarga memandangkan anak sulungnya itu sudah mencecah usia lebih setahun.

“Memang kami ada bercadang untuk mempunyai seorang lagi cahaya mata. Aleesya juga semakin membesar. Lagipun usia Erra sendiri kian meningkat dan Erra tak mahu menunggu terlalu lama untuk menambah anak. Bagaimanapun, ia bukanlah perlu dilaksanakan seberapa segera. Namun, jika diizinkan Tuhan, Erra mahu mengandung tahun ini juga,” ujar Erra.

Bercerita mengenai keletah anak sulungnya itu, aktres terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini menjelaskan Aleesya sudah menunjukkan minat dalam bidang seni.

“Selain gemar menggoyangkan badannya apabila mendengar muzik, dia juga sudah mula nak menyanyi. Walaupun tak tahu apa biji butir yang keluar daripada mulutnya, tapi Erra seronok melihat situasi itu. Memang melucukan!” katanya sambil tertawa kecil.